33.2 C
Kuala Lumpur
Friday, August 1, 2025
Utama Blog Laman 179

Ramai belum cakna, perlu kopek dan basuh kurma sebelum makan agar tidak termakan bendasing

0

Kurma adalah antara makanan yang cukup sinonim dengan bulan puasa umat Islam, bulan Ramadan. Terdapat pelbagai jenis kurma yang dijual di pasaran baik dalam negeri mahupun luar negara. Ada orang yang suka kurma bertekstur keras, ada orang yang suka kurma bertekstur lembut. Jadi, mereka sudah mengenal pasti siapakah pembekal yang membekalkan kurma kegemaran mereka. Namun begitu, masih ramai sebenarnya yang belum cakna bahawa pentingnya mengopek dan membasuh kurma sebelum makan. Mereka tidak tahu bahawa dengan mengopek dan membasuh kurma sebelum makan dapat mengelakkan daripada termakan bendasing yang terdapat pada kurma. Adakah anda salah seorang daripada mereka?

PEXELS

Public Health Malaysia, menerusi akaun media sosial Twitter menulis twit tentang pentingnya mengopek dan membasuh kurma sebelum dimakan. Katanya, kita tidak tahu tahap kebersihan pengendalian kurma semasa ia dipetik dan dibungkus. Dalam buah kurma juga mungkin ada serangga kecil tersembunyi seperti lipas, bubuk dan ulat. Membayangkan tergigit lipas sahaja sudah cukup menggelikan bukan? Oleh itu, kopek dan basuhlah kurma sebelum anda memakannya.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah khasiat dan rasa buah kurma ini hilang jika dibasuh? Jawapannya ialah, tidak. Oleh itu, jangan bimbang untuk membasuh kurma.

Bagaimana cara yang betul untuk membasuh kurma? Adakah dengan cara mengelap kurma-kurma itu dengan kain bersih yang dibasahkan atau dilembapkan? Atau cukup sekadar membasuhnya di bawah paip yang mengalir airnya?

PEXELS

Niena Samsir, menerusi catatannya di Facebook, berkongsi kaedah membasuh kurma yang betul. Katanya, ramai yang mengadu mengalami sakit perut, batuk dan pelbagai penyakit lain yang datang selepas makan kurma sehinggakan ada yang serik untuk makan kurma. Menurut Niena Samsir lagi, pembekal kurma turut mengingatkannya agar membasuh kurma sebelum memakan buah yang berkhasiat itu. Pembekal atau penjual tidak boleh membasuh kurma sebelum menjualnya kerana bimbang kurma akan rosak dan tidak tahan lama. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk membasuh kurma sebelum memakannya.

Cara untuk membasuh kurma cukup mudah. Mula-mula bersihkan kurma daripada habuk. Kemudian rendam kurma dalam air garam selama 5-10 minit. Selepas itu, bilaslah kurma tersebut dengan air bersih. Seterusnya, tapislah kurma itu. Untuk mendapatkan tekstur kurma yang lebih ‘juicy’, anda disarankan untuk menjemur kurma tersebut di bawah matahari yang panas terik. Namun jika anda hendak cepat, tidak perlulah menjemur kurma itu. Cukup hanya anda menapis kurma itu dan simpan di dalam peti sejuk. Dengan cara ini, kurma akan bertahan lebih lama.

PEXELS

Jika anda trauma kerana pernah mengalami pengalaman buruk makan kurma seperti tergigit serangga di dalam kurma atau termakan ulat, mungkin selepas mengetahui kepentingan membasuh kurma ini dapat mengurangkan trauma anda itu.

Cukup merugikan jika anda tidak makan kurma kerana kurma mengandungi banyak manfaat. Antara manfaat yang dikongsikan oleh mStar ialah:

1. Mengawal gula dalam darah – Kandungan fruktosa (gula semula jadi pada buah) yang terdapat dalam kurma dapat mengawal gula dalam darah.
2. Kaya antioksidan – melindungi sel-sel dalam tubuh daripada radikal bebas serta mencegah pelbagai penyakit kronik.
3. Meningkatkan kesihatan otak – meningkatkan daya ingatan serta mengurangkan risiko penyakit seperti Alzheimer.
4. Menjaga kesihatan tulang – kurma dapat mencegah penyakit tulang seperti osteoporosis.
5. Mengatasi masalah seksual – meningkatkan jumlah dan kualiti sperma kaum lelaki.

Apabila sudah tahu kepentingan untuk membasuh kurma ini, jangan disimpan sahaja ilmunya. Amalkan dan sebarkan kepada orang lain biar lebih ramai tahu mengenainya. Salam Ramadan.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

“Hidu bau roti tak batal tau,” Kru lapangan terbang usap perut masa puasa dengan aksi tahan laparnya agak melucukan

0

Di bulan Ramadan ketika umat Islam menunaikan ibadah puasa memang akan terdapat pelbagai dugaan. Terutama pada ketika menahan rasa lapar dan dahaga.

Namun, umat Islam perlu bersabar menempuh ujian dan kewajipan ini, walaupun pada ketika itu perut terasa lapar yang amat sangat, tambah lagi pada masa mereka sedang bekerja.

Tular di media sosial baru-baru ini yang memaparkan beberapa kru di lapangan terbang sedang mengendalikan muatan berisi kotak-kotak roti yang dialihkan ke dalam kapal terbang.

Facebook

Sambil mereka sedang seronok bekerja mengalihkan kotak-kotak roti yang tertulis Gardenia, roti popular itu, salah seorangnya telah dilihat menghidu dengan penuh perasaan satu kotak berisi roti.

Facebook

Apa yang lebih melucukan, selepas abang kru ini menghidu kotak berisi roti, dia spontan mengusap perutnya pula.

Facebook

Ketika rakaman video ini dimuat naik, dipercayai telah memasuki bulan Ramadan, yang mana abang kru ini sedang berpuasa ketika itu.

Facebook

Mungkin abang kru sengaja berbuat aksi lucu sekadar untuk menghiburkan hatinya, tambah sedang lapar kena tahan, hendak buat macam mana tengah puasa. Lawak-lawak boleh hilang rasa lapar, letih dan dahaga tu sikit.

Facebook

Tetapi yang paling menarik perhatian untuk membuat rata-rata netizen terhibur ialah aksi lucunya yang mengurut perut selepas menghidu roti Gardenia.

Para netizen turut meninggalkan komen yang melucukan:

“Lawak betul abang tu usap perut.”

“Ibu mengandung memang kuat mengidam.”

“Lapar baby dalam perut tu bang ye..”

“Comel je abang team red tu, lapar ke bang.. Sabar tau puasa..”

“Intai apa tu bang?”

“Ni kira makruh la..”

“Penangan puasa..”

“Dugaan betul kan bang.. Silap-silap tengok kapal terbang pun nampak macam roti Gardenia.”

Facebook

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Anak pelakon disahkan hidap penyakit Kawasaki, ibu bapa perlu tahu tentang penyakit ini

0

Baru-baru ini pasangan pelakon, Amar Baharin dan Amyra Rosli diduga apabila anak kedua mereka, Ayra Aryssa mengalami demam panas dan dikejarkan ke sebuah pusat perubatan kira-kira pukul 1 pagi, Rabu lalu.

Amar dan Amyra yang bimbang suhu badan Ayra yang baru berusia dua tahun itu mula mencecah 41 darjah celsius itu terus membawa anak kecil mereka ke hospital Prince Court, Kuala Lumpur.

Terdahulu, pasangan selebriti itu memuat naik foto keadaan anak mereka yang terlantar sakit di sebuah hospital di laman Instagram masing-masing pada Rabu.

Keadaan kesihatan anak mereka dikatakan semakin merosot selepas disahkan dijangkiti virus Kawasaki iaitu keradangan saluran darah terutamanya membabitkan kanak-kanak bawah lima tahun.

Amyra yang sedang menjalani penggambaran drama terpaksa bergegas ke hospital selepas dimaklumkan tahap oksigen dalam badan anaknya tiba-tiba menurun.

Buat orang ramai yang masih tidak tahu penyakit Kawasaki adalah masalah kesihatan misteri kerana penyebab utama penyakit ini masih tidak diketahui tetapi ia tidak berjangkit secara langsung.

Penyakit ini berisiko terutama dalam kalangan kanak-kanak berumur hingga lima tahun, yang menyebabkan keradangan dinding arteri dan pesakit mengalami demam, kulit mengelupas serta sakit sendi. Berikut adalah hal-hal penting yang anda perlu tahu mengenai penyakit Kawasaki:

Sejarah penyakit

Penyakit Kawasaki pertama kali dilaporkan pada 1967 oleh pakar pediatrik Jepun, Dr Tomisaku Kawasaki. Lebih kurang 75% pesakit penyakit Kawasaki ialah kanak-kanak berumur bawah 5 tahun, kebanyakannya lelaki, dan ia penyebab paling biasa untuk penyakit jantung perolehan (acquired) dalam kanak-kanak. Jika dirawat awal, kebanyakan kanak-kanak pulih dalam beberapa hari.

Penyakit Kawasaki biasanya menyebabkan demam berpanjangan dengan nodus limfa (kelenjar) yang membesar, kemerahan di mulut, tangan dan kaki, serta kadangkala dengan ruam. Ia menyebabkan keradangan pada dinding salur darah, terutamanya arteri koronari yang membekalkan darah ke otot jantung.

Tanda dan simptom

Simptom paling kerap ialah demam panas, antara 38.3-39.4°C yang melebihi 4 hari dan tidak sembuh dengan ubatan demam biasa. Simptom lain yang turut muncul dalam masa 14 hari sejak demam bermula termasuklah:

Simptomnya muncul dalam tiga peringkat. Ia boleh menyebabkan masalah kepada jantung antara 10-14 hari selepas bermulanya simptom pertama. Sesetengah pesakit mungkin mengalami radang atau sakit sendi antara masa demam berakhir sehingga hari ke-25 penyakit tersebut. Penyakit Kawasaki boleh berterusan sehingga lapan minggu.

Diagnosis

Untuk membuat diagnosis penyakit Kawasaki, rasa syak yang tinggi perlu ada. Doktor anak anda akan menentukan berdasarkan kombinasi simptom dan tanda sekiranya anak anda mempunyai penyakit Kawasaki.

Rawatan

Anda boleh memberikan parasetamol untuk demam tetapi anak anda perlu diperiksa untuk mendiagnos penyakit Kawasaki. Oleh kerana risiko komplikasi tinggi, anak anda mungkin perlu ditahan di hospital sambil menerima rawatan awal. Ini termasuklah infusi IV (intravena) imunoglobulin serta ubatan lain. Pesakit memerlukan cecair yang banyak untuk mengelakkan dehidrasi. Dia juga mungkin diberikan aspirin untuk beberapa minggu.

Risiko komplikasi

Penyakit ini boleh menjejaskan jantung di kalangan 20% pesakit. Walaupun kebanyakan kanak-kanak pulih sepenuhnya, terdapat kes-kes terpencil di mana komplikasi berlaku akibat keradangan salur darah menyebabkan dinding arteri semakin lemah lalu menyebabkan aneurisme.

Bahagian lain pada jantung yang mungkin turut terkesan ialah membran yang menyelaputi jantung, injap dan otot jantung. Penyakit Kawasaki semasa zaman kanak-kanak juga dikaitkan dengan risiko penyakit jantung yang meningkat apabila dewasa. Bayi menghadapi risiko komplikasi serius yang lebih tinggi dan rawatan awal akan mengurangkan risiko kesan jangka panjang.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Risau anak ketagih dengan gajet? Lelaki ini kongsi cara kawal ‘screen time’ anak kecil

0

Hari ini hampir semua urusan melibatkan internet dan urusan dalam talian. Cakap sahaja bil apa semuanya boleh dibayar dengan mudah secara hujung jari sahaja, seminit dua semuanya sudah selesai. Perkembangan teknologi hari ini membuatkan kerja menjadi mudah.

Namun begitu sama ada kita sedar atau tidak teknologi juga sebenarnya boleh mendapatkan keburukan jika tidak dikawal dan dipantau dengan baik. Jangan kata yang dewasa, anak kecil juga sebenarnya boleh terkena impak buruk terhadap penggunaan teknologi hari ini.

Mana tidaknya, mereka kecil-kecil lagi sudah didedahkan dengan telefon bimbit dan TV contohnya, tidak hanya itu memandangkan kita masih berada dalam era pandemik, anak-anak juga banyak belajar menggunakan komputer dan internet. Ada juga ibu bapa yang sengaja memberika gajet kepada anak-anak supaya mereka tidak merengek atau menangis. Masalah mula timbul apabila mereka mula taksub dan ketagih dengan gajet.

Jadi, sebagai ibu bapa kita perlu memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan anak-anak tidak taksub dengan gajet serta dapat mengurangkan ‘screen time’.

Berikut adalah perkongsian seorang pengguna Facebook, Ameen Misran, mengenai caranya mendidik anak-anaknya tentang penggunaan gajet. Ikuti perkongsian tersebut:

Saya Buang “Youtube Kids” dan “Youtube”

Setelah seminggu saya buang Youtube dan Youtube for Kids dalam peranti Android Box untuk anak-anak, saya dapati anak-anak berubah.

Mereka kurang marah, kurang merengek, kurang ‘attached’ dengan TV, bila waktu tutup tidak marah, tidak meminta-minta cerita apa hendak tonton, nampak lebih bertenang mereka ni. Seronok saya.

Saya pun membaca sedikit tentang keadaan ini. Rupanya anak ini, bila mereka sudah pandai pegang ‘remote’, mereka akan rasa ‘anxious’ untuk tukar-tukar cerita atau cari ‘keywords’ di Youtube/Youtube For Kids sehingga mereka puas hati.

Sama juga macam kita yang sudah besar panjang. Kita ada ‘anxiety’ tak bila tengok Youtube? Bila semakin banyak cerita yang kita gemar keluar di ‘suggestion’ Youtube, makin seronoklah kita sebab banyak cerita yang kita suka tengok. Agaknya apa kesan pada anak?

Sebagai alternatif kepada anak-anak, mereka masih boleh tonton Netflix Kids, Disney+Hotstar dan saya baru tambah UnifiPlayTV. Terpaksa berbelanja lebih untuk dapat siaran langsung UnifiPlayTV kerana siaran IPTV kan haram kalau beli di Shopee? Saya pun tak nak rasa bersalah.

Bagus siaran TV yang ‘live’ ni tuan-tuan puan puan, anak-anak tidak boleh pilih nak tengok cerita apa, seterusnya mereka lebih “bertenang” dan “bersabar” berbanding Youtube yang bersifat ‘user-centered’. Tukar-tukar antara Nickelodeon atau Cartoon Network. Kemudian saya boleh buka ‘documentary channels’ untuk beri mereka tengok cerita selain ‘cartoon’ seperti ‘wildlife’ atau ‘sealife’.

Kemudian ada iklan, yang bagi anak-anak bertenang. Dulu saya kecil, masa iklan lah bergegas pergi ke tandas supaya tak terlepas sambungan cerita. Anak-anak sekarang nak pergi tandas je, tekan ‘pause’, baru pergi. Takda rasa ‘sense of urgency’ pun haha

Point’ disini, mari kita kawal ‘screen time’ anak-anak.

Sumber: Facebook

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

MET Malaysia keluar amaran kategori pertama ribut tropika Megi

0

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada 11 April mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan timur Condore, Reef North, Layang-Layang, Labuan, Palawan dan Sulu.

Menurut kenyataan MET Malaysia yang dikeluarkan pada 10 pagi 11 April 2022 berkenaan status terkini Ribut Tropika Megi, keadaan tersebut boleh menyebabkan angin kencang di kawasan perairan Sabah.

Ribut tropika Megi itu berada di kedudukan kira-kira 144 kilometer ke barat laut Surigao City, Filipina dan 950 kilometer ke timur laut Sandakan, Sabah dengan kelajuan angin maksimum 65 km/j.

Orang awam dinasihatkan agar lebih peka dan mengikuti perkembangan semasa mengenai situasi tersebut dan boleh mendapatkan maklumat yang dikemas kini pada setiap tiga jam di laman web dan aplikasi myCuaca ataupun talian hotline MET Malaysia.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

“Saya hendak makan!” Reaksi comel gadis ini lepas kena bius tanya bila boleh makan kemudian berdengkur undang tawa

0

Ketika menjalani pembedahan, seorang itu perlu menjalani proses anaesthesia atau bius untuk membolehkan pesakit ‘tidur’ dan tidak berasa sakit.

Biasanya selepas dibius, pesakit akan berasa pelik dan keliru, badan rasa semut-semut dan jadi ringan seperti melayang-layang di udara.

Itulah yang dialami oleh seorang gadis comel bernama Delila yang menjadi keliru akibat ubat bius yang belum tinggalkan badannya selepas dia selesai menjalani pembedahan. 

TikTok

Rakaman lucu oleh rakannya di TikTok menjadi tular dengan lebih 1.2 juta tontonan selepas Delila meminta makan ayam goreng dengan bertanya bila masanya dia boleh makan.

TikTok

Dan tidak lama kemudian, Delila tertidur kembali dan berdengkur.

“Saya tidak mimpi, saya tidak bermimpi tahu?” tiba-tiba dia berkata dengan lucu dan tertidur.

TikTok

Kemudian dia bangun dan bertanya bila boleh makan, sudah bayangkan mengidam hendak makan ayam goreng bersama kentang dan keju.

Beberapa kali Delila yang comel tersenyum tidak sabar hendak makan, dan kemudian dia kembali berdengkur.

TikTok

Rakannya yang merakam tidak tahan tergelak di belakang kamera.

TikTok

“Oh Tuhan!” katanya yang berdekah tergelak melihat reaksi Delila yang comel melawan ubat biusnya dalam keadaan separa sedar.

TikTok

Kemudian Delila bangkit dan menangis pula, “Saya hendak makan..”

TikTok

“Ya, kita boleh makan nanti sebaik kamu bangun, kamu kena bangun dulu,” kata rakannya yang geli hati melihat Delila melayan perasaan di awang-awangan, dan lapar terliur nampak ayam goreng pula tu..

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Will Smith dilarang hadiri Oscar selama 10 tahun selepas insiden tampar Chris Rock

0

Pelakon terkenal Hollywood, Will Smith dilarang daripada menghadiri sebarang majlis anugerah Oscar selama 10 tahun akan datang, dua minggu selepas pelakon itu mengejutkan seluruh dunia dengan menampar pelawak Chris Rock di atas pentas.

Smith juga dilarang menghadiri sebarang acara lain yang dianjurkan oleh Akademi Seni dan Sains Filem sepanjang sedekad akan datang.

Anggota lembaga Akademi bagaimanapun tidak memutuskan untuk menarik balik anugerah pelakon terbaik yang dimenangi oleh Smith pada bulan lalu menerusi filem “King Richard” atau melarangnya daripada mendapat sebarang pencalonan atau kemenangan Oscar di masa hadapan.

Facebook

Filem terbaharu Smith “Emancipation” mengisahkan seorang lelaki yang berjaya membebaskan diri daripada menjadi seorang hamba dijangka ditayangkan tahun ini.

“Ahli lembaga memutuskan selama tempoh 10 tahun dari 8 April 2022, Smith dilarang menghadiri sebarang acara atau program Akademi, secara bersemuka atau secara maya,” kata Presiden Akademi, David Rubin dan Ketua Eksekutif (CEO) Dawn Hudson dalam satu kenyataan bersama.

Facebook

Dalam satu kenyataan balas, Smith berkata beliau menerima dan menghormati keputusan yang dibuat pihak Akademi.

Larangan itu bermakna Smith tidak akan menyampaikan salah satu anugerah utama di majlis anugerah Oscar tahun depan, yang menjadi tradisi untuk pemenang pelakon terbaik.

Facebook

Minggu lalu, Will Smith meletak jawatan daripada Akademi dan berkata sedia menerima sebarang hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Sebelum ini, pelakon berkenaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan permohonan maaf pada Chris Rock, penerbit Oscar, calon anugerah serta penonton acara tersebut.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Kanak-kanak lelaki 3 tahun cedera tersangkut kaki pada eskalator

0

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas selepas kakinya tersangkut di eskalator di pusat membeli-belah IOI City Mall, Putrajaya pada Ahad, 10 April.

Dalam kejadian pada jam 1.48 petang, mangsa dipercayai bersama ibu bapanya yang dikatakan sedang turun dari tingkat dua pusat membeli-belah itu dengan menggunakan eskalator sebelum kakinya tersangkut.

Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada sekitar jam 1.48 petang, sebelum anggota penyelamat tiba di lokasi pada jam 2.01 petang.

Facebook

Seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, sejurus tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kaki kanak-kanak itu tersangkut pada eskalator berkenaan.

“Kaki mangsa telah berjaya dikeluarkan,” katanya.

Facebook

“Mangsa diserahkan kepada ambulans Hospital Serdang untuk tindakan selanjutnya. Kanak-kanak berusia tiga tahun itu dalam keadaan selamat,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis mengesahkan kejadian itu kepada Astro AWANI.

Menurutnya, sebelum kejadian mangsa bersama ibu bapanya sedang membeli-belah mencari keperluan hari raya.

Facebook

“Kemungkinan kaki dia berada di tepi antara rak eskalator,” kata Norazam.

Bernama melaporkan pihak pengurusan membeli-belah telah menutup sementara eskalator itu susulan kejadian.

Punca kejadian masih belum disahkan, dan tidak dapat dipastikan bentuk kecederaan yang dialami mangsa.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Monyet resah anak kucing terperangkap di dalam perigi, selepas anak kucing diselamatkan monyet tidak mahu melepaskannya

0

Pentingnya kasih sayang sesama makhluk tidak dapat disangkal lagi biarpun berlainan spesies. Dengan wujudnya kasih sayang, pasti hidup akan lebih ceria dan bermakna. Kadangkala, daripada kasih sayang yang ditunjukkan itulah kita dapat mempelajari sesuatu nilai murni yang mana ia perlu diterapkan dalam diri kita. Video mengenai kasih sayang sesama makhluk ini memaparkan kisah monyet yang resah yang cuba menyelamatkan anak kucing yang terperangkap di dalam perigi. Menariknya, selepas anak kucing itu diselamatkan, si monyet tidak mahu melepaskannya!

Seekor monyet bertindak memanjat perigi tatkala terdengar bunyi anak kucing mengiau. Apabila melihat anak kucing yang begitu kasihan kerana terperangkap di dalam perigi itu membuatkan si monyet turun ke dalam perigi dan mendekati anak kucing itu. Anak kucing itu tidak berganjak ketika monyet memegangnya kerana ia telah terperangkap di dalam lumpur.

Monyet itu cuba mengangkat anak kucing itu tetapi tidak tahu harus bagaimana ia boleh mengeluarkan anak kucing itu dari dalam perigi. Perigi tersebut tidaklah begitu dalam tetapi masih sukar untuk si monyet mengeluarkan anak kucing tersebut. Monyet itu memanjat perigi seperti mahu mencari idea bagaimana ia dapat membantu anak kucing tersebut.

Selepas beberapa kali cubaan mengeluarkan anak kucing itu tidak berjaya, seorang kanak-kanak perempuan turun ke dalam perigi untuk membantu mengeluarkan anak kucing tersebut. Pada mulanya monyet itu kelihatan enggan menerima bantuan kanak-kanak tersebut, mungkin kerana beranggapan kanak-kanak itu akan membawa lari anak kucing tersebut. Nampaknya monyet itu telah jatuh sayang pada anak kucing itu.

Selepas mengambil anak kucing itu, kanak-kanak itu meletakkan anak kucing tersebut dipinggir perigi yang disambut oleh monyet. Seakan doktor yang memeriksa pesakit, monyet itu memeriksa badan anak kucing itu. Mungkin monyet itu mahu memastikan anak kucing itu tidak mengalami apa-apa kecederaan. Monyet itu memeriksa anak kucing itu dengan berhati-hati dan penuh kasih sayang.

Selepas turun dari pergi, beberapa kanak-kanak cuba mengambil anak kucing itu daripada pelukan si monyet. Namun, monyet tersebut enggan bekerjasama, malah marah kepada mereka yang cuba mendekati anak kucing itu. Kanak-kanak itu mahu membersihkan anak kucing itu tetapi telah disalah tafsirkan oleh si monyet. Monyet tersebut tidak berdiam diri dan bertindak melarikan anak kucing itu menjauhi kumpulan kanak-kanak itu.

Akhirnya selepas beberapa kali dipujuk, monyet tersebut akur dan menyerahkan anak kucing itu kepada seorang wanita. Wanita berkenaan telah menyediakan susu, mungkin untuk anak kucing dan monyet tersebut. Wanita itu mengelap badan anak kucing yang dikotori lumpur.

Monyet yang telah menyelamatkan anak kucing itu tidak mahu berenggang langsung dengan anak kucing itu. Monyet itu memeluk anak kucing itu untuk menenangkannya. Ternyata monyet itu benar-benar sayangkan anak kucing itu, seolah-olah ia tidak mahu melepaskannya.

Pengajaran daripada kisah ini ialah biarpun berlainan spesies, kasih sayang harus dipupuk tanpa syarat.

Tonton video di sini.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Penyelam hilang di Mersing: Bapa sahkan anak meninggal dunia – Maritim Johor

0

MERSING: Penyelam warga Belanda, Nathen Renze Chesters, 14, yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, dekat sini, Rabu lepas disahkan telah meninggal dunia oleh bapanya warganegara Britain, Adrian Chesters, 46.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Adrian memaklumkan anaknya meninggal dunia kerana terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.

Katanya Pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari mangsa.

“Penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35 tahun, penyelam warga Perancis, Alexia Molina, 18 tahun, dan penyelam warga Britain, Adrian Chesters, 46 tahun, selamat ditemukan.

Adrian Peter dan Alexia Molina ditemukan selamat oleh nelayan Indonesia kira-kira jam 1 pagi semalam, pada kedudukan kira-kira 70 batu nautika atau 100 kilometer dari lokasi terakhir mereka dilaporkan hilang.

Kedua-duanya kini berada di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Bagaimanapun, seorang remaja lelaki Nathen Renze, 14 tahun, yang masih belum ditemui telah disahkan meninggal dunia oleh bapanya, Adrian Chester, akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.

“Nathan Renze, yang dipercayai telah meninggal dunia dan hanyut ke perairan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu pada Rabu, empat penyelam dilaporkan hilang ketika latihan menyelam di sekitar perairan Pulau Tokong Sanggol, Perairan Mersing.

Bagaimanapun pada Khamis, Kristine ditemukan selamat pada kedudukan 30 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai hilang kira-kira jam 8.15 pagi oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

Jelas Nurul Hizam, pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi dan pihak terlibat sepanjang Op Carilamat ini berlangsung.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor: