Dikatakan dalam kebanyakan hidangan penerbangan, selain makanan dan hidangan utama, kacang sentiasa disertakan sebagai makanan ringan.
Namun, sesuatu yang tidak disangkakan terjadi apabila seorang remaja perempuan hampir maut di dalam penerbangan baru-baru ini kerana alahan terhadap kekacang dalam situasi tahap teruk.
Semuanya bermula apabila seorang wanita berusia 39 tahun, Joanna Jones dari Tooting di London, United Kingdom mengambil peluang pembukaan sempadan negara untuk membawa ibu dan dua anaknya pergi melancong ke luar negara menikmati percutian.
Destinasi pelancongan yang dipilih oleh keluarga mereka ialah Antigua dan Barbuda, sebuah negara yang terletak di Kepulauan Caribbean.
Selepas beberapa hari berseronok di sana, tiba masanya buat mereka untuk pulang dan menurut tiket penerbangan yang telah ditempah, keluarga itu akan terbang pulang dengan mendarat di Lapangan Terbang Gatwick di UK dari Antigua dan Barbuda.
Tetapi untuk Poppy, anak perempuan Joanna yang berusia 14 tahun, menaiki penerbangan adalah perkara yang sangat berbahaya.
Kerana Poppy mengalami alahan terhadap kekacang yang teruk, walaupun seseorang makan kacang dalam kapal terbang dari jauh, kesan alergen di udara boleh menyebabkan gejala alahannya meningkat!
Jadi ketika menaiki pesawat pada hari itu, Joanna menjelaskan situasi istimewa anak perempuannya kepada pramugari terlebih dahulu, dan meminta mereka memberitahu penumpang lain supaya tidak memakan kacang di dalam pesawat.
Kemudian pramugari itu mengumumkan dalam pra-penerbangan, dengan menyatakan sebanyak dua kali berturut-turut tentang amaran itu, meminta para penumpang untuk tidak makan kacang langsung di dalam pesawat.
Bagaimanapun, kemalangan yang boleh dielakkan sepenuhnya ini berlaku juga akhirnya dengan malang.
Tidak lama selepas pesawat itu berlepas, Joanna tiba-tiba mendapati kira-kira sepuluh baris di hadapan tempat duduk mereka, seorang penumpang lelaki membuka peket kacang dan memakannya dengan berselera.
Joanna tidak dapat menahan rasa gugup, dan segera meminta pramugari jika mereka boleh menukar tempat duduk untuk cuba menjauhkan diri daripada penumpang yang makan kacang itu.
Malangnya, seluruh tempat duduk penerbangan penuh pada masa itu, dan tiada siapa yang sanggup bertukar tempat duduk dengan ibu dan anak ini.
Jadi pramugari terpaksa pergi ke penumpang lelaki itu untuk berunding, dengan memberitahu salah seorang penumpang dalam pesawat alah kepada kekacang dan berharap dia akan berhenti memakannya.
Tetapi lelaki ini naik berang dan dia tidak mengendahkan amaran itu lalu berkeras untuk terus makan kacang.
Ketika ini, pesawat telah berlepas dan Joanna mula bimbang Poppy akan mengalami alahan itu.
Hanya tiga jam sebelum tiba di destinasi, Poppy mengalami reaksi alahan yang teruk secara tiba-tiba, dan semua penumpang di dalam pesawat itu diselubungi ketakutan.
Pada masa itu, keadaan nafas Poppy mula tidak stabil kerana mengalami ‘anaphylaxis’, malahan mula tidak sedarkan diri dalam situasi yang mengejutkan.
Melihat situasi semakin cemas, Joanna segera mengeluarkan adrenalin ‘Epi-Pen’ yang dibawanya dan memberi Poppy dua suntikan berturut-turut, yang diharap dapat mengekalkan rentak nadinya buat sementara waktu.
Selepas mendengar panggilan pramugari meminta pertolongan, seorang penumpang yang merupakan jururawat di dalam pesawat itu turut bergegas membantu memberikan pertolongan cemas dengan arahan doktor yang dihubungi dari Arizona.
Poppy telah diberikan bantuan oksigen dalam kit perubatan kecemasan pesawat, dan pada masa yang sama menggunakan monitor untuk memantau tekanan darahnya, tetapi mendapati keadaannya sangat tidak stabil, dengan degupan jantung mungkin berhenti pada bila-bila masa.
Situasi cemas itu telah menyebabkan kapten juruterbang menghubungi menara kawalan trafik udara terdekat pada masa itu untuk melakukan pendaratan kecemasan dan mengatur supaya Poppy dan ibunya dapat turun dari pesawat untuk digegaskan ke hospital bagi menjalani rawatan lanjut.
Namun, akhirnya penerbangan itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Gatwick dan ambulans sudah pun menunggu di landasan untuk membawa Poppy ke hospital dengan segera.
Syukurlah, selepas seharian dimasukkan ke hospital dan diletakkan dalam pemerhatian, keadaan Poppy beransur pulih, dan dia akhirnya dibenarkan keluar dari wad.
Walaupun Poppy bernasib baik apabila nyawanya dapat diselamatkan, Joanna masih berasa kecewa dan terkilan ketika memikirkan pengalaman anak perempuannya menaiki penerbangan.
Sekiranya gejala alahan Poppy lebih teruk pada masa itu, mungkin ibu dan anak ini akan benar-benar dipisahkan buat selama-lamanya. Joanna tidak akan dapat melihat anak perempuan kesayangannya Poppy sekali lagi.
“Ia mimpi ngeri buat kami sekeluarga dan kebanyakan penumpang dalam penerbangan apabila lelaki itu terus makan kacang walaupun pengumuman, amaran dan nasihat daripada pramugari telah diberikan,” kata Joanna.
“Saya ingat anak perempuan saya akan meninggal dunia dalam pesawat, dan saya tidak akan berani membawanya menaiki penerbangan sekali lagi, kerana saya tidak boleh mengambil risiko itu..” kata Joanna.
Ia adalah pengalaman yang mengerikan buat ahli keluarga seseorang yang mengalami alahan dan jika lelaki itu mengikut nasihat untuk tidak makan kacang di dalam pesawat, semua ini boleh dielakkan.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: