25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 2, 2026
Utama Blog Laman 90

Taiwan temui Ethylene Oxide dalam mi segera dari Malaysia, KKM keluar arahan tarik balik produk secara sukarela

0

Dua jenis mi segera yang dibuat oleh jenama Asia Tenggara didapati mengandungi bahan yang mendorong kanser, kata Jabatan Kesihatan Taipei pada 24 April. Penemuan itu hasil pemeriksaan mi segera di Taipei, Taiwan untuk tahun 2023.

Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, pihaknya mendapati satu kumpulan mi segera berjenama ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan satu lagi kumpulan mi segera berjenama ‘Indomie: Special Chicken Flavour’ buatan Indonesia, mengandungi Ethylene Oxide yang juga sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia.

Susulan penemuan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan pihak berkuasa kesihatan Taiwan mengenai isu pencemaran Ethylene Oxide dalam dua produk mi segera dari Malaysia dan Indonesia.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata Ethylene Oxide merupakan sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Katanya, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci namun penggunaannya tidak dibenarkan pada permukaan yang bersentuhan makanan.

Dr Muhammad Radzi berkata, bagi sampel mi kari dari Malaysia yang terbabit, persampelan di negara ini mendapati ia mematuhi perundangan.

“Bagaimanapun bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, KKM telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk mi segera bagi keluaran yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada.

Facebook

“Berdasarkan semakan data dari Food Safety Information System Of Malaysia, KKM juga mengesahkan terdapat kemasukan produk mi segera jenama dari Indonesia yang terbabit ke negara ini.

“KKM telah mengeluarkan arahan untuk tindakan tahan, uji dan lepas bagi produk mi segera dari Indonesia itu di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya susulan isu penarikan semula produk mi segera keluaran Indonesia yang mengandungi Ethylene Oxide pada 2022, KKM telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan yang berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun yang diimport.

“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk terbabit telah mengandungi Ethylene Oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.

Facebook

“Tindakan yang diambil termasuklah kompaun, tindakan mahkamah dan juga penarikan balik produk dari pasaran.

“Susulan itu, pengguna dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terlibat,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata, sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi pejabat kesihatan daerah yang terdekat atau menyalurkan melalui laman web moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Pilihan Editor:

Kurang oksigen punca empat sekeluarga pengsan dalam MPV di Plaza Tol Bentong

0

BENTONG – Empat sekeluarga didapati telah tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan MPV jenis Proton Exora dalam kejadian yang berlaku pada 24 April jam 2.40 petang. 

Mangsa, seorang lelaki, seorang wanita dan dua orang kanak-kanak telah dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Kejadian berlaku di Plaza Tol Bentong arah Kuala Lumpur dan didapati berpunca daripada kekurangan oksigen.

Facebook

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar, berkata, keempat-empat mangsa pengsan sebelum kereta dipandu melanggar pintu Tol Bentong.

“Mangsa-mangsa yang terlibat ialah seorang lelaki, seorang wanita dan dua orang kanak-kanak.

“Mereka dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong, Selangor. Hasil pemeriksaan doktor, kesemua mangsa kekurangan oksigen dalam badan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Facebook

Tambahnya, bantuan awal diberikan kepada mangsa dibantu oleh pegawai polis, anggota peronda lebuh raya, orang awam dan pihak Lebuhraya Pantai Timur.

Dalam pada itu, anak sulung kepada keluarga itu dikenali Syafiq Mok menerusi komen di Facebook mengesahkan keluarganya dalam keadaan selamat.

Facebook

“Saya anak sulung kepada keluarga. Alhamdulillah keluarga saya selamat semuanya, sudah sedarkan diri.

“Punca pengsan dan tidak sedarkan diri adalah kerana keracunan oksigen penghawa dingin.

Facebook

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada para anggota dan sesiapa yang terlibat membantu keluarga saya. Semoga Allah membalas kebaikan kalian,” tulisnya.

Dalam pada itu, pihak JSPT menasihatkan pengguna jalan raya memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik dan mendapat rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan memandangkan cuaca panas dan hujan yang tidak menentu pada hari ini.

Pilihan Editor:

PM Anwar keberatan hidangan disalut madu, Agong sambil bergurau bertitah “Ini bukan racun”

0

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara pada hari raya pertama, 22 April 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar memuat naik video di media sosial pada hari itu, berkongsi beliau bersama isterinya Datuk Seri Wan Azizah dan keluarga menghadiri majlis berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong dengan mesra menyantuni para tetamu yang hadir dan memperkenalkan makanan lazat, yang antaranya turut dimasak oleh Tunku Azizah dengan memberitahu, “Sambal ini saya buat sendiri.”

Ketika Al-Sultan Abdullah dan PM Anwar sedang mengambil hidangan, baginda yang berada bersebelahan sengaja menuang madu ke atas hidangan di pinggan PMX. 

PM Anwar pada mulanya menolak kerana tidak tahu kandungan sos berkenaan, dan baginda kemudian bergurau dengan titahnya, “Ini bukan racun..”

Facebook

PM Anwar yang spontan ketawa kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada Agong atas layanan baginda.

Terdahulu, PM Anwar turut memperkenalkan ahli keluarganya kepada Seri Paduka Baginda, dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri berkenaan.

Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara yang berlangsung sehingga jam 2 petang itu dihadiri oleh barisan jemaah Kabinet dan dif-dif tetamu keutamaan.

Facebook

Turut hadir ialah perwakilan asing dari Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat, Brunei, Turkiye dan lain-lain negara.

Tahun ini merupakan ulang tahun keempat Al-Sultan Abdullah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 sejak lafaz sumpah pada 31 Januari 2019.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Paip kering menyebabkan sambutan Hari Raya yang suram buat penduduk kampung di Sabah

0

KOTA KINABALU: Mohd Azmil Belia tidak dapat menahan diri daripada berasa iri hati terhadap rakyat Malaysia yang lain.

Ketika ramai yang sibuk melayan para tetamu untuk rumah terbuka, Mohd Azmil dan rakan sekampungnya di Kampung Paris 1, Sukau di Kinabatangan, sebaliknya, sibuk dan bimbang bila dan di mana mereka boleh mendapatkan titisan air seterusnya.

Beliau berkata, penduduk di kampung di daerah pantai timur Sabah itu menderita walaupun sebelum raya kerana terpaksa berhadapan dengan masalah paip kering sejak awal Ramadan lagi.

Gambar Hiasan / Pixabay

Pemotongan air yang kerap dan tidak berjadual ini, katanya, menambahkan lagi kesengsaraan penduduk kampung terutamanya mereka yang menyambut Aidilfitri dalam tempoh seminggu.

“Selain berjaga malam untuk mengumpul air hujan, penduduk kampung juga terpaksa membeli air sendiri untuk memasak, bersahur dan berbuka puasa,” katanya. 

“Perasaan gembira berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri telah berlalu tahun ini.

“Malah, masalah bekalan air bersih telah menghantui kampung ini sejak bertahun-tahun tetapi isu itu semakin kritikal seminggu sebelum tibanya hari raya,” katanya.

Mohd Azmil merayu Jabatan Air Sandakan, pengarah air negeri serta Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Shahelmey Yahya untuk melihat kesusahan mereka secara peribadi dan menamatkan keresahan mereka.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa mengeluarkan notis lebih awal sekiranya ingin menjalankan latihan catuan air supaya penduduk kampung tahu bila mereka perlu membuat persediaan.

“Sebagai contoh, jika situasi mencecah tahap kritikal seperti hari ini, pihak jabatan air sepatutnya menghantar bekalan air dengan lebih kerap ke kampung.

“Kerajaan tidak seharusnya berfikir jauh ke hadapan seperti membina stesen pelancaran angkasa lepas sedangkan infrastruktur asas seperti bekalan air tidak dapat diselesaikan.

“Bayangkan apa yang terpaksa dilalui oleh penduduk kampung yang kebanyakannya golongan B40.

“Namun begitu, kami masih membayar bil air setiap bulan bagi mengelak bekalan kami ditamatkan walaupun tidak mendapat perkhidmatan penuh,” kata Mohd Azmil.

ADUN Sukau Datuk Jafry Ariffin ketika dihubungi berkata beliau telah cuba membantu mengurangkan masalah itu dengan membina tangki air bagi menyimpan dan membekalkan air ke kampung itu.

Beliau berkata, usaha itu bagaimanapun sia-sia selepas Jabatan Air gagal membekalkan air ke tangki kampung mereka.

Gambar Hiasan / Pixabay

Beliau menambah ini tidak menjadi masalah apabila Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin adalah timbalan ketua menteri merangkap menteri kerja raya Sabah sebelum ini.

“Saya juga telah membawa isu ini kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tetapi tiada tindakan diambil setakat ini,” katanya.

Masalah bekalan air, termasuk paip kering atau tekanan rendah, semakin membelenggu sejak beberapa tahun kebelakangan, dengan rakyat dari pelbagai bahagian di Sabah mengadu tentang isu berkenaan setiap hari.

Seperti penduduk di Kampung Suang Parai, yang terletak dalam DUN Sepanggar telah mengadakan demonstrasi secara aman, merayu kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya pada awal minggu lalu menasihatkan rakyat supaya menyimpan air bagi menampung permintaan semasa minggu Hari Raya.

Beliau berkata pengeluaran air telah mencapai tahap maksimum dan Jabatan Air terus memantau pengagihan bagi meminimumkan gangguan.

Pilihan Editor:

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

0
Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk
Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik, dan Sabar.

Encik Li menjadi calon Hadiah Keamanan Nobel sebanyak empat kali dan telah dicalonkan oleh Parlimen Eropah bagi Hadiah Sakharov untuk Kebebasan Berfikir. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Kebebasan Beragama Antarabangsa Freedom House.Artikel Encik Li ini diterjemahkan daripada bahasa Cina.

Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Mengapa Pencipta berusaha menyelamatkan segala makhluk? Ini adalah kerana kasih-Nya terhadap segala makhluk, kerana segala nyawa makhluk dikurniakan oleh-Nya.

Semasa alam semesta sampai fasa terakhir dalam proses Pembentukan, Pengekalan, Kemerosotan dan Kepupusan,  Pencipta menggunakan 200 juta tahun mencipta Tiga Alam (Tiga Dunia), merancang dan memberi banyak cara dan peluang untuk menyelamatkan semua makhluk hidup, sementara membina asas kebudayaan, pemikiran, dan tingkah laku manusia. Pencipta juga menggunakan tubuh Tuhan-Nya untuk menghapuskan karma dosa semua makhluk! Pencipta telah memberikan segala-gala-Nya untuk menyelamatkan makhluk hidup.

Agar manusia dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Tuhan apabila penyelamatan bermula pada zaman akhirat, Pencipta menjelma semula dengan berbilang badan dalam 200 juta tahun yang lalu untuk  menyediakan asas kebudayaan manusia, mengawasi dan menjaga moral manusia. Dalam sejarah yang panjang, kelahiran semula hidupan telah berulang-alik selama ribuan dan jutaan tahun, secara beransur-ansur entiti benar manusia di dunia ini  (termasuk semua kumpulan etnik) mempunyai pelbagai hubungan kekerabatan dengan Pencipta, yang menjadikan Pencipta lagi mengasihi ciptaan-Nya. Apabila kiamat tiba, untuk penyelamatan yang lebih sempurna, makhluk tanpa hubungan seperti itu dengan Pencipta tidak boleh menjadi manusia pada masa ini. Pada masa ini, badan sebenar manusia di dunia ini merupakan orang Pencipta.  Ini termasuk Dewa dan Tuhan yang dianuti oleh manusia hari ini,  mereka menjelma semula menjadi manusia untuk mengajar Fa dan Tao,  juga adalah ciptaan Pencipta. Tuhan menggunakan tubuh manusia untuk tujuan menyediakan kebudayaan Tuhan untuk menyelamatkan manusia, pelbagai agama ortodoks yang ditinggalkan juga wujud untuk mengekalkan moral manusia, menunggu penyelamatan terakhir daripada Pencipta. Bagi Pencipta, Dia berhak untuk mengasihi ciptaan-Nya, dan Dia akan lebih mengasihi manusia yang Dia anggap patut disayangi. Itu merupakan hak-Nya, tiada siapa berhak masuk campur! Itulah kurniaan-Nya yang tertinggi bagi hidupan!

Pencipta ialah Tuhan kepada segala tuhan dalam badan angkasa. Dia ialah Pencipta kepada Tuhan dalam segala tuhan, Raja dalam segala raja, dan Penguasa kepada semua makhluk hidup, termasuk segala manusia, tuhan, dan benda dalam Tiga Alam (Tiga Dunia) yang dicipta oleh-Nya. Kasih-Nya adalah anugerah suci tertinggi untuk semua makhluk! Tiada kebanggaan yang lebih besar bagi mana-mana orang di dunia ini selain dikasihi oleh-Nya!

Guru, Li Hongzhi

17hb April 2023

Suhu panas di Thailand dijangka melebihi 54 darjah celsius

0

BANGKOK – Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran suhu tinggi yang bakal melanda Phuket, daerah Bangna di Bangkok dan Laem Chabang di Chonburi, Thailand.

Indeks haba bagi amaran suhu tinggi berkenaan diramal melebihi 54 darjah celsius dan pendedahan berpanjangan kepada haba boleh mengakibatkan strok haba, kekejangan dan keletihan haba pada manusia.

Menurut jabatan itu, indeks haba di beberapa daerah lain turut diramal akan menerima bacaan yang tinggi seperti di daerah Phetchabun yang dijangka mencecah 48.1 darjah celsius dan daerah Kosum Phisai di Maha Sarakham yang dijangka mencecah 44.5 darjah celsius.

Kesemua indeks haba yang dinyatakan ini berada pada tahap berbahaya, lapor jabatan itu.

Gambar hiasan. (Marcel Eberle)

Disamping itu, indeks suhu dia wilayah utara Thailand juga dijangka boleh mencecah sehingga 44 darjah celsius dan cuaca panas terik ini diramal berterusan sehingga Rabu, 26 April 2023.

Bagi kawasan di wilayah timur laut, tengah dan timur negara itu pula, indeks haba diramal mencecah 42 darjah celsius manakala suhu di selatan Thailand pula dijangka mencecah 39 darjah celsius.

“Kawasan di utara, timur laut, tengah dan timur Thailand akan mengalami cuaca ‘sangat panas’ dan berjerebu pada siang hari serta ribut petir dengan tiupan angin,” menurut jabatan tersebut.

Disamping itu, kenyataan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa negara Thailand berkemungkinan dilanda ribut musim panas termasuk ribut petir, tiupan angin dan hujan batu bermula di wilayah timur sebelum merebak ke kawasan lain.

Pilihan Editor:

Gelagat anak gajah yang menendang punggung seorang lelaki yang cuba untuk bergambar dengannya undang tawa ramai

0

Gajah adalah salah satu mamalia besar yang bijak dan boleh berinteraksi dengan manusia jika dilatih sejak kecil. Sebelum ini, kita sudah banyak kali menyaksikan video gelagat comel dan nakal gajah yang berinteraksi dengan manusia. 

Tetapi menerusi entri kali ini, kita akan menyaksikan gelagat comel seekor anak gajah yang mungkin sudah berputus asa apabila terus-terusan diajak bergambar dengan seorang lelaki.

Berdasarkan sebuah video pendek berdurasi 23 saat yang dimuatnaik semula oleh Bright di laman Facebook, dapat dilihat seorang lelaki cuba untuk merakam gambar swafoto bersama seekor anak gajah. 

Bright

Walau bagaimanapun, pada mulanya anak gajah itu dilihat cuba untuk mengelak daripada mengambil gambar dengan mengalih-alihkan kepalanya dari telefon bimbit lelaki itu. Tetapi mungkin selepas menyaksikan lelaki itu yang tidak berhenti dari cubaan bergambar bersamanya, anak gajah itu akhirnya mengangkat kaki belakangnya dan menendang manja bahagian punggung lelaki itu sebagai amaran untuk berhenti.

“Berhenti mengganggu saya!”

Bright

Mungkin itulah yang difikirkan oleh anak gajah itu semasa menendang lelaki itu. Tindakan spontan anak gajah itu juga telah membuatkan ramai pengunjung di lokasi itu ketawa terbahak-bahak kerana sejujurnya, lelaki itu telah ‘ditolak’ mentah-mentah oleh mamalia comel itu!

Bright

Sehingga entri ini ditulis, kiriman ini telah meraih sehingga lebih dari 265,000 tontonan, lebih dari 2,400 kongsian, 528 reaksi dan 35 komen dari warganet yang turut sama terhibur melihat gelagat anak gajah ini.

“Sangat comel dan amat bijak!”

“Lelaki itu sepatutnya faham tanda-tanda awal!”

“Bagus! Gajah yang bijak”

Bright

Sabarlah, abang. Cuba lagi lain kali ya!

Pilihan Editor:

Lelaki ini dengan santai menjadi ‘penyangkut’ plastik-plastik barangan yang dibeli di pasaraya dan pulang menaiki skuter. Luar biasa betul!

0

Bakul dan troli kebiasaannya banyak digunakan di pasaraya-pasaraya oleh para pelanggan bagi memudahkan mereka untuk mengambil dan membeli barang keperluan dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa.

Lazimnya, selepas selesai pembayaran, pelanggan akan menggunakan troli yang sama untuk ditolak sehinggalah tiba di muka pintu kereta sebelum semua barang keperluan yang dibeli dipindah masuk ke dalam kereta.

Facebook

Walau bagaimanapun, lain pula halnya yang berlaku kepada seorang lelaki dewasa yang secara senyap-senyap telah dirakam oleh seorang lagi pelanggan lain di tempat parkir sebuah pasaraya serbaneka.

Menerusi sebuah video yang dimuatnaik di laman Facebook, di awal video kelihatan seorang lelaki sedang memunggah barangan yang telah dibungkus dalam plastik dari sebuah troli. Namun, barang-barang itu tidak diletakkan terus ke dalam kereta, sebaliknya diletakkan di atas lantai jalanraya di kawasan itu, dan di sebelahnya, terdapat sebuah skuter.

Facebook

Tanpa membuang masa, lelaki itu kemudiannya terus mengeluarkan tali pinggang dari beg galasnya dan memakainya. Tidak berhenti disitu, lelaki itu seterusnya dirakam menyarungkan sehelai jaket keselamatan yang pada mulanya disangka digunakan khas bagi tujuan keselamatan semasa menaiki skuter.

Namun, jangkaan perakam video yang menyaksikannya jelas sekali meleset apabila lelaki itu kemudiannya mengambil satu persatu beg plastik di atas lantai dan mula menyangkutnya di setiap cangkuk yang diubahsuai pada tali pinggang serta jaket keselamatannya. Pelik tapi benar!

Facebook

Lama-kelamaan, setiap cangkuk yang disediakan pada tali pinggang dan jaket keselamatan lelaki itu pun dipenuhi oleh plastik-plastik barangan. Sehinggalah akhirnya perakam membuka tingkap keretanya untuk berbual dengan lelaki yang kreatif itu.

Melalui perbualan, dapat diketahui bahawa lelaki itu terpaksa menggunakan cara yang kreatif itu kerana dia tidak mempunyai kereta namun cara yang digunakan itu sememangnya berkesan.

Facebook

Tambah menghiburkan lagi apabila lelaki itu dengan tenang datang membawa beberapa lagi plastik barangan ke arah kereta perakam video dan meminta pertolongan untuk menyangkut plastik-plastik di bahagian belakang badannya. Jika cara itu berkesan, apa salahnya!

Facebook

Selain itu, lelaki itu juga turut membawa sepasang alat pendukung bayi dan menggunakannya untuk ‘mendukung’ sebiji tembikai. Yang ini, betul-betul lain dari yang lain ideanya!

Facebook

Selesai menggantung semua barangan yang dibeli, lelaki itu seterusnya tanpa teragak-agak terus bergerak pulang dengan menaiki skuternya, sambil mengucapkan selamat tinggal kepada perakam video.

Facebook

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman video yang dimuatnaik ini telah meraih sehingga lebih dari 1.1 juta tontonan, lebih dari 30,000 reaksi dan lebih dari 1,400 komen.

‘Aksi’ ini sememangnya nampak aneh tetapi rupa-rupanya memang berfungsi!

Pilihan Editor:

Gaya selamba anak lelaki ini layan ayahnya yang kelakar sempurnakan rutin hari Jumaat buat ramai ketawa dan terharu

0

Walaupun seorang ayah kurang menunjukkan kasih sayangnya secara depan-depan, namun siapa sahaja anak yang tidak sayangkan ayah mereka.

Walaupun kita semua dibesarkan dengan sikap tegas ayah, namun kasih sayang mereka sebenarnya sangat besar dan hebat. 

Sebagai seorang anak, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa menjaga ibu bapa sehingga ke akhir hayat mereka.

TikTok

Baru-baru ini, tular sebuah rakaman memaparkan seorang lelaki berkongsi rutin hari Jumaat bersama ayahnya yang telah menyentuh hati netizen.

Anak lelaki ini akan mencukur rambut dan mengetip kuku ayahnya pada setiap hari Jumaat, dan mereka melakukannya dengan selamba dan siap bergurau senda.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @festore13, kelihatan seorang pemuda sedang berada di luar rumah bersama ayahnya. 

TikTok

Dia dilihat berkongsi rutin setiap hari Jumaat bersama si ayah untuk mencukur rambut dan mengetip kuku.

Apa yang membuatkan ramai tersentuh adalah apabila anak-beranak itu dilihat bergurau senda dan mempunyai hubungan yang sangat akrab.

Mereka secara selamba membualkan macam-macam perkara dan cara lelaki itu melayan ayahnya membuatkan ramai ketawa, tetapi pada masa sama berasa sebak kerana ada yang teringatkan arwah ayah mereka.

TikTok

Ramai yang rasa cemburu kerana pemuda ini seorang anak yang baik dan ikhlas berbakti serta berkorban untuk menjaga ibu bapanya dengan baik.

Diharapkan kita semua dapat mencontohi keperibadian pemuda ini.

Pilihan Editor:

Reaksi spontan peniaga “live” yang jujur tak jadi menjual gajet penghiris bawang kerana produk yang tidak berfungsi terima pujian ramai

0

Dalam dunia perniagaan, tidak dapat dinafikan ramai juga antaranya sukar untuk benar-benar jujur dengan pelanggan. Apatah lagi yang mahu memberitahu keadaan produk yang dijual itu sebenarnya tidak boleh untuk berfungsi seperti yang diiklankan.

Walau bagaimanapun, seorang jurujual dalam talian baru-baru ini telah mencuri perhatian ramai selepas reaksi spontannya terhadap produk yang dijual dilihat memberi manfaat kepada pelanggan melebihi keuntungan pada dirinya sendiri.

Sukan Star TV – sstv.my

Menerusi video yang dimuatnaik oleh Sukan Star TV – sstv.my di laman Facebook, dilihat seorang lelaki sedang cuba untuk mengiklankan gajet penghiris bawang yang didakwa berupaya untuk memudahkan lagi tugasan memasak di rumah. 

Walau bagaimanapun, semasa sesi demonstrasi dijalankan oleh seorang lagi pembantu lelaki berkenaan, didapati bahawa gajet itu sebenarnya tidak boleh berfungsi seperti yang didakwa. Apabila pembantunya memasukkan seketul bawang putih ke dalam gajet itu untuk tujuan penghirisan – iaitu fungsi utama bagi gajet itu, didapati bahawa gajet itu langsung tidak berjaya untuk menghiris bawang putih yang dimasukkan, walaupun pisau di dalam gajet itu kelihatan berpusing dengan baik selepas dioperasikan.

Sukan Star TV – sstv.my

Disebabkan kecewa dengan gajet yang langsung tidak berfungsi semasa sesi demonstrasi dijalankan, lelaki itu dengan serius terus menyatakan bahawa gajet itu tidak seharusnya dijual.

Menerusi perbualan lelaki itu dengan pembantunya yang ‘gagal’ dalam demonstrasi itu, lelaki itu menyatakan pendapatnya bahawa sebenarnya tugasan memasak akan menjadi jauh lebih mudah dan cepat tanpa penggunaan gajet itu.

Sukan Star TV – sstv.my

“Sudah, (kita) tak perlu jual (gajet) ini, buat pening kepala sahaja,” kata peniaga itu.

Dia seterusnya sempat berseloroh dengan memberi cadangan kepada para pelanggannya untuk menggunakan cara ‘orang lama’ iaitu dengan mengetuk ketulan bawang putih dengan menggunakan bilah pisau secara mendatar sehingga bawang putih itu hancur.

Sukan Star TV – sstv.my

Tambahnya lagi, gajet yang dijualnya itu sebenarnya hanya “akal” yang dicari oleh penciptanya untuk mendapatkan duit sahaja.

“Kakak, tolonglah jangan beli dan jangan membazir duit. Jangan terperdaya dengan iklan-iklan (gajet ini). Ini membazir!” kata lelaki itu kepada para penonton video jualannya.

Sehingga entri ini ditulis, kiriman ini telah meraih sehingga lebih dari 118,000 tontonan, lebih dari 3,100 reaksi dan 271 komen dari warganet yang rata-ratanya berasa kagum dengan peniaga yang jujur seperti lelaki ini.

Sukan Star TV – sstv.my

Tahniah diucapkan kepada abang live yang sangat jujur dan ikhlas dalam berniaga ini. Semoga rezeki untuknya semakin banyak kerana kejujuran dalam berniaga yang diamalkannya ini!

Tonton video di sini.

Pilihan Editor: