28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, September 12, 2025
Utama Blog Laman 144

Anak kecil mengalami luka teruk sepanjang 7cm di dahi dan kening selepas jatuh tersembam ke botol air

0

Seorang kanak-kanak kecil dari Singapura mengalami luka teruk di mukanya apabila dia terjatuh tersembam ke atas botol air yang sedang dibawanya ketika itu.

Menurut Shin Min Daily News, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah, di mana kanak-kanak itu boleh dilihat terjatuh dan pembantu rumah yang menjaga kanak-kanak itu cuba menangkapnya.

Bapa kanak-kanak itu yang bernama Wen, berkata kejadian berlaku “dalam sekelip mata”.

Facebook

“Anak lelaki saya berumur satu setengah tahun sedang minum dari botol airnya apabila dia secara tidak sengaja tergelincir dan jatuh. Botol air itu melekap ke mukanya, dan mengoyakkan sedikit kulit di bahagian dahi dan keningnya. Pembantu rumah saya berdiri betul-betul di sebelahnya ketika semua ini berlaku, dan ia berlaku dengan sangat pantas,” kata Wen.

Wen berkata, pembantu itu meminta bantuan jiran untuk membawa kanak-kanak itu mendapatkan rawatan kecemasan memandangkan Wen sedang bekerja menjalankan urusan perniagaan di Kanada ketika kejadian berlaku pada 14 Ogos lalu. Ketika kejadian, isteri Wen yang merupakan seorang jururawat juga tiada di rumah.

Wen melaporkan anak kecilnya mengalami pendarahan yang banyak dari tempat luka itu dan terpaksa dibawa ke wad kecemasan untuk menerima rawatan.

Luka itu diukur sepanjang 7cm dan kanak-kanak itu terpaksa menerima 16 jahitan di antara keningnya. Anak lelaki Wen juga terpaksa dimasukkan ke hospital semalaman untuk memantau keadaannya. Menurut laporan itu, kanak-kanak itu dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, Singapura.

Wen meluahkan rasa bimbang anaknya mungkin ‘cacat’ akibat kejadian ini. Stomp melaporkan anaknya mungkin berdepan diskriminasi dan buli daripada rakan sebayanya di sekolah kerana potensi parut luka yang mungkin ditinggalkan di mukanya.

Facebook

“Saya sangat mengambil berat tentang masa depannya, zaman kanak-kanaknya, potensi diusik, dibuli serta peluang kehidupan dan semua perkara buruk yang boleh berlaku daripada kecacatan itu,” keluhnya.

Wen mendakwa tahap kecederaan itu berlaku akibat cara botol air kanak-kanak itu direka bentuk.

Stomp juga memetik Wen tertanya-tanya mengapa botol air kanak-kanak yang diiktiraf sebagai “pemenang anugerah” boleh menyebabkan “kerosakan kekal” sedemikian kepada anaknya.

Wen telah membeli botol itu di laman e-dagang, dengan mengabaikan harga tertera kerana dia mengutamakan keselamatan anaknya berbanding kos botol itu.

“Botol itu dinilai untuk bayi yang berumur lebih enam bulan dalam senarai dan butirannya, malah mereka menyertakan gambar bayi yang menggunakannya pada penyenaraian iklan. Saya mahu syarikat itu menerangkan kepada saya, sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit, bagaimana produk botol minuman anda cukup tajam untuk menghiris muka bayi sehingga ke tahap ini?” soal bapa ini.

Wakil jenama botol air itu yang pakar dalam penjagaan ibu dan produk bayi telah dihubungi Shin Min Daily News, dan beliau melahirkan kebimbangan terhadap insiden yang berlaku dan mendoakan agar anak kecil itu cepat sembuh.

“Semua produk kami, termasuk botol air yang dipersoalkan, telah menjalani kawalan kualiti dan ujian keselamatan yang ketat oleh makmal terkemuka untuk menunjukkan pematuhan kepada piawaian keselamatan antarabangsa yang tertinggi,” kata mereka.

Facebook

Wen dikatakan sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat botol air itu.

Apa pun yang bakal berlaku, ibu bapa dan penjaga sepatutnya mengambil kira terlebih dahulu persekitaran di rumah dan memastikan tahap keselamatan anak-anak kecil yang sedang bermain sentiasa tidak diabaikan.

Ketika anak-anak kecil sedang makan dan minum, mereka sepatutnya perlu dipastikan dan diajar sejak awal untuk duduk serta berada di satu tempat yang sesuai, dan bukannya sambil berjalan atau berlari.

Malang itu memang selalu tidak berbau, dan ibu bapa serta penjaga tidak sepatutnya menyalahkan orang lain, sekiranya tahap keselamatan anak-anak di rumah sendiri tidak dapat dipastikan terpelihara dengan baik.

Pilihan Editor:

Pengantin perempuan sembunyi air mata dan teruskan akad nikah selepas arwah bapa meninggal dunia 5 jam terdahulu

0

Hari bahagia dalam perkahwinan tidak dinafikan merupakan salah satu acara kemuncak terbesar dalam hidup seseorang, dan kehadiran orang tersayang di sisi untuk menyaksikan detik indah itu sentiasa memberi makna. 

Malang buat seorang pengantin perempuan dari Johor baru-baru ini yang tidak mempunyai perasaan gembira sepatutnya selepas bapa tersayang meninggal dunia 5 jam sebelum pengantin perempuan itu secara rasmi mengikat tali perkahwinan.

TikTok

Menerusi satu perkongsian di TikTok yang tular dengan 1.9 juta tontonan, jurusolek pengantin perempuan bernama Intan Nurdiyana, memberitahu dia menerima mesej daripada pengantin perempuan di Johor yang menghebah berita sedih itu pada 2 September. 

Intan berada beberapa saat untuk bertolak dari rumahnya ke rumah pengantin perempuan untuk solekan dan dandanannya.

TikTok

Pengantin perempuan pada mulanya ingin menangguhkan perkahwinan tetapi atas nasihat keluarga, perkahwinan itu berjalan seperti yang dijadualkan.

“Semuanya telah disediakan. Makanan, jemputan, rumah tumpangan. Tiada siapa sangka ayahnya akan pergi pada hari yang penting itu,” kata Intan.

TikTok

Apabila Intan tiba di rumah pengantin, pengantin perempuan dilihat menahan kesedihan dan tidak menangis, tetap kuat dan bertenang supaya Intan dapat meneruskan tugas solekannya.

“Keseluruhan proses solekan sangat senyap. Semua orang sedang bersedih dan cuba sedaya upaya untuk menahan air mata,” katanya.

TikTok

Intan memberitahu bapa pengantin perempuan yang datang dari Singapura untuk ke majlis perkahwinan itu meninggal dunia akibat demam panas. Walaupun telah mendapatkan rawatan doktor dan membawa pulang beberapa ubat, namun ajal arwah telah ditakdirkan tiba pada detik itu.

Tambah Intan, ini bukan kematian pertama yang dialami pengantin perempuan. Pada bulan Mac lalu, abangnya menghembuskan nafas terakhir di rumah itu.

“Arwah bapa dan abangnya adalah orang tersayang yang paling rapat dengan pengantin perempuan. Malangnya, orang yang paling rapat dengan pengantin perempuan telah pergi terlebih dahulu menghadap Illahi.”

Berita kematian di rumah itu menyebabkan majlis akad nikah tertunda sehingga jam 9 malam, namun akhirnya pengantin perempuan secara rasmi selamat menjalankan upacara pernikahan dan bergelar seorang isteri.

Majlis tahlil dan doa kesyukuran segera diadakan untuk arwah ayahnya selepas majlis perkahwinan itu.

TikTok

Kematian itu pasti datang pada bila-bila masa dan tidak akan menunggu kita walau sesaat. Bayangkan perasaan pengantin perempuan pada hari itu untuk dia terus kekal kuat dan bertenang sambil tersenyum dalam majlis yang sepatutnya diraikan dengan gembira. 

Takziah buat pengantin perempuan dan keluarga atas pemergian arwah ayah, juga Selamat Pengantin Baru diucapkan ke atas pasangan ini.

Pilihan Editor:

Nahas helikopter di Bidor: Juruterbang ditemui dan disahkan maut

0

Juruterbang yang dilaporkan hilang bersama sebuah helikopter di kawasan hutan di Bidor, Perak dalam nahas pada 11 September disahkan meninggal dunia.

Mayat mendiang Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun yang juga warganegara Hong Kong dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dari kawasan Hutan Simpan Chikus, pada sekitar jam 10.12 pagi, 12 September.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ditemukan dalam kokpit helikopter terbabit.

Twitter

Katanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memaklumkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkenaan penemuan bangkai helikopter yang terhempas di hutan berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi kemas kini di akaun Facebook miliknya pada 12 September memaklumkan:

“Saya menerima laporan bahawa mangsa masih hidup ketika ditemui di lokasi nahas helikopter di Kg Kenangan, Bidor. Namun mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.”

Gambar Astro Awani / Twitter

“Petunjuk awal menunjukkan mangsa masih hidup di lokasi nahas apabila ditemui pada jam 8.18 pagi. Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri semasa pasukan penyelamat sedang menguruskan dalam misi menyelamat tersebut.”

“Pihak berkuasa termasuk CAAM dan SAR kini sedang menunggu pengesahan daripada hospital mengenai punca kematian.”

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juruterbang berkenaan bersama helikopter yang hilang membabitkan dua sektor iaitu di kawasan Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan pada 11 September dan pagi 12 September dengan keseluruhan 197 anggota.

Gambar Astro Awani / Twitter

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, SAR dijalankan di kawasan dalam 5 kilometer radius dari lokasi terakhir helikopter mangsa dikesan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC).

Helikopter jenis Eurocopter yang dikendalikan seorang juruterbang itu berlepas dari Subang pada jam 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada jam 12.37 tengah hari 11 September.

Helikopter itu dilaporkan terputus hubungan dengan pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari.

Pilihan Editor:

Khairy Jamaluddin berkongsi Pak Lah menghidap demensia

0

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, buat pertama kalinya, berkongsi bapa mentuanya, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, menghidap penyakit demensia, dan tidak mengingati ahli keluarganya lagi.

Khairy berkata Tun Abdullah, yang mesra dikenali sebagai Pak Lah, mula menunjukkan tanda-tanda kecacatan kognitif sejurus selepas bersara sebagai Perdana Menteri kelima pada 2009 dan sejak itu keadaannya semakin merosot.

“Saya tidak pernah berkongsi perkara ini sebelum ini. Ramai yang bertanya di mana Pak Lah? Beliau menghidap penyakit demensia dan itulah sebabnya kita tidak melihatnya di khalayak ramai lagi. Ia adalah situasi yang sangat kejam. Tubuh ada tetapi mindanya tidak. Beliau kini berkerusi roda,” dedah Khairy.

Twitter

“Bapa mentua saya tidak boleh berfungsi secara normal lagi. Beliau tidak ingat nama saya, nama isteri saya. Satu-satunya sebab yang saya tahu beliau mengenali saya adalah melalui kerlipan matanya ketika saya melawatnya,” jelas Khairy.

“Ada lebih banyak hari buruk daripada hari baik. Jadi doakan beliau dan kami berharap untuk hari yang lebih baik pada masa akan datang,” kata Khairy pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) pada 11 September.

Khairy berkata sebelum keputusannya untuk berkongsi mengenai keadaan Pak Lah, beliau telah bertanya kepada isterinya, Nori Abdullah, abang iparnya dan ibu mertuanya, Tun Jeanne Abdullah, jika boleh memberitahu orang ramai mengenainya dan mereka bersetuju. Beliau berkata sesetengah orang tahu tentang keadaannya, manakala yang lain tidak.

Twitter

Katanya, keadaan Pak Lah merosot sehingga sukar bercakap.

“Bagi kami, sudah tentu pengurusan penjagaannya mencabar. Saya melihat bagaimana ibu mertua saya Aunty Jean (Tun Jeanne), melalui situasi sukar kerana demensia bukan hanya mengenai pesakit, tetapi penjagaan rapi oleh penjaga memerlukan setiap masa yang berterusan,” katanya.

“Apabila pesakit demensia merosot, ahli keluarga boleh membantu, tetapi selepas beberapa ketika, ia menjadi sukar kerana mereka memerlukan penjagaan sepanjang masa. Kami bertuah kerana boleh mendapatkan jagaan jururawat profesional,” kata Khairy.

Twitter

“Keluarga saya mungkin mampu mendapatkan sokongan perubatan profesional untuk Pak Lah, tetapi situasi yang sama mungkin tidak dapat diperolehi atau diakses oleh sebahagian besar keluarga pesakit demensia di negara ini,” tambahnya.

Khairy menjelaskan KKM sedang merangka Kertas Putih Kesihatan yang turut merangkumi usaha pemerkasaan dan pelaburan bagi memastikan dalam komuniti terdapat akses penjagaan kesihatan pesakit demensia di rumah.

Pilihan Editor:

Wanita mengadu sakit perut pergi ke hospital, doktor beritahu suaminya ambil salah satu buah pinggangnya dan jual 4 tahun lalu

0

Keluarga boleh dianggap sebagai bahagian penting dalam kehidupan kerana ia sedikit sebanyak mencerminkan kehidupan yang kita miliki dan apa yang telah membentuk diri kita sebagai manusia.

Malang bagi wanita dari India ini, nampaknya orang yang terpaling rapat dengannya telah memilih untuk mengkhianatinya.

Times of India melaporkan Ranjita Kundu yang berusia 31 tahun dari Malkangiri, Koraput dihantar ke hospital kerana dia mengadu mengalami sakit perut yang luar biasa.

Gambar Times of India

Apabila dia dihantar ke hospital, doktor mendapati salah satu buah pinggangnya telah dikeluarkan. Baru dia mengetahui suaminya yang kejam telah menjual buah pinggangnya 4 tahun lalu.

Pada 2018, Ranjita disahkan menghidap batu karang dan memerlukan pembedahan. Suaminya kemudian menghantarnya ke hospital swasta di Bhubaneswar untuk membuang batu karang itu. 

Ketika menerima rawatan, suaminya tiba-tiba memutuskan untuk menjual salah satu buah pinggang Ranjita tanpa persetujuannya kepada pesakit lain yang dimasukkan ke hospital yang sama.

Gambar Hiasan / Pixabay

“Saya berada dalam keadaan dibius dan tidak sedar akan keseluruhan kejadian,” kata Ranjita.

Suaminya kemudian mengambil wang yang diperoleh daripada jualan buah pinggangnya dan membahagikan wang itu bersama kakaknya Sima Nandi.

8 bulan lalu, suaminya pergi ke Andhra Pradesh untuk bekerja, dan Ranjita mendapat tahu yang lelaki durjana itu telah berkahwin dengan wanita lain.

Gambar Ommcom News

“Kakaknya menyokong apa sahaja keputusan yang dia buat dan menyeksa saya kerana itu, dia meninggalkan anak-anak saya dan sekarang saya mahukan keadilan,” katanya.

“Polis telah menerima laporan puan Ranjita dan tindakan serta siasatan perlu akan dilakukan,” kata inspektor yang bertanggungjawab dalam kes itu.

Susulan itu, suami Ranjita, Prasant Kundu telah ditahan untuk membantu siasatan, Ommcom News melaporkan.

Pilihan Editor:

Terima SMS daripada “GOV” buat tawaran subsidi kerajaan lantas klik pautan, seorang lelaki kerugian RM4,600

0

Teknologi telah menjadikan banyak perkara dalam kehidupan seharian menjadi lebih mudah berbanding dahulu, seperti bagaimana kita tidak perlu membawa wang tunai lagi dan bila-bila masa sahaja boleh menggunakan e-dompet.

Dengan kemajuan teknologi ini, lebih banyak variasi penipuan scammer telah muncul dan seorang mangsa penipuan berkongsi kisahnya.

Clinton Khor, 27 tahun pernah bekerja dalam sektor kewangan mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian lebih tinggi.

Gambar oleh Clinton Khor/ WOB

Pada 27 Julai, Clinton menerima SMS daripada pengirim yang dikenali sebagai “GOV” iaitu singkatan kepada ‘Government’ atau ‘kerajaan’. Apabila dia mengklik pada butiran untuk dihubungi, tiada nombor dan tiada apa-apa yang terpapar.

Paparan SMS itu seperti berikut:

“RM0 MySejahtera: Bantuan Khas Kewangan COVID-19 telah dikreditkan kepada TNG eWallet anda. Sila semak baki dan tuntutan anda di https://touchngo.life. Subsidi khas ini sedia daripada kerajaan Barisan Nasional.” 

Memandangkan ia datang daripada “GOV” dan tiada apa yang kelihatan salah, Clinton berpendapat ia boleh dipercayai dan terus mengklik kepada pautan di mana dia dibawa ke halaman log masuk iklan e-dompet touchngo.life.

Di sana, Clinton memasukkan butiran log masuk sebanyak dua kali dan ia mengakibatkan kegagalan. Mula rasa curiga, Clinton kemudian keluar dari laman web itu dan pergi ke aplikasi e-dompet Touch ‘n Go di mana dia mendapati terdapat beberapa transaksi yang tidak dibenarkan.

“Sebanyak RM4,890.00 (16 transaksi) telah diisi semula secara automatik ke akaun TnG saya melalui kad kredit CitiBank saya dalam pautan dan sejumlah RM4,547.00 (dalam 9 transaksi) telah dipindahkan melalui Duitnow ke nombor akaun bank CIMB.”

Selepas melihat transaksi tersebut, Clinton menelefon CitiBank untuk membatalkan kad kreditnya dan mengembalikan wang itu. Dia menelefon TNG untuk memberitahu mereka tentang penipuan itu, untuk menyekat akaun miliknya dan mendapatkan wangnya kembali.

Bagaimanapun, TNG menolak permintaan lelaki itu kerana mereka mengatakan ia adalah transaksi yang dibenarkan kerana “pengesahan OTP berjaya.”

Gambar oleh Clinton Khor / WOB

“OTP telah digunakan untuk log masuk ke akaun saya namun TIADA hentian ATAU semakan dilakukan semasa isi semula automatik ke pemindahan DuitNow.”

“Saya hanya menerima 2 OTP pada hari itu, tetapi terdapat 16 transaksi masuk dan 9 transaksi keluar.”

“Jadi scammer itu dapat isi semula automatik dan memindahkan wang tanpa sebarang pengesahan.”

Clinton telah membuat laporan polis dan siasatan CitiBank masih berjalan.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa, saya hanya mahu wang saya dikembalikan kerana ia digunakan untuk membiayai pengajian saya,” katanya yang hampa.

Pelajar itu juga berkata dia percaya transaksi kebalikan harus dibenarkan buat mereka yang mahu menunjukkan bukti yang mencukupi sekiranya terdapat transaksi wang yang meragukan.

“Jika bank mempunyai semua butiran laluan transaksi, dari mana ia datang dan di mana ia berakhir (yang mana saya berikan kepada mereka), saya tidak faham mengapa kebalikan kredit tidak boleh dilakukan apabila diminta.”

“Saya tahu sebenarnya bank boleh meletakkan akaun dalam jumlah debit jika orang yang mengambil wang saya tidak mempunyai dana lagi.”

Gambar Hiasan / Pixabay

Jadi, Clinton membuat petisyen ke Bank Negara Malaysia meminta institusi kewangan membenarkan pengguna membalikkan transaksi.

Petisyen itu telah memperoleh lebih daripada 2,800 tandatangan. Ramai rakyat Malaysia telah menunjukkan sokongan mereka untuk tujuan ini dan percaya dengan membenarkan transaksi kebalikan maka ia akan lebih selamat buat pengguna dan bank.

“Ini sebabnya saya mencipta petisyen dalam change.org untuk bersuara dan menjadi suara bagi mereka yang tidak boleh bersuara, mereka yang malu dan mereka yang berdiam diri. Kenapa mangsa perlu menderita?” kata Clinton.

Pilihan Editor:

Sturgeon Yangtze yang baru diisytihar pupus ditemui muncul semula terdampar di Sungai Yangtze

0

Beberapa hari lalu, beberapa penduduk di Daerah Tuanfeng, Wilayah Hubei, China menemui seekor ikan besar misteri terdampar di Sungai Yangtze. Selepas menghubungi pegawai perikanan Daerah Tuanfeng untuk mendapatkan bantuan, mereka mendapati ikan itu adalah spesies haiwan yang dilindungi dan diisytihar pupus di alam liar baru-baru ini iaitu ikan Sturgeon Yangtze.

Menurut laporan media, spesies Sturgeon Yangtze telah diisytiharkan pupus di alam liar oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) pada Julai 2022. Pada masa yang sama, ikan dayung China juga diisytiharkan pupus bersama Sturgeon Yangtze.

Gambar Jimu News

Du Hao, seorang penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Sungai Yangtze Akademi Sains Perikanan China, telah lama mengkaji ikan yang jarang ditemui dan terancam di Sungai Yangtze seperti ikan Sturgeon Yangtze dan ikan dayung China. 

Beliau memberitahu ikan Sturgeon Yangtze adalah spesies terancam di China. Anak ikan spesies itu telah dilepaskan di hulu dan tengah Sungai Yangtze supaya boleh hidup di alam liar yang diharapkan mampu berusia sehingga dua puluh atau tiga puluh tahun.

Sturgeon Yangtze itu dilaporkan berukuran 96 cm panjang dengan berat kira-kira 4 kilogram. Terdapat titik merah kecil di bahagian ekor belakangnya. Du Hao menganggarkan ikan Sturgeon Yangtze ini adalah dalam kategori sub-dewasa dengan jangkaan usia 5 hingga 6 tahun.

Gambar China Dialogue

Du Hao berkata, “Daripada video itu, agak mustahil untuk menilai sama ada ikan Sturgeon Yangtze yang diselamatkan telah dilepaskan kembali ke Sungai Yangtze, tetapi berkata ikan itu dapat bertahan hidup di alam liar, kerana keadaan fizikalnya agak baik. Ia adalah contoh keberkesanan langkah pemuliharaan ikan itu untuk membiak kembali di Sungai Yangtze.”

Selepas penyelidik mengambil sampel ikan Sturgeon Yangtze, mereka telah melepaskannya semula ke Sungai Yangtze. Du Hao berkata, “Walaupun ikan sturgeon Yangtze telah diisytiharkan pupus di alam liar, berdasarkan kemunculan semula ikan itu, ia berkemungkinan besar boleh mencapai tahap dewasa dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Jika bilangannya bertambah, kemungkinan untuk kewujudan habitat pembiakan baru di bahagian tengah Sungai Yangtze yang membolehkan spesies itu kembali hidup.”

Ratu Elizabeth II: Monarki Britain paling lama bertakhta selama 70 tahun mangkat

0

Ratu Elizabeth II, monarki paling lama bertakhta dalam sejarah Britain selama 70 tahun dan 214 hari, mangkat pada usia 96 tahun pada 8 September 2022.

Putera Wales kini dinobat Raja Charles III, setelah menaiki takhta serta-merta sebaik sahaja kemangkatan bondanya.

Dalam satu kenyataan, Istana mengumumkan: “Ratu mangkat dengan aman di Balmoral pada petang ini. Raja dan Permaisuri akan kekal di Balmoral petang ini dan akan kembali ke London esok.”

Baginda dilahirkan sebagai Elizabeth Alexandra Mary Windsor pada 21 April 1926. Ayahanda baginda ketika itu dikenali sebagai Albert, Duke of York.

Pada usia 10 tahun, datuknya, Raja George V, mangkat dan digantikan oleh anak sulung, Edward VIII, yang hubungannya dengan seorang janda dari Amerika Syarikat, Wallis Simpson menyebabkan krisis turun takhta pada November 1936.

Pengunduran Edward VIII bermakna bapa Elizabeth dinobatkan sebagai Raja George VI. Seorang tokoh yang pemalu dan lemah lembut, baginda memimpin Britain melalui Perang Dunia Kedua.

Puteri Elizabeth berusia 13 tahun ketika perang dunia meletus, dan baginda telah dipindahkan dari London ke Istana Windsor yang mana, pada tahun berikutnya, baginda membuat siaran radio di BBC “Children’s Hour”.

Puteri Elizabeth ketika berusia 13 tahun di Windsor Great Park pada 21 April 1939. (Gambar AP)

Menjadi penyiar negara di usia 14 tahun

Bercakap kepada ratusan ribu kanak-kanak yang telah dipindahkan dari bandar-bandar di UK, Elizabeth berkata, “Saya dan adinda, Margaret Rose sangat menyayangi anda, kerana kami faham melalui pengalaman apa ertinya berjauhan daripada mereka yang paling anda sayangi. . Kepada anda yang tinggal di persekitaran baharu, kami menghantar mesej simpati yang sebenar dan pada masa yang sama, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang baik hati mengalu-alukan anda ke rumah mereka di negara ini.”

Ketika berusia 16 tahun, baginda diberi peranan kehormat berpangkat kolonel dalam “Grenadier Guards” dan memeriksa rejimen di Istana Windsor.

Apabila berusia 18 tahun pada April 1944, baginda menyertai “British Army’s Auxiliary Territorial Service” sehingga berpangkat komander muda semasa Jerman menyerah kalah.

Puteri Elizabeth dan tunangnya Lt.Philip Mountbatten pada 10 Julai 1947 di London. (Gambar AP)

Semasa perang, baginda jatuh cinta dengan seorang pegawai tentera laut muda, Lt. Philip Mountbatten, yang lima tahun lebih tua daripadanya dan mereka merupakan sepupu jauh.

Lt. Philip dilahirkan dalam keluarga diraja Greek, yang telah dipulihkan pada tahun 1936 tetapi digantikan oleh sebuah republik pada tahun 1973, dikenali sebagai Putera Philip dari Greece.

Pada tahun 1947, Elizabeth dan Philip berkahwin, dan mendapat gelaran Duke of Edinburgh. Anak pertama mereka, Putera Charles dilahirkan pada tahun berikutnya. Dua tahun kemudian, mereka melahirkan Puteri Anne.

Pada Februari 1952, Raja George VI, seorang perokok tegar, mangkat akibat kanser pada usia 56 tahun.

Elizabeth dan Philip baru sahaja berangkat melawat Australia dan New Zealand, tetapi berita kematian ayahandanya sampai ketika mereka berada di Kenya, dan pasangan itu segera terbang kembali ke England.

Queen Elizabeth II dan Duke of Edinburgh pada hari pertabalan melambai kepada rakyat jelata dari Istana Buckingham pada 2 Jun, 1953. (Gambar oleh Leslie Priest/AP)

Menjadi Ratu pada usia 25 tahun

Elizabeth baru berusia 25 tahun ketika menjadi Ratu, dan pertabalannya yang disiarkan di televisyen pada Jun 1953, sebagai Elizabeth II, adalah perayaan gemilang yang dilihat sebagai menamatkan era berjimat cermat dan kesuraman pasca perang.

Ratu muda itu melahirkan dua lagi putera, Putera Andrew pada tahun 1960 dan Putera Edward pada tahun 1964, dengan tenang membesarkan keluarga baginda disamping memerintah sebuah empayar yang perlahan-lahan mengecil apabila tanah jajahan di Afrika, Caribbean dan negara jajahan lain telah diberikan kemerdekaan.

Baginda kekal sebagai ketua negara manakala 14 Perdana Menteri datang dan pergi dan baru sahaja melantik Perdana Menteri ke-15, Liz Truss, pada 6 September lalu.

Ratu Elizabeth II kekal bijaksana dan berdiplomasi sepanjang pemerintahannya, berbeza dengan suaminya—yang terkenal dengan kesilapan politik—dan anak sulungnya, Putera Wales, yang sering mengulas tentang seni bina, homeopati, perubahan iklim, dan pelbagai subjek lain.

Keperibadian baginda yang sentiasa tenang dihormati oleh ahli politik dari kedua-dua parti politik utama Britain. Baginda menyambut mesra semua pemimpin luar negara termasuk dari negara musuh semasa zaman perang termasuk Maharaja Hirohito dari Jepun dan Presiden Perancis Francois Mitterand dan diktator sosialis Josip Tito dari Yugoslavia.

Keluarga Diraja Britain bergambar di Istana Windsor pada 5 Jun 1959. (Gambar AP)

Tahun gelap era 90-an

Pada Hari Krismas 1992, Ratu Elizabeth terkenal menggambarkan tahun itu—yang bukan sahaja menyaksikan kebakaran dahsyat di Istana Windsor tetapi juga rentetan pendedahan yang tidak wajar tentang perkahwinan Putera Charles dengan Puteri Diana, dan Putera Andrew dengan Sarah Ferguson, sebagai “annus horribilis.”

Lima tahun kemudian, Keluarga Diraja menghadapi saat paling gelap apabila Puteri Diana, yang telah menceraikan Putera Charles setahun sebelumnya, terbunuh dalam kemalangan kereta tragik di Paris.

Jubli Platinum

Ratu Elizabeth II memperoleh semula popularitinya pada abad ke-21 kerana menggelar dirinya sebagai warga emas, dan baginda memainkan watak paling digemarinya sebagai seorang nenek dan moyang yang penyayang kepada generasi baharu kerabat diraja, termasuk Putera William yang kini akan menggantikan ayahandanya yang berusia 73 tahun sebagai pewaris takhta—dan Putera Harry.

Baginda menyambut jubli platinum buat pertama kali oleh monarki Britain yang memerintah paling lama selama 70 tahun pada awal tahun ini.

Baginda kehilangan cinta dalam hidupnya, Putera Philip yang mangkat pada tahun lalu pada usia 99 tahun dan tahap kesihatan baginda sendiri mula merosot.

Ratu Elizabeth II bersama cucunda baginda Putera William dan isterinya Catherine bersama putera sulung mereka, Putera George, dan cucunda Putera Harry di Istana Buckingham pada 13 June 2015. (Gambar oleh Chris Jackson/Getty Images).

Awal tahun ini, baginda dikhabarkan berada dalam keadaan yang “sangat lemah dan keletihan” selepas dijangkiti COVID-19 pada bulan Februari.

Salah satu pertemuan rasmi dengan pemimpin negara yang terakhirnya adalah mengucapkan selamat tinggal kepada bekas Perdana Menteri Boris Johnson dan melantik penggantinya, Perdana Menteri Liz Truss dalam upacara yang dijalankan di Istana Rehat Balmoral di Aberdeenshire, Scotland dan bukannya di Istana Buckingham yang rasmi di London, memberi isyarat bahawa baginda Ratu amat gering untuk bergerak bagi urusan rasmi negara.

Sebaik sahaja kemangkatan Ratu Elizabeth II, Setiausaha Sulit Ratu, Edward Young segera menyampaikan mesej sulit kepada Perdana Menteri yang tertera, “London Bridge is down” yang akan mengatur Operasi London Bridge bagi persiapan pengebumian diraja yang terbesar dalam sejarah dunia.

Kanak-kanak dari Sabah jual mangga di jalanan sampai tertidur di dalam parit sambil pegang payung ketika hari hujan

0

Sebahagian daripada kita dikira cukup bernasib baik kerana tidak perlu berasa bimbang tentang wang ketika masih kecil. Namun, mereka yang kurang bernasib baik kecil-kecil lagi perlu keluar ke jalanan untuk mendapatkan wang demi meringankan beban ibu bapa dan keluarga.

Seorang kanak-kanak perempuan di Sabah baru-baru ini mendapat perhatian seorang netizen dan pengguna TikTok, Nur Fadeela, yang ketika itu sedang memandu di satu jalan raya di Kota Kinabalu, Sabah pada 1 September lalu. 

Kanak-kanak itu dilihat memegang payung dengan sebungkus mangga di depannya dan tertidur di dalam parit di tepi jalan ketika hari hujan.

TikTok

Nur Fadeela memuat naik pertemuan secara tidak sengaja itu di TikTok dan video itu menjadi tular dengan lebih 5.7 juta tontonan.

Ketika itu, Nur Fadeela sedang berhenti di lampu isyarat dan dia melihat kanak-kanak itu sedang tidur di dalam hujan di sebelah sebungkus mangga.

Wanita itu kedengaran memanggil kanak-kanak berkenaan beberapa kali sebelum dia mula tersedar lalu bergerak dan datang ke keretanya, sambil bertanya sama ada pemandu wanita itu mahukan mangga.

TikTok

Fadeela bertanya di mana ibu kanak-kanak itu dan dia menjawab ibunya tiada di situ kerana sedang menjemput adiknya. Kerana simpati dan ingin membantu, Fadeela bertanyakan sebungkus mangga itu yang berharga RM5.

Bagaimanapun, oleh kerana Fadeela selalu membeli tanpa tunai dan hanya mempunyai RM2 dalam dompetnya, jadi dia memberikan wang tunai yang dia ada kepada kanak-kanak itu.

Selepas video terawal menjadi tular, Fadeela memuat naik satu lagi video di mana dia kembali ke tempat yang sama untuk mencari kanak-kanak perempuan itu bagi tujuan membantu dengan semampunya.

TikTok

Fadeela bertanyakan orang sekeliling dan seorang pekerja stesen minyak memberitahunya yang kanak-kanak itu berada tidak jauh dari kawasan itu. Selepas bersiar-siar, wanita itu berjaya menemuinya bersama beberapa orang kanak-kanak lain yang turut menjual bungkusan kecil makanan ringan.

Nur Fadeela kemudiannya membeli makanan ringan daripada kanak-kanak itu untuk membantu mereka. Dia turut menggesa netizen yang ingin menghulurkan bantuan supaya membeli makanan ringan yang mereka jual dari pukul 8 pagi hingga 6 petang di bawah jejambat Kolombong, Kota Kinabalu.

TikTok

“Jika mereka selesai menjual makanan ringan lebih awal, maka mereka boleh pulang lebih awal,” katanya.

Jika diikutkan, cara jualan di tepi jalan raya seperti ini agak membahayakan keselamatan anak-anak ini dan pengguna jalan raya yang lain kerana ia melanggar peraturan jalan raya, juga kanak-kanak tidak sepatutnya bekerja kerana ia menyalahi undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. 

TikTok

Hak kanak-kanak dilindungi di bawah Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) PBB.

Diharap pihak berkuasa tempatan mengambil cakna dan maklum untuk membantu kanak-kanak ini. Pada usia kanak-kanak yang sebegini, sepatutnya mereka berada di sekolah dan keluar bermain bukannya bekerja.

Pilihan Editor:

Faham pernah hidup susah, peniaga hati mulia ini tampal nota belanja nasi lemak jika pelajar tiada duit langsung hendak makan

0

Suatu ketika dahulu, arwah ibunya yang berniaga nasi lemak di UTM sering bersedekah kepada pelajar-pelajar susah dan sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Kini Siti Aishah Othman turut berbuat demikian meneruskan usaha murni arwah ibunya yang suka bersedekah.

Di gerai makan miliknya yang terletak di salah satu kafeteria di UTM, Siti Aishah menampal nota pesanan:

“Adik-adik pelajar, kalau tiada langsung duit, jangan tahan lapar. Datang sini beritahu, saya belanja. Saya pun pernah jadi pelajar. Jangan malu..”

Gambar mStar

Menurut Siti Aishah, arwah ibunya dahulu seorang peniaga nasi lemak di UTM dan banyak bersedekah kepada orang lain.

“Saya seorang anak yatim, jadi memang sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan kehidupan orang susah. Arwah mak saya dahulu mencari rezeki dengan berniaga untuk menyara kehidupan saya dan adik-beradik yang ramai,” katanya kepada mStar.

Gambar mStar

Walaupun mungkin dengan berbuat demikian, hasil keuntungan nampak seakan berkurangan, namun Siti Aishah tetap murah rezeki dan dapat meneruskan perniagaannya.

Selepas menjalankan perniagaan sendiri di UTM selama lebih sebulan, dia kini memahami mengapa arwah ibunya suka bersedekah.

Harga nasi lemak biasa yang dijualnya adalah serendah RM1 kerana Siti Aishah menyedari terdapat ramai pelajar yang datang dari latar belakang keluarga susah dan kurang berkemampuan.

Gambar mStar

Niat peniaga berhati mulia ini benar-benar ikhlas untuk membantu mereka.

Selain itu, nasi lemak dengan ayam goreng berempah dijual dengan harga RM4 dan juga ditambah dengan pelbagai lauk lain seperti sambal udang dan rendang ayam dengan harga RM5.

Menurutnya, setiap hari dia akan menyimpan 10 bungkus nasi lemak untuk diberikan secara percuma khususnya kepada para pelajar yang memerlukan pada setiap kali dia berniaga.

“Setiap hari saya berniaga, kecuali hari Sabtu. Antara sebab kenapa saya tergerak hati hendak menjual makanan dengan harga RM1 adalah selepas saya perasan terdapat beberapa pelajar yang selalu datang ke gerai beli nasi biasa ini tanpa jemu,” kata Sit Aishah.

Gambar mStar

“Ada juga saya jumpa yang bayar makanan berharga RM1 pakai duit syiling sahaja. Jadi ini antara inisiatif saya untuk bersedekah dan menyumbang bagi meringankan beban pelajar yang terpaksa membayar yuran pengajian,” tambahnya.

“Mereka tak cakap pun tiada duit tetapi tengok gaya daripada cara makan benda yang sama berulang kali dengan harga murah ini saya boleh faham mereka tengah berjimat cermat,” katanya.

Menurut Siti Aishah, menu paling mahal yang dijualnya hanya berharga RM5. Walaupun dikira sudah murah dan berpatutan dengan keadaan harga barang terkini yang semakin meningkat, wanita ini tetap meminta maaf kepada pelanggannya kerana terpaksa menjual makanan pada harga yang dianggap mahal.

“Walaupun untung tu tiada sangat, tetapi apabila dapat kenyangkan orang lain itu pun saya sudah rasa lega,” katanya.

Gambar mStar

“Asalkan adik-adik semua ni ada dan tahu tempat mereka boleh makan dengan harga murah dan rasa kenyang. Sekiranya mereka tiada duit datang sahaja beritahu, saya belanja. Hanya insan yang sedang berlapar akan faham perut sedang berlapar orang lain,” tambah Siti Aishah.

Tambahnya lagi, dengan mengurangkan harga makanan, tidak perlulah ada pelajar yang kurang berkemampuan yang terpaksa berlapar. Meskipun harga ayam agak mahal buat masa sekarang, wanita ini akan tetap berusaha untuk mengekalkan harga makanan jualannya seperti biasa.

Semoga Siti Aishah sentiasa dimurahkan rezeki kerana membantu para pelajar dan masyarakat memerlukan dalam meringankan beban mereka dengan kos sara hidup yang tinggi.

Pilihan Editor: