Setiap orang mempunyai sisi lembutnya yang tersendiri. Dan bagi Cai, seorang wanita dari Guangxi, China ini dia sangat ‘lemah’ apabila berdepan dengan kucing-kucing yang sakit dan tidak berdaya.
Baru-baru ini, Cai ditemukan dengan seekor kucing jalanan yang mengalami sakit kulit yang agak kronik. Oleh kerana rasa simpati yang amat dalam, dia tanpa berfikir panjang terus membawa kucing itu ke sebuah klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan buat si comel itu.
Walau bagaimanapun, selepas sebulan lamanya kucing itu mendapat rawatan dan diberikan ubat, namun keadaan kulitnya tetap juga tidak beransur pulih.
Keadaan ini seterusnya membuatkan Cai berasa bahawa dia harus meneruskan apa yang telah dimulakan. Justeru, Cai kemudiannya mendapat nasihat daripada pakar haiwan yang memberi cadangan kepada Cai untuk melakukan rawatan tampalan kulit ikan pada kulit kucing yang sakit itu.
Tetapi, kos bagi rawatan tampalan ini bukannya murah, ia menelan sehingga lebih dari 20,000 yuan (kira-kira RM12,800). Namun bagi Cai, dia sanggup melakukan apa sahaja demi merawat kucing yang telah diselamatkan itu, termasuklah berhabis puluhan ribu wangnya sendiri demi menanggung kos rawatan si comel itu.
Walaupun menerima banyak kecaman daripada warganet yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan tindakan Cai berhabis puluhan ribu demi seekor kucing, namun Cai menyatakan bahawa kos rawatan itu menjadi mahal kerana pembedahan jenis ini adalah yang pertama sekali dilakukan. Tambahnya lagi, sebelum memutuskan untuk membawa kucing itu mendapatkan rawatan, dia langsung tidak tahu menahu tentang kosnya yang melambung tinggi itu.
Tetapi, kerana rasa sayang pada kucing itu, Cai akhirnya akur dan rela berbelanja untuk rawatan kucing itu, walaupun tanpa pengetahuan ahli keluarganya.
Syukurlah, disebabkan usaha dan kebaikan yang dilakukan oleh Cai, kucing yang diselamatkan itu akhirnya kini kembali sihat dan aktif serta tidak lagi mengalami masalah sakit kulit.
Pilihan Editor: