Buah-buahan yang masak ranum lazimnya mempunyai rasa yang lebih manis, dengan tekstur yang lembut dan paling sedap dimakan. Tetapi, mungkin selepas anda membaca entri ini anda akan berfikir sekali lagi apabila mahu memakan buah-buahan yang telah masak ranum.
Seorang warganet sebelum ini ada berkongsi sebuah kiriman di laman Weibo yang menunjukkan paparan dekat pada bahagian pisang yang sudah masak ranum. Seperti yang pernah kita lihat selama ini, sesetengah pisang yang telah masak ranum mempunyai beberapa bahagian yang terlalu masak sehingga menyebabkan bahagian itu kelihatan seperti bertompok dengan warna yang lebih pekat dan hampir lutsinar.
Kiriman itu seterusnya merakam bahagian tersebut dengan paparan dekat sehingga akhirnya dapat menunjukkan beberapa ekor ulat buah yang bergerak-gerak di dalam bahagian tersebut.
Ulat buah yang berwarna lutsinar itu juga sukar untuk dilihat dengan mata kasar melainkan si pemakannya benar-benar meneliti bahagian-bahagian tersebut pada pisang.
Walaupun ulat buah adalah serangga yang tidak berbahaya, tetapi adalah lebih baik sekiranya kita mengelakkan diri dari memakan ulat buah yang lazimnya ada pada buah-buahan yang sudah masak ranum.
Kiriman ini seterusnya telah menarik perhatian ramai warganet sehinggakan ada antaranya yang meninggalkan komen seperti:
“Saya biasanya menggigit bahagian ini dan membuangkannya, dan tiba-tiba (selepas menyaksikan video ini) saya berasa jijik,”
“Nampaknya pisang juga mengandungi ‘protein”
“(Kiriman ini) membuatkan saya takut untuk makan pisang yang terlalu masak ranum pada masa yang akan datang,”
“Saya telah menemui prinsip disebalik kenyataan yang menyatakan bahawa pisang berupaya untuk mengubati sembelit”
Sebenarnya, walaupun ulat buah ini tidak tergolong dalam serangga yang haram dimakan, tetapi selepas melihat kiriman ini, diharapkan semua orang akan lebih berhati-hati dan meneliti rupa dan keadaan pisang yang akan dimakan!
Sebuah Institut Teknologi Makmal Bruce Murray untuk Visualisasi Planet sebelum ini telah mengambil masa selama enam tahun dan ratusan ribu gambar yang diterima dari Mars Reconnaissance Orbiter milik NASA untuk menghasilkan imej panorama di permukaan planet Marikh dengan definisi tertinggi serta saiz imej terbesar iaitu dengan 5.7 trilion piksel bagi satu imej tersebut.
Imej yang begitu ‘tajam’ seperti ini tidak pernah diterbitkan sebelum ini apatah lagi dibuka untuk akses kepada orang awam di seluruh dunia.
Menurut laporan oleh Yahoo! News, imej panorama ini adalah hasil gabungan jahitan imej daripada 110,000 gambar yang diambil oleh kamera persekitaran hitam putih yang lebih dikenali sebagai CTX. Kamera CTX ini telah dipasang pada Mars Reconnaissance Orbiter yang dikendalikan oleh sebuah makmal NASA di California Selatan. Selain dari CTX, terdapat dua lagi jenis kamera yang turut dipasang dan menyumbang kepada gabungan imej permukaan planet Marikh yang diterbitkan ini. Setiap satunya mempunyai fungsi yang berlainan dengan ciri imej tangkapan yang berbeza.
Menerusi imej yang dihasilkan, keseluruhan julat planet itu pada asasnya turut disertakan, dan setiap piksel adalah sepadan dengan kira-kira 25 meter persegi permukaan kawasan planet Marikh. Sebagai perbandingan, imej yang dihasilkan ini begitu besar sehingga dikatakan jika imej ini dicetak, ia berupaya untuk memenuhi segenap ruang Stadium Rose Bowl, di Pasadena, California yang merupakan stadium ke-16 yang terbesar di dunia.
Imej panorama permukaan planet Marikh ini seterusnya telah menjadi satu bahan rujukan penting dalam bidang penyelidikan saintifik dan laporan menyatakan bahawa versi beta bagi imej ini telah dipetik dalam lebih dari 120 kertas saintifik.
Rasai pengalaman menyaksikan sendiri rakaman imej permukaan planet Marikh di sini.
Seperti yang kita sedia maklum, binaan piramid di Mesir adalah salah satu binaan buatan manusia yang paling dikagumi disebabkan oleh kecanggihan teknologi yang digunakan pada zaman dahulu semasa proses pembinaannya. Walau bagaimanapun, seorang ahli geologi dari Indonesia sebelum ini ada mengemukakan dakwaan yang mengatakan bahawa pasukannya telah menemui binaan piramid yang jauh lebih tua berbanding piramid di Mesir.
Binaan piramid yang ditemui itu terletak di Gunung Padang, Indonesia dan setelah kajian dilakukan, piramid tersebut mungkin dibina antara 9,000 ke 20,000 tahun yang lalu iaitu sekurang-kurangnya sejak 7000 SM. Binaan piramid itu bagaimanapun baru ditemui kerana ia tersembunyi di lereng bukit dan telah dipenuhi oleh tanah dan hutan, sehingga menyebabkan bentuk struktur asal piramid itu terselindung.
Menurut ahli geologi Indonesia, Dr. Danny Hillman, jika penemuan itu disahkan benar, maka ia akan menjadi satu penanda aras baharu yang menunjukkan kemajuan tamadun purba di Jawa dan berupaya untuk ‘mengubah’ sejarah yang sudah tertulis sebelum ini.
Terdahulu, sebuah penerbitan hasil penyelidikan telah dibentangkan oleh pasukan geologi Indonesia berkenaan penemuan baharu ini dalam Mesyuarat Geofizik Tahunan yang diadakan di Amerika Syarikat pada Disember 2018.
Berdasarkan kajian itu, dikatakan bahawa struktur asal itu telah ditemui pada tahun 1914, tetapi tidak pernah dikaji dengan lebih mendalam kerana dianggap sebagai ‘binaan’ semulajadi. Namun, Dr Hillman bersama pasukannya secara tidak sengaja telah menemui kebenaran yang terselindung selepas mereka menggunakan radar penembusan tanah, tomografi gelombang seismik dan beberapa kaedah lain untuk mengesan ‘isi’ dalam binaan yang selama ini dianggap hanya sebagai sebuah gunung itu.
Kajian juga menunjukkan bahawa binaan itu secara keseluruhannya memakan ruang sebesar kira-kira 15 hektar dengan binaan piramid buatan manusia berketinggian kira-kira 30 meter dan terbahagi kepada empat lapisan. Beberapa kajian yang dilakukan turut menemui bahawa setiap lapisan yang dibina adalah pada tahun dan zaman yang berlainan.
Misalnya, lapisan pertama iaitu lapisan yang paling besar dalam piramid itu mungkin dibina kira-kira 20,000 tahun dahulu dengan menggunakan gumpalan campuran lumpur dan pasir.
Lapisan kedua pula seterusnya dianggap sebagai lapisan yang menggunakan batu semulajadi tetapi mempunyai matriks tiang batu di dalamnya.
Seterusnya untuk lapisan yang ketiga, kajian mendapati bahawa lapisan ini mempunyai rongga yang besar di bahagian bawahnya dan mempunyai banyak ruang seakan-akan gua. Lapisan ini juga berkedalaman kira-kira 15 meter.
Bagi lapisan yang terakhir pula, ia dibina menggunakan batu basalt yang mempunyai kesan potongan oleh manusia.
Pasukan Dr. Hillman dalam kajiannya juga mendapati bahawa dua lapisan teratas pada piramid itu dibina lebih lewat, iaitu kira-kira 8,300 tahun yang lalu bagi lapisan ketiga dan 8,500 tahun yang lalu bagi lapisan yang keempat.
Selain daripada penemuan yang telah dinyatakan, kajian yang dilakukan juga telah menemukan struktur kuil yang sebahagiannya tertanam di dalam gunung itu. Oleh itu, pengkaji berpendapat bahawa piramid yang ditemui di Jawa Barat itu mungkin dibina untuk kegunaan keagamaan dan bukannya dijadikan makam seperti di Mesir.
Buat masa ini, status sebenar Gunung Padang sebagai sebuah binaan piramid oleh manusia masih lagi belum disahkan dan jika ianya berlaku, berita ini pastinya merupakan salah satu penemuan terpenting yang pernah berlaku di dunia.
Bagi kebanyakan orang, sebaik sahaja umur mencecah 60 tahun, mereka sudah mula mengambil masa untuk berehat dan menggunakan masa yang ada untuk fokus beribadah. Namun, bagi seorang warga emas yang berusia 68 tahun ini, walaupun sudah lanjut usia dan mempunyai sakit belakang yang agak teruk, dia masih lagi bekerja mencari wang dengan berkhidmat sebagai penghantar makanan.
Menerusi sebuah video sebelum ini, dapat dilihat bahawa perakam video menunjukkan keadaan pak cik berkenaan yang terbongkok-bongkok berjalan selepas mengambil pesanan makanan di sebuah kaunter penghantaran di pusat beli-belah. Keadaan pak cik yang sudah tua dan mempunyai masalah untuk berjalan dengan baik itu seterusnya telah meraih simpati ramai warganet sehingga video berkenaan menjadi tular.
Berikutan penularan kiriman video berkenaan, seorang pencipta kandungan laman YouTube bernama @bellestrelle melalui laman Instagramnya telah memuatnaik video yang menunjukkan bantuan yang diberikan khas buat pak cik berkenaan untuk memudahkan tugas kerja pak cik tersebut.
“Pak cik ini berusia 68 tahun, sakit pinggang lagi dan membawa Grab, dia sendiri nak bekerja dan dia sudah tidak boleh membawa motor. Jadi, sekarang Bella nak pergi belikan dia kereta baru,” kata @bellestrelle membuka kata dalam video berkenaan.
Setelah menyelesaikan beberapa dokumen pembelian, @bellestrelle dan pasukannya akhirnya membawa pak cik berkenaan ke pusat pameran itu untuk menyerahkan kereta itu kepada pemilik baharunya.
Dapat dilihat dengan jelas wajah terharu pak cik itu, yang tersenyum gembira sebaik sahaja memegang stereng kereta baharunya.
“Nak menitis air mata Bella bila melihat reaksi pak cik (yang) sangat gembira. Bila kita ada rezeki lebih, tidak salah kita berkongsi dengan orang lain.
“Bella harap, raya ini pak cik akan jadi lebih gembira. Terima kasih pak cik atas perjuangan pak cik selama ini,” tulis @bellestrelle dalam kapsyen kirimannya.
Berikutan sumbangan ikhlas yang diberikan oleh @bellestrelle ini, ramai warganet membanjiri ruang komen kiriman itu dan meninggalkan pujian dan doa yang baik untuk pak cik itu.
Malaysia telah mengambil pendekatan ofensif terhadap pihak yang mendakwa waris kepada bekas Sultan Sulu yang menyasarkan beberapa aset bernilai tinggi negara sebagai langkah menyelesaikan tuntutan perjanjian pada era-kolonial dengan mengisytiharkan mereka sebagai pengganas.
Kerajaan Malaysia turut melancarkan laman sesawang yang memberikan maklumat tepat berhubung perintah penangguhan serta beberapa prosiding lain melibatkan arahan pembayaran pampasan timbangtara yang bernilai hampir AS$15 billion (RM65 bilion) terhadap Malaysia yang diperolehi oleh lapan individu yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu, dari sebuah Mahkamah Perancis tahun lalu.
Pada 11 April, Malaysia menyenaraikan Muhammad Fuad Abdullah Kiram sebagai pengganas terlibat dalam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah yang menyaksikan 10 anggota keselamatan negara dan 56 pengganas serta enam orang awam terkorban.
“Di bawah kepimpinan baharu, khususnya Menteri Undang-Undang, Azalina Othman Said, strategi telah berubah daripada defensif kepada ofensif, sejajar dengan konsep prinsip pertahanan terbaik adalah dengan menyerang,” kata Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam satu taklimat media di Putrajaya.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri telah mengenalpasti Fuad – seorang daripada lapan individu mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu, adalah antara pengasas Royal Sulu Force (RSF).
Susulan penyenaraian tersebut, Fuad diklasifikasikan sebagai pengganas, mengikut Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Kerajaan Malaysia sebelum ini menyenaraikan RSF sebagai entiti pengganas terbabit dalam tragedi pencerobohan bersenjata di Sabah pada awal 2013.
“Kementerian Dalam Negeri memaklumkan Fuad Abdullah Kiram merupakan seorang pengasas RSF. Kumpulan terbabit sebelum ini sudah diklasifikasikan sebagai entiti pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak April 2022,” jelas Khairul Dzaimee.
Sebelum itu, mahkamah Malaysia telah menghukum RSF susulan kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Pada Februari 2022, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM65 bilion) kepada pihak yang mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.
Perintah itu dikeluarkan selepas Malaysia didakwa melanggar Perjanjian 1887 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo selepas menghentikan pembayaran wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 (AS$1,201) setahun sejak 2013, selepas berlakunya pencerobohan bersenjata di Sabah.
Pada Julai 2022, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset syarikat minyak dan gas milik Malaysia, Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).
Namun dalam reaksinya, Petronas memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.
Selain usaha mengklasifikasikan salah seorang individu yang dikatakan pewaris Sultan Sulu dalam tuntutan itu, Malaysia telah melancarkan sebuah laman sesawang bagi memastikan penyebaran maklumat kes tersebut adalah tepat sekaligus menafikan penyebaran berita tidak benar dan palsu.
“Laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my adalah satu langkah Kerajaan untuk memberikan naratif sejarah dan kronologi kes perundangan di pelbagai bidang kuasa yang betul dan sahih.
“Terdapat pelbagai kemusykilan pada “fakta-fakta” kes yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu,” ujar kenyataan bersama yang ditandatangani oleh tiga menteri mewakili kerajaan susulan pelancaran laman sesawang berkenaan pada 12 April 2023.
Mereka adalah Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Zambry Abdul Kadir Menteri Luar Negeri dan Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital.
Maklumat di dalam laman tersebut boleh diakses dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol, dan Tagalog bagi membolehkan pelbagai pihak serta media antarabangsa mengikuti dan memahami kes ini melalui fakta dan informasi sebenar yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia.
Ini memandangkan Malaysia kini sedang berhadapan dengan prosiding di beberapa buah negara Eropah (Sepanyol, Perancis, Luxembourg, dan Belanda).
Menurut kenyataan itu lagi langkah membangunkan laman sesawang itu adalah penting “kerana sebarang keputusan yang memihak kepada pihak penuntut akan mempunyai kesan besar dan serius kepada kedaulatan dan keselamatan negara.”
Kerajaan turut menegaskan akan terus memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan, dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan berkenaan.
Sementara itu, Profesor Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Malaysia memuji langkah Malaysia menyenaraikan Fuad sebagai pengganas.
“Kita percaya bukan hanya Fuad, masih ramai lagi yang sepatutnya turut boleh disenaraikan namun berdepan dengan kekangan dalam menjalankan profiling terhadap mereka yang terlibat terlibat dalam aktiviti keganasan semasa pencerobohan Sulu di Sabah,” katanya kepada BenarNews Malaysia.
Menurutnya lagi, langkah tersebut mungkin membantu mempertahankan kedaulatan negara namun menegaskan jabatan timbangtara di Eropah akan sangat berhati-hati terhadap tindakan itu malah mungkin akan melihatnya dari perspektif berbeza.
“Kita mengakui walaupun kita mengetahui tentang penglibatan mereka, namun bukan mudah untuk mengesan jejak mereka disebabkan disokong oleh penaja-penaja yang “tidak diketahui.”
“Ia bukan tugas yang mudah untuk membawa perkara ini ke timbangtara antarabangsa, undang-undang atau jabatan keadilan. Ia memerlukan sokongan kewangan, usaha dan proses dokumentasi yang banyak,” jelasnya.
Sementara itu, Altaf Deviyati, pengarah Iman Research Center, sebuah kumpulan pengkaji isu keselamatan dan konflik yang berpengkalan di Malaysia melihat langkah kerajaan menyenaraikan Fuad sebagai pengganas sebagai strategi untuk berdepan dengan kes-kes mahkamah di Eropah.
“Dengan menyenaraikan mereka sebagai pengganas, ia mungkin akan mempengaruhi Eropah untuk mengambil pendirian berbeza dan memberi kesan terhadap kes-kes yang sedang berjalan.
“Strategi ini telah digunapakai oleh negara-negara lain sebelum ini. Sama ada ia akan memberi kesan atau tidak, kita perlu tunggu dan lihat,” katanya.
Setiap orang mempunyai sisi lembutnya yang tersendiri. Dan bagi Cai, seorang wanita dari Guangxi, China ini dia sangat ‘lemah’ apabila berdepan dengan kucing-kucing yang sakit dan tidak berdaya.
Baru-baru ini, Cai ditemukan dengan seekor kucing jalanan yang mengalami sakit kulit yang agak kronik. Oleh kerana rasa simpati yang amat dalam, dia tanpa berfikir panjang terus membawa kucing itu ke sebuah klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan buat si comel itu.
Walau bagaimanapun, selepas sebulan lamanya kucing itu mendapat rawatan dan diberikan ubat, namun keadaan kulitnya tetap juga tidak beransur pulih.
Keadaan ini seterusnya membuatkan Cai berasa bahawa dia harus meneruskan apa yang telah dimulakan. Justeru, Cai kemudiannya mendapat nasihat daripada pakar haiwan yang memberi cadangan kepada Cai untuk melakukan rawatan tampalan kulit ikan pada kulit kucing yang sakit itu.
Tetapi, kos bagi rawatan tampalan ini bukannya murah, ia menelan sehingga lebih dari 20,000 yuan (kira-kira RM12,800). Namun bagi Cai, dia sanggup melakukan apa sahaja demi merawat kucing yang telah diselamatkan itu, termasuklah berhabis puluhan ribu wangnya sendiri demi menanggung kos rawatan si comel itu.
Walaupun menerima banyak kecaman daripada warganet yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakan Cai berhabis puluhan ribu demi seekor kucing, namun Cai menyatakan bahawa kos rawatan itu menjadi mahal kerana pembedahan jenis ini adalah yang pertama sekali dilakukan. Tambahnya lagi, sebelum memutuskan untuk membawa kucing itu mendapatkan rawatan, dia langsung tidak tahu menahu tentang kosnya yang melambung tinggi itu.
Tetapi, kerana rasa sayang pada kucing itu, Cai akhirnya akur dan rela berbelanja untuk rawatan kucing itu, walaupun tanpa pengetahuan ahli keluarganya.
Syukurlah, disebabkan usaha dan kebaikan yang dilakukan oleh Cai, kucing yang diselamatkan itu akhirnya kini kembali sihat dan aktif serta tidak lagi mengalami masalah sakit kulit.
Memerang laut adalah salah satu mamalia yang sangat comel dan gelagatnya yang cerdik boleh menghiburkan sesiapa sahaja yang melihatnya. Walau bagaimanapun, jika anda berada dalam situasi yang akan dikongsikan dalam entri ini, kami tidak pasti sama ada anda masih boleh tersenyum melihat memerang laut lagi.
Sebuah video pendek berdurasi 26 saat di internet menunjukkan gelagat seekor memerang yang tersalah sangka telah menghiburkan ribuan warganet. Menerusi rakaman video yang dirakam di sebuah zoo, dapat dilihat bahawa sebuah telefon bimbit secara tidak sengaja telah terjatuh ke dalam kolam memerang laut dan melihatkan ‘rezeki’ yang turun dari langit itu, seekor memerang laut dalam kolam itu dengan segera pergi mengambil telefon bimbit itu.
Walau bagaimanapun, nampaknya memerang laut itu bukannya berniat untuk memulangkan semula telefon bimbit itu kepada pemiliknya, sebaliknya memerang laut itu dengan yakinnya memegang telefon bimbit itu dengan kedua belah tangannya, dan dengan sepenuh hati menghempas-hempas telefon bimbit itu pada permukaan batu di tepian kolam.
Pastinya, tindakan memerang laut itu mengejutkan semua pengunjung zoo yang menyaksikan insiden ‘menyayat hati’ itu.
Namun, sebenarnya apa yang dilakukan oleh memerang laut itu adalah salah satu naluri semulajadi spesies mamalia berkenaan yang sering mengetuk dan menghempas makanan bercengkerang pada permukaan batu untuk membuka cengkerang dan mendapatkan makanan di dalamnya. Cuma, dalam insiden kali ini, memerang laut itu tersalah sangka.
Di akhir video, dapat juga dilihat bahawa memerang laut itu menunjukkan reaksi marah dan berputus asa kerana setelah berkali-kali menghempas telefon bimbit itu, tetapi ‘cengkerangnya’ masih juga tertutup rapat. Sambil mengangkat tangan ke atas dan seolah-olah menjerit, reaksi spontan memerang itu dengan jayanya membuatkan ramai warganet tak kering gusi.
Kasihan pula melihatnya yang sangat berharap! Bersabarlah wahai memerang laut, pasti ada makanan lain yang boleh dimakan nanti ya.
Kita sering mendengar kisah cinta sejati, tetapi mungkin tidak pernah mendengar kisah persahabatan sejati.
Apabila menemui rakan baik yang boleh dipercayai melalui kesusahan dan kebahagiaan bersama, anda mungkin mahu membeli rumah dan tinggal bersama mereka selama-lamanya, seperti sekumpulan sahabat baik dari Guangzhou, China ini.
Persahabatan menjadi erat sejak mereka mula bekerja di sebuah syarikat akhbar yang sama bertahun-tahun lalu.
Yitiao
Tujuh wanita ini telah mengenali antara satu sama lain selama lebih 10 tahun.
Yitiao
Menurut Ettoday, salah seorang rakan itu yang bernama Jin Du memberitahu tujuh daripada mereka menjadi rapat dengan cepat kerana mereka semua datang dari latar belakang yang sama—mereka gemar membincangkan kuantum mekanik dan misteri alam semesta, topik ilmiah yang bukannya bergosip apabila menghabiskan masa bersama.
“Pada masa itu, kami sering ketawa dan bergurau bahawa apabila meningkat usia tua, kami akan mencari rumah yang dikelilingi oleh alam semula jadi dan bersara di sana bersama-sama 20 tahun kemudian,” kata Jin Du.
Walaupun ada antara mereka yang berhijrah ke negara lain, berkahwin dan memulakan perniagaan sendiri, kesemua mereka tetap berhubung. Apabila mereka bertemu pada tahun 2018 untuk ulang tahun persahabatan mereka yang ke-10 di Beijing, perkara yang mereka anggap hanya gurauan menjadi kenyataan apabila salah seorang menyebut tentang persaraan.
Yitiao
Ini membawa mereka kembali kepada janji yang pernah dibuat untuk membeli dan memiliki rumah persaraan bersama. Untuk ini, Jin Du menyebut adalah lebih baik jika rancangan itu dilaksanakan sekarang dan bukannya 20 tahun kemudian. Justeru, mereka mula mencari rumah yang sesuai dengan keperluan usia tua.
Selepas melihat lebih daripada 20 rumah, mereka mendapati kediaman impian mereka terletak sejam dari pusat bandar Guangzhou.
Yitiao
Tempat itu juga dikelilingi oleh alam semula jadi yang indah—sama seperti yang mereka impikan!
Yitiao
Rumah tiga tingkat itu dilengkapi dengan bilik berkaca yang boleh melihat pemandangan indah di luar.
Yitiao
Ruang minum teh menghadap pemandangan terbentang kehijauan.
Yitiao
Ia juga mempunyai dapur terbuka yang cantik.
Yitiao
Termasuk ruang makan yang besar.
Yitiao
Rumah ini berharga RMB 4 juta (sekitar RM2.6 juta).
Looker News
Apa yang lebih hebat, kumpulan kawan baik ini juga membuat rancangan jangka panjang di mana setiap daripada mereka perlu menguasai kemahiran tertentu seperti menanam sayur-sayuran, memasak dan bermain piano supaya mereka boleh menikmati kehidupan yang menyenangkan bersama.
Mereka juga tidak ketinggalan mengatur tugasan yang sewajarnya di kalangan mereka untuk mengelakkan sebarang pertengkaran di masa hadapan atau meninggalkan bebanan antara satu sama lain.
Yitiao
“Ramai menyimpan impian dengan mengatakan mereka ingin membeli rumah untuk didiami bersama rakan-rakan tetapi berapa ramai yang benar-benar dapat melakukannya?” soal Jin Du.
Yitiao
Kami telah mengatur persaraan sejak 20 tahun dan ini adalah perkara paling bermakna yang kami berjaya lakukan pada tahun ini,” kata Jin Du.
Wanita-wanita ini juga menyebut mereka akan berkumpul di sini pada musim perayaan dan meraikan hari-hari istimewa bersama-sama.
Yitioa
Mereka juga akan membawa keluarga masing-masing bersama supaya mereka boleh menjalin hubungan yang baik antara satu sama lain.
Yitiao
Rumah itu agak besar dan selesa.
Beginilah rupa salah satu bilik tidur di dalam rumah.
Yitiao
Ketika ini, mereka masih mempunyai kehidupan sendiri dan bersetuju untuk menyewakan rumah tersebut sebagai inap desa sebelum mereka semua bersara di sana.
Seorang jurugambar telah berjaya merakam video menakjubkan aurora borealis atau cahaya utara yang dicetuskan oleh ribut geomagnet semasa beliau terbang ke Fairbanks di Alaska.
Suatu pengalaman yang menarik lagi unik semasa anda menaiki kapal terbang apabila jurugambar itu, Moharnab Saikia berjaya merakam aurora.
Semasa terbang dari Seattle ke Fairbanks di Alaska, Saikia terlihat cahaya utara menakjubkan yang dicetuskan oleh ribut geomagnet terkuat dalam tempoh 6 tahun.
Newsweek melaporkan jurugambar itu berkata, “Saya tahu tentang ramalan aurora minggu itu, tetapi juga tahu bahawa kekuatan sebenar boleh berbeza-beza dalam realiti kerana saya telah mencuba beberapa kali di Washington untuk merakam aurora tetapi gagal.”
Saikia berkata, “Pada mulanya cahaya itu agak samar dan saya hanya menyangka ia adalah cahaya udara. Tetapi saya memutuskan untuk mengeluarkan kamera dan mengambil gambar dedahan cahaya yang lama dan melihat warna hijau pudar. Apa lagi, saya sangat teruja.”
Jurugambar itu menyiarkan video yang sama di akaun Instagramnya dengan kapsyen, “Magis setinggi langit menyaksikan keindahan ini, pernahkah anda? Kongsi cerita anda!”
Saikia seterusnya memaklumkan yang beliau mengambil beberapa gambar langit menggunakan ‘intervalometer’ dan kemudian merangkum semua imej untuk mencipta selang masa, lalu berkongsi keterujaannya menyaksikan Aurora Borealis.
Bagaimana Aurora Borealis atau Cahaya Utara terjadi?
Aurora Borealis, sebenarnya disebabkan oleh Matahari. “Matahari menghantar bukan sahaja haba dan cahaya, ia juga menghantar banyak tenaga lain dan zarah kecil ke arah kita. Medan magnet pelindung di sekeliling Bumi melindungi kita daripada kebanyakan tenaga dan zarah, dan kita tidak menyedarinya,” jelas NASA.
NASA juga menjelaskan matahari tidak menghantar jumlah tenaga yang sama sepanjang masa. Terdapat aliran angin suria yang berterusan dan terdapat juga ribut suria. Semasa satu jenis ribut suria yang dipanggil lonjakan jisim koronal, matahari menyemburkan gelembung besar gas elektrik yang boleh bergerak melalui angkasa dengan kelajuan tinggi. Apabila ribut suria datang ke arah kita, beberapa tenaga dan zarah kecil boleh bergerak menuruni garis medan magnet di kutub utara dan selatan ke atmosfera Bumi.
Di sana, zarah-zarah berinteraksi dengan gas di atmosfera dan menghasilkan paparan cahaya yang indah di langit. Oksigen mengeluarkan cahaya hijau dan merah. Nitrogen bersinar biru dan ungu, membentuk apa yang dipanggil aurora indah mempesonakan.
Setiap insan di dunia ini mempunyai ujian masing-masing yang pelbagai. Ada antaranya yang menjalani ujian yang terlalu susah, ada antaranya yang sederhana, dan ada antaranya yang jarang sekali ditimpa ujian. Walau bagaimanapun, kita seharusnya percaya bahawa setiap satu ujian dan musibah yang melanda diri kita itu pasti mempunyai jalan keluar, dan untuk itu kita harus berusaha.
Baru-baru ini, seorang cikgu sekolah rendah ada memuat naik kisah sayu yang disaksikannya sendiri mengenai salah seorang anak muridnya bernama Aisyah yang berusia 8 tahun. Walaupun umur Aisyah masih kecil, tetapi menurut cikgu berkenaan, budak perempuan itu sudah dipertanggungjawabkan untuk menjaga empat orang adik-beradiknya ketika ibunya sedang bekerja di sebuah pasaraya.
Tambah cikgu berkenaan, keadaan keluarga Aisyah bertambah rumit apabila ibu bapa Aisyah terpaksa bercerai dan bapanya kini sudah menghilangkan diri, meninggalkan si kecil itu bersama empat orang adik-beradiknya, dan bergantung sepenuhnya kepada si ibu. Kisah keluarga ini diceritakan semula oleh cikgu berkenaan seperti yang berikut:
“Balik dari sekolah tadi, saya singgah sebentar di pasaraya untuk memberi sedikit barang. Tetapi, sebaik sahaja saya turun dari kereta, saya terdengar tangisan kanak-kanak yang sangat kuat dari arah pintu rumah kedai bersebelahan dengan pasaraya tersebut. Saya segera mencari dari mana datangnya suara tangisan tadi.
“Saya menuju ke pintu besi di sebelah pasaraya yang mempunyai tangga untuk ke rumah kedai di bahagian atas deretan kedai. Sebaik menjengah ke satu celahan pagar besi, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang menangis seorang diri.
“Dengan berpakaian agak comot, dia terus menangis walaupun saya cuba (untuk) memujuk dari pintu pagar besi yang berkunci. (Saya) berasa sedih melihat dia menangis keseorangan di situ. Dalam hati saya terdetik, ‘mesti ini adik kepada Aisyah,’ tulis cikgu itu membuka cerita.
Kerana tidak berjaya memujuk si kecil yang sedang menangis, cikgu tersebut terus masuk ke dalam pasaraya untuk mencari ibu kanak-kanak berkenaan yang dilihat sedang menyusun barang di atas rak.
“Shima, anak awak ke (yang) menangis di tangga bawah itu?” soal cikgu.
“Ya, cikgu. Dia memang begitu. Tak ‘makan’ pujukan,” jawab ibu muda berkenaan.
Tidak mahu berputus asa, cikgu itu terus bertanya tentang latar belakang budak kecil yang menangis itu.
“Dia anak yang ke berapa?”
“Yang ketiga, cikgu. Cikgu jangan risau, dia memang begitu,” balas Shima kepada cikgu berkenaan.
Selesai perbualan kecil tadi, cikgu itu seterusnya memutuskan untuk segera membeli barang dan berlalu dari pasaraya itu untuk mengambil anaknya dari sekolah pula.
Walau bagaimanapun, apabila keluar dari pasaraya, suara kanak-kanak tadi tidak lagi kedengaran.
Risau tentang apa-apa yang mungkin berlaku, cikgu itu sekali lagi pergi menjenguk ruangan yang sama dan mendapati bahawa kanak-kanak itu sudah tertidur kerana kepenatan setelah menangis sekuat hatinya.
“Hati saya meruntun setelah melihat keadaan kanak-kanak itu yang tidak terurus,” tulisnya sayu.
Kemudian, cikgu berkenaan pergi semula menemui Shima, ibu kanak-kanak itu tadi untuk memberitahu tentang anaknya yang sudah tertidur di tangga tanpa sehelai kain pelapik pun.
“Shima, anak awak dah tertidur,” kata cikgu itu ketika mendekati Shima.
“Tak mengapa, cikgu. Biarkan dahulu. Nanti selepas saya habis bekerja saya akan pergi mengangkatnya. Kakaknya, si Aisyah tak cukup kuat untuk mengangkat adiknya untuk menaiki tangga ke atas,” jawab ibu kanak-kanak itu dengan sopan.
Walau bagaimanapun, jawapan daripada Shima membuatkan cikgu berkenaan berasa tidak senang hati. Kerana menurutnya, mana mungkin Aisyah berupaya untuk mengangkat adiknya.
Bercerita tentang personaliti anak muridnya itu, Aisyah merupakan seorang pelajar yang sangat rajin menyiapkan semua tugasan yang diberi, tetapi dalam masa yang sama, dia sangat pendiam dan pasif di sekolah. Selain itu, Aisyah juga sering tertidur di dalam kelas, mungkin kerana terlalu penat dengan tugasan di rumah yang terpaksa menjaga adik-beradiknya sepanjang ketiadaan ibunya.
“Aisyah adalah salah seorang anak murid saya. Dia merupakan kakak sulung kepada budak perempuan yang menangis di tangga sebelum itu. Aisyah baru berumur 8 tahun, (tetapi dia) sudah memikul tanggungjawab yang berat iaitu menjaga adik-adiknya termasuk menguruskan adiknya yang masih bayi.
“Sedangkan ibunya pula sibuk bekerja mencari wang untuk menyara kehidupan mereka 6 beranak,” luah cikgu itu.
Di akhir kiriman, cikgu itu turut meluahkan rasa sedihnya kerana terpaksa menjadi saksi kehidupan salah seorang anak muridnya yang kesusahan walaupun masih kecil. Justeru, dia meminta bantuan dari orang ramai sekiranya ada yang boleh memberi tunjuk ajar kepadanya untuk mendapatkan bantuan kewangan dari badan seperti Baitulmal dan Zakat khas untuk meringankan beban keluarga Aisyah yang dalam kesusahan ini.
Sehingga entri ini ditulis, kiriman oleh akaun Ct Kichen ini telahpun mendapat sehingga lebih dari 8,600 kongsian, lebih dari 6,600 reaksi dan 71 komen.
Kemaskini terbaharu dari cikgu ini turut memaklumkan bahawa asbab kirimannya yang mendapat perhatian ramai, kini dia telahpun dihubungi oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk penyampaian bantuan zakat kepada keluarga Aisyah, mendapat bantuan perkhidmatan peguam secara percuma bagi menyelesaikan kes penceraian ibu bapa Aisyah dan dia juga telah menyampaikan beberapa sumbangan orang ramai kepada Shima, ibu Aisyah untuk bantuan hidup seharian dan sumbangan untuk persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.