Penyanyi, pelakon dan penghibur serba boleh, Adibah Noor meninggal dunia pada jam 7.45 malam Sabtu, 18 Jun di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari pada usia 51 tahun.
Khabar dukacita itu mula diketahui umum menerusi hantaran di akaun Instagram kenalan artis iaitu pelakon, Datin Emylia Rosnaida.
“Allahuakbar sedihnya, terkejut dapat berita ini. Sahabat kita yang versatile Adibah Noor baru sahaja meninggal dunia,” katanya dalam muat naik sekitar jam 8 malam.
Pada minggu lalu, Allahyarhamah dengan nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar kembali menjadi tajuk utama portal hiburan setelah tersebar gambar terbarunya yang kelihatan jelas mengalami pengurangan berat badan.
Namun, Allahyarham Adibah hanya memberitahu perubahan ketara berkenaan adalah disebabkan amalan pemakanannya, iaitu dengan memilih diet yang lebih sihat sejak bulan Ramadan lalu.
Rakan seperjuangan Allahyarham dalam program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kelapan, Ani Mayuni memaklumkan terpaksa menghormati permintaan arwah untuk tidak mendedahkan keadaan kesihatannya. Menurut Ani, selepas selesai GV8, Allahyarham mula kerap sakit.
“Apabila saya bertanya secara peribadi, barulah arwah beritahu mempunyai kanser ovari dan dan baru selesai menjalani pembedahan,” kata Ani Mayuni dipetik Berita Harian.
Kemunculan awal Allahyarham di layar perak bermula pada tahun 2005 filem seperti Sepet, Gubra dan Mukhsin karya sutradara Yasmin Ahmad, dan sejak itu membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan serta iklan.
Dalam dunia nyanyian, Allahyarham sempat merakamkan dua buah album studio iaitu Terlalu Istimewa (2005) dan Teman (2010), selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.
Sepanjang hayatnya, Adibah dikenali sebagai individu dan selebriti yang senang didampingi oleh peminatnya menerusi platform media sosial. Allahyarham antara lain diingati sebagai figura umum yang suka mendidik berkaitan penguasaan Bahasa Inggeris, selain berkongsi cerita seni persembahan dan kesedaran menjaga alam sekitar serta haiwan terutamanya kucing.
Dikatakan dalam kebanyakan hidangan penerbangan, selain makanan dan hidangan utama, kacang sentiasa disertakan sebagai makanan ringan.
Namun, sesuatu yang tidak disangkakan terjadi apabila seorang remaja perempuan hampir maut di dalam penerbangan baru-baru ini kerana alahan terhadap kekacang dalam situasi tahap teruk.
Semuanya bermula apabila seorang wanita berusia 39 tahun, Joanna Jones dari Tooting di London, United Kingdom mengambil peluang pembukaan sempadan negara untuk membawa ibu dan dua anaknya pergi melancong ke luar negara menikmati percutian.
Destinasi pelancongan yang dipilih oleh keluarga mereka ialah Antigua dan Barbuda, sebuah negara yang terletak di Kepulauan Caribbean.
Selepas beberapa hari berseronok di sana, tiba masanya buat mereka untuk pulang dan menurut tiket penerbangan yang telah ditempah, keluarga itu akan terbang pulang dengan mendarat di Lapangan Terbang Gatwick di UK dari Antigua dan Barbuda.
Tetapi untuk Poppy, anak perempuan Joanna yang berusia 14 tahun, menaiki penerbangan adalah perkara yang sangat berbahaya.
Gambar oleh Daily Mail
Kerana Poppy mengalami alahan terhadap kekacang yang teruk, walaupun seseorang makan kacang dalam kapal terbang dari jauh, kesan alergen di udara boleh menyebabkan gejala alahannya meningkat!
Jadi ketika menaiki pesawat pada hari itu, Joanna menjelaskan situasi istimewa anak perempuannya kepada pramugari terlebih dahulu, dan meminta mereka memberitahu penumpang lain supaya tidak memakan kacang di dalam pesawat.
Kemudian pramugari itu mengumumkan dalam pra-penerbangan, dengan menyatakan sebanyak dua kali berturut-turut tentang amaran itu, meminta para penumpang untuk tidak makan kacang langsung di dalam pesawat.
Bagaimanapun, kemalangan yang boleh dielakkan sepenuhnya ini berlaku juga akhirnya dengan malang.
Sekadar Gambar Hiasan
Tidak lama selepas pesawat itu berlepas, Joanna tiba-tiba mendapati kira-kira sepuluh baris di hadapan tempat duduk mereka, seorang penumpang lelaki membuka peket kacang dan memakannya dengan berselera.
Joanna tidak dapat menahan rasa gugup, dan segera meminta pramugari jika mereka boleh menukar tempat duduk untuk cuba menjauhkan diri daripada penumpang yang makan kacang itu.
Malangnya, seluruh tempat duduk penerbangan penuh pada masa itu, dan tiada siapa yang sanggup bertukar tempat duduk dengan ibu dan anak ini.
Jadi pramugari terpaksa pergi ke penumpang lelaki itu untuk berunding, dengan memberitahu salah seorang penumpang dalam pesawat alah kepada kekacang dan berharap dia akan berhenti memakannya.
Tetapi lelaki ini naik berang dan dia tidak mengendahkan amaran itu lalu berkeras untuk terus makan kacang.
Gambar oleh Daily Mail
Ketika ini, pesawat telah berlepas dan Joanna mula bimbang Poppy akan mengalami alahan itu.
Hanya tiga jam sebelum tiba di destinasi, Poppy mengalami reaksi alahan yang teruk secara tiba-tiba, dan semua penumpang di dalam pesawat itu diselubungi ketakutan.
Pada masa itu, keadaan nafas Poppy mula tidak stabil kerana mengalami ‘anaphylaxis’, malahan mula tidak sedarkan diri dalam situasi yang mengejutkan.
Melihat situasi semakin cemas, Joanna segera mengeluarkan adrenalin ‘Epi-Pen’ yang dibawanya dan memberi Poppy dua suntikan berturut-turut, yang diharap dapat mengekalkan rentak nadinya buat sementara waktu.
Selepas mendengar panggilan pramugari meminta pertolongan, seorang penumpang yang merupakan jururawat di dalam pesawat itu turut bergegas membantu memberikan pertolongan cemas dengan arahan doktor yang dihubungi dari Arizona.
Poppy telah diberikan bantuan oksigen dalam kit perubatan kecemasan pesawat, dan pada masa yang sama menggunakan monitor untuk memantau tekanan darahnya, tetapi mendapati keadaannya sangat tidak stabil, dengan degupan jantung mungkin berhenti pada bila-bila masa.
Situasi cemas itu telah menyebabkan kapten juruterbang menghubungi menara kawalan trafik udara terdekat pada masa itu untuk melakukan pendaratan kecemasan dan mengatur supaya Poppy dan ibunya dapat turun dari pesawat untuk digegaskan ke hospital bagi menjalani rawatan lanjut.
Namun, akhirnya penerbangan itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Gatwick dan ambulans sudah pun menunggu di landasan untuk membawa Poppy ke hospital dengan segera.
Syukurlah, selepas seharian dimasukkan ke hospital dan diletakkan dalam pemerhatian, keadaan Poppy beransur pulih, dan dia akhirnya dibenarkan keluar dari wad.
Walaupun Poppy bernasib baik apabila nyawanya dapat diselamatkan, Joanna masih berasa kecewa dan terkilan ketika memikirkan pengalaman anak perempuannya menaiki penerbangan.
Sekiranya gejala alahan Poppy lebih teruk pada masa itu, mungkin ibu dan anak ini akan benar-benar dipisahkan buat selama-lamanya. Joanna tidak akan dapat melihat anak perempuan kesayangannya Poppy sekali lagi.
Gambar oleh Daily Mail
“Ia mimpi ngeri buat kami sekeluarga dan kebanyakan penumpang dalam penerbangan apabila lelaki itu terus makan kacang walaupun pengumuman, amaran dan nasihat daripada pramugari telah diberikan,” kata Joanna.
“Saya ingat anak perempuan saya akan meninggal dunia dalam pesawat, dan saya tidak akan berani membawanya menaiki penerbangan sekali lagi, kerana saya tidak boleh mengambil risiko itu..” kata Joanna.
Ia adalah pengalaman yang mengerikan buat ahli keluarga seseorang yang mengalami alahan dan jika lelaki itu mengikut nasihat untuk tidak makan kacang di dalam pesawat, semua ini boleh dielakkan.
Memiliki anak yang pintar, cergas dan cerdas adalah impian setiap ibu bapa. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk memastikan perkembangan otak anak mereka berfungsi dengan baik. Ada yang memberikan makanan tambahan yang boleh merangsang perkembangan otak, ada juga yang menggunakan pelbagai teknik pembelajaran semata-mata untuk memastikan otak anak-anak mereka bekerja dengan baik.
Namun di sebalik semua itu, ada yang mengatakan bahawa kepintaran seseorang anak adalah bergantung kepada ibu bapa atau keturunan. Jadi, sejauh manakah kenyataan tersebut benar?
Perkembangan otak kanak-kanak mempunyai tempoh puncak
Menurut Richard, seorang pakar yang mengkaji tingkah laku di Universiti Harvard, telah meneliti selama bertahun-tahun dan mendapati bahawa dalam seumur hidup kanak-kanak, mereka memiliki tempoh puncak perkembangan otak untuk menjadi pintar sebanyak tiga kali.
Berikut adalah tempoh perkembangan otak anak yang perlu diketahui oleh ibu bapa:
0-3 tahun, tempoh keemasan pertama perkembangan otak
Sebelum umur 3 tahun, otak kanak-kanak berada dalam tempoh perkembangan fisiologi yang pesat. Menurut kajian saintis otak, isipadu otak bayi baru lahir hanyalah 25% daripada orang dewasa, dan pada usia 3 tahun, isipadu otak akan berkembang kepada 85% otak orang dewasa.
Selain itu, pada masa ini, neuron dalam otak kanak-kanak berhubung pada 700-1000 neuron sesaat, dengan kelajuan untuk berhubung adalah sekitar 700 hingga 1000 bergantung sepenuhnya pada rangsangan luar.
Lebih banyak neuron dalam otak kanak-kanak disambungkan, lebih kuat keupayaan kanak-kanak untuk bertindak balas, berfikir, dan menumpukan perhatian.
Jadi, ketika fasa ini adalah penting untuk ibu bapa memastikan anak-anak kecil mereka mendapat rangsangan dari luar supaya otak mereka lebih berkembang.
3-6 tahun, tempoh puncak keduaperkembangan otak
Pada masa ini, synapse (tempat pertemuan antara dua saraf atau suatu saraf dengan suatu tisu) otak kanak-kanak akan meningkat dan jika tidak digunakan ia akan beransur-ansur merosot. Ketika fasa ini karakter kanak-kanak juga mula berkembang secara beransur-ansur. Selain itu, kebolehan tumpuan dan pemerhatian mereka juga mula berkembang pesat.
Sekiranya ibu bapa boleh menggunakan kaedah yang betul untuk merangsang kebolehan anak-anak mereka, ia akan menjadi sangat bermanfaat untuk perkembangan otak anak-anak mereka.
Menurut kajian, kanak-kanak yang memiliki penglihatan, pendengaran dan sentuhan yang baik mempunyai otak 20% lebih ‘padat’ daripada kanak-kanak biasa. Dengan kata lain, mereka lebih banyak pendedahan dalam melihat, mendengar dan menyentuh dan hal ini adalah sangat baik untuk perkembangan otak.
Ibu Mingming menyarankan pada peringkat ini, kanak-kanak perlu dibimbing secara sistematik untuk menerima pelbagai latihan contohnya buku permainan yang direka khas untuk merangsang perkembangan otak kanak-kanak.
7-10 tahun, adalah puncak terakhir pembangunan
Pakar psikologi, Piaget memanggil puncak terakhir perkembangan otak sebagai “peringkat operasi konkrit” di mana pada fasa ini adalah penting untuk memupuk logik kanak-kanak serta keupayaan pemikiran kritis.
Para saintis otak melalui penyelidikan mendapati bahawa neuron dalam otak kanak-kanak yang berkaitan dengan penglihatan, pendengaran, bahasa dan kognisi lanjutan pada dasarnya siap sebelum umur 7 tahun. Selepas umur 12 tahun, ia mula berkurang.
Kumpulan umur ini juga merupakan tempoh keemasan untuk memupuk ekspresi bahasa kanak-kanak, pemerhatian kognitif, imaginasi dan penciptaan, ingatan dan tumpuan. Ibu bapa dinasihatkan merebut peluang mengembangkan otak anak-anak ketika fasa ini.
Jika ibu bapa merebut peluang ini, perkembangan otak anak-anak akan menjadi lebih baik.
Menurut American Academy of Pediatrics, usia kanak-kanak 3-6 tahun, adalah “1000 hari kritikal perkembangan otak”.
Pada peringkat ini, selain memberikan nutrisi yang kaya kepada anak, ibu bapa juga boleh memberi lebih “stimulasi” kepada anak untuk membantu perkembangan otak anak dengan lebih baik.
Setiap penerokaan kanak-kanak sebelum umur 6 tahun merangsang hubungan neuron di otak, dan hubungan ini akan merangsang perkembangan keupayaan kognitif, tumpuan dan imaginasi kanak-kanak.
Bagi ibu bapa yang tidak tahu bagaimana caranya untuk merangsang perkembangan otak anak-anak mereka, mereka disarankan untuk melakukan beberapa aktiviti bersama seperti menemani anak-anak membaca buku tentang buku pendidikan dan bermain pelbagai permainan.
Profesor Harvard telah mengkaji tempoh puncak perkembangan otak kanak-kanak, dan sangat berharap setiap ibu bapa dapat merebut peluang keemasan ini bagi merangsang perkembangan otak anak seterusya membolehkan mereka mempunyai tahap IQ yang tinggi.
Berita mengenai pengharaman filem Disney ‘Lightyear’ pastinya mengecewakan peminat di Malaysia yang tidak sabar menunggu filem itu ditayangkan di pawagam. ‘Lightyear’ tidak dibenarkan untuk ditayang di 14 buah negara Timur Tengah dan Asia berikutan terdapat babak LGBT.
Negara yang tidak membenarkan tayangan filem itu termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Oman, Palestin, Qatar, Arab Saudi, Syria, Indonesia dan Malaysia.
Media melaporkan Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPF) menjelaskan filem ‘Lightyear’ telah diluluskan dengan arahan pengubahan yang sewajarnya, namun pengedar filem iaitu The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn Bhd tidak bersetuju untuk mematuhi arahan berkenaan, jadi LPF memutuskan untuk membatalkan tayangan filem tersebut.
LPF memaklumkan telah menonton tapis filem ‘Lightyear’ dan memberikan keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) berserta klasifikasi P13 pada 30 Mei lalu, yang sepatutnya memulakan tayangan pada 17 Jun.
Gambar oleh Disney/Pixar
Pihak mereka telah mengarahkan supaya dibuat pengubahan iaitu potongan bagi adegan dan disenyapkan dialog yang didapati mengandungi gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), yang dilaporkan mengandungi babak bercumbu antara sesama wanita.
Ini telah melanggar aspek utama di dalam Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010, jadi LPF berkata mereka tidak akan berkompromi dengan kandungan filem yang mempromosi atau cuba menormalisasi unsur-unsur LGBT yang bertentangan dengan dasar negara yang tidak mengiktiraf gaya hidup LGBT.
Jadi “to infinity and begone” lah untuk peminat filem ‘Lightyear’ di Malaysia.
Walau bagaimanapun, penonton di Malaysia mungkin masih dapat menonton filem ini yang memaparkan renjer legenda angkasa lepas Buzz Lightyear, juga merupakan prekuel francais ‘Toy Story’ di platform penstriman Disney+ Hotstar dalam beberapa bulan akan datang.
Rakyat Malaysia memberikan reaksi bercampur-campur mereka dengan larangan tayangan di pawagam itu menerusi Facebook dan Twitter.
Sesetengah khalayak menekankan keperluan untuk melarang terus filem itu apabila perkhidmatan penstriman Disney+ Hotstar mungkin merancang untuk menayangkan filem itu dalam masa terdekat, yang juga termasuk ketersediaan muat turun dan platform penstriman menyalahi undang-undang pada hari ini.
Dalam pada itu, khalayak lain berpendapat Disney telah membuat langkah buruk untuk memasukkan unsur-unsur gay dan lesbian dalam filem animasi yang disasarkan kepada kanak-kanak.
Ramai beranggapan ia bukan tindakan bijak untuk memasukkan elemen LGBT dalam filem ‘Lightyear’ sambil turut menyatakan pendirian mereka yang bersetuju dan berpuas hati apabila filem itu diharamkan tayangannya di Malaysia.
Anda rasa boleh bertenang atau terkejut apabila melihat jumlah air yang dinyatakan dalam bil boleh mengisi kira-kira 52 kolam renang bersaiz standard, memandangkan anda hanyalah seorang pengguna biasa.
Seorang lelaki dari Raub, Pahang berkongsi di Facebook dengan mengatakan yang dia terkejut apabila menerima bil air berjumlah RM144,623 untuk bulan ini.
Berdasarkan gambar bil air yang dimuat naik lelaki itu dalam kumpulan Facebook awam, dia nampaknya telah menggunakan 99,740m³ air dari 16 Mei hingga 6 Jun tahun ini.
Bil airnya sebelum ini hanya mencecah RM71.05 untuk bulan Mei.
Kapsyen lelaki itu berbunyi, “Tengok jumlah itu… Bolehkah saya memfailkan kebankrapan?”
Dalam hantaran di Facebook, lelaki itu tidak menyatakan mengapa dia menerima bil air yang begitu mahal dan tidak menyatakan sama ada dia telah bertanyakan mengenainya dengan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Mengikut pengiraan yang dibuat oleh Sin Chew Daily, kolam renang dengan panjang 50m, lebar 21m, dan kedalaman air 1.8m memerlukan isipadu 1,890m³ air untuk diisi.
Ini bermakna jumlah air yang dinyatakan dalam bil air akan dapat mengisi kira-kira 52.8 kolam renang bersaiz standard.
Bil air yang mahal itu mendapat komen warganet yang menganggap situasi itu agak lucu bila difikirkan.
“Jumlah air ini boleh digunakan untuk membuka akuarium.”
“Tidak hairanlah rumah kita tiada air yang datang..”
“Rupa-rupanya semua air telah dibawa ke rumah anda..”
Seorang lagi memberi komen, “Jika sebuah keluarga kecil menggunakan RM20 sebulan, menjadikan RM240 setahun, ia akan mengambil masa 600 tahun untuk menggunakan air berjumlah RM144,000. Menjelang 600 tahun, cucu generasi ke-18 saya masih boleh menggunakan air itu. Anda mengeringkan 600 tahun air dalam satu bulan, saya sangat kagum.”
Beberapa warganet telah mencadangkan jumlah bil mungkin disebabkan oleh masalah tersalah pengiraan di pihak PAIP dan menasihatkan lelaki itu untuk melapor dan menjelaskannya kepada pihak berkuasa.
Hanya sebagai panduan, berikut adalah cara-cara yang mudah bagi anda cuba menjimatkan air serta mengurangkan bil air:
Baiki paip yang menitis secara perlahan. Pembaziran sebanyak 90 liter sehari disebabkan oleh paip seperti ini.
Jangan biarkan air mengalir ketika anda menggosok gigi. Sebanyak 5 liter air dibazirkan setiap minit jika paip dibiarkan mengalir.
Periksa kecekapan penggunaan air bagi peralatan baru seperti mesin basuh sebelum membelinya.
Gunakan alat pancuran untuk menggantikan penakungan air apabila ingin mandi kerana ia boleh menggunakan hanya 30 peratus air yang diperlukan.
Kurangkan penggunaan hos atau pemercik air yang menggunakan sehingga 1000 liter air sejam. Gantikan dengan amalan menuai air hujan untuk kegunaan di laman.
Peralatan penjimatan seperti isikan air di dalam botol yang ditempatkan di dalam tangki air dapat menjimatkan 3 liter bagi setiap penjirusan.
Gunakan alat pengawal bagi kepala hos untuk mengawal aliran air.
Pemasangan peralatan pengawal aliran pada paip serta basin air yang sedia ada dapat mengurangkan pembaziran sebanyak 70 peratus sambil memberi aliran yang normal.
Peralatan penjimatan bagi perenjis air dapat mengurangkan 70 peratus pembaziran (hanya menggunakan 6 ½ liter air seminit berbanding 18-20 liter bagi perenjis biasa).
Dapatkan tangki pengumpulan air hujan (ada yang disertakan dengan alat pengelak limpahan) bagi pengairan tanaman serta untuk mencuci kawasan laman.
Berikut adalah cara untuk memahami kadar penggunaan air kediaman anda:
Juga jangan lupa laporkan segera apabila terdapat kebocoran, kerosakan paip dan kegiatan mencuri air.
Info Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Tiada yang terlambat buat seorang veteran perang yang berusia 91 tahun untuk bertemu semula dengan cinta sejatinya yang pertama dari Jepun, dan dia mahu menjelaskan kepadanya, “Saya tidak pernah meninggalkan kamu sama sekali..”
Di musim luruh tahun 1950, seorang pemuda berusia 19 tahun Duane Mann dan rakan sekelasnya menyahut panggilan menyertai Tentera Laut Amerika Syarikat. Mereka mengikuti latihan di Pusat Latihan Tentera Laut The Great Lakes di Chicago Utara, Illinois. Selepas 14 minggu menjalani latihan, anak muda ini ditugaskan ke Stesen Udara Tentera Laut di Alameda California. Duane ditempatkan di sana dari 1 Januari 1951 hingga 23 Disember 1952, yang kemudian dipindahkan ke Fleet Pacific Far East di Yokosuka, Jepun.
Sebagai Penjaga Stor Penerbangan Kelas 3, tugasnya adalah membekalkan Sayap Udara Marin Pertama di Korea dengan apa sahaja yang diperlukan untuk memastikan pesawat mereka terus terbang. Sembilan bulan pertama pada tahun 1953, Duane kekal di Pangkalan Tentera Laut Yokosuka. Kemudian pada Oktober 1953, dia meminta untuk dipindahkan ke Pangkalan Udara Haneda (Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo), yang juga merupakan rumah Skuadron Pengangkutan Udara 1503 Tentera Udara Amerika Syarikat.
Setelah dinaikkan pangkat ke Kelas 2 pada usia 23 tahun, Duane layak menjadi ahli Kelab Pegawai Tidak Bertauliah. Pengurus Kelab, Sarjan Teknikal Dickens memerhatikan Duane cenderung secara mekanikal dan menawarkannya dengan pekerjaan bergaji AS$90 sebulan termasuk makan dan minum. Duane Mann bekerja di situ sebagai mekanik mesin slot dan berpangkat sarjan semasa bertugas.
Peggy Yamaguchi bekerja sebagai ‘Hat Check Girl’ dan ‘Greeter’ di Kelab NCO. Gadis ini peramah dan suka berkawan, bercakap Bahasa Inggeris sangat baik daripada kebanyakan orang, dan suka bertandang dengan keluarga tentera. Bekerja di kelab itu adalah seperti bekerja dengan keluarga sendiri. Kesemua mereka sangat mesra.
Duane berkawan dengan ramai kakitangan dan tentera. Peggy dan Duane mula berkawan sebaik sahaja mereka bertemu, menghabiskan masa berjam-jam dengan mendengar dan menikmati kumpulan muzik sambil minum soda. Tetapi sebaik sahaja mereka memulakan tarian pertama dan Duane kagum menerima kejutan, “Oh! Dia sangat pandai menari..” dan sejak itu segalanya berubah.
Tidak lama kemudian, persahabatan Duane dan Peggy beralih ke hubungan cinta dan mereka menghabiskan kebanyakan masa lapang bersama. Duane seronok mendengar Peggy bermain piano dan menyanyi. Duane tidak lagi pergi ke Chow Hall untuk bersarapan, kecuali ketika bertugas, supaya dia dan Peggy dapat meluangkan lebih banyak masa bersama.
Tidak lama kemudian, Duane Mann menyedari telah jatuh cinta dengan Peggy Yamaguchi dan gadis ini juga merasakan perkara yang sama. Mereka telah saling jatuh cinta.
Pada pertengahan Jun 1954, Duane dan Peggy serius bercakap mengenai perkahwinan. Mereka tahu ia adalah prosedur yang rumit apabila gadis Jepun berkahwin dengan askar Amerika, dan ia menjadi lebih rumit kerana Peggy sedang hamil. Tempoh berkhidmat 4 tahun Duane akan tamat pada 27 September 1954 dan dia akan kembali ke Amerika pada masa itu. Mereka menyedari masa itu semakin suntuk.
Perang Korea telah berakhir dengan gencatan senjata dan tentera yang terlalu ramai selepas keadaan kembali aman menyebabkan Jabatan Perang memutuskan untuk memendekkan perkhidmatan dan mengarahkan ramai tentera diberhentikan awal. Duane mempunyai satu minggu untuk mendaftar keluar dari Pangkalan Tentera Udara Haneda dan kembali ke stesen asal di Yokosuka. Peggy dan Duane sama-sama luluh hati dan kecewa.
Duane mempunyai wang yang cukup dalam simpanan dan berjanji kepada Peggy akan mengirimkan kepadanya. Selepas pulang ke Iowa, Duane dan Peggy saling berhubungan melepas rindu dengan berutus surat dan berjanji untuk menghantar sejumlah wang untuk membawanya ke Amerika.
Duane pulang ke rumah ibu bapanya dan bertanya mengenai wang yang dia simpan selama 3 tahun dan dimaklumkan oleh ibunya yang menangis, “Bapa kamu terkena serangan jantung semasa kamu berada di Tentera Laut dan kami perlu membesarkan adik-adik kamu yang masih kecil, jadi dia terpaksa menggunakan semua wang simpanan kamu.”
Nama bapa Duane juga dinamakan dalam akaun simpanannya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya dia terkorban dalam peperangan, yang mana di zaman dahulu adalah amalan biasa yang bukan bijak.
Duane terpaksa kembali mendapatkan pekerjaan, bersungguh-sungguh dengan pekerjaan yang bagus dan mengumpul wang secepat mungkin demi Peggy. Jerih dia bekerja dengan Syarikat Pembinaan Lebuhraya yang memerlukan masa kerja keras yang panjang di seluruh Midwest. Surat-surat daripada Peggy sampai ke rumah ibu bapanya di luar bandar dan agak lama sebelum Duane boleh mencapai dan membacanya.
Sukar menghadapi masa perpisahan dan kelewatan yang tidak pasti dan masa depan tidak menentu serta pelbagai masalah lain yang perlu diatasi dan diselesaikan sebelum Duane dan Peggy dapat bersatu semula.
Selepas sebulan lebih, surat-surat Peggy telah berhenti dikirim. Duane terkejut, keliru dan tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku. “Sebaliknya, saya berharap akan berusaha lebih keras untuk mengetahui apa yang sedang berlaku kerana ia masih menghantui saya,” katanya.
Hanya selepas Hari Kesyukuran, kakak Duane memberinya surat daripada Peggy. Dalam surat itu Peggy memberitahu yang dia telah berkahwin dengan seorang lelaki dari Tentera Udara dan akan berpindah ke Wisconsin.
Juga, Peggy memaklumkan kepada Duane yang dia telah kehilangan bayi mereka.
Duane kemudian mengetahui surat-surat Peggy tidak berhenti sama sekali, tetapi ibunya telah membakar hampir kesemuanya. Ibu Duane tidak mahu anak lelakinya berkahwin dengan gadis Jepun. Sikap ibunya terhadap orang berketurunan Jepun dan Jerman adalah perkara biasa semasa zaman selepas Perang Dunia Kedua.
Perkara yang sama berlaku selepas Perang Dunia Pertama. Walaupun Duane tidak pernah bercakap keras untuk melawan dengan ibu atau bapanya, dia melepaskan kekecewaan putus cinta dengan merobek pintu skrin melalui engselnya.
Duane telah dikalahkan dengan sempurna angkara peperangan. Semuanya telah berakhir..
Selepas mengetahui Peggy telah berkahwin, Duane meneruskan kehidupan dan mempunyai kehidupan yang baik. Walaupun perkahwinan pertamanya berakhir dengan perceraian, dia telah dianugerahkan hak penjagaan 4 orang anaknya (dua perempuan dan dua lelaki). Dalam masa dua tahun, Duane bertemu isteri kedua dan dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
Isteri keduanya Janice sangat baik kerana membesarkan 4 anak tiri tanpa sebarang keraguan dan dia seorang ibu yang baik. Duane mempunyai keluarga besar dengan 6 orang anak yang kesemuanya telah berjaya dan berkeluarga. Tetapi dia juga tertanya-tanya sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya seorang lagi.
Sejak hari-hari yang mengecewakan itu, Duane telah berusaha dan terus berusaha mencari Peggy atas dua sebab. Pertama, Duane mahu memberitahu Peggy yang dia tidak pernah meninggalkannya. Kedua, Duane ingin tahu dengan pasti apa yang berlaku kepada bayi mereka.
Pada ketika itu di usia semakin uzur 88 tahun, selepas bertahun-tahun, peluang Duane semakin tipis, tetapi dia masih terus menaruh harapan agar dapat bertemu Peggy dan menceritakan kisah cinta pertamanya di Facebook untuk mendapatkan bantuan.
Hanya baru-baru ini, hasrat veteran perang berusia 91 tahun Duane Mann yang telah cuba mencari kekasih hatinya Peggy Yamaguchi selama 70 tahun akhirnya termakbul, untuk dia berpeluang menjelaskan segala-galanya.
Kisah cinta Duane Mann tersebar ke seluruh dunia sehingga sampai ke Jepun. Dan ramai yang cuba memberikan bantuan dan maklumat. Selepas 70 tahun berlalu dengan hasil bantuan seorang wanita dari Vancouver, Kanada yang mengenali Peggy, anak-anak mereka merangka rancangan untuk Duane dan Peggy bertemu semula.
Duane, sudah tentu mahu menjelaskan keseluruhan cerita sebenar kepada Peggy.
Akhirnya mereka bertemu semula di sebuah resort di Escanaba dan mengenang kembali kisah cinta mereka berpuluh tahun lalu semasa berada di Jepun.
“Saya di sini sudah terlalu lambat, tetapi satu perkara saya mahu memberitahu kamu yang saya tidak pernah meninggalkan kamu. Saya hanya tidak dapat mencari kamu,” kata Duane sambil memegang erat tangan Peggy dengan rasa lega.
Duane juga menunjukkan semua gambar Peggy yang disimpannya dalam dompet selama lebih 70 tahun. “Terima kasih kerana mengingati dan kumpulkan semua gambar ini. Kamu mesti benar-benar mencintai saya,” kata Peggy.
Dalam pertemuan semula itu, Peggy turut mendedahkan dia menamakan anaknya Mike Sedenquist dengan nama tengah ‘DUANE’.
“Baru saya faham bagaimana saya mendapat nama itu. Ia tidak berlaku secara kebetulan, ia sekarang masuk akal,” kata anak lelaki Peggy sambil menahan air matanya daripada mengalir.
Kisah pasangan era Perang Korea itu kini bertukar menjadi kisah cinta yang dikagumi dan menyentuh hati semua.
Antara perkara yang penting sebelum memulakan pemanduan ialah untuk memastikan keadaan kereta dalam keadaan baik. Ada antara kita yang hanya memeriksa enjing kereta, atau mungkin hanya memastikan minyak cukup untuk ke destinasi tetapi ada yang lupa bahawa angin kereta adalah antara hal yang sangat penting sebelum memandu.
Sebenarnya tidak kira destinasi- dekat atau jauh semua pemandu harus memastikan angin kereta mereka mencukupi supaya kenderaan selamat untuk digunakan. Tidak hanya itu, angin tayar yang mencukupi penting supaya kereta selesa dipandu di samping dapat menjimatkan wang apabila penggunaan minyak juga dapat dikurangkan.
Sekarang kita sudah tahu betapa pentingnya angin tayar kereta, tetapi hakikatnya masih ramai pengguna tidak tahu cara yang betul untuk mengisi angin tayar. Ya, ramai yang tahu untuk mengepam tayar tetapi ramai yang tidak tentang kandungan angin yang sesuai untuk kereta masing-masing. Bunyinya seperti pelik, tetapi itulah yang terjadi.
Buat anda yang masih tidak tahu cara mengisi angin tayar kereta dengan betul, jangan risau lagi kerana anda boleh ikuti panduan yang dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok, @aiyootan. Dia telah berkongsi bagaimana cara mengisi angin tayar dengan betul di laman sosial itu.
Berikut adalah langkah-langkah yang betul untuk mengisi angin tayar kereta:
Apa yang penting ialah anda disarankan untuk memastikan tekanan angin tayar kereta berada dalam keadaan yang sesuai supaya pemanduan lebih lancar dan selamat.
Lihat isipadu angin yang sesuai pada tayar anda di bahagian pintu sebelah pemandu.
Mudaha sahaja bukan? Kereta setiap pemandu memang berbeza tetapi jangan risau kerana panduan jumlah angin ada disediakan pada kereta masing-masing. Apa yang perlu dilakukan hanya rujuk pada panduan tersebut.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda mengetahui tekanan angin yang diperlukan tayar kereta anda. Selamat mencuba!
Ubah suai rumah teres tidak salah jika tuan rumah itu bertimbang rasa dan tidak mengganggu jirannya dengan membuat ubah suai yang tidak mendapat kelulusan pihak majlis perbandaran.
Hati siapa yang tidak sakit apabila rumah yang dibeli dengan hasil kerja keras semakin musnah angkara pihak tidak bertanggungjawab dengan sesuka hati membuat pengubahsuaian yang mengganggu struktur rumah jiran.
Telah banyak kita mendengar baru-baru ini apabila terdapat jiran yang membuat ubah suai rumah dengan mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keselamatan dan sensitiviti jiran sebelah-menyebelah.
Lebih menyedihkan apabila ubah suai yang dilakukan itu telah menyebabkan kerosakan yang teruk kepada rumah jiran sebelah sehingga mengubah status rumah itu kepada tidak selamat untuk diduduki.
Seperti yang berlaku kepada sebuah keluarga yang mendiami rumah teres di Taman Klang Jaya, Klang ini yang mendakwa mereka menanggung derita selepas ubah suai yang dilakukan oleh jirannya telah menyebabkan keseluruhan rumahnya retak dan hampir musnah.
Menerusi video berdurasi 7 minit di TikTok yang tular di Facebook dan Twitter daripada seorang pengguna @rakeshbathumalai, kelihatan pemilik rumah itu menunjukkan rumah teres satu tingkat jirannya yang diubah suai menjadi dua tingkat dengan mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Rakaman video itu dengan tajuknya ‘MPK Rasuah, hancurkan rumah saya’ kemudian memaparkan seorang lelaki menunjukkan rumahnya mengalami kerosakan yang teruk akibat pengubahsuaian rumah jirannya itu.
Sambil berjalan dengan perasaan marah dan kecewa, video itu menunjukkan rumahnya yang berusia hampir 40 tahun mengalami keretakan teruk, lelaki ini mendakwa terdapat unsur rasuah ketika memberi kelulusan dalam pengubahsuaian rumah jirannya itu.
Katanya, dia mahukan tindakan segera diambil pihak MPK atau pihak berwajib lain bagi menyelesaikan perkara itu yang telah lama berlarutan, walaupun dakwanya sudah tiga kali membuat laporan dengan tiada apa-apa hasil tindakan segera diambil.
Sementara itu Bernama melaporkan, Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata susulan dakwaan rasuah tersebut yang kini menjadi tular, pihaknya mengalu-alukan individu berkenaan membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut ke atas mana-mana kakitangan disyaki.
“MPK tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan rasuah dan salah guna kuasa,” tegasnya.
Mengulas lanjut dengan dakwaan itu, Norfiza berkata permit ubah suai dan pelan lulus didapati telah dikeluarkan oleh perunding pada 2012 dan ubah suai tersebut telah mendapat persetujuan jiran.
Disamping Norfiza menambah, MPK tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap pengurusan tertinggi dan pegawai serta kakitangan terutama tuduhan yang dikaitkan dengan rasuah atau salah laku moral orang lain.
Hari ini ramai yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi popular. Menjadi terkenal di media sosial adalah antara hal yang dikejar-kejar oleh segelintir orang. Apa yang lebih membimbangkan ialah ada yang sanggup melakukan hal-hal yang tidak masuk akal dan berbahaya semata-mata demi kandungan media sosial sekaligus mendapat perhatian ramai.
Antara media sosial yang sering menjadi pilihan ramai kini ialah TikTok. Apa sahaja yang berlaku di dunia hari ini semuanya boleh ditonton dalam bentuk video di TikTok. Cakap sahaja insiden apa, semuanya boleh diakses dengan cepat dan mudah sekali di laman media sosial itu.
Memandangkan TikTok merupakan ‘trend’ hari ini, jadi ramai lah yang berlumba-lumba mencipta kandungan walaupun terpaksa berhadapan dengan bahaya. Baru-baru ini seorang remaja di Indonesia dilaporkan maut selepas melompat dihadapan sebuah lori. Demi menyahut cabaran ‘Malaikat Maut’ remaja tersebut sanggup membahayakan diri sehingga terkorban.
Mereka yang mahu melakukan cabaran tersebut perlu melompat di hadapan lori atau trak yang bergerak laju dengan tujuan untuk ‘menguji’ kecekapan pemandu. Mereka kemudian perlu mengelak daripada dirempuh kenderaan tersebut. Cabaran itu dianggap berjaya jika kenderaan itu sempat berhenti dengan menekan brek dalam keadaan mengejut.
Melalui sebuah ciapan yang dimuat naik di laman Twitter oleh About Tangerang telah mempamerkan video tiga orang remaja melakukan cabaran tersebut dan salah seorang daripada mereka dilanggar lori yang cuba dihentikan. Remaja tersebut dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Aksi nekat remaja menghentikan truk di Jl. Otista, Karawaci, Kota Tangerang telah memakan korban, Jumat (3/6/2022) siang.
"Baru kemarin dirazia, udah buat onar lagi. Mereka kumpul 10 orang lebih. 1 meninggal tertabrak kontainer," ujar warga yang mengirim info melalui Whatsapp. pic.twitter.com/tipWrl30sf
Menurut laporan CNN Indonesia, ini bukan kejadian pertama di mana orang awam meninggal dunia kerana melakukan cabaran tersebut. Tambahan lagi, ‘trend’ tersebut bukanlah sesuatu yang baru di Indonesia.
Dalam kejadian berasingan, seorang lagi ‘TikToker’ maut manakala rakannya pula megalami cedera parah selepas dilanggar lori ketika melakukan cabaran itu.
Sebelum kejadian itu, mangsa telah melakukan cabaran itu sekurang-kurangnya 7 kali dan rakan mendiang akui bahawa mangsa melakukannya untuk menjadi terkenal.
Pihak berkuasa Indonesia juga mengakui bahawa mereka yang melakukan cabaran ini adalah semata-mata untuk menjadi popular selepas video tersebut tular. Walau bagaimanapun ia adalah sebuah cabaran yang sangat berbahaya.
“Daripada penjelasan saksi, niatnya (mangsa) hanyalah untuk menjadi terkenal, kerana ia akan menjadi tular. Itu adalah sesuatu yang berbahaya,” kata pihak berkuasa Indonesia.
Ada banyak kes sejak kebelakangan ini apabila mangsa mendapat notifikasi pemberitahuan transaksi bank tanpa kebenaran dan kemudian wang mereka lesap dalam masa beberapa saat atau minit.
Seorang wanita berusia 29 tahun mendapat kejutan dalam hidupnya apabila wang simpanan berjumlah RM14,360 miliknya dipindahkan daripada akaunnya ke akaun seorang tidak dikenali dalam tempoh satu minit.
Di sebalik penggunaan sistem kebenaran TAC yang meluas, pengguna Facebook Mia Jia Xin dalam hantarannya berkongsi pengalaman sendiri berhadapan insiden ngeri yang berlaku pada 6 Jun 2022.
Wanita ini menceritakan bagaimana lebih RM14,000 wang simpanannya telah lesap dalam masa 60 saat.
Menerusi tangkap skrin, transaksi DuitNow pertama yang tidak dibenarkan berlaku pada jam 8:09 malam yang memindahkan wang Mia berjumlah RM9,000 kepada ‘NASRI BIN ALI’, dan pada jam 08:10 malam, RM5,360 lagi telah dipindahkan.
Mia segera menghubungi banknya, Public Bank dan talian terputus tiga kali sebelum akhirnya berjaya mendapatkan wakil pelanggan bank itu, yang memberitahu mereka akan menyerahkan kesnya kepada jabatan yang betul.
Syukurlah, Mia menerima panggilan daripada pengurus kes yang menyatakan situasi itu akan diambil tindakan segera dan keputusannya akan diketahui dalam masa dua minggu.
Mia turut menjelaskan yang dia tidak mengklik mana-mana pautan ‘phishing’ atau memuat turun sebarang aplikasi berbahaya ke dalam telefonnya.
“Satu-satunya perkara yang berlaku sebelum digodam, saya menggunakan Aplikasi Perbankan Dalam Talian PBe untuk membayar ansuran kad kredit saya,” tulisnya.
Melihat kepada komen dalam hantaran itu, nampaknya masalah ini turut menimpa beberapa pemegang akaun Public Bank lain.
Sebelum ini, tular Maybank Berhad ada mengeluarkan satu amaran di media sosial mengenai aplikasi Android dan laman web Maybank2u yang palsu mengandungi Malware untuk mencuri data pengguna.
Aplikasi ini boleh mengakses sebarang SMS yang dihantar ke telefon pintar anda, yang mana tujuan utamanya adalah untuk mendapatkan nombor TAC anda bagi melakukan transaksi perbankan internet.
Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) memberi amaran mengenai penipuan ini yang dikenali sebagai SMSSpy yang menggunakan dua teknik untuk memperdaya mangsa dengan memuat turun aplikasi berbahaya menggunakan penyamaran Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang seperti PDRM dan LHDN serta iklan laman web perkhidmatan palsu di Facebook untuk mencuri data pengguna.
Antara laman web palsu yang dikesan ialah Grabmaid, Maid4u, YourMaid, Maideasy, MaidACall, Maria’s Cleaning dan MyMaidKL.
Apa pun, semua kenalah berhati-hati ketika menggunakan perbankan atas talian, dan diharap Mia boleh mendapatkan kesemua wang yang dicuri ‘Nasri bin Ali’ itu kembali.