34.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024
UtamaGlobalRatu Elizabeth II: Monarki Britain paling lama bertakhta selama 70 tahun mangkat

Ratu Elizabeth II: Monarki Britain paling lama bertakhta selama 70 tahun mangkat

Ratu Elizabeth II, monarki paling lama bertakhta dalam sejarah Britain selama 70 tahun dan 214 hari, mangkat pada usia 96 tahun pada 8 September 2022.

Putera Wales kini dinobat Raja Charles III, setelah menaiki takhta serta-merta sebaik sahaja kemangkatan bondanya.

Dalam satu kenyataan, Istana mengumumkan: “Ratu mangkat dengan aman di Balmoral pada petang ini. Raja dan Permaisuri akan kekal di Balmoral petang ini dan akan kembali ke London esok.”

Baginda dilahirkan sebagai Elizabeth Alexandra Mary Windsor pada 21 April 1926. Ayahanda baginda ketika itu dikenali sebagai Albert, Duke of York.

Pada usia 10 tahun, datuknya, Raja George V, mangkat dan digantikan oleh anak sulung, Edward VIII, yang hubungannya dengan seorang janda dari Amerika Syarikat, Wallis Simpson menyebabkan krisis turun takhta pada November 1936.

Pengunduran Edward VIII bermakna bapa Elizabeth dinobatkan sebagai Raja George VI. Seorang tokoh yang pemalu dan lemah lembut, baginda memimpin Britain melalui Perang Dunia Kedua.

Puteri Elizabeth berusia 13 tahun ketika perang dunia meletus, dan baginda telah dipindahkan dari London ke Istana Windsor yang mana, pada tahun berikutnya, baginda membuat siaran radio di BBC “Children’s Hour”.

Puteri Elizabeth ketika berusia 13 tahun di Windsor Great Park pada 21 April 1939. (Gambar AP)

Menjadi penyiar negara di usia 14 tahun

Bercakap kepada ratusan ribu kanak-kanak yang telah dipindahkan dari bandar-bandar di UK, Elizabeth berkata, “Saya dan adinda, Margaret Rose sangat menyayangi anda, kerana kami faham melalui pengalaman apa ertinya berjauhan daripada mereka yang paling anda sayangi. . Kepada anda yang tinggal di persekitaran baharu, kami menghantar mesej simpati yang sebenar dan pada masa yang sama, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang baik hati mengalu-alukan anda ke rumah mereka di negara ini.”

Ketika berusia 16 tahun, baginda diberi peranan kehormat berpangkat kolonel dalam “Grenadier Guards” dan memeriksa rejimen di Istana Windsor.

Apabila berusia 18 tahun pada April 1944, baginda menyertai “British Army’s Auxiliary Territorial Service” sehingga berpangkat komander muda semasa Jerman menyerah kalah.

Puteri Elizabeth dan tunangnya Lt.Philip Mountbatten pada 10 Julai 1947 di London. (Gambar AP)

Semasa perang, baginda jatuh cinta dengan seorang pegawai tentera laut muda, Lt. Philip Mountbatten, yang lima tahun lebih tua daripadanya dan mereka merupakan sepupu jauh.

Lt. Philip dilahirkan dalam keluarga diraja Greek, yang telah dipulihkan pada tahun 1936 tetapi digantikan oleh sebuah republik pada tahun 1973, dikenali sebagai Putera Philip dari Greece.

Pada tahun 1947, Elizabeth dan Philip berkahwin, dan mendapat gelaran Duke of Edinburgh. Anak pertama mereka, Putera Charles dilahirkan pada tahun berikutnya. Dua tahun kemudian, mereka melahirkan Puteri Anne.

Pada Februari 1952, Raja George VI, seorang perokok tegar, mangkat akibat kanser pada usia 56 tahun.

Elizabeth dan Philip baru sahaja berangkat melawat Australia dan New Zealand, tetapi berita kematian ayahandanya sampai ketika mereka berada di Kenya, dan pasangan itu segera terbang kembali ke England.

Queen Elizabeth II dan Duke of Edinburgh pada hari pertabalan melambai kepada rakyat jelata dari Istana Buckingham pada 2 Jun, 1953. (Gambar oleh Leslie Priest/AP)

Menjadi Ratu pada usia 25 tahun

Elizabeth baru berusia 25 tahun ketika menjadi Ratu, dan pertabalannya yang disiarkan di televisyen pada Jun 1953, sebagai Elizabeth II, adalah perayaan gemilang yang dilihat sebagai menamatkan era berjimat cermat dan kesuraman pasca perang.

Ratu muda itu melahirkan dua lagi putera, Putera Andrew pada tahun 1960 dan Putera Edward pada tahun 1964, dengan tenang membesarkan keluarga baginda disamping memerintah sebuah empayar yang perlahan-lahan mengecil apabila tanah jajahan di Afrika, Caribbean dan negara jajahan lain telah diberikan kemerdekaan.

Baginda kekal sebagai ketua negara manakala 14 Perdana Menteri datang dan pergi dan baru sahaja melantik Perdana Menteri ke-15, Liz Truss, pada 6 September lalu.

Ratu Elizabeth II kekal bijaksana dan berdiplomasi sepanjang pemerintahannya, berbeza dengan suaminya—yang terkenal dengan kesilapan politik—dan anak sulungnya, Putera Wales, yang sering mengulas tentang seni bina, homeopati, perubahan iklim, dan pelbagai subjek lain.

Keperibadian baginda yang sentiasa tenang dihormati oleh ahli politik dari kedua-dua parti politik utama Britain. Baginda menyambut mesra semua pemimpin luar negara termasuk dari negara musuh semasa zaman perang termasuk Maharaja Hirohito dari Jepun dan Presiden Perancis Francois Mitterand dan diktator sosialis Josip Tito dari Yugoslavia.

Keluarga Diraja Britain bergambar di Istana Windsor pada 5 Jun 1959. (Gambar AP)

Tahun gelap era 90-an

Pada Hari Krismas 1992, Ratu Elizabeth terkenal menggambarkan tahun itu—yang bukan sahaja menyaksikan kebakaran dahsyat di Istana Windsor tetapi juga rentetan pendedahan yang tidak wajar tentang perkahwinan Putera Charles dengan Puteri Diana, dan Putera Andrew dengan Sarah Ferguson, sebagai “annus horribilis.”

Lima tahun kemudian, Keluarga Diraja menghadapi saat paling gelap apabila Puteri Diana, yang telah menceraikan Putera Charles setahun sebelumnya, terbunuh dalam kemalangan kereta tragik di Paris.

Jubli Platinum

Ratu Elizabeth II memperoleh semula popularitinya pada abad ke-21 kerana menggelar dirinya sebagai warga emas, dan baginda memainkan watak paling digemarinya sebagai seorang nenek dan moyang yang penyayang kepada generasi baharu kerabat diraja, termasuk Putera William yang kini akan menggantikan ayahandanya yang berusia 73 tahun sebagai pewaris takhta—dan Putera Harry.

Baginda menyambut jubli platinum buat pertama kali oleh monarki Britain yang memerintah paling lama selama 70 tahun pada awal tahun ini.

Baginda kehilangan cinta dalam hidupnya, Putera Philip yang mangkat pada tahun lalu pada usia 99 tahun dan tahap kesihatan baginda sendiri mula merosot.

Ratu Elizabeth II bersama cucunda baginda Putera William dan isterinya Catherine bersama putera sulung mereka, Putera George, dan cucunda Putera Harry di Istana Buckingham pada 13 June 2015. (Gambar oleh Chris Jackson/Getty Images).

Awal tahun ini, baginda dikhabarkan berada dalam keadaan yang “sangat lemah dan keletihan” selepas dijangkiti COVID-19 pada bulan Februari.

Salah satu pertemuan rasmi dengan pemimpin negara yang terakhirnya adalah mengucapkan selamat tinggal kepada bekas Perdana Menteri Boris Johnson dan melantik penggantinya, Perdana Menteri Liz Truss dalam upacara yang dijalankan di Istana Rehat Balmoral di Aberdeenshire, Scotland dan bukannya di Istana Buckingham yang rasmi di London, memberi isyarat bahawa baginda Ratu amat gering untuk bergerak bagi urusan rasmi negara.

Sebaik sahaja kemangkatan Ratu Elizabeth II, Setiausaha Sulit Ratu, Edward Young segera menyampaikan mesej sulit kepada Perdana Menteri yang tertera, “London Bridge is down” yang akan mengatur Operasi London Bridge bagi persiapan pengebumian diraja yang terbesar dalam sejarah dunia.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI