30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 23, 2025
Utama Blog Laman 96

Jualan baju raya RM1 tarik 500 pelanggan sehingga tercetus huru-hara, butik terkenal terpaksa ditutup awal

0

Kecoh di media sosial yang memaparkan sebuah video menunjukkan orang ramai berpusu-pusu di hadapan sebuah butik di Seksyen 7 Shah Alam, bermula awal pagi 1 April. Namun akibat huru-hara yang berlaku sehingga melibatkan campur tangan polis, butik itu terpaksa ditutup lebih awal.

Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular, orang ramai kelihatan membanjiri butik berkenaan bagi mendapatkan promosi hari raya.

Twitter

Kekecohan berlaku apabila butik membuat promosi jualan baju raya berharga RM1 untuk 100 pelanggan pertama, manakala 50 pelanggan berikutnya akan mendapat baju kurta percuma.

Sejurus pintu dibuka, dapat dilihat berlakunya huru-hara hingga keadaan menjadi tegang dan tidak terkawal.

Twitter

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima aduan mengenai insiden itu sekitar jam 10.30 pagi.

“Dianggarkan kira-kira 500 orang berkerumun di kedai itu untuk mendapatkan harga promosi, yang membawa kepada pergolakan dan tekanan dalam kalangan kumpulan itu.

Twitter

“Sekitar pukul 11.45 pagi, pihak pengurusan menghentikan operasi atas sebab keselamatan kerana tidak dapat mengawal jumlah pengunjung yang diluar jangkaan,” katanya dalam kenyataan pada 2 April.

“Setakat ini tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan kejadian itu dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Twitter

Dalam pada itu, Mohd Iqbal turut menasihati peniaga agar tidak melakukan promosi yang boleh mewujudkan ketegangan apabila keadaan gagal dikawal.

Twitter

“Pada masa sama, pemilik perniagaan perlu peka dan mengelak daripada membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Terdahulu berdasarkan rakaman video yang tular, dapat dilihat orang ramai berasak-asak untuk memasuki butik berkenaan.

Pilihan Editor:

“Bukan kesan khas!” Fenomena alam ‘Tiang Cahaya’ berwarna-warni menakjubkan yang jarang berlaku muncul menyinari langit Kanada

0

Seorang jurugambar amatur dari Kanada sanggup mengharungi kesejukan malam selama lebih sepuluh tahun demi mencari pertunjukan cahaya dari alam semula jadi yang paling indah. Darlene Tanner cukup bertuah kerana berjaya merakam beberapa siri fenomena alam seperti dalam mimpi indah dikenali ‘Tiang Cahaya’ atau “Light Pillars” yang muncul menerangi langit malam.

Darlene yang berasal dari perkampungan Alix di Alberta, pada mulanya hanya melakukan eksperimen dengan mengambil gambar ribut menggunakan telefon pintarnya, sebelum bergerak untuk merakam gambar cahaya utara atau aurora. 

Dar Tanner / Instagram

Ekoran minatnya dalam bidang fotografi semakin meningkat, wanita ini memutuskan untuk menaik taraf peralatan kameranya dengan melabur dalam DSLR.

Darlene cukup bernasib baik untuk melihat penampakan pancaran cahaya yang indah berhampiran rumahnya sebanyak berkali-kali dan bukan sekali seumur hidup seperti mana orang lain.

Dar Tanner / Instagram

Tiang Cahaya adalah fenomena optik yang jarang berlaku dan hanya berada di lokasi tertentu di mana air di udara memeluwap menjadi hablur ais akibat suhu terlalu sejuk. 

Dar Tanner / Instagram

Hablur ais ini menangkap sumber cahaya buatan yang berada berdekatan (seperti lampu jalan dan lampu bangunan) lalu memantulkannya ke udara, membentuk pancaran cahaya berwarna-warni yang tidak terkira banyaknya.

Dar Tanner / Instagram

Pada 24 Disember 2022 kira-kira jam 10 malam, Darlene mengambil gambar tiang cahaya yang paling mengagumkan sehingga hari ini.

“Malam itu benar-benar sejuk, kira-kira negatif 20 darjah Celcius,” katanya kepada The Epoch Times. “Kristal ais itu kelihatan sedikit seperti kepingan salji, tetapi ia sebenarnya bukan salji. Apabila melihat ke luar tingkap, saya hanya melihatnya, dan kemudian saya lihat ia semakin segera menghilang. Jadi saya mengambil banyak gambar sebelum ia hilang.”

Dar Tanner / Instagram

Darlene kerap memeriksa suhu kerana tahu ia hanya muncul pada malam yang sangat sejuk, dan hanya mempunyai kira-kira separuh masa yang suntuk. “Suhu tertinggi yang saya ingat melihat fenomena ini mungkin negatif 13 darjah Celsius, dan paling sejuk ialah negatif 40 darjah Celsius,” katanya.

Dar Tanner / Instagram

Menurut AccuWeather, warna tiang cahaya biasanya sepadan dengan warna sumber cahaya.

Dar Tanner / Instagram

Untuk merakam pancaran cahaya yang lebih cantik, Darlene sering memandu sejauh 40 kilometer dari rumahnya. Lokasi merakam gambar kegemarannya adalah di Red Deer, Blackfalds dan berhampiran Lacombe.

Dar Tanner / Instagram

Jurugambar itu berkata salah satu gambar kegemarannya setakat ini ialah aurora yang ditangkapnya di kawasan Lacombe pada awal pagi 4 November 2022.

Dar Tanner / Instagram

Aurora itu kelihatan kuning, merah jambu, merah dan ungu pada masa yang sama, yang mana fenomena cahaya alam semula jadi itu sangat jarang berlaku.

Dar Tanner / Instagram

Jurugambar amatur ini amat bersyukur dan menghargai kejadian alam semula jadi yang ditemuinya, membolehkan kemahiran fotografinya diasah sambil belajar dengan “banyak latihan, banyak kesabaran dan banyak menonton video YouTube.”

Dar Tanner / Instagram

Darlene Tanner telah mengembara ke Yellowknife di barat laut terpencil Kanada dan Iceland untuk mengambil gambar aurora. “Aurora sangat cantik di sana kerana anda berada lebih dekat dengan Bulatan Artik,” katanya.

Dar Tanner /Instagram

Menurut Darlene, keseronokan mengembara untuk merakam keajaiban alam semula jadi menakjubkan memiliki ganjarannya yang tersendiri, dan beliau gembira dapat berkongsi keindahannya dengan orang lain.

Dar Tanner / Instagram

“Ramai orang yang tinggal berhampiran kejiranan saya berkata mereka tidak pernah melihat keindahan yang saya lihat dan rakamkan itu seumur hidup mereka. Saya hanya mahu orang ramai melihat apa yang saya lihat,” katanya.

Pilihan Editor:

Rangka T-Rex berusia 67 juta tahun akan dilelong April ini

0

Kakitangan Muzim Dinosaur Aathal, Zurich sedang giat menjalankan kerja-kerja pemasangan semula rangka Tirannosaurus atau T-Rex yang berusia 67 juta tahun. Tugasan tersebut dilakukan sebelum ia dilelong pada 18 April depan.

PHYS.ORG

Di bawah candelier kristal dewan konsert Zurich, rangka sepanjang 3.9 meter itu dipasang untuk pameran orang ramai.

Menurut Yolanda Schicker-Siber, kurator muzium berkenaan, pemasangan semula rangka yang digelar Trinity itu bukanlah tugas yang mudah.

“Tulang itu sangat-sangat tua. Usianya 67 juta tahun.

“Jadi, ia mudah rapuh dan retak.

“Nampak stabil, tetapi kita tidak akan tahu jika ada retakan, kita perlu menyediakan gam,”katanya.

Kata Yolanda lagi, muzium dinosaur yang dikendalikan bersama bapanya di luar Zurich tidak mampu membeli Trinity.

“Tetapi jika seseorang membelinya dan tidak tahu di mana untuk meletakkannya, kami mempunyai muzium (dengan bilik) untuk T-Rex,” katanya.

Trinity dihantar ke Zurich menerusi sembilan peti gergasi dari Arizona, Amerika Syarikat.

Selepas pameran selesai, rangka itu akan dilelong oleh Pusat Lelong Koller dengan anggaran nilai antara enam hingga lapan juta Franc Swiss (RM28.87 juta ke RM38.49 juta).

Kedengarannya agak mahal, namun menurut Christian Link, individu yang bertanggungjawab ke atas memorabilia sejarah semula jadi di Koller, dia percaya ‘anggaran rangka T-Rex itu terlalu rendah’.

Link berharap agar ada sebuah muzium Switzerland membeli Trinity supaya khazanah itu terus kekal di negara tersebut.

Trinity terdiri daripada bahan tulang dari tiga spesimen T-Rex yang digali antara tahun 2008 dan 2013 daripada Hell Creek dan Lance Creek di Montana dan Wyoming di Amerika Syarikat.

Kedua-dua tapak itu terkenal dengan penemuan dua rangka T-Rex penting lain yang sudah dilelong.

Lelongan rangka T-Rex yang berkualiti luar biasa tersebut merupakan yang pertama dijalankan di Eropah dan hanya kali ketiga di seluruh dunia.

Berpuluh-puluh juta dolar hasil jualan lelong rangka dinosaur dan fosil lain telah berjaya dikumpulkan beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun begitu, pakar telah memberi amaran bahawa perdagangan itu boleh membahayakan sains kerana dikendalikan oleh orang persendirian dan di luar jangkauan penyelidik.

Menurut Koller, hampir semua rangka langka spesimen T-Rex dewasa yang telah digali berada dalam koleksi institusi. “Oleh itu, lelongan Zurich adalah peluang yang luar biasa untuk memperoleh fosil dengan kualiti tertinggi.”

KOLLER

Rangka T-Rex itu akan menjadi tumpuan selain beberapa fosil lain yang jarang ditemui serta batu seberat 2.145 kilogram (antara meteorit Marikh terbesar pernah ditemui di bumi) lelongan akan datang itu.

Pilihan Editor:

Program Ramalan dan Amaran Banjir dijangka beroperasi 2025

0

Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) fasa dua yang membabitkan 38 lembangan sungai utama dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2025.

PRAB

Menurut Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Juang Tiong Sii, tujuan program itu dilaksanakan adalah untuk membangunkan sistem yang berupaya meramal banjir seawal tujuh hari dan mengeluarkan hebahan amaran banjir seawal dua hari.

“Berdasarkan perancangan, projek ini meliputi 41 lembangan sungai utama di seluruh negara dan mempunyai dua fasa.

“Fasa pertama membabitkan tiga lembangan sungai utama iaitu Lembangan Sungai Kelantan, Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Pahang yang telah beroperasi pada 2017.”

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Seruandi Saad mengenai langkah proaktif yang diambil kementerian bagi mengatasi masalah banjir di Malaysia.

Tambah Tiong Sii lagi, Jabatan Pengairan dan Saliran juga sedang membina 526 stesen siren amaran banjir secara berfasa di seluruh negara yang bertujuan memberi amaran kepada orang ramai supaya bersiap sedia untuk berpindah atau ke kawasan selamat sekiranya berdepan dengan bencana berkenaan.

“Stesen ini ditempatkan di lokasi hotspot banjir seluruh negara dan amaran awal banjir akan dikeluarkan kepada penduduk di kawasan akan terjejas,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga turut mempertimbangkan kaedah sistem pesanan ringkas (SMS) diikuti siren dan hebahan suara untuk meningkatkan lagi kecekapan peyampaian hebahan amaran banjir.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, akibat bencana banjir Malaysia telah mengalami jumlah kerugian sebanyak RM622.4 juta pada 2022, RM6.1 bilion pada 2021 dan RM2.4 bilion pada 2020.

PRAB

Objektif PRAB:

  1. Membangunkan sistem yang berupaya meramal kejadian banjir monsun, tujuh hari lebih awal berdasarkan data ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.
  2. Meningkatkan keupayaan sistem amaran dan hebahan banjir monsun dari enam jam kepada dua hari lebih awal kepada agensi berkepentingan dan penduduk yang terlibat dengan banjir.
  3. Meningkatkan ketepatan amaran banjir monsun dengan mengurangkan perbezaan ramalan dan sebenar iaitu aras ari lebih satu meter kepada kurang 0.5 meter.
  4. Membangunkan sistem yang berupaya meramal dan memberi amaran kejadian banjir kilat kepada orang awam dalam tempoh satu hingga tiga jam lebih awal dengan berdasarkan data ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia. Ramalan ini hanya memfokuskan kepada limpahan air sungai sahaja.

Faedah dan manfaat PRAB:

  1. Memberi tempoh masa yang mencukupi untuk agensi dan penduduk bertindak awal menghadapi banjir.
  2. Mengurangkan kerugian harta benda awam dan kerajaan.
  3. Meningkatkan keyakinan penduduk terutamanya mangsa banjir terhadap sistem penyampaian kerajaan yang berkesan.
  4. Membolehkan agensi bertanggungjawab menyusun strategi logistik dan pemindahan penduduk dengan lebih cekap dan teratur.

Layari laman sesawang PRAB untuk mendapatkan info lanjut mengenai Program Ramalan dan Amaran Banjir ini.

Pilihan Editor:

Ahli arkeologi temui bandar purba berusia 3,400 tahun selepas air Sungai Tigris mengering

0

Sekumpulan ahli arkeologi dari Jerman dan Kurdistan menemui sebuah bandar berusia 3,400 tahun dari Empayar Mittani yang dahulunya terletak di Sungai Tigris.

Awal tahun ini, akibat kemarau yang teruk di Iraq, sebuah bandar muncul dari takungan simpanan air Mosul.

Pusat bandar purba Zakhiku, yang dianggap penting ketika era Empayar Mittani, mungkin merupakan bandar yang luas dengan istana dan bangunan utama lain yang dibina sekitar 1550-1350 SM.

The Archaeologist

Iraq merupakan salah satu negara yang paling terjejas teruk dengan perubahan iklim di seluruh dunia.

Terutamanya di bahagian selatan negara itu yang telah mengalami kemarau yang teruk selama berbulan-bulan.

Sejumlah besar air telah dialihkan dari simpanan air paling penting di Iraq iaitu di takungan Mosul, bagi memastikan tanaman tidak kering.

Tanpa sebarang penyelidikan arkeologi sebelum ini, bandar Zaman Gangsa itu tenggelam selama beberapa dekad tetapi telah muncul semula pada hari ini.

Metropolis purba itu terletak di Kemune di Wilayah Kurdistan Iraq.

Ahli arkeologi tiba-tiba berada di bawah tekanan dalam usaha mencari gali dan mendokumentasikan sekurang-kurangnya sebahagian daripada metropolis yang luas dan penting ini secepat mungkin sebelum ia ditenggelami semula akibat kejadian tidak dijangka.

Dalam beberapa hari, pasukan untuk usaha penggalian dan menyelamat tapak bersejarah itu telah ditubuhkan.

Yayasan Fritz Thyssen menyediakan pembiayaan untuk projek itu dengan notis singkat melalui Universiti Freiburg.

Pasukan arkeologi Jerman-Kurdish melakukan kerja yang amat mendesak kerana mereka tidak pasti bila paras air di takungan itu akan meningkat semula.

The Archaeologist

Para penyelidik dengan cepat menyelesaikan sebahagian besar pemetaan bandar.

Kubu yang besar dengan dinding dan menara, bangunan penyimpanan makanan berbilang tingkat, monumen dan kompleks perindustrian ditemui sebagai tambahan kepada sebuah istana, yang telah dikenal pasti pada 2018.

Kompleks bandar yang luas itu dibina semasa Empayar Mittani (1550–1350 SM), yang memerintah sebahagian besar Mesopotamia utara dan Syria.

Penemuan lima bekas seramik yang menyimpan koleksi lebih daripada 100 tablet dalam tulisan pepaku amat penting untuk diberi perhatian.

Tablet berkenaan dicipta semasa era Assyria Tengah, tidak lama selepas gempa bumi dahsyat yang memusnahkan bandar itu.

Malah beberapa sampul tablet tanah liat, yang mungkin berupa huruf, masih ada.

Penemuan itu mungkin boleh mendedahkan butiran penting mengenai bagaimana metropolis zaman Mittani berakhir dan penguasaan Assyria ke atas kawasan itu bermula.

Menurut Dr. Peter Pfälzner dari Universiti Tübingen, “Hampir ajaib bahawa tablet tulisan pepaku yang diperbuat daripada tanah liat yang tidak dibakar bertahan begitu lama di bawah air.”

The Archaeologist

Sebagai sebahagian daripada projek pemuliharaan komprehensif yang disokong oleh Yayasan Gerda Henkel, bangunan yang digali sepenuhnya ditutup dengan kepingan plastik yang ketat dan ditutup dengan isi kerikil bagi mengelakkan kerosakan tambahan kepada tapak penting itu akibat kenaikan paras air yang semakin meningkat.

Ini perlu dilakukan bagi tujuan mengelakkan air daripada merosakkan dinding tanah liat tidak dibakar atau apa-apa jua khazanah lain yang mungkin masih tertimbus di dalam runtuhan.

Tapak sejarah itu kini telah ditenggelami air sekali lagi.

Filem animasi “Eternal Spring”, kisah penganiayaan mengejutkan 21 tahun lalu terima sambutan hebat di New York dan pengiktirafan global

0

Mengimbau kembali dengan penceritaan peristiwa sebenar yang menggemparkan dunia, filem dokumentari animasi “Eternal Spring” karya artis terkenal antarabangsa Daxiong, yang turut terlibat dalam pasukan pembikinan siri komik “Justice League” dan “Star Wars” di Amerika Syarikat terus menggamit perhatian dunia. 

Karya beliau telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa. Karya indah menggunakan berus dan cat air untuk bersuara bagi pihak dirinya sendiri juga keadilan mewakili semua pengamal Falun Gong yang teraniaya. 

Filem “Eternal Spring” atau “Insiden Changchun” yang memakan masa enam tahun dalam pembikinan, bukan sahaja memaparkan memori mengenai kampung halaman yang dirindui Daxiong, malah kemunculan semula peristiwa sebenar yang mengejutkan, membuatkan penonton tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata.

YouTube

Daxiong, kartunis terkenal berusia 47 tahun, atau nama sebenarnya Guo Jingxiong, gemar melukis sejak kecil. Bermula 1999, beliau telah menerbitkan lebih daripada 100 komik, yang meliputi kisah ahli falsafah purba seperti Laozi, Zhuangzi, Confucius, dan Mencius. Ia diterbitkan di China, Jepun, dan Taiwan, dan beliau dikenali sebagai “Raja Anime” China.

Karya dengan bakat mengagumkan oleh Daxiong telah memenangi pelbagai anugerah di dalam dan luar negara. Pada tahun 2000, beliau memenangi Pertandingan Animasi dan Komik Shanghai dengan karya  “Chinese Ghost Story”. Pada tahun 2006, beliau bekerjasama dengan Jin Yong untuk komik “Demi Gods and Semi Devils” dan memenangi anugerah penghormatan tertinggi di Festival Komik Antarabangsa Angoulême di Perancis. Bagaimanapun, pada tahun 2008, Daxiong telah ditangkap dan dipenjarakan kerana menyinggung perasaan kerajaan PKC dengan lukisannya, dan terpaksa mendapatkan suaka di New York, Amerika Syarikat selepas bencana itu.

Daxiong terus mencipta nama di New York, dengan gandingan paling terkenal untuk komik yang dilukis untuk siri “Star Wars” dan “Justice League” yang popular di Amerika Syarikat. Bukan itu sahaja, Daxiong juga secara sukarela melukis siri komik “Hong Kong Come On” semasa kempen anti-ekstradisi pada 2019, yang menjadi popular di jalanan dan lorong-lorong Hong Kong. 

Walaupun mampu mencipta nama dengan hanya melukis watak adiwira Amerika, cita-cita besarnya adalah menonjolkan wira sebenar di kalangan masyarakat umum, jadi beliau menggunakan berus dan cat untuk bercakap mewakili mereka dalam dokumentari animasi “Eternal Spring”, dan menjelaskan: “Ia bukan kerana mereka mempunyai tenaga atau kuasa luar biasa, tetapi kerana mereka mempunyai hati yang berani dan teguh mencari kebenaran.”

YouTube

“Eternal Spring” menggabungkan temu bual animasi dan aksi langsung mencipta semula “305 TV Interlude Incident” yang kurang dikenali dan menggemparkan dunia 21 tahun lalu. Di skrin besar, Daxiong yang baru berusia 27 tahun pada masa itu, mengambil masa 20 tahun untuk berhijrah ke luar negara, dan menghabiskan 6 tahun untuk menghasilkan karya “Insiden Changchun” ini. Tarian naga dan singa yang indah di dalam filem itu menggamit perasaan nostalgia cerita dongeng zaman silam kalangan penonton.

Daxiong berkata, “Saya dibesarkan di sana pada zaman kanak-kanak. Ramai rakan saya kehilangan nyawa mereka kerana penganiayaan, dipenjarakan, dan kehilangan 20 tahun. Saya menggunakan 20 tahun ini untuk berjalan dari Changchun ke pentas dunia. Saya berharap dapat menggunakan kuasa saya untuk menceritakan kisah ini.”

“Eternal Spring” telah menarik perhatian penggemar filem animasi dan menerima sambutan hebat selepas tayangan antarabangsanya pada penghujung tahun lalu, terutama selepas ia ditayangkan di Film Forum New York. Disebabkan sambutan yang menggalakkan daripada penonton, tempoh masa telah dilanjutkan sebanyak tiga kali, dengan bilangan tayangan telah ditambah daripada 35 kepada 140 di metropolitan itu.

Tonton trailer di bawah:

Pilihan Editor:

Elon Musk sertai lebih 1,000 orang pakar yang mendesak pemberhentian sementara pembangunan kecerdasan buatan lanjutan

0

Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Elon Musk telah menyertai berpuluh-puluh pakar kecerdasan buatan (selepas ini akan disebut sebagai AI) dan eksekutif industri dalam menandatangani surat terbuka yang mendesak supaya semua makmal AI untuk “berhenti seketika berkuatkuasa serta-merta” mengenai pembangunan latihan sistem yang lebih berkuasa berbanding Chat GPT-4 selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, meninggalkan Bangunan Persekutuan Phillip Burton di San Francisco, California, pada 24 Januari 2023. (Justin Sullivan/Getty Images)

Surat itu, yang dikeluarkan oleh badan yang tidak berkeuntungan bernama Future of Life Institute, telah ditandatangani oleh lebih 1,100 individu, termasuk pengasas bersama Apple, Steve Wozniak, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Stability AI, Emad Mostaque, dan antara lainnya, jurutera dari Meta dan Google.

Mereka berhujah bahawa sistem AI dengan kecerdasan daya saing manusia boleh menimbulkan “risiko yang mendalam kepada masyarakat dan manusia,” dan ianya berupaya untuk mengubah “sejarah kehidupan di Bumi,” memetik penyelidikan yang meluas mengenai isu itu dan pengiktirafan oleh “makmal AI teratas.”

Pakar seterusnya menyatakan bahawa pada masa ini terdapat perancangan dan pengurusan yang terhad mengenai sistem AI Lanjutan walaupun beberapa syarikat dalam beberapa bulan kebelakangan ini “terkunci dalam perlumbaan di luar kawalan untuk membangun dan menggunakan minda digital yang lebih berkuasa yang tiada siapa-walaupun pencipta mereka —boleh memahami, meramal, atau mengawal dengan pasti.”

“Sistem AI kontemporari kini menjadi daya saing manusia dalam tugas umum dan kita mesti bertanya kepada diri sendiri: adakah kita patut membiarkan mesin-mesin membanjiri saluran maklumat kita dengan propaganda dan kepalsuan? Patutkah kita mengautomatikkan semua pekerjaan, termasuk pekerjaan yang memuaskan? Patutkah kita membangunkan minda bukan manusia yang akhirnya mungkin melebihi bilangan kita, lebih bijak dari kita, mengenepikan kita, dan menggantikan kita? Patutkah kita mengambil risiko kehilangan kawalan tamadun kita? Keputusan sedemikian tidak boleh diwakilkan kepada pemimpin teknologi yang tidak diundi,” tegas surat itu.

Ahli perniagaan menggunakan chatbot dalam kecerdasan telefon pintar AI. ChatGPT dengan kecerdasan buatan dibangunkan oleh OpenAI. Teknologi bersifat masa depan, penggunaan robot dalam sistem dalam talian. (Shutterstock)

Protokol Keselamatan Diperlukan

“Sistem AI yang berkuasa harus dibangunkan hanya setelah kami yakin bahawa kesannya akan positif dan risikonya akan terurus,” tambahnya.

Surat itu kemudiannya meminta latihan sistem AI yang lebih berkuasa daripada GPT-4 itu dihentikan seketika secara sah minimum enam bulan awam atau moratorium dikeluarkan oleh kerajaan untuk latihan sedemikian jika pemberhentian seketika itu tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta.

Semasa tempoh ‘rehat’, makmal AI dan pakar bebas harus menggunakan masa yang ada untuk mencipta dan melaksanakan satu set protokol keselamatan bersifat perkongsian untuk reka bentuk dan pembangunan AI lanjutan yang “diaudit dengan teliti” dan diawasi oleh pakar pihak ketiga yang bebas, antara isi yang terdapat pada surat itu.

Protokol sedemikian harus direka bentuk untuk memastikan sistem yang mematuhinya selamat tanpa keraguan munasabah, tepat, boleh dipercayai dan selaras, kata pakar.

Di samping itu, surat itu turut menyeru penggubal dasar untuk membangunkan sistem tadbir urus AI yang teguh untuk kegunaan seperti pihak berkuasa yang mampu menyediakan pengawasan dan menjejaki sistem AI berkeupayaan tinggi, mengumpul dana untuk penyelidikan keselamatan AI tambahan dan menubuhkan institusi yang boleh menangani apa yang mereka katakan akan berlaku seperti “gangguan ekonomi dan politik yang dramatik (terutamanya kepada sistem demokrasi) yang disebabkan oleh penggunaan AI.”

“Permohonan jeda ini tidak bermakna akan diaplikasikan kepada semua pembangunan AI secara umum, ini semata-mata permohonan untuk berundur dari perlumbaan berbahaya kepada model kotak hitam yang tidak dapat diramal yang lebih besar dengan keupayaan yang bakal muncul,” kata pakar dalam surat mereka.

Surat itu dikeluarkan hanya selepas dua minggu OpenAI, iaitu pencipta sistem kecerdasan buatan ChatGPT, mengeluarkan kemas kini teknologi AInya yang telah lama ditunggu-tunggu pada 14 Mac—Chat GPT-4, sistem AI paling berkuasa yang pernah ada.

Halaman utama untuk aplikasi oleh OpenAI “ChatGPT” dipaparkan pada skrin komputer riba di London pada 3 Februari 2023. (Imej Leon Neal/Getty)

Kemas Kini ChatGPT Dikeluarkan

Menurut Microsoft-backed-OpenAI, sistem yang dikemas kini itu mempunyai rentetan keupayaan baharu, seperti menerima imej sebagai input dan berupaya untuk menjana kapsyen, klasifikasi dan analisis tetapi lebih selamat dan lebih tepat berbanding yang terdahulu.

Dalam satu kenyataan pada bulan Februari, OpenAI mengakui bahawa pada satu ketika, mungkin penting untuk mendapatkan “semakan bebas sebelum mula melatih sistem masa depan, dan usaha yang paling baik adalah untuk bersetuju untuk mengehadkan kadar pertumbuhan pengiraan yang digunakan untuk mencipta model baharu.”

“Kami berpendapat adalah penting untuk mendapatkan pandangan berkaitan piawaian awam tentang bilakah usaha operasi latihan AGI harus dihentikan, memutuskan model yang selamat untuk dikeluarkan atau menarik model daripada penggunaan pengeluaran. Akhir sekali, kami fikir adalah penting juga untuk kerajaan dunia utama mempunyai pandangan tentang latihan yang berlangsung di atas skala tertentu,” kata syarikat itu.

Awal minggu ini, Europol, agensi penguatkuasaan undang-undang Kesatuan Eropah, memberi amaran tentang implikasi buruk ChatGPT yang boleh digunakan untuk jenayah siber dan beberapa aktiviti berniat jahat lain termasuk penyebaran maklumat yang salah.

Kebimbangan lanjut telah dibangkitkan mengenai perisian itu, yang dilatih menggunakan pembelajaran pengukuhan daripada maklum balas manusia (RLHF), terutamanya mengenai cara ia boleh digunakan untuk membantu pelajar menipu dalam peperiksaan dan kerja rumah mereka.

Di sebalik kebimbangan tersebut, populariti ChatGPT telah mendorong firma saingan untuk melancarkan produk yang serupa.

Minggu lepas, Google mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan aplikasi AInya, yang dikenali sebagai “Bard,” untuk ujian di United Kingdom dan Amerika Syarikat, walaupun syarikat itu ternyata lebih perlahan untuk mengeluarkan teknologi itu berbanding pesaingnya, disamping meminta lebih banyak maklum balas daripada pengguna tentang aplikasi berkenaan.

Pilihan Editor:

Ubah suasana dari kelas yang suram kepada kelas bertemakan adiwira keluaran Marvel, usaha cikgu ini dibanjiri pujian ramai!

0

Selain daripada cara pengajaran dan penggunaan bahan belajar yang menarik, keadaan sekeliling pelajar yang dalam kondisi yang baik dan ceria juga dipercayai boleh meningkatkan motivasi para pelajar untuk belajar dengan lebih baik. Di Malaysia, kebanyakan kelas di sekolah kebangsaan dihias dengan cara yang minimal, dan setidak-tidaknya dalam keadaan yang bersih supaya para pelajar boleh fokus untuk belajar.

@hanifazahar777

Namun, lain pula ceritanya di sebuah kelas pelajar sekolah rendah yang diselia oleh dua orang cikgu bernama Hanif Nor Azahar dan Mohd Shazreen Kamarudzaman, yang dengan bersungguh-sungguh telah menghias kelas seliaan mereka dengan hiasan yang luar biasa.

Lengkap dengan tema adiwira siri keluaran Marvel, idea gabungan kedua-dua orang cikgu ini benar-benar telah membuatkan ramai warganet berasa terharu dan tumpang gembira.

Menerusi sebuah video yang dimuatnaik di laman TikTok oleh Cikgu Hanif (@hanifazahar777) sendiri, pada mulanya dapat dilihat keadaan suram dalam kelas seliannya dengan cat dinding berwarna merah jambu yang sudah terkupas di sana-sini, warna cat yang tidak sekata dan beberapa bahagian dinding yang bertompok dengan warna cat yang berbeza.

@hanifazahar777

Secara keseluruhannya, keadaan kelas itu kelihatan suram dan membosankan.

Simpati dengan keadaan kelas anak muridnya yang begitu, Cikgu Hanif meluahkan bahawa 33 orang anak muridnya memerlukan kelas yang lebih baik supaya mereka termotivasi untuk hadir ke sekolah pada setiap hari.

Disebabkan itu, kedua orang cikgu ini telah memutuskan untuk melakukan sesuatu bagi mengubah suasana dan keadaan dalam kelas anak murid tersayang mereka.

“Berikutan keadaan yang buruk ini, kami tahu kami perlu melakukan sesuatu,” tulisnya dalam video berkenaan.

Setelah meneliti beberapa tema sebagai asas dalam hiasan kelas, mereka akhirnya memilih tema adiwira dari siri keluaran Marvel untuk digunakan. Menurutnya, antara beberapa tema “gila” lain yang telah difikirkan sebelum membuat keputusan akhir adalah seperti tema kehidupan di dasar laut, angkasa lepas, hutan dan beberapa idea lain.

@hanifazahar777

Berikutan ubah suai yang telah dilakukan, kelas yang sebelum itu kelihatan membosankan kini berwajah baru dan pastinya dapat menaikkan semangat anak murid untuk hadir ke sekolah.

Lengkap dengan poster yang menyambut kehadiran para ‘adiwira’ kelas itu di muka pintu utama, kedua orang guru kelas ini semestinya meletakkan kesungguhan mereka di tahap yang maksima dalam menghias kelas ini. 

@hanifazahar777

Bukan itu sahaja, di daun pintu utama yang lainnya pula, diletakkan poster panjang yang menunjukkan peraturan kelas adiwira berkenaan yang mencadangkan nilai-nilai murni yang seharusnya ditanam dalam diri setiap murid. Antara ‘peraturan’ tersebut adalah seperti “adiwira sentiasa bekerja dengan bijak dan bersungguh-sungguh, adiwira sentiasa membersihkan kawasan mereka, adiwira sentiasa bekerja dalam kumpulan, adiwira sentiasa mendengar arahan dan adiwira sentiasa mengucap perkataan tolong, minta maaf dan terima kasih!”

@hanifazahar777

Sisi humor cikgu-cikgu ini juga dapat dilihat apabila mereka juga sempat ‘menyelitkan’ poster yang menyatakan bahawa mereka berdua adalah merupakan Pengarah bagi “filem” ini.

Selain dari pelbagai poster-poster menarik yang ditampal di papan kenyataan kelas, dapat dilihat juga warna asal dinding dalam kelas ini juga telah berubah dari warna merah jambu kepada warna kuning yang jauh lebih ceria! Tambahan pula, setiap meja pelajar dalam kelas itu juga telah dicat semula dengan warna hitam agar kelihatan seragam dan kemas!

Selepas transformasi, kelas ini memang nampak sempurna!

@hanifazahar777

Paling unik, cikgu-cikgu yang prihatin ini juga tidak lupa untuk menyediakan sebuah peti surat bertajuk “peti surat adiwira” sebagai satu langkah untuk mendekati para pelajar yang dibelenggu masalah dan memerlukan tempat untuk meluah secara bertulis kepada guru kelas mereka itu.

“Kadangkala, adiwira juga memerlukan ruang untuk meluahkan perasaan mereka,” tulis Cikgu Hanif.

@hanifazahar777

Beberapa bahagian poster yang ditampal juga dilihat amat mementingkan tahap kesihatan mental para pelajar. Antaranya adalah seperti poster dengan tajuk “Sayangi rakan anda 3,000” yang menerapkan nasihat-nasihat yang boleh mengukuhkan ikatan persahabatan sesama rakan sekelas selain dari poster yang memberi ruang kepada para pelajar untuk memberi skala penilaian mood mereka pada hari berkenaan.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah meraih lebih dari 1.2 juta tontonan, lebih dari 141,800 sukaan dan 2,911 komen dari warganet yang membanjiri ruang kiriman itu dengan pujian dan kata-kata semangat untuk anak murid Cikgu Hanif.

@hanifazahar777

Sememangnya usaha luar biasa daripada kedua orang cikgu ini benar-benar membuatkan ramai warganet berasa bersyukur dengan kewujudan guru-guru yang ikhlas dalam mendidik anak bangsa.

Selepas dihias, kelas ini benar-benar kelihatan lain dari yang lain. Kami pasti selepas ini anak-anak murid dalam kelas itu tidak sabar mahu ke sekolah pada setiap hari. Untuk cikgu-cikgu, itupun sudah lebih dari cukup!

Pilihan Editor:

Video tular anggota polis disyaki terima suapan, IPD Sandakan jalankan siasatan

0

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan insiden di Sabah yang kelihatan seperti seorang anggota polis menerima ‘sesuatu’ daripada orang awam dalam keadaan yang mencurigakan.

Dalam video itu, dua lelaki berpakaian seragam polis dilihat berjalan-jalan di khalayak ramai dan berdiri di hadapan sebuah kedai sambil bercakap dengan seorang lelaki berpakaian biasa dengan seorang lelaki di belakangnya.

Twitter

Sebelum anggota polis itu berlalu pergi, dia kemudian bersalaman dengan lelaki itu yang melewatinya dengan sesuatu yang mencurigakan.

Sebelum itu, kelihatan lelaki berpakaian biasa berkenaan mencapai sesuatu di dalam beg dan menyerahkannya kepada salah seorang anggota polis itu sebelum mereka beredar.

Twitter

Tidak jelas apa yang anggota polis itu terima yang dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

Video tular itu telah menarik perhatian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan yang mengesahkan menerima maklumat dakwaan salah seorang anggotanya menerima suapan di daerah pantai timur Sabah.

Twitter

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata siasatan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard IPD Sandakan sedang dijalankan bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang salah laku anggota polis terbabit.

“Sekiranya ada bukti, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis terbabit serta pihak yang memberi rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Abdul Fuad menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard IPD Sandakan, ASP Mohammed Noor Zaid Zainuddin, di talian 013-3811239.

Pilihan Editor:

Kes SRC: Permohonan semakan sabitan dan hukuman Najib ditolak

0

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 pada 31 Mac menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan majoriti itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Anggota panel lain ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun itu di Penjara Kajang, memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu.

Vernon berkata mahkamah mendapati tidak berlaku kegagalan dalam proses keadilan ketika pendengaran prosiding rayuan akhir kes pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, hak Najib untuk mendapat perbicaraan yang adil tidak pernah dinafikan ketika pendengaran rayuan terbabit.

Katanya, peguam Najib ketika itu enggan membuat penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel hakim yang akhirnya menolak rayuan akhir berkenaan.

Beliau merujuk peguam Hisyam Teh Poh Teik yang dilantik Najib ketika itu yang tidak mengemukakan penghujahan lisan walau diminta berbuat demikian ketika pendengaran rayuan akhir berkenaan.

“Mahkamah mendapati permohonan Najib untuk dibenarkan menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya untuk memasukkan bukti baharu berhubung pembabitan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak dapat dipertahankan.

“Berhubung permohonan kebenaran untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak untuk menangguhkan prosiding rayuan utama, kami dapati peguam diberi hak untuk didengar tetapi enggan berhujah, dalam keadaan itu kami tidak dapati mereka tidak dinafikan hak untuk didengar sekali gus menyebabkan ketidakadilan kepada pemohon.

“Kami juga dapati panel Mahkamah Persekutuan tahun lalu membuat keputusan yang betul apabila menolak permohonan pemohon supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mengetuai panel, kami dapati tiada asas bagi membuat semakan terhadap keputusan itu,” katanya.

Ini bermakna, bekas Perdana Menteri itu akan menjalani baki tempoh penjara 12 tahunnya, melainkan beliau mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Disember 2021.

Datuk Seri Najib Razak mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, sejurus selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Pilihan Editor: