Walaupun dipandang rendah termasuk diherdik dengan kata-kata kesat, ibu tunggal, Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi, 39 tahun terus berusaha gigih mengumpul barangan lusuh untuk kitar semula sebagai pertukaran dengan wang tunai demi membesarkan empat anak perempuannya.
Umi Nur Faizah atau lebih dikenali sebagai Umi berkata, dia terpaksa bekerja dalam persekitaran dianggap umum sebagai kotor, menjijikkan dan berbau busuk sejak lebih lima tahun lalu, dengan mengumpul barangan terpakai menggunakan kereta sorong di sekitar Kawasan Perindustrian Malim di Melaka.
“Biasalah ada orang yang kasihan melihat saya mengutip barang terpakai, ada pula yang menyindir kerana saya mencari kotak kosong dan ada yang mengatakan kerja saya ‘paiseh’ (memalukan)…kerana saya menyelongkar sampah,” kata Umi.
Gambar oleh The Star
“Tetapi saya hanya perlu telan semua itu…apa yang lebih penting adalah mencari nafkah yang jujur untuk membesarkan anak-anak,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya sepanjang Ramadan, dia akan mula mencari kotak dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan pendapatannya bergantung kepada jenis barangan terpakai yang berjaya dikutip.
Katanya, dia sering membawa pulang hanya RM10 walaupun bekerja sepanjang hari tetapi ia boleh mencecah sehingga lebih RM100 sehari sekiranya bernasib baik terjumpa besi, aluminium atau tembaga.
Umi berkata, dia berhadapan dengan kesusahan yang dilalui setiap hari bersama empat orang anak perempuannya dengan fikiran terbuka dan akan sentiasa mengutamakan keperluan berbanding keinginan atau kehendak mereka.
Gambar oleh Bernama
“Saya terpaksa hidup dengan pendapatan yang saya perolehi dalam sebulan tidak kira ia mencukupi atau tidak..kita tidak boleh melihat atau membandingkan dengan kehidupan orang lain kerana ia tidak akan pernah cukup,” katanya.
“Saya bersyukur kerana anak saya memahami dengan apa yang mereka lalui dan tidak pernah meminta, merungut atau cerewet tentang makanan,” kata Umi yang juga bekerja sebagai pembantu gerai makan dengan pendapatan RM50 sehari.
Beliau berkata, dua anaknya berusia enam dan sembilan tahun sering menemaninya mengumpul barangan terpakai manakala dua lagi berusia 13 dan 15 tahun terpaksa dihantar ke sekolah agama di Alor Gajah, kira-kira 27 kilometer dari Malim, bagi memastikan mereka mendapat pendidikan dan perhatian yang lebih baik.
Umi berkata empat anaknya menerima bantuan RM650 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, manakala Majlis Agama Islam Melaka memberi bantuan makanan RM200 dan RM50 setiap seorang kepada tiga anaknya.
Gambar oleh Harian Metro
Ibu tunggal ini berkata dia amat berhati-hati dengan perbelanjaan harian mereka demi memastikan bantuan itu digunakan dengan sebaik mungkin terutama untuk membayar sewa rumah dan membeli barangan dapur serta keperluan mereka.
Menyentuh mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri, Umi berkata, sehingga kini, dia tidak mampu membeli pakaian baru untuk anak-anak dan dirinya tetapi lebih mementingkan untuk memastikan makanan dan keperluan harian adalah mencukupi.
“Memang sedih tetapi tidak berbaju raya baru, itu tidak bermakna kami tidak boleh menyambut raya seperti orang lain…anak-anak saya faham kami dalam keadaan susah,” tambahnya.
Biasa ketika berada di dapur, orang yang memasak kadang-kadang terdedah kepada kecederaan seperti tangan terkena pisau, tertusuk tulang ikan, ayam dan duri udang atau ketam, terkena air dan minyak panas yang memang boleh rasa sakit berbisa.
Jadi ketika berada di dapur untuk memasak atau urusan dapur memang selalu kena berhati-hati.
Tetapi tidak sangka pula untuk berada dalam senarai berhati-hati itu kini termasuk bihun kering.
Baru-baru ini, tular di TikTok seorang wanita muda dikenali Cik Shaa@sweetsecrettt21 menceritakan kisahnya yang dia terpaksa ke hospital akibat kuku ibu jari kanannya telah tertusuk dan terbenam bihun kering.
Kejadian itu berlaku ketika dia sedang mencuci pinggan mangkuk di dapur, dan serpihan bihun terbenam itu telah membuatkan isi kukunya menjadi bisa, ngilu dan terus sakit.
Maka untuk tidak membiarkan luka itu membawa mudarat dan membahayakan kesihatannya, Cik Shaa telah bergegas ke klinik sebelum akhirnya hospital untuk mendapatkan rawatan mengeluarkan bihun kering itu daripada kukunya.
“Tunggu lima jam, buat x-ray. Doktor bagi dua pilihan, cabut kuku atau tahan sakit untuk cucuk tiga ubat bius pada jari. Jadi saya pilih nombor dua,” kata Cik Shaa kepada mStar.
“Doktor korek, darah mengalir tapi nasib baik tak rasa. Lepas itu dia ambil jarum yang keluarkan air, dia cucuk dekat dalam saluran yang buatkan bihun tersangkut itu terkeluar sendiri,” kongsinya.
Akhirnya serpihan bihun berjaya dikeluarkan dan Cik Shaa kata kesakitan masih dirasai selepas kesan ubat bius itu hilang.
“Macam kelakar sebab bihun tapi takutnya, cepat sembuh!”
“Kena hati-hatilah lepas ni kalau hendak basuh pinggan, kena pakai sarung tangan.. Bab menangis tersedu-sedu dekat klinik sebab jari sakit, saya pun ada pengalaman. Cepat sembuh!”
National Geographic melaporkan, sisa makanan tersebut boleh dikomposkan untuk menjadi baja berbanding dengan hanya dilupuskan.
Pakar berpandangan tindakan mengompos sisa makanan sama ada ia dilakukan di kawasan sekitar rumah atau di kemudahan komuniti mampu mengurangkan sampah dan mampu menangani perubahan iklim.
Apa yang berlaku dalam longgokan kompos?
Pada skala kecil di halaman belakang rumah atau kawasan kejiranan anda, longgokan kompos harus terdiri daripada tiga perkara iaitu sisa makanan, air dan bahan kering berkayu.
Sebagai contoh, sisa hiasan halaman seperti daun, rumput atau pokok yang dikategorikan mengandungi karbon yang tinggi.
Sementara itu, sisa makanan yang dipanggil sebagai ‘hijau’ pula mengandungi nitrogen yang tinggi.
Jika sisa sampah tersebut berada di kawasan rumah, anda harus mengacau atau mencampurkan longgokan sisa tersebut secara berkala dan pastikan ia lembap.
Kedua-dua langkah tersebut akan mempercepatkan proses penguraian.
Pengadukan membolehkan oksigen mencapai kepada semua sudut dan celah, dan kelembapan menjamin kemandirian mikroorganisma yang memerlukan kelembapan untuk hidup.
Sebab yang paling biasa mengapa timbunan kompos di kawasan belakang rumah tidak berjaya adalah kerana ia terlalu kering.
Semburan air untuk memastikan kelembapan timbunan sisa terbuang mampu membantu penghasilan kompos yang baik.
Bagaimanapun, tidak semua sisa makanan disyorkan untuk dilonggokkan di belakang rumah.
Sisa-sisa buah-buahan dan sayur-sayuran biasanya selamat untuk dibuang ke dalam longgokan, tetapi daging atau tenusu yang tidak dimakan lebih cenderung berbau dan menarik perhatian binatang perosak.
Lebihan makanan tersebut juga mengandungi tahap lemak yang lebih tinggi, menyebabkan ia mengambil masa yang lebih lama untuk diuraikan.
Pada 2018, Amerika Syarikat menghasilkan hampir 300 juta tan sampah atau kira-kira 4.9 paun (2.22 kilogram) setiap orang.
Selepas kertas, makanan adalah kategori sisa kedua tertinggi yang terdiri daripada kira-kira 21 peratus daripada sisa buangan.
Sebagai contoh, San Francisco, yang mewajibkan pengkomposan di seluruh bandar pada 2009 telah dapat mengalihkan 80 peratus atau 2.5 juta tan sisanya dari tapak pelupusan setiap tahun.
Majlis Pertahanan Sumber Asli mendapati undang-undang pengkomposan San Francisco telah mengurangkan 90,000 tan metrik karbon dioksida setiap tahun, di mana jumlah pelepasan itu bersamaan kira-kira 20,000 kenderaan penumpang.
Antara nikmat memiliki haiwan peliharaan ialah dapat bermain dengan mereka setiap hari. Sepenat atau seletih mana pun hari kita jika pulang sahaja ke rumah dan melihat haiwan peliharaan terkadang boleh hilang letih bekerja. Mereka jugalah tempat kita meluahkan perasaan walaupun kita tidak adakah mereka faham atau tidak apa yang kita katakan.
Tidak hanya itu, pagi-pagi kita akan sering ditemani mereka yang ceria. Bayangkan muka mata sahaja kita melihat si comel di sisi katil dengan wajah ceria mereka. Bagi sesiapa yang memiliki haiwan yang gemuk dan gebu pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk memeluk mereka seperti bantal setiap pagi!
Itulah yang sering dilakukan oleh seorang kanak-kanak di Jepun yang sangat sayang akan kucing peliharaannya, Luca. Dikhabarkan dia akan memeluk Luca setiap malam sehingga kedua-duanya tertidur dengan nyenyak.
Gambanya memeluk Luca telah dimuat naik ke Twitter oleh ibu bapanya dengan kapsyen berbunyi, “adegan setiap pagi.” Foto tersebut jelas menunjukkan kanak-kanak itu sedang lena bersama Luca seolah-olah si kucing itu adalah alat permainannya yang tidak mahu dilepaskannya langsung.
Kucing berbaka Ragdoll bernama “Luca” yang berusia 6 bulan itu dikatakan baru sahaja dijaga oleh keluarga tersebut beberapa bulan lalu. Ketika itu dia masih sangat kecil. Sejak dijaga oleh keluarga itu, hubungannya dan tuan kecilnya yang baru bersekolah rendah itu menjadi sangat akrab dan rapat.
Setiap hari mereka akan bermain dan meluangkan bersama. Tidak hanya itu, mereka juga seringkali tidur bersama. Untuk merekodkan perkembangan Luca, tuannya telah membuka sebuah akaun Twitter untuk kucing tersebut. Di situ, tuannya dapat berkongsi kehidupan hariannya yang comel dan lucu.
Baru-baru ini pemilik Twitter tersebut ada berkongsi gambar yang telah menimbulkan perbincangan hangat di kalangan netizen. Hal ini kerana gambar yang dimuat naik menunjukkan anak bongsunya sedang memeluk Luca dengan erat pada suatu pagi.
Anak bongsunya kelihatan sedang tidur nyenyak bersama Luca yang ada dalam pelukannnya. Rupa-rupanya kanak-kanak itu memang selalu memeluk Luca pada waktu malam sehingga kedua-dua mereka tertidur.
Netizen yang melihat gambar tersebut memuji hubungan istimewa yang dimiliki oleh kedua-dua mereka. Ramai yang seronok melihat keakraban antara tuan kecil ini dengan kucing kesayangannya itu. Apa yang memberi komen memberitahu bahawa kanak-kanak ini akan membesar dengan baik kerana dia sangat sayang akan kucingnya. Ada juga netizen yang mengatakan mereka berdua kelihatan seperti adik-beradik.
Kemalangan boleh terjadi kepada sesiapa pun. Kadangkala kita sudah sangat berhati-hati, kesemua peraturan dipatuhi- menggunakan tali pinggang keselamatan, memandu pada had laju yang dibenarkan dan tidak melanggar lampu isyarat merah. Namun, terkadang nasib tidak menyebelahi apabila kita yang menjadi mangsa kecuaian pemandu lain sehingga kereta kita pula yang dilanggar dari belakang.
Kemalangan disebabkan orang lain adalah sesuatu yang biasa berlaku- tidak kira kecil atau besar. Ya, apa yang berlaku memang boleh mengundang marah. Mana tidaknya, kita sudah mengikut semula peraturan, tetapi kerana kecuaian orang lain kita pula yang menjadi mangsa.
Namun begitu, walaupun anda berada dalam keadaan tidak bersalah, tidak bermakna anda boleh bertindak sewenang-wenangnya kepada individu tersebut. Ada jalan penyelesaian jika anda terlibat dalam kemalangan seperti itu. Ada cara baik yang boleh dilakukan dan tidak melibatkan kekerasan.
Jangan panik dan bersabar dahulu. Ikuti langkah-langkah yang dikongsi oleh Community Roda Johor – CRJ jika ada terlibat dalam situasi seperti ini. Bawa bertenang dan semoga semuanya berjalan lancar.
1. Jika ada orang langgar kereta anda dari belakang, jangan panik dan bawa bertenang.
2. Berhentikan kereta anda di tepi jalan di kawasan yang lapang dan selamat untuk mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas.
3. Jangan ambil sebarang alatan yang merbahaya seperti stearing lock, parang, peralatan yang diperbuat daripada besi dan sebagainya, kerana anda mungkin boleh dituduh cuba untuk melakukan serangan dan kecederaan kepada orang lain dan harta benda awam.
4. Ambil gambar plat dan cukai jalan kenderaan yang langgar anda tadi.
5. Apabila pemandu kenderaan yang langgar anda tadi keluar daripada kenderaannya, sapa lah dia dengan baik. Kalau pun anda tidak mampu untuk senyum dengannya, janganlah terus maki hamun kepadanya.
6. Tanyakan kepadanya dengan baik kenapa dia langgar kereta anda tadi? Kebiasaannya dalam situasi sebegitu masing-masing akan cuba menyalahkan satu sama lain.
Kawal kemarahan anda, jangan bertengkar, bergaduh dan berbalah di situ kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah tetapi hanya akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.
7. Kalau boleh minta tengok daripada pemandu yang langgar kereta anda tadi kad pengenalan atau lesen memandunya. Ambil gambar kad pengenalan atau lesen memandunya.
8. Jika dia tidak mengaku bersalah melanggar kereta anda, jangan paksa dia mengaku atau paksa dia bayar wang kepada anda. Bagitahu kepadanya, dari segi undang-undang, sekiranya sesuatu kenderaan melanggar kenderaan lain daripada belakang, kecuaian adalah disebabkan oleh kenderaan yang melanggar itu.
9. Jika dia mengaku bersalah, minta dia menanggung kos pembaikan kereta anda. Sekali lagi diingatkan, tidak perlu meminta wang daripadanya. Terus ajak dan bawa dia ke bengkel yang anda biasa berurusan untuk menilai berapakah kerosakan kereta anda.
Kalau boleh terus pergi, jangan tangguh-tangguh walaupun anda ada urusan lain. Lagi cepat anda selesaikan perkara tersebut lagi bagus.
10. Jangan lupa ambil nombor telefon atau kad perniagaannya supaya mudah untuk anda menghubunginya nanti.
11. Jika dia berkeras tidak mahu mengaku bersalah dan tidak mahu tanggung kos pembaikan kereta anda, tidak mengapa, jangan serang atau melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah terhadapnya. Biarkan saja dia pergi. Ini kerana anda telah dapat segala info berkenaan kenderaan dan dirinya.
12. Terus pergi buat laporan polis di balai polis berhampiran.
13. Dengan laporan polis tadi, pergi ke JPJ dan lakukan carian kenderaan untuk mengetahui syarikat insurans kenderaan yang langgar kereta anda tadi.
14. Pergi terus ke bengkel panel syarikat insurans tersebut dan mintak mereka uruskan 3rd party claim untuk membaiki kerosakan kereta anda.
Mudah bukan, tidak perlu gaduh-gaduh dan melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah anda dan boleh mendedahkan anda kepada perlakuan jenayah. Negara kita kan ada undang-undang. Patuhilah undang-undang yang telah ditetapkan.
Ketibaan AirAsia AK 1794 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disambut dengan meriam air selepas 2 tahun terhenti akibat pandemik Covid-19. Penerbangan antarabangsa pertama yang berlepas dari Singapura itu dinaiki 119 penumpang yang mana 30 peratus daripadanya adalah rakyat Singapura. Pesawat berkenaan tiba di Sabah pada jam 2.30 petang pada Sabtu.
Huziah Siwis, 35 dari Telupid, Tongod berkata sejak dia menjadi pembantu dapur di Singapura pada 2019, dia hanya berhubung dengan keluarganya melalui telesidang secara atas talian.
“Saya masih tidak boleh percaya, tangan saya menggigil. Saya tidak dapat pulang ke rumah sejak 2019 kerana pandemik Covid-19 dan sudah tentu saya gembira kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki di rumah di Sabah.
“Saya mengambil cuti selama dua minggu yang akan saya gunakan terutama untuk meluangkan masa bersama keluarga di sini, kakak saya dan suaminya datang untuk menyambut kepulangan saya dan air mata kegembiraan menitis sebaik sahaja saya ternampak dia,” katanya kepada wartawan ketika bertemu di KKIA.
Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lalu dengan beberapa kelonggaran diberikan termasuklah pembukaan semula sempadan negara selepas ia ditutup selama dua tahun sejak pandemik Covid-19.
Hendry Andus, 28, anak bongsu daripada tiga beradik dari Inanam berkata hasratnya untuk melaungkan “Kami sudah pulang!” menjadi kenyataan apabila dia akhirnya dapat mendakap dan memeluk ahli keluarganya.
“Ia adalah satu cabaran bagi mereka yang bekerja di luar negara seperti kami, manakala negara lain mungkin lebih baik tetapi tiada apa yang dapat dibandingkan dengan negeri Sabah dan Malaysia kita sendiri. Seperti yang orang katakan ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’ kami masih memilih tanah air sendiri,” kata Henry yang bekerja sebagai juruteknik di Singapura sejak 2017.
Jacques Franck, 70, seorang pelancong dari Perancis berkata dia gembira kerana akhirnya dapat menikmati percutiannya di Sabah.
“Saya sentiasa sayangkan Sabah dan telah datang ke sini bertahun-tahun untuk bercuti, sudah tentu saya berasa sedih apabila saya tidak dapat datang ke sini, tetapi kini saya merancang untuk menikmati keindahan pantai dan hutan di sini,” kata pesara ini.
Sementara itu, Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai berkata kerajaan Sabah bertungkus-lumus bersama semua pihak untuk memastikan Sabah sentiasa menjadi tempat pertama dalam hati dan pemikiran pelancong dan pengembara.
“Selamat pulang kepada rakyat Sabah kita sendiri, manakala untuk pelancong dan pengembara, selamat datang ke tanah air kami dan nikmatilah penginapan anda di sini,” katanya ketika menyambut kedatangan 119 penumpang menerusi penerbangan AK 1794.
Singapura akan terus menjadi pasaran utama dan hab penting bagi Sabah berikutan kembalinya penerbangan antarabangsa terus antara Kota Singa dan Kota Kinabalu.
“Saya ingin memuji AirAsia kerana menjadi syarikat penerbangan pertama yang membuka penerbangan antarabangsa untuk Sabah, ini adalah peristiwa penting untuk semua yang terlibat.
“Singapura adalah pasaran yang sangat penting buat Sabah kerana ia menjadi fokus pasaran kami untuk bertahun-tahun sekarang dan ia juga hab terpenting untuk Sabah kerana ia menghubungkan pasaran tumpuan kami yang lain di seluruh dunia ke Sabah,” kata Joniston.
Mengambil maklum akan kecintaan rakyat Singapura terhadap alam semula jadi, menyelam dan pengembaraan, dia berkata rakyat Singapura kini mungkin tidak sabar untuk melancoing ke Sabah dan menikmati keghairahan mereka sekali lagi dengan pengembalian semula laluan Singapura-Kota Kinabalu.
Joniston berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah telah merancang beberapa inisiatif promosi untuk menarik rakyat Singapura pulang ke Sabah.
Dari 22-28 April, beliau berkata Lembaga Pengarah dan Pemain Industri Sabah akan menghadiri Pameran Digital Pelancongan Malaysia.
“Melalui Pameran ini, pengguna Singapura akan disajikan dengan banyak pilihan produk pelancongan dan penginapan. Kami juga menerima sokongan padu daripada pemain industri Sabah di mana mereka menonjolkan pakej popular mereka seperti hidupan liar, alam semula jadi dan pengembaraan.
“Mengimbas kembali masa pra-pandemik, Pameran ini telah berjaya menarik ramai rakyat Singapura ke Sabah dan kami yakin trend ini akan kembali kerana pada masa ini, pertanyaan dari Singapura mengenai pakej pelancongan Sabah sudah mula mencurah-curah,” kata Joniston.
Smart Locals, salah satu penerbit dalam talian terkemuka Singapura akan menghubungkan platform acara itu kepada kempen digital Sabah untuk membantu pemain pelancongan negeri itu berjaya di Pameran Digital Travel Malaysia, tambahnya.
Menurut Joniston, syarikat penerbangan tambah rendah AirAsia telah menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Sabah melalui pelancongan dan hospitaliti sejak kehadirannya pada 2001.
“Saya gembira mengetahui bahawa AirAsia telah mengembangkan tawarannya melangkaui penerbangan dan kini menjadi rumah kepada beberapa usaha niaga e-dagang yang berkembang maju, iaitu platform sehentinya, AirAsia Super App.
“Selaras dengan peralihan kepada fasa endemik, saya percaya bahawa penyambungan semula penerbangan antarabangsa ini datang pada masa yang sesuai untuk kedua-dua pelancongan dan penduduk tempatan di Sabah, yang telah teruja menjangka dan meracang perjalanan mereka,” katanya.
Sebelum pandemik Covid-19, Sabah menerima 126,000 penumpang melalui Singapura. Rakyat Singapura menyumbang 34,000 daripada jumlah itu.
Sementara itu, ketua pegawai komersial AirAsia (syarikat penerbangan), Tan Mai Yin menyatakan bahawa syarikat penerbangan itu kini mengendalikan penerbangan tiga kali seminggu antara Singapura dan Kota Kinabalu, dengan penerbangan harian bermula pada 29 April.
“Kami juga sedang mengkaji penerbangan terus dari Thailand, Filipina dan Indonesia ke Kota Kinabalu. Kami teruja dengan perkara ini dan kami akan mengumumkan kemaskini selanjutnya,” katanya.
Menurut Tan lagi, mereka menjangkakan laluan terus dari Thailand dan Filipina akan bermula pada separuh pertama tahun ini, dengan selebihnya mengikuti pada separuh masa kedua.
Turut hadir pada majilis itu ialah setiausaha tetap kementerian pelancongan negeri Datuk Mohd Yusrie Abdullah; Timbalan pengerusi Pelancongan Malaysia Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh Sandhu; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman dan Pengarah Pelancongan Malaysia Sabah Ednie Rahma Ab Rahim.
Seorang pelajar lelaki berusia sembilan tahun berdepan detik cemas apabila tercekik penutup botol air di dalam kelas. Kejadian ini berlaku di East Orange Community Charter School di New Jersey, Amerika Syarikat.
Rakaman CCTV menunjukkan pelajar itu pada mulanya tidak dapat membuka penutup botol air dengan tangannya lalu dia membukanya dengan menggunakan gigi.
Menurut New York Post, pelajar gred tiga itu, yang dikenali sebagai Robert Stonaker, cuba menggunakan giginya untuk memulas botol air apabila secara tiba-tiba air telah menolak penutup itu ke bahagian kerongkongnya.
Pelajar itu bergegas ke singki untuk mengeluarkan penutup botol tetapi tidak berjaya dan terus berlari meminta bantuan gurunya yang berada di dalam kelas ketika itu.
“Saya pergi ke singki untuk mengeluarkannya tetapi tidak berjaya dan saya terus berlari meminta bantuan guru saya,” tambahnya.
Guru Jenkins bertindak dengan pantas melakukan teknik ‘Heimlich Maneuver’ selepas Robert berlari ke arahnya dalam keadaan kelam-kabut di hadapan bilik darjah yang panik diperhatikan para pelajar lain.
“Dia menunjuk ke arah lehernya dan tidak boleh bercakap. Jadi, saya memusingkan badannya dan melakukan teknik Heimlich Maneuver,” kata guru itu.
Teknik ‘Heimlich Maneuver’ merupakan teknik keselamatan universal yang digunakan di seluruh dunia untuk menyelamatkan mangsa yang mengalami masalah tercekik sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.
Tindakan pantas guru wira itu dengan menunjukkan teknik ‘Heimlich Maneuver’ dengan betul dan menyelamatkan pelajarnya telah mendapat perhatian warganet dengan lebih 3.5 juta tontonan di Twitter.
Kementerian Pengangkutan akan mengenakan larangan ke atas kenderaan berat daripada menggunakan lebuh raya untuk tempoh lima hari sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Larangan itu akan dikenakan dalam dua tempoh, iaitu dari 30 April hingga 2 Mei 2022 dan dari 7 Mei hingga 8 Mei 2022.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan larangan itu akan diwartakan tidak lama lagi.
Tujuan di sebalik larangan itu adalah supaya trafik berjalan lancar berikutan jangkaan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya ketika rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman pada musim perayaan, Harian Metro melaporkan.
Sekadar Gambar Hiasan
“Saya telah menandatangani perintah itu, sama seperti yang dikenakan sebelum ini yang mana ia akan dikenakan tiga hari sebelum Hari Raya dan dua hari selepas itu. Apabila ia diwartakan, semua pemilik permit, terutama kenderaan komersial terikat dengan perintah itu,” Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan.
Menteri Pengangkutan seterusnya berkata, terdapat sistem pengumuman untuk larangan itu dan spesifikasi kenderaan berat bagi larangan yang mana adalah sama seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini.
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang remaja perempuan yang disyaki mengelar leher pemandu e-hailing selepas enggan membayar tambang berjumlah RM400.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata remaja berusia 16 tahun itu ditahan di sebuah premis perniagaan di Jinjang, Sentul di sini, jam 4.55 petang, 16 April 2022.
Katanya, polis menerima laporan daripada lelaki berusia 63 tahun yang dikelar di leher oleh penumpangnya ketika berada di Jalan Kovil Hilir, Sentul, jam 2.55 pagi, Rabu lalu.
“Siasatan mendapati, mangsa mengambil suspek di Sagil, Tangkak, Johor menggunakan aplikasi e-hailing. Selepas tiba ke destinasi di Jalan Kovil Hilir, mangsa memberitahu jumlah tambang yang dipersetujui untuk dibayar ialah RM400.
“Suspek enggan membayar kerana tidak mempunyai wang dan mangsa membuat keputusan menghantar suspek ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek yang ketakutan mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau lipat dan melarikan diri dengan meninggalkan senjata tajam digunakan di dalam kereta mangsa.
“Mangsa kemudian memandu menuju ke Balai Polis Sentul untuk meminta bantuan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Katanya, suspek dapat ditahan dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit miliknya.
Eng Lai berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang mempunyai kebolehan luar biasa telah memukau jutaan orang di internet apabila dia mampu menulis dalam 10 bahasa berbeza. Tidak hanya itu, si pintar ini juga mempunyai daya ingatan yang tinggi iaitu ingatan fotografi (photographic memory) serta dikatakan sudah boleh membaca sebelum dia boleh berjalan lagi.
Apabila Sebastian Esposito, dari Albuquerque, New Mexio, berumur 18 bulan, dia mula menjadi taksub dengan teka-teki huruf kayu dan mula mengeja perkataan seperti kucing dan anjing. Dia kemudian terus menulis lebih daripada 200 perkataan ketika dia berusia dua tahun dan dalam masa yang sama dia turut mempelajari keseluruhan abjad Rusia.
Sebastian mempunyai kemahiran yang dipanggil hyperlexia, iaitu apabila kanak-kanak mempunyai kebolehan membaca jauh lebih awal dari usia mereka dan mempunyai daya tarikan kepada nombor atau huruf, dan dia juga telah didiagnosis menghidapi autisme.
Kini berusia lima tahun dan di tadika, di mana rakan sekelasnya masih mempelajari ABC mereka, Sebastian mempunyai keupayaan membaca seperti mereka yang berusia 18 tahun. Si kecil ini juga kini telah menghafal abjad Yunani, Jerman, Armenia dan Turki dan boleh menyebut keseluruhan jadual unsur berkala walaupun dia masih tidak boleh mengikat tali kasutnya.
Bapanya, Ryan Esposito, 30, seorang pekerja lombong, yang tinggal bersama isteri, Amanda Esposito, 33, anak perempuannya, Shyann, 14, dan Sebastian, berkata, “setiap ibu bapa menganggap anak mereka istimewa. Tetapi saya tahu Sebastian benar-benar istimewa.
“Apabila dia mula mengeja perkataan ke belakang, saya fikir mungkin dia adalah makhluk asing. Dan dia mengingat semua perkataan ini dengan cepat. Ia adalah luar biasa.
“Kami fikir dia mempunyai ingatan fotografi. Apa sahaja yang dia nampak dia hanya simpan dalam kepalanya dan tidak pernah melupakannya.”
Ketika berumur tiga tahun Sebastian telah didiagnosis menghidapi autisme, ketidakupayaan perkembangan yang mempengaruhi cara orang berkomunikasi dan berinteraksi dengan dunia.
Apabila keluarga Sebastian mula-mula mula menyiarkan videonya di dalam talian, mereka mahu meningkatkan kesedaran tentang keadaannya. Mereka walau bagaiamanpun tidak pernah menjangka klip pendek itu kemudian menjadi tular sehingga menarik hampir 20 juta tontonan.
Antara video mereka yang ‘viral’ di laman TikTok yang menggunakan nama @litttle.einstein, ialah video di mana Sebastian menulis keseluruhan abjad atau setiap fon pada Microsoft Word, serta menyenaraikan setiap negara dan ibu negara di dunia yang diingatinya.
Ryan berkata, “dia boleh menyenaraikan setiap negara di dunia dan bendera mereka, ibu kota mereka dan di mana mereka berada. Dia boleh memberitahu nama negara dengan melihat pada pelan negara terebut.
“Melihat dia berkembang seperti ini sangat cemerlang. Kami rasa kami tidak layak menerima anugerah sebegitu.
“Kami hanya cuba menyebarkan kesedaran tentang keadaannya, kerana kami sekeluarga sendiri melihatnya pada pandangan yang berbeza.
“Sebastian tidak boleh bercakap dengan kata-katanya, ia adalah agak sukar untuknya. Dia mempunyai semua pemikiran ini, tetapi dia berjuang untuk berkomunikasi dengan cara itu.
“Dia mempunyai fikiran yang luar biasa, tetapi dia perlu menulisnya dan dia boleh memberitahu anda dengan tepat tentang perasaannya.
“Jika dia jatuh dan mencederakan dirinya sendiri, sukar untuk dia memberitahu kami, jadi ia boleh menjadi sesuatu yang sangat sukar.
“Kami mahu orang ramai tahu bahawa setiap kanak-kanak tidak sama. Tetapi mereka semua bijak.
“Sebastian tidak boleh memakai kasutnya sendiri, tetapi dia boleh menulis dalam bahasa Rusia.”
Ketika Sebastian dilahirkan pada 19 Julai 2016 keadaan dengan pantas bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia dan ibunya berada dalam keadaan kritikal apabila terdapat masalah pada saluran kelahiran.
Pakar perubatan memberi amaran kepada Ryan bahawa pasangan itu tidak akan bertahan jika bayi itu tidak dilahirkan dalam masa 30 minit.
Ryan berkata, “saya tidak percaya apa yang berlaku. Ia adalah hari yang paling teruk dalam hidup saya, tetapi juga yang terbaik kerana Sebastian dilahirkan.
“Penggera mula berbunyi. Jururawat pun meminta saya untuk keluar dari bilik.
“Saya berhenti menangis dan kemudian mereka memberitahu saya yang saya boleh memotong tali pusat kerana bayi baik-baik saja. Dia berada dalam keadaan biru apabila saya melihatnya, seolah-olah kelihatan tidak bernyawa.”
Hebatnya, kedua-dua ibu dan anak lelakinya selamat tetapi Sebastian terpaksa diletakkan pada ventilator di unit rawatan rapi di Hospital Presbyterian Albuquerque, di mana dia duduk di situ selama sembilan hari.
Ryan diberitahu anaknya mungkin akan mengalami masalah perkembangan yang ketara, tetapi dia tidak bimbang sama sekali, kerana dia hanya mahu menggendong bayinya.
Dia berkata, “apabila kami diberitahu dia mungkin mengalami kesukaran, kami langsung tidak bimbang. Kami hanya mahu dia baik-baik saja.
“Sebaik sahaja kami membawanya pulang, kami mula menjadi ibu bapa yang paranoid yang sentiasa memastikan dia masih bernafas.
Sebastian hanya mula merangkak ketika dia berumur sembilan bulan dan tidak boleh berjalan sehingga dia hampir dua tahun.
Walaupun bergelut dengan kelewatan pertuturan, anak yang peka itu mudah dilatih, kerana ibu bapanya yang cepat berfikir mula menggunakan huruf kayu untuk mengeja arahan.
“Memandangkan dia bercakap lambat, permainan dan teka-teki ini adalah cara saya boleh berkomunikasi dengan anak saya.
“Begitulah kami melatihnya untuk ke tandas. Kami menulisnya. Kami menyuruhnya membuang air kecil di dalam tandas.
“Kami juga akan menulis soalan seperti apa yang dia mahu makan dan dia akan memberitahu kami.
“Kini dia boleh memberitahu kami apa sahaja dengan perkataan bertulis. Begitulah cara kami mengajarnya.”
Ryan pada mulanya cuba melibatkan diri dalam aktiviti bapa-anak yang lebih ‘tradisional’ bersama Sebastian, seperti bermain dengan mainan atau membaling bola, tetapi dia menyedari bahawa minat sebenar anak lelakinya itu ialah membaca.
Pada Krismas pertama Sebastian pada 2018, dia menerima hadiah teka-teki abjad Rusia dan dia sangat gembira.
“Krismas pertamanya, kami memberinya teka-teki abjad Rusia dan dia bertindak balas seperti kanak-kanak yang menerima basikal kegemarannya.
“Dia hanya suka membaca dan dia menjadi benar-benar taksub dengannya.”
Daripada bermain dengan mainan, Ryan berkomunikasi dengan Sebastian dengan memberinya cabaran dalam ejaan, permainan tekaan logo atau kuiz fon, di mana dia menaip setiap fon pada Microsoft Word.
Berbekalkan ilmu yang dipelajari daripada ratusan buku yang dimilikinya, Sebastian masih belum kalah dengan cabaran yang diberikan kepadanya.
Ryan berkata, “dia sangat, sangat bersemangat. Kami cuba mengajaknya bermain trak dan kereta, tetapi ia bukan yang dia mahu. Apa yang dia pentingkan ialah belajar. Dia mempunyai banyak mainan, tetapi semua itu hanya diselaputi habuk.
“Apabila mereka melihat apa yang dia boleh lakukan, saya bimbang orang fikir kami memaksa dia untuk belajar. Tapi itu semua adalah apa yang dilakukan sendiri.
“Belajar adalah versinya bermain dengan dinosaur mainan. Dia suka cabaran mengeja, meneka logo, atau menulis fon.”
Dan Ryan berkata Sebastian mengajarnya sesuatu yang baru setiap hari.
“Dia tahu keseluruhan jadual unsur berkala, saya tidak dapat memberitahu anda 10 daripadanya.
“Saya boleh menyenaraikan kebanyakan negara Afrika di dunia sekarang, terima kasih kepadanya. Saya telah belajar banyak hanya daripada bermain dengannya.
“Menjadi bapa Sebastian telah menjadikan saya lebih mempunyai sifat belas kasihan dan lebih memahami tentang orang lain dan juga anak-anak mereka.”
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan Sebastian melalui video-video yang dimuat naik di Instagram atau TikTok di @litttle.einstein.