Sekumpulan penggubal undang-undang antarabangsa telah meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat dakwaan pembunuhan beramai-ramai terhadap Uighur dan etnik minoriti lain di China, kata Perikatan Antara Parlimen mengenai China (IPAC).
Cadangan itu diminta ketika sesi ke-47 Majlis Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) yang bermula di Geneva pada 21 Jun lalu.
Dalam surat kepada Presiden OHCHR, Nazhat Shameem Khan bersama 68 orang penggubal undang-undang dari 18 badan perundangan di seluruh dunia mendesak PBB untuk melancarkan suruhanjaya siasatan ke atas Wilayah Autonomi Xinjiang Uighur (XUAR) di China, bagi menyiasat tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Mereka mengatakan bahawa mandat membuat rekomendasi untuk mengakhiri pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang yang dilakukan oleh rejim Parti Komunis China (PKC) perlu dilakukan, di samping perlu melaporkan secara berkala keadaan itu kepada OHCHR.
Surat yang dikoordinasikan oleh IPAC – rangkaian penggubal undang-undang antarabangsa yang mendorong pendirian yang lebih keras terhadap rejim PKC, juga ditujukan kepada menteri luar lapan negara demokratik yang diwakili oleh OHCHR, iaitu United Kingdom, Belanda, Perancis, Jerman, Jepun, Denmark, Itali dan Republik Czech.
Terdapat banyak bukti yang mendokumentasikan penganiayaan kejam rejim PKC terhadap Uighur, Kazakhstan dan etnik minoriti yang dominan beragama Islam di XUAR, termasuk penahanan sesuka hati, kerja paksa, penyiksaan, indoktrinasi politik, penderaan seksual, pensterilan paksa, pengguguran paksa dan dasar kawalan kelahiran yang kejam.
IPAC mengatakan bahawa masyarakat antarabangsa ‘berkewajiban secara undang-undang dan moral’ untuk mencegah pelanggaran hak asasi manusia yang paling mengerikan ini daripada terus terjadi, melalui Konvensyen Pembunuhan Beramai-ramai, yang juga ditandatangani oleh China.
Sir Iain Duncan Smith berucap semasa ulang tahun ke-2 gerakan pro-demokrasi Hong Kong di London pada 12 Jun 2021/The Epoch Times
Anggota parlimen Britain yang juga bekas pemimpin Parti Konservatif, Sir Iain Duncan Smith, mengatakan OHCHR masih belum memenuhi tujuannya.
“Majlis Hak Asasi Manusia PBB ditubuhkan untuk mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia di seluruh dunia. Hari ini, ia digunakan sebagai ‘daun’ untuk rejim autoritarian untuk menyembunyikan pelanggaran hak asasi manusia yang paling mengerikan”, kata Duncan Smith dalam satu kenyataan.
“Kami tidak akan menerima ini. Semakin meningkat bukti yang menunjukkan pembunuhan beramai-ramai dan kejahatan terhadap kemanusiaan yang berlaku di Wilayah Uyghur, PBB mesti bertindak dan mewujudkan siasatan bebas terhadap penyalahgunaan ini”.
Anggota parlimen Jerman, Margarete Bause juga mengatakan bahawa OHCHR telah gagal mengikuti merealisasikan misi ini jika mereka menolak untuk menyiasat tuduhan kejahatan yang berlaku di Xinjiang.
“Hanya Suruhanjaya Siasatan yang diketuai oleh PBB yang dapat memberikan harapan terhadap keadilan bagi Uighur dan mangsa penganiayaan lain di wilayah itu”, katanya.
Anggota parlimen Jepun, Shiori Yamao mengatakan bahawa masyarakat antarabangsa telah menutup mata terlalu lama terhadap laporan mengerikan mengenai pelanggaran hak asasi manusia di XUAR.
“Bulan ini, Majlis Hak Asasi Manusia memiliki kesempatan untuk meletakkan hak ini dan menempatkan Xinjiang pada agenda utama”, katanya.
Michelle Bachelet bercakap mengenai perkembangan hak asasi manusia global semasa sesi Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 21 Jun 2021/AFP
Berucap semasa pembukaan sesi OHCHR, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet mengatakan beliau berharap dapat bersetuju dengan syarat untuk lawatan tahun ini ke China, termasuk ke wilayah Xinjiang.
“Saya terus berbincang dengan China untuk melakukan lawatan, termasuk akses yang bermakna, ke Wilayah Otonomi Xinjiang Uyghur, dan berharap ini dapat dicapai tahun ini, terutama ketika laporan pelanggaran hak asasi manusia yang serius terus muncul,” kata Bachelet.
Ini adalah pertama kalinya Bachelet secara terbuka mencadangkan garis waktu lawatan, yang telah diatur oleh pejabatnya sejak September 2018.
Pada 15 Jun, Parlimen Belgium meluluskan usul yang menyatakan bahawa Uighur menghadapi ‘risiko serius’ pembunuhan beramai-ramai dan mereka menjadi mangsa kejahatan terhadap kemanusiaan oleh PKC.
Senat Czech juuga sebulat suara melancarkan usul pada 10 Jun, dengan menyatakan bahawa perlakuan rejim PKC terhadap Uighur dan minoriti Muslim yang lain adalah kejahatan terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai.
Parlimen di Kanada, Lithuania, Belanda, dan UK semuanya membuat sebutan yang sama. Pada bulan Januari, bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo turut menyatakan tindakan Beijing dalam pembunuhan beramai-ramai di Xinjiang.
Anggota panel Tribunal Uighur semasa sesi pertama perbicaraan di Church House di London pada 4 Jun 2021/AP
Tribunal rakyat di London, yang ditubuhkan untuk menilai sama ada pelanggaran hak Uighur oleh PKC merupakan pembunuhan beramai-ramai, turut mendengar tuduhan berat terhadap pihak berkuasa PKC selama empat hari perbicaraan awal Jun lepas.
Tribunal itu merancang untuk mengadakan perbicaraan selama empat hari pada bulan September dan berharap dapat mengeluarkan penghakimannya pada akhir tahun ini.
Pada masa ini, dua mahkamah antarabangsa yang berpotensi menangani pembunuhan beramai-ramai, telah ‘dilumpuhkan’.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang menangani pembunuhan beramai-ramai, tidak dapat menangani tuduhan pembunuhan beramai-ramai di PKC kerana kuasa veto negara itu dalam Majlis Keselamatan PBB.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa, yang menjadi tempat individu diadili untuk kejahatan berat, memerlukan negara tersebut untuk menjadi penandatangan Statut Rom, memandangkan PKC masih belum menandatanganinya.