Juruterbang yang dilaporkan hilang bersama sebuah helikopter di kawasan hutan di Bidor, Perak dalam nahas pada 11 September disahkan meninggal dunia.
Mayat mendiang Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun yang juga warganegara Hong Kong dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dari kawasan Hutan Simpan Chikus, pada sekitar jam 10.12 pagi, 12 September.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ditemukan dalam kokpit helikopter terbabit.

Katanya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memaklumkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkenaan penemuan bangkai helikopter yang terhempas di hutan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi kemas kini di akaun Facebook miliknya pada 12 September memaklumkan:
“Saya menerima laporan bahawa mangsa masih hidup ketika ditemui di lokasi nahas helikopter di Kg Kenangan, Bidor. Namun mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.”

“Petunjuk awal menunjukkan mangsa masih hidup di lokasi nahas apabila ditemui pada jam 8.18 pagi. Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri semasa pasukan penyelamat sedang menguruskan dalam misi menyelamat tersebut.”
“Pihak berkuasa termasuk CAAM dan SAR kini sedang menunggu pengesahan daripada hospital mengenai punca kematian.”
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juruterbang berkenaan bersama helikopter yang hilang membabitkan dua sektor iaitu di kawasan Hutan Simpan Chikus dan Kampung Kenangan, Jalan Bidor-Teluk Intan pada 11 September dan pagi 12 September dengan keseluruhan 197 anggota.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, SAR dijalankan di kawasan dalam 5 kilometer radius dari lokasi terakhir helikopter mangsa dikesan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC).
Helikopter jenis Eurocopter yang dikendalikan seorang juruterbang itu berlepas dari Subang pada jam 11.37 pagi dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada jam 12.37 tengah hari 11 September.
Helikopter itu dilaporkan terputus hubungan dengan pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari.
Pilihan Editor: