Penyanyi, pelakon dan penghibur serba boleh, Adibah Noor meninggal dunia pada jam 7.45 malam Sabtu, 18 Jun di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari pada usia 51 tahun.
Khabar dukacita itu mula diketahui umum menerusi hantaran di akaun Instagram kenalan artis iaitu pelakon, Datin Emylia Rosnaida.
“Allahuakbar sedihnya, terkejut dapat berita ini. Sahabat kita yang versatile Adibah Noor baru sahaja meninggal dunia,” katanya dalam muat naik sekitar jam 8 malam.
Pada minggu lalu, Allahyarhamah dengan nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar kembali menjadi tajuk utama portal hiburan setelah tersebar gambar terbarunya yang kelihatan jelas mengalami pengurangan berat badan.
Namun, Allahyarham Adibah hanya memberitahu perubahan ketara berkenaan adalah disebabkan amalan pemakanannya, iaitu dengan memilih diet yang lebih sihat sejak bulan Ramadan lalu.
Rakan seperjuangan Allahyarham dalam program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim kelapan, Ani Mayuni memaklumkan terpaksa menghormati permintaan arwah untuk tidak mendedahkan keadaan kesihatannya. Menurut Ani, selepas selesai GV8, Allahyarham mula kerap sakit.
“Apabila saya bertanya secara peribadi, barulah arwah beritahu mempunyai kanser ovari dan dan baru selesai menjalani pembedahan,” kata Ani Mayuni dipetik Berita Harian.
Kemunculan awal Allahyarham di layar perak bermula pada tahun 2005 filem seperti Sepet, Gubra dan Mukhsin karya sutradara Yasmin Ahmad, dan sejak itu membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan serta iklan.
Dalam dunia nyanyian, Allahyarham sempat merakamkan dua buah album studio iaitu Terlalu Istimewa (2005) dan Teman (2010), selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.
Sepanjang hayatnya, Adibah dikenali sebagai individu dan selebriti yang senang didampingi oleh peminatnya menerusi platform media sosial. Allahyarham antara lain diingati sebagai figura umum yang suka mendidik berkaitan penguasaan Bahasa Inggeris, selain berkongsi cerita seni persembahan dan kesedaran menjaga alam sekitar serta haiwan terutamanya kucing.
Jenazah Allahyarhamah Adibah Noor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai pada kira-kira jam 11.55 pagi, 19 Jun.
Sebelum ini, jenazah Allahyarhamah Adibah Noor tiba di Masjid Al Ansar, Keramat pada jam 9 pagi untuk dimandi dan dikafankan seterusnya disolatkan.
Selain ahli keluarganya, beberapa tokoh pemimpin dan ramai rakan selebriti turut hadir di masjid tersebut bagi memberi penghormatan terakhir.
Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Adibah Noor.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: