Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas selepas kakinya tersangkut di eskalator di pusat membeli-belah IOI City Mall, Putrajaya pada Ahad, 10 April.
Dalam kejadian pada jam 1.48 petang, mangsa dipercayai bersama ibu bapanya yang dikatakan sedang turun dari tingkat dua pusat membeli-belah itu dengan menggunakan eskalator sebelum kakinya tersangkut.
Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada sekitar jam 1.48 petang, sebelum anggota penyelamat tiba di lokasi pada jam 2.01 petang.
Seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, sejurus tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kaki kanak-kanak itu tersangkut pada eskalator berkenaan.
“Kaki mangsa telah berjaya dikeluarkan,” katanya.
“Mangsa diserahkan kepada ambulans Hospital Serdang untuk tindakan selanjutnya. Kanak-kanak berusia tiga tahun itu dalam keadaan selamat,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis mengesahkan kejadian itu kepada Astro AWANI.
Menurutnya, sebelum kejadian mangsa bersama ibu bapanya sedang membeli-belah mencari keperluan hari raya.
“Kemungkinan kaki dia berada di tepi antara rak eskalator,” kata Norazam.
Bernama melaporkan pihak pengurusan membeli-belah telah menutup sementara eskalator itu susulan kejadian.
Punca kejadian masih belum disahkan, dan tidak dapat dipastikan bentuk kecederaan yang dialami mangsa.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: