31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 23, 2025
Utama Blog Laman 135

Tips elak daripada penipu yang mencuri duit dalam bank

0

Kejadian duit hilang dalam bank semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Ada yang kehilangan duit ratusan ringgit malah ada juga yang kehilangan duit hingga ribuan ringgit. Sakit hati, kecewa, panik semuanya bercampur baur tambahan pula duit yang hilang itu tidak akan diperoleh atau diganti semula oleh pihak bank. Berikut adalah beberapa tips untuk mengelak daripada penipu yang mencuri duit dalam bank.

PEXELS

Tips pertama ini dikongsikan oleh Fariz Hazwan melalui catatannya di Facebook. Dia melihat ramai orang yang mempertikaikan bagaimana transaksi duit ke akaun penipu boleh berlaku walaupun tanpa kod kebenaran transaksi (TAC). Menurut Fariz, kejadian tersebut berlaku mungkin disebabkan akaun pemilik sudah terhubung dengan telefon penipu tersebut. Bagaimana ini terjadi?

Ini disebabkan kehadiran peranti yang tidak dikenali yang membolehkan mereka mengakses akaun bank pemilik tanpa disedari oleh pemilik.

Selain berharap bank-bank contohnya dalam perkongsian ini CIMB menaik taraf sistem keselamatan mereka, pemilik akaun CIMB khususnya boleh mencuba tips ini.

1. Log masuk aplikasi CIMB dan luncur ke kanan untuk pergi ke bahagian Setting.

Fariz Hazwan

2. Klik Setting.

3. Sekiranya ada peranti lain selain telefon anda, sila hapuskan dengan cara luncurkan ke kiri dan hapus.

Dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat mengelakkan penipu daripada mengakses masuk akaun bank pemilik sesuka hati mereka.

Selain tips yang dikongsikan oleh Fariz itu, anda juga boleh mencuba tips yang dikongsikan oleh YouTuber masakan terkenal, Che Nom.

Menurut Che Nom, penipu akan mengiklankan perkhidmatan pembantu rumah dan lain-lain iklan di Facebook dan media sosial lain. Daripada situ, mereka akan menghantar pautan untuk muat turun aplikasi android yang akan sentiasa mencuri sms TAC anda.

Selain itu, penipu juga akan menghantar pautan laman sesawang yang seakan-akan pautan bank walhal jika disemak pautan tersebut bukanlah pautan bank sebenar. Apabila anda memasukkan nama pengguna, kata laluan & TAC, penipu boleh melakukan transaksi duit anda tanpa halangan.

Oleh itu, lakukan tips ini untuk mengelak daripada ditipu:

1. Jangan muat turun apa-apa aplikasi selain daripada Google Play Store.
2. Pastikan URL bank adalah betul, contohnya ‘https://www.maybank2u.com.my‘.
3. Pastikan frasa dan gambar anda adalah betul ketika anda masukkan nama pengguna, sebelum anda masukkan kata laluan. Contohnya seperti ini.

Che Nom

Sebagai langkah peringatan, jika anda terjumpa mana-mana akaun atau iklan yang mencurigakan di media sosial, anda boleh terus klik ‘laporkan iklan atau profile sebagai penipuan’. Dan yang paling penting sekali, jangan sesekali berikan nombor TAC anda kepada sesiapa pun kerana mungkin penipu bersembunyi di sebalik orang tersebut. Mungkin penipu tidak menipu anda secara langsung tetapi menggunakan orang ketiga. Oleh itu, berhati-hatilah!

Pilihan Editor:

Teknik didik anak tanpa pukulan, baik untuk perasaan anak dan ibu bapa

0

Kajian mendapati bahawa kebiasaannya ibu bapa yang berterusan menjerit atau merungut terhadap anak-anak akan berasa kecewa, marah dan rasa bersalah selepas itu. Anak-anak pula dalam diam akan bertambah marah dan ingin memberontak yang mana akhirnya mereka terus berkelakuan tidak baik. Terdapat beberapa teknik mendidik anak tanpa kekerasan bahkan teknik mendidik anak tanpa pukulan sebenarnya baik untuk perasaan anak dan ibu bapa.

Menerusi catatan di Facebook, Wawa Shauqi mengulas satu video mengenai teknik mendidik anak yang diamalkan oleh seorang ibu dari negara luar. Wawa begitu kagum dengan ibu itu kerana tanpa memukul atau memarahi anak-anaknya yang berbuat silap, si kecil itu tetap berperangai baik.

Menurut Wawa, teknik yang dilakukan oleh ibu itu dinamakan Positive Dicipline yang bermaksud mendisiplinkan anak dengan mengajarkan anak tersebut cara untuk menyelesaikan masalah. Jika ibu bapa mengendalikan anak dengan baik, maka anak-anak pun akan belajar mengendalikan diri mereka dengan baik.

Dalam Positive Parenting, perkataan sangat memainkan peranan penting. Pesan Wawa, ibu bapa harus berhati-hati dalam memilih perkataan, tidak boleh sesuka hati melepaskan kata-kata pada anak-anak. Antaranya ialah:

  • Ibu bapa jangan menjerit “bising la!” pada anak tetapi minta anak rendahkan suara mereka, “boleh rendahkan suara?”
  • Jangan gunakan perkataan kasar seperti, “biadab ya dengan mama!”, sebaliknya gunakan perkataan yang lebih sopan seperti, “tolong guna bahasa yang lebih elok”.
  • Jangan perlekehkan kemampuan anak seperti, “alah, benda senang je pun”, sebaliknya beri sokongan kepada anak seperti, “mama selalu nampak awak boleh buat benda yang susah-susah. Cuba usaha lagi.”

Apabila ibu bapa berhati-hati dalam memilih perkataan, kesan yang dapat dilihat pada anak ialah:

  • Anak akan turut bercakap dengan baik.
  • Anak ada kawalan diri yang baik.
  • Anak akan lebih bermotivasi untuk lakukan kebaikan kerana dia tidak berasa dirinya diprovokasi.

Melalui video tersebut, kelihatan si ibu menggunakan beberapa strategi Positive Discipline yang disarankan oleh ahli psikologi kanak-kanak Dr Jane Nelson.

  • Tekankan penyelesaian bukannya masalah.

Dalam video ini, si anak dengan tidak sengaja menumpahkan air lalu si ibu memberitahu dan menunjukkan bahawa jika gelas ditolak, air akan tertumpah. Oleh itu, untuk mengelakkan air tertumpah, jangan tolak gelas.

Seminggu kemudian, anaknya berkata dia tidak akan menolak gelas tersebut. Si ibu bertanya, “mengapa?”. Anaknya menjawab, “jika saya tolak, air akan tumpah”.

Lihatlah, tanpa memarahi anak kerana menumpahkan air tetapi menunjukkan cara mengendalikan gelas agar air tidak tertumpah si anak bukan sahaja dapat mengingati pesanan si ibu malah mempraktikkannya.

  • Tetapkan had.

Pernah suatu ketika dahulu, anak-anaknya berebut untuk bermain buaian. Si ibu menetapkan had masa untuk mereka bermain. Sebulan kemudian, anak-anaknya tidak lagi berebut malah saling bertolak ansur untuk bermain buaian.

  • Menjadi teladan pada anak-anak.

Sikap dan peribadi anak-anak yang bakal terbentuk dalam diri mereka adalah cerminan daripada ibu bapa masing-masing. Jika ibu bapa memberikan respons yang tidak baik, maka anak-anak akan ikut. Mereka melihat, memerhatikan dan meniru tindakan ibu bapa. Jika ibu bapa suka membaling barang ketika marah, maka tidak mustahil anak-anak akan berbuat perkara yang sama.

  • Memberi perhatian ketika anak berbuat baik.

Sebagai ibu bapa rebut peluang untuk memuji anak setiap kali mereka berbuat baik dan bukannya menyergah anak apabila mereka melakukan kesalahan. Ini kerana, anak-anak akan lebih bahagia apabila ibu bapa memuji ketika mereka berbuat baik.

  • Mendengar.

Anak-anak mahu ibu bapa mendengar mereka. Ibu bapa perlu dengarkan apa yang anak-anak fikir, apa idea mereka dan sebagainya. Bersoal jawablah dengan anak-anak agar komunikasi dua hala itu menjadi lancar.

  • Bercakap dengan lemah lembut.

Sebenarnya ibu bapa tidak perlu menjerit atau meninggikan suara kerana tindakan itu hanya membuatkan anak-anak menjadi takut dengan ibu bapa. Gunakan nada suara yang rendah. Yang paling penting, pilih perkataan yang elok-elok.

Mengikut pengalaman ibu ini, dia mengajarkan anaknya cara untuk meminta perhatian yang lebih baik dan bukannya dengan cara buat perangai. Hasilnya, si abang bercakap baik dengan ibunya apabila dia mahukan perhatian daripada si ibu yang sedang bermain dengan si adik.

Wawa mengakui agak sukar sebenarnya untuk mengaplikasikan teknik mendidik anak tanpa memukul ini kerana bukan budaya kebiasaan masyarakat kita.

Namun, tidak salah malah amat digalakkan bagi ibu bapa untuk mencuba teknik mendidik anak tanpa kekerasan ini.

Selamat berjuang wahai ibu bapa!

Pilihan Editor:

Pemandu kantoi elak bayar tol 59 kali, kena bayar tunggakan RM256.20 selepas ditahan PROLINTAS

0

Kejadian para pemandu tidak bertanggungjawab mengelak untuk membayar tol di lebuh raya setiap hari bukan lagi perkara asing. 

Bagi memastikan kelakuan jelik ini tidak lagi berleluasa dan menangani isu pengguna lebuh raya culas membayar tol, PROLINTAS memaklumkan bahawa pihak mereka kini sedang menjalankan operasi berterusan untuk mengesan penceroboh tol dan senarai nombor plat kenderaan yang terbabit telah dikenal pasti.

Twitter

Pada 15 Oktober lalu, PROLINTAS Kajang SILK mendedahkan menerusi ciapan di Twitter telah berjaya menahan seorang pemandu Honda City yang kali ini kantoi kerana culas membayar tol sebanyak 59 kali!

Pelompat tol ini telah berjaya dikesan dan ditahan oleh kakitangan lebuh raya di tol Lebuhraya SILK Kajang dan mereka menuntut pelaku untuk membayar tunggakan termasuk caj pentadbiran berjumlah RM256.20.

Pemandu itu telah pun membayar keseluruhan amaun berkenaan pada masa dan lokasi yang sama di tempat kejadian.

PROLINTAS memberi pesanan kepada semua pengguna lebuh raya supaya jangan mencuba mengelak untuk membayar tol, kerana pihaknya akan terus membuat operasi mengesan pengguna-pengguna yang culas membayar tol, dan usaha ini akan dijalankan secara kerap.

Pilihan Editor:

Suami mengaku penat menjadi ‘ibu mengandung’ selepas menyahut cabaran bawa tembikai di perut

0

Apabila kandungan semakin membesar, ibu akan mengalami banyak perubahan fizikal termasuklah sakit belakang, pertambahan berat badan dan pembendungan cecair. Hanya ibu yang mengandung sahaja yang faham betapa tercabarnya mereka melakukan aktiviti harian sambil ‘membawa’ perut yang semakin membesar. Disebabkan itu, seorang suami sanggup menyahut cabaran untuk merasai sendiri pengalaman mengandung dengan menggunakan tembikai yang beratnya sembilan kilogram.

Sambil dibantu oleh anak-anak, mereka mengikat kemas tembikai di perut suami. Kemudian suami tersebut terus melakukan perkara-perkara biasa yang dilakukan oleh seorang isteri.

Antara cabaran tersebut ialah:

  • Duduk di kerusi dan bangun.

Memandangkan cabaran baru sahaja bermula, si suami tidak berasa apa-apa lagi. Dia meneruskan ke cabaran seterusnya.

  • Memakai stoking.

Kemudian, si isteri meminta suaminya cuba memakai stoking pula. Ketika itu si isteri menegur apabila melihat peluh sudah mula membasahi wajah suaminya. Si suami terus mengatakan bahawa dia kepanasan.

  • Baring di kerusi dan bangun.

Selepas siap berstoking, si isteri meminta suaminya untuk baring di kerusi dan bangun. Apabila ditanya sama ada susah atau senang, si suami mengaku bahawa dia berasa susah untuk bangun setelah baring dalam keadaan perut yang ‘besar’. Dia juga berasa penat.

  • Duduk bertinggung dan bangun.

Ini perkara yang tidak dapat dielakkan bagi seorang ibu jika tiada tandas duduk di rumah mereka. Baru sahaja duduk bertinggung, suami mengatakan kesukaran untuk melakukannya dengan keadaan perut yang besar.

  • Baring di katil dan bangun.

Apabila sudah baring, memang sukar untuk bangun dengan keadaan perut yang besar.

Walaupun baru sahaja melalui cabaran selama setengah jam, si suami mengaku dia berasa susah, penat, sakit pinggang dan tidak larat terutamanya di bahagian perut sehingga menyebabkan dia berasa hendak muntah. Dia juga merayu pada isterinya untuk tidak lagi meneruskan cabaran tersebut.

Selepas membuka balutan tembikai tersebut, dia berasa ringan sekali.

Begitulah sedikit sebanyak pengalaman yang dikongsikan oleh suami tersebut. Ini tidak termasuk lenguh-lenguh badan, kaki kejang dan lain-lain lagi yang harus ditanggung oleh isteri yang mengandung selama sembilan bulan.

Kepada para suami di luar sana, cubalah lakukan aktiviti seperti ini untuk merasai sendiri bagaimana rasanya menjadi ibu mengandung. Sekurang-kurangnya anda akan lebih menghargai pengorbanan isteri anda yang tidak pernah merungut mengandungkan zuriat anda. Kepada isteri-isteri yang mengandung, semoga anda dan kandungan anda dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan bersalin. Anda memang mengagumkan!

Pilihan Editor:

Ringgit menjunam ke paras terendah berbanding dolar AS dan Singapura, cecah RM4.70 dan RM3.30 pada Jumaat

0

Ringgit Malaysia menyaksikan trend yang membimbangkan baru-baru ini, di mana ia terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) serta dolar Singapura (SGD).

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu berikutan mata wang AS itu kekal kukuh dengan kebimbangan berterusan mengenai kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang Jumaat, ringgit merosot kepada 4.7025/7065 berbanding dolar AS daripada 4.6910/6940 pada Khamis.

MSN

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata Fed dijangka tidak membuat pusingan dalam masa terdekat selepas data inflasi AS baru-baru ini menunjukkan angka yang lebih kukuh daripada jangkaan pada September, memusnahkan harapan untuk kenaikan kadar faedah yang perlahan.

“Walaupun sebarang perbezaan daripada konsensus boleh menyebabkan dolar merosot buat sementara waktu, kami tidak fikir ia akan mengubah hakikat bahawa pasaran kini mengambil kira hampir 100 peratus peluang bahawa Fed akan menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas pada November dan mana-mana penurunan dolar adalah untuk jangka pendek,” katanya kepada Bernama.

Menurut Biro Statistik Buruh AS, Indeks Harga Pengguna (IHP) AS meningkat 0.4 peratus daripada Ogos.

Bagaimanapun, Mohd Sedek berkata satu perkara yang boleh menjadi kebimbangan pasaran ialah walaupun pendirian Fed untuk menaikkan kadar faedah menyebabkan hasil perbendaharaan dan dolar turun naik yang berlebihan daripada kadar pertukaran nominal, ia akan turut meningkatkan risiko kewangan dan kemelesetan jika Fed terus menaikkan kadar.

Sekadar Gambar Hiasan / Bloomberg

“Jika kemelesetan berlaku pada 2023, kami menjangka Fed akan membuat pusingan 180 darjah dan mengurangkan kadar dasar kepada hampir sifar,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Unit tempatan merosot berbanding pound kepada 5.2870/2915 daripada 5.2291/2324 pada Khamis, berkurangan berbanding euro kepada 4.5741/5780 daripada 4.5625/5654.

Pada Jumaat, ringgit juga merosot kepada prestasi terburuk berbanding dolar Singapura kepada 3.3009/3042 daripada 3.2726/2757.

MSN

Ringgit telah pun mencatatkan penyusutan pada paras terendah sejak Ogos lalu berbanding dolar Singapura kepada RM3.23 dan susut nilai selanjutnya yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1836/1867 daripada 3.1957/1980 pada Khamis.

Pilihan Editor:

Wanita terpaksa keluar RM600 baiki cermin kereta dan tanggung kos cuci selepas jiran tiada sivik buang sampah dari tingkat atas rumah pangsa

0

Cara kita menguruskan sampah dan membuangnya dengan mengikut peraturan mencerminkan sikap kita sebagai seorang manusia yang bertanggungjawab dan bertamadun. Apa perasaan jika manusia itu disamakan seperti monyet kerana dia suka membuang sampah merata-rata yang kesudahannya menyusahkan orang lain.

Kisahnya, seorang wanita terpaksa menyuarakan rasa geram lagi tidak berpuas hati dengan sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri jirannya yang didakwa membuang sampah dari tingkat atas sebuah pangsapuri di Taman Seri Damai Batu Lanchang, Pulau Pinang, sehingga menyebabkan cermin keretanya pecah dan mengotorkan keseluruhan kenderaan itu.

TikTok

Mangsa itu yang dikenali @piqahhhhs_, berkongsi video di TikTok mengenai insiden menyakitkan hati, yang menunjukkan keretanya dalam keadaan rosak.

“Disebabkan pengguna flat yang bodoh, tiada sivik dan malas hendak turun buang sampah, dia baling dari tingkat atas. Tengoklah siapa yang kena tanggung,” katanya.

TikTok

Wanita itu terpaksa membayar RM500 untuk menggantikan cermin belakang dan tambahan RM100 untuk membersihkan keretanya supaya kembali pulih sempurna.

Dia cuba membersihkan kereta itu bersama kakaknya sebelum menghantarnya ke bengkel, tetapi ia berada dalam keadaan yang teruk sehingga mereka tidak dapat melakukannya sendiri.

TikTok

“Apabila kami menyedari apa yang berlaku kepada kereta, saya segera memindahkannya ke tempat letak kereta lain. Hujan juga tengah lebat ketika mengetahui kejadian itu, jadi saya terpaksa menutup cermin kereta yang pecah dengan plastik sebelum kami hantar ke bengkel,” katanya.

Keluarganya melaporkan kejadian itu kepada pihak pengurusan bangunan dan mencadangkan mereka memasang beberapa kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan itu untuk pemantauan dan menjaga keselamatan penduduk lain, tetapi mereka tidak mengambil tindakan dengan aduan dan cadangan itu.

TikTok

Menurut wanita ini, bapanya tidak membuat laporan polis tetapi kecewa dengan apa yang berlaku ke atas kereta anak perempuannya.

“Kepada orang awam, tolong jangan buang sampah dari tingkat atas rumah anda. Semaikan diri dengan rasa kesedaran dan tanggungjawab kerana bukan anda seorang sahaja yang tinggal dalam bangunan itu. Jika sampah itu jatuh ke atas kepala seseorang, anda mungkin boleh membunuh seseorang,” kata wanita ini.

TikTok

Mungkin sudah tiba masanya untuk mewujudkan undang-undang baru bagi mengenakan tindakan tegas dan denda kepada pembuang sampah merata-rata tidak kira di mana, di tempat awam mahupun di kawasan perumahan, kerana tindakan mereka itu amat jelas merupakan satu kecuaian dan kacau ganggu yang berupaya memberi mudarat kepada orang lain.

Pilihan Editor:

Wanita tidak dikenali minta izin peluk mak cik sedang seronok makan tengah hari bersama keluarga, hati sentap bila dia mula menangis

0

Masa pantas berlalu tanpa disedari dan semakin kita merasakan diri itu sudah tua, begitu jugalah semakin tua ibu bapa kita.

Anak yang baik akan selalu berkata, saat menghabiskan masa bersama ibu bapa tersayang yang sudah tua adalah amat bermakna dan memori itu sungguh bernilai.

Seorang wanita dikenali Anis Ramli, baru-baru ini berkongsi bagaimana dia sedang makan tengah hari bersama ibu bapanya di Sri Karak, PJ Old Town apabila seorang wanita tidak dikenali menghampiri mereka.

Gambar Hiasan / Pixabay

“Ibu sedang menikmati makan tengah hari sambil kami memesan hidangan kegemarannya (kari kepala ikan),” tulis Anis dalam satu hantaran di LinkedIn.

Ketika mereka sedang menjamu selera, seorang wanita menghampiri mereka dan memulakan perbualan.

“Mak cik, saya seronok sangat tengok mak cik makan. Memang seronok makan ah,” kata wanita itu kepada ibu Anis sambil tersenyum.

“Ya, ya. Makanannya sedap. Itulah sebabnya saya suka..” jawab ibu Anis sambil tersenyum.

“Bagus, bagus.. Mak cik. Maaf..” Wanita itu berhenti seketika dan tiba-tiba bertanya, “Boleh saya peluk mak cik?”

Wajah yang terkejut tetapi tetap tenang, ibu Anis menjawab, “Sudah tentu, boleh.”

Wanita itu kemudian memeluk ibu Anis dan mula menangis.

Facebook

“Ibu saya berumur 93 tahun,” katanya sambil teresak-esak.

“Dia tidak boleh makan. Hanya makan melalui tiub. Sebab itu saya seronok melihat mak cik menikmati makanan dan mak cik berselera makan. Saya teringat ibu saya,” kata wanita itu sambil terus menangis.

“Ibu memeluknya dengan erat. Pada masa itu, Malaysia kembali pulih..” tulis Anis.

Hantaran itu menerima perhatian lebih 7,700 warganet ketika beratus-ratus curahan komen yang sebak dengan kisah pelukan erat melegakan emosi antara dua orang saling tidak mengenali ini.

Facebook

“Menitiskan air mata ketika membaca. Saya faham perasaan itu. Mengimbas kembali ketika arwah ibu masih ada. Ketika menjaga dia.”

“Anda dirahmati dan sangat bertuah kerana mempunyai ibu yang sihat, dan dia amat gembira ketika keluar bersama anda. Semoga ibu anda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan, kasih sayang dan kebahagiaan.”

“Air mata saya mengalir mencurah-curah. Tidak boleh ditahan. Saya merasakan kesakitannya.”

Gambar ini dan kisah disebaliknya untuk mengingatkan kita supaya sentiasa menghargai kehadiran ibu bapa dan menghormati orang tua lain selagi mereka masih ada.

Pilihan Editor:

Anggota polis Kota Malang bersujud, memohon kemaafan ekoran tragedi berdarah Kanjurah

0

Lebih kurang 100 anggota polis Kota Malang yang dipimpin oleh ketuanya, Budi Hermanto telah bersujud sebagai tanda memohon kemaafan ekoran tragedi berdarah Kanjurah, Malang, Jawa Timur yang berlaku awal Oktober ini. Tindakan itu dilakukan ketika mereka sedang menjalani perhimpunan taklimat pagi di dataran Markas Kepolisan Resor Malang Kota pada Isnin lalu.

KOMPAS

Menurut Budi Hermanto, mereka melakukannya untuk memohon keampunan daripada Tuhan Yang Maha Esa disamping berharap agar keluarga mangsa juga turut memaafkan mereka.

Bagi Reza Indragiri Amriel, pakar psikologi forensik dan pemerhati polis, dia mengharapkan permohonan maaf tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan keyakinan serta mampu menjadi penawar luka ekoran kematian 131 orang di Stadium Kanjuran tersebut.

Tambah Reza lagi, tindakan polis Kota Malang tersebut serupa dengan tindakan simpati yang dilakukan oleh anggota polis di Amerika Syarikat yang melulut sebagai tanda maaf selepas kematian seorang warga minoriti kulit hitam, George Flyod pada 25 Mei 2020. Kematian George Flyod telah menyebabkan rakyat Amerika Syarikat melakukan demonstrasi hingga mencetuskan rusuhan di beberapa bandar di Amerika Syarikat.

Menurut Reza, tindakan memohon maaf dan kekesalan yang dizahirkan oleh anggota polis sangat penting sebagai tanda mereka turut berduka atas kehilangan orang tersayang. Ini kerana, jika dibandingkan dengan tindakan jenayah dan perilaku yang mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk diselesaikan, luka dalaman rakyat mengenai peristiwa ini pasti tidak akan sembuh dalam masa yang singkat.

Reza juga berharap anggota polis bukan sekadar memohon maaf tetapi turut membaiki diri agar serius melakukan perubahan dalaman.

MAKASSAR

Selain mangsa korban yang terdiri daripada penonton, dua orang anggota polis turut terkorban dalam kejadian di Stadium Kanjurah tersebut. Anggota polis berkenaan ialah Briptu Fajar Yoyok Pujiono dan Bripka Andik Purwanto dipercayai meninggal dunia akibat terhimpit di pintu keluar stadium.

Enam orang suspek yang dinamakan oleh Ketua Polis Negara Jeneral Listyo Sigit Prabowo ialah Akhmad Hadian Lukita (Pengarah LIB), Abdul Harris (Pengerusi Panpel), Suko Sutrisno (Pegawai Keselamatan), Wahyu SS (Ketua Ops Polis Malang), H (Brimob Polda Jatim) dan BSA (Kasat Samapta Polres Malang).

Kepada keluarga mangsa, takziah kami ucapkan. Kami juga berharap agar kejadian seperti itu tidak akan berulang lagi.

Pilihan Editor:

Agong ada kuasa untuk isytihar darurat dan tangguh PRU15 sekiranya berlaku banjir teruk: Penganalisis

0

Susulan pembubaran parlimen pada 10 Oktober, ramai tertanya-tanya bilakah tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diumumkan kerana ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Setiausaha Agung UMNO baru-baru ini mendedahkan PRU15 berkemungkinan akan diadakan pada pertengahan November, iaitu sebelum musim banjir, namun kita tidak boleh terlalu pasti untuk meramal kuasa Maha Esa kerana bencana alam boleh melanda pada bila-bila masa.

Jadi bagaimana sekiranya banjir berlaku semasa PRU15? Bolehkah peristiwa bersejarah itu ditunda ke tarikh lain?

Gambar Majoriti

Sin Chew melaporkan penganalisis pilihan raya percaya sekiranya banjir teruk berlaku semasa PRU15, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa mutlak untuk mengisytiharkan darurat dan menangguhkan tarikh Pilihan Raya Umum.

Penganalisis pilihan raya dan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran berkata, sekiranya berlaku banjir semasa PRU15, maka proses pengundian di seluruh negara berkemungkinan besar akan ditangguhkan.

“Saya melihat mungkin masih ada ruang untuk mengelakkan pilihan raya diadakan semasa waktu banjir. Kalau kita melihat kepada situasi atau pengalaman kita semasa COVID-19, di mana beberapa PRK walaupun SPR telah menetapkan tarikh, tetapi atas perkenan Tuanku, PRK ditangguhkan kerana krisis kesihatan,” katanya kepada Astro Awani.

“Kalau kita mengambil terjemahan kepada kemungkinan tersebut pada hari ini, jika SPR menetapkan tarikh pilihan raya katakan pada awal bulan November, kemudian musibah berlaku dan impaknya tidak dapat dielakkan, Tuanku boleh membuat keputusan sedemikian,” tambahnya lagi.

Gambar FMT

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis yang lebih optimis dengan perkara itu, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata penangguhan PRU15 akibat banjir tidak mungkin berlaku. Bagaimanapun, pengundian mungkin ditangguhkan di kawasan yang berlaku banjir teruk.

“Mana-mana kawasan yang sering dilanda banjir, seperti di Kelantan dan Terengganu, pengundian di seluruh negeri mungkin ditangguhkan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya banjir berlaku di sesuatu kawasan dan menjejaskan proses pengundian, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan segera melaporkan bencana itu kepada Yang di-Pertuan Agong, dan baginda kemudian mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada pilihan raya itu akan ditangguhkan ke tarikh lain apabila keadaan bertambah baik.

Pilihan Editor:

Usaha gigih demi menipu! Pelajar undang-undang ukir jawapan prosedur jenayah pada 11 pen dan profesor dedahkannya selepas 10 tahun

0

Yolanda de Lucchi, seorang profesor undang-undang di Universiti Malaga di Sepanyol, baru-baru ini memuat naik gambar di Twitter yang mendedahkan 11 pen mata bola yang dirampas daripada seorang pelajar yang ditangkap menipu dalam peperiksaan undang-undang 10 tahun lalu.

11 pen mata bola digunakan sebagai satu kaedah gila untuk meniru apabila pelajar berkenaan mengukir jawapan undang-undang prosedur jenayah Sepanyol pada pen itu yang mencetuskan perbincangan hangat warganet.

Le Monde melaporkan Profesor Yolanda baru-baru ini memuat naik gambar di Twitter menunjukkan 11 pen mata bola khas. Dapat dilihat dengan jelas pen mata bola ini sangat berbeza, dengan corak putih padat di permukaan, yang mana teknik meniru dan menipu itu amat hebat mempesonakan.

Twitter

Bekas pelajar ini memang seorang yang gigih memperuntukkan masa dan kemahiran untuk mengukir jawapan demi menipu!

Yolanda menjelaskan ia adalah ‘koleksi’ yang ditemuinya semasa sedang membersihkan laci di pejabatnya, dan pen itu dirampas daripada pelajarnya 10 tahun lalu.

Menurutnya, ketika sedang mengawas peperiksaan, dia mendapati seorang pelajar telah mengukir undang-undang kanun prosedur jenayah Sepanyol pada 11 pen mata bola, lalu bertindak merampas ‘nota ringkas untuk menipu’ ini dan meletakkannya ke dalam laci. 

Yolanda baru-baru ini menemui semula pen unik berkenaan setelah sekian lama dan mengimbas kembali insiden menarik itu lalu mengambil keputusan untuk berkongsi gambarnya di Twitter dengan kapsyen, “Prosedur jenayah tersembunyi dalam pen mata bola, ini adalah satu bentuk seni!”

Twitter

Selepas gambar itu didedahkan, ia serta-merta menarik lebih 250,000 pengguna Twitter, bahkan seorang rakan kepada bekas pelajar yang menipu itu tampil dan mengakui ada kaitan dengan insiden. 

Rakan itu memuat naik satu lagi gambar yang menunjukkan beberapa pen mata bola lain dengan ‘modus operandi yang sama’, mendakwa pelajar itu mempunyai beberapa pen serupa.

“Rakan saya menggunakan jarum untuk mengukir pen itu dan menulis semua seksyen dan kes pada pen. Untuk rujukan mudah, dia meletakkan permulaan setiap bab dengan urutan di sebelah pen jenama BIC, dan juga pen itu diisi dengan dakwat hitam sehingga ke bahagian atas supaya dia boleh merujuk jawapan itu dengan cepat. Ia adalah karya seni yang sempurna!” jelasnya.

Twitter

Selepas melihat kaedah penipuan yang unik ini, ramai warganet yang berasa lucu memberi komen:

“Pelajar ini mesti menyelesaikan tugas suci dengan hati bermaruah.” 

“Masa dan tenaga untuk membuat helaian curang ini boleh menghafal klausa dan autoriti, bukan?”

“Memang gila, ia adalah satu persembahan seni di tahap lain..”

Pelajar berkenaan yang ditahan Profesor Yolanda kerana menipu dan gagal dalam peperiksaan kanun prosedur jenayah pada tahun itu difahamkan telah menamatkan pengajian ijazah undang-undang, dan kini berjaya menjadi seorang peguam.

Pilihan Editor: