Kecoh di media sosial yang memaparkan sebuah video menunjukkan orang ramai berpusu-pusu di hadapan sebuah butik di Seksyen 7 Shah Alam, bermula awal pagi 1 April. Namun akibat huru-hara yang berlaku sehingga melibatkan campur tangan polis, butik itu terpaksa ditutup lebih awal.
Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular, orang ramai kelihatan membanjiri butik berkenaan bagi mendapatkan promosi hari raya.

Kekecohan berlaku apabila butik membuat promosi jualan baju raya berharga RM1 untuk 100 pelanggan pertama, manakala 50 pelanggan berikutnya akan mendapat baju kurta percuma.
Sejurus pintu dibuka, dapat dilihat berlakunya huru-hara hingga keadaan menjadi tegang dan tidak terkawal.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima aduan mengenai insiden itu sekitar jam 10.30 pagi.
“Dianggarkan kira-kira 500 orang berkerumun di kedai itu untuk mendapatkan harga promosi, yang membawa kepada pergolakan dan tekanan dalam kalangan kumpulan itu.

“Sekitar pukul 11.45 pagi, pihak pengurusan menghentikan operasi atas sebab keselamatan kerana tidak dapat mengawal jumlah pengunjung yang diluar jangkaan,” katanya dalam kenyataan pada 2 April.
“Setakat ini tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan kejadian itu dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal turut menasihati peniaga agar tidak melakukan promosi yang boleh mewujudkan ketegangan apabila keadaan gagal dikawal.

“Pada masa sama, pemilik perniagaan perlu peka dan mengelak daripada membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.
Terdahulu berdasarkan rakaman video yang tular, dapat dilihat orang ramai berasak-asak untuk memasuki butik berkenaan.
Pilihan Editor: