Pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan tempat tertutup tidak lagi diwajibkan dengan penggunaannya kini adalah atas pilihan sendiri, kata Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan Malaysia itu pada 7 September 2022 mengumumkan berkuat kuasa serta-merta, pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila menggunakan pengangkutan awam di dalam bas, kereta api, teksi dan kapal terbang, kenderaan e-hailing, van pekerja dan van sekolah serta di hospital dan institusi perubatan.

Pemakaian pelitup muka juga masih diwajibkan sekiranya individu disahkan positif COVID-19.
Bagaimanapun, Khairy berkata pemilik premis diberi pilihan dan dibenarkan mengenakan peraturan pelitup muka kepada pengunjung mereka.
Walaupun pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup adalah pilihan, KKM masih menggalakkan penggunaan pelitup muka di kawasan sesak seperti pasar malam, stadium, pusat beli-belah dan tempat ibadat.

“Individu berisiko tinggi seperti warga emas, wanita hamil, serta mereka yang menghidap penyakit kronik atau mempunyai imuniti rendah juga amat digalakkan memakai pelitup muka,” katanya.
“Individu yang melakukan aktiviti bersama kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak juga dinasihatkan memakai pelitup muka,” kata Khairy.
Khairy Jamaluddin berkata KKM membuat keputusan untuk memansuh syarat wajib pemakaian pelitup muka selepas membuat penilaian dan mengambil kira situasi semasa COVID-19 yang semakin pulih di negara ini.
Malaysia mewajibkan pemakaian pelitup muka pada 1 Ogos 2020.
Pada 1 Mei tahun ini, negara telah memansuhkan keperluan wajib pemakaian pelitup muka di tempat terbuka dan luar bangunan, tetapi atas pilihan individu.
Pilihan Editor: