25.2 C
Kuala Lumpur
Friday, September 12, 2025
Utama Blog Laman 145

Pemuda pencinta haiwan ini lakukan dua kerja, separuh gaji digunakan untuk beli makanan buat kucing dan anjing terbiar

0

Seorang pemuda berkata pada setiap hari dia mesti akan datang memberi makan kepada kucing dan anjing jalanan, tidak kira walaupun ketika dirinya tidak sihat. Jika tidak, dia akan terasa lebih sakit kerana rasa bersalah apabila mengetahui haiwan-haiwan terbiar itu tidak dapat makan.

Ini adalah contoh sikap seorang pemuda yang berhati mulia.

Dia adalah seorang pencinta haiwan, dan pemberi makan haiwan liar bernama Anfalazie Anuar. Bagi sesiapa yang berada di Bukit Mertajam, Pulau Pinang mungkin sudah biasa terserempak dengan pemuda ini yang berada di lorong-lorong kedai atau bawah jambatan yang memberi makan kepada kucing dan anjing terbiar.

Facebook

Kisah ini menjadi tular lebih tiga tahun lalu apabila seorang netizen berkongsi betapa dedikasinya seorang pemuda yang lebih mesra dikenali sebagai Ann mengambil tanggungjawab menjaga haiwan terbiar di kawasannya.

“Ini insan berhati mulia,” kata pengguna Facebook Azman Ali II dalam kapsyennya bersama beberapa gambar Ann memberi makan kepada kucing dan anjing terbiar.

Netizen itu mendedahkan dia sering melihat lelaki ini memberi makan kepada haiwan terbiar pada setiap hari dalam perjalanan ke tempat kerja, tidak kira hari hujan apatah lagi ketika cuaca baik.

“Bukan hanya untuk sehari atau dua, tetapi bertahun-tahun lamanya,” tulisnya dalam hantaran itu.

Walau bagaimanapun, rutin harian selama bertahun-tahun itu membuat Ann mengeluarkan banyak belanja.

Facebook

Ann yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kereta dan tukang cuci di Bukit Mertajam biasa membelanjakan separuh daripada gajinya untuk membeli makanan buat kucing dan anjing yang terbiar.

“Saya mengambil masa beberapa bulan untuk bercakap dengannya kerana dia agak pemalu, tetapi akhirnya memberitahu yang dia memberi mereka makan sebanyak dua kali sehari – sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu petang di lokasi yang berbeza,” kata netizen itu.

Ann mendedahkan kepada mStar yang dia memperoleh gaji bulanan RM850 daripada kerja pembersihan dan RM30 sehari sebagai penjaga parkir kereta.

Memandangkan dia memerlukan RM50 sehari untuk memberi makan kepada haiwan itu dengan potongan ikan dan ayam, Ann membelanjakan RM30 daripada pekerjaan kedua dan RM20 sehari daripada pekerjaan pertamanya untuk membeli bekalan.

Walaupun begitu, pemuda berhati mulia in amat berpuas hati dan gembira dapat membantu haiwan-haiwan terbiar.

“Saya tidak perlukan makanan mewah, saya senang dengan nasi, telur goreng dan kicap,” katanya.

“Saya cukup bersyukur dengan nikmat yang ada. Cukuplah dengan dapat bernafas, makan dan minum, bersama keluarga, juga dapat memberi makan kepada kucing dan anjing terbiar itu,” jelasnya ikhlas tidak kisah.

Facebook

“Saya sangat menyayangi haiwan. Ibu saya mengajar saya sejak kecil lagi untuk menyayangi semua haiwan dan jangan sekali-kali menganiaya mereka,” kata lelaki berusia 30 tahun itu.

Katanya, semua kucing dan anjing jalanan yang dia beri makan akan setia menunggu makanan walaupun ketika hari hujan dan mereka basah kuyup, dan Ann juga berperasaan begitu tidak sampai hati untuk meninggalkan mereka, walaupun ketika dia sedang tidak sihat.

“Setiap hari saya datang dan memberi makan kepada haiwan terbiar ini, walaupun saya sakit. Jika tidak, saya akan berasa lebih sakit kerana rasa bersalah apabila mengetahui mereka tidak dapat makan,” kata pemuda baik hati ini.

Semoga sentiasa murah rezekinya dan dipermudahkan segala urusan, tidak kira sudah berapa lama kisah ini berlalu.

Pilihan Editor:

Rezeki tajur mengena baung ‘Serigala Merah’, penduduk terpegun melihat mak cik bawa motosikal berbonceng ikan besar 

0

Video yang tular pada bulan lalu menunjukkan seorang mak cik menunggang motosikal dengan membawa seekor ikan yang bersaiz besar di belakangnya.

Ikan besar tersebut merupakan ikan baung merah yang telah ditangkap di sungai berdekatan oleh suami mak cik berkenaan, Roslan Yatim Mustapa berusia 58 tahun, lapor Harian Metro.

YouTube

Menurut Roslan, ikan baung itu adalah yang terbesar pernah diperolehinya dalam tempoh 30 tahun sejak dia menjadi nelayan darat.

Katanya, ketika video yang tular itu dirakam, isterinya Noraini Adnan, 55 tahun pada ketika itu dalam perjalanan menuju ke tempat peraih ikan di Kampung Kuala Slim, Perak dan video tersebut dirakam oleh seorang penduduk yang terserempak dengannya.

YouTube

Roslan memasang tajur di Sungai Bernam dan menggunakan ikan keli sebagai umpan. Dia bagaimanapun terkejut besar apabila berjaya menaikkan seekor ikan baung merah seberat 27 kilogram.

Penduduk di kawasan itu memanggil ikan baung merah sebagai ‘Serigala Merah’ dan kata Roslan ia dijual pada harga RM400 yang boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan buat keluarganya.

YouTube

Kewujudan ikan baung merah di Sungai Bernam mulai disedari sejak beberapa bulan lalu apabila setiap minggu akan terdapat lebih kurang 10 ekor ikan berkenaan yang berjaya ditangkap.

Ikan baung merah berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dan dikategorikan oleh Jabatan Perikanan sebagai ikan pemangsa dan merupakan antara 32 spesies ikan yang tidak dibenarkan untuk dilepaskan ke dalam sungai, empangan, tasik dan lombong di negara ini, lapor Berita Harian.

Kewujudannya di sungai selain Sungai Mekong akan memberi ancaman kepada ekosistem perairan yang berkenaan sekiranya ia membiak kerana sifat agresifnya yang memakan pelbagai hidupan asal dalam air termasuk anak ikan tempatan dan spesies udang.

YouTube

Walaupun ikan baung merah mendapat pasaran baik, Jabatan Perikanan negeri tidak menggalakkan para penternak ikan air tawar menternak ikan baung merah secara komersial dan sekiranya terdapat penternak yang berbuat demikian, pihak mereka akan membuat pemantauan supaya ikan tersebut hanya berada di dalam sangkar dan tidak melepaskannya ke dalam sungai.

Bagaimana ikan baung merah boleh berada banyak di Sungai Bernam dan sudah terlepas dari sangkar adalah tidak diketahui, mungkin akibat pada musim banjir yang lalu.

Pilihan Editor:

Liz Truss secara rasmi dilantik Perdana Menteri UK yang baharu

0

Liz Truss secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri United Kingdom yang baharu selepas mengadakan pertemuan dengan Ratu Elizabeth II di Istana Balmoral di Scotland pada 6 September 2022.

Beliau menjadi Perdana Menteri wanita ketiga United Kingdom, dan Perdana Menteri ke-15 dalam tempoh 70 tahun Ratu Elizabeth II berada di atas takhta.

Dalam satu kenyataan, Istana Buckingham berkata, “Baginda Ratu menerima kunjungan rasmi Ahli Parlimen Yang Amat Berhormat Elizabeth Truss hari ini dan memintanya membentuk pentadbiran baharu. Cik Truss menerima tawaran Baginda dan mencium tangan atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Tuan Terutama Perbendaharaan.”

Ratu Elizabeth II mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri United Kingdom yang baharu dilantik Liz Truss di Istana Balmoral, Scotland pada 6 September 2022. (Gambar oleh Jane Barlow/PA Wire/Getty Images)

Terdahulu, bekas PM Boris Johnson turut mengadakan pertemuan dengan baginda Ratu untuk mengemukakan peletakan jawatannya.

Johnson dan Truss terpaksa berangkat ke Balmoral dan bukannya Istana Buckingham di London untuk mengadakan pertemuan diraja, yang kali ini berbeza menurut tradisi, ekoran baginda Ratu telah lama mengalami masalah mobiliti kerana usianya.

Berhadapan cabaran

Liz Truss, yang berkhidmat sebagai setiausaha luar ketika pentadbiran Boris Johnson, menjadi ketua Parti Konservatif pada 5 September, selepas mengalahkan pesaingnya, bekas Canselor Rishi Sunak dalam kempen kepemimpinan yang sengit.

Sejurus pelantikan rasmi sebagai Perdana Menteri, beliau kembali ke London dan mengadakan perutusan rasmi kepada negara dari Downing Street pada sebelah petang.

Perdana Menteri baharu sedang berhadapan cabaran yang semakin meningkat, dengan peningkatan bil tenaga, mogok kereta api, dan kedua-dua krisis musim sejuk di hospital dan kemelesetan ekonomi yang semakin meruncing, di samping konflik yang berterusan di Ukraine.

Keutamaan dasar utama pertamanya ialah menyampaikan pakej sokongan untuk isi rumah yang bergelut dengan bil tenaga yang dijangka melonjak lebih tinggi pada bulan hadapan.

‘Sokongan penuh bersungguh-sungguh’

Terdahulu, Boris Johnson menggunakan ucapan perpisahan di Downing Street dengan menyeru Parti Konservatif untuk bersatu memberi sokongan di belakang penggantinya.

Johnson berkata beliau akan menawarkan pentadbiran Truss “tiada apa-apa selain sokongan yang penuh bersungguh-sungguh.”

“Apa yang saya katakan kepada rakan-rakan Konservatif saya ialah sudah tiba masanya untuk politik berakhir, kawan-kawan. Sudah tiba masanya untuk kita semua berada di belakang Liz Truss dan pasukannya serta programnya untuk dapat menyampaikannya kepada rakyat negara ini,” seru Johnson.

Bekas Perdana Menteri UK Boris Johnson ketika mengadakan ucapan perpisahan di 10 Downing Street, London pada 6 September 2022. (Gambar oleh Stefan Rousseau/PA Media)

Beliau menambah jika anjing keluarganya Dilyn dan kucing Downing Street Larry “boleh mengatasi kesukaran mereka sekali-sekala, maka begitu juga Parti Konservatif.”

Johnson menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan kerajaan baharu untuk menangani cabaran, terutamanya krisis kos sara hidup, sambil berkata UK mempunyai “kekuatan ekonomi untuk memberi rakyat wang tunai yang mereka perlukan.”

“Saya tahu Liz Truss dan kerajaan Konservatif yang penuh belas kasihan akan melakukan segala yang kami mampu untuk membawa rakyat melalui krisis dan negara ini akan bertahan dan kita akan menang,” katanya.

Pilihan Editor:

Pemakaian pelitup muka di tempat tertutup kini pilihan dan tidak wajib: Menteri Kesihatan

0

Pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan tempat tertutup tidak lagi diwajibkan dengan penggunaannya kini adalah atas pilihan sendiri, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan Malaysia itu pada 7 September 2022 mengumumkan berkuat kuasa serta-merta, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila menggunakan pengangkutan awam di dalam bas, kereta api, teksi dan kapal terbang, kenderaan e-hailing, van pekerja dan van sekolah serta di hospital dan institusi perubatan.

Twitter

Pemakaian pelitup muka juga masih diwajibkan sekiranya individu disahkan positif COVID-19.

Bagaimanapun, Khairy berkata pemilik premis diberi pilihan dan dibenarkan mengenakan peraturan pelitup muka kepada pengunjung mereka.

Walaupun pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup adalah pilihan, KKM masih menggalakkan penggunaan pelitup muka di kawasan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat beli-belah dan tempat ibadat.

Twitter

“Individu berisiko tinggi seperti warga emas, wanita hamil, serta mereka yang menghidap penyakit kronik atau mempunyai imuniti rendah juga amat digalakkan memakai pelitup muka,” katanya.

“Individu yang melakukan aktiviti bersama kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak juga dinasihatkan memakai pelitup muka,” kata Khairy.

Khairy Jamaluddin berkata KKM membuat keputusan untuk memansuh syarat wajib pemakaian pelitup muka selepas membuat penilaian dan mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang semakin pulih di negara ini.

Malaysia mewajibkan pemakaian pelitup muka pada 1 Ogos 2020.

Pada 1 Mei tahun ini, negara telah memansuhkan keperluan wajib pemakaian pelitup muka di tempat terbuka dan luar bangunan, tetapi atas pilihan individu.

Pilihan Editor:

Corgi berjemur nikmati udara segar tersilap dikesan kamera pintar sebagai ‘package’, pemilik diingatkan hari-hari “bungkusan anda telah dihantar”

0

Terdapat seekor anjing montel baka Corgi yang suka bersantai di depan pintu rumahnya dengan muka selamba, dan tuannya pelik bila setiap hari ada sahaja bungkusan yang datang walaupun dia tidak memesannya.

Semuanya kerana selepas pemilik memasang kamera pintar di pintu, kamera itu akan sentiasa melayan corgi berkaki montel itu sebagai bungkusan, mengingatkan pemilik setiap hari yang “bungkusan anda telah dihantar”.

Instagram

Video TikTok oleh @julie.jewls yang turut dimuat naik di Instagram itsbambithecorgi mendapat perhatian netizen yang geli hati dengan komen mereka:

“Datang untuk tandatangan bungkusan itu..” 

“Ia kebetulan warna kotak bungkusan sama..”

“Ia tidak sepatutnya dikesan sebagai bungkusan tetapi roti bakar..”

“Cepat-cepat segera tandatangan untuk bungkusan paling comel!”

Instagram

Beberapa netizen turut berkongsi video menarik tentang haiwan peliharaan mereka dengannya. Video dengan nama “Package” itu membuat ramai yang terhibur dan ketawa sendiri melihat keletah si corgi.

Rupa-rupanya pemilik anjing ini mempunyai monitor pintar yang diletakkan di pintu, yang boleh memantau keadaan di depan rumah, seperti pelawat yang datang, barang yang dihantar dan lain-lain, serta gerak-geri si corgi kecil yang bernama Bambi.

Instagram

Bambi suka berbaring di depan pintu dan melihat pemandangan halaman sambil berjemur di bawah sinaran matahari. Sosok corgi dan bungkusan terlalu serupa, jadi kamera pintar akan mengecam si Bambi sebagai ‘package’.

Instagram

Bambi yang berusia 10 tahun boleh dilihat berbaring di pintu, dan aplikasi di monitor itu menunjukkan “package”.

Corgi bernama Bambi yang dikenal pasti sebagai bungkusan oleh kamera pintar itu telah ditertawakan netizen dan mereka memberi komen seperti di atas.

Pilihan Editor:

Oyen muncul di belakang rumah dan wanita hati hangat beri makan, keesokan hari 5 sekeluarga bulus dibawa masuk adakan parti

0

Akan sentiasa ada banyak kejutan apabila anda memberi makan kepada kucing. Pada suatu hari, seorang wanita menjumpai seekor kucing oyen di halaman belakang rumahnya, dan dia sering memberinya makan pada masa yang ditetapkan. Satu hari, dia pergi ke halaman belakang untuk melihatnya dan terkejut mendapati kawasan lapang itu penuh dengan kucing. “Wow! Saya sebenarnya membawa seluruh keluarga keluar,” katanya.

Criss Miller Smith, seorang wanita dari South Carolina di Amerika Syarikat, dalam hantaran di Facebook peribadinya, berkata dia mendapati seekor kucing oren sering menghantui halaman belakang, dan membuat andaian kucing ini sepatutnya tanpa pemilik lalu dia memberi makan dengan kerap. 

Criss berkata dia sangat menyukai haiwan, dan turut mempunyai kucing peliharaan di rumah. Beberapa bulan lalu, dia menemui seekor kucing oyen jantan montel di belakang rumahnya, dan dia sering memberinya air dan makanan.

Facebook

Tetapi selepas memberi makan kucing oyen gemuk ini selama beberapa hari, Criss pergi ke halaman belakang rumah pada suatu hari dan mendapati situasi yang menakjubkan lagi terkejut. 

Bukan sahaja kucing oyen yang pada asalnya diberi makan, malah 5 ekor kucing lagi, iaitu seekor kucing oyen, seekor kucing bunga, seekor kucing kura-kura dan 2 ekor kucing tabby, ditambah dengan kucing oyen gemuk itu, dan terdapat 6 ekor kucing kesemuanya.

Facebook

Beberapa kucing berehat di atas tanah, dan beberapa kucing lagi memanjat kereta Criss, mengisytiharkan secara dominan jika mereka boleh bersorak, “Inilah rumah kita, Yay!”

Criss berkata, apabila melihat adegan ini, dia terkedu. Dia membiarkan sahaja 6 ekor kucing terbiar yang meminta makanan. Melihat keadaan ini, dia terpaksa menerima nasibnya dan mengumpulkan kesemuanya lalu membawanya ke doktor haiwan untuk diikat. 

Facebook

Perkara yang menakjubkan ialah walaupun enam ekor kucing dalam keluarga ini mempunyai rumah di mana mereka boleh berteduh daripada angin sejuk dan hujan serta makan kenyang di bawah jagaan Criss, tetapi mereka dan Criss bukan bersaudara, dan mereka tidak mahu dibelai langsung. 

Mereka menghabiskan sebahagian besar masa di luar kecuali makan dan tidur. Mereka keluar bermain dan menjalani kehidupan yang agak santai.

Facebook

Setelah sekian lama, enam ekor kucing dalam keluarga ini terus tidak begitu mesra dengan manusia. Apabila cuaca berubah menjadi sejuk, mereka juga sanggup bergerak ke dalam garaj untuk tidur. Garaj Criss telah menjadi dunia untuk 6 ekor kucing itu. 

Suatu hari Criss bangun dan mendapati 6 ekor kucing sedang duduk terus di dalam keretanya. Hanya dua yang melompat keluar apabila pemilik kereta datang, dan empat lagi menarik muka masam dan terus berpaling buat selamba, seolah-olah berkata, “Inilah raja kucing, minion boleh pergi”, membuatkan Criss terpinga-pinga.

Facebook

Criss memuat naik hantaran pengalaman ajaib ini di Facebook peribadinya, yang menarik banyak perbincangan hangat kalangan netizen. Netizen berterima kasih kepada Criss kerana menjaga 6 ekor kucing itu dengan penuh kasih sayang sekali gus.

Ada yang meninggalkan komen:

“Konsep beli satu percuma lima..”

“Sebenarnya, anda tidak memelihara 6 ekor kucing, tetapi rumah itu telah diambil alih oleh 6 ekor kucing.” 

“Pandangan menghina mereka yang duduk di dalam kereta terlalu kelakar.”

Pilihan Editor:

Kejutan lagi! Bintang termesra dunia Keanu Reeves muncul jadi jemputan ke majlis perkahwinan selepas dipelawa pengantin lelaki baru dikenali

0

Sepasang suami isteri yang berkahwin di Fawsley Hall, sebuah hotel di Northamptonshire, England bagai tidak percaya menerima kejutan terbesar sekali seumur hidup apabila bintang Hollywood Keanu Reeves memberkati majlis perkahwinan mereka.

Pada mulanya, pengantin lelaki James Roadnight bertemu dengan superstar Keanu Reeves di bar hotel berkenaan, jadi dia menjemputnya untuk minum-minum di majlis perkahwinannya, dan Keanu, yang rapat dengan orang awam sekali gus sesiapa sahaja, bukan sahaja tidak menolak, tetapi terus hadir ke majlis perkahwinan itu untuk memberkatinya, membuat semua tetamu lain sangat terkejut!

Para tetamu lantas jadi terpegun sambil ada yang melaung nama “John Wick!”, watak filem popular lakonan Keanu Reeves.

Twitter

Mereka tidak menyangka, bintang kacak itu bukan sahaja amat baik hati, tetapi mempunyai personaliti merendah diri dan sangat mesra secara peribadi. 

Dikatakan walaupun Keanu mempunyai jadual yang padat, beliau tetap menerima jemputan pengantin lelaki untuk menghadiri majlis perkahwinan itu, malah sanggup bergambar bersama peminat.

“Suami saya James terserempak dengan Keanu Reeves di bar dan memberitahunya yang dia baru berkahwin dan kalau tidak keberatan boleh menjadi tetamu ke majlis perkahwinan kami, sertai rakan dan keluarga untuk minum, jika dia mahu,” kata pengantin perempuan Nikki Roadnight kepada Newsweek

Keanu terus bersetuju dan menjawab dengan sangat baik yang beliau akan berada di sana nanti. Pada asalnya, kedua-dua pasangan itu menyangka Keanu hanya bergurau dan tidak serius, tetapi mereka tidak menyangka bintang amat popular itu datang sendiri ke majlis perkahwinan mereka untuk memberkatinya sejam kemudian.

Nikki berkata, dia sangat teruja apabila melihat seorang superstar menghadiri majlis perkahwinannya. Pada asalnya dia ingin mengajak Keanu minum lagi, tetapi disebabkan aktor itu baru sahaja melalui penerbangan yang agak jauh, beliau tidak boleh berada di majlis itu terlalu lama.

Twitter

Keanu Reeves berada dalam majlis itu selama lebih kurang 10 minit sebelum beredar pergi. Namun begitu, bintang terkenal filem Speed, Matrix dan John Wick ini tidak menolak gambar berkumpulan yang diminta oleh saudara-mara dan rakan-rakan pasangan Roadnight.

Pertemuan secara kebetulan dengan pelakon itu merupakan peluang sekali seumur hidup dan satu kejutan besar buat pasangan pengantin baru Roadnight. Lebih-lebih lagi, personaliti Keanu Reeves yang mudah mesra dan boleh membuat peminatnya berasa selesa bila didekati benar-benar mengejutkan para tetamu.

Keanu Reeves memang selalu ‘cool’ yang sesuai dengan makna namanya, “cool breeze over the mountains”.

Pilihan Editor:

Abang polis dipuji bantu budak hilang di Dataran Merdeka, tetapi semua tukar terharu bila dapat tahu cerita ayahnya sudah tiada

0

Semua sedia maklum semasa perarakan Hari Merdeka pada 31 Ogos lalu, hadirin yang menyaksikannya memang ramai gila!

Rakyat Malaysia teruja memenuhi setiap ruang kecil yang mereka temui untuk melihat Hari Kemerdekaan ke-65 selepas 2 tahun sambutan suram akibat pandemik yang tiada perarakan.

Jadi, tidak menghairankan jika ada ramai juga yang kehilangan ahli keluarga atau rakan dalam ribuan khalayak semasa mereka meraikan perayaan merdeka itu.

Facebook

Antara yang tersesat ialah seorang budak lelaki berusia 6 tahun bernama Fauzan, yang terpisah dengan ibu dan adik lelakinya di Dataran Merdeka apabila dia terbawa-bawa dan hanyut dalam ribuan orang ramai ketika menyaksikan kereta hiasan “Didi & Friends” dalam perarakan.

Adik Fauzan ditemui oleh beberapa pegawai polis yang membantu menyatukan dia semula dengan keluarganya, dan keseluruhan proses mengenai abang polis itu dirakam dalam video oleh BesiHitam Studio di Facebook.

Facebook

Dalam video itu, abang polis itu dilihat membawa Fauzan ke pentas utama untuk membuat hebahan kanak-kanak hilang.

Di sana, salah seorang juruacara dengan sabar bertanyakan nama, umur dan nama ibu bapanya.

Facebook

Budak lelaki itu, yang berpakaian kemeja biru sedondon dan topi bersama beg galas merah dengan Jalur Gemilang kecil, kelihatan malu-malu tetapi masih boleh menjawab soalan juruacara, kecuali nama ayahnya.

Apa yang mereka tidak tahu, kisah sedih si kecil Fauzan akhirnya terbongkar.

Facebook

Sebaik sahaja juruacara selesai membuat pengumuman kehilangan kanak-kanak, abang polis ternampak seorang lelaki sedang memandang ke arah mereka.

Mereka rasa itu barangkali ayah Fauzan, jadi mereka bertanya kepadanya sama ada ayahnya yang berambut panjang itu.

Adik Fauzan kemudian berkata, “Ayah saya telah meninggal dunia..”

Facebook

Suasana menjadi muram apabila pengacara dan pegawai polis bersimpati dan berasa sedih dengan kehilangan bapa anak kecil itu.

“Kami serta-merta berasa seperti hendak menunggu sehingga ibunya tiba untuk mengesahkan sama ada apa yang dia katakan tentang ayahnya adalah benar,” kata kapsyen video itu.

Facebook

Benar, apabila ibu Fauzan datang mendapatkannya, dia hanya ditemani oleh seorang anak lelaki kecil iaitu adik Fauzan.

Ibu dan anak itu kemudiannya berpelukan antara satu sama lain dalam detik meruntun hati yang membuatkan ramai netizen yang menonton jadi sebak hingga menitiskan air mata.

“Saya menangis sebaik sahaja kanak-kanak itu berkata ayahnya telah meninggal dunia.”

Facebook

Netizen dalam komen berasa amat kasihan dengan nasib Fauzan dan melahirkan rasa simpati terhadapnya.

“Saya ikut menangis apabila kanak-kanak itu berkata ayahnya telah meninggal dunia. Nasib kita sama dik,” komen seorang netizen.

Sementara seorang netizen yang mengenali keluarga Fauzan memberitahu semasa arwah ayah Fauzan meninggal dunia, kanak-kanak ini baru berusia 1 tahun lebih dan adiknya baru berusia 3 bulan.

Facebook

Seorang lagi memberi komen, “Abang polis memang terbaik. Saya sebak mendengar ayahnya telah meninggal dunia.”

Selain ramai netizen lain memuji abang polis kerana kerja cemerlang mereka.

“Perkara ini pernah berlaku kepada adik saya. Siap naik motosikal polis. Abang polis memang terbaik,” kata seorang netizen.

Facebook

Pada akhir video BesiHitam Studio itu, mereka menulis, “Semua orang selalu anggap polis itu garang, bengis dan sukar untuk bekerjasama. Pada hakikatnya, mereka sama seperti kita rakyat biasa..”

“Tegas semasa menjalankan tugas, tetapi tunggu sampai selesai ketika membantu rakyat. Terima kasih, abang polis!”

Pilihan Editor:

Ainul Mardhiah semakin sihat dibenarkan keluar hospital, kembali aktif bermain bersama adiknya

0

Selepas melalui waktu-waktu yang agak kritikal beberapa minggu lalu, ibu dan bapa kepada adik Ainul Mardhiah yang pernah menghidap ketumbuhan di mulut sejak lahir kini menzahirkan rasa kesyukuran kerana anak mereka telah kembali sihat.

Adik Ainul kini telah dibenarkan keluar dari hospital dan dilihat sudah mulai sihat selepas berdepan detik-detik cemas mengalami sawan beberapa kali akibat jangkitan kuman sehingga terpaksa ditidurkan di wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Instagram

Bapa Ainul, Ahmad Safiuddin memaklumkan kepada media yang anaknya telah dibenarkan keluar dari hospital pada Jumaat, 26 Ogos lalu setelah berada di PICU selama 3 minggu.

“Alhamdulillah Ainul sekarang sudah bersama kami di rumah, doktor benarkan keluar hospital pada Jumaat lalu. Keadaan Ainul juga semakin stabil dan sihat,” katanya.

Instagram

Ibunya, Nurul Erwani turut berkongsi di Instagram, yang memaparkan Ainul kini dapat dilihat kembali aktif bermain bersama adiknya di rumah.

Walau bagaimanapun, ibu bapa Ainul berkata anak sulung mereka masih lagi dalam pemerhatian doktor dan perlu mendapatkan rawatan susulan sekali seminggu sehingga doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya.

Instagram

Sebelum ini, adik Ainul Mardhiah dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di PICU.

Syukur berkat ketabahan adik Ainul yang sentiasa kuat dan cekal berjuang melawan penyakit, juga doa ibu bapa dan keluarga serta rakyat Malaysia yang tidak putus-putus, tahap kesihatannya beransur pulih.

Semoga Ainul Mardhiah sentiasa sihat dan membesar dengan baik.

Pilihan Editor:

Bapa minta sikit air panas untuk buat susu anak, pekerja ini baik hati siap tolong ekstra cuci bersih botol susu

0

Jika seseorang ingin berbuat baik tidak perlu banyak bersusah, hanya lakukan perkara kecil dengan memberikan sedikit pertolongan, mungkin seseorang yang lain boleh mengukir senyuman sepanjang hari.

Baru-baru ini seorang lelaki berkongsi pengalaman manis ketika berada di kafe Starbucks cawangan berdekatan Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur dan dia menzahirkan rasa gembira dan terharu berurusan dengan salah seorang pekerjanya.

TikTok

Menerusi satu video TikTok oleh pengguna@angahazie888, ketika berada di situ, dia telah meminta sedikit air panas daripada pekerja Starbucks berkenaan kerana mahu membancuh susu anaknya.

Apa yang membuatkan bapa ini terharu ialah pekerja itu bukan sahaja mengisi air panas mengikut sukatan yang sepatutnya, tetapi turut membasuhkan botol susu anaknya dengan bersih.

TikTok

“Terima kasih kat brother ni. Minta air panas sikit nak buat susu anak, siap basuh sekali. Ikut letak line air lagi,” kapsyen video itu.

Rakaman video berdurasi 35 saat itu memaparkan pekerja terbabit sedang membasuh botol susu di singki kafe itu sebelum mengisi air panas dengan teliti.

TikTok

Tindakannya itu kemudian menjadi tular dan mendapat perhatian warganet yang rata-rata memuji kebaikan pekerja itu yang dianggap membantu memudahkan urusan orang lain.

TikTok

Malahan, ada antara mereka yang mendoakan pemuda itu memperolehi ganjaran pahala dan dinaikkan gaji hasil kerajinan dan keikhlasan dalam pekerjaannya.

Apa-apa pun, memang tidak rugi apa-apa kalau kita sentiasa berbuat baik dan saling bantu membantu di mana sahaja.

Pilihan Editor: