Hari ini ramai yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi popular. Menjadi terkenal di media sosial adalah antara hal yang dikejar-kejar oleh segelintir orang. Apa yang lebih membimbangkan ialah ada yang sanggup melakukan hal-hal yang tidak masuk akal dan berbahaya semata-mata demi kandungan media sosial sekaligus mendapat perhatian ramai.
Antara media sosial yang sering menjadi pilihan ramai kini ialah TikTok. Apa sahaja yang berlaku di dunia hari ini semuanya boleh ditonton dalam bentuk video di TikTok. Cakap sahaja insiden apa, semuanya boleh diakses dengan cepat dan mudah sekali di laman media sosial itu.
Memandangkan TikTok merupakan ‘trend’ hari ini, jadi ramai lah yang berlumba-lumba mencipta kandungan walaupun terpaksa berhadapan dengan bahaya. Baru-baru ini seorang remaja di Indonesia dilaporkan maut selepas melompat dihadapan sebuah lori. Demi menyahut cabaran ‘Malaikat Maut’ remaja tersebut sanggup membahayakan diri sehingga terkorban.
Mereka yang mahu melakukan cabaran tersebut perlu melompat di hadapan lori atau trak yang bergerak laju dengan tujuan untuk ‘menguji’ kecekapan pemandu. Mereka kemudian perlu mengelak daripada dirempuh kenderaan tersebut. Cabaran itu dianggap berjaya jika kenderaan itu sempat berhenti dengan menekan brek dalam keadaan mengejut.
Melalui sebuah ciapan yang dimuat naik di laman Twitter oleh About Tangerang telah mempamerkan video tiga orang remaja melakukan cabaran tersebut dan salah seorang daripada mereka dilanggar lori yang cuba dihentikan. Remaja tersebut dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Aksi nekat remaja menghentikan truk di Jl. Otista, Karawaci, Kota Tangerang telah memakan korban, Jumat (3/6/2022) siang.
"Baru kemarin dirazia, udah buat onar lagi. Mereka kumpul 10 orang lebih. 1 meninggal tertabrak kontainer," ujar warga yang mengirim info melalui Whatsapp. pic.twitter.com/tipWrl30sf
Menurut laporan CNN Indonesia, ini bukan kejadian pertama di mana orang awam meninggal dunia kerana melakukan cabaran tersebut. Tambahan lagi, ‘trend’ tersebut bukanlah sesuatu yang baru di Indonesia.
Dalam kejadian berasingan, seorang lagi ‘TikToker’ maut manakala rakannya pula megalami cedera parah selepas dilanggar lori ketika melakukan cabaran itu.
Sebelum kejadian itu, mangsa telah melakukan cabaran itu sekurang-kurangnya 7 kali dan rakan mendiang akui bahawa mangsa melakukannya untuk menjadi terkenal.
Pihak berkuasa Indonesia juga mengakui bahawa mereka yang melakukan cabaran ini adalah semata-mata untuk menjadi popular selepas video tersebut tular. Walau bagaimanapun ia adalah sebuah cabaran yang sangat berbahaya.
“Daripada penjelasan saksi, niatnya (mangsa) hanyalah untuk menjadi terkenal, kerana ia akan menjadi tular. Itu adalah sesuatu yang berbahaya,” kata pihak berkuasa Indonesia.
Ada banyak kes sejak kebelakangan ini apabila mangsa mendapat notifikasi pemberitahuan transaksi bank tanpa kebenaran dan kemudian wang mereka lesap dalam masa beberapa saat atau minit.
Seorang wanita berusia 29 tahun mendapat kejutan dalam hidupnya apabila wang simpanan berjumlah RM14,360 miliknya dipindahkan daripada akaunnya ke akaun seorang tidak dikenali dalam tempoh satu minit.
Di sebalik penggunaan sistem kebenaran TAC yang meluas, pengguna Facebook Mia Jia Xin dalam hantarannya berkongsi pengalaman sendiri berhadapan insiden ngeri yang berlaku pada 6 Jun 2022.
Wanita ini menceritakan bagaimana lebih RM14,000 wang simpanannya telah lesap dalam masa 60 saat.
Menerusi tangkap skrin, transaksi DuitNow pertama yang tidak dibenarkan berlaku pada jam 8:09 malam yang memindahkan wang Mia berjumlah RM9,000 kepada ‘NASRI BIN ALI’, dan pada jam 08:10 malam, RM5,360 lagi telah dipindahkan.
Mia segera menghubungi banknya, Public Bank dan talian terputus tiga kali sebelum akhirnya berjaya mendapatkan wakil pelanggan bank itu, yang memberitahu mereka akan menyerahkan kesnya kepada jabatan yang betul.
Syukurlah, Mia menerima panggilan daripada pengurus kes yang menyatakan situasi itu akan diambil tindakan segera dan keputusannya akan diketahui dalam masa dua minggu.
Mia turut menjelaskan yang dia tidak mengklik mana-mana pautan ‘phishing’ atau memuat turun sebarang aplikasi berbahaya ke dalam telefonnya.
“Satu-satunya perkara yang berlaku sebelum digodam, saya menggunakan Aplikasi Perbankan Dalam Talian PBe untuk membayar ansuran kad kredit saya,” tulisnya.
Melihat kepada komen dalam hantaran itu, nampaknya masalah ini turut menimpa beberapa pemegang akaun Public Bank lain.
Sebelum ini, tular Maybank Berhad ada mengeluarkan satu amaran di media sosial mengenai aplikasi Android dan laman web Maybank2u yang palsu mengandungi Malware untuk mencuri data pengguna.
Aplikasi ini boleh mengakses sebarang SMS yang dihantar ke telefon pintar anda, yang mana tujuan utamanya adalah untuk mendapatkan nombor TAC anda bagi melakukan transaksi perbankan internet.
Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) memberi amaran mengenai penipuan ini yang dikenali sebagai SMSSpy yang menggunakan dua teknik untuk memperdaya mangsa dengan memuat turun aplikasi berbahaya menggunakan penyamaran Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang seperti PDRM dan LHDN serta iklan laman web perkhidmatan palsu di Facebook untuk mencuri data pengguna.
Antara laman web palsu yang dikesan ialah Grabmaid, Maid4u, YourMaid, Maideasy, MaidACall, Maria’s Cleaning dan MyMaidKL.
Apa pun, semua kenalah berhati-hati ketika menggunakan perbankan atas talian, dan diharap Mia boleh mendapatkan kesemua wang yang dicuri ‘Nasri bin Ali’ itu kembali.
Kerajaan Malaysia bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada 8 Jun lalu.
Katanya, Jemaah Menteri juga bersetuju cadangan hukuman gantian diteliti dan dikaji dengan lanjut, ke atas 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.
“Kajian lanjut itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian dan jabatan berkepentingan,” katanya dalam kenyataan media.
— Wan Junaidi Tuanku Jaafar_Official (@dswjtj) June 10, 2022
Kerajaan juga akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah, antaranya seperti pewujudan prosedur pra-penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, dan pembangunan garis panduan penghukuman.
Turut akan dikaji ialah penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan, dan pelaksanaan hukuman berdasarkan keadilan restoratif.
Apakah kesalahan-kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori yang akan dimansuhkan dan digantikan dengan hukuman gantian oleh Kerajaan? Saya telah menyediakan jadual ini untuk rujukan mudah semua pihak. pic.twitter.com/8iQsq6gtDh
Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dianggotai pakar bidang perundangan seperti bekas hakim besar Malaya, bekas peguam cara negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada institusi pengajian tinggi awam dan pakar kajian jenayah.
Jawatankuasa itu diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum.
Maklumat dan kandungan sumbangan Pakar Perubatan Huang Jingren, Hospital Perubatan Tradisional Cina Taipei (disunting dan dikemaskini oleh Azian Basri)
Masalah lumpuh muka perlu diambil perhatian. Ini kerana apabila berlaku pergerakan otot muka yang terhad menyebabkan mulut dan mata menjadi tidak simetri atau senget.
Lumpuh muka ditakrifkan sebagai kehilangan sebahagian atau semua pergerakan sukarela otot muka. Keadaan ini terjadi kerana kerosakan sementara atau kekal saraf fasial.
Penyanyi Justin Bieber mendedahkan kesukaran untuk mengunyah makanan selepas mengalami lumpuh muka akibat sindrom Ramsay Hunt dan mengumumkan terpaksa membatalkan konsert jelajah Justice World Tour pada 11 Jun 2022. (Tangkap skrin ihsan @justinbieber/Instagram)
Lumpuh muka biasa berlaku pada sebelah muka sahaja, tetapi boleh juga melibatkan kedua belah muka, atau bahagian bawah muka.
Punca yang boleh membuatkan seseorang mengalami lumpuh muka, antaranya demam berpanjangan lebih seminggu, darah tinggi, stres dan tidak cukup rehat, banyak berfikir, kolestrol tinggi dan sakit dalam perut.
Lumpuh muka adalah penyakit yang dicirikan oleh mulut dan mata kelihatan terjatuh atau condong ke bawah di satu sisi muka, yang dipanggil sisihan mulut dan mata dalam Perubatan Tradisional Cina. Secara klinikal dibahagikan kepada dua jenis: pusat dan sisi (periferal):
Juga dikenali kelumpuhan atau kelemahan otot di bahagian sebelah sisi muka dalam perubatan Barat, paling biasa dilihat pada gejala Bell’s Palsy. Ia boleh berlaku dalam mana-mana kumpulan umur, dan kebanyakannya adalah pesakit berumur antara 20 hingga 40 tahun.
Berlaku akibat kecederaan saraf fasial di kawasan muka tanpa punca diketahui yang boleh menyebabkan kelemahan otot ekspresi wajah dan kelopak mata tidak dapat ditutup dengan rapat pada sebelah muka yang terlibat, namun boleh pulih dalam jangka masa 14 hari sehingga 6 bulan.
Ia juga disebabkan oleh keradangan bukan luka diakibatkan oleh virus herpes simplex, seperti Sindrom Ramsay Hunt.
Lain-lain punca lumpuh muka adalah akibat kencing manis dan darah tinggi, penyakit jangkitan telinga pada bahagian tengah, lesi di dasar tengkorak, trauma kelahiran bayi, lesi pada kelenjar parotid, trauma pada cabang saraf fasial dan kecederaan saraf fasial semasa suntikan bius setempat di rahang bawah.
Permulaan lumpuh muka biasanya muncul tiba-tiba yang mungkin teruk, dan sesetengah pesakit mengalami sakit pada dalam dan belakang telinga, telinga berdesing, kepekaan pada bunyi, sehingga boleh hilang pendengaran seketika serta sakit di belakang leher yang dialami beberapa hari sebelum berlaku lumpuh muka.
1) Simptom otot muka pada permulaan awal lumpuh muka adalah seperti berikut:
Senyuman, pertuturan dan keupayaan untuk meniup biasanya terjejas
Otot muka terasa berat atau menjadi lemah
Muka terasa tegang dan ditarik ke sebelah muka yang sihat semasa tersenyum
Muka kelihatan tidak simetri atau tidak sekata
Ketidakupayaan untuk menunjukkan ekspresi wajah
Kesukaran ketika makan dan minum
Kesukaran mengawal pengeluaran air liur atau air liur meleleh
Tidak boleh bercakap dengan jelas atau lidah terasa kebas
Mata tidak boleh ditutup rapat, menjadi kering atau berair
2) Perkembangan lumpuh muka pada peringkat awal dalam kebanyakan kes
Apabila membasuh muka pada waktu pagi, didapati sebelah garisan dahi menjadi lebih ringan atau hilang, mata sukar ditutup rapat, sudut mulut senget di bahagian kerosakan saraf berlaku, sudut mulut di atas bahagian yang terjejas tidak boleh dikawal apabila berkumur atau air liur meleleh semasa memberus gigi.
Apabila makan, makanan sering tertinggal di celah gigi dan di sebelah bahagian otot terjejas. Mereka yang mempunyai rasa sakit lebih serius mungkin mengalami sakit muka sebelah sisi, menjadi terlalu sensitif kepada bunyi, dan menyedari kehilangan deria rasa.
Penyakit ini biasanya memuncak dalam masa 3 hingga 4 hari, dan beransur pulih selepas seminggu. Sesetengah pesakit dengan lumpuh muka mungkin disertai dengan sakit pada dalam dan belakang telinga serta rasa sakit kepala atau pening.
3) Selepas mengalami lumpuh muka, perhatian khusus harus diberikan kepada penjagaan harian, terutamanya dietpemakanan.
1. Tambahan kalsium
Kalsium yang bermanfaat untuk tulang juga menggalakkan fungsi otot dan saraf muka yang normal. Jadi makanan tambahan dengan kalsium adalah sangat penting. Kekacang, sayuran hijau, kuning telur, rumpai laut, bijan, buah-buahan, lobak merah, produk tenusu, dan lain-lain kaya dengan kalsium.
Menambah unsur makanan kumpulan vitamin B juga merupakan perkara yang perlu diberi perhatian seperti B1, B2, B12. Makanan kaya vitamin B adalah seperti ketumbar, tomato, kundur, tembikai, timun, betik, epal, nanas, pir, pic, tembikai, aprikot, pisang kaki dan anggur. Vitamin B membantu penyembuhan penghantar sel otak lebih baik.
3. Makan lebih banyak sayur-sayuran segar dan produk soya
Diet perlu dengan makanan lebih banyak sayur-sayuran segar, bijirin dan kekacang seperti produk kacang soya. Pilih makanan dengan menambah labu, jagung, bawang, daging tanpa lemak, buah hawthorn, rumpai laut, jujube, peria, petola, kundur, timun, tembikai susu, dan pisang.
Seperti makanan bercili, makanan periuk panas dan pedas, teh pekat, dan daging kambing. Juga elakkan makanan sejuk, tinggi lemak dan kalori. Jangan merokok dan minum minuman keras.
Kaedah rawatan Perubatan Tradisional Cina untuk lumpuh muka
Lumpuh muka adalah salah satu penyakit dominan yang diiktiraf oleh bidang akupunktur. Terapi akupunktur kini merupakan kaedah pilihan yang selamat dan berkesan untuk rawatan penyakit ini. Lebih awal masa rawatan diambil, lebih baik untuk sembuh. Akupunktur boleh digunakan untuk merawat penyakit lumpuh muka.
Dalam Perubatan Tradisional Cina, penyakit lumpuh muka seperti Bell’s Palsy boleh dirawat dengan menggunakan kombinasi herba dan akupuntur. Di peringkat permulaan, pengamal perubatan cina akan mempreskripsi formulasi herba untuk merawat jangkitan kuman atau virus.
Kemudian pesakit akan diberikan formulasi herba untuk membaiki dan mempercepatkan pemulihan saraf dan otot muka. Dan pada masa sama pesakit perlu menjalani rawatan akupuntur untuk melancarkan perjalanan darah dan Qi ke otot muka bagi menguatkan otot muka.
Pesakit perlu memahami tempoh emas rawatan kerana ia perlu seawal mungkin, dengan memberi perhatian ketika memastikan muka sentiasa hangat, mengelakkan rangsangan angin dan kesejukan seperti jangan terdedah terlalu lama dalam penyaman udara dan angin sejuk dari kipas, memberi lebih perhatian untuk berehat, tidak berjaga lewat malam, merawat keletihan, juga mengekalkan mood selesa demi memastikan imuniti diri sendiri.
Mesin permainan anak patung kanak-kanak (K.B. Fun) atau ‘Claw Machine’ atau yang seumpamanya adalah termasuk dalam kategori perjudian (al-Maisir), dan hukumnya haram, demikian jelas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Katanya menerusi hantaran di Facebook, ini kerana terdapat unsur pertaruhan melibatkan wang yang mana jika berjaya, pemainnya akan memperolehi barang di dalam mesin tersebut dan jika gagal mereka akan kerugian wang.
Ia juga dilihat mempunyai unsur penipuan dan memperdayakan kanak-kanak untuk tujuan keuntungan, katanya.
Malah beliau turut menitip pesan agar umat Islam di negeri Perlis hendaklah menjauhkan diri daripada terlibat dengan permainan pertaruhan di mesin seumpama itu kerana ia termasuk di dalam dosa besar.
Dalam pada itu, beliau berkata seorang Muslim juga tidak boleh membantu menguruskan mesin perjudian berkenaan kerana ia termasuk memakan harta secara batil.
Tidak salah kepada mereka yang pemurah dan ikhlas untuk memberi sedekah untuk golongan yang memerlukan, seperti kepada para pengemis yang menadah tangan mereka seharian meminta wang. Kerana tangan yang memberi itu adalah lebih baik daripada yang menerima.
Si pemberi sedekah yang simpati telah menyelesaikan tanggungjawab mereka dengan hati tulus ikhlas dan akan diberkati dengan kemurahan rezeki, tetapi bagaimana sekiranya si peminta sedekah itu tidak ikhlas dengan niatnya?
Anda mungkin akan rasa tak sangka ya boleh jadi kaya, apabila mendengar kisah seorang pengemis dari Indonesia memiliki wang simpanan yang banyak dalam akaun di bank hasil daripada ‘pekerjaan sebagai pengemis’.
Pengemis itu yang dikenali sebagai Lutfi Haryono dikatakan berjaya menyimpan wang lebih RM149,000 (490 juta rupiah) dalam dua akaun bank sekali gus menimbulkan syak wasangka orang ramai dan para warganet.
Tribunnews melaporkan pengemis kaya berusia 47 tahun yang berasal dari bandar Gorontalo itu telah mengemis selama 13 tahun untuk mengumpulkan wang yang sebanyak itu. Bak kata orang, sikit-sikit lama-lama jadi bukit la bukan?
Gambar oleh Kompas TV
Pada mulanya, kisah Lutfi menjadi tular dalam perkongsian di media sosial yang memaparkan dia bergambar dengan dua buku simpanan banknya iaitu Bank Mandiri dan Bank Sulutgo dengan jumlah yang memeranjatkan melalui pekerjaannya sebagai pengemis.
Akibatnya lelaki itu telah dipanggil pihak polis dari Balai Polis Lurah Ipilo, Gorontalo untuk memberikan keterangan bagi menjelaskan tentang wang simpanan di dalam akaun bank miliknya itu.
Jurucakap polis memberitahu lelaki itu mengaku wang di dalam akaun bank tersebut adalah wang simpanannya yang dikumpul olehnya selama ini, namun tidak menafikan ia juga adalah wang daripada hasil mengemis.
Menurut Lutfi, dia mula mengemis setelah berpisah dengan isterinya dan “suka memaksa penduduk setempat untuk mendapatkan wang.”
Wang simpanan itu tidak kesemuanya adalah hasil mengemis kerana Lutfi menjelaskan dia pernah bekerja di kedai makan dan kedai barangan sebelum menjadi pengemis, yang sejak itu meminta simpati orang ramai untuk memberinya wang.
Hasil wang simpanan yang dikumpul selama 13 tahun itu juga telah digunakan untuk keperluan peribadi seperti membina rumah.
Selepas kisah pengemis kaya Lutfi Haryono menjadi tular, lelaki popular ini berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya dengan mengemis dan memberitahu akan memulakan pekerjaan lebih berkat iaitu dengan membuka warung makan sebagai sumber pendapatan.
Harap-harap Lutfi menunaikan janji dan tidak mengemis lagi.
Satu kajian yang dijalankan mengenai vaksin COVID-19 telah mencadangkan hubungan antara vaksin dengan penyakit dikenali sebagai Creutzfeldt-Jakob (CJD), iaitu kondisi otak yang jarang berlaku dan boleh membawa maut.
Kajian pracetak dari Perancis berkenaan mencadangkan vaksin Pfizer, Moderna, dan AstraZeneca mungkin telah menyumbang kepada kemunculan jenis baharu sporadik CJD yang jauh lebih agresif dan berkembang pesat berbanding bentuk tradisional penyakit itu.
CJD disebabkan oleh keadaan tidak normal protein dalam otak yang dikenali prion. Protein yang wujud secara semula jadi biasanya tidak berbahaya, tetapi apabila ia menjadi berpenyakit atau tersalah lipatan, maka ia menyebabkan prion berdekatan juga menjadi salah bentuk, yang membawa kepada kemerosotan tisu otak dan akhirnya membawa maut.
Gambar Hiasan (Robert Avgustin/Shutterstock)
Penyakit ini tidak boleh diubati, kerana apabila satu prion dijangkiti, ia terus membiak ke prion lain, dan pada masa ini tiada sebarang rawatan yang mampu menghentikan perkembangannya.
Majoriti penghidap CJD mempunyai jenis sporadik, bermakna mereka dijangkiti tanpa sebab yang jelas. Hanya sebilangan kecil individu yang didiagnos kerana keturunan.
CJD yang sporadik, walaupun berlaku secara rawak, telah dikaitkan dengan penggunaan daging yang tercemar, seperti daging lembu daripada lembu yang telah dijangkiti prion berpenyakit.
Walaupun varian Omicron tidak membawa lingkungan prion dalam spike protein, varian Wuhan yang asal mempunyai satu. Oleh itu, apabila maklumat gen spike protein varian Wuhan dijadikan vaksin sebagai sebahagian daripada vaksin mRNA dan DNA adenoviral, lingkungan prion juga telah digabungkan. Kajian Amerika Syarikat yang diterbitkan dalam jurnal Microorganisms menunjukkan bahagian prion mampu berinteraksi dengan sel manusia.
Selepas pesakit mengambil vaksin mRNA daripada Pfizer atau Moderna, mRNA secara semula jadi dimasukkan ke dalam sel individu itu, yang kemudiannya menggunakan arahan mRNA untuk menghasilkan spike protein sintetik. Ini telah memperdaya sel untuk mempercayai bahawa mereka telah dijangkiti supaya mereka dapat mencipta memori imunologi menentang komponen coronavirus.
Untuk vaksinAstraZeneca, yang menggunakan platform vektor adenoviral, DNA spike protein dibawa ke dalam sel melalui vektor adenoviral dan kemudian ke dalam nukleus, di mana semua DNA manusia disimpan. Dari situ, DNA ditranskripsikan ke dalam mRNA dan dijadikan spike protein.
Walaupun organisasi kesihatan yang utama menyatakan bahan genetik daripada vaksin tidak digabungkan ke dalam DNA manusia, kajian mRNA yang dijalankan ke atas sel manusia di makmal mendapati mRNA boleh ditranskripsikan ke dalam DNA dan kemudiannya dimasukkan ke dalam genom manusia.
Malangnya, proses biologi menterjemah maklumat mRNA kepada protein tidak sempurna dan tidak imun terhadap kesilapan, dan salah lipatan protein boleh berlaku.
Satu lagi kajian Amerika Syarikat yang diterbitkan dalam International Journal of Vaccine Theory, Practice, and Research, membuat spekulasi bahawa spike protein yang salah lipatan boleh, dan seterusnya mewujudkan bahagian prion yang salah lipatan yang mungkin boleh berinteraksi dengan prion yang sihat untuk menyebabkan kerosakan, yang membawa kepada penyakit CJD.
Kajian terdahulu mengenai CJD dalam kumpulan kanibalistik menunjukkan CJD boleh kekal terpendam selepas jangkitan selama kira-kira 10 tahun atau lebih. Walau bagaimanapun, pengarang kajian Perancis itu mendapati kes CJD yang diperhatikan ke atas individu yang telah menerima vaksin COVID-19 adalah lebih cepat dalam permulaan, dengan gejala muncul dalam masa 11.38 hari selepas menerima vaksinasi.
Kajian semakan rakan penyelidik di Turki (pdf) mengenal pasti kes tiba-tiba CJD ke atas wanita berusia 82 tahun yang gejalanya muncul sehari selepas menerima dos pertama vaksin Sinovac juga dikenali CoronaVac. Tidak seperti vaksin berasaskan mRNA dan vektor, Sinovac ialah vaksin yang tidak diaktifkan, yang bermaksud ia mengandungi versi coronavirus asal yang tidak diaktifkan.
Kajian di Perancis mengenal pasti 26 kes di seluruh Eropah dan Amerika Syarikat. Dua puluh individu telah meninggal dunia pada masa kajian itu ditulis, dengan kematian berlaku secara purata adalah 4.76 bulan selepas menerima vaksin.
“Ini mengesahkan sifat yang sangat berbeza daripada bentuk baru CJD, sedangkan bentuk klasik memerlukan beberapa dekad,” tulis para penyelidik.
Pengarang utama kajian itu, Dr Jean-Claude Perez, memaklumkan The Epoch Times pada 6 Jun melalui e-mel bahawa kesemua 26 pesakit telah meninggal dunia.
Masih ingat dengan cita-cita anda ketika kecil dahulu? Jika ditanya tentang cita-cita pasti majoritinya mahukan kerjaya yang besar dan gah. Ada yang mahu jadi ahli perniagaan berjaya, ada yang mahu menjadi pakar bedah, ada yang mahu menjadi guru, tentera dan sebagainya.
Rasanya sukar untuk mendengar anak-anak kecil mahu menjadi pengutip sampah, sebuah pekerjaan biasa yang hanya dipandang sebelah mata oleh segelintir orang.
Namun, berbeza dengan anak kecil ini apabila dia punya cita-cita yang sangat mulia iaitu untuk menjadi seorang pengutip sampah apabila dewasa kelak. Sangat mengagumkan bukan?
Hal ini diceritakan sendiri oleh ibu kepada kanak-kanak ini, Khadijah binti Abdul Rahim yang juga dikenali sebagai Eyja Rahim melalui sebuah video yang dimuat naik ke laman sosial TikTok. Video tersebut memperlihatkan seorang anak kecilnya yang sangat teruja untuk bergambar dengan seorang pengutip sampah.
Dalam klip video berkenaa si ibu memberitahu bahawa setiap kali anak kecilnya mendengar lori sampah, dia akan meminta ibu bapanya pergi mencari pemungut sampah yang bekerja ketika itu.
“Dia berkata, apabila dia besar, dia mahu menjadi pemungut sampah.”
Setelah sekian lama menunggu, akhirnya anak kecil itu dapat juga bertemu dengan ‘hero’nya malah sangat teruja untuk bergambar bersama-sama. Lihat sahaja gayanya di dalam video tersebut, jelas sekali dia sangat gembira bertemu dengan pekerja kebersihan tersebut.
Menurut si ibu, anak kecilnya itu sangat minat terhadap terhadap lori sampah bermula sejak dia berusia tiga tahun lagi.
“Pada mulanya dia mahu menjadi polis, bomba, askar, tetapi apabila dia berumur tiga tahun, dia menunjukkan minat terhadap lori sampah itu.”
“Kami tinggal bersama ibu bapa kami di sebuah rumah teres dan trak itu akan lalu setiap pagi. Sejak itu, dia mempunyai minat yang tidak berbelah bahagi mengenainya.”
Selain itu, ibu bapa itu memberitahu bahawa mereka tidak pernah menghalang budak lelaki berusia lima tahun itu daripada menyukai lori sampah.
“Fikirannya masih berkembang dan kami hanya memberi input positif kepadanya. Kadang-kadang kita memarahinya apabila dia terlalu taksub sehingga menangis.”
Setiap kali bapanya ada, dia akan membawa anaknya itu melihat trak yang lalu.
Dalam video lain, si kecil itu memberitahu bahawa tugas seorang pemungut sampah adalah sukar dan dia mahu membantu mereka. Tidak hanya itu, dia juga mahu memberi makanan kepada mereka.
Melihat apa yang dilakukan membuatkan ramai netizen kagum dengan mereka sekeluarga. Ramai yang memuji Eyja dan suaminya kerana telah membesarkan anak mereka dengan baik.
Selain itu, ada juga yang turut menitipkan doa buat si kecil itu supaya kelak membesar menjadi anak yang baik dan soleh. Ada juga yang terharu kerana si kecil itu sangat menghargai usaha yang selama ini dilakukan oleh mereka yang bekerja sebagai pengutip sampah.
Pada 4 Jun 2022 menandakan ulang tahun ke-33 “Insiden Tiananmen 4 Jun”, dan warga maya di China memperingatinya di celah-celah saluran internet yang ditapis hebat.
Perkataan “Tugas saya” (ini kewajipan saya) yang dikatakan oleh pelajar yang memakai tali lilit kepala dengan kain merah dan menunggang basikal ketika itu menjadi slogan kenang-kenangan, dan ada kalangan warga maya menggunakan basikal untuk menyatakannya dalam hantaran mereka.
Antara yang paling hebat adalah di Twitter luar negara, di mana terdapat banyak laporan media dan perbincangan di kalangan warga maya mengenai peringatan 4 Jun, serta ciptaan berseni dan artistik yang berkaitan. Tetapi di Weibo, “4 Jun” dan “itu tugas saya” kedua-duanya adalah kata kunci carian yang disekat.
Tiga puluh tiga tahun lalu, seorang pelajar yang tidak dinamakan menyertai protes itu, memakai ikat kain merah di kepalanya dan menunggang basikal ke tapak protes, ditanya oleh jurugambar mengapa dia berbuat demikian. Dia melambai tangan dengan teruja dan menjawab dalam Bahasa Inggeris: “It’s my duty” (Ini tugas saya).
Adegan ini muncul dalam dokumentari 4 Jun yang dihasilkan oleh BBC pada tahun 2019. Imej pelajar menunggang basikal dan frasa itu juga menjadi simbol 4 Jun.
"Going to March, at Tiananmen Square" – "Why?" "Why? I think it's my duty."
Di Weibo, bermula petang 3 Jun, beberapa warga maya cuba memintas penapisan dengan siaran yang mengandungi “Tugas saya” atau “kewajipan”. Selain itu, siaran yang terdiri daripada emoji basikal turut disiarkan semula dalam jumlah yang besar.
Paparan Skrin Weibo
Pada masa ini, mesin penapisan PKC sedang berusaha sepenuhnya untuk memadamkan siaran Weibo yang mengandungi perkataan “Tugas saya” atau “kewajipan”. Beberapa siaran yang tular cepat telah muncul dari masa ke semasa juga tiba-tiba hilang dalam beberapa minit.
The Epoch Times juga mencuba memetik kata kunci “Ini tugas saya” di Weibo dan tidak dapat melihat sebarang hasil carian.
Malah, seawal petang 3 Jun, Weibo mengehadkan hasil carian untuk kata kunci seperti “pelajar”, “dataran”, “33 tahun lalu” dan “tukaran musim bunga dan musim panas” pada 1 Jun.
Menurut laporan pada 2 Jun oleh “China Digital Times” luar negara, pengawal selia Shenzhen dan Xiamen mengeluarkan notis mengenai “aturan penutupan rangkaian dari 20:00 pada 2 Jun hingga 8:00 pada 6 Jun”, yang memerlukan penapisan kandungan untuk “penguatkuasaan baharu tingkatkan nama panggilan pengguna, nama pendua dan profil peribadi untuk menyemak, mengukuhkan pemantauan pertuturan dan meningkatkan kekerapan pemeriksaan maklumat yang disiarkan oleh pengguna seperti dalam ruangan sembang dan siaran,” dan memastikan para petugas bertugas sepanjang masa semasa Festival Perahu Naga, dan mereka perlu bertindak balas kepada arahan penyeliaan atau perubahan mendadak dalam masa 5 hingga 10 minit.
Antaranya, dari jam 10 malam pada 3 Jun hingga 10 malam pada 5 Jun (tempoh penutupan rangkaian internet), pemeriksaan diri dan larangan kandungan sensitif termasuk: semua forum permainan, kawasan Du, pemeriksaan sendiri sama ada terdapat lilin, kereta kebal, 89, 64 atau gabungan emotikon dan kandungan lain berupa nombor, hadiah, grafik, audio dan video.
Beberapa berita melaporkan akaun Weibo “Kedutaan Jerman di China” menyiarkan gambar cahaya lilin pada 10:44 malam pada 3 Jun. Tetapi ciapan itu segera dipadam. Maklumat akaun, bersama bilangan pengikut dan bilangan siaran Weibo yang disiarkan dalam gambar ini adalah sama dengan akaun Weibo rasmi Kedutaan Jerman di China.
Hidangan roti canai amat terkenal kerana ia makanan istimewa rakyat Malaysia yang boleh didapati di mana-mana terutama di restoran dan warung mamak.
Setiap kali memerhatikan abang roti canai atau mamak menebar roti canai, mereka kelihatan santai, tetapi bagi orang biasa, ia bukan kerja yang mudah kerana memerlukan kemahiran serupa tahap pro!
Pernah anda melihat roti canai terbang? Bagi mereka yang sudah biasa makan roti canai di restoran roti canai Roti Terbang Mezan Kampung 6 di Bachang, Melaka, pertunjukan roti terbang sudah menjadi satu acara hiburan yang wajib dipertontonkan sebagai tarikan pelanggan.
Abang-abang penebar roti pro di sini mempamerkan kemahiran mereka melempar dan menyambut tebaran roti canai di hadapan pelanggan ke sana dan ke sini, membuat para pelanggan menjadi kagum dan terhibur.
Walau bagaimanapun, roti canai terbang jika tidak berhati-hati, mungkin akan terlempar ke muka pelanggan..
Seperti terkena kepada pengguna Facebook Marytankh Tan sekeluarga yang berkunjung makan roti canai ke restoran roti terbang Mezan yang terkenal itu tempoh hari dan suaminya menjadi salah seorang pelanggan yang terlempar roti canai itu.
Pada mulanya beberapa penebar membuat persembahan dengan menunjukkan kemahiran membaling dan menyambut tebaran roti canai di hadapan para pelanggan yang memerhati dengan kagum dan penuh minat.
Rakaman video menunjukkan mereka melambung roti canai antara satu sama lain, dan mereka mengambilnya dengan mantap pada mulanya, jadi semua pelanggan tidak dapat mengalihkan pandangan.
Kejutan lagi apabila pemilik restoran Mezan Md Said memberi suami Marytankh RM50, yang menyebabkan mereka menjadi pelanggan paling gembira amat berpuas hati. Tak sangkalah pula, roti terbang ke muka dan dia terima wang kerana ‘sporting join the show’.
Marytankh mendedahkan ini adalah kali pertama mereka pergi ke Restoran Roti Terbang Mezan Kampung 6, dan mereka berdekah melihat muka suaminya jadi tempat ‘landing’ roti canai terbang secara tiba-tiba.
Keluarga bahagia ini menganggapnya sangat lucu, lalu menyiarkan video itu di Facebook.
Dalam pada itu, Mezan menjelaskan roti canai yang digunakan dalam setiap pertunjukan tidak akan dihidangkan kepada pelanggan.
“Lepas buat show, roti canai itu kami terus buang. Kami hanya hidangkan roti canai yang bukan dibuat untuk show dan memastikan ia bersih untuk pelanggan makan,” katanya kepada mStar.