28.1 C
Kuala Lumpur
Friday, July 18, 2025
Utama Blog Laman 183

Perlu ganti cermin setiap hari, konduktor KTM mohon ibu bapa nasihati anak tidak baling batu

0

Isu berkenaan pengangkutan awam adalah antara isu yang sering dibahaskan di negara ini. Bermula dari bas, teksi hinggalah kepada kereta api termasuk LRT, Monorail dan KTM. Memang tidak dinafikan masih banyak kelemahan yang ada pada sistem pengangkutan awam namun kita percaya pihak bertanggungjawab telah mencuba sebaik mungkin untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat para penumpang.

Setiap kali masalah timbul, kita sering menunding jari ke arah pihak bertanggungjawab atau pihak pengurusan pengangkutan awam tetapi hakikatnya ada masalah yang timbul kerana orang awam sendiri dan isu yang berlaku bukan isu yang kecil dan perlu diubah.

Antara masalah yang sering dihadapi oleh pihak KTM khususnya, ialah masalah di mana orang suka membaling batu ke arah kereta api. Ya, mungkin ramai yang mengatakan perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat dan New Zealand, tetapi itu bukan alasan untuk terus melakukan ‘aktiviti’ tidak baik ini.

Buat anda yang tidak tahu, kejadian membaling batu melalui tingkap sering sahaja berlaku sebenarnya dan perbuatan ini telah mengakibatkan ada penumpang dan kru kereta api mengalami kecederaan.

Memandangkan masalah ini seringkali berlaku kepada KTM, jadi seorang konduktor telah meminta ibu bapa untuk mengawal tingkah laku anak mereka. Video tersebut telah dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, @redzuanmanaf87, yang juga merupakan seorang konduktor KTM. Video tersebut merupakan balasan kepada soalan netizen tentang mengapa tingkap dan pintu kereta api pecah.

Membahasakan dirinya sebagai ‘Pak Su’ pegawai itu meminta bantuan orang ramai untuk menghentikan perbuatan yang boleh merosakkan kereta api.

“Pak Su meminta bantuan kamu untuk menasihati anak-anak kamu dan jiran-jiran kamu supaya jangan membaling batu ke arah kereta api Pak Su.”

Menurut Pak Su lagi setiap hari ada sahaja yang membaling batu ke arah kereta api. Akibatnya pihak KTM perlu menggantikan cermin tingkap yang pecah setiap hari.

“Tolonglah. Kasihanilah orang yang menaiki kereta api. Kasihan kami semua.”

“Sayanglah harta kita ini (kereta api), ini semua harta kita bukan harta Pak Su,” tambahnya lagi. Dia kemudian menunjukkan ke arah cermin tingkap kereta api yang kelihatan rosak.

Seperti yang sudah diberitahu, isu ini bukanlah isu yang baru. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menanggung kerugian lebih RM6 juta pada tahun 2016 kerana terpaksa menampung kos menggantikan kira-kira 1,300 unit tingkap koc komuternya yang pecah akibat vandalisme.

Menurut Pengurus Komunikasi Korporat KTMB ketika itu, Siti Badariah Wan Hanafi, perbuatan membaling batu tidak mendatangkan kecederaan kepada penumpang tetapi ini telah menyebabkan operasi perjalanan komuter kadang kala terganggu.

“Jika kerosakan tingkap itu teruk, kita terpaksa menahan koc terlibat bagi tujuan penukaran cermin demi keselamatan pengguna,” katanya.

Pada 2019, Berita Harian pula ada melaporkan bahawa kejadian terlanggar haiwan peliharaan dan tren dibaling batu adalah antara masalah utama yang dihadapi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Pantai Timur.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Dua beranak turun skuter sambil kereta di belakangnya berhenti ketika lampu hijau demi membantu warga emas selamat melintas jalan

0

Ketika anda berhenti di persimpangan lampu isyarat yang sibuk dengan kenderaan, apa reaksi anda apabila tiba-tiba melihat seorang datuk tua mahu melintas jalan di laluan zebra tetapi masanya tidak cukup untuk ke seberang kerana pergerakannya amat perlahan.

Rakaman video luar negara yang lama tular dipercayai dari Taiwan ini memaparkan situasi itu apabila ketika para pemandu kenderaan sedang berhenti di lampu isyarat merah, seorang datuk tua mahu melintas jalan.

Facebook

Sebaik lampu bertukar hijau, datuk itu terpaksa berhenti di pertengahan jalan dan terperangkap dalam laluan kenderaan deras yang kesemuanya cuba mengelak daripada terlanggarnya.

Facebook

Melihat situasi yang agak membahayakan telah spontan membuat seorang penunggang skuter wanita bersama anak perempuannya bergegas turun untuk membantu warga emas itu melintas jalan.

Facebook

Turut serta membantu datuk tua melintas jalan ialah pemandu kenderaan yang merakamkan dalam dashcam ketika detik datuk ini dibantu oleh duo anak beranak itu sehingga selesai dan selamat, dalam video berdurasi 2 minit 30 saat.

Facebook

Mereka sama-sama berhenti dan membantu satu sama lain, walaupun kedua-duanya adalah orang asing tidak dikenali. 

Tetapi rasa simpati dan hormat terhadap orang tua telah menyebabkan mereka melakukan perkara sama yang mulia.

Facebook

Ibu ini memberi teladan yang baik kepada anak perempuannya, menjadi insan baik hati dan menunjukkan rasa belas kasihan serta bertimbang rasa kepada golongan tua yang memerlukan bantuan tidak kira di mana.

Facebook

Menjadi contoh juga buat kita, mungkin pada suatu hari akan terjadi situasi ini di mana-mana dan kalau boleh melakukan perkara yang sama.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Pelancong Singapura temui ‘warung’ menjamu selera, makan-makan baru perasan mereka ‘main redah’ kenduri kahwin di Thailand

0

Sekumpulan pelancong dari Singapura baru-baru ini secara realiti merasai dan memuji keramahan orang Thailand yang terkenal apabila mereka secara tidak sengaja masuk mencelah resepsi perkahwinan orang kampung di sana. Mereka pada mulanya menyangka telah melawat ‘warung penjual jalanan’.

Kumpulan warga Singapura itu sedang dalam perjalanan dengan bermotosikal sejauh 612 kilometer apabila pada waktu makan tengah hari pada 30 Mac, mereka mendapati dan menganggap kelihatan kedai makan meriah tepi jalan di Chiang Mai dan singgah.

TikTok

Geng itu kemudian turun dari motosikal dan berjalan dengan gembira ke arah suasana meriah di luar bangunan kecil dengan meja dan kerusi. Dalam video, penduduk tempatan dilihat melakukan isyarat ” jemput makan” dengan tangan mereka.

“Oleh kerana sukar untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan kerana terdapat halangan bahasa jadi kami menggunakan isyarat tangan untuk mengatakan kami sedang mencari restoran,” petik Asia One apabila salah seorang warga Singapura itu menceritakan bagaimana detik melucukan bermula.

TikTok

Apabila melihat meja dan kerusi, seorang lelaki menjawab dalam Bahasa Singlish, “Ohh! ohhh! sudah ada makanan”.

Dalam video siaran di TikTok, penduduk tempatan di majlis perkahwinan itu dilihat menyambut geng motosikal warga Singapura dengan hati dan tangan terbuka.

TikTok

Mothership melaporkan kumpulan itu terus tidak sedar sehingga mereka meminta menu, dan apabila mendapati tiada menu, mereka menyangka telah memecah masuk pesta orang lain.

Pada masa itu mereka masih tidak menyedari majlis itu adalah resepsi perkahwinan.

Hanya selepas salah seorang daripada mereka menyiarkan salah satu video dalam talian, seorang rakan memberitahu mereka bahawa majlis meriah itu sebenarnya adalah resepsi perkahwinan, menurut laporan Asia One.

TikTok

Dan apabila mereka akhirnya menyedari kesilapan main redah majlis orang, kumpulan itu mahu beredar. 

Bagaimanapun, penduduk tempatan dan tuan rumah berkeras meminta kumpulan pelancong Singapura itu terus kekal duduk dan mengisi perut kenyang-kenyang terlebih dahulu sebelum beredar.

Dalam video TikTok kedua, kumpulan itu dilihat duduk di meja sambil memakan mi.

TikTok

“Kami terkejut tetapi dalam cara positif dan makanannya pula sedap,” kata salah seorang daripada mereka sambil menambah kumpulan itu dijamu dengan hidangan mi, aiskrim, dan minuman.

TikTok

Pelancong bermotosikal Singapura itu kemudiannya bergambar dengan beberapa penduduk kampung tempatan.

Gambar Asia One

Dalam gambar, salah seorang pelancong Singapura itu dilihat memegang beg keropok yang diserahkan orang kampung pada majlis perkahwinan untuk dimakan semasa dalam perjalanan bermotosikal.

Baik hati sungguh orang kampung Thai dan tidak kisah langsung mereka ni..

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Pemuda ini mengaku cicit P. Ramlee tetapi ramai macam tak percaya, siap tunjukkan bukti memang betul ya

0

Kalau anda rakyat Malaysia mesti kena mengenali seniman agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Mana tidaknya kalau sebut nama P. Ramlee, semua orang mengenalinya sebagai legenda seni tanah air dan karyawan agong serba boleh sebagai pelakon, pengarah, penulis lagu, pemuzik, penulis lirik dan penyanyi.

P. Ramlee amat terkenal bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia kerana hasil karya filemnya seperti Bujang Lapok, Do Re Mi, Tiga Abdul, Madu Tiga, Nujum Pak Belalang, Ahmad Albab dan lain-lain yang tidak pernah jemu ditonton.

TikTok

Agak lama juga kita tidak mendengar cerita keluarga P. Ramlee kerana kali terakhir mendengar adalah pada ketika anak lelakinya, Allahyarham Nasir P. Ramlee mengikut jejak bapanya menjadi anak seni.

Namun baru-baru ini, tular di TikTok apabila seorang pemuda bernama Abu Ghazi berkongsi dan mendedahkan yang dia adalah cicit kepada P. Ramlee.

TikTok

Pada mulanya, ramai juga pengguna TikTok yang rasa macam tak percaya, sehingga ada yang meminta tolong tunjukkan gambar moyangnya yang legenda itu.

Siapa sangka sehingga ramai juga yang terkejut rupa-rupanya Abu Ghazi memang benar dan sahih ada pertalian keluarga dengan legenda tiada ganti P. Ramlee.

Abu Ghazi membuktikan yang dia memang cicit P. Ramlee dengan keterangan salasilah keluarganya dalam akhbar Kosmo yang bertarikh 28 Disember 2008 bertajuk ‘Menjejak Waris-Waris P. Ramlee’.

TikTok

Kosmo menerangkan dengan lebih lanjut mengenai keturunan P. Ramlee dan Abu Ghazi berkata ketika akhbar itu disiarkan, dia baru berusia 3 tahun.

Abu Ghazi selanjutnya menerangkan dia adalah cicit hasil perkahwinan pertama P. Ramlee dengan Junaidah Daeng Harris, yang melahirkan Nasir P. Ramlee.

TikTok

Seniman Nasir P. Ramlee adalah datuk kepada Abu Ghazi yang meninggal dunia pada 17 Disember 2008.

TikTok

Selepas perkongsian dengan tontonan melebihi 1 juta itu telah membuatkan semua orang terbukti percaya, maka ramailah kalangan netizen yang meninggalkan komen di TikTok dengan berkata:

“Macam tengah belajar sejarah, hahaha..”

“Saya minat dengan moyang awak bro..”

“Terbaik, teruskan generasi legasi moyangmu dik.. Takkan pernah sekalipun lupa legenda seniman Malaysia.”

“Obses dengan P. Ramlee, semua cerita dia saya tengok..”

Semoga Abu Ghazi pun kalau berminat dan berbakat besar boleh menjadi legenda macam moyangnya Tan Sri P. Ramlee.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Pelajar Malaysia duduki tempat pertama di Virginia Tech, Amerika Syarikat

0

Pada mulanya ada rasa takut dengan sistem pendidikan tinggi di negara asing ditambah lagi dengan jumlah kaum perempuan dalam kursus pengajiannya, Irdina Shahriman akhirnya berjaya mencapai kejayaan di luar negara.

Penerima biasiswa Yayasan Tenaga Nasional itu berjaya mendapatkan keputusan cemerlang yang konsisten dengan mencapai purata mata gred kumulatif (CGPA) 4.0 sepanjang tempohnya sebagai Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrik di Virginia Tech (VT) di Amerika Syarikat dari 2018 hingga 2021.

Pencapaian itu menyebabkan dia memimpin kumpulan itu untuk beberapa tahun berturut-turut, kerana dia menduduki tempat pertama dalam kalangan hampir 10,000 pelajar.

Ia juga menyaksikan pelajar berusia 24 tahun itu menerima pingat Phi Kappa Phi untuk Kolej Kejuruteraan – anugerah yang dianugerahkan kepada graduan senior dengan pencapaian akademik tertinggi.

Mengimbas kembali perjalanannya, Irdina, yang menamatkan pengajian pada Disember tahun lalu, berkata ketabahan dan percaya pada dirinya sendiri telah membantunya mengatasi ketakutannya untuk mencuba dan melakukan kesilapan.

“Saya bukan seorang ‘genius’ secara semula jadi, jadi saya bekerja keras. Saya tidak ponteng kelas, saya mengambil nota dengan tekun, dan yang lebih penting, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan profesor dan rakan sekelas saya, yang benar-benar meningkatkan pemahaman saya tentang perkara itu,” katanya kepada StarEdu.

“Hayati proses pembelajaran; itulah yang paling penting,” tegasnya sambil menambah, “Sentiasa tetapkan niat anda dengan betul dan terjemahkannya ke dalam tindakan.”

“Mereka memberi banyak penekanan untuk menyatakan pandangan anda, menjadi lebih kreatif, dan berfikir di luar daripada apa yang diajar.

“Sebagai contoh, ada ketika saya dimaklumkan bahawa tiada format untuk laporan makmal dan ia perlu ditulis mengikut kesesuaian saya.

“Sebagai seseorang yang sentiasa bekerja dalam persekitaran yang tersusun, itu mendorong saya keluar dari zon selesa saya,” katanya.

Beliau menambah bahawa sistem akademik Amerika Syarikat memerlukan pelajar untuk konsisten dalam belajar kerana kebiasaannya mempunyai peperiksaan dua kali seminggu sepanjang semester.

“Beberapa hari, saya terpaksa batalkan rancangan untuk keluar dengan rakan-rakan atau menonton filem terkini. Ketika itu hujung minggu dan hari bekerja tidak ada bezanya dengan saya. Masa saya dihabiskan untuk menyelesaikan tugasan dan belajar untuk peperiksaan.

“Berlengah-lengah tidak mempunyai tempat dalam kamus hidup saya,” kongsinya lagi.

Dia juga berkata mengingatkan dirinya tentang tujuannya telah membolehkan dia menyesuaikan diri dengan persekitaran yang didominasi golongan lelaki di fakultinya.

“Sepanjang saya di VT, saya tidak pernah mempunyai ahli kumpulan perempuan dalam projek kumpulan saya, yang kadang-kadang menakutkan saya,” katanya. Walaupun pelajarannya adalah keutamaannya, Irdina juga meluangkan masa untuk beberapa aktiviti kokurikulum dan mengakui kepentingan menjaga diri.

“Saya sangat percaya bahawa mengekalkan kesihatan fizikal dan mental yang baik membantu seseorang menjadi lebih produktif,” katanya.

Menurut Irdina, gaya hidupnya di VT terdiri daripada tidur lapan jam sehari, bersenam, dan makan makanan yang dimasak di rumah.

“Ketahui sempadan anda dan jangan terlalu keletihan,” nasihatnya. Menurutnya lagi, pengalamannya di AS a telah membantunya menemukan dirinya dan keupayaannya untuk mengharungi kesusahan secara berdikari, serta mendedahkannya kepada budaya yang berbeza dan persahabatan baharu.

Setelah pulang ke Malaysia, Irdina yang berasal dari Subang Jaya, Selangor kini sedang menunggu penempatan di Tenaga Nasional Berhad.

“Saya teruja untuk meneruskan kerjaya saya dalam kejuruteraan kuasa dan menyumbang nilai kepada peralihan tenaga negara ke arah sumber elektrik yang lebih mampan,” katanya.

Kepada pelajar yang bercita-cita tinggi untuk membuat markah dalam pelajaran, Irdina menekankan perlunya percaya pada diri sendiri.

“Percaya pada kebolehan anda. Setiap orang mempunyai kekuatan dan kebolehan mereka sendiri dalam hidup. Ingatlah bahawa sifat manusia untuk berdaya saing, dan bahagian paling penting dalam bersaing adalah untuk bersaing bukan dengan orang lain, tetapi dengan diri sendiri.”

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Alami kesukaran untuk naik ke atas batu, bantuan kawan buatkan kura-kura ini akhirnya berjaya juga

0

Tiada hidup yang mudah dan setiap orang hakikatnya mempunyai kesusahan dan perjuangan masing-masing. Tidak kira siapa mereka, di mana mereka berada atau sekaya mana mereka dengan harta, mereka dan kita semua punya ujian yang harus ditempuhi. Ianya tidak mudah, tetapi tidaklah begitu sukar juga lebih-lebih jika ada orang di sekeliling yang selalu ada untuk menyokong.

Sepertinya bukan kita sahaja yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada lain malah haiwan juga sangat memerlukan pertolongan terutama dalam melakukan hal-hal yang mereka tidak mampu untuk lakukan sendirian. Misalnya kura-kura dalam video ini yang sangat bernasib baik kerana ada kawan-kawan yang ada di sisinya, yang boleh membantunya ketika dia dalam kesusahan.

Apa yang berlaku ialah kelihatan ada seekor kura-kura yang berada di sebuah kolam atau tasik sedang berusaha untuk memanjat naik ke atas sebuah batu besar. Namun usahanya nampaknya tidak mudah kerana awalaupun sudah mencuba berkali-kali usahanya tetap tidak berhasil.

Kura-kura memiliki fizikal yang kecil, gempal, keras dan kura-kura juga tidak memiliki kelajuan atau ketangkasan. Keadaan ini membuatkan mereka sering mengalami kesukaran untuk memanjat dan jika tersilap langkah mereka boleh terbalik.

Tambahan lagi, keadaan batu tersebut yang licin membuatkan dia mengalami kesukaran untuk naik ke atas. Hal ini telah menyebabkannya melurut ke bawah beberapa kali.

Walau bagaimanapun, kesukarannya untuk memanjat batu telah disaksikan oleh kawannya. Salah seekor kura-kura di situ kemudian berenang ke arahnya untuk membantunya dengan menolaknya dari belakang supaya dia tidak melurut jatuh lagi. Kali ini dengan bantuan kawannya, kura-kura comel itu akhirnya berjaya menyemibangkan badannya dan terus naik ke atas batu.

Mungkin kerana bimbang kawannya akan terjatuh atau terbalik di dalam air membuatkan dia terus membantu.

Buat anda yang mungkin tidak tahu ia adalah bahaya jika kura-kura berada dalam keadaan terbalik. Keadaan seperti itu akan membuatkan kura-kura dalam keadaan sakit. Nyawa mereka bahkan boleh terancam jika mereka terus dibiarkan dalam keadaan terbalik.

Video comel tersebut telah dikongsikan oleh pegawai Perkhidmatan Hutan India, Susanta Nanda, di Twitter miliknya dengan kapsyen, “Dorongan kecil daripada rakan anda adalah perkara yang penting dalam hidup.” Selain itu, Nanda juga sering berkongsi pelbagai video comel dan gambar haiwan atau burung yang sangat menarik perhatian ramai.

Sehingga kini video tersebut telah ditonton lebih daripada 60,000 kali dan menerima pelbagai komen dan reaksi daripada netizen Twitter.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Kenderaan asing masih dilihat mengepam RON95 di Malaysia selepas sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka semula

0

Pelukan hangat, tangisan rindu menjadi saksi apabila pengembara Malaysia yang terperangkap di Singapura sejak COVID-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu dapat pulang ke tanah air bermula 01 April 2022. Dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan, ia memberi kemudahan kepada pengembara kedua-dua buah negara untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan saringan COVID-19 dengan syarat mereka sudah lengkap vaksinasi. Namun, isu yang kembali hangat sebaik sahaja sempadan darat Malaysia-Singapura itu dibuka semula ialah kenderaan asing masih lagi berdegil mengepam minyak petrol RON95.

Isu ini bukanlah isu baharu yang diperkatakan. Namun seakan tidak ada kesudahannya apabila baru-baru ini, kenderaan asing ‘ditangkap’ sedang mengepam minyak petrol RON95 ke dalam kenderaannya di stesen minyak di Malaysia. Perbuatan tersebut jelas melanggar peraturan yang telah dikeluarkan di mana kenderaan asing sememangnya tidak dibenarkan mengepam minyak petrol RON95 di Malaysia.

Gambar seorang lelaki yang berdiri di sisi kenderaan yang bernombor pendaftaran Singapura itu tular di media sosial kerana lelaki tersebut mengepam RON95 ke dalam kenderaannya. Perlakuan itu terbukti melalui warna kuning nozel yang terdapat di tangki minyak kenderaannya.

THE STAR

Gambar tersebut bukan sahaja menarik perhatian netizen, tetapi bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa kecewanya apabila melihat gambar berkenaan. Menurut beliau, Petrol RON95 adalah bahan kawalan kerana diberi subsidi yang tinggi. Oleh yang demikian, adalah melanggar Akta Kawalan Bekalan kerajaan jika menjual RON95 kepada warga asing.

Kata Datuk Seri Najib lagi, “RM2.05 setiap liter RON95 di Malaysia adalah yang kesebelas paling rendah di dunia, malah lebih murah berbanding negara pengeluar minyak dan negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Qatar, Bahrain, United Arab Emirates, Jordan dan Oman. RON97 yang dibenarkan dijual kepada warga asing pula dijual dengan harga RM3.91 setiap liter di Malaysia. Namun, masih jauh lebih murah berbanding harga S$3.02 (RM9.37) bagi RON95 dan S$3.51 (RM10.90) bagi RON97 di negara jiran kerana petrol dikenakan cukai yang tinggi.”

Beliau mengatakan Malaysia kehilangan RM1.70 bagi setiap liter RON95 yang dipam ke dalam kenderaan asing. Katanya di Facebook, “Jika warga asing mengisi 40 liter RON95, kerajaan akan kehilangan RM68 duit rakyat kepada warga asing.”

Harga minyak mentah telah meningkat secara mendadak sejak beberapa bulan yang lalu berikutan sekatan Amerika Syarikat terhadap Rusia yang menceroboh Ukraine.

Sehingga 28 Mac lalu, harga petrol di Amerika Syarikat adalah kira-kira RM4.72 (USD1.12) setiap liter, meningkat lebih kurang RM1.54 berbanding setahun yang lalu. Harga bahan api di Malaysia adalah lebih kurang RM7.32 dan RM2.67 lebih murah berbanding di Singapura dan Amerika Syarikat.

Undang-undang yang melarang penjualan RON95 kepada warga asing telah diperkenalkan pada tahun 2010 oleh bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kini adalah Perdana Menteri.

Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, selepas gambar tersebut tular, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementeriannya (KPDNHEP) akan mempertingkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di semua stesen minyak, terutamanya yang berdekatan dengan sempadan darat Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada 03 April, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, “Kementerian juga mengarahkan semua pejabat kementerian negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand memperhebat pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.”

Menurut Datuk Seri Alexander Nanta Linggi lagi, perbadanan atau syarikat yang didapati menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing akan didenda maksimum RM2 juta. Manakala individu yang melanggar undang-undang pula akan didenda maksimum RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

@kpdnhep

Seperti yang dilaporkan malaysiakini, dengan pelancaran Ops Pantau yang bermula pada 03 April 2022, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penguatkuasaan yang lebih agresif akan dijalankan. “Selain memastikan bekalan barangan mencukupi yang dijual pada harga berpatutan, Ops Pantau 2022 juga akan memastikan tahap pematuhan yang tinggi oleh peniaga, berikutan pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa”.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Petugas pencegahan wabak jadi tular di China ekoran buat ujian COVID-19 ke atas ikan di pasar

0

Memandangkan wabak COVID-19 di Shanghai terus bertambah buruk, pihak berkuasa di China telah beralih daripada bukan sekadar menguji manusia untuk virus itu, tetapi mula melakukan ujian swab ke atas ikan di pasar makanan laut.

Sebuah video yang cepat menjadi tular di China, menunjukkan seorang petugas pencegahan COVID-19 memakai hazmat putih penuh, dengan cermin mata dan sarung tangan ketika memasukkan putik kapas ke dalam mulut ikan besar.

YouTube

Ujian PCR telah dijalankan pada 27 Mac, pada hari Shanghai memulakan perintah berkurung dua langkah di seluruh bandar dalam usaha untuk membendung virus itu, dan ia serta-merta mencetuskan perdebatan netizen.

“Ia satu pembaziran sumber perubatan”, kata seorang netizen yang mengkritik usaha itu.

Seorang lagi berseloroh, “Adakah mereka akan meletakkan ikan dalam kuarantin di tangki air berasingan selama 14 hari jika keputusan ujian positif?”

Manakala seorang penyokong menulis, “Pandemik sekarang teruk, dan ini adalah usaha untuk melindungi keselamatan makanan untuk rakyat.”

Pada hari Rabu (30 Mac), Shanghai melaporkan 5,982 kes baharu COVID-19, yang tertinggi di bandar itu semasa pandemik.

Dalam video itu, penjaja ikan membuka besar mulut ikan sambil pekerja pencegahan COVID-19 berkata, “Tolong jangan lepaskan tangan anda, saudara.”

YouTube

“Jangan bimbang, dia tidak akan menggigit,” jawab penjual.

Menguji ikan untuk COVID-19 bukan perkara main-main dalam konteks usaha China membanteras dan melawan virus itu. Negara itu mengaitkan kes import dengan makanan sejuk beku dan mel, dengan bandar pelabuhan Dalian menangguhkan operasi makanan sejuk beku semasa wabak pada November 2021.

Video pekerja pencegahan pandemik yang melakukan ujian PCR pada ayam, kucing, basikal, meja dan kerusi boleh didapati dengan mudah di Douyin, dan TikTok versi China, sekiranya anda membuat carian “ujian asid nukleik”.

Pada bulan Januari, video seorang pekerja di wilayah Henan tengah China yang sedang menguji pucuk bawang putih telah menjadi popular di Douyin.

YouTube

Seminggu lalu, di wilayah Hebei di utara China, seorang penduduk kampung bernama Chen Tianshang telah diambil kambingnya oleh seorang yang mendakwa sebagai kakitangan pencegahan wabak tempatan.

Chen tidak pernah melihat kambing itu lagi dan percaya ia telah dimakan oleh orang yang membawanya pergi.

Berikutan kritikan yang meluas, kerajaan tempatan memberi pampasan 2,600 yuan (RM1,720) kepada Chen.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Bagaimana pembangunan MySejahtera kini menjadi kebimbangan jaminan keselamatan data peribadi

0

Berita mengenai dakwaan rancangan kerajaan untuk menjual aplikasi penjejak COVID-19 kepada firma swasta menjadikan MySejahtera mendapat perhatian dan sejauh mana perlindungan diberikan kepada data peribadi berjuta-juta penggunanya di seluruh negara.

Susulan pendedahan itu, ramai yang mendesak kerajaan untuk menamatkan penggunaan mandatori aplikasi itu ketika negara kini beralih kepada fasa endemik.

Walaupun rakyat Malaysia memahami keperluan untuk penyimpanan maklumat kesihatan awam, ramai yang mahukan jaminan keselamatannya adalah mendapat lapisan besi.

Twitter

Dengan lebih 38 juta pengguna berdaftar termasuk majoriti keseluruhan penduduk Malaysia disebabkan oleh wajib daftar masuk awam oleh kerajaan, aplikasi itu mengumpulkan butiran peribadi seseorang seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat e-mel, jantina dan alamat.

Tetapi bagaimanakah aplikasi yang kini berada di mana-mana, mula-mula muncul dan bertukar menjadi isu undang-undang? Berikut ialah imbas kembali bagaimana ia bermula, berdasarkan dokumen mahkamah yang tersedia secara terbuka.

Jun 2005 ― KPISoft Malaysia Sdn Bhd diperbadankan.

Januari 2020 ― Malaysia mengesahkan kes pertama COVID-19.

Mac 2020 ― Kerajaan Malaysia memulakan langkah pembendungan, termasuk penutupan seluruh negara yang dikenali perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sekitar April 2020 ― KPISoft mengemukakan cadangan penyelesaian berasaskan aplikasi mudah alih kepada krisis COVID-19 yang sedang berlaku, yang diterima oleh kerajaan Malaysia.

Melalui perisian yang dikenali sebagai KPISOFT Software, syarikat itu membangunkan MySejahtera sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya yang mana kerajaan Malaysia tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk perkhidmatan yang diberikan untuk tempoh setahun.

Mei 2020 ― KPISoft Malaysia menukar namanya kepada Entomo Malaysia Sdn Bhd.

September 2020 ― Revolusi Asia Sdn Bhd dan MYSJ Sdn Bhd diperbadankan.

Revolusi memeterai perjanjian dengan Entomo Malaysia, di mana Revolusi memegang semua saham dalam MYSJ sebagai penama Entomo.

MYSJ menjadi kenderaan khas untuk pengkomersilan aplikasi, di mana Revolusi memiliki semua saham dalam MYSJ.

Oktober 2020 ― Entomo Malaysia dan MYSJ memeterai Perjanjian Lesen. Antara lain, perjanjian itu menyaksikan Entomo Malaysia memindahkan harta intelek aplikasi tersebut kepada MYSJ dan memberikan MYSJ lesen untuk perisian tersebut.

MYSJ juga bersetuju membayar Entomo Malaysia RM 338.6 juta, yang disifatkan sebagai yuran agregat untuk pemindahan harta intelek aplikasi dan yuran pelesenan untuk perisian.

Sekitar November hingga Disember 2020 ― Entomo Malaysia menyerahkan cadangan dan surat secara bertulis kepada kerajaan Malaysia untuk kegunaan komersil aplikasi itu.

Cadangan syarikat itu menggariskan sama ada melalui Perkongsian Awam Swasta (PPP) atau kontrak perkhidmatan antara kerajaan dan MYSJ.

Menurut cadangan, Entomo Malaysia membayangkan ekosistem perkhidmatan digital di MySejahtera, merangkumi kesihatan digital, pembayaran digital, dan “model ekonomi yang dikongsi untuk perniagaan, pemula teknologi dan ekonomi gig.”

Ketika itu, kerajaan Malaysia pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak setuju mahupun tidak bersetuju dengan cadangan Entomo.

Sekitar Mac hingga April 2021 ― Kabinet meluluskan penggunaan berterusan aplikasi itu melalui kontrak perkhidmatan dan menangguhkan pengkomersilan penuh.

Mei 2021 ― Kerajaan mengeluarkan surat persetujuan untuk menandatangani kontrak perkhidmatan dengan MYSJ bagi tujuan penggunaan berterusan aplikasi itu.

Disember 2021 ― Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkata kerajaan tidak sepatutnya membayar untuk aplikasi telefon pintar MySejahtera.

Ini adalah selepas PAC mengakui jawapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan mula membuat pembayaran untuk penggunaan aplikasi MySejahtera mulai April 2021.

Hari ini

24 Mac 2022 ― Rancangan kerajaan untuk menjual aplikasi penjejak COVID-19 kepada firma swasta didedahkan pada pendengaran PAC.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan, yang mengendalikan aplikasi telefon pintar, memberitahu panel pertanyaan PAC bahawa Kabinet meluluskan penjualan kepada MYSJ pada 26 November 2021, melalui tender terus.

27 Mac 2022 ― Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berusaha untuk meredakan kebimbangan orang ramai, dengan menjelaskan aplikasi MySejahtera yang digunakan untuk pengesanan kontak COVID-19 tidak pernah dijual kepada mana-mana syarikat swasta.

Pada hari yang sama, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan kebimbangan mengenai rancangan kerajaan untuk menjual aplikasi MySejahtera kepada firma swasta yang didakwanya dimiliki oleh kroni politik yang dikenali.

28 Mac 2022 ― Khairy mengulangi MySejahtera sebagai aplikasi mudah alih pengesanan kontrak COVID-19 dan datanya masih menjadi milik kerajaan, walaupun terdapat perjanjian sebelumnya mengenai harta intelek dan lesen perisiannya.

30 Mac 2022 ― Khairy berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk membatalkan ciri daftar masuk daripada aplikasi penjejak MySejahtera COVID-19 tetapi menambah ia bergantung kepada kadar kebolehjangkitan selepas membuka sempadan antarabangsa negara pada 1 April.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan memerhati corak pergerakan dan jangkitan selama beberapa minggu selepas 1 April sebelum membuat keputusan.

Pada hari yang sama, PAC mengumumkan akan memulakan siasatan berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera pada pertengahan April.

31 Mac 2022 ― Khairy memberitahu Dewan Negara bahawa Perjanjian Tanpa Pendedahan (NDA) telah ditandatangani antara KPISoft dan Majlis Keselamatan Negara pada 1 April 2020.

Antara terma yang ditetapkan ialah pemilikan semua data dan maklumat yang diperoleh melalui penggunaan aplikasi kekal menjadi hak milik mutlak secara keseluruhan oleh kerajaan Malaysia yang mana kerahsiaan dan keselamatannya dijamin.

Beliau juga berkata penggunaan aplikasi MySejahtera adalah penting dan terbukti berkesan dalam pengurusan COVID-19 di Malaysia dan oleh itu perlu dikekalkan.

Beliau menambah Kementerian Kesihatan Malaysia melihat aplikasi melalui fungsi tindanan sedia ada sebagai satu keperluan, walaupun pada ketika negara beralih ke fasa endemik.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Perintah berkurung Shanghai akibat penduduk terjejas teruk, siswazah terjun bangunan kerana tidak tahan tekanan kewangan

0

Akibat pandemik dengan kes COVID-19 yang meningkat di beberapa bahagian di China, dan penutupan jangka panjang bandar-bandar oleh pihak berkuasa bukan sahaja menyebabkan rakyat kelaparan, tetapi juga menyebabkan ramai yang terdesak dari segi kewangan. 

Terdapat kes berita bunuh diri yang kerap dilaporkan di media sosial. Salah seorang mangsa adalah siswazah wanita di Shanghai yang terjun dari bangunan kediamannya dipercayai tidak dapat menahan tekanan kewangan.

Pada 1 April, seorang tuan rumah di Shanghai menyiarkan berita di media sosial mengenai salah seorang penyewanya, seorang gadis siswazah pasca 90-an yang telah lulus ijazah sarjana dan menetap di Shanghai, dan wanita itu membunuh diri dengan melompat dari tingkap rumah sewa pada waktu tengah malam. 

(Gambar oleh HECTOR RETAMAL/AFP/ Getty Images)

Wanita itu baru-baru ini mengeluh kepada rakan-rakannya yang dia tidak lagi mampu menampung kehidupan, dengan mendakwa “anda jadi gila jika miskin”. Jiran-jirannya mendedahkan dalam sepuluh hari dia dikurung, keadaan mentalnya berubah menjadi tidak stabil.

Dalam beberapa hari kebelakangan, beberapa kawasan di tanah besar China telah dikenakan sekatan dan perintah berkurung, dengan sejumlah besar video penduduk melompat dari bangunan atau menggantung diri telah dimuat naik di media sosial, dan kekerapannya tidak pernah berlaku sebelum ini. Ramai dalam kalangan mereka yang membunuh diri adalah orang dewasa yang masih muda.

Sebuah video mengenai seorang wanita Changchun menangis tentang masalah kewangan keluarganya telah tersebar di media sosial, dan mendakwa dia mewakili keadaan ramai orang yang senasib di China.

Wanita itu berkata dalam video, disebabkan pandemik, kedua-dua suami dan isteri kehilangan pekerjaan, mereka tidak mampu membayar ansuran bulanan rumah sebanyak 4,500 yuan sebulan dan mereka mempunyai dua orang anak untuk ditanggung.

(Gambar oleh HECTOR RETAMAL/AFP/ Getty Images)

Kini kerana perintah berkurung, keluarga tidak boleh mendapat walaupun 10 yuan, dan mereka semua bergantung hidup menggunakan kad kredit. Kehidupan mereka telah memasuki keadaan terdesak.

Selain atas sebab ekonomi, kekurangan rawatan untuk jangkitan COVID-19 yang teruk juga menjadi sebab mereka membunuh diri. Sebuah video dalam talian menunjukkan seorang lelaki dari bandar Jilin mengadu isterinya mengalami kesukaran bernafas di dalam kabin kuarantin selama beberapa hari, tetapi tidak mendapat rawatan perubatan yang diperlukan, akhirnya akibat tidak tertahan lagi dia telah menggantung diri.

Pada masa ini, sistem kesihatan di beberapa bandar hampir runtuh, dan sebilangan besar mereka yang dijangkiti dikurung di tempat pengasingan atau di rumah, tidak mendapat rawatan perubatan, dan berada dalam keadaan “berputus asa untuk hidup”.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: