National Geographic melaporkan, sisa makanan tersebut boleh dikomposkan untuk menjadi baja berbanding dengan hanya dilupuskan.
Pakar berpandangan tindakan mengompos sisa makanan sama ada ia dilakukan di kawasan sekitar rumah atau di kemudahan komuniti mampu mengurangkan sampah dan mampu menangani perubahan iklim.
Apa yang berlaku dalam longgokan kompos?
Pada skala kecil di halaman belakang rumah atau kawasan kejiranan anda, longgokan kompos harus terdiri daripada tiga perkara iaitu sisa makanan, air dan bahan kering berkayu.
Sebagai contoh, sisa hiasan halaman seperti daun, rumput atau pokok yang dikategorikan mengandungi karbon yang tinggi.
Sementara itu, sisa makanan yang dipanggil sebagai ‘hijau’ pula mengandungi nitrogen yang tinggi.
Jika sisa sampah tersebut berada di kawasan rumah, anda harus mengacau atau mencampurkan longgokan sisa tersebut secara berkala dan pastikan ia lembap.
Kedua-dua langkah tersebut akan mempercepatkan proses penguraian.
Pengadukan membolehkan oksigen mencapai kepada semua sudut dan celah, dan kelembapan menjamin kemandirian mikroorganisma yang memerlukan kelembapan untuk hidup.
Sebab yang paling biasa mengapa timbunan kompos di kawasan belakang rumah tidak berjaya adalah kerana ia terlalu kering.
Semburan air untuk memastikan kelembapan timbunan sisa terbuang mampu membantu penghasilan kompos yang baik.
Bagaimanapun, tidak semua sisa makanan disyorkan untuk dilonggokkan di belakang rumah.
Sisa-sisa buah-buahan dan sayur-sayuran biasanya selamat untuk dibuang ke dalam longgokan, tetapi daging atau tenusu yang tidak dimakan lebih cenderung berbau dan menarik perhatian binatang perosak.
Lebihan makanan tersebut juga mengandungi tahap lemak yang lebih tinggi, menyebabkan ia mengambil masa yang lebih lama untuk diuraikan.
Pada 2018, Amerika Syarikat menghasilkan hampir 300 juta tan sampah atau kira-kira 4.9 paun (2.22 kilogram) setiap orang.
Selepas kertas, makanan adalah kategori sisa kedua tertinggi yang terdiri daripada kira-kira 21 peratus daripada sisa buangan.
Sebagai contoh, San Francisco, yang mewajibkan pengkomposan di seluruh bandar pada 2009 telah dapat mengalihkan 80 peratus atau 2.5 juta tan sisanya dari tapak pelupusan setiap tahun.
Majlis Pertahanan Sumber Asli mendapati undang-undang pengkomposan San Francisco telah mengurangkan 90,000 tan metrik karbon dioksida setiap tahun, di mana jumlah pelepasan itu bersamaan kira-kira 20,000 kenderaan penumpang.
Antara nikmat memiliki haiwan peliharaan ialah dapat bermain dengan mereka setiap hari. Sepenat atau seletih mana pun hari kita jika pulang sahaja ke rumah dan melihat haiwan peliharaan terkadang boleh hilang letih bekerja. Mereka jugalah tempat kita meluahkan perasaan walaupun kita tidak adakah mereka faham atau tidak apa yang kita katakan.
Tidak hanya itu, pagi-pagi kita akan sering ditemani mereka yang ceria. Bayangkan muka mata sahaja kita melihat si comel di sisi katil dengan wajah ceria mereka. Bagi sesiapa yang memiliki haiwan yang gemuk dan gebu pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk memeluk mereka seperti bantal setiap pagi!
Itulah yang sering dilakukan oleh seorang kanak-kanak di Jepun yang sangat sayang akan kucing peliharaannya, Luca. Dikhabarkan dia akan memeluk Luca setiap malam sehingga kedua-duanya tertidur dengan nyenyak.
Gambanya memeluk Luca telah dimuat naik ke Twitter oleh ibu bapanya dengan kapsyen berbunyi, “adegan setiap pagi.” Foto tersebut jelas menunjukkan kanak-kanak itu sedang lena bersama Luca seolah-olah si kucing itu adalah alat permainannya yang tidak mahu dilepaskannya langsung.
Kucing berbaka Ragdoll bernama “Luca” yang berusia 6 bulan itu dikatakan baru sahaja dijaga oleh keluarga tersebut beberapa bulan lalu. Ketika itu dia masih sangat kecil. Sejak dijaga oleh keluarga itu, hubungannya dan tuan kecilnya yang baru bersekolah rendah itu menjadi sangat akrab dan rapat.
Setiap hari mereka akan bermain dan meluangkan bersama. Tidak hanya itu, mereka juga seringkali tidur bersama. Untuk merekodkan perkembangan Luca, tuannya telah membuka sebuah akaun Twitter untuk kucing tersebut. Di situ, tuannya dapat berkongsi kehidupan hariannya yang comel dan lucu.
Baru-baru ini pemilik Twitter tersebut ada berkongsi gambar yang telah menimbulkan perbincangan hangat di kalangan netizen. Hal ini kerana gambar yang dimuat naik menunjukkan anak bongsunya sedang memeluk Luca dengan erat pada suatu pagi.
Anak bongsunya kelihatan sedang tidur nyenyak bersama Luca yang ada dalam pelukannnya. Rupa-rupanya kanak-kanak itu memang selalu memeluk Luca pada waktu malam sehingga kedua-dua mereka tertidur.
Netizen yang melihat gambar tersebut memuji hubungan istimewa yang dimiliki oleh kedua-dua mereka. Ramai yang seronok melihat keakraban antara tuan kecil ini dengan kucing kesayangannya itu. Apa yang memberi komen memberitahu bahawa kanak-kanak ini akan membesar dengan baik kerana dia sangat sayang akan kucingnya. Ada juga netizen yang mengatakan mereka berdua kelihatan seperti adik-beradik.
Kemalangan boleh terjadi kepada sesiapa pun. Kadangkala kita sudah sangat berhati-hati, kesemua peraturan dipatuhi- menggunakan tali pinggang keselamatan, memandu pada had laju yang dibenarkan dan tidak melanggar lampu isyarat merah. Namun, terkadang nasib tidak menyebelahi apabila kita yang menjadi mangsa kecuaian pemandu lain sehingga kereta kita pula yang dilanggar dari belakang.
Kemalangan disebabkan orang lain adalah sesuatu yang biasa berlaku- tidak kira kecil atau besar. Ya, apa yang berlaku memang boleh mengundang marah. Mana tidaknya, kita sudah mengikut semula peraturan, tetapi kerana kecuaian orang lain kita pula yang menjadi mangsa.
Namun begitu, walaupun anda berada dalam keadaan tidak bersalah, tidak bermakna anda boleh bertindak sewenang-wenangnya kepada individu tersebut. Ada jalan penyelesaian jika anda terlibat dalam kemalangan seperti itu. Ada cara baik yang boleh dilakukan dan tidak melibatkan kekerasan.
Jangan panik dan bersabar dahulu. Ikuti langkah-langkah yang dikongsi oleh Community Roda Johor – CRJ jika ada terlibat dalam situasi seperti ini. Bawa bertenang dan semoga semuanya berjalan lancar.
1. Jika ada orang langgar kereta anda dari belakang, jangan panik dan bawa bertenang.
2. Berhentikan kereta anda di tepi jalan di kawasan yang lapang dan selamat untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas.
3. Jangan ambil sebarang alatan yang merbahaya seperti stearing lock, parang, peralatan yang diperbuat daripada besi dan sebagainya, kerana anda mungkin boleh dituduh cuba untuk melakukan serangan dan kecederaan kepada orang lain dan harta benda awam.
4. Ambil gambar plat dan cukai jalan kenderaan yang langgar anda tadi.
5. Apabila pemandu kenderaan yang langgar anda tadi keluar daripada kenderaannya, sapa lah dia dengan baik. Kalau pun anda tidak mampu untuk senyum dengannya, janganlah terus maki hamun kepadanya.
6. Tanyakan kepadanya dengan baik kenapa dia langgar kereta anda tadi? Kebiasaannya dalam situasi sebegitu masing-masing akan cuba menyalahkan satu sama lain.
Kawal kemarahan anda, jangan bertengkar, bergaduh dan berbalah di situ kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah tetapi hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
7. Kalau boleh minta tengok daripada pemandu yang langgar kereta anda tadi kad pengenalan atau lesen memandunya. Ambil gambar kad pengenalan atau lesen memandunya.
8. Jika dia tidak mengaku bersalah melanggar kereta anda, jangan paksa dia mengaku atau paksa dia bayar wang kepada anda. Bagitahu kepadanya, dari segi undang-undang, sekiranya sesuatu kenderaan melanggar kenderaan lain daripada belakang, kecuaian adalah disebabkan oleh kenderaan yang melanggar itu.
9. Jika dia mengaku bersalah, minta dia menanggung kos pembaikan kereta anda. Sekali lagi diingatkan, tidak perlu meminta wang daripadanya. Terus ajak dan bawa dia ke bengkel yang anda biasa berurusan untuk menilai berapakah kerosakan kereta anda.
Kalau boleh terus pergi, jangan tangguh-tangguh walaupun anda ada urusan lain. Lagi cepat anda selesaikan perkara tersebut lagi bagus.
10. Jangan lupa ambil nombor telefon atau kad perniagaannya supaya mudah untuk anda menghubunginya nanti.
11. Jika dia berkeras tidak mahu mengaku bersalah dan tidak mahu tanggung kos pembaikan kereta anda, tidak mengapa, jangan serang atau melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah terhadapnya. Biarkan saja dia pergi. Ini kerana anda telah dapat segala info berkenaan kenderaan dan dirinya.
12. Terus pergi buat laporan polis di balai polis berhampiran.
13. Dengan laporan polis tadi, pergi ke JPJ dan lakukan carian kenderaan untuk mengetahui syarikat insurans kenderaan yang langgar kereta anda tadi.
14. Pergi terus ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan mintak mereka uruskan 3rd party claim untuk membaiki kerosakan kereta anda.
Mudah bukan, tidak perlu gaduh-gaduh dan melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah anda dan boleh mendedahkan anda kepada perlakuan jenayah. Negara kita kan ada undang-undang. Patuhilah undang-undang yang telah ditetapkan.
Ketibaan AirAsia AK 1794 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disambut dengan meriam air selepas 2 tahun terhenti akibat pandemik Covid-19. Penerbangan antarabangsa pertama yang berlepas dari Singapura itu dinaiki 119 penumpang yang mana 30 peratus daripadanya adalah rakyat Singapura. Pesawat berkenaan tiba di Sabah pada jam 2.30 petang pada Sabtu.
Huziah Siwis, 35 dari Telupid, Tongod berkata sejak dia menjadi pembantu dapur di Singapura pada 2019, dia hanya berhubung dengan keluarganya melalui telesidang secara atas talian.
“Saya masih tidak boleh percaya, tangan saya menggigil. Saya tidak dapat pulang ke rumah sejak 2019 kerana pandemik Covid-19 dan sudah tentu saya gembira kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki di rumah di Sabah.
“Saya mengambil cuti selama dua minggu yang akan saya gunakan terutama untuk meluangkan masa bersama keluarga di sini, kakak saya dan suaminya datang untuk menyambut kepulangan saya dan air mata kegembiraan menitis sebaik sahaja saya ternampak dia,” katanya kepada wartawan ketika bertemu di KKIA.
Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lalu dengan beberapa kelonggaran diberikan termasuklah pembukaan semula sempadan negara selepas ia ditutup selama dua tahun sejak pandemik Covid-19.
Hendry Andus, 28, anak bongsu daripada tiga beradik dari Inanam berkata hasratnya untuk melaungkan “Kami sudah pulang!” menjadi kenyataan apabila dia akhirnya dapat mendakap dan memeluk ahli keluarganya.
“Ia adalah satu cabaran bagi mereka yang bekerja di luar negara seperti kami, manakala negara lain mungkin lebih baik tetapi tiada apa yang dapat dibandingkan dengan negeri Sabah dan Malaysia kita sendiri. Seperti yang orang katakan ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’ kami masih memilih tanah air sendiri,” kata Henry yang bekerja sebagai juruteknik di Singapura sejak 2017.
Jacques Franck, 70, seorang pelancong dari Perancis berkata dia gembira kerana akhirnya dapat menikmati percutiannya di Sabah.
“Saya sentiasa sayangkan Sabah dan telah datang ke sini bertahun-tahun untuk bercuti, sudah tentu saya berasa sedih apabila saya tidak dapat datang ke sini, tetapi kini saya merancang untuk menikmati keindahan pantai dan hutan di sini,” kata pesara ini.
Sementara itu, Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai berkata kerajaan Sabah bertungkus-lumus bersama semua pihak untuk memastikan Sabah sentiasa menjadi tempat pertama dalam hati dan pemikiran pelancong dan pengembara.
“Selamat pulang kepada rakyat Sabah kita sendiri, manakala untuk pelancong dan pengembara, selamat datang ke tanah air kami dan nikmatilah penginapan anda di sini,” katanya ketika menyambut kedatangan 119 penumpang menerusi penerbangan AK 1794.
Singapura akan terus menjadi pasaran utama dan hab penting bagi Sabah berikutan kembalinya penerbangan antarabangsa terus antara Kota Singa dan Kota Kinabalu.
“Saya ingin memuji AirAsia kerana menjadi syarikat penerbangan pertama yang membuka penerbangan antarabangsa untuk Sabah, ini adalah peristiwa penting untuk semua yang terlibat.
“Singapura adalah pasaran yang sangat penting buat Sabah kerana ia menjadi fokus pasaran kami untuk bertahun-tahun sekarang dan ia juga hab terpenting untuk Sabah kerana ia menghubungkan pasaran tumpuan kami yang lain di seluruh dunia ke Sabah,” kata Joniston.
Mengambil maklum akan kecintaan rakyat Singapura terhadap alam semula jadi, menyelam dan pengembaraan, dia berkata rakyat Singapura kini mungkin tidak sabar untuk melancoing ke Sabah dan menikmati keghairahan mereka sekali lagi dengan pengembalian semula laluan Singapura-Kota Kinabalu.
Joniston berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah telah merancang beberapa inisiatif promosi untuk menarik rakyat Singapura pulang ke Sabah.
Dari 22-28 April, beliau berkata Lembaga Pengarah dan Pemain Industri Sabah akan menghadiri Pameran Digital Pelancongan Malaysia.
“Melalui Pameran ini, pengguna Singapura akan disajikan dengan banyak pilihan produk pelancongan dan penginapan. Kami juga menerima sokongan padu daripada pemain industri Sabah di mana mereka menonjolkan pakej popular mereka seperti hidupan liar, alam semula jadi dan pengembaraan.
“Mengimbas kembali masa pra-pandemik, Pameran ini telah berjaya menarik ramai rakyat Singapura ke Sabah dan kami yakin trend ini akan kembali kerana pada masa ini, pertanyaan dari Singapura mengenai pakej pelancongan Sabah sudah mula mencurah-curah,” kata Joniston.
Smart Locals, salah satu penerbit dalam talian terkemuka Singapura akan menghubungkan platform acara itu kepada kempen digital Sabah untuk membantu pemain pelancongan negeri itu berjaya di Pameran Digital Travel Malaysia, tambahnya.
Menurut Joniston, syarikat penerbangan tambah rendah AirAsia telah menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Sabah melalui pelancongan dan hospitaliti sejak kehadirannya pada 2001.
“Saya gembira mengetahui bahawa AirAsia telah mengembangkan tawarannya melangkaui penerbangan dan kini menjadi rumah kepada beberapa usaha niaga e-dagang yang berkembang maju, iaitu platform sehentinya, AirAsia Super App.
“Selaras dengan peralihan kepada fasa endemik, saya percaya bahawa penyambungan semula penerbangan antarabangsa ini datang pada masa yang sesuai untuk kedua-dua pelancongan dan penduduk tempatan di Sabah, yang telah teruja menjangka dan meracang perjalanan mereka,” katanya.
Sebelum pandemik Covid-19, Sabah menerima 126,000 penumpang melalui Singapura. Rakyat Singapura menyumbang 34,000 daripada jumlah itu.
Sementara itu, ketua pegawai komersial AirAsia (syarikat penerbangan), Tan Mai Yin menyatakan bahawa syarikat penerbangan itu kini mengendalikan penerbangan tiga kali seminggu antara Singapura dan Kota Kinabalu, dengan penerbangan harian bermula pada 29 April.
“Kami juga sedang mengkaji penerbangan terus dari Thailand, Filipina dan Indonesia ke Kota Kinabalu. Kami teruja dengan perkara ini dan kami akan mengumumkan kemaskini selanjutnya,” katanya.
Menurut Tan lagi, mereka menjangkakan laluan terus dari Thailand dan Filipina akan bermula pada separuh pertama tahun ini, dengan selebihnya mengikuti pada separuh masa kedua.
Turut hadir pada majilis itu ialah setiausaha tetap kementerian pelancongan negeri Datuk Mohd Yusrie Abdullah; Timbalan pengerusi Pelancongan Malaysia Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh Sandhu; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman dan Pengarah Pelancongan Malaysia Sabah Ednie Rahma Ab Rahim.
Seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun berdepan detik cemas apabila tercekik penutup botol air di dalam kelas. Kejadian ini berlaku di East Orange Community Charter School di New Jersey, Amerika Syarikat.
Rakaman CCTV menunjukkan pelajar itu pada mulanya tidak dapat membuka penutup botol air dengan tangannya lalu dia membukanya dengan menggunakan gigi.
Menurut New York Post, pelajar gred tiga itu, yang dikenali sebagai Robert Stonaker, cuba menggunakan giginya untuk memulas botol air apabila secara tiba-tiba air telah menolak penutup itu ke bahagian kerongkongnya.
Pelajar itu bergegas ke singki untuk mengeluarkan penutup botol tetapi tidak berjaya dan terus berlari meminta bantuan gurunya yang berada di dalam kelas ketika itu.
“Saya pergi ke singki untuk mengeluarkannya tetapi tidak berjaya dan saya terus berlari meminta bantuan guru saya,” tambahnya.
Guru Jenkins bertindak dengan pantas melakukan teknik ‘Heimlich Maneuver’ selepas Robert berlari ke arahnya dalam keadaan kelam-kabut di hadapan bilik darjah yang panik diperhatikan para pelajar lain.
“Dia menunjuk ke arah lehernya dan tidak boleh bercakap. Jadi, saya memusingkan badannya dan melakukan teknik Heimlich Maneuver,” kata guru itu.
Teknik ‘Heimlich Maneuver’ merupakan teknik keselamatan universal yang digunakan di seluruh dunia untuk menyelamatkan mangsa yang mengalami masalah tercekik sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.
Tindakan pantas guru wira itu dengan menunjukkan teknik ‘Heimlich Maneuver’ dengan betul dan menyelamatkan pelajarnya telah mendapat perhatian warganet dengan lebih 3.5 juta tontonan di Twitter.
Kementerian Pengangkutan akan mengenakan larangan ke atas kenderaan berat daripada menggunakan lebuh raya untuk tempoh lima hari sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Larangan itu akan dikenakan dalam dua tempoh, iaitu dari 30 April hingga 2 Mei 2022 dan dari 7 Mei hingga 8 Mei 2022.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan larangan itu akan diwartakan tidak lama lagi.
Tujuan di sebalik larangan itu adalah supaya trafik berjalan lancar berikutan jangkaan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya ketika rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman pada musim perayaan, Harian Metro melaporkan.
Sekadar Gambar Hiasan
“Saya telah menandatangani perintah itu, sama seperti yang dikenakan sebelum ini yang mana ia akan dikenakan tiga hari sebelum Hari Raya dan dua hari selepas itu. Apabila ia diwartakan, semua pemilik permit, terutama kenderaan komersial terikat dengan perintah itu,” Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan.
Menteri Pengangkutan seterusnya berkata, terdapat sistem pengumuman untuk larangan itu dan spesifikasi kenderaan berat bagi larangan yang mana adalah sama seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini.
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang remaja perempuan yang disyaki mengelar leher pemandu e-hailing selepas enggan membayar tambang berjumlah RM400.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata remaja berusia 16 tahun itu ditahan di sebuah premis perniagaan di Jinjang, Sentul di sini, jam 4.55 petang, 16 April 2022.
Katanya, polis menerima laporan daripada lelaki berusia 63 tahun yang dikelar di leher oleh penumpangnya ketika berada di Jalan Kovil Hilir, Sentul, jam 2.55 pagi, Rabu lalu.
“Siasatan mendapati, mangsa mengambil suspek di Sagil, Tangkak, Johor menggunakan aplikasi e-hailing. Selepas tiba ke destinasi di Jalan Kovil Hilir, mangsa memberitahu jumlah tambang yang dipersetujui untuk dibayar ialah RM400.
“Suspek enggan membayar kerana tidak mempunyai wang dan mangsa membuat keputusan menghantar suspek ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang ketakutan mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau lipat dan melarikan diri dengan meninggalkan senjata tajam digunakan di dalam kereta mangsa.
“Mangsa kemudian memandu menuju ke Balai Polis Sentul untuk meminta bantuan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, suspek dapat ditahan dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit miliknya.
Eng Lai berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang mempunyai kebolehan luar biasa telah memukau jutaan orang di internet apabila dia mampu menulis dalam 10 bahasa berbeza. Tidak hanya itu, si pintar ini juga mempunyai daya ingatan yang tinggi iaitu ingatan fotografi (photographic memory) serta dikatakan sudah boleh membaca sebelum dia boleh berjalan lagi.
Apabila Sebastian Esposito, dari Albuquerque, New Mexio, berumur 18 bulan, dia mula menjadi taksub dengan teka-teki huruf kayu dan mula mengeja perkataan seperti kucing dan anjing. Dia kemudian terus menulis lebih daripada 200 perkataan ketika dia berusia dua tahun dan dalam masa yang sama dia turut mempelajari keseluruhan abjad Rusia.
Sebastian mempunyai kemahiran yang dipanggil hyperlexia, iaitu apabila kanak-kanak mempunyai kebolehan membaca jauh lebih awal dari usia mereka dan mempunyai daya tarikan kepada nombor atau huruf, dan dia juga telah didiagnosis menghidapi autisme.
Kini berusia lima tahun dan di tadika, di mana rakan sekelasnya masih mempelajari ABC mereka, Sebastian mempunyai keupayaan membaca seperti mereka yang berusia 18 tahun. Si kecil ini juga kini telah menghafal abjad Yunani, Jerman, Armenia dan Turki dan boleh menyebut keseluruhan jadual unsur berkala walaupun dia masih tidak boleh mengikat tali kasutnya.
Bapanya, Ryan Esposito, 30, seorang pekerja lombong, yang tinggal bersama isteri, Amanda Esposito, 33, anak perempuannya, Shyann, 14, dan Sebastian, berkata, “setiap ibu bapa menganggap anak mereka istimewa. Tetapi saya tahu Sebastian benar-benar istimewa.
“Apabila dia mula mengeja perkataan ke belakang, saya fikir mungkin dia adalah makhluk asing. Dan dia mengingat semua perkataan ini dengan cepat. Ia adalah luar biasa.
“Kami fikir dia mempunyai ingatan fotografi. Apa sahaja yang dia nampak dia hanya simpan dalam kepalanya dan tidak pernah melupakannya.”
Ketika berumur tiga tahun Sebastian telah didiagnosis menghidapi autisme, ketidakupayaan perkembangan yang mempengaruhi cara orang berkomunikasi dan berinteraksi dengan dunia.
Apabila keluarga Sebastian mula-mula mula menyiarkan videonya di dalam talian, mereka mahu meningkatkan kesedaran tentang keadaannya. Mereka walau bagaiamanpun tidak pernah menjangka klip pendek itu kemudian menjadi tular sehingga menarik hampir 20 juta tontonan.
Antara video mereka yang ‘viral’ di laman TikTok yang menggunakan nama @litttle.einstein, ialah video di mana Sebastian menulis keseluruhan abjad atau setiap fon pada Microsoft Word, serta menyenaraikan setiap negara dan ibu negara di dunia yang diingatinya.
Ryan berkata, “dia boleh menyenaraikan setiap negara di dunia dan bendera mereka, ibu kota mereka dan di mana mereka berada. Dia boleh memberitahu nama negara dengan melihat pada pelan negara terebut.
“Melihat dia berkembang seperti ini sangat cemerlang. Kami rasa kami tidak layak menerima anugerah sebegitu.
“Kami hanya cuba menyebarkan kesedaran tentang keadaannya, kerana kami sekeluarga sendiri melihatnya pada pandangan yang berbeza.
“Sebastian tidak boleh bercakap dengan kata-katanya, ia adalah agak sukar untuknya. Dia mempunyai semua pemikiran ini, tetapi dia berjuang untuk berkomunikasi dengan cara itu.
“Dia mempunyai fikiran yang luar biasa, tetapi dia perlu menulisnya dan dia boleh memberitahu anda dengan tepat tentang perasaannya.
“Jika dia jatuh dan mencederakan dirinya sendiri, sukar untuk dia memberitahu kami, jadi ia boleh menjadi sesuatu yang sangat sukar.
“Kami mahu orang ramai tahu bahawa setiap kanak-kanak tidak sama. Tetapi mereka semua bijak.
“Sebastian tidak boleh memakai kasutnya sendiri, tetapi dia boleh menulis dalam bahasa Rusia.”
Ketika Sebastian dilahirkan pada 19 Julai 2016 keadaan dengan pantas bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia dan ibunya berada dalam keadaan kritikal apabila terdapat masalah pada saluran kelahiran.
Pakar perubatan memberi amaran kepada Ryan bahawa pasangan itu tidak akan bertahan jika bayi itu tidak dilahirkan dalam masa 30 minit.
Ryan berkata, “saya tidak percaya apa yang berlaku. Ia adalah hari yang paling teruk dalam hidup saya, tetapi juga yang terbaik kerana Sebastian dilahirkan.
“Penggera mula berbunyi. Jururawat pun meminta saya untuk keluar dari bilik.
“Saya berhenti menangis dan kemudian mereka memberitahu saya yang saya boleh memotong tali pusat kerana bayi baik-baik saja. Dia berada dalam keadaan biru apabila saya melihatnya, seolah-olah kelihatan tidak bernyawa.”
Hebatnya, kedua-dua ibu dan anak lelakinya selamat tetapi Sebastian terpaksa diletakkan pada ventilator di unit rawatan rapi di Hospital Presbyterian Albuquerque, di mana dia duduk di situ selama sembilan hari.
Ryan diberitahu anaknya mungkin akan mengalami masalah perkembangan yang ketara, tetapi dia tidak bimbang sama sekali, kerana dia hanya mahu menggendong bayinya.
Dia berkata, “apabila kami diberitahu dia mungkin mengalami kesukaran, kami langsung tidak bimbang. Kami hanya mahu dia baik-baik saja.
“Sebaik sahaja kami membawanya pulang, kami mula menjadi ibu bapa yang paranoid yang sentiasa memastikan dia masih bernafas.
Sebastian hanya mula merangkak ketika dia berumur sembilan bulan dan tidak boleh berjalan sehingga dia hampir dua tahun.
Walaupun bergelut dengan kelewatan pertuturan, anak yang peka itu mudah dilatih, kerana ibu bapanya yang cepat berfikir mula menggunakan huruf kayu untuk mengeja arahan.
“Memandangkan dia bercakap lambat, permainan dan teka-teki ini adalah cara saya boleh berkomunikasi dengan anak saya.
“Begitulah kami melatihnya untuk ke tandas. Kami menulisnya. Kami menyuruhnya membuang air kecil di dalam tandas.
“Kami juga akan menulis soalan seperti apa yang dia mahu makan dan dia akan memberitahu kami.
“Kini dia boleh memberitahu kami apa sahaja dengan perkataan bertulis. Begitulah cara kami mengajarnya.”
Ryan pada mulanya cuba melibatkan diri dalam aktiviti bapa-anak yang lebih ‘tradisional’ bersama Sebastian, seperti bermain dengan mainan atau membaling bola, tetapi dia menyedari bahawa minat sebenar anak lelakinya itu ialah membaca.
Pada Krismas pertama Sebastian pada 2018, dia menerima hadiah teka-teki abjad Rusia dan dia sangat gembira.
“Krismas pertamanya, kami memberinya teka-teki abjad Rusia dan dia bertindak balas seperti kanak-kanak yang menerima basikal kegemarannya.
“Dia hanya suka membaca dan dia menjadi benar-benar taksub dengannya.”
Daripada bermain dengan mainan, Ryan berkomunikasi dengan Sebastian dengan memberinya cabaran dalam ejaan, permainan tekaan logo atau kuiz fon, di mana dia menaip setiap fon pada Microsoft Word.
Berbekalkan ilmu yang dipelajari daripada ratusan buku yang dimilikinya, Sebastian masih belum kalah dengan cabaran yang diberikan kepadanya.
Ryan berkata, “dia sangat, sangat bersemangat. Kami cuba mengajaknya bermain trak dan kereta, tetapi ia bukan yang dia mahu. Apa yang dia pentingkan ialah belajar. Dia mempunyai banyak mainan, tetapi semua itu hanya diselaputi habuk.
“Apabila mereka melihat apa yang dia boleh lakukan, saya bimbang orang fikir kami memaksa dia untuk belajar. Tapi itu semua adalah apa yang dilakukan sendiri.
“Belajar adalah versinya bermain dengan dinosaur mainan. Dia suka cabaran mengeja, meneka logo, atau menulis fon.”
Dan Ryan berkata Sebastian mengajarnya sesuatu yang baru setiap hari.
“Dia tahu keseluruhan jadual unsur berkala, saya tidak dapat memberitahu anda 10 daripadanya.
“Saya boleh menyenaraikan kebanyakan negara Afrika di dunia sekarang, terima kasih kepadanya. Saya telah belajar banyak hanya daripada bermain dengannya.
“Menjadi bapa Sebastian telah menjadikan saya lebih mempunyai sifat belas kasihan dan lebih memahami tentang orang lain dan juga anak-anak mereka.”
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan Sebastian melalui video-video yang dimuat naik di Instagram atau TikTok di @litttle.einstein.
Kes ulser vulva yang jarang ditemui telah dikesan ke atas remaja perempuan selepas menerima dos kedua suntikan mRNA Pfizer, menurut Journal of Pediatric & Adolescent Gynecology edisi April.
Enam kes remaja perempuan berumur 12 hingga 16 tahun mengalami ulser genital yang menyakitkan dalam tempoh empat hari selepas menerima dos kedua vaksin yang dilaporkan dalam jurnal perubatan itu, termasuk dua kes yang berlaku selepas jangkitan COVID-19.
Ini adalah kali pertama kes ulser vulva di kalangan remaja dan wanita muda dibangkit serta dibincangkan dalam kesusasteraan perubatan.
Kanak-kanak perempuan mendapatkan vaksinasi COVID-19 Pfizer di Virginia (Gambar oleh Chip Somodevilla/Getty Images)
Doktor bagi kes-kes ini menyatakan bahawa adalah “penting untuk mengenal pasti dan menerangkan kemungkinan kesan advers untuk membantu menghilangkan keraguan yang mungkin dirasakan oleh sesetengah pesakit tentang menerima vaksin baru.”
Ulser vulva juga dikenali sebagai ulser aphthous vulvar, ulser lipschütz, atau ulser kemaluan akut adalah luka menyakitkan bukan akibat seksual yang terbentuk pada struktur luar alat kelamin wanita, atau vulva. Keadaan ini memberi kesan terutamanya kepada remaja dan wanita muda, tetapi kes wanita yang lebih tua juga telah dilaporkan.
Tidak seperti kudis mulut yang merupakan tindak balas advers vaksin tertentu, termasuk suntikan COVID-19 yang diberikan di Amerika Syarikat, ulser vulva tidak.
Carian mudah pada Sistem Pelaporan Kesan Advers Vaksin (VAERS) Amerika Syarikat untuk ulser aphthous, ulser faraj, ulser vulva dan vaksin COVID-19 Pfizer, menghasilkan 282 jumlah kesan advers setakat 14 April.
Daripada jumlah itu, lebih 40 laporan berkaitan dengan ulser alat kelamin pada remaja dan wanita muda beberapa hari selepas suntikan Pfizer kedua, manakala selebihnya adalah laporan ulser mulut. Beberapa kes juga telah berlaku selepas dos pertama dan ketiga.
Kes paling muda mengalami ulser vulva ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari North Carolina, yang mengalami beberapa luka yang menyakitkan 24 jam selepas suntikan Pfizer keduanya pada 29 Januari 2022. Kanak-kanak ini diuji negatif untuk virus ‘herpes simplex’. Laporan itu tidak menyebut sama ada ujian COVID-19 telah diberikan.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat memberi amaran laporan yang dibuat kepada VAERS tidak semestinya membuktikan punca.
“Walaupun sangat penting dalam memantau keselamatan vaksin, laporan VAERS sahaja tidak boleh digunakan untuk menentukan sama ada vaksin menyebabkan atau menyumbang kepada kesan advers atau penyakit,” tulis CDC.
Laporan kes
Laporan kes pertama menerangkan potensi perkaitan antara perkembangan ulser vulva dan vaksinasi Pfizer ialah seorang pesakit berusia 16 tahun dari Minnesota. Dia mengalami demam, sakit badan, keletihan dan luka faraj dalam masa 24 jam selepas mendapat dos kedua suntikan mRNA COVID-19 Pfizer. Ulser itu menjadi sangat menyakitkan dan pesakit mengalami kesukaran untuk berjalan, membuang air kecil, dan membuang air besar apabila dia dilihat di klinik ginekologi kanak-kanak enam hari selepas vaksinasinya.
Pesakit telah diuji untuk COVID-19, dijangkiti penyakit seksual dan dua virus biasa—virus Epstein-Barr (EBV) dan ‘cytomegalovirus’ (CMV). Setiap ujian adalah negatif kecuali ujian EBV, yang menunjukkan dia mempunyai jangkitan sebelumnya.
Ulser vulva yang diperoleh bukan secara seksual telah dikaitkan dengan beberapa jangkitan virus, termasuk EBV, influenza, dan yang terbaru, COVID-19. Bagaimanapun, berdasarkan pembentangan klinikal pesakit, doktor membuat kesimpulan bahawa ulser itu dikaitkan dengan vaksin mRNA Pfizer.
Tanpa protokol rawatan standard untuk jenis ulser ini, rawatan biasanya melibatkan pemberian ubat oral dan topikal untuk mengawal kesakitan. ‘Sitz bath’ juga dipreskripsi untuk melegakan kesakitan, bengkak, dan simptom lain.
Laporan kes kedua (pdf) membabitkan seorang gadis berusia 14 tahun dari Nebraska yang melaporkan sakit dan luka vulva dua hari selepas dia menerima vaksin Pfizer keduanya. Sebelum mengalami sakit vulva, pesakit mempunyai “simptom sementara tetapi keletihan teruk, sakit badan dan insomnia” 12 jam selepas suntikan mRNA. Semua ujian yang dilakukan, termasuk untuk COVID-19 adalah negatif.
“Kami percaya kes ini menunjukkan kemungkinan hubungan baru antara vaksin Pfizer dan perkembangan ulser aphthous vulvar pada pesakit remaja,” jelas penulis laporan itu.
Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech (Gambar oleh Lars Hagberg/The Canadian Press)
Di Hospital Kanak-Kanak Mercy di Missouri, tiga pesakit perempuan berumur 12 hingga 15 tahun didiagnosis dengan ulser alat kelamin antara Jun hingga September 2021. Ketiga-tiga mereka dihantar ke bilik kecemasan dengan kesakitan dan pelbagai ulser vulva dalam masa 24 hingga 48 jam selepas dos vaksin Pfizer kedua mereka. Mereka diuji negatif untuk ‘cytomegalovirus’ dan virus Epstein-Barr serta tidak terdedah kepada COVID-19 baru-baru ini. Keadaan mereka pulih secara spontan pada minggu ketiga.
Laporan keenam adalah mengenai seorang remaja berusia 16 tahun dari Massachusetts yang mengalami kencing yang menyakitkan, gatal-gatal dan keputihan, serta bengkak pada ‘labial’ empat hari selepas dos kedua vaksin Pfizer. Keesokan harinya, dia datang ke klinik ginekologi dengan ulser vulva. Remaja ini diuji negatif untuk virus herpes simplex 1 dan 2, Epstein-Barr, ‘cytomegalovirus’, dan ‘mycoplasma’ sejenis bakteria.
“Dalam masa pandemik ini, ujian untuk jangkitan COVID-19 atau pertanyaan tentang vaksinasi COVID-19 baru-baru ini harus dipertimbangkan kepada semua wanita muda yang mengalami ulser alat kelamin akut,” kata pengarang laporan kes itu.
Kesemua enam pesakit tidak mempunyai kesan advers terhadap suntikan Pfizer pertama mereka. Penyelesaian ulser dan kesakitan adalah berbeza-beza untuk setiap pesakit, antara satu minggu hingga tiga minggu dengan ubat-ubatan dan penjagaan sokongan yang lain.
Pfizer tidak memberi maklum balas atas pertanyaan The Epoch Times untuk mendapatkan komen.
Perbicaraan Rumah Bonda – Bella, menjadi tumpuan sejak beberapa hari lalu, melibatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd Razali, yang telah didakwa mengabai dan mendera Bella, seorang remaja berusia 13 tahun yang menghidap Sindrom Down di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Bagaimanapun, fokus perbicaraan itu bukan sahaja kepada prosiding mahkamah, malahan gambar terbaru yang dimuat naik peguam Siti Bainun yang menarik perhatian warganet, mencetuskan kemarahan ketika melihat bagaimana kedua-dua peguam dan anak guam mempunyai masa untuk bergambar sambil ada yang memaparkan cinta mini dalam gambar mereka.
Jelas gelisah, para warganet mula membidas pemilik Rumah Bonda dan pasukan peguamnya, yang mana termasuk Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Binti Bustamam iaitu isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim kini terpanggil menyatakan hasrat mahu terlibat sama dalam pembelaan dan keadilan buat Bella.
Memulakan dengan #justiceforbella menerusi akaun Instagram miliknya, Che’ Puan Khaleeda bermula dengan berkongsi perbezaan ketara pembelaan buat mangsa dan tertuduh. Beliau ternyata sangat terkesan dengan nasib menimpa Bella yang kini berada dibawah jagaan pusat kebajikan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
YM Che’ Puan Khaleeda menulis, “Saya akan melakukan segala-galanya dengan kuasa yang saya ada untuk mendapatkan keadilan untuk Bella.”
“Saya jelak dan letih melihat pengecut yang menganggap mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu kepada kanak-kanak yang tidak berdaya ini dan melarikan diri.”
“Anda boleh bersembunyi di belakang tentera peguam anda, tetapi pembalasan akhirnya akan memukul anda dengan teruk di dunia dan akhirat.”
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) April 16, 2022
Penderaan ke atas Bella adalah tidak terperi
Mengikut pendedahan saksi, sebahagian daripada penderaan yang dialami oleh Bella termasuk:
Dipukul dengan penyangkut baju sehingga patah;
Dikurung dalam bilik dan tidak dibenarkan bermain dengan kawan-kawan lain;
Dipaksa berdiri hadap dinding dari jam 8 pagi hingga penghuni masuk tidur;
Disimbah air panas dengan kerap;
Dipaksa makan najis sendiri, kerana terlalu takut Bella makan sehingga muntah. Namun, dia akan dipaksa untuk makan lagi; dan
Bella dilucutkan pakaian, diikat dan dibaringkan sebelum dicurahkan air panas berwap daripada mesin penapis air pada bahagian tertentu.
Ramai yang terharu dan sebak apabila membaca kenyataan daripada YM Che’ Puan Khaleeda. Tidak kurang juga ada yang mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sanggup bersama-sama membela nasib Bella.
Siti Bainun, 30 tahun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pertuduhan ke atas Siti Bainun mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella. Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini. pic.twitter.com/TEDzwfa96L
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) April 16, 2022
Dalam perkembangan terbaru, Tunku Mahkota Johor menerusi ciapan di Twitter memaklumkan baginda telah berhubung dan berbincang dengan barisan peguamnya mengenai kes penderaan Bella.