Parlimen Britain pada 21 April 2021 menuduh China melakukan pembunuhan beramai-ramai dan tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap golongan minoriti Uighur di Xinjiang.
China sementara itu menafikannya dan mengatakan bahawa ia adalah penipuan yang dicipta oleh pihak anti-China. Namun pasangan Gary dan Andrea Dyke dari Kanada menjadi saksi bahawa ia bukanlah tuduhan palsu.
Pasangan tersebut yang menetap di Xinjiang selama 10 tahun berkongsikan keadaan sebenar dan pengalaman mereka di sana menerusi simposium yang dianjurkan oleh Muzium Hak Asasi Manusia Kanada, 22 April lalu.
Pasangan tersebut difahamkan menetap di Urumqi sejak tahun 2008, kemudiannya berpindah ke Turpan apabila berlaku rusuhan pada 5 Julai 2009.
Rusuhan itu berpunca daripada pemusnahan perkampungan tradisional Uighur oleh pihak berkuasa dan mereka dipaksa berpindah ke kawasan penempatan baru.
“Kami melihat keganasan mula berlaku dan kami tahu ia petanda yang tidak baik. Semakin banyak sekatan dibuat. Setiap minggu ada sahaja peraturan baru dikenakan”.
Difahamkan bahawa pasangan itu mempunyai kilang membuat baja dan dijual kepada petani tempatan. Mereka mempunyai ramai rakan etnik Uighur.
Keadaan semakin berubah saban tahun. Pada tahun 2017, semakin ramai polis dan penguatkuasa di jalanan dan mengawasi persekitaran.
“Terdapat beberapa sekata halangan keselamatan dalam perjalanan saya ke tempat kerja. Terdapat kamera pengawasan dan alat pengecam wajah di mana-mana”.
Gary turut menceritakan bahawa beliau sering melihat orang Uighur diseret oleh polis. Beliau berpura-pura tidak melihat keadaan itu kerana bimbang polis akan melakukan perkara yang sama padanya.
Terdapat juga beberapa kem ‘pendidikan semula’ di Xinjiang, salah satunya berdekatan kediaman kediaman pasangan yang fasih berbahasa Mandarin dan Uighur itu.
“Anak kawan saya rasa takut apabila genap usia usia 18 tahun kerana bimbang ditangkap dan ditempatkan di kem tersebut”.
Wanita Muslim pula dipaksa membuka hijab dan mendedahkan rambut di khalayak umum. “Mereka tentunya berasa malu dan enggan keluar daripada rumah”, kata Gary dan Andrea.
Malah, terdapat penggera yang akan dibunyikan pada jam 6 setiap pagi untuk mengejutkan semua. Beberapa minit kemudian, pegawai polis akan periksa setiap rumah.
“Suasana di Xinjiang sangat tegang. Pihak berkuasa terus mengetatkan tahap keselamatan. Kami semua juga harus menjalani pemeriksaan keselamatan yang ketat ketika memasuki dan meninggalkan tempat awam”.
Pasangan itu walau bagaimanapun terpaksa meninggalkan Xinjiang pada tahun 2018 kerana pihak berkuasa mengetatkan sekatan visa.
Pasangan Dyke kembali ke Kanada pada tahun 2018. Melihat lebih banyak orang Uighur dianiayai dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lantas memutuskan untuk tidak berdiam diri.
Simposium itu juga disertai oleh sarjana Jerman, Adrian Zenz yang membicarakan tentang keadaan Uighur di Xinjiang. Adrian Zenz mengatakan bahawa strategi pemerintah ke atas kaum Uighur adalah dengan ‘menghapuskan keturunan dan asal usul’ mereka.
Pertamanya, pisahkan ibu bapa dengan anak-anak. Kedua, memindahkan mereka ke wilayah lain menerusi kerja paksa.
Ketiga adalah menggunakan alat kawalan kelahiran yang melibatkan kaum wanita Uighur. Sementara di sekolah dan tadika, terdapat kawat berduri dan alat pengesan dipasang untuk mengawal kanak-kanak.
Adrian Zenz merupakan penyelidik kanan di organisasi hak asasi manusia Amerika, Yayasan Mangsa Komunis. Beliau telah memantau masalah hak asasi manusia di Xinjiang dan menerbitkan laporan yang berkaitan pada masa lalu.
Pada bulan Jun tahun lalu, laporannya menunjukkan bahawa program pemandulan berskala besar dikenalpasti di Xinjiang. Manakala laporan baru yang diterbitkan menunjukkan projek buruh paksa turut disokong oleh pemerintah Xinjiang.
Beijing sering menafikan bahawa mereka telah melanggar hak asasi Uighur dan membantah tuduhan daripada negara-negara Barat mengenai Xinjiang.
Malah Adrian Zenz turut dikenakan sekatan oleh pemerintah China atas tuduhan menfitnah syarikat-syarikat di Xinjiang.