29.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 24, 2025
Utama Blog Laman 92

Pencinta ayam goreng makan KFC di 24 negara, Mongolia menduduki ‘ranking terbaik dunia’

0

Seorang pencinta ayam goreng menghabiskan 18 tahun makan Kentucky Fried Chicken (KFC) di 24 negara. Beliau berpendapat ayam goreng KFC terbaik adalah di Mongolia.

Jacky Tan, seorang perunding pemasaran berusia 41 tahun dari Singapura, mendapati rasa ayam goreng asli KFC di negara berbeza sememangnya berbeza, dan memutuskan untuk memulakan pencariannya untuk “KFC terbaik di dunia” dengan menjelajah ke seluruh dunia bermula pada tahun 2005, lapor Independent.

Jacky dan pasangannya, Michelle berbulan madu di Sepanyol, dan beliau sempat makan ayam goreng itu di Barcelona, ​​​​tetapi berkata KFC di Sepanyol adalah yang paling teruk pernah dirasainya, diikuti oleh Hong Kong dan Australia.

Facebook

“KFC Sepanyol sangat kering dan hambar, ia seperti makan getah. Perkara terbaik hanya minumannya,” katanya.

Terus terang Jacky mengakui telah memakan lebih 1,000 ketul ayam goreng KFC semasa proses “penyelidikan” itu, dan beliau percaya ayam goreng yang dibelinya selepas beratur selama sejam di Ulaanbaatar, ibu negara Mongolia, adalah ayam goreng KFC terbaik pernah dirasainya.

Selepas Mongolia, kegemaran Jackie ialah KFC di terminal berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town di Afrika Selatan.

Turut dalam senarai 10 ayam goreng KFC terbaiknya ialah Sri Lanka, Indonesia, Malaysia, Thailand, Singapura, Chile, Filipina dan Korea Selatan.

Facebook

Apabila Jackie dalam perjalanan perniagaan, beliau akan merasai KFC tempatan bersama Michelle. Kedua-duanya melawat KFC di pelbagai negara untuk memesan ayam goreng asli dan menilai setiap KFC berdasarkan piawaian “TaF-CA” mereka sendiri (singkatan untuk Rasa, Kesegaran, Kerangupan dan Aroma).

“Jika ayam goreng tidak memenuhi kriteria ‘rasa’ pertama, contohnya kerana ia terlalu masin atau terlalu hambar – maka saya tidak mahu terus makan baki ayam goreng itu,” katanya.

Jacky berkata, keluarganya tidak kaya, jadi KFC adalah makanan “mewah” baginya, dan beliau mesti menyimpan wang yang cukup jika mahu makan KFC ketika kecil.

Facebook

Walaupun beliau sudah pasti merasai lebih banyak KFC daripada orang kebanyakan, dengan lebih daripada 25,000 lokasi KFC di 145 negara, masih terdapat banyak tempat ayam goreng itu yang tinggal untuk beliau mencubanya.

Jacky juga menyedari tidak semua orang akan bersetuju dengan ‘ranking dunia’ ayam goreng KFCnya, dan berkata terdapat banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan. 

“Ranking pertama adalah berdasarkan pendapat peribadi pada masa saya merasa makanan, kedudukan terendah mungkin tidak mewakili standard negara itu atau hanya kerana restoran makanan segera itu sendiri,” jelasnya.

Pilihan Editor:

Produktiviti meningkat semua gembira! Majikan ini tetapkan peraturan bekerja 10AM hingga 4PM untuk semua pekerjanya, dapat pujian ramai

0

Waktu bekerja biasa untuk pekerja pejabat di Singapura biasanya bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Bagaimanapun, seorang majikan wanita memuat naik video berdurasi 1 minit dan 29 saat di TikTok, mendakwa para pekerjanya hanya dibenarkan bekerja dari jam 10 pagi hingga 4 petang, dan menjelaskan mengapa pekerja tidak dibenarkan mula bekerja pada jam 9 pagi.

Katanya, biasa para pekerja yang melaporkan diri di syarikat pada jam 9 pagi akan pergi ke pantri untuk membuat teh, minum kopi, menuang air dan bersarapan. Mengapa?

@thatasianmama/TikTok

Hakikat itu kerana setiap orang masih belum memulakan hari mereka dan perlu bersarapan sebelum boleh mula bekerja. Mereka yang lapar bukan sahaja tidak produktif untuk pekerja, tetapi juga tidak baik untuk kemajuan syarikat.

“Sebab tu saya selalu beritahu staf saya, jangan mula kerja pukul 9AM, mula kerja pukul 10AM, tapi kalau kerja pukul 10AM, tolong jangan pula bersarapan pukul 10AM.”

@thatasianmama/TikTok

Tambahnya, beliau tidak akan membenarkan mana-mana kakitangan bekerja sehingga 6 petang.

“Orang yang bekerja dari 9 hingga 5, semangat mereka akan mula merosot, yang mereka fikirkan adalah untuk pulang ke rumah, dan mereka sudah merancang hendak pergi ke mana selepas kerja, tidak lagi menumpukan perhatian kepada kerja,” katanya.

Oleh itu, majikan ini lebih suka membiarkan pekerja mula bekerja pada jam 10 pagi. Jika mereka ingin bersarapan, pergi ke bilik air atau melakukan apa sahaja, mereka akan selesaikan semuanya sebelum pukul 10 pagi.

@thatasianmama/TikTok

“Mereka pulang ke rumah selepas pukul 4 petang, menjemput anak-anak dari sekolah, melakukan apa sahaja yang mereka mahu, berasa gembira, dan memperoleh keseimbangan kehidupan dan kerja, jadi mereka akan kembali bertenaga pada keesokan harinya,” jelasnya.

Dengan jadual kerja sedemikian, majikan ini dan syarikatnya akan menjadi lebih produktif, menjalankan perniagaannya dengan lebih cekap dan membuatkan pekerjanya lebih gembira!

@thatasianmama/TikTok

Video TikTok itu telah menjadi tular dengan 4.1 juta tontonan dengan ramai warganet yang tabik dan bersetuju dengan cara pengurusan bos ini:

“Ini adalah sesuatu yang benar. Kebanyakan orang hanya boleh fokus selama 4 hingga 6 jam. Selepas masa ini, tidak lagi mungkin jadi lebih baik.” 

“Patut ada ramai bos seperti ini?” 

“Terima kasih kerana bersuara untuk kami, masa yang panjang selalunya memenatkan sekali gus tidak gembira.”

Pilihan Editor:

Reaksi spontan budak perempuan yang berusaha ‘menculik’ kucing untuk dimasukkan dalam beg sekolah buat ramai warganet tak kering gusi

0

Untuk sesetengah orang, mereka memang tidak boleh menahan diri apabila melihat kucing kerana perasaan sayangkan kucing dalam diri mereka yang terlalu kuat. Mungkin, itulah halnya yang berlaku pada seorang murid perempuan yang dirakam sedang cuba ‘menculik’ seekor kucing dalam kawasan sekolah yang menjadi tular baru-baru ini.

@maisarahzaidee

Menerusi sebuah video yang dimuatnaik oleh @maisarahzaidee di laman TikTok, dapat dilihat bagaimana terujanya seorang budak perempuan yang menahan seekor kucing dewasa untuk dimasukkan ke dalam beg sekolahnya. Walau bagaimanapun, kucing yang ditahan itu sempat menyelinap keluar ketika budak perempuan itu sedang leka membetulkan beg sekolahnya dan terus berlari dari tempat kejadian untuk menyelamatkan diri. 

@maisarahzaidee

Tidak berputus asa dengan misi tersebut, budak perempuan itu seterusnya terus berlari mengejar kucing itu sebelum dia akhirnya berhenti kerana kucing itu sudah terlalu jauh dari dirinya. Lucu betul!

@maisarahzaidee

Menurut kapsyen dalam video, budak perempuan itu juga dikatakan melakukan misi itu yang pertama sekali sebaik sahaja melangkah ke dalam kawasan sekolah! Memang bernekad sungguh budak perempuan ini sebaik sahaja melihat kucing yang comel. Justeru, tidak mustahillah apabila video yang dimuatnaik ini telah meraih perhatian ramai dan menghiburkan semua yang menontonnya.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman video ini telah meraih sehingga lebih dari 146,600 tontonan, 9488 sukaan dan 411 komen dari warganet yang rata-ratanya terhibur dengan gelagat comel dua sahabat ini.

@maisarahzaidee

Malah, ada antara warganet yang turut berkongsi pengalaman yang hampir serupa dengan budak perempuan ini nampaknya!

@maisarahzaidee

Terhibur betul menyaksikan gelagat budak perempuan yang berusaha untuk membawa balik kucing itu. Pasti dia berasa terlalu geram dengan kecomelan kucing itu sampai sanggup cuba untuk menculiknya!

Pilihan Editor:

Remaja lelaki sunting sendiri resit pembayaran aplikasi dompet dalam talian bernilai RM94

0

JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki baru-baru ini ditularkan di media sosial Facebook oleh akaun rasmi kafe Moody Cow cawangan Paradigm Mall di sini kerana dipercayai menipu dengan menyunting sendiri resit bayaran ketika pembayaran dilakukan. 

Moody Cow cawangan Paradigm Mall

Menurut kenyataan kafe berkenaan, insiden itu berlaku pada 12 April 2023 jam 12:39 tengah hari dan amaun yang terlibat adalah sebanyak RM94. Dakwaan penipuan ini seterusnya lebih kuat dipercayai selepas pihak kafe meneliti sendiri rakaman kamera litar tertutup di kafe berkenaan yang marakam dua sisi pelanggan berkenaan semasa insiden itu berlaku. Menerusi rakaman, jelas dapat dilihat bahawa pelanggan itu pada mulanya ‘cuba’ untuk membayar makanan yang dibeli di kaunter pembayaran tetapi pembayaran itu tidak berjaya kerana didakwa berlakunya masalah talian yang lambat.

Seterusnya, lelaki itu sekali lagi ‘mencuba’ untuk membayar tetapi dapat dilihat bahawa pada masa itu, dia sedang berusaha menyunting amaun dan butiran yang selalunya tercatat pada resit pembayaran aplikasi dompet dalam talian berkenaan. Disamping itu, kelihatan seperti ‘resit kosong’ dengan beberapa butiran yang tidak terlalu jelas berkaitan dengan transaksi semasa juga telah sedia ada dalam telefon bimbitnya dan dia hanya perlu menyunting sedikit bahagian sahaja dalam resit itu untuk kelihatan seperti resit semasa yang sebenar.

Moody Cow cawangan Paradigm Mall

Kafe itu bagaimanapun hanya menyedari tentang penipuan ini selepas satu jam dari masa insiden berlaku kerana juruwang yang bertugas berasa pelik kerana amaun yang ‘dibayar’ masih belum diterima. Selepas disemak, barulah pihak kafe menyedari bahawa mereka telah ditipu dan dengan segera pihak kafe cawangan ini melaporkannya pada ibu pejabat urusan kafe berkenaan.

Pihak kafe selepas perbincangan kemudiannya memutuskan untuk memberi peluang kepada pelanggan tersebut untuk tampil ke cawangan yang sama dalam masa 48 jam atau jika tiada apa-apa bayaran diterima, kes ini akan dilaporkan ke pihak berkuasa.

“Sila tampil semula ke kafe untuk membayar amaun penuh dalam masa 48 jam, atau anda akan berdepan dengan pihak polis,” tulis kapsyen kiriman berkenaan.

Sementara itu, Encik Wu, pemilik kafe Moody Cow dalam temubualnya dengan China Press menyatakan bahawa selepas kiriman itu dimuatnaik, pelanggan yang disyaki berkenaan ada menghubungi pihaknya untuk menyatakan rasa tidak puas hati selepas gambar dan wajahnya didedahkan di media sosial dan turut menafikan dakwaan penipuan tersebut. 

Pihak kafe bagaimanapun menegaskan bahawa walaupun pelanggan itu menyatakan bahawa pembayaran telah dilakukan, tetapi selepas semakan dilakukan, pihak kafe masih juga belum menerima apa-apa bayaran dalam amaun berkenaan. “Pihak tersebut mengatakan bahawa bayaran itu berkemungkinan masih belum dihantar, tetapi kita semua mengetahui dengan jelas selepas menyaksikan rakaman video kamera litar tertutup,” katanya.

Moody Cow cawangan Paradigm Mall

Selepas 13 jam 6 minit dari masa insiden ini berlaku, akhirnya pada 13 April jam 6:45 petang, pihak kafe memuat naik kiriman mengesahkan bahawa pembayaran daripada pelanggan berkenaan telahpun diterima sepenuhnya dan pelanggan itu turut memohon maaf atas kesalahannya. Pihak kafe menerusi kiriman itu juga menjamin bahawa pihaknya tidak lagi akan mencari pelanggan itu dan berharap agar insiden ini dapat memberi pengajaran kepadanya dan kedai-kedai lain untuk sentiasa berwaspada.

Pilihan Editor:

PDRM buru sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang melakukan aksi bahaya di LATAR

0

KUALA SELANGOR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 11 April kini sedang memburu sekumpulan “geng rempit” yang menunggang motosikal berkuasa tinggi secara berbahaya di Lebuh raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR). 

Menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam laman Facebook rasmi, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitendan Ramli Kasa mengesahkan penerimaan dua rakaman video berhubung kejadian itu pada jam 12.20 tengah hari.

Menerusi video yang kini berlegar di media sosial itu, rakaman menunjukkan dua daripada penunggang motosikal telah melakukan aksi ‘wheelie’ iaitu aksi yang mengangkat tayar hadapan motosikal dan dalam masa yang sama turut bersaing sesama sendiri. Aksi berbahaya yang dilakukan dalam masa yang agak panjang itu kemudiannya telah dirakam oleh salah seorang rakan penunggang yang lain.

Menerusi rakaman yang sama juga, dapat dilihat dengan jelas bahawa penunggang motosikal terbabit sedang menunggang melebihi had laju lebuh raya yang ditetapkan iaitu pada 110 km/j sedangkan pada waktu rakaman dilakukan, penunggang tersebut menunggang pada kelajuan yang lebih tinggi. 

Menurut Ramli, kes ini seterusnya disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih dari RM15,000.

Pihak polis ketika ini sedang giat mengesan pemilik video asal dan semua penunggang motosikal yang terlibat.

Pilihan Editor:

Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa pada 20 April

0

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan Malaysia akan mengalami gerhana matahari separa pada Khamis minggu hadapan, 20 April 2023.

Gerhana matahari separa itu adalah sempena gerhana matahari hibrid yang berlaku di utara benua Australia, lapor Bernama.

MOSTI mengesahkan fenomena itu akan dapat dilihat oleh pemerhati dan orang ramai di Semenanjung Malaysia bermula 11 pagi hingga 1 tengah hari, manakala mereka di Sabah dan Sarawak akan dapat menyaksikannya dari 11 pagi hingga 2 petang.

Twitter

MOSTI juga menyatakan penampakan gerhana akan kelihatan berbeza-beza bergantung kepada lokasi, dan kenampakan gerhana mungkin bergantung kepada keadaan cuaca pada hari tersebut, lapor The Star.

Kementerian juga menasihatkan orang ramai terutama mereka yang berpuasa supaya tidak berada terlalu lama di bawah sinaran matahari kerana silau dan boleh menyebabkan nyahhidrat. 

Twitter

Mereka juga menambah melihat gerhana dengan mata kasar adalah berbahaya kerana ia boleh merosakkan retina dan menyebabkan buta kekal.

Program tontonan khas Pencerapan Gerhana Matahari Separa 2023 akan diadakan di Planetarium Negara Kuala Lumpur dan di Tawau, Sabah.

Cermin mata gerhana (eclipse glasses) akan diedarkan secara percuma kepada orang ramai di kedua-dua lokasi pada hari fenomena itu. MOSTI juga menambah planetarium akan menyediakan teleskop dengan penuras khas yang akan membolehkan pengunjung menonton gerhana dengan jelas dan selamat.

Pengunjung juga boleh menggunakan peralatan yang disediakan untuk mengambil gambar gerhana matahari yang jelas dengan menggunakan telefon pintar atau kamera digital lensa tunggal (DSLR).

Di Tawau, peralatan khas dari planetarium di Kuala Lumpur akan dihantar ke lokasi untuk tontonan.

Planetarium Negara Kuala Lumpur juga akan menganjurkan penstriman langsung acara itu di laman Facebook dan YouTube, dan akan berkongsi imej gerhana yang diambil di Malaysia, serta dari bahagian lain di dunia.

Kali terakhir Malaysia mengalami gerhana matahari separa adalah pada 21 Jun 2020 dan jangkaan fenomena seterusnya akan berlaku dalam masa sekitar empat tahun lagi iaitu pada Ogos 2027.

Pilihan Editor:

Cubaan seludup 154 kucing baka mahal dipatahkan pihak berkuasa Taiwan, namun ‘semua dilupus’ ekoran didakwa bawa penyakit

0

Sebanyak 154 ekor kucing baka jarang ditemui dengan anggaran nilai pasaran AS$357,000 (RM1.58 juta) telah dilupuskan selepas haiwan itu ditemui pihak berkuasa Taiwan di dalam kapal penyeludup.

Kucing-kucing berkenaan yang telah dikurung dalam kumpulan dua hingga enam ekor di dalam sangkar, terdiri daripada baka yang jarang ditemui seperti Russian Blue (13), American Shorthair (33), kucing Parsi (38), Ragdoll (30), Munchkin (11), Maine Coon (3) dan selebihnya lain-lain baka, lapor CNA

Namun begitu, pihak berkuasa menegaskan kesemua kucing terpaksa dilupuskan ekoran haiwan itu mungkin mengancam kesihatan haiwan lain dalam negara.

Gambar CNA

Pentadbiran Pengawal Pantai di Bandar Kaohsiung, Taiwan menerima maklumat penyeludup sedang mengambil barang dari kapal lain berhampiran Penghu di tengah Selat Taiwan. Pada 19 Ogos 2021, pengawal pantai menggunakan radar untuk mengesan sebuah kapal 9 batu nautika dari pelabuhan Anping di Bandar Tainan.

Disebabkan SOP pandemik COVID-19 pada waktu itu, mereka pada mulanya memaksa kapal itu memasuki pelabuhan Kaohsiung, di mana pelabuhan itu mempunyai hospital yang menjalankan ujian PCR ke atas kapten dan anak kapal. Hanya apabila ujian terbukti negatif, mereka menaiki kapal dengan waran.

Pemeriksa menemui dua petak tersembunyi di atas kapal yang mengandungi 62 sangkar mudah alih menempatkan kucing baka mahal. Anggaran awal meletakkan jumlah haiwan itu 250 ekor, tetapi pemeriksaan yang lebih lanjut mendapati terdapat 154 ekor kucing di atas kapal.

Namun, pada sebelah petang 21 Ogos 2021, kesemua haiwan tersebut telah dimusnahkan oleh Biro Pemeriksaan dan Kuarantin Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan (BAPHIQ) cawangan Kaohsiung, lapor CNA. Agensi itu mempertahankan tindakannya dengan mengatakan haiwan berkenaan mungkin mengimport penyakit seperti rabies ke negara itu, atau mengancam hidupan liar dan haiwan peliharaan tempatan yang lain.

Jurucakap Pasukan Penyelamat Haiwan Taiwan (ARTT) mengakui asal usul kucing itu tidak jelas, tetapi bagaimanapun berkata langkah positif oleh tuan baharu mungkin boleh menghalang sebarang bahaya.

Percubaan sebelum ini oleh kumpulan itu untuk menyelamatkan penyu yang diseludup juga gagal kerana tidak ada ruang dalam undang-undang untuk apa-apa tindakan alternatif selain pemusnahan haiwan yang diimport secara haram, kata ARTT. 

Pemeriksaan perubatan sepatutnya dilakukan terlebih dahulu bagi menentukan sebarang masalah daripada haiwan itu, dan jika tidak ditemui, mereka sepatutnya dihantar ke NGO atau jabatan perlindungan haiwan kerajaan tempatan, kata kumpulan itu.

Gambar Yahoo

Sembilan orang telah diberkas dalam kes penyeludupan itu dan dihadapkan ke mahkamah. Menurut pertuduhan, Zheng Nan dan enam warga Taiwan yang lain mula merancang penyeludupan pada Jun 2021, mencari bot nelayan yang sesuai untuk membawa kucing, dan pada Julai mereka telah menyewa bot nelayan bernama ‘Shunfa 886’ dari Jiang Nan. Kabin telah diubah suai untuk kemudahan menempatkan kucing-kucing seludup.

Bagi menutup aktiviti penyeludupan kucing, tertuduh dan yang lain sengaja berlakon membeli sekumpulan ikan keli, dengan berpura-pura pergi memancing, dan pada awal pagi 19 Ogos, mereka bertemu dengan kapal darat yang menyeludup kucing di luar pantai Penghu dan mengambil 154 ekor kucing berkenaan ke atas bot nelayan Shunfa 886. Mereka kemudian mengunci kabin dengan papan kayu dan skru untuk menyembunyikan aktiviti penyeludupan.

Selepas perbicaraan oleh Mahkamah Daerah Kaohsiung, tertuduh Zheng Nan, Lin Zhenglong dan yang lain didapati bersalah dan dihukum penjara 1 tahun 4 bulan serta digantung lesen selama 4 tahun. Pekerja asing Indonesia yang turut membantu dalam penyeludupan berkenaan dijatuhkan hukuman penjara 6 bulan.

Pilihan Editor:

13,000 botol Sambal Nyet keluaran Khairul Aming habis dijual dalam masa hanya 2 minit

0

Pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming, sekali lagi raih perhatian ramai selepas 13,000 botol Sambal Nyet keluarannya habis dijual dalam masa 2 minit.

Berdasarkan sebuah video yang dikongsi di laman Twitter pada 11 April lalu oleh Khairul Aming sendiri, dia menunjukkan keadaan telefon bimbitnya yang dibanjiri oleh notifikasi dari aplikasi atas talian, Shopee, ketika kedai dalam taliannya baru sahaja menambah semula kuantiti jualan sambal yang terkenal itu pada pukul 1.00 petang.

@khairulaming

Menurut Khairul Aming, sesi jualan pada hari itu adalah antara yang paling cepat sekali dalam tempoh tiga tahun dia berniaga di internet.

“Tengah hari tadi kita (sudah) menambah semula 13,000 botol Sambal Nyet dan semuanya habis terjual dalam masa 2 minit. Ini adalah jualan yang paling laju habis dijual sepanjang 3 tahun berniaga. Terima kasih semua,” tulis kapsyen kiriman itu.

@khairulaming

Dapat dilihat sendiri reaksi terkejut Khairul Aming yang sama sekali tidak menyangka bahawa jualannya boleh habis dijual dalam masa sesingkat itu. Berdasarkan video berdurasi 46 saat itu, penonton dapat menyaksikan sendiri keadaan notifikasi telefon bimbit Khairul Aming yang tidak sekalipun berhenti daripada berbunyi. 

Selain itu, dalam video yang sama Khairul Aming turut menyatakan bahawa telefon bimbitnya juga tersekat kerana menerima terlalu banyak notifikasi dalam masa yang pendek.

Memang menakjubkan sungguh kejayaan anak muda yang seorang ini!

@khairulaming

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah meraih sehingga lebih dari 4.5 juta tontonan, lebih dari 33,600 sukaan dan lebih dari 10,100 ulang ciap. Disamping itu, rata-rata warganet juga turut membanjiri ruang komen kiriman itu dengan kata-kata pujian buat Khairul Aming.

@khairulaming

Terdahulu, Khairul Aming ada memuatnaik rakaman video yang menunjukkan kejutan yang dibuat olehnya khas buat semua pekerja-pekerja di kilangnya. Menerusi video itu, dia telah membawa semua pekerjanya untuk membeli busana lengkap untuk Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, berbuka puasa di hotel dan memberikan bonus sebanyak RM3,000 setiap seorang. 

Sememangnya apa yang dinikmati oleh Khairul Aming pada hari ini adalah hasil titik peluhnya sendiri selama bertahun-tahun membina nama sendiri sehingga akhirnya kini layak digelar jutawan. Tahniah dan teruskan berusaha, semoga lebih ramai anak muda di negara ini yang dapat mengikuti jejak langkah Khairul Aming!

Pilihan Editor:

Pembuli jalan raya berkereta Kelisa ditahan polis

0

PORT DICKSON – Seorang lelaki yang tular di media sosial selepas melakukan buli jalan raya terhadap seorang mangsa wanita telah ditahan polis pada 12 April 2023.

Suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan selepas pihak polis Daerah Port Dickson menerima laporan daripada mangsa pada pukul 3.40 petang.

@MALAYSIAVIRALLL

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham, hasil saringan awal urin suspek didapati negatif dan suspek bebas dari rekod kesalahan lampau dan kini suspek ditahan di lokap Balai Polis Port Dickson untuk siasatan lanjut.

Dalam kenyataan, pihak polis telah mengesahkan penerimaan laporan berkaitan insiden berkenaan dan kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengaibkan kehormatan serta mengeluarkan perkataan tidak sopan di khalayak awam, memetik kata Ketua Polis daerah.

@MALAYSIAVIRALLL

Terdahulu, tular di media sosial apabila sebuah video berdurasi 34 saat menunjukkan suspek yang menaiki kereta Perodua Kelisa berkeras tidak mahu memberi laluan kepada mangsa untuk keluar dari petak parkirnya di sebuah bangunan di Bandar Springhill daerah itu lebih kurang jam 6.30 petang pada 11 April lalu. Suspek malahan dirakam turut mengeluarkan kata-kata lucah kepada mangsa melalui perbualannya dalam telefon bimbit pada waktu itu.

Pilihan Editor:

KPM umum 19 April sebagai cuti sekolah khas

0

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa 19 April adalah cuti sekolah khas bagi sekolah-sekolah kerajaan. Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek selepas beliau menghadiri Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Forum Integriti di Putrajaya, baru-baru ini.

UTUSAN

Menurut Fadhlina, pemberian cuti khas itu bertujuan memberikan ruang kepada murid-murid dan para guru untuk membuat persiapan bagi negeri di kumpulan A dan B.

“KPM umumkan bahawa 19 April isytihar cuti khas untuk semua warga KPM. Jadi 19 April tidak akan ada sesi persekolahan,” katanya.

Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon KPM memberikan cuti khas kepada guru-guru pada 19 April, menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini.

Sebelum ini, sesi cuti persekolahan untuk Aidilfitri tahun ini telah ditetapkan pada 20 April hingga 1 Mei depan.

Selain itu, Fadhlina juga memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2022 akan dikeluarkan pada 18 April.

Jelas beliau lagi, seramai 4,634 orang calon telah menduduki peperiksaan STAM Tahun 2022 di 134 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan STAM Tahun 2022 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut.

“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan,” katanya.