31.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024
UtamaBerita UtamaTuntutan waris Sultan Sulu: Malaysia ambil pendekatan ofensif senarai 8 individu dalam...

Tuntutan waris Sultan Sulu: Malaysia ambil pendekatan ofensif senarai 8 individu dalam laman sesawang sebagai saluran maklumat tepat 

Malaysia telah mengambil pendekatan ofensif terhadap pihak yang mendakwa waris kepada bekas Sultan Sulu yang menyasarkan beberapa aset bernilai tinggi negara sebagai langkah menyelesaikan tuntutan perjanjian pada era-kolonial dengan mengisytiharkan mereka sebagai pengganas.

Kerajaan Malaysia turut melancarkan laman sesawang yang memberikan maklumat tepat berhubung perintah penangguhan serta beberapa prosiding lain melibatkan arahan pembayaran pampasan timbangtara yang bernilai hampir AS$15 billion (RM65 bilion) terhadap Malaysia yang diperolehi oleh lapan individu yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu, dari sebuah Mahkamah Perancis tahun lalu.

Pada 11 April, Malaysia menyenaraikan Muhammad Fuad Abdullah Kiram sebagai pengganas terlibat dalam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah yang menyaksikan 10 anggota keselamatan negara dan 56 pengganas serta enam orang awam terkorban.

“Di bawah kepimpinan baharu, khususnya Menteri Undang-Undang, Azalina Othman Said, strategi telah berubah daripada defensif kepada ofensif, sejajar dengan konsep prinsip pertahanan terbaik adalah dengan menyerang,” kata Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam satu taklimat media di Putrajaya.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri telah mengenalpasti Fuad – seorang daripada lapan individu mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu, adalah antara pengasas Royal Sulu Force (RSF).

Susulan penyenaraian tersebut, Fuad diklasifikasikan sebagai pengganas, mengikut Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Kerajaan Malaysia sebelum ini menyenaraikan RSF sebagai entiti pengganas terbabit dalam tragedi pencerobohan bersenjata di Sabah pada awal 2013.

“Kementerian Dalam Negeri memaklumkan Fuad Abdullah Kiram merupakan seorang pengasas RSF. Kumpulan terbabit sebelum ini sudah diklasifikasikan sebagai entiti pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak April 2022,” jelas Khairul Dzaimee.

Sebelum itu, mahkamah Malaysia telah menghukum RSF susulan kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Pada Februari 2022, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM65 bilion) kepada pihak yang mendakwa sebagai waris kumpulan Sulu.

Perintah itu dikeluarkan selepas Malaysia didakwa melanggar Perjanjian 1887 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo selepas menghentikan pembayaran wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 (AS$1,201) setahun sejak 2013, selepas berlakunya pencerobohan bersenjata di Sabah.

Pada Julai 2022, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset syarikat minyak dan gas milik Malaysia, Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Namun dalam reaksinya, Petronas memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Selain usaha mengklasifikasikan salah seorang individu yang dikatakan pewaris Sultan Sulu dalam tuntutan itu, Malaysia telah melancarkan sebuah laman sesawang bagi memastikan penyebaran maklumat kes tersebut adalah tepat sekaligus menafikan penyebaran berita tidak benar dan palsu.

“Laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my adalah satu langkah Kerajaan untuk memberikan naratif sejarah dan kronologi kes perundangan di pelbagai bidang kuasa yang betul dan sahih.

“Terdapat pelbagai kemusykilan pada “fakta-fakta” kes yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu,” ujar kenyataan bersama yang ditandatangani oleh tiga menteri mewakili kerajaan susulan pelancaran laman sesawang berkenaan pada 12 April 2023.

Mereka adalah Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Zambry Abdul Kadir Menteri Luar Negeri dan Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital.

Maklumat di dalam laman tersebut boleh diakses dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol, dan Tagalog bagi membolehkan pelbagai pihak serta media antarabangsa mengikuti dan memahami kes ini melalui fakta dan informasi sebenar yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia.

Ini memandangkan Malaysia kini sedang berhadapan dengan prosiding di beberapa buah negara Eropah (Sepanyol, Perancis, Luxembourg, dan Belanda).

Menurut kenyataan itu lagi langkah membangunkan laman sesawang itu adalah penting “kerana sebarang keputusan yang memihak kepada pihak penuntut akan mempunyai kesan besar dan serius kepada kedaulatan dan keselamatan negara.”

Kerajaan turut menegaskan akan terus memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan, dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan berkenaan.

Sementara itu, Profesor Mohd Mizan Mohammad Aslam dari Universiti Pertahanan Malaysia memuji langkah Malaysia menyenaraikan Fuad sebagai pengganas.

“Kita percaya bukan hanya Fuad, masih ramai lagi yang sepatutnya turut boleh disenaraikan namun berdepan dengan kekangan dalam menjalankan profiling terhadap mereka yang terlibat terlibat dalam aktiviti keganasan semasa pencerobohan Sulu di Sabah,” katanya kepada BenarNews Malaysia.

Menurutnya lagi, langkah tersebut mungkin membantu mempertahankan kedaulatan negara namun menegaskan jabatan timbangtara di Eropah akan sangat berhati-hati terhadap tindakan itu malah mungkin akan melihatnya dari perspektif berbeza.

“Kita mengakui walaupun kita mengetahui tentang penglibatan mereka, namun bukan mudah untuk mengesan jejak mereka disebabkan disokong oleh penaja-penaja yang “tidak diketahui.”

“Ia bukan tugas yang mudah untuk membawa perkara ini ke timbangtara antarabangsa, undang-undang atau jabatan keadilan. Ia memerlukan sokongan kewangan, usaha dan proses dokumentasi yang banyak,” jelasnya.

Sementara itu, Altaf Deviyati, pengarah Iman Research Center, sebuah kumpulan pengkaji isu keselamatan dan konflik yang berpengkalan di Malaysia melihat langkah kerajaan menyenaraikan Fuad sebagai pengganas sebagai strategi untuk berdepan dengan kes-kes mahkamah di Eropah.

“Dengan menyenaraikan mereka sebagai pengganas, ia mungkin akan mempengaruhi Eropah untuk mengambil pendirian berbeza dan memberi kesan terhadap kes-kes yang sedang berjalan.

“Strategi ini telah digunapakai oleh negara-negara lain sebelum ini. Sama ada ia akan memberi kesan atau tidak, kita perlu tunggu dan lihat,” katanya.

Pilihan Editor:

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI