Susulan pembubaran parlimen pada 10 Oktober, ramai tertanya-tanya bilakah tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diumumkan kerana ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Setiausaha Agung UMNO baru-baru ini mendedahkan PRU15 berkemungkinan akan diadakan pada pertengahan November, iaitu sebelum musim banjir, namun kita tidak boleh terlalu pasti untuk meramal kuasa Maha Esa kerana bencana alam boleh melanda pada bila-bila masa.
Jadi bagaimana sekiranya banjir berlaku semasa PRU15? Bolehkah peristiwa bersejarah itu ditunda ke tarikh lain?
Sin Chew melaporkan penganalisis pilihan raya percaya sekiranya banjir teruk berlaku semasa PRU15, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa mutlak untuk mengisytiharkan darurat dan menangguhkan tarikh Pilihan Raya Umum.
Penganalisis pilihan raya dan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, G Manimaran berkata, sekiranya berlaku banjir semasa PRU15, maka proses pengundian di seluruh negara berkemungkinan besar akan ditangguhkan.
“Saya melihat mungkin masih ada ruang untuk mengelakkan pilihan raya diadakan semasa waktu banjir. Kalau kita melihat kepada situasi atau pengalaman kita semasa COVID-19, di mana beberapa PRK walaupun SPR telah menetapkan tarikh, tetapi atas perkenan Tuanku, PRK ditangguhkan kerana krisis kesihatan,” katanya kepada Astro Awani.
“Kalau kita mengambil terjemahan kepada kemungkinan tersebut pada hari ini, jika SPR menetapkan tarikh pilihan raya katakan pada awal bulan November, kemudian musibah berlaku dan impaknya tidak dapat dielakkan, Tuanku boleh membuat keputusan sedemikian,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis yang lebih optimis dengan perkara itu, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata penangguhan PRU15 akibat banjir tidak mungkin berlaku. Bagaimanapun, pengundian mungkin ditangguhkan di kawasan yang berlaku banjir teruk.
“Mana-mana kawasan yang sering dilanda banjir, seperti di Kelantan dan Terengganu, pengundian di seluruh negeri mungkin ditangguhkan,” katanya.
Menurutnya, sekiranya banjir berlaku di sesuatu kawasan dan menjejaskan proses pengundian, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan segera melaporkan bencana itu kepada Yang di-Pertuan Agong, dan baginda kemudian mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada pilihan raya itu akan ditangguhkan ke tarikh lain apabila keadaan bertambah baik.
Pilihan Editor: