Satu kebakaran besar berlaku di sebuah bangunan pencakar langit China Telecom setinggi 42 tingkat yang terletak di wilayah Hunan, China.
Pihak berkuasa bandar Changsha memaklumkan, api berjaya dipadamkan pada jam 4.20 petang waktu tempatan 16 September, lapor AP.
Setakat ini tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.
Jabatan Bomba Hunan berkata dalam satu kenyataan menerusi akaun Weibo rasminya bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3.48 petang waktu tempatan.
Api dan asap dirakam menjulang ke udara dari bangunan pejabat setinggi 218 meter itu yang merupakan milik operator telekomunikasi terbesar di China dibina pada tahun 2000.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Changsha menghantar 36 jentera bomba dan 280 anggota bomba ke tempat kejadian.
Berdasarkan siasatan awal, pihak berkuasa mendapati dinding luar bangunan itu terlebih dahulu terbakar sebelum api merebak ke seluruh bangunan.
Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan api menyambar dan marak membakar bangunan pencakar langit itu, demikian menurut jabatan bomba.
Video yang tular menunjukkan sebelah bangunan itu berwarna hitam dengan serpihan jatuh ke tanah, manakala yang lain kelihatan para pekerja keluar dari bangunan berkenaan.
Punca kebakaran masih belum diketahui dan dalam siasatan.
Pilihan Editor: