Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah menyemak semula nasihat perjalanannya mengenai wabak terkini iaitu cacar monyet diseluruh dunia dari Tahap 1 kepada Tahap 2.
Menurut maklumat terkini yang disiarkan ke laman sesawang agensi itu, “Kes cacar monyet telah dilaporkan di Eropah, Amerika Utara dan Australia,” sambil menambah bahawa kes yang dilaporkan itu melibatkan lelaki homoseksual. “Sesetengah kes juga dilaporkan melibatkan orang yang tinggal dalam rumah yang sama dengan orang yang dijangkiti.”
Tambah agensi lagi, tiada seorang pun daripada mereka melaporkan bahawa baru-baru ini mereka berada di negara-negara Afrika Tengah atau Barat, di mana cacar monyet biasanya berlaku termasuklah negara-negara lain seperti Republik Demokratik Congo dan Nigeria.
Pengembara harus mengelak daripada berhubung rapat dengan orang yang sakit, yang mempunyai lesi kulit. Mereka juga dinasihatkan agar tidak bersentuhan dengan haiwan liar yang mati atau hidup seperti mamalia kecil, tikus dan primat (rujukan PRPM: kumpulan mamalia termasuklah monyet, orang hutan dan manusia). CDC juga mengatakan orang ramai tidak seharusnya menyediakan atau makan daging haiwan liar di Afrika.
Tambah CDC lagi, setiap orang tidak digalakkan berkongsi barang yang digunakan oleh orang sakit seperti pakaian, peralatan tempat tidur atau bahan yang digunakan dalam tetapan penjagaan kesihatan. Mereka juga tidak disyorkan bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti.
Meskipun agensi membuat kesimpulan bahawa risiko terhadap populasi umum masih rendah, namun orang ramai harus mendapatkan rawatan perubatan segera jika mereka mengalami ruam dan lesi kulit yang baharu dan tidak dapat dijelaskan sama ada menghadapi demam atau tidak dan badan menggigil.
Pegawai bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengatakan bahawa terdapat lebih daripada 200 kes cacar monyet di seluruh dunia, walaupun pada 27 Mei Sylvie Briand, ketua kesiapsiagaan dan pencegahan wabah dan pandemik WHO mengatakan bahawa mereka tidak tahu apa yang berlaku sekarang ditahap serius atau masih terdapat banyak lagi kes yang tidak dapat dikesan dalam komuniti. Katanya lagi, kejadian ini masih baharu lagi dan mungkin akan ada banyak kes pada masa akan datang.
“Ini bukanlah penyakit yang orang awam perlu bimbangkan. Ini bukan COVID atau penyakit lain yang merebak dengan pantas.”
Cacar monyet, seperti cacar biasanya hanya dilihat di negara-negara Afrika Barat dan Tengah. Gejala awal termasuk nodus limfa bengkak, ruam seperti cacar air, dan demam. Pegawai Amerika Syarikat telah berkata bahawa vaksin cacar boleh dikesan dalam mencegah penyebaran dan penularan virus itu.
Luka-luka seperti cacar bermula sebagai bintik-bintik gelap pada kulit sebelum berubah menjadi benjolan yang dipenuhi dengan cecair. Cacar tersebut akhirnya akan menjadi kudis dan gugur, mungkin akan meninggalkan parut atau perubahan warna kulit kepada mereka yang dijangkitinya.
Seorang warga emas berusia lebih 70 tahun menaiki bas ke arah selatan hingga ke Lembah Klang untuk mencari pekerjaan tanpa berjaya. Akibatnya, dia hanya berbaki RM2 dalam poketnya dan tidak dapat pulang semula ke kampung halamannya di Kedah.
Tular kisah sedih melalui TikTok yang berlaku baru-baru ini di mana seorang gadis yang dikenali sebagai Nur Insyirah terjumpa seorang lelaki berusia 70-an yang berkeliaran di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur tanpa tujuan.
Nur Insyirah berkata hatinya tergerak untuk mendekati warga emas yang kelihatan terabai itu di kawasan medan selera TBS pada 30 Mei lalu, lapor mStar.
Siswa dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Kuala Lumpur ini berkata pada ketika itu dia sedang menunggu bas untuk pulang ke kampung halamannya di Perak.
“Saya dengan kawan tengah tunggu bas nak balik ke Perak dari UPNM. Saya tengah makan dekat food court di tingkat atas TBS tu kira-kira pukul 8 malam,” terangnya.
“Selepas selesai makan, saya perasan ada seorang pak cik ni duduk betul-betul di sebelah saya. Saya perhati dia makan sebab nampak berselera dan lapar betul cara dia makan.”
“Saya nampak dia ada letak sebatang tongkat dekat atas meja dia tengah makan tu. Tiba-tiba saya nampak raut wajah dia bertukar sedih. Tapi masa tu dia tak pandang sesiapa pun. Cuma fokus dekat makanan dia sambil minum teh tarik,” jelas Nur Insyirah.
Lantas gadis ini memberanikan diri untuk berbual bahkan luluh hatinya apabila mengetahui lelaki berkopiah putih itu rupa-rupanya hidup sebagai gelandangan.
Nur Insyirah bertanya bermacam-macam soalan kepada pak cik ini sebab nampak dia berseorangan di terminal bas itu. Rupa-rupanya pak cik ini memberitahu dia datang dari Kedah kerana mahu mencari pekerjaan. Tapi disebabkan faktor umur yang sudah lanjut dan keadaan kesihatannya, jadi tiada sesiapa pun hendak mengambilnya bekerja.
“Dia malu nak cakap sebenarnya takut orang tak percaya tapi saya paksa dia suruh beritahu juga. Sebenarnya dia tidur dekat kawasan TBS tu saja,” kata Nur Insyirah.
“Kalau ada orang bagi duit baru dia makan. Paling sedih ketika itu dia hanya ada RM2 saja,” jelasnya lagi.
Lebih menyedihkan apabila pak cik ini memberitahu yang semua ahli keluarganya sudah meninggal dunia. Sekarang memang tinggal sebatang kara, jadi kalau balik ke kampung sama sahaja macam dia duduk seorang diri di Kuala Lumpur.
Tambah Nur Insyirah yang bersimpati dengan nasib malang menimpa warga emas ini, dia membelikan tiket bas untuk pak cik itu pulang ke kampung halaman di Kedah.
“Saya hanya mampu bantu setakat itu saja. Lagipun susah nak berhubung dengan dia sebab telefon bimbitnya sudah rosak. Tapi saya ada tinggalkan nombor telefon kepada pak cik ni untuk hubungi saya. Kalau pak cik ni perlukan apa-apa bolehlah dia hubungi saya,” kata gadis yang baik hati ini.
Hantaran video TikTok gadis dengan panggilan Syirah itu telah mendapat perhatian ramai yang ingin membantu pak cik ini.
“Tak sangka ramai juga yang pernah terjumpa pak cik itu sebelum ini. Dalam ruangan komen, mereka beritahu yang pak cik ini selalu merantau. Mereka pernah terjumpa dia dekat Rawang dan Perlis juga sebelum ini,” katanya.
Perkongsian Syirah juga mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew yang akhirnya membantu pak cik tersebut. Beliau turut berkongsi di Instagram:
“Tengah live Tik Tok berkongsi nasihat ramai anak muda komen minta tolong pak cik TBS. Tik Tok Syira dan Maisarah. Merantau dari Sik, Kedah ke KL cari kerja. Tiada duit tinggal berapa ringgit sahaja. Tidur di TBS. Pukul 12 malam terus gegas cari pak cik ni sampai 4 pagi tak jumpa.”
“Seharian mencari pak cik ni tak tidur. Malam tadi 10 malam rezeki akhirnya terjumpa. Pak cik ni ada rumah di Kedah. Isteri dah meninggal dunia. Tinggal seorang diri di kampung. Umur 70 lebih. Tapi susah tiada duit tu yang selalu datang KL nak cari duit untuk makan minum. Sedih tengok macam ayah-ayah kita. Saya kata pak cik nak tak kami beri duit bulanan.”
“Katanya dulu pernah ada bantuan tapi dah banyak bulan kena potong. Tiada bantuan. Pak cik duduk kampung rehat. Katanya memang ingin nak duduk kampung. Saya beri sedikit duit. Pak cik ni sebak. Ulang kali cakap terima kasih. Katanya tak pernah ada orang beri duit banyak begini. Kena halau kena marah bila minta tolong.”
“Sedih dengar ceritanya. Saya yang dah tiada ayah ni. Rindu teramat pada ayah saya. Malam ni terus bawa ke rumah saya untuk rehat tidur. Pak cik ni makan minum laju dan habis dua bekas. Lapar sangat. Sedih pula rasanya. Bila bagi jubah dan kurta seronok sangat. Senyum sampai telinga. Katanya esok saya balik nak pakai kurta ni ustaz. Pergi masjid solat.”
Keesokan harinya, Ustaz Ebit Lew menguruskan semua keperluan pak cik ini sebelum membawanya pulang semula ke rumahnya di Sik, Kedah.
Rata-rata warganet berasa kagum dengan sikap kedua insan berhati mulia ini di mana gadis itu sanggup memberi bantuan awal terhadap pak cik ini disusuli Ustaz Ebit Lew.
Bukan itu sahaja, warganet juga berharap agar lebih ramai orang baik seperti ini di luar sana yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan di saat melihat orang lain terutamanya golongan warga emas yang berada dalam kesusahan.
Bagi mereka yang mengikuti perjalanan saman fitnah antara Johnny Depp dan Amber Heard pasti menarik nafas lega selepas juri membuat keputusan untuk menyebelahi Depp dalam perbicaraan yang berlangsung selama 6 minggu itu. Johnny Depp memenangi saman fitnah terhadap bekas isterinya Amber Heard pada 01 Jun selepas juri mendapati pelakon Aquaman itu berbohong dengan mengatakan bahawa Depp telah menderanya sepanjang hubungan mereka. Dengan kemenangan itu, Depp telah diberikan ganti rugi $10 juta dan ganti rugi punitif $5 juta. Manakala Heard pula diberikan $2 juta sebagai ganti rugi pampasan.
Depp yang tidak hadir ke mahkamah kerana terikat dengan komitmen kerja yang telah dijadualkan sebelum ini, menyaman Heard sebanyak $50 juta berikutan wanita tersebut mengeluarkan kenyataan bahawa dia adalah “tokoh masyarakat yang mewakili penderaan domestik” melalui The Washington Post pada tahun 2018. Walaupun artikel tersebut tidak menyebut nama Depp, namun peguamnya berkata ia secara tidak langsung merujuk kepada dakwaan yang dia buat terhadapnya semasa penceraian mereka pada tahun 2016.
Heard telah menuntut balas sebanyak $100 juta dan berkata bahawa dia hanya pernah bertindak ganas dengan Depp semata-mata untuk mempertahankan diri atau membela adik perempuannya.
Saman balas Heard tertumpu kepada 3 kenyataan yang dibuat oleh bekas peguam Depp, Adam Waldman pada tahun 2020 kepada Daily Mail, di mana dia menyifatkan dakwaan penderaan Heard sebagai ‘tipu helah’. Juri juga mendapati bahawa Depp melalui Waldman, memfitnah Heard atas 1 pertuduhan. Dengan itu, juri menganugerahi Heard $2 juta sebagai ganti rugi pampasan tetapi $0 sebagai ganti rugi punitif.
Panel yang telah memulakan perbincangan sejak Jumaat lalu menemukan kata sepakat selepas kira-kira 13 jam dalam tempoh tiga hari. Perbicaraan berprofil tinggi itu berlangsung selama kira-kira 6 minggu di Fairfax County, Virginia telah disiarkan di seluruh negara dan menarik banyak perhatian dari seluruh dunia.
Juri sebulat suara mendapati Heard tidak dapat membuktikan dakwaannya terhadap Depp dan dia tahu dakwaan penderaan tersebut adalah palsu apabila Heard menerbitkan artikelnya pada tahun 2018. Juri juga memutuskan bahawa Heard bertindak dengan niat jahat semasa menulis artikel tersebut.
Selepas keputusan dibacakan, Heard dalam satu kenyataan meluahkan rasa sedihnya kerana gagal dalam tuntutan saman fitnah tersebut. Walaupun banyak bukti telah dikemukakan namun itu tidak cukup untuk menentang kuasa, pengaruh dan pengaruh bekas suaminya, Depp.
Kurang sejam selepas Depp memenangi saman fitnah tersebut, dalam satu kenyataan dia mengatakan bahawa dia merasakan “juri telah memberikan kehidupan saya semula. Saya benar-benar berasa rendah diri.”
Persoalannya, adakah keputusan juri tersebut dapat membantu Depp mendapatkan semula kariernya di Hollywood? Karier Depp terjejas teruk apabila orang ramai bahkan orang industri itu sendiri percaya bahawa Depp telah menyebabkan Heard didera secara fizikal selama bertahun-tahun tanpa mengira keputusan juri.
Depp walau bagaimanapun terharu dengan limpahan kasih sayang dan sokongan yang ditunjukkan oleh dunia terhadapnya. Katanya, dia berharap usahanya untuk memberitahu kebenaran akan membantu orang lain, baik lelaki mahupun perempuan yang mendapati diri mereka berada disituasi yang sama sepertinya untuk terus menyokong dan jangan pernah berputus asa. Semoga dengan terbongkarnya kebenaran ini, nama baik Depp dapat dibersihkan baik di dalam mahkamah mahupun di media.
Sehingga 30 Mei, sekurang-kurangnya 396 juta warga di China telah keluar dari Parti Komunis China (PKC) dan pertubuhan berkaitannya, menurut Tuidang.org, Pusat Perkhidmatan Global Keluar PKC.
Testimoni terbaru daripada mereka yang keluar dari Parti menunjukkan kehidupan rakyat di bawah polisi ketat “COVID-sifar” Beijing, telah mengakibatkan kisah penderitaan yang semakin meningkat apabila gelombang terbaru virus itu memasuki perintah berkurung penuh atau separa, yang menyebabkan ramai rakyat menilai semula perspektif mereka tentang rejim komunis dan melepaskan hubungan mereka dengan PKC.
The Epoch Times pada tahun 2004 menerbitkan“Nine Commentaries” mengenai Parti Komunis China, sebuah siri editorial mengenai sejarah pembohongan dan kekejaman PKC. Ia kemudiannya membawa kepada gerakan “keluar dari PKC” atau “tuidang” di China.
Pengamal Falun Gong berkumpul memberi sokongan kepada 390 juta rakyat China yang keluar Parti Komunis China dan pertubuhan berkaitan dengannya di Brooklyn, New York pada 27 Februari 2022. (Gambar oleh Chung I Ho/The Epoch Times)
Berikut adalah kenyataan beberapa rakyat China yang memutuskan semua hubungan mereka dengan PKC pada bulan Mei.
‘PKC tidak tahu apa-apa yang memalukan’
Luo Qi, Zhang Xintong, dan Ge Yijie, penduduk Shanghai, keluar dari PKC melalui Tuidang.org.
Dalam satu kenyataan, mereka berkata telah menjadi mangsa dasar pembendungan virus PKC.
“Kami tidak mempunyai makanan, tetapi mesin propaganda negara, CCTV, mendakwa bekalan makanan banyak, dan kehidupan adalah baik,” tulis mereka.
Mereka berkata, “PKC yang jahat tidak tahu apa-apa tentang rasa malu.”
Mereka berikrar hanya dengan keluar dari PKC adalah cara yang akan menghapuskan sebarang penglibatan dengan perbuatan jahat parti sekiranya berdiam diri, dan mereka akan bebas daripada diperhambakan oleh PKC.
Bekas penyokong parti keluar PKC
Chu Junwen dari wilayah pesisir laut Shandong berkata dia pernah menjadi penganut dan penyokong tegar PKC, tetapi sejak itu mula sedar tentang sifat sebenar parti ketika pandemik.
Dalam kenyataan itu, Chu Junwen mendedahkan layanan tidak berperikemanusiaan yang diterimanya selepas disahkan positif dijangkiti virus. “Mereka mengimpal pintu saya, jadi saya tidak boleh pergi membeli-belah barangan runcit atau bekerja, dan kakitangan pejabat yang mengawal pandemik terus mengganggu kehidupan dan aktiviti biasa saya,” tulisnya.
Dia bahkan berlutut dan memohon simpati mereka, tetapi kejahilan mereka akhirnya menyebabkan dia kehilangan pekerjaan kerana dia tidak hadir bekerja.
Chu Junwen akhirnya menyedari apa yang dipanggil “pengkhianat dan penyebar khabar angin” seperti yang dilabelkan oleh PKC dan media negara bercakap benar.
Selepas mencari kebenaran dalam talian dengan memintas firewall PKC, dia menyedari telah “bersekongkol dengan kejahatan” dan dia berasa “malu dengan kejahilannya.”
Dia menulis, “Saya berharap lebih ramai orang Cina akan melihat melalui PKC, dan menghentikan jentera ganas itu.”
Pengamal Falun Gong berkumpul memberi sokongan kepada 390 juta rakyat China yang keluar Parti Komunis China dan pertubuhan berkaitan dengannya di Brooklyn, New York pada 27 Februari 2022. (Gambar oleh Chung I Ho/The Epoch Times)
‘PKC akan mendapat balasannya’
Yin Fan dari Heilongjiang, wilayah paling utara di China, menyertai Perintis Muda PKC lebih 20 tahun lalu.
Dia berkata langkah melampau untuk COVID-sifar telah membuatkan lebih ramai orang menyedari kesengsaraan rakyat China di bawah pemerintahan PKC.
Dalam kenyataannya yang menarik diri dari Perintis Muda, Yin menulis, “Lihat di Shanghai, para pegawai mendapat keuntungan daripada harga tinggi sayur-sayuran dengan bantuan yang datang dari wilayah asing. Malah ada yang berkata wabak patut berterusan supaya mereka boleh membuat lebih banyak wang.”
Dia juga mendedahkan insiden seorang lelaki dari Bandar Harbin yang membakar dirinya kerana dia terhutang banyak dalam tempoh yang lama sepanjang perintah berkurung. Tetapi media kerajaan mendakwa dalam laporan mereka bahawa lelaki itu terlibat dalam aktiviti pembakaran, bukannya membakar diri kerana kecewa.
“PKC yang tidak tahu malu akan mendapat balasannya, dan saya tidak akan menjadi korbannya,” tulisnya.
Katanya, “Saya bersumpah untuk menjauhkan diri daripada PKC!”
Melihat melalui propaganda PKC
Fu Gui merupakan seorang pelajar kolej dari bandar Chongqing.
Katanya apabila semakin dewasa, dia secara beransur-ansur menyedari jentera ganas PKC, “PKC yang glamour semuanya adalah propaganda,” tulisnya.
Dia menyatakan, “Kes-kes tragis di Shanghai yang terkurung di bawah pandemik adalah rekod jelas tentang kekejaman dan pertumpahan darah PKC.”
Fu Gui menarik diri daripada Perintis Muda China dan Liga Belia Komunis.
Dia menyatakan selepas mengetahui kekejaman dan pembohongan PKC selepas melawat laman web luar negara dan membaca “Nine Commentaries”. Fu Gui berasa malu dengan “sokongan tegarnya terhadap kuasa jahat pada masa lalu” dan berkata hati nuraninya terseksa di bawah PKC.
Tetapi sekarang, dia menulis, “Saya tidak akan berhubung dengan Parti jahat itu lagi.”
Penindasan Xinjiang
Lin Haichang dan Jin Zhiwei dari Xinjiang berhenti daripada Perintis Muda.
Dalam kenyataan itu, mereka berkata penduduk di Xinjiang tidak cukup makan; penjagaan dan kebajikan yang didakwa oleh PKC disediakan untuk penduduk Xinjiang adalah semuanya propaganda.
Mereka berkata cerita buruh paksa oleh banduan di kem tahanan Xinjiang didengar secara meluas.
“Pukulan, penyeksaan, dan juga penuaian organ telah diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini; etnik minoriti terpaksa disterilkan,” kata mereka.
Mereka menekankan, “Mengalahkan PKC adalah tanggungjawab semua orang!”
Huang Yingzhou, imigran dari China mengumumkan keluar PKC dan organisasi sekutunya dalam satu perhimpunan di New York pada 18 April 2021. (Gambar oleh The Epoch Times)
Mangsa
Ramai yang telah menarik diri dari PKC menggambarkan layanan tidak berperikemanusiaan yang mereka alami di bawah pemerintahan diktator komunis.
Huang Jingran dari Bandar Shenzhen berkata rumah bapanya telah dirobohkan tahun lepas. Semasa rundingan dengan pihak berkuasa, bapanya telah dipukul teruk oleh polis tempatan. Tindakan merobohkan rumah kemudiannya dikuatkuasakan tanpa sebarang pampasan, dan kehidupan menjadi sangat sukar untuk keluarga itu.
Zhang Yixuan dan Ding Zhaoxing adalah pelombong dari Heilongjiang. Mereka menggambarkan rakan sekerja di lombong tempat kerja mereka telah memulakan proses petisyen dana persaraan yang belum dibayar. Kes itu diselesaikan dengan dia dijatuhi hukuman penjara setahun setengah.
Wu Shengnan berasal dari Shijiazhuang. Dia memperoleh kira-kira AS$400 sebulan tetapi dibuat untuk melaungkan “Sosialisme adalah baik”, bagi tujuan mengakui orang di Amerika Syarikat, UK, dan Jepun berada “dalam kesusahan,” katanya.
Dia bertanya, “Jika rejim itu benar-benar baik, mengapa para pegawai menghantar saudara mereka ke Barat?”
Wu Shengnan merasakan dia telah dieksploitasi demi keperluan dan kepentingan PKC.
Dia menulis, “Setiap minit dan setiap saat di bawah pemerintahan penyamun Komunis adalah kejam dan gelap!”
Elon Musk dilaporkan sekali lagi telah menuduh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Bill Gates, menjual saham Tesla Inc secara ‘short sell’. Hal ini telah menimbulkan keraguan ramai mengenai rancangannya dalam menangani isu perubahan iklim.
(Foto oleh Alexandra Beier/Getty Images)
Dalam satu siri ciapan Twitter, Musk mendedahkan bahawa kedudukan yang disandang oleh Gates kini memerlukan sehingga $2 bilion untuk pasaran saham ditutup.
Harga saham Tesla telah menyaksikan peningkatan 20 kali ganda sejak 2019, daripada $37 sesaham pada 2019 kepada nilai dagangan semasa pada sekitar $760 setiap satu dan mencapai paras tertinggi sepanjang akhir tahun lalu sebanyak $1,222 sesaham.
Ia bukan kali pertama beliau mempersoalkan komitmen Gates untuk membantu dalam menangani cabaran iklim. Musk sebelum ini telah mengesahkan bahawa perbualan mesej antaranya dan Gates yang telah bocor mendedahkan bahawa Gates mengaku bahawa beliau telah menjual saham Tesla secara ‘short selling’.
Pasukan perhubungan media Gates walau bagaimanapun masih belum memberi respons untuk mengulas mengenai isu tersebut.
“Saya tidak fikir sama ada kenyataan yang diberikan oleh Tesla- sama ada pendek atau panjang menunjukkan kesungguhannya dalam isu perubahan iklim,” kata Gates kepada The Wall Street Journal pada awal Mei. “Saya walau bagaimanapun memuji peranan Tesla dalam membantu perubahan iklim,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu juga berkata bahawa beliau akan memperjuangkan isu kebebasan bersuara di platform yang menurutnya mengamalkan “berat sebelah.”
Baru-baru ini Musk melancarkan tinjauan (poll) di Twitter dengan bertanya kepada pengikutnya sama ada mereka percayakan golongan bilionair dan ahli politik ataupun tidak. Hasil tinjauan menunjukkan bahawa hampir 76 peratus daripada 3.4 juta responden mengundi bahawa mereka kurang mempercayai ahli politik.
Ekoran tinjauan tersebut, terdapat pengguna yang mula bertanya tentang pengasas Amazon, Amazon Jeff Bezos, dengan bertanya sama ada (secara umumnya) beliau adalah orang baik atau sebaliknya.
“Dia baik sahaja,” tulis Musk untuk menjawab pertanyaan tersebut.
Bezos sebelum ini pernah mempersoalkan sama ada Twitter akan jatuh di bawah pengaruh Beijing, beberapa jam selepas Musk membeli platform tersebut dengan harga AS$44 bilion.
Suatu ketika dahulu kita digemparkan dengan kes keracunan gas monoksida yang meragut sekumpulan remaja perempuan yang berada di dalam kereta. Bukan hanya di Malaysia, malah kes seperti ini sudah banyak kali dilaporkan di seluruh dunia sehingga digelar ‘pembunuh secara senyap.’ Mana tidaknya, tiada yang boleh mengesan bila kejadian ini akan berlaku, tahu-tahu sahaja ada nyawa yang terancam.
Mungkin ramai yang masih tidak tahu bahawa gas beracun tersebut boleh ‘terlepas’ disebabkan oleh kebocoran di bahagian enjin kereta. Hal ini membuatkan sesiapa sahaja- sama ada pemandu atau penumpang mengalami sesak nafas.
Baru-baru ini kes keracunan gas monoksida berlaku lagi tetapi mujur tiada nyawa yang menjadi korban kali ini. Kejadian cemas tersebut diceritakan oleh seorang pengguna Facebook, Nur Jalilah Leyla, yang telah berkongsi insiden yang menimpa anaknya disebabkan terhidu gas monoksida di dalam kereta.
Dalam status tersebut wanita itu menceritakan yang kejadian tersebut berlaku ketika dia dan anak-anaknya bersama mertuanya dalam perjalanan pulang ke kampung. Pada mulanya tiada apa yang mencurigakan. Anak-anaknya nampak gembira berbual-bual dengan datuk dan nenek mereka.
Namun, selepas dia menghantar gambar anak-anaknya yang sedang tidur kepada suaminya, lelaki itu ada menegur yang wajah anak lelaki mereka kelihatan pucat. Ketika itu dia masih tidak sedar ada sesuatu yang tidak kena. Dia berfikir anak-anaknya kepenatan ditambah lagi dengan cuaca yang panas.
Anak perempuannya kemudian mulai terjaga dan merengek namun tidak membuka mata. Tiba-tiba sahaja tubuhnya mulai lembik dan tidak menunjukan sebarang respon membuatkan mereka panik. Dia cuba menyedarkan anaknya tetapi tiada respons dan pernafasannya semakin lemah.
Ketika memberhentikan kereta dan mendapatkan bantuan, dua orang anaknya terus tidak sedarkan diri. Mujurlah mereka mulai sedar tidak lama selepas itu dalam keadaan menangis.
Mereka kemudian dibantu oleh sebuah keluarga dan meminta mereka membawa kereta ke hospital dengan segera sambil mengikutinya dari belakang. Ketika dalam perjalanan ke hospital seorang lagi anak perempuannya masih tidak sedarkan diri.
Sampai sahaja di hospital mereka terus ke bahagian kecemasan dan si kecil itu terus diberikan bantuan oksigen.
Wanita tersebut mengalami sesak nafas dan muntah-muntah. Ibu mertuanya pula pengsan selepas sampai di hospital manakala bapa mertuanya dan dua orang anaknya lagi turut diberikan bantuan oksigen.
Pihak hospital kemudian mengesahkan bahawa mereka mengalami keracunan gas karbon monoksida yang berpunca daripada kebocoran pada ekzos kereta. Jelasnya, kejadian tersebut seperti satu mimpi negeri.
Di akhir perkongsian tersebut, wanita itu sempat berpesan kepada orang ramai supaya memeriksa dahulu kenderaan sebelum memulakan perjalanan jauh kerana kejadian yang tidak diingini boleh berlaku.
Dia juga turut mengucapkan terima kasih kepada Mr Richard iaitu individu yang membantu mereka ketika dalam situasi panik ini sehingga semuanya selamat mendapatkan rawatan di hospital.
Baru sahaja memasuki fasa endemik Covid-19 bermula 01 Mei lalu, Malaysia dikejutkan dengan peningkatan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (hand, foot and mouth disease, HFMD). Penyakit yang disebabkan oleh virus enterovirus ini menyebabkan lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut yang biasanya menjangkiti kanak-kanak berusia bawah 10 tahun. Walaupun penyakit ini sederhana dan ruam sembuh dalam masa 5 hingga 7 hari namun ia cepat tersebar melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis mereka yang berpenyakit. Penyakit ini lebih cepat menular dalam kalangan kanak-kanak yang berinteraksi rapat dengan rakan-rakan. Buktinya dapat dilihat apabila setakat 27 Mei, sebanyak 105 tabika dan 75 taska kendalian KEMAS di seluruh Malaysia diarahkan tutup selama 10 hari untuk kerja disinfeksi atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, bagi tahun 2022 dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Mei, sebanyak 57,510 kes HFMD yang telah dilaporkan menunjukkan peningkatan sebanyak 24 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (semasa pandemik Covid-19) iaitu 2,333 kes. Katanya lagi, lima negeri yang merekodkan bilangan kes tertinggi ialah Selangor dengan 16,286 kes, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 7,298 kes, Perak 5,045 kes, Kelantan 4,194 kes dan Sabah 3,829 kes. Tambah beliau lagi, kes paling banyak dilaporkan adalah dalam kalangan kanak-kanak yang berusia 6 tahun ke bawah iaitu 52, 846 kes manakalah kumpulan umur 7 hingga 12 tahun pula ialah sebanyak 3,741 kes dilaporkan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada 24 Mei lalu, jangkaan peningkatan kes pada ME 20/2022 adalah berikutan pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan hari raya. Turut bersetuju dengan pendapat Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah itu ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki. Katanya, sebarang aktiviti yang melibatkan interaksi rapat antara individu seperti aktiviti ziarah dan rumah terbuka boleh meningkatkan risiko kadar jangkitan apabila pesakit bersentuhan dengan individu lain atau batuk dan bersin. “Ibu bapa harus memastikan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sosial termasuk menghadiri rumah terbuka selain mereka ini perlu diasingkan bagi menghadkan risiko jangkitan kepada individu dan kanak-kanak lain,” katanya.
Dr Rafdzah Ahmad Zaki juga tidak menolak pengoperasian tadika, taska, dan pusat jagaan kanak-kanak secara sepenuhnya bermula awal tahun 2022 menyumbang kepada peningkatan kes HFMD di Malaysia. Menurut beliau, kes HFMD menurun sepanjang tempoh pandemik Covid-19 kerana pusat jagaan kanak-kanak, taska mahupun tadika ditutup dan tidak beroperasi. Selain itu, kepadatan penduduk disatu-satu kawasan seperti Selangor turut mempengaruhi kadar jangkitan HFMD.
Susulan kes HFMD yang meningkat itu, KKM menasihatkan agar semua pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak. Mereka juga diminta untuk melakukan saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda HFMD seperti ruam dengan lepuh pada tangan, kaki & kawasan lampin, demam, ulser pada tekak, mulut & lidah serta kanak-kanak hilang selera makan. Bagi ibu bapa pula amatlah penting untuk memeriksa keadaan anak sebelum menghantar mereka ke pusat-pusat jagaan atau pun sekolah. Jika anak tidak sihat, disyorkan agar menjalani isolasi di rumah.
Sementara itu, Khairy juga turut mengingatkan agar pengusaha taman permainan dalam bangunan juga perlu mengambil saranan seperti mengadakan saringan di pintu masuk taman berkenaan serta membuat pembersihan premis dan basmi kuman alatan sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Pakar Pediatrik Sunway Medical Centre Velocity Dr Melanie Majaham berkata, kanak-kanak seharusnya tidak disentuh sesuka hati oleh individu lain ketika menghadiri rumah terbuka kerana perbuatan menyentuh, mencium dan memegang sememangnya berisiko untuk golongan ini dijangkiti HFMD. Dr Melanie juga berkata kesedaran ibu bapa akan kepentingan meneruskan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 secara tidak langsung dapat membantu mencegah jangkitan HFMD. Katanya lagi, penggunaan sabun dan sanitasi secara kerap bukan sahaja mematikan virus HFMD dan Covid-19, malah turut membunuh virus lain yang biasa menjangkiti kanak-kanak.
Walaupun tanpa rawatan, kebiasaannya jangkitan akan hilang dalam tempoh 7 hingga 10 hari. Antara petua-petua yang boleh diikut dalam merawat HFMD ialah dengan memberi makan pesakit sup ayam, buah-buahan atau jus, aiskrim atau makanan sejuk seperti puding, agar-agar, minum air kelapa muda, menyapu minyak zaitun atau minyak kelapa dara pada tempat yang terkena ulser, lepuh atau ruam. Selain itu, gel aloe vera juga boleh digunakan sebagai ubat sapu untuk melegakan kerengsaan. Namun begitu, KKM tidak menggalakan penggunaan serbuk kunyit dan daun semambu untuk merawat HFMD.
Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat awam, sekolah, taska, tadika atau pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan. Sekiranya anak-anak mula menunjukkan simptom HFMD segeralah mendapatkan nasihat daripada doktor atau jika tidak reda, bawalah anak ke hospital. Selain itu, terus amalkan 5 perkara seperti yang dinasihatkan oleh KKM iaitu:
Menjaga kebersihan diri.
Menjaga kebersihan persekitaran.
Melakukan pemeriksaan / saringan di pintu masuk taska / tabika / tadika / pra-sekolah.
Mengamalkan cuci tangan yang betul.
Melakukan disinfeksi atau nyahkuman permukaan yang tercemar.
Lindungi anak anda, lindungi anak-anak orang lain juga.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk mentega kacang berjenama Jif di pasaran Amerika Syarikat. Hal ini berlaku ekoran kebimbangan terhadap bakteria Salmonella yang dikatakan telah mencemarkan mentega kacang jenama tersebut. Penarikan semula produk berkenaan telah diketahui melalui notifikasi yang diterima dari International Food Safety Authorities Networks(INFOSAN).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi kenyataan akhbar pada 30 Mei lalu memberitahu bahawa notifikasi tersebut menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya melibatkan tiga (3) digit terakhir 425 ditarik balik kerana telah tercemar dengan bakteria Salmonella.
“Produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan termasuk Malaysia.
“Melalui semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk mentega kacang berjenama Jif tersebut telah diimport ke negara ini. Sehubungan itu, KKM telah meminta pihak syarikat yang mengimport menarik balik produk yang terlibat di pasaran,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk terlibat memasuki ke negara ini.
Beliau juga menggesa penjual untuk menghentikan penjualan produk terlibat dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga (3) digit terakhir 425 dengan serta-merta, manakala pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut.
Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.
Pihak berkuasa Nepal telah menjumpai 21 mayat daripada 22 penumpang pesawat yang terhempas di Pergunungan Himalaya pada 30 Mei. Usaha mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang giat dijalankan. Walau bagaimanapun, menurut pihak berkuasa peluang untuk hidup adalah rendah kerana pesawat tersebut terhempas di atas batu besar. Sejumlah 60 orang dikerahkan ke lokasi nahas termasuk askar, pemandu gunung dan penduduk tempatan.
Pesawat yang dikendalikan oleh Tara Air itu membawa 22 penumpang yang terdiri daripada 4 warga India, 2 warga Jerman dan 16 warga Nepal yang mana 3 daripadanya ialah anak kapal. Pesawat berkenaan berlepas dari bandar pelancongan Pokhara pada jam 9.55 pagi waktu tempatan menuju ke Jomsom sebuah lokasi pelancongan terkenal di Nepal. Pada awalnya penerbangan itu baik sahaja namun, mereka terputus hubungan dengan menara kawalan 5 minit sebelum dijangkakan mendarat.
Wartawan Pooja Pant menjelaskan bahawa terdapat banyak laluan pergunungan yang berbahaya dan laluan tersebut mungkin salah satu laluan paling berbahaya di Nepal. Menurut beliau, terdapat dua buah gaung dan pesawat terbang melalui gaung itu tetapi masalah yang melibatkan penerbangan tersebut ialah cuaca buruk kerana ketika kejadian berlaku, cuaca sangat mendung. Cuaca di kawasan pergunungan boleh berubah secara mendadak dalam masa yang singkat.
Kata Pooja lagi, beliau mendapat tahu daripada pihak berkuasa penerbangan awam bahawa pesawat berkenaan mempunyai visual flight rules, VFR (peraturan penerbangan visual) yang bermaksud mereka tidak dibenarkan terbang jika tidak dapat melihat ketika cuaca mendung. Difahamkan, pesawat tersebut telah pun berhubung dengan menara kawalan dan bersedia untuk mendarat tetapi cuaca telah pun mendung ketika mereka memasuki Jomson. Daripada membelok ke kanan, mungkin juruterbang terfikir untuk mengelakkan cuaca buruk lalu dia pun membelok ke kiri atau mungkin untuk berpatah balik atau mengelilingi lapangan terbang dan ketika itulah mereka terhempas ke gunung.
Kerajaan Nepal telah membentuk panel untuk menyiasat nahas maut itu. Nepal mempunyai rekod penerbangan yang teruk yang selalunya disebabkan perubahan cuaca yang mendadak dan landasan udara yang terletak di kawasan berbatu amat sukar untuk diakses.
Pada awal tahun 2018, penerbangan AS-Bangla yang membawa 71 penumpang dari Dhaka, Bangladesh terbakar ketika mendarat di Kathmandu di mana 51 orang terkorban. Baru-baru ini, 3 orang maut dalam nahas kapal terbang pada April 2019 apabila pesawat itu tergelincir dari landasan dan melanggar sebuah helikopter pegun di Lapangan Terbang Lukla yang dianggap salah satu landasan paling sukar untuk diakses.
Penggodam pangkalan data polis yang dilaporkan di Xinjiang, China telah mendedahkan bukti baru tentang tahap penahanan dan penyeksaan umat Islam Uyghur di sana.
Aktivis Amerika Syarikat juga Pengarah dan Felow Penyelidik Kanan dalam Kajian China di Yayasan Peringatan Korban Komunisme di Washington, Adrian Zenz mendedahkan beribu-ribu gambar dan dokumen dalaman lain telah dibocorkan kepadanya oleh penggodam komputer.
“Sebahagian besar fail yang diperoleh dengan menggodam komputer polis Xinjiang/kem pendidikan semula Xinjiang mengandungi bahan imej pertama kali dari dalam kem, mendedahkan Chen Quanguo mengeluarkan arahan tembak-untuk-bunuh, Xi Jinping mengarah dan menuntut kem baharu kerana kem sedia ada terlalu sesak, ” kata Adrian Zenz dalam satu siri ciapan di Twitter.
Gambar AP
“Pendedahan bahan itu tidak pernah berlaku sebelum ini dalam beberapa peringkat: 1. Ucapan peringkat tertinggi, melibatkan kepimpinan tertinggi dan mengandungi bahasa yang kasar 2. Arahan keselamatan kem, jauh lebih terperinci daripada ‘China Cables’, menerangkan unit mogok bersenjata lengkap dengan senjata serangan medan perang,” terangnya lagi.
Fail itu termasuk ucapan dalaman 2017 oleh Chen Quanguo, bekas setiausaha Parti Komunis di Xinjiang, di mana dia didakwa mengarahkan pengawal menembak untuk membunuh sesiapa sahaja yang cuba melarikan diri, dan menyeru pegawai di wilayah itu untuk “melakukan kawalan yang tegas terhadap penganut agama”.
Ucapan dalaman pada tahun 2018 oleh Menteri Keselamatan Awam Zhao Kezhi menyebut arahan langsung daripada Xi untuk meningkatkan kapasiti kemudahan tahanan.
BREAKING: huge trove of files obtained by hacking into Xinjiang police / re-education camp computers contain first-ever image material from inside camps, reveal Chen Quanguo issuing shoot-to-kill orders, Xi Jinping demanding new camps because existing ones are overcrowded. 🧵 pic.twitter.com/6K19Wxf0Lx
Dokumen “Xinjiang Police Files” itu mengandungi arkib yang dilabel sebagai sulit dengan imej nyata beberapa ribu individu yang diambil pada separuh pertama 2018 di balai polis dan pusat tahanan di daerah Konasheher, wilayah Kashgar – wilayah di selatan Xinjiang yang kebanyakannya didiami oleh etnik Uyghur. Pada 2018, wilayah ini telah diarahkan untuk mengambil gambar sebahagian besar populasi sebagai sebahagian daripada pengumpulan data biometrik. Setiap nama fail dengan imej mengandungi cap masa dan nombor pengenalan kerajaan ke atas setiap individu.
“Fail itu juga mengandungi kira-kira 450 spreadsheets dari wilayah ini yang menyokong identiti individu yang digambarkan. Mereka mendedahkan pada 2018, sekurang-kurangnya 12 peratus daripada semua etnik dewasa di negara ini berada dalam tahanan – termasuk 2,884 orang yang diambil gambar. Antaranya ialah 15 kanak-kanak bawah umur. Individu paling muda yang ditahan yang digambarkan dalam imej ini ialah seorang gadis berusia 15 tahun dan yang paling tua ialah wanita berusia 73 tahun,” kata pasukan yang diketuai oleh Adrian Zenz yang menganalisis dan mengesahkan bahan tersebut.
3. Vivid image of police drills, and over 5,000 images of persons taken at detention centers/police stations, 2,884 of them are interned.
4. Spreadsheets showing vast scale of internments: over 12% of adult population of Uyghur county in 2018 shown in camps or prisons. pic.twitter.com/vchHcrJ7uV
Sesetengah daripada 2884 orang ini mungkin telah dirakamkan gambar sebelum mereka ditahan dan yang lain mungkin semasa dalam tahanan. Memandangkan mereka adalah mangsa, set penuh 2,884 imej tersedia di laman web ini adalah dalam bentuk asal, dedah penyelidik itu.
Adrian Zenz berkata nama fail asal telah dipangkas atas sebab privasi supaya tidak mendedahkan nombor pengenalan penuh setiap individu.
“Imej jelas latihan polis, dan lebih 5,000 imej individu yang diambil di pusat tahanan/balai polis, 2,884 daripada mereka telah dimasukkan ke dalam tahanan. Skala besar tahanan: lebih 12 peratus populasi dewasa daerah Uyghur pada 2018 ditunjukkan di kem atau penjara. Anda boleh melihat dan memuat turun banyak fail, dokumen dan hampir 2,900 imej individu yang ditahan dari laman web #XinjiangPoliceFiles,” kata Adrian Zenz di Twitter.
The #XinjiangPoliceFiles contain a very large amount of visual material, including police training PowerPoints, image material from Xinjiang, including sensitive material showing police stations, police headquarters etc. This significantly aided in the authentication. pic.twitter.com/wN3QsLPlNn
“Mereka bercakap secara langsung tentang sikap dan ancaman yang mereka lihat daripada Uyghur, dan bagaimana Uyghur perlu ditangkap, dan bagaimana kem itu perlu dipertahankan,” kata Adrian Zenz ketika memperkenalkan fail itu.
“Bukti baharu benar-benar menunjukkan pendidikan semula atau yang digelar mereka ‘latihan vokasional’ di Xinjiang tiada kaitan dengan peningkatan kemiskinan, tiada kaitan untuk membantu orang ramai mendapatkan pekerjaan,” tambahnya.
Ia hanya mengenai langkah “pencucian otak” yang kejam, mengenai meletakkan mereka ke dalam tempat seperti penjara, dalam kem yang dikawal oleh polis bersenjata lengkap.
Gambar AP
“Kami mempunyai bukti, di menara pengawal mereka menggunakan mesingan gred tentera dan senapang penempak curi dan sangat jelas ini adalah kempen untuk mengubah pemikiran rakyat, bukannya seperti yang mereka katakan, ia transformasi melalui pendidikan,” tegas Adrian Zenz.
Walaupun penahanan dan penganiayaan etnik Uyghur oleh rejim China telah terbukti, dengan akaun saksi dan dokumen yang bocor, Beijing telah lama menafikannya.