Sebuah filem dokumentari yang menonjolkan penderaan pengambilan organ paksa yang berterusan dilakukan oleh rejim China mengharapkan platform yang lebih besar: Anugerah Oscar.
Filem “State Organs” berkisar perjalanan dua keluarga menjejaki insan kesayangan mereka yang hilang di China, kini merupakan salah satu daripada 170 pesaing untuk Anugerah Akademi (Oscar) 2025 untuk Filem Dokumentari Terbaik dan juga Skor Asal Terbaik.
“Kebenaran itu kuasa,” kata penerbit Cindy Song kepada The Epoch Times. Beliau berkata walaupun Parti Komunis China telah berusaha menggunakan kuasa yang ada untuk menutup penganiayaan yang berterusan, filem mereka akan memberi peluang kepada awam untuk mengetahui tentang apa yang berlaku.

Pengambilan organ secara paksa, tindakan mengambil organ individu tanpa kerelaan untuk dijual, berlaku di China secara besar-besaran, menyasarkan tahanan hati nurani seperti pengamal Falun Gong, kepercayaan dengan ajaran kerohanian dan latihan meditasi yang telah berhadapan dengan penganiayaan teruk di China sejak 1999. Bilangan mereka yang mengamalkan Falun Gong adalah kira-kira dalam anggaran 70 juta hingga 100 juta.
“Dari segi kekejaman dan skala, isu ini tidak dapat difahami dan dunia perlu tahu mengenainya,” kata Song.
Filem Kanada itu telah memenangi dua Anugerah Leo untuk Arahan Terbaik dan Skor Muzik Terbaik pada 2023 dalam kategori dokumentari cetera panjang, Anugerah Kecemerlangan di Pertandingan Filem Global The Accolade pada Mac, Anugerah Seni Filem Spirit dan Dokumentari Hak Asasi Manusia Terbaik di Festival Filem Manhattan 2024.
State Organs telah ditayangkan di Taiwan, New York, San Francisco, dan Jepun dengan beberapa penonton terharu selepas menonton filem itu. Tetapi apabila filem itu muncul di pawagam, ia juga menarik perhatian operatif China.
Di Taiwan khususnya, wartawan, penggubal undang-undang dan pihak teater telah menerima ancaman bertubi-tubi yang memberitahu mereka untuk tidak menulis mengenainya, mempromosikan atau menganjurkan tayangan filem itu. Apabila polis tempatan menyiasat, mereka mula menerima gangguan e-mel dan ancaman, yang termasuk kemungkinan pengeboman, tembakan dan penggodaman maklumat peribadi. Semuanya palsu, kata polis.
Kempen itu tidak berjaya, kerana penggubal undang-undang Taiwan menganjurkan tayangan dokumentari berkenaan di majlis perbandaran dan bercakap mengenainya secara terbuka sebagai sokongan.

Jawatankuasa Luar dan Pertahanan Kebangsaan Taiwan menyifatkan gangguan itu sebagai sebahagian daripada kempen pengaruh rejim dan menganjurkan perbincangan mengenainya, meminta pegawai yang bertanggungjawab dalam hal kebudayaan, keselamatan negara dan rentas wilayah untuk maklum balas mereka.
“Kita tidak perlu gentar dengan ancaman di sebalik tabir ini. Kita perlu terus bersuara,” kata Chen Xianwei, seorang penggubal undang-undang Taipei, dalam ucapan pada acara tayangan 30 November yang dianjurkan oleh majlis perbandarannya.
Hung Chien-yi, seorang lagi ahli Majlis Bandaraya Taipei, juga berkata bahawa beliau percaya “setiap negara demokrasi di dunia berhak untuk mengetahuinya.”
Senarai pendek 15 filem dokumentari Anugerah Oscar 2025 untuk undian pencalonan seterusnya telah diadakan pada 17 Disember 2024 dan State Organs tidak tersenarai.