Suatu ketika dahulu, arwah ibunya yang berniaga nasi lemak di UTM sering bersedekah kepada pelajar-pelajar susah dan sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Kini Siti Aishah Othman turut berbuat demikian meneruskan usaha murni arwah ibunya yang suka bersedekah.
Di gerai makan miliknya yang terletak di salah satu kafeteria di UTM, Siti Aishah menampal nota pesanan:
“Adik-adik pelajar, kalau tiada langsung duit, jangan tahan lapar. Datang sini beritahu, saya belanja. Saya pun pernah jadi pelajar. Jangan malu..”

Menurut Siti Aishah, arwah ibunya dahulu seorang peniaga nasi lemak di UTM dan banyak bersedekah kepada orang lain.
“Saya seorang anak yatim, jadi memang sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan kehidupan orang susah. Arwah mak saya dahulu mencari rezeki dengan berniaga untuk menyara kehidupan saya dan adik-beradik yang ramai,” katanya kepada mStar.

Walaupun mungkin dengan berbuat demikian, hasil keuntungan nampak seakan berkurangan, namun Siti Aishah tetap murah rezeki dan dapat meneruskan perniagaannya.
Selepas menjalankan perniagaan sendiri di UTM selama lebih sebulan, dia kini memahami mengapa arwah ibunya suka bersedekah.
Harga nasi lemak biasa yang dijualnya adalah serendah RM1 kerana Siti Aishah menyedari terdapat ramai pelajar yang datang dari latar belakang keluarga susah dan kurang berkemampuan.

Niat peniaga berhati mulia ini benar-benar ikhlas untuk membantu mereka.
Selain itu, nasi lemak dengan ayam goreng berempah dijual dengan harga RM4 dan juga ditambah dengan pelbagai lauk lain seperti sambal udang dan rendang ayam dengan harga RM5.
Menurutnya, setiap hari dia akan menyimpan 10 bungkus nasi lemak untuk diberikan secara percuma khususnya kepada para pelajar yang memerlukan pada setiap kali dia berniaga.
“Setiap hari saya berniaga, kecuali hari Sabtu. Antara sebab kenapa saya tergerak hati hendak menjual makanan dengan harga RM1 adalah selepas saya perasan terdapat beberapa pelajar yang selalu datang ke gerai beli nasi biasa ini tanpa jemu,” kata Sit Aishah.

“Ada juga saya jumpa yang bayar makanan berharga RM1 pakai duit syiling sahaja. Jadi ini antara inisiatif saya untuk bersedekah dan menyumbang bagi meringankan beban pelajar yang terpaksa membayar yuran pengajian,” tambahnya.
“Mereka tak cakap pun tiada duit tetapi tengok gaya daripada cara makan benda yang sama berulang kali dengan harga murah ini saya boleh faham mereka tengah berjimat cermat,” katanya.
Menurut Siti Aishah, menu paling mahal yang dijualnya hanya berharga RM5. Walaupun dikira sudah murah dan berpatutan dengan keadaan harga barang terkini yang semakin meningkat, wanita ini tetap meminta maaf kepada pelanggannya kerana terpaksa menjual makanan pada harga yang dianggap mahal.
“Walaupun untung tu tiada sangat, tetapi apabila dapat kenyangkan orang lain itu pun saya sudah rasa lega,” katanya.

“Asalkan adik-adik semua ni ada dan tahu tempat mereka boleh makan dengan harga murah dan rasa kenyang. Sekiranya mereka tiada duit datang sahaja beritahu, saya belanja. Hanya insan yang sedang berlapar akan faham perut sedang berlapar orang lain,” tambah Siti Aishah.
Tambahnya lagi, dengan mengurangkan harga makanan, tidak perlulah ada pelajar yang kurang berkemampuan yang terpaksa berlapar. Meskipun harga ayam agak mahal buat masa sekarang, wanita ini akan tetap berusaha untuk mengekalkan harga makanan jualannya seperti biasa.
Semoga Siti Aishah sentiasa dimurahkan rezeki kerana membantu para pelajar dan masyarakat memerlukan dalam meringankan beban mereka dengan kos sara hidup yang tinggi.
Pilihan Editor: