Kurma adalah antara makanan yang cukup sinonim dengan bulan puasa umat Islam, bulan Ramadan. Terdapat pelbagai jenis kurma yang dijual di pasaran baik dalam negeri mahupun luar negara. Ada orang yang suka kurma bertekstur keras, ada orang yang suka kurma bertekstur lembut. Jadi, mereka sudah mengenal pasti siapakah pembekal yang membekalkan kurma kegemaran mereka. Namun begitu, masih ramai sebenarnya yang belum cakna bahawa pentingnya mengopek dan membasuh kurma sebelum makan. Mereka tidak tahu bahawa dengan mengopek dan membasuh kurma sebelum makan dapat mengelakkan daripada termakan bendasing yang terdapat pada kurma. Adakah anda salah seorang daripada mereka?
Public Health Malaysia, menerusi akaun media sosial Twitter menulis twit tentang pentingnya mengopek dan membasuh kurma sebelum dimakan. Katanya, kita tidak tahu tahap kebersihan pengendalian kurma semasa ia dipetik dan dibungkus. Dalam buah kurma juga mungkin ada serangga kecil tersembunyi seperti lipas, bubuk dan ulat. Membayangkan tergigit lipas sahaja sudah cukup menggelikan bukan? Oleh itu, kopek dan basuhlah kurma sebelum anda memakannya.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah khasiat dan rasa buah kurma ini hilang jika dibasuh? Jawapannya ialah, tidak. Oleh itu, jangan bimbang untuk membasuh kurma.
Bagaimana cara yang betul untuk membasuh kurma? Adakah dengan cara mengelap kurma-kurma itu dengan kain bersih yang dibasahkan atau dilembapkan? Atau cukup sekadar membasuhnya di bawah paip yang mengalir airnya?
Niena Samsir, menerusi catatannya di Facebook, berkongsi kaedah membasuh kurma yang betul. Katanya, ramai yang mengadu mengalami sakit perut, batuk dan pelbagai penyakit lain yang datang selepas makan kurma sehinggakan ada yang serik untuk makan kurma. Menurut Niena Samsir lagi, pembekal kurma turut mengingatkannya agar membasuh kurma sebelum memakan buah yang berkhasiat itu. Pembekal atau penjual tidak boleh membasuh kurma sebelum menjualnya kerana bimbang kurma akan rosak dan tidak tahan lama. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk membasuh kurma sebelum memakannya.
Cara untuk membasuh kurma cukup mudah. Mula-mula bersihkan kurma daripada habuk. Kemudian rendam kurma dalam air garam selama 5-10 minit. Selepas itu, bilaslah kurma tersebut dengan air bersih. Seterusnya, tapislah kurma itu. Untuk mendapatkan tekstur kurma yang lebih ‘juicy’, anda disarankan untuk menjemur kurma tersebut di bawah matahari yang panas terik. Namun jika anda hendak cepat, tidak perlulah menjemur kurma itu. Cukup hanya anda menapis kurma itu dan simpan di dalam peti sejuk. Dengan cara ini, kurma akan bertahan lebih lama.
Jika anda trauma kerana pernah mengalami pengalaman buruk makan kurma seperti tergigit serangga di dalam kurma atau termakan ulat, mungkin selepas mengetahui kepentingan membasuh kurma ini dapat mengurangkan trauma anda itu.
Cukup merugikan jika anda tidak makan kurma kerana kurma mengandungi banyak manfaat. Antara manfaat yang dikongsikan oleh mStar ialah:
1. Mengawal gula dalam darah – Kandungan fruktosa (gula semula jadi pada buah) yang terdapat dalam kurma dapat mengawal gula dalam darah.
2. Kaya antioksidan – melindungi sel-sel dalam tubuh daripada radikal bebas serta mencegah pelbagai penyakit kronik.
3. Meningkatkan kesihatan otak – meningkatkan daya ingatan serta mengurangkan risiko penyakit seperti Alzheimer.
4. Menjaga kesihatan tulang – kurma dapat mencegah penyakit tulang seperti osteoporosis.
5. Mengatasi masalah seksual – meningkatkan jumlah dan kualiti sperma kaum lelaki.
Apabila sudah tahu kepentingan untuk membasuh kurma ini, jangan disimpan sahaja ilmunya. Amalkan dan sebarkan kepada orang lain biar lebih ramai tahu mengenainya. Salam Ramadan.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: