28 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 17, 2025
Utama Blog Laman 142

Ditangkap dan dikurung dalam sangkar, mangsa penipuan kerja warga Malaysia cerita pengalaman ngeri di luar negara

0

Baru-baru ini, 24 mangsa penipuan kerja warga Malaysia di Kemboja telah diselamatkan dan dikembalikan ke Malaysia oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah. Bagaimanapun, isu ini terus menimbulkan kebimbangan berikutan dianggarkan terdapat 1,000 mangsa warganegara Malaysia yang masih terperangkap di luar negara.

Penipuan kerja berkenaan bermula dengan tawaran gaji tinggi dan faedah menarik lain, dengan mangsa dipaksa bekerja di luar kehendak mereka atau diperdagangkan ke negara jiran sebaik sahaja mereka berada dalam cengkaman sindiket. Pendek kata, pekerjaan impian di luar negara itu kini terkubur dan menjadi mimpi ngeri yang nyata.

Pemerdagangan manusia dan paksaan untuk bekerja itu sudah terbukti cukup buruk, dan ia menjadi lebih buruk dengan cerita tentang pukulan, kematian, dan keadaan manusia dijadikan seperti lembu diungkapkan sebagai kisah benar.

Pelayan berusia 20 tahun dari Melaka mendakwa dirinya ditolak dari balkoni tingkat tiga.

Gambar The Star

Selepas enggan mengambil bahagian dalam aktiviti tipu cinta di Myanmar, Seah mendakwa dia diseksa selama beberapa hari sebelum akhirnya ditolak dari balkoni. Seah menerangkan keseluruhan pengalaman pahit itu pada sidang media di Wisma MCA:

“Saya memberitahu mereka yang saya tidak menyukainya dan saya tidak mahu mengambil bahagian dalam penipuan. Saya hanya mahu pulang. Kemudian saya dipukul selama tiga hingga empat hari berturut-turut dengan kayu besbol. Suatu hari mereka datang ke bilik saya untuk memukul saya lagi. Saya menahan dan menyekat serangan mereka yang berakhir di balkoni, dan mereka bertanya kepada saya, “Percaya tidak saya akan menolak anda dari sini?” Saya terus menahannya dan mereka benar-benar menolak saya.” 

Seah antara mangsa penipuan ini yang berjaya diselamatkan kerana keluarga dan rakannya berhasil mengumpul wang tebusan RM70,000 yang diperlukan untuk dia dihantar pulang. Seorang lagi rakyat Malaysia di Myanmar, bagaimanapun, tidak begitu bernasib baik.

Sepasang suami isteri dari Ipoh mendapat tahu anak mereka meninggal dunia di hospital, di bawah nama palsu

Tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang berlaku kepada Zhan Feng, 23 tahun dari Ipoh selepas dia pergi melawat rakan dalam talian di Bangkok pada Januari 2022. Tetapi selepas terlepas hari lahir ibunya dan menelefon ke rumah bagi menyatakan yang dia memerlukan RM80,000 untuk bil hospital, ibu bapanya mempunyai sebab untuk mempercayai anak mereka menjadi mangsa penipuan kerja.

Pasangan ini melakukan perjalanan ke Bangkok pada bulan Mei untuk mencari anak lelaki mereka, dan mendapati Zhan Feng telah meninggal dunia di hospital yang terletak di Mae Sot, sebuah bandar di Thailand yang bersempadan dengan Myanmar. Zhan Feng mungkin dimasukkan ke ICU di bawah nama palsu pada nombor pasport, meninggal dunia pada 11 Mei selepas sebulan tanpa sebarang rawatan perubatan lanjut kerana identiti palsu. Doktor juga memaklumkan kepada ibu bapanya yang pihak mereka percaya Zhan Feng telah didera sebelum ditinggalkan di hospital.

Lebih memburukkan keadaan, pasangan itu dimaklumkan yang mereka perlu menjelaskan bil hospital tertunggak sebanyak RM40,000 bagi mendapatkan sijil kematian yang sewajarnya dan pembakaran mayat untuk pengebumian di Malaysia. Syukurlah, mereka berjaya mengumpul dana RM50,000 daripada orang ramai dalam masa kurang sehari.

Gambar Bernama

Seorang lagi mangsa mendakwa ditipu di Kemboja berkongsi di Whatsapp secara ringkas pengalamannya di negara itu sebelum diselamatkan. Dia kini semakin pulih daripada pengalaman pahit itu mendedahkan:

“Mereka bukan pengawal, mereka lebih daripada itu. Mereka juga bukan tentera, tetapi mereka mempunyai senjata supaya anda tidak boleh lari. Jika anda lari, mereka akan menembak anda. Dan di dalam itu, mereka gila. Jika anda tidak mempunyai nilai, mereka sengaja membuat kacau dan akan menjual anda. Pemerdagangan manusia, jadi mereka akan menjual anda. Jual semua organ anda. Dalam masa sebulan, jika anda tidak mempunyai sebarang jualan, mereka akan menggunakan benda renjatan baton elektrik itu untuk mencederakan anda. Ia sangat mengerikan.”

Mangsa yang tidak mahu namanya didedahkan itu juga menambah, keadaan di Myanmar jauh lebih teruk berbanding di Kemboja.

Gambar Bernama

Sesetengah mangsa lebih suka tidak pulang ke rumah

Walaupun kedengaran seperti setiap rakyat Malaysia yang terjebak dengan penipuan pekerjaan ini tidak berdaya dan menunggu diselamatkan, Duta Besar Malaysia ke Kemboja Eldeen Husaini Mohd Hashim mendedahkan sisi berbeza kepada The Star – ada yang menolak dalam usaha untuk diselamatkan.

“Kami telah cuba menyelamatkan mereka, tetapi ramai juga yang tidak mahu pulang ke Malaysia. Ada yang lari dari rumah, ada yang lari dari ah long,” katanya.

Beliau turut menambah oleh kerana terdesak, ibu bapa bagi anak-anak yang melarikan diri mengelirukan pihak berkuasa dengan melaporkan mereka diculik dan dipaksa bekerja di luar kehendak mereka; tetapi mereka kemudian enggan pulang sebaik sahaja ditemui.

Mungkin isunya di sini tidak semudah yang disangka, kerana kebanyakannya terjebak dengan sindiket penipuan kerja ini ekoran pernah mengalami masalah kehidupan di negara sendiri.

Pilihan Editor:

Kucing cari bau tuannya yang telah tiada, undang sebak ramai

0

Kehilangan orang tersayang bukan sahaja dirasai kesedihannya oleh ahli keluarga, malahan turut dialami oleh haiwan peliharaan.

Seekor kucing yang amat setia dan rapat dengan tuannya sudah tentu akan merindui masa-masa mereka bermain dan bermanja bersama.

Sehingga boleh membuat haiwan itu menjadi tidak keruan dan kemurungan.

TikTok

Baru-baru ini tular di TikTok yang memaparkan seekor kucing peliharaan mencari arwah tuannya yang baru meninggal dunia, dan ia telah mengundang sebak ramai.

Video muat naik oleh Ladymarsya @ladymarsya itu menunjukkan kucing milik keluarganya yang bernama Ciput menjadi seperti keliru sedang mencari arwah ayahnya, yang selalu bermain dengannya.

TikTok

Wanita ini sering memuat naik video aksi arwah ayahnya bersama Ciput, yang terkenal dengan gerakan ‘high five’ comel mereka serta pelbagai aksi lain yang menceriakan.

TikTok

Arwah ayah Ladymarsya meninggal dunia pada 11 September lalu.

Berita ini telah mengejutkan kalangan netizen kerana wanita ini baru sahaja memuat naik video Ciput bermain bersama arwah ayahnya.

TikTok

Ciput didapati kerap menghidu bau di tempat kali terakhir arwah ayah Ladymarsya terbaring. Dia seolah-olah rindu untuk bermain bersama tuannya.

TikTok

Kelakuannya itu yang tercari-cari arwah tuannya telah mengundang sebak para netizen.

TikTok

Rata-rata netizen turut  bersimpati dan sedih sambil mengucapkan salam takziah di atas pemergian arwah ayah Ladymarsya.

TikTok

Selepas ini tiada lagi aksi ceria si Ciput bersama ayah, sedihnya.. Salam takziah buat keluarga arwah.

Pilihan Editor:

Bangunan 42 tingkat di China terbakar

0

Satu kebakaran besar berlaku di sebuah bangunan pencakar langit China Telecom setinggi 42 tingkat yang terletak di wilayah Hunan, China.

Pihak berkuasa bandar Changsha memaklumkan, api berjaya dipadamkan pada jam 4.20 petang waktu tempatan 16 September, lapor AP.

Facebook

Setakat ini tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

Jabatan Bomba Hunan berkata dalam satu kenyataan menerusi akaun Weibo rasminya bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.48 petang waktu tempatan.

Api dan asap dirakam menjulang ke udara dari bangunan pejabat setinggi 218 meter itu yang merupakan milik operator telekomunikasi terbesar di China dibina pada tahun 2000.

Facebook

Jabatan Bomba dan Penyelamat Changsha menghantar 36 jentera bomba dan 280 anggota bomba ke tempat kejadian.

Berdasarkan siasatan awal, pihak berkuasa mendapati dinding luar bangunan itu terlebih dahulu terbakar sebelum api merebak ke seluruh bangunan.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan api menyambar dan marak membakar bangunan pencakar langit itu, demikian menurut jabatan bomba.

Facebook

Video yang tular menunjukkan sebelah bangunan itu berwarna hitam dengan serpihan jatuh ke tanah, manakala yang lain kelihatan para pekerja keluar dari bangunan berkenaan.

Punca kebakaran masih belum diketahui dan dalam siasatan.

Pilihan Editor:

Kesal dengan kerajaan, Ahli Parlimen Sepanggar membeli peralatan dan membaiki sendiri jalan berlubang di kawasan pimpinannya – “Ini peranan bersama”

0

Kadang-kadang terdetik di hati ini, mana perginya pemimpin kawasan ini? Jalan yang rosak tidak dibaiki, bukannya baru sehari dua, malah sudah beberapa tahun masalah yang sama tidak diselesaikan. Mungkin mereka sendiri tidak melalui jalan tersebut, jadi tidak tahu bagaimana peritnya apabila setiap hari terpaksa melalui jalan yang sama. Maka, tiada tindakan sewajarnya dilakukan. Janji manis sewaktu membentangkan manifesto sesi pilihanraya lalu hanyalah omongan kosong. Undi sudah diraih, namun kerjanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Namun, tidak semua pemimpin begitu kerana ada pemimpin yang benar-benar menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin. Antaranya ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman yang begitu cakna keselamatan rakyat pimpinannya, hingga sanggup membeli peralatan dan membaiki sendiri jalan berlubang di kawasan pimpinannya. Tindakannya itu akhirnya berjaya buka mata Kerajaan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Menerusi catatannya di Facebook, Mohd Azis meluahkan rasa kesalnya kerana kerajaan lambat bertindak untuk membaiki jalan raya yang rosak di sekitar Parlimen Sepanggar. Ini kerana pada 7 September lalu, beliau sendiri telah turun untuk meninjau keadaan jalan-jalan di sekitar Inanam hingga ke Manggatal selepas menerima aduan berkenaan kerosakan jalan di beberapa kawasan. Selepas pasukannya menandakan jalan-jalan yang rosak, ternyata memang terdapat banyak jalan yang perlu dibaiki.

Tidak sampai seminggu, jalan-jalan berlubang di sekitar Inanam telah ditampal oleh pihak berwajib. Kata Mohd Azis, ini membuktikan bahawa Ahli Parlimen bukan kerajaan boleh berperanan dalam mendesak kerajaan untuk bertindak dengan lebih cekap khususnya dalam menangani masalah asas seperti kerosakan jalan raya. Ini kerana masalah tersebut bukan hanya menyusahkan pengguna jalan raya malah boleh meragut nyawa. Beliau mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak berkuasa dan beliau sendiri akan terus memantau dan menandakan lubang-lubang jalan di sekitar Sepanggar dengan harapan pihak berkuasa akan segera mengambil tindakan selanjutnya.

Namun, baru-baru ini, Mohd Azis menerima puluhan lagi aduan kerosakan jalan dan telah melihat sendiri video-video yang ditularkan sehingga menyebabkan beberapa kenderaan mengalami kerosakan di Parlimen Sepanggar. Disebabkan kerajaan lambat bertindak, beliau bersama pasukannya telah membeli peralatan dan membaiki sendiri jalan berlubang tersebut.

“Suka atau tidak, selaku pemimpin maka saya terpaksa mencari penyelesaian kepada isu ini. Ini bukan gerakan untuk meraih undi atau simpati rakyat,” catatan Mohd Azis. Bagi mereka yang telah lama mengikuti perkongsian Mohd Azis di Facebook, pasti sudah tahu bahawa beliau bukanlah pemimpin yang bekerja secara bermusim lebih-lebih lagi apabila pilihanraya semakin hampir.

Beliau dengan tegas menjelaskan bahawa bukan tugas Ahli Parlimen Pembangkang sebaliknya tanggungjawab kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah asas seperti kerosakan jalan. Isu kerosakan jalan dan isu air di Sepanggar telah pun beliau suarakan di sidang Parlimen namun tiada tindakan diambil daripada pihak berkuasa.

Katanya lagi, kerajaan yang mengawal segala peruntukan namun tiada peruntukan disalurkan kepada Mohd Azis. Beliau juga faham mungkin kerajaan negeri tidak menerima peruntukan yang mencukupi daripada kerajaan persekutuan. Maka, beliau mengambil keputusan dan inisiatif untuk bertindak dengan dana dan jentera yang diusahakannya sendiri. Dana tersebut diperolehi daripada para penyumbang yang sudi berkongsi kesusahan rakyat.

Selepas membeli compact machine / plate compactor untuk kegunaan meratakan tar, Mohd Azis dan pasukannya menggerakkan misi menampal lubang jalan yang sudah menjadi seperti kolam air di Anjung Selera, Tanjung Lipat. Kerja-kerja membaiki pulih jalan tersebut dikongsi secara ‘Live‘ menerusi Facebook Mohd Azis. Selepas itu, mereka meneruskan kerja menampal lubang di jalan raya di Pekan Manggatal.

Susulan tindakan yang diambil oleh Mohd Azis itu, pada keesokan harinya, pihak berwajib melakukan kerja-kerja menampal jalan di kawasan Likas pula. Katanya, kekerapan kerja-kerja menampal jalan berlubang ini adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kemalangan hingga meragut nyawa pengguna jalan raya. Tambah beliau lagi, jika kerajaan sibuk, beliau dan pasukannya sedia membantu demi merealisasikan cita-cita ‘Ke Arah Sepanggar Tanpa Jalan Berlubang’.

Biarpun ada pihak yang mempertikaikan usaha Mohd Azis membantu kerajaan dalam menangani isu kerosakan jalan di kawasan Sepanggar, beliau tetap terus menjalankan tanggungjawabnya. Ini kerana, jika beliau terus menunggu kerajaan mungkin ramai lagi yang akan menjadi mangsa kemalangan akibat kerosakan jalan raya tersebut. Lagi pula, sebelum ini sudah pernah berlaku kemalangan hingga meragut nyawa dan ramai pengguna mengalami kerugian disebabkan tayar dan rim kenderaan mereka rosak. Tambahnya lagi, kemalangan boleh berlaku bila-bila dan ia tidak mengenal parti, bangsa atau agama. Maka, membaiki kerosakan jalan adalah peranan bersama.

Semoga Mohd Azis akan terus berjuang membela nasib rakyat di Sabah khususnya di kawasan pimpinan beliau, Sepanggar. Jasa pemimpin yang baik dan bertimbang rasa sepertinya pasti akan dikenang oleh rakyat.

Pilihan Editor:

Murid SJK(T) Taman Melawati catat masa terpantas mengemas beg sekolah berjaya raih Rekod Dunia Guinness

0

Bagai mimpi jadi kenyataan apabila murid tahun empat SJKT Taman Melawati, Sarvysswharrann Yogeswaran berjaya meraih Rekod Dunia Guinness bagi acara mengemas beg sekolah bagi kategori bawah 16 tahun. Masa yang dicatatkan oleh Sarvysswharrann ialah 31.33 saat merupakan masa terpantas sekali gus melayakkannya memegang rekod dunia tersebut.

Bapanya, Yogeswaran Tamil Selvam begitu bangga dengan pencapaian anaknya itu dan berkongsi berita gembira tersebut di Facebook miliknya. Berikut adalah perkongsian ringkas daripada bapanya mengenai acara yang disertai oleh Sarvysswharrann:

  • Rekod Permohonan: 22 Ogos 2021
  • Percubaan Rasmi: 31 Disember 2021
  • Pengumuman Keputusan: 15 Jun 2022
  • Penerimaan Sijil: 13 Julai 2022

Semasa menunggu keputusan rasmi daripada Rekod Dunia Guinness, Sarvysswharrann telah dilantik sebagai “Duta Jenama” bagi SIMFLIGHTKL dan menerima tajaan daripada Akademi Penerbangan Muda di bawah “Program Juruterbang Muda”.

Terdahulu, kanak-kanak berusia 10 tahun ini telah berjaya merekodkan pencapaian lain yang mengagumkan dalam Rekod Dunia Kanak-kanak iaitu peserta terpantas menamakan banyak nama pesawat dalam masa enam minit bagi kategori lelaki tujuh hingga sembilan tahun.

Selain itu, Sarvysswharrann juga telah memenangi tiga pingat dalam satu pertandingan reka cipta peringkat Antarabangsa di Pulau Pinang pada tahun 2021.

Tahniah diucapkan kepada Sarvysswharrann Yogeswaran di atas pencapaiannya yang luar biasa itu. Semoga Sarvysswharrann terus maju pada masa hadapan.

Pilihan Editor:

Ibu ini hanya mampu beri anak-anaknya makan nasi kosong gaul minyak masak dan garam sebelum mereka pergi sekolah

0

Hari ini semakin ramai golongan berpendapatan sederhana yang merungut harga barangan semakin meningkat dan banyak barangan keperluan tidak dapat dibeli seperti dahulu lagi. Dan semakin ramai juga orang yang mengadu hidup susah sehingga terpaksa berjimat cermat.

Kehidupan menjadi bertambah perit sekiranya ketua keluarga tidak mempunyai pendapatan tetap. Hidup berjimat cermat itu memang sudah terbiasa, dan rasa kesusahan itu semakin menghimpit.

Jika kita yang berasa susah masih boleh makan nasi dengan berlauk pauk, ada keluarga yang tidak mampu pun untuk berbuat demikian seperti keluarga ini.

TikTok

Kisah sedih keluarga ini yang tinggal di Sabah membuatkan ramai yang berasa sebak. Seorang pengguna TikTok Salwa Naidin berkongsi video yang tular di media sosial memaparkan keadaan sebuah keluarga yang hanya mampu makan nasi kosong berlaukkan minyak masak dan garam sebagai alas perut.

TikTok

Bayangkan hati seorang ibu pasti sangat sedih dan pedih apabila memandang anak-anak yang masih kecil, tengah cukup berselera untuk makan dan bersekolah pula, tetapi hanya mampu dihidangkan nasi kosong berlaukkan minyak masak dan garam sahaja. 

Itulah rutin santapan anak-anak ini setiap hari sebelum pergi ke sekolah. Tetapi apakan daya, hanya itu yang mereka mampu.

TikTok

Salwa Naidin yang sebelum ini pernah mengunjungi rumah keluarga tersebut tidak menyangka keadaan mereka seteruk itu. Setiap pagi, anak-anak yang masih bersekolah rendah itu akan makan nasi kosong dengan bergaulkan minyak masak dan garam sahaja.

TikTok

“Hari tu, datang semula ke rumah kakak ni. Tidak sangka sampai macam tu sekali nasib mereka sekeluarga. Yang ada rezeki lebih, sama-sama berkongsi buat mereka yang memerlukan. Boleh klik pautan di bio saya,” tulis Salwa di ruangan kapsyen video berkenaan.

TikTok

Video itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dan komen yang ditinggalkan netizen. Selain berasa sebak melihat mereka sekeluarga, ramai juga yang bertanya di mana lokasi mereka tinggal.

Difahamkan keluarga ini tinggal di Sabah. Walaupun mereka hidup susah, tetapi kebersihan dan adab sopan tetap dijaga.

TikTok

Sambil tidak kurang yang mendoakan keluarga ini agar dimurahkan rezeki dan tabah mengharungi dugaan dalam menempuh hari-hari yang mendatang.

TikTok

Semoga ada pihak yang prihatin tampil bagi memberikan bantuan yang sewajarnya dan berterusan kepada keluarga ini. 

TikTok

Juga didoakan semoga anak-anak ini membesar menjadi insan yang berjaya satu hari nanti, supaya dapat membantu ibu mereka yang telah banyak berkorban dan bertabah mengharungi liku-liku kehidupan.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Halang ratu cantik Taiwan daripada mengambil bahagian di atas pentas, penganjur WCIT di Malaysia dikecam

0

Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2022 baru-baru ini yang berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia mendapat kecaman daripada pihak antarabangsa berikutan tindakan penganjur acara itu.

Semasa persidangan berkenaan, peserta Miss Universe telah dijemput untuk naik ke pentas dan berucap kepada para hadirin dalam bahasa ibunda mereka sambil dibenarkan mengibarkan bendera kebangsaan, semuanya kecuali seorang peserta, Kao Man-jung dari Taiwan.

Facebook

Ahli politik Taiwan, Karen Yu yang hadir, menerusi hantarannya di Facebook telah mengecam tindakan itu kerana ratu cantik Taiwan dilihat berasa sedih dan menangis kerana tidak dibenarkan menyertai acara itu.

Gambar Focus Taiwan

Karen Yu menulis, “Penindasan China terhadap Taiwan ada di mana-mana, walaupun dalam acara industri maklumat. Sebentar tadi, saya berada di Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2022 di Pulau Pinang, Malaysia, dan menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri Kao Man-jung, yang mewakili Taiwan dalam pertandingan Miss Universe, tertekan dan menangis kerana penindasan China dan tidak dapat naik ke pentas.”

Jelasnya, delegasi Taiwan yang hadir teruja melihat ratu cantik itu mewakili negara mereka tetapi apabila tiba gilirannya untuk naik ke pentas, beliau telah ditahan.

Facebook

“Sehingga semua wanita cantik naik ke atas pentas dan mengibarkan bendera negara masing-masing barulah beliau menyedari, pada saat terakhir, dan oleh kerana penindasan China, persidangan itu tidak boleh membiarkan ratu cantik Taiwan naik ke atas pentas,” kata Karen Yu.

“Saya merakam keseluruhan kejadian di telefon pintar saya dan pada akhirnya, Kao Man-jung tidak dapat menyembunyikan kesedihan dengan mengalirkan air matanya,” tambahnya dengan nada kecewa.

Facebook

Walau bagaimanapun, Karen Yu menjelaskan penganjur WCIT memohon maaf kepada ratu cantik itu dan menyatakan rasa bersalah mereka terhadap situasi yang berlaku. 

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Arkitek Hong Kong ubah suai paip air konkrit jadi rumah tiub, penyelesaian masalah perumahan dengan harga RM70,000

0

Tidak kira di negara mana, ramai yang merungut harga rumah terlalu mahal untuk dibeli, tetapi ianya tiada apa-apa jika dibandingkan dengan harga hartanah dan rumah di Hong Kong! 

Menurut statistik Demographia, firma perunding dari Amerika Syarikat, Hong Kong terus menduduki tangga teratas “10 Tempat Paling Sukar untuk Membeli Rumah di Dunia” selama tujuh tahun berturut-turut. 

Arkitek tempatan James Law menyedari masalah perumahan di Hong Kong adalah perkara serius dan memutuskan untuk berbincang dengan firma seni binanya sendiri James Law Cybertecture, dan akhirnya menemui idea penyelesaian yang baik..

Gambar James Law Cybertecture

Ini adalah cara yang baik untuk menggunakan paip air konkrit yang besar untuk berubah sepenuhnya menjadi rekaan rumah unik iaitu Perumahan Tiub OPod. 

Saiz rumah tiub OPod ini ialah 100 kaki persegi dengan ukuran panjang 5 meter dan berdiameter 2.5 meter yang boleh memuatkan 1 hingga 2 orang.

Gambar James Law Cybertecture

OPod mempunyai fungsi kalis api, kalis angin, penebat haba dan penebat bunyi yang baik, termasuk boleh menahan tekanan yang besar. Di samping itu, terdapat perabot dan peralatan asas di dalamnya, termasuk sofa yang boleh dijadikan katil, peti sejuk mini dan lain-lain.

Gambar James Law Cybertecture

Bukan itu sahaja, malah terdapat juga kemudahan dapur dan bilik air seperti rumah keluarga biasa, malah terdapat banyak ruang kecil untuk penyimpanan.

Gambar James Law Cybertecture

Selain itu, bagi memudahkan penghuni melihat pemandangan di luar, pintu utama rumah tiub mempunyai bahagian kaca yang lebih besar, manakala pintu belakang mempunyai bahagian kaca yang lebih kecil kerana ia disambungkan dengan bilik air.

Gambar James Law Cybertecture

Rumah tiub boleh melalui tangga logam mudah, Anda boleh dengan mudah sampai ke rumah tiub lain yang anda ingin pergi. Dan akses struktur itu boleh dikawal telefon pintar.

Gambar James Law Cybertecture

Memandangkan rumah tiub mempunyai berat 22 tan, ia tidak boleh dialihkan dengan mudah, tetapi kerana ia mudah untuk diperbaiki antara satu sama lain, kos pemasangannya juga rendah.

Gambar James Law Cybertecture

Harga cadangan rumah tiub ini adalah kira-kira HK$120,000 (RM69,307), dan ia masih dalam peringkat prototaip dan diperkenalkan dalam pameran Designinspire, tanpa rancangan pengeluaran segera. 

Gambar James Law Cybertecture

“Saya terfikir, bukankah menjadi idea hebat menggunakan tiub air konkrit terbuang untuk menghasilkan seni bina mikro, luas dan boleh dimiliki pada kos yang rendah selain agak menarik untuk golongan muda di Hong Kong,” kata James Law.

Melihat kepada harganya yang dikira rendah dan hiasan dalamannya yang mewah, pasti ramai warga Hong Kong yang tertunggu-tunggu rumah tiub ini siap dengan sepenuhnya.

Pilihan Editor:

Akar pokok dibiarkan hampir rentung akibat seseorang teruja berkelah di Port Dickson membakarnya sambil turut membuat sepah di tempat itu

0

Segelintir rakyat Malaysia atau orang asing yang suka duduk di Malaysia enggan pulang, tidak dinafikan suka merosakkan harta benda awam dalam pelbagai jenis dan cara, daripada merosakkan papan tanda jalanan sehingga memijak tumbuhan. 

Jika ada anda yang terasa, mahu marah kerana merasakan ia tidak benar, tetapi perhatikan sahaja bukti yang terbentang terang-terangan. Satu perkara kecil yang kita anggap remeh, yang menggambarkan sikap buruk kita secara keseluruhan tidak cintakan negara.

Kejadian ini mungkin adalah sesuatu yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.

Facebook

Laman Facebook Negeri Sembilan kini baru-baru ini berkongsi video yang diambil di sebuah tempat rekreasi di Port Dickson, Negeri Sembilan. Video itu memaparkan bagaimana lokasi itu dibiarkan bersepah dengan plastik dan pembungkus makanan. 

Facebook

Apa yang memburukkan keadaan ialah terdapat seseorang yang bukan sahaja mengotorkan tempat itu, kerana dengki takut tukang kutip sampah tiada kerja, tetapi turut membakar pokok tempat mereka tumpang berteduh dan seronok bersantai menikmati udara pantai.

Negeri Sembilan kini dalam hantaran itu:

“Orang nak berkelah, kau pun nak juga. Tetapi tengoklah, dah buat sampah satu hal. Yang kau pergi barbeku pokok tu kenapa??”

Facebook

Dalam video itu, sampah plastik boleh dilihat berserakan di atas tanah di sebelah set meja dan kerusi batu. Betul-betul bersebelahan dengan ruang tempat duduk, kelihatan sebatang pokok yang akarnya hampir rentung dan masih berasap selepas api yang marak telah dipadamkan.

Netizen yang merakam video tersebut yang juga individu prihatin yang telah memadamkan api mendakwa telah mengambil masa lebih 3 hari untuk memadamkan pokok yang terbakar itu.

Facebook

Ketika pokok yang tinggi itu masih berdiri, lelaki itu turut berkongsi kebimbangannya yang ia mungkin tumbang tidak lama lagi dan membawa risiko serta bahaya kepada orang awam, berikutan akar yang menjadi tonggak pokok itu telah hampir rentung dan habis mati akibat kebakaran.

“Tolonglah!!” katanya dalam video itu.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Kanak-kanak terkejut sebaik sahaja melihat kek hari lahirnya, kekecewaan terlihat diwajahnya namun dia masih tersenyum

0

Sambutan hari lahir pasti akan menjadi kenangan terindah dalam hidup seseorang lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak. Pada waktu ini, kanak-kanak yang diraikan itu diberi peluang untuk memilih kek yang dia mahukan. Contohnya kek bertemakan kartun kegemaran mereka. Mereka membayangkan kek tersebut pasti cantik seperti yang mereka inginkan. Namun, lain ceritanya dengan kanak-kanak ini. Dia hilang kata-kata sebaik sahaja melihat kek hari lahirnya. Kekecewaan jelas diwajahnya namun dia masih tersenyum.

Melalui video sambutan hari lahir yang dikongsi oleh @fitropfitrop di TikTok ini kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang ditutup matanya sebelum dia melihat kek hari lahirnya. Pasti dia begitu teruja untuk melihat kek bertemakan Elsa daripada filem animasi Frozen yang diinginkannya.

Namun, sebaik sahaja dia membuka mata, kanak-kanak perempuan itu terdiam. Dia hanya memerhatikan kek yang berada di hadapannya itu. Benarkah ini kek Elsa yang dia mahukan?

Walaupun jelas terkejut dengan keadaan kek tersebut, namun si kecil ini tetap terus tersenyum.

Dia melihat kek Elsa tersebut dengan lebih dekat seolah-olah mahu mengatakan bahawa itu hanya mimpi sahaja. Apabila ditanya adakah kek tersebut sama ada cantik atau tidak, dia hanya tersenyum sahaja.

Kanak-kanak perempuan itu terus memerhatikan kek Elsa, mungkin untuk melihat sisi manakah yang cantik. Akhirnya dia akur bahawa kek Elsa itu cantik!

Dia bertanyakan kepada ibunya adakah kek itu untuknya. Si ibu membalas bahawa kek itu memang untuknya. Si ibu bertanyakan kepadanya adakah dia gembira dengan kek tersebut?

Tanpa teragak-agak, si kecil yang manis ini menjawab, dia gembira malah turut memberikan flying kiss dan mengatakan “I love you, Elsa”.

Beberapa gambar diambil bagi menyimpan kenangan tersebut. Biarpun kek Elsa itu hodoh, namun si kecil ini tidak sekali pun merungut apatah lagi menangis. Senyuman tidak lekang daripada wajahnya. Barangkali dia sudah dididik agar sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.

Mungkin kek Elsa tersebut tidak cantik seperti yang diharapkan tetapi masih lagi enak dimakan. Kanak-kanak perempuan tersebut menikmati kek hari lahirnya dengan begitu riang sekali.

Pilihan Editor: