Satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan betapa seorang remaja lelaki ketagihan menggunakan telefon pintar sehingga tergamak membuat kekacauan di dalam rumah ibunya sendiri.
Hari ini, semakin ramai orang yang ketagihan menggunakan telefon pintar tanpa mengira usia. Terutamanya selepas telefon pintar dan internet tersedia untuk semua yang mana jika seseorang terlalu asyik, masa boleh terbuang begitu sahaja selama berjam-jam lamanya.
Terdapat beberapa manfaat menggunakan telefon pintar. Namun begitu, pada masa sama terdapat beberapa kelemahan, kerana ia bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian, malahan memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental.
Terutama kepada kanak-kanak dan remaja, masalah menjadi cepat marah adalah tinggi. Antara sebab mengapa kanak-kanak tidak boleh dibiarkan membiasakan diri dengan bermain telefon pintar tanpa had.
Satu video yang tular menunjukkan sebuah rumah hampir musnah seperti baru dilanda gempa bumi apabila seorang remaja berusia 15 tahun mengamuk selepas ibunya mengambil telefon pintar daripada tangannya.
Dia tidak teragak-agak tanpa fikir telah membuat kekacauan di dalam rumahnya sendiri. Nampaknya semua harta benda yang dibeli ibunya di dalam rumah itu telah musnah sama sekali.
Dapat dilihat dalam video itu semua barang berselerak di dalam dapur. Remaja berusia 15 tahun itu bukan sahaja memecahkan perabot malah turut memecahkan cermin dan almari di bilik tidur. Selain itu, dia juga mencipta huru-hara dengan memecahkan tingkap kaca di ruang tamu, merosakkan televisyen dan semua bilik air dipecahkannya.
Jika seseorang tidak mengetahui cerita sebenar, mereka mungkin mengandaikan sedang melihat video pasca kejadian gempa bumi.
Namun, realitinya remaja kurang matang ini telah menyebabkan kerugian beribu-ribu dolar di pihak ibunya yang telah merampas telefon pintarnya.
Jika anda menonton video secara keseluruhan dan reaksi sedih ibu ini, anda akan memahami tahap ketagihan menggunakan telefon pintar yang mampu dicapai oleh kanak-kanak dan remaja, sehingga menjadi membahayakan.
Dari dapur, ruang tamu sehingga ke bilik air dan bilik tidur, semuanya telah dimusnahkan. Menunjukkan betapa dahsyatnya ketagihan telefon pintar melanda anak muda.
Perkara tidak mengejutkan jika ia juga boleh berlaku kepada orang dewasa tanpa disedari. Ini merupakan satu penyakit.
Adegan kemusnahan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa mendidik generasi hari ini untuk belajar mengawal emosi dan tindakan mereka untuk melarikan diri dari ketagihan telefon pintar.
Vandalisme di dalam rumah sendiri boleh berlaku hanya berpunca daripada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun berasa tidak puas hati lalu marah dan mengamuk kerana ibunya mengambil telefon pintar.
Pada suatu hari seorang lelaki lingkungan umur warga emas datang bertemu dengan Doktor Samhan. Pakcik tersebut mahu Dr Samhan menolongnya yang dijangkiti kayap ular. Katanya jika kayap ular tersebut bersambung, dia akan meninggal dunia. Namun kata Dr Samhan, kayap ular jika bersambung akan membawa maut itu hanyalah mitos.
Menurut pengakuan pakcik itu, semasa kecil dahulu dia pernah dijangkiti cacar air (chicken pox). Daripada situlah Dr Samhan menerangkan bahawa virus yang menyebabkan cacar air itu jugalah yang menyebabkan berlakunya kayap (herpes zoster). Bagaimana ini terjadi?
Kata Dr Samhan, kayap ular disebabkan oleh Varicella Zoster Virus (VSV) iaitu virus sama yang menyebabkan cacar air (chicken pox). Oleh itu, jika sesiapa yang pernah dijangkiti cacar air berisiko mendapat jangkitan kayap ular.
Ini kerana, selepas pesakit pulih daripada jangkitan cacar air dan tidak dirawat dengan sempurna, virus yang sama akan terus hidup dan berbaki yang kemudiannya memasuki sistem saraf pesakit dan tidak aktif selama bertahun-tahun.
Akhirnya, apabila daya tahan bekas pesakit cacar air ini menjadi lemah semula, virus ini akan menjadi kembali aktif dan bergerak sepanjang laluan saraf pada kulit dan menyebabkan lepuhan dan kayap.
Menurut Dr Samhan lagi, pegerakan sepanjang saraf ini ibarat ular yang membelit, sebab itu dinamakan kayap ular.
Walaubagaimana pun, mustahil bagi kayap ular ini bersambung.
Ini kerana, kayap ini biasanya akan menyerang satu saraf (dermatome) pada suatu bahagian badan sahaja. Setiap akar saraf mempunyai dua set yang sama untuk memberikan deria sentuhan di kedua-dua belah kiri dan kanan bahagian badan.
Maka, apabila virus tersebut menjadi aktif semula, kayap ular hanya terjadi di sebelah kiri atau kanan sesuatu bahagian kecil badan sahaja, bergantung di saraf mana letak duduknya virus tersebut. Oleh yang demikian, agak mustahil untuk kayap ular itu mengelilingi badan kita.
Kayap biasanya melibatkan dada dan muka. Terdapat segolongan kecil pesakit mungkin mengalami kayap ular di lebih dari satu bahagian badan tetapi tidak mungkin di kiri dan kanan secara serentak. Ia tidak akan bersambung. Itu semua mitos!
Kata Dr Samhan lagi, sehingga kini tiada rawatan yang berkesan sepenuhnya untuk merawat kayap ular. Rawatan yang ada hanya mampu memendekkan jangka masa penyakit dan mengelakkan komplikasi.
Antara ubat yang biasa dipreskripsi oleh doktor ialah:
Anti-viral: seperti Acyclovir. Ubat ini penting untuk mengurangkan kesakitan dan memendekkan tempoh penyakit.
Ubat tahan sakit: seperti NSAIDs untuk membantu pesakit menangani rasa sakit yang ditanggung.
Krim antibiotik: sekiranya berlaku jangkitan bakteria pada kayap tersebut.
Selepas mendengar penerangan doktor dengan begitu teliti, pakcik tersebut menceritakan tentang jirannya yang meninggal dunia yang dikatakan akibat kayap bersambung. Namun dia tidak melihat kayap pada pesakit tersebut.
Membalas pada pakcik tersebut, Dr Samhan berkata, “dia meninggal mungkin sebab lain, kebetulan pula ada kayap.”
Kata Dr Samhan lagi, ramai yang menyangka jika kayap bersambung akan meninggal dunia. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa rokok lebih bahaya daripada kayap. Dia menjeling rokok yang sedikit terkeluar daripada poket baju pakcik tersebut. Pakcik tersebut membalas, “betul, doktor”, sambil menolak rokok masuk ke dalam poket dan tersengih.
“Pakcik datang hari ini sebab apa?”
“Doktor tolong pakcik, pakcik ada kayap ular. Kalau kayap ini bersambung, mati pakcik”, sambil selak bajunya.
“Pakcik pernah kena chicken pox masa kecil dulu?Atau ada orang panggil cacar air.Yang kulit jadi gelembung lepas itu jadi parut” pic.twitter.com/PrR1ju2pqm
Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Perpisahan itu bukan untuk memutuskan hubungan tetapi demi meneruskan kehidupan masing-masing yang ada destinasinya yang tersendiri. Antara perpisahan yang memberi kesan dalam diri ialah perpisahan antara pelajar dan guru. Deraian air mata membasahi wajah pelajar tingkatan enam dan guru pada hari terakhir persekolahan bukti akrabnya hubungan mereka.
Baru-baru ini tular di TikTok, sebuah video mengenai perpisahan pelajar tingkatan enam dan guru di sebuah sekolah yang sangat menyentuh hati. Guru tersebut dikenali sebagai Cikgu Chandra.
Kesedihan yang terpancar pada wajah cikgu berbangsa India ini jelas menunjukkan bahawa dia turut berasa berat hati dengan perpisahan tersebut. Apatah lagi bagi pelajar-pelajar yang telah melalui pelbagai pengalaman sepanjang sesi pembelajaran dengan guru tersebut.
Menerusi video itu, kelihatan ada pelajar yang menahan sebak di atas perpisahan tersebut.
Pelukan erat yang dilihat daripada rakaman video tersebut menunjukkan betapa eratnya hubungan antara guru dan pelajar itu.
Dikatakan, peribadi guru tersebut yang begitu tulus mengajar persis seorang ibu membuatkan dia disenangi ramai pelajar.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang turut mengalirkan air mata kerana tersentuh hati melihat keakraban guru dan pelajar tersebut.
Rupa-rupanya ada juga netizen yang mengenali Cikgu Chandra ini.
Menurut salah seorang netizen, Cikgu Chandra merupakan pensyarah di Matrikulasi Johor sekitar tahun 2010/2011. Dia merupakan pensyarah yang sangat baik, dan cara pengajarannya amat mudah difahami oleh pelajar.
Ada netizen yang menasihati pelajar-pelajar tersebut agar tidak melupakan jasa Cikgu Chandra.
Ada juga yang mengingatkan pelajar agar datang menziarahi Cikgu Chandra apabila masing-masing sudah melangkah ke alam pekerjaan. Pasti cikgu tersebut akan berasa bangga dengan bekas pelajarnya.
Biarpun berlainan agama dan bangsa, guru adalah seseorang yang perlu dihormati dan dimuliakan. Tanpa guru, siapalah kita. Terima kasih, guru!
Gergasi media sosial TikTok dan hubungannya yang samar-samar dengan Parti Komunis China (PKC) menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara Amerika Syarikat, menurut seorang pakar.
Geoffrey Cain, seorang wartawan penyiasat bebas dan pengarang buku mengenai usaha PKC untuk membina keadaan pengawasan totalitarian, percaya bahawa kemunculan TikTok yang bermasalah, struktur korporat dalam bayangan dan sambungan kepada undang-undang data China menjadikannya ancaman unik kepada Amerika Syarikat.
“Masalah TikTok adalah ia merupakan ancaman keselamatan negara kepada Amerika Syarikat dan negara di luar China,” kata Cain semasa wawancara 29 September dengan “American Thought Leaders“ terbitan NTD.
“Ia adalah bencana sedang menunggu untuk berlaku, kerana TikTok, walaupun syarikat itu menafikannya, secara asasnya bertanggungjawab untuk mematuhi undang-undang China, undang-undang yang dicipta oleh Parti Komunis China.”
Geoffrey Cain (Bao Qiu / The Epoch Times)
Perpindahan TikTok ke Amerika Syarikat diselubungi misteri
Cain menekankan TikTok bukan sahaja dimiliki oleh syarikat China, ByteDance, tetapi juga dicipta oleh salah seorang pemimpin syarikat dalam kecerdasan buatan (AI) menggunakan pembiayaan daripada Sequoia Capital yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Selain itu, Cain berkata langkah TikTok ke pasaran dunia berlaku dalam keadaan yang meragukan, kerana syarikat itu hanya mencapai khalayak global selepas ia dipasangkan dengan pejabat Santa Monica Music.ly, sebuah lagi syarikat media sosial milik China.
TikTok tidak memaklumkan pegawai Amerika Syarikat tentang penggabungan itu walaupun kedua-dua syarikat mempunyai hubungan dengan China, kata Cain.
“Terdapat banyak bendera merah, tetapi bendera merah terbesar mengenai pengambilalihan ini ialah TikTok tidak memberitahu kerajaan Amerika Syarikat tentang pengambilalihan itu,” kata Cain.
“Itu sepatutnya membunyikan loceng penggera. Mengapa TikTok memutuskan untuk tidak melakukan semakan itu? Seolah-olah mereka menyelinap ke pasaran dan meletakkan perisian mereka di tangan generasi akan datang.”
Berikutan pendedahan itu, pentadbiran Trump cuba mengharamkan TikTok atau sebaliknya dijual kepada syarikat induk Amerika Syarikat, dan kes itu telah disemak oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing di Amerika Syarikat (CFIUS) sejak itu.
Cain baru-baru ini memberi keterangan di hadapan Senat A.S. mengenai isu itu. Dalam keterangannya (pdf) beliau membincangkan hubungan yang didokumenkan antara ByteDance, TikTok, dan PKC, termasuk mesyuarat dalaman di syarikat di mana pekerja didakwa memuji PKC.
Kini, Cain berkata beliau percaya PKC menggunakan TikTok untuk menyebarkan pengawasan dan penapisan ke seluruh dunia.
“Para eksekutif TikTok telah mengakui pada masa lalu bahawa algoritma yang digunakan oleh TikTok telah digunakan untuk menyekat berita buruk yang keluar dari China,” kata Cain.
Cain merujuk kepada keterangan bersumpah seorang eksekutif TikTok yang memberi keterangan di hadapan Parlimen Britain pada 2020 bahawa TikTok menapis atau sebaliknya menyekat maklumat tentang pembunuhan beramai-ramai etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China atas permintaan pihak berkuasa PKC.
Cain juga menunjukkan garis panduan moderasi yang dibocorkan pada tahun 2019 yang menunjukkan TikTok dan ByteDance mengarahkan moderator global, termasuk di Amerika Syarikat, untuk menyekat mana-mana video yang menunjukkan kemiskinan, kawasan setinggan atau orang hodoh di China, dan untuk menapis komen kritikal tentang tindakan China di Tibet dan Dataran Tiananmen.
TikTok telah mengatakan dasar ini tidak lagi berkuat kuasa.
PKC boleh mengakses semuanya
Di tengah-tengah kebimbangan Cain tentang risiko TikTok adalah persimpangan undang-undang data CCP dan hubungan antara syarikat dan pemiliknya yang berpangkalan di China.
Undang-undang Perisikan Kebangsaan dan Undang-undang Keselamatan Negara PKC, sebagai contoh, menghendaki semua syarikat yang beroperasi di tanah besar China atau dengan majoriti kepentingan China untuk menyerahkan semua data kepada PKC atas permintaan.
Ini bermakna mana-mana eksekutif di TikTok atau ByteDance, jika berpangkalan di China, boleh dipaksa secara sah oleh PKC untuk menyerahkan data syarikat, termasuk maklumat tentang pengecaman muka pengguna, aktiviti melayari internet dan kata laluan yang dikunci.
Oleh itu, beberapa pakar keselamatan berkata TikTok ialah aplikasi “bersenjata” yang memberi manfaat kepada kempen ketenteraan dan pengintipan PKC.
“Di sinilah sambungan TikTok dan ByteDance menjadi sangat bermasalah,” kata Cain.
“Tidak akan ada garis yang berasingan antara [TikTok dan ByteDance], Parti Komunis China akan melihat TikTok pada asasnya sebagai syarikat China dan yang perlu melaporkan kepada Parti Komunis China.” katanya.
TikTok sebelum ini berkata semua data pengguna Amerika disimpan di dalam Amerika Syarikat.
TikTok sejak itu mengakui perkara ini tidak benar, bagaimanapun, dalam pendengaran kongres pada September, eksekutif TikTok enggan komited untuk menghentikan aliran data Amerika ke China.
Cain bimbang data sedemikian boleh digunakan dengan mudah oleh PKC untuk memburu dan menutup mulut musuh politiknya.
“Ini boleh jadi penentang Hong Kong, ini boleh jadi komander tentera Amerika, ini boleh jadi sesiapa sahaja yang mungkin menarik minat Parti Komunis China,” kata Cain.
“Para eksekutif itu dikehendaki oleh undang-undang China untuk menyerahkan data.”
Ancaman kepada aliran maklumat yang bebas dan terbuka
Dengan itu, Cain berkata apabila membenarkan TikTok terus beroperasi di Amerika Syarikat semasa ia masih dimiliki oleh ByteDance merupakan ancaman langsung kepada keselamatan negara Amerika Syarikat.
Lebih-lebih lagi, katanya, ia tidak sesuai dengan kebebasan bersuara yang dihargai oleh negara demokrasi.
“Apakah yang membezakan TikTok dan ByteDance yang beroperasi di seluruh dunia daripada apa yang berlaku di Xinjiang?” tanya Cain.
“[TikTok] mungkin tidak benar-benar mengendalikan kem tahanan, tetapi mereka telah terlibat dalam menyekat dan menapis berita tentang kekejaman ini. Mereka secara asasnya menggunakan teknologi yang sama seperti yang digunakan oleh kerajaan China untuk memantau dan mengawasi rakyatnya.”
Pada akhir wawancara, Cain berkata satu-satunya cara berkesan menyebabkan ancaman yang ditimbulkan kepada warga Amerika Syarikat oleh aplikasi lengai ini adalah untuk memastikan hubungannya dengan ByteDance dan China, ditamatkan.
Hanya dengan memindahkan pemilikan syarikat itu daripada PKC dan kepada syarikat domestik, kata Cain, ancaman itu boleh dikurangkan.
“TikTok hendaklah sekurang-kurangnya dijual kepada syarikat Amerika,” kata Cain. “Kita tidak boleh mempunyai syarikat besar yang berkaitan dengan Parti Komunis China yang menjalankan platform media sosial besar-besaran di Amerika Syarikat.”
“Ia kuda Trojan. Ia adalah musuh dalam selimut. Ia adalah segala-galanya yang anda tidak mahu dalam demokrasi moden,” kata Geoffrey Cain.
Bagi ibu yang baru bersalin, ada beberapa pantang yang perlu mereka turutkan demi memastikan emosi dan kesihatan mereka terjaga dan memuaskan. Antara pantang yang perlu dipatuhi ibu ialah pantang merokok, pantang makan produk kurus dan pantang tidak berjalan dan baring sahaja. Ini termasuklah pantang makan. Bercakap mengenai makanan ketika berpantang, hidangan berpantang yang disediakan oleh suami untuk isterinya yang baru bersalin ini bukan sahaja berkhasiat tetapi melucukan!
Menurut @FarahMohan hidangan berpantang tersebut disediakan sendiri oleh suaminya. Antaranya ialah seperti gambar-gambar yang dikongsinya di Twitter.
Hidangan berpantang yang disediakan oleh suaminya memang berkhasiat dan sesuai untuk ibu bersalin. Namun yang mencuri perhatian adalah hiasan pada hidangan tersebut.
Rata-rata netizen suka dengan hidangan tersebut kerana ia sangat menghiburkan!
Menurut @FarahMohan, suaminya itu adalah seorang pereka grafik. Jadi tidak hairanlah jika hidangan berpantang tersebut didatangkan dengan pelbagai hiasan menarik dan mencuit hati.
Tetapi ada sesetengah masyarakat yang masih ragu-ragu tentang makanan yang boleh dimakan oleh ibu bersalin. Ini kerana, ada yang berpendapat terdapat makanan yang tidak sesuai dimakan oleh ibu kerana dikhuatiri akan melambatkan proses penyembuhan luka atau menyebabkan perut kembung.
Namun, menurut Dr Muhammad Izzat menerusi hantarannya di Twitter, jika tidak ada alergi, ibu bersalin boleh makan seperti biasa.
Bagi ibu-ibu yang sedang berpantang, selamat berpantang! Semoga anda dan bayi anda sentiasa sihat.
Ejen kosmetik yang diculik dari rumahnya oleh sekumpulan lelaki di Kelantan pada 13 September lalu telah berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkongsi wanita berkenaan telah diselamatkan di Thailand dan kini selamat dibawa pulang ke Malaysia pada 29 September, lapor Harian Metro.
Gambar Harian Metro
“Melalui siasatan dan kerjasama erat antara PDRM dan polis Thailand serta perkongsian maklumat dan risikan, mereka berjaya mengesan lokasi mangsa di Thailand,” katanya.
“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand dan telah dibawa pulang ke Malaysia,” katanya.
Selain itu, 7 lelaki tempatan ditahan di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur, dan kenderaan yang digunakan suspek telah dirampas bagi membantu siasatan kes penculikan itu.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.
Selain itu, Acryl turut menzahirkan penghargaannya kepada polis Thailand dan Kedutaan Besar Malaysia di Thailand atas bantuan dan kerjasama mereka dalam usaha menyelamatkan mangsa culik berkenaan.
Seorang pengguna TikTok terkejut apabila mendapati sandwic 7-Eleven yang dibelinya hanya mempunyai dua keping kecil ham ayam, walaupun ia dipanggil ‘sandwic ayam berganda’.
Dalam video berdurasi sembilan saat itu, pencipta kandungan Eycah menunjukkan sandwic kepada kamera, dan hirisan ayam dapat dilihat dengan jelas dari hadapan pembungkusan lutsinar.
Bagaimanapun, apabila dia membuka sandwic untuk mendedahkan isinya, didapati hirisan ayam hanya beberapa sentimeter panjang dan diletakkan secara strategik hanya di bahagian hadapan bungkusan.
Hirisan ayam juga dilipat dua bagi menampakkan sandwic ‘lebih penuh’.
Roti hanya disapu sedikit dengan sos mayonis, dan hanya ada dua keping salad.
Video itu telah mendapat lebih 2 juta tontonan dengan beribu-ribu netizen terkejut dengan sandwic ayam yang hampir disumbat, dengan beberapa netizen menggelarnya sebagai “scamwich”.
“Oh tidak, kawan. Anda perlukan isi semula untuk scamwich itu,” baca komen teratas.
“Sekarang, (ini) sebabnya…mengapa [pembungkusan] tidak (sepenuhnya) telus,” tulis seorang pengguna TikTok.
“7-Eleven Malaysia, kenapa? Kami perlukan penjelasan mengenai perkara ini!” teriak seseorang,
Manakala seorang lagi menambah, “7-Eleven Malaysia, apa ini?”
Eycah memberitahu dia membayar kira-kira RM7 untuk sandwic itu yang dibeli di cawangan 7-Eleven di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur, pada 24 September.
“Saya tidak sangka sandwic ayam berganda dari 7-Eleven akan menjadi macam itu. Kerana apabila saya membelinya di cawangan lain, ia tidak seperti ini. Dan saya mempercayai 7-Eleven,” keluhnya.
“Saya penat naik bas. Baru balik dari Pulau Perhentian dah lapar. Banyak lagi kedai jual sandwic, tapi saya nampak 7-Eleven. Dan kami tahu ulasan untuk 7-Eleven bagus. Jadi saya hanya mengambil sandwic itu tanpa memeriksa,” katanya.
Dalam satu kenyataan, 7-Eleven telah menyatakan permohonan maaf dan akan bertanggungjawab dengan insiden yang berlaku, menurut SAYS.
“Kami memohon maaf atas isu ini dan akan bertanggungjawab sepenuhnya. Terdapat kesilapan oleh rakan pembekal kami dan telah menyelesaikannya dengan segera. Kami meletakkan kepuasan pelanggan sebagai keutamaan kami,” kata mereka dalam kenyataan itu.
Bila zaman ini, menjadi perkara biasa bila kita membeli barangan dalam talian, kadang-kadang barang itu bukanlah murah pula, jika ditakdirkan monyet yang menerimanya bagi pihak kita tanpa mendapat arahan.
Dalam satu video TikTok yang tular, seorang pemuda berkongsi barangnya yang baru sampai ke rumah tiba-tiba telah dicuri oleh seekor monyet tidak diundang yang bertandang ke rumahnya.
Pemuda ini mula gelabah selepas monyet ini ‘mengambil’ parcelnya tanpa izin.
Kelihatan dia macam memang bengang dengan monyet itu. Belum sempat parcel itu diambil, monyet itu telah mencapainya terlebih dahulu, dan cepat pula dia memanjat beralih ke tingkat atas rumahnya.
Video monyet mengambil parcel dan siap ‘unboxing’ bagi pihak pemuda ini telah membuatkan rata-rata netizen terhibur geli hati melihat rundingannya bersama haiwan nakal itu, dengan komen mereka:
Seorang ahli perniagaan berusia 38 tahun telah diculik secara terang-terangan di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang oleh sekumpulan lelaki yang menaiki Toyota Vellfire berwarna putih pada siang hari.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang, 29 September.
“Mangsa telah pergi ke sebuah restoran seorang diri apabila ditarik dan dipaksa memasuki ke dalam Toyota Vellfire berwarna putih oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 September.
“Mangsa menjerit meminta tolong dan bergelut untuk melepaskan diri, tetapi tidak berjaya,” katanya.
Penculikan itu menjadi tular di media sosial, dengan orang awam yang lalu lalang merakam dan memuat naik kejadian jenayah itu ketika ia berlaku.
Beberapa siri video menunjukkan beberapa penunggang motosikal cuba menghentikan penculikan itu dan turut mengekori Vellfire putih berkenaan ketika ia meninggalkan tempat kejadian.
Bagaimanapun, mereka tidak berjaya memberhentikan kenderaan mewah tersebut.
Secara kebetulan, polis berkata mangsa muncul lima jam kemudian di ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya, mendakwa dia telah dibebaskan oleh penculik berkenaan di Klang.
Farouk berkata lelaki itu muncul kira-kira jam 10.45 malam untuk membuat laporan polis.
Mangsa mengalami kecederaan di muka dan kaki dan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.
“Kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan hutang kepada majikannya,” kata polis sambil menambah, pihaknya masih menjejaki suspek.
Tak pasti lokasi di mana….ada orang hantar kat insta Mynewshub….apa gila main angkut orang kat tengah jalan camtu….ingat negara takda undang-undang ke pic.twitter.com/ZlRREjNoRP
Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik atau penculikan dengan niat mengurung seseorang secara salah.
ACP Farouk juga berterima kasih kepada orang awam atas usaha mereka mengejar penculik berkenaan, dan menasihati semua orang ramai supaya tidak mengambil pinjaman daripada pemberi pinjaman tidak berlesen.
Selepas diseksa selama 10 bulan di Kemboja, dua orang rakyat Malaysia yang merupakan mangsa sindiket penipuan kerja di Kemboja akhirnya diberi cuti satu hari. Tanpa berfikir panjang, mereka menggunakan peluang keemasan tersebut untuk meninggalkan tempat tahanan lalu bersembunyi di hotel tempatan sebelum meminta pertolongan daripada pihak kedutaan. Selepas berjaya pulang ke kampung halaman, mereka membongkar pengalaman diseksa majikan selepas meminta pertolongan daripada pihak polis tempatan.
Mangsa, Encik A dan Encik B (bukan nama sebenar) masing-masing berumur 30 dan 44 tahun, ditemani Ong Seong Lu, wakil dari Parti Bersama Malaysia (Malaysian United Party) Jabatan Perkhidmatan dan Aduan mengadakan sidang media untuk membongkar pengalaman pahit sepanjang bekerja di Kemboja.
Menurut Encik A, dia terpedaya dengan tawaran bekerja dalam kumpulan di Kemboja namun tidak mengetahui bahawa dia sebenarnya ditugaskan untuk melakukan kerja penipuan. Selain dipaksa bekerja selama 13 hingga 18 jam sehari, dia diberikan makanan yang sukar ditelan, dan jika dia tidak patuh dengan arahan yang diberikan, dia akan dipukul atau dikenakan renjatan elektrik oleh pengawal keselamatan.
“Selepas dipukul, kami mendapatkan pemeriksaan doktor di klinik yang terletak di tingkat bawah syarikat dan doktor memberikan preskripsi ubat yang perlu dimakan.”
Tambah Encik A lagi, majikannya mempunyai kasino dan turut menjalankan aktiviti penipuan dan jika dia enggan melakukan penipuan tersebut, dia akan dipukul dengan kayu atau dikenakan renjatan elektrik. Dia juga dipaksa oleh majikannya membantu melakukan kerja-kerja penterjemahan bagi mangsa dari negara lain seperti Vietnam, Filipina dan India.
“Kami pernah menghubungi polis tempatan namun polis tersebut terus memaklumkan majikan kami dan kami dipukul dengan lebih kuat.”
Ketika berada di sana, Encik A dijangkiti Covid-19 namun disebabkan prestasi kerjanya tidak memuaskan, gajinya ditolak untuk membayar kos rawatan. Dia tidak mempunyai duit untuk membeli makanan dan ubat. Disebabkan itu, dia terpaksa meminjam wang sebanyak USD2,000 daripada majikannya.
Menurutnya lagi, “barangan di sana terlalu mahal, walaupun kami menerima gaji dalam mata wang Dolar Amerika, tetapi mereka menjual kepada kami dengan harga yang lebih mahal daripada harga asal antara 100,200%, kami juga tidak mampu membeli ubat.”
Kata Encik A lagi, dia telah menandatangani kontrak pekerjaan selama lapan bulan namun selepas tamat tempoh, dia tidak dibenarkan kembali ke Malaysia. Kerana tiada pilihan lain, dia terpaksa akur dengan arahan tersebut dan selepas bekerja selama 10 bulan, dia akhirnya diberikan cuti.
Selepas dibenarkan bercuti, Encik A dan Encik B meninggalkan majikan mereka pada 18 September, bersembunyi di hotel dan meminta pertolongan daripada kedutaan pada 20 September.
Sementara menunggu Timbalan Perdana Menteri mendapatkan semula pasport daripada bekas majikan mereka, mereka kerap berpindah ke hotel lain agar tidak dapat dikesan oleh orang suruhan majikannya.
Selepas mendapat pasport mereka semula, mereka terus pulang ke Pulau Pinang.
Encik A percaya terdapat lebih kurang 200 orang lagi mangsa penipuan di tempat kerjanya dahulu, 30 orang daripadanya adalah rakyat Malaysia, dan kebanyakkannya mahu kembali ke Malaysia.
“Saya tidak perlu bimbang dan takut apabila pulang ke Malaysia, saya masih dapat bergembira bersama keluarga saya dan saya berharap orang ramai tidak terpedaya untuk bekerja di Kemboja.”
Itu kisah Encik A.
Bagi Encik B pula, dia dipukul kerana prestasi kerja yang tidak memuaskan dan hampir dijual kepada majikan lain. Selain itu, dia juga sudah siap sedia dengan ugutan bahawa organnya akan diambil oleh majikan.
Kata Encik B, dia pergi ke Kemboja menerusi orang tengah untuk melakukan kerja-kerja penipuan. Disebabkan tahap keupayaan pembelajarannya lemah, dia sering dipukul sepanjang berada di sana. Seminggu kemudian, majikannya mengarahkannya untuk merakam video, dia percaya bahawa dia akan dijual kepada sindiket lain namun percubaan tersebut gagal.
“Kemudian, saya ditugaskan untuk melakukan pekerjaan berdaftar, disebabkan tugasan tersebut lebih mudah, separuh gaji saya dipotong, daripada USD2,000 kepada USD1,000 dan hampir setiap hari saya dipaksa bekerja lebih masa. Saya hanya tidur selama enam jam sehari.”
Kata Encik B lagi, dia perlu membayar sekitar USD50,000 hingga USD150,000 jika mahu meninggalkan kumpulan sindiket tersebut. Memikirkan hal itu, dia bersedia untuk memberikan organnya jika hanya dengan itu sahaja dapat membebaskannya daripada pertahanan majikannya itu.
Selepas berjaya kembali ke Malaysia, Encik B menasihati rakyat Malaysia agar tidak bekerja di Kemboja walaupun ditawarkan gaji lumayan. Ini kerana, semua gaji akhirnya akan kembali semula kepada majikan dan tiada apa yang tinggal untuk mangsa.
Menurut Ong Seong Lu, terdapat rakyat Malaysia yang masih degil dan berkeras mahu datang ke Kemboja untuk bekerja. Baru-baru ini terdapat dua orang rakyat Malaysia lagi yang berlepas ke Kemboja namun kedudukannya masih tidak dapat dikesan.
Kata Ong Seong Lu, walaupun gaji yang ditawarkan di Malaysia rendah, itu lebih baik kerana jika anda datang ke Kemboja nyawa anda mungkin melayang.
“Saya berharap anda akan menonton lebih banyak berita dan jangan jadi orang yang jahil.”
Kepada rakyat Malaysia, berhati-hatilah dan jangan mudah terpedaya dengan gaji lumayan yang ditawarkan oleh majikan dari negara luar. Sudah banyak kes penipuan pekerjaan dibongkarkan, jadi jangan ambil risiko.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.