Keganasan yang berlaku ketika perlawanan bola sepak Liga 1 antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan di Jawa Timur, Indonesia dilaporkan secara rasmi meragut nyawa 125 penyokong dan penonton bola sepak termasuk anggota polis setakat ini, dalam tragedi yang berlaku pada malam 1 Oktober.
Kekacauan tercetus berikutan kemenangan 3-2 Persebaya Surabaya, yang membawa kepada pencerobohan padang oleh ribuan penyokong Arema FC, di Stadium Kanjuruhan di Malang.

Rempuhan itu menyebabkan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan kemaraan orang ramai, dengan beberapa pemain Arema FC masih berada di padang ketika pencerobohan dan rusuhan mula berlaku.
Para penyokong dilihat berada dalam keadaan huru-hara selepas pasukan polis melepaskan gas pemedih mata dan ramai membawa rakan mereka yang tidak sedarkan diri keluar dari padang.

Menjadi rusuhan bola sepak terburuk di Asia dan kedua terburuk di dunia selepas tragedi di Lima, Peru pada 24 Mei 1964 yang mengorbankan 328 penonton bola sepak.
Kira-kira 300 telah dikejarkan ke hospital, tetapi ramai yang meninggal dunia dalam perjalanan atau ketika menerima rawatan.
Menurut Ketua Polis Jawa Timur, 180 dilaporkan cedera yang kebanyakannya dalam keadaan parah, dengan mangsa seawal usia lima tahun dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan.

Mengaitkan kematian dengan “kesesakan, dihimpit, dipijak dan sesak nafas” ketika berada di dalam stadium itu, yang hanya mampu memuatkan 38,000 penonton, tetapi menyaksikan 42,000 tiket perlawanan dikeluarkan, dan dikatakan kapasiti penonton adalah kira-kira 53,000 orang pada perlawanan berlangsung.
Menurut bekas jurulatih pasukan futsal kebangsaan Indonesia, Justinus Lhaksana, ini bukan insiden yang pertama kali buat Indonesia:

“Saya amat sedih kerana mereka tidak menemui jalan penyelesaian sebelum semua ini berlaku.”
“Peminat dan penyokong yang tidak terkawal serta gangguan keganasan telah berlaku selama bertahun-tahun.”
“Ini bukan pertembungan antara dua pesaing, tetapi pertembungan antara penyokong yang kecewa dan ditambah dengan tindakan polis.”

Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kejadian.
Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan mangsa yang terkorban dalam kejadian rusuhan bola sepak bukan berpunca daripada pergaduhan antara penyokong.

Mangsa yang terkorban dipercayai sesak nafas, terhimpit serta dipijak ketika para penyokong cuba untuk keluar dari stadium berkenaan. PSSI telah menyerahkan laporan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung insiden berkenaan.
Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menilai standard keselamatan pada perlawanan bola sepak, dan semua perlawanan Liga 1 ditangguhkan sehingga diberitahu kelak, untuk siasatan menyeluruh dilakukan bagi mencari punca sebenar insiden.
Salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban.
Pilihan Editor: