27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 24, 2025
Utama Blog Laman 134

“Mana boleh pilih kasih,” Monyet ‘cemburu’ bila tuannya hanya membelai kucing kesayangan

0

Seperti manusia, haiwan peliharaan juga mempunyai perasaan mahu dibelai dan diberi sepenuh perhatian serta kasih sayang, yang bukan setakat kucing atau anjing sahaja.

Jika anda memelihara monyet, dia pun mahu juga..

TikTok

Baru-baru ini tular rakaman video TikTok apabila seekor monyet merajuk dan menjadi amat cemburu kerana tuannya terlebih memanjakan kucing kesayangan.

Mana tidaknya, nama pun kucing kesayangan, tentulah sayang sangat dengan kucing itu, membuatkan si monyet terasa yang dia ini menerima kurang kasih sayang..

TikTok

Aksinya yang hendak juga dibelai dan dicium manja seperti kucing itu telah mencuri perhatian ramai netizen di TikTok.

Jelas tanpa sembunyi perasaannya langsung, si monyet ini cemburu sebab si kucing mendapat lebih perhatian.

TikTok

Video TikTok yang dimuat naik oleh @zulghazali91 memaparkan reaksi monyet peliharaannya merajuk bila dia mencium manja kucing kesayangannya.

Difahamkan @zulghazali91 merupakan seorang pencinta haiwan dan memiliki beberapa ekor kucing, yang mana monyet itu juga merupakan salah satu haiwan peliharaannya.

TikTok

Menerusi rakaman tersebut, Zul sengaja mengusik monyet itu dengan bermanja bersama kucingnya. 

Tidak sangka pula, rupanya si monyet boleh jadi cemburu apabila dia rasa kurang mendapat perhatian.

TikTok

Monyet ini pun pandai untuk memberitahu manusia, kasih sayang perlu dicurahkan secara adil dan saksama, tidak kira anda melayan haiwan peliharaan dalam spesies apa pun. Tidak boleh pilih kasih..

Pilihan Editor:

“Ini baby Abang!” Budak lelaki ini sanggup barter adik lelakinya ketika berebut hendak ‘adik perempuan’ buat ramai ketawa

0

Bila dalam keluarga lahir adik perempuan comel dengan adik-beradik lain ialah abang, ia boleh membuat seseorang yang lain dalam keluarga lain menjadi cemburu apatah lagi dia itu tiada adik perempuan.

Seperti perebutan mendapatkan ‘hak penjagaan’ oleh dua orang kanak-kanak lelaki ke atas seorang ‘adik perempuan’ dalam video yang tular ini.

Facebook

Rakaman video mencuit hati perkongsian pengguna TikTok, Syara Othman @mommysyara memaparkan dua abang berlainan keluarga amat teruja memiliki adik perempuan sehingga sanggup berebut untuk mendapatkannya.

Menurut Syara, anak lelaki sulungnya tiba-tiba berebut dengan seorang kanak-kanak lelaki lain yang berbaju Melayu hijau untuk mendapatkan bayi perempuan yang sedang tidur lena.

Facebook

Budak lelaki yang berbaju hijau itu adalah abang kepada bayi perempuan berkenaan, dan budak lelaki berbaju merah adalah anak lelaki Syara yang hanya memiliki adik lelaki, dan dia duduk di sebelah kanan hujung itu sambil memerhatikan keletah abangnya berebut ‘baby girl’.

Facebook

Ragam kedua-dua mereka yang berebut si kecil comel sedang lena dalam ‘baby bouncer’ membuat ramai yang rasa geli hati.

Facebook

“Ini baby Abang!” teriak anak lelaki sulung Syara.

“Ini baby Umar!” jerit abang bayi perempuan itu.

Facebook

Apa yang lebih melucukan, apabila si abang berbaju merah sanggup membuat perjanjian sistem barter memberikan adik lelakinya kepada si abang yang bernama Umar itu, sebagai ganti dia mendapat adik perempuan.

Kedua-duanya terus berebut dan bertarik-tarik mendapatkan ‘baby girl’ sampai si ayah berbaju hijau yang berada di sebelah terpaksa menjadi orang tengah meleraikan mereka.

Facebook

Dan sementara itu, ‘baby girl’ elok je tidur tidak terganggu sungguhpun kecoh dan heboh betullah abang-abang ini berebut untuk memilikinya.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Liz Truss letak jawatan Perdana Menteri UK selepas 45 hari

0

Liz Truss mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom selepas hanya 45 hari menyusun strategi politiknya.

Perkara itu diumumkan Truss, 47, di luar Downing Street. Peletakan jawatannya hanya selepas 45 hari menjadikan beliau Perdana Menteri paling singkat memegang jawatan itu dalam sejarah United Kingdom.

“Saya menerima jawatan ini pada saat ketidakstabilan ekonomi dan antarabangsa yang hebat.

Twitter

“Keluarga dan perniagaan rata-rata bimbang memikirkan cara menyara diri, perang di Ukraine mengancam keselamatan seluruh benua kita, dan negara ini telah terlalu lama terhalang akibat pertumbuhan ekonomi rendah,” jelasnya.

“Saya dilantik Parti Konservatif dengan mandat untuk mengubah semua ini. Bagaimanapun, melihat kepada keadaan, saya akur tidak dapat memenuhi mandat itu,” katanya dengan menambah beliau telah memaklumkan Raja Charles III mengenai peletakan jawatannya sebagai pemimpin Parti Konservatif.

Liz Truss bagaimanapun akan terus menyandang jawatan itu sehingga penggantinya dipilih.

Pemilihan kepimpinan Parti Konservatif bakal diumumkan pada minggu hadapan, katanya.

Twitter

Kepimpinan Liz Truss menggantikan Boris Johnson dibelenggu pelbagai kemelut susulan pembentangan belanjawan negara pada bulan lalu yang mencetuskan kejutan pasaran sebelum dibatalkan Canselor.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Boris Johnson dijangka bertanding mewakili Parti Konservatif bagi merebut jawatan PM UK baharu menggantikan Truss.

Pemimpin lain dijangka menawarkan diri bertanding termasuk bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak dan bekas Menteri Pertahanan, Penny Mordaunt.

Pilihan Editor:

Abang ini hiba dan kecewa sungguh ketika mengajar adik perempuannya latihan matematik, tetap berdegil kata dirinya betul

0

Seorang budak lelaki berusia 12 tahun dari Anshan, China mengalami sendiri kesakitan yang perlu dilalui ibu bapanya ketika membimbing anak-anak menyiapkan kerja sekolah, ketika dia ingin mencuba mengajar adik perempuannya yang degil.

Dan reaksinya ketika bertindak sebagai ‘pengajar sementara’ menggantikan ibunya amat melucukan.

Pada mulanya, abang ini menawarkan diri untuk membantu adik perempuannya yang berusia sembilan tahun membuat kerja rumah subjek matematik.

Facebook

Si abang bertindak berbuat demikian selepas melihat ibunya mula menjadi kurang sabar, yang sebelum itu bertungkus lumus mengajar adiknya untuk menyelesaikan latihan matematik, South China Morning Post melaporkan.

Video tular yang dimuat naik di Douyin itu memaparkan si abang kelihatan begitu kecewa selepas sesi bimbingan untuk memahamkan adiknya menyelesaikan soalan matematik ternyata tidak berjaya.

Facebook

Si abang nampak seperti tidak tertahan dengan hatinya yang sakit sambil menangis teresak-esak ketika dia cuba menunjukkan kesilapan adiknya yang sedang membuat latihan matematik itu.

Tetapi, nampaknya si adik terlalu degil untuk mendengar kata abang ini yang bersungguh-sungguh hendak mengajar.

Facebook

Bahagian paling kelakar ketika si abang mula mengadu kepada ibunya yang sedang merakam video itu, mengenai ketidakcekapan adiknya dalam membuat kerja sekolah.

“Saya sudah memberi jawapan kepadanya, terdapat tiga sudut tepat dalam gambar, tetapi dia masih degil dengan kata hanya terdapat dua sudut tepat,” katanya.

Facebook

Si abang mengulangi lagi sambil terus menangis dengan sedihnya dan mengesat air mata.

“Saya sudah menunjukkan kepadanya tiga sudut tepat, dia sangat degil, dia masih kata ada dua,” rungut si abang, dan adiknya pun turut sama menangis.

Facebook

Akhirnya, abang ini terus bersedih dengan rasa kecewanya dan menundukkan kepala tanda kalah, sambil berlalu pergi.

Sementara si adik sambil menangis sempat lagi tersenyum nakal kepada dirinya sendiri, mungkin seronok dapat melihat abangnya gelabah dan sakit hati sambil meraung-raung ketika mengajarnya latihan matematik.

Facebook

Dan ibu mereka tidak tertahan ketawa di belakang kamera, dengan sempat menyindir anak lelakinya, “Kamu ini tidak layaklah menjadi guru..”

Video yang tular ini mendapat perhatian lebih 145,000 pengguna Douyin yang rata-rata memberi komen wajah kekecewaan dan reaksi si abang yang sakit hati ketika mengajar adiknya itu jelas agak melucukan.

Facebook

“Sejak itu, anak muda ini mula hilang keinginan untuk menjadi seorang guru,” tulis seorang netizen.

“Saya mengajar adik saya sebelum ini bersama-sama ibu. Dan saya juga menangis bersama-sama ibu,” komen seorang netizen yang memahami perasaan si abang kecewa kerana dikurniakan adik comel yang lambat tangkap.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Bapa ini bandingkan sukatan pelajaran Tahun Satu dengan kerja sekolah anaknya di Amerika Syarikat

0

Seorang bapa warga Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat telah membandingkan kerja sekolah anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dengan sukatan pelajaran Tahun Satu di Malaysia yang perlu ditunjuk ajar oleh ibu bapa di rumah.

Pengguna Facebook Saif Suhairi berkongsi dalam satu hantaran pada 17 Oktober apabila kecoh berita guru sekolah rendah Mohd Fadli Salleh telah dihantar surat tatatertib oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor kerana tindakannya menarik perhatian umum terhadap kesukaran kurikulum yang diajar di sekolah rendah.

Saif berkata, beliau mahu menunjukkan perbezaan antara bahan kajian dan sistem pendidikan di Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia supaya orang ramai boleh membuat keputusan sendiri tentang apa yang terbaik buat anak-anak mereka.

Mula-mula Saif menjelaskan anaknya berada di Gred Satu di AS, iaitu untuk kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun dan setaraf dengan Tahun Satu di Malaysia.

Facebook

“Di sebelah kiri ialah sukatan pelajaran negara kita yang saya ambil daripada hantaran Facebook Cikgu Mohd Fadli, di mana pelajar Tahun Satu sudah kena menghafal sifir enam,” tulisnya.

Kemudian Saif membandingkannya dengan kerja sekolah Gred Satu di AS, yang menunjukkan anaknya belajar mengenal pasti huruf dan nombor “seperti kanak-kanak berusia empat tahun di tadika”.

“Yang ini bagus atau tidak? Sekarang ia kelihatan terlalu perlahan, bukan? Di sinilah saya berada di atas pagar,” akuinya.

Bapa ini menjelaskan lagi, murid-murid di AS hanya belajar sifir apabila mereka memasuki Gred Tiga.

“Ini betul-betul lambat. Tetapi kurikulum di sini mula memecut laju di sekolah menengah dan sekolah tinggi. Saya fikir mungkin kerana sekolah di sini membenarkan pelajar sekolah rendah banyak bermain dan belajar menyukai sekolah terlebih dahulu,” tulisnya.

Tambahnya, jika terdapat pelajar yang belajar terkehadapan, pihak sekolah menyediakan program lanjutan khas buat mereka, dan terdapat banyak lagi program untuk pelajar yang berbeza kebolehan dalam pembelajaran.

Saif terus membandingkan kehidupan sekolah anaknya dengan pelajar sekolah rendah di Malaysia, termasuk isu tidak pernah selesai mengenai beg sekolah yang berat dan bilik darjah yang sesak.

Facebook

Katanya, “Tiada buku untuk dibawa pulang. Pelajar meninggalkannya di meja masing-masing. Mereka hanya membawa pulang komputer riba Dell (yang setiap pelajar diberikan satu), dan beberapa fail untuk kerja rumah mereka. Kerja dalam kelas biasanya mereka hanya buat di atas kepingan kertas sahaja seperti dalam gambar.”

Tambahnya lagi, kebiasaan hanya terdapat 20 pelajar dalam satu kelas, dan paling ramai 25 orang.

“Dan setiap kelas akan ada seorang guru kelas dan pembantu pengajar. Guru akan fokus mengajar dan pembantu akan membantu pelajar lebih memahami, mengedarkan kertas, dan meminta pelajar berkelakuan baik. Guru boleh mengajar dengan tenang dan fokus kepada ‘perkembangan’ pelajar.

Walau apa pun perbandingannya, bapa ini berpendapat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mencari sukatan pelajaran yang berkesan dan komited dengannya.

Facebook

“Dasar kita sentiasa berubah setiap kali kerajaan bertukar. Ini tidak baik untuk pendidikan generasi kita,” katanya.

Beliau turut menyuarakan sokongannya kepada guru sekolah rendah yang membawa isu pendidikan di negara ini dengan berkata, “Yang penting, kita perlu menyokong, bukan memangkah orang yang berfikiran kritis.”

Terbaharu, Kementerian Pendidikan telah membersihkan nama Cikgu Mohd Fadli daripada semua kesalahan yang didakwa itu selepas beliau dengan jujur menunjukkan kelemahan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Pilihan Editor:

Finland negara contoh terbaik dalam sistem pendidikan

0

Sebuah negara di Eropah yang tiada peperiksaan di sekolah, tiada statistik, tiada GPA dan kerja rumah hampir sifar. Para pelajar tidak mengira berapa jam untuk kerja sekolah di rumah dan selalunya tidak begitu banyak kerja sekolah.

Kanak-kanak di sini pergi ke sekolah selama 5 jam setiap hari, dengan cuti sekolah paling lama, dan negara yang dimaksudkan ialah Finland.

Finland adalah contoh negara yang mengubah sistem pendidikan ke arah yang lebih sihat. Tanpa berniat untuk mengungguli carta pencapaian pelajar, mereka berjaya mencapainya dengan sistem pendidikan yang lebih holistik.

Facebook

10 sebab mengapa sistem pendidikan Finland dilihat sebagai antara yang terbaik di dunia:

1. Tiada ujian seragam

Di kebanyakan negara, pelajar akan belajar untuk mengejar kelulusan ujian dan guru akan mengajar dengan tujuan agar pelajar lulus ujian. Tujuan pembelajaran sebenar yang tidak pasti dapat dicapai atau tidak.

Finland tidak mempunyai ujian seragam melainkan National Matriculation Exam, iaitu ujian sukarela untuk pelajar di peringkat sekolah menengah atas. Semua kanak-kanak di Finland digredkan secara individu dan sistem penggredan ditetapkan oleh guru mereka. Namun begitu, Kementerian Pendidikan tetap menyemak perkembangan keseluruhan dengan cara menguji sebilangan pelajar daripada pelbagai jenis sekolah.

Facebook

2. Tiada sistem pemarkahan guru yang ketat

Menyalahkan guru apabila berlaku sesuatu dan kadangkala ianya wajar di kebanyakan negara di dunia. Tetapi di Finland, disebabkan standard yang tinggi untuk menjadi seorang guru yang lebih penting daripada menjadi doktor atau peguam, tiada keperluan untuk mengadakan sistem pemarkahan guru yang ketat.

Semua guru dikehendaki memiliki ijazah sarjana sebelum memasuki kerjaya tersebut. Jurusan perguruan merupakan jurusan paling ketat dan terpilih di seluruh negara. Sekiranya seorang guru tidak berfungsi dengan baik, pengetua yang bertanggungjawab wajib melakukan sesuatu mengenainya. Ini bermakna pengawasan guru bukanlah atas pemeriksaan birokrasi dan ujian seragam. Ia ditangani secara individu.

3. Setiap sekolah mementingkan kerjasama, bukan persaingan

Sistem pendidikan Finland tidak seperti di negara lain yang mementingkan persaingan. Tiada senarai sekolah atau guru yang berprestasi tinggi. Ia bukan persekitaran untuk persaingan, sebaliknya menggalakkan kerjasama.

Bahkan mereka juga tidak berniat untuk berada di kemuncak perbandingan antara pendidikan negara-negara maju. Ironinya, sikap tidak mempedulikan status ini telah meletakkan mereka teratas di peringkat antarabangsa.

4. Mengutamakan perkara asas

Tumpuan sistem pendidikan kepada markah ujian dan kefahaman dalam matematik dan sains selalu membuatkan banyak negara terlupa apa yang membentuk suasana pembelajaran dan pelajar yang bahagia, harmoni dan sihat.

Di Finland, pelajar bukan sahaja belajar menguasai matematik, sains dan tatabahasa, tetapi mereka juga mengikuti kelas memasak, muzik, pertukangan kayu, malahan belajar puisi.

Program yang dijalankan di Finland memberi tumpuan kepada yang asas. Ia bukan tentang menguasai pelajaran dan mendapat markah tinggi. Sebaliknya, mereka mahu membentuk persekitaran sekolah menjadi tempat yang menggalakkan kesaksamaan.

Sejak reformasi pendidikan pada tahun 1980-an, pendidik di Finland telah memberi tumpuan untuk menjadikan asas-asas berikut sebagai keutamaan:

  • Pendidikan harus menjadi instrumen untuk mengimbangkan ketidaksamaan sosial.
  • Semua pelajar menerima makanan sekolah percuma.
  • Kemudahan akses kepada penjagaan kesihatan.
  • Kaunseling psikologi.
  • Panduan diberikan berdasarkan individu.

Perkara ini mungkin kedengaran remeh tetapi memberikan kanak-kanak permulaan yang saksama bererti Finland dapat menangani segala masalah sosio-ekonomi (pengangguran, keciciran daripada sekolah, jenayah dan salah laku sosial) yang lahir dengan ketidaksamaan sosial. Setiap anak, baik yang miskin mahupun kaya bersekolah dan bersosial dalam persekitaran yang sama, tiada sekolah swasta untuk anak orang kaya dan sekolah kerajaan yang daif untuk anak orang miskin.

Pendidikan adalah percuma dan yuran sekolah atau pusat tuisyen di Finland adalah satu larangan, kerana ia menyalahi undang-undang.

Facebook

5. Memulakan sekolah pada usia lebih besar

Pelajar bermula bersekolah pada usia tujuh tahun. Bukan enam, atau lima. Meskipun tadika untuk kanak-kanak 6 tahun disediakan, kehadiran bukanlah wajib. Mereka diberikan kebebasan sewaktu zaman perkembangan kanak-kanak untuk tidak dipaksa melalui pendidikan wajib. Mereka membiarkan kanak-kanak bersikap seperti kanak-kanak.

Terdapat hanya 9 tahun persekolahan yang wajib dihadiri kanak-kanak Finland. Pendidikan setelah kelas kesembilan atau pada usia 16 adalah atas pilihan.

Jika dilihat dari sudut psikologi sahaja, ini adalah kebebasan yang ideal. Para pelajar tidak berasa seperti mereka tersekat dalam penjara. Finland membebaskan mereka daripada tempoh persekolahan yang dipaksakan dan sebaliknya memilih untuk menyediakan pelajar untuk dunia sebenar.

6. Menyediakan pilihan profesional selain ijazah universiti biasa

Bagi kebanyakan negara, aliran pendidikan tradisional kebiasaannya melibatkan persekolahan dan kemudian melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti. Sama ada kita mahu mengakuinya ataupun tidak, sebenarnya tidak semua orang perlu memasuki kolej atau universiti. Ramai pelajar yang melanjutkan pelajaran dengan mengambil ijazah dalam jurusan yang tidak bermakna buat mereka dan terpaksa menanggung hutang yang melampau.

Finland menyelesaikan masalah ini dengan menawarkan pilihan yang masih menguntungkan pelajar yang mahu meneruskan pendidikan mereka. Universiti dan politeknik merupakan dua pilihan bagi pelajar. Kedua-duanya diiktiraf tinggi secara profesional dan mereka secara sama rata layak bersaing dalam kerjaya.

Bagi kebanyakan negara, bersekolah sekadar di peringkat menengah merupakan satu kelemahan sedangkan di negara-negara Scandinavia, bersekolah sehingga peringkat menengah dan memasuki politeknik tidak dipandang rendah dalam masyarakat kerana ia sudah menjadi kebiasaan.

7. Pelajar tidak perlu bangun awal untuk bersekolah

Terkejar-kejar bersarapan, menunggu bas atau mengayuh basikal pada awal pagi, di samping waktu untuk perhimpunan pagi dan program kokurikulum yang kesemuanya mengambil masa pelajar yang banyak. Hasilnya, pelajar akan mengantuk dan letih untuk mendapat pendidikan.

Pelajar di Finland biasanya memulakan waktu persekolahan sekitar jam 9:00 hingga 9:45 pagi. Kajian menunjukkan waktu persekolahan terlalu awal boleh menjejaskan kesejahteraan, kesihatan, dan kematangan pelajar. Sekolah-sekolah di Finland bermula agak lambat dan kebiasaannya berakhir pada jam 2:00 hingga 2:45 petang. Mereka mempunyai tempoh kelas yang lebih lama dan waktu rehat yang lebih panjang di antaranya, untuk memastikan para pelajar dapat fokus dan gembira dalam pembelajaran mereka.

8. Pembelajaran dan arahan yang konsisten daripada guru yang sama

Bilangan guru dan pelajar dalam kelas di Finland agak sedikit berbanding negara lain. Pelajar di Finland kebiasaannya mempunyai guru yang sama sepanjang enam tahun pendidikan mereka. Pada masa ini, guru mengambil peranan seperti seorang mentor atau ahli keluarga. Selama bertahun-tahun, kepercayaan dan ikatan dibina supaya kedua-dua pihak mengenali dan menghormati satu sama lain.

Keperluan dan gaya pembelajaran berbeza mengikut individu. Guru-guru Finland mengenal pasti keperluan pelajar mereka. Setiap guru juga lebih banyak menggunakan permainan dalam pembelajaran berbanding menggunakan buku kerana pelajar dapat belajar dengan lebih baik dengan kaedah itu.

Guru yang sama boleh mencatat dengan tepat dan mengawasi perkembangan pelajar serta membantu mereka mencapai matlamat. Tiada istilah lepas tangan kepada guru yang lain.

Facebook

9. Suasana yang lebih santai

Kurang tekanan, kurang jadual, sebaliknya lebih panduan. Pelajar biasanya hanya belajar beberapa subjek dalam sehari. Mereka mempunyai masa beberapa kali untuk makan, menikmati aktiviti rekreasi dan berehat. Terdapat waktu rehat 15 hingga 20 minit beberapa kali dalam sehari.

Persekitaran sebegini juga diperlukan guru. Bilik guru yang disediakan juga membolehkan mereka berehat dan bersantai, bersedia untuk pelajaran atau untuk bersosial. Guru juga manusia dan memerlukan istirehat supaya dapat bekerja dengan baik.

10. Kurang kerja rumah dan tugasan luar

Menurut OECD, pelajar di Finland mempunyai jumlah kerja rumah dan tugasan luar yang paling sedikit berbanding pelajar lain di dunia. Mereka hanya menghabiskan masa setengah jam untuk kerja rumah.

Pelajar Finland juga tidak menghadiri tuisyen. Namun, mereka mengalahkan budaya pendidikan di negara yang mementingkan kelas tambahan dan kerja rumah untuk menjadi terunggul dalam sistem pendidikan. Di Finland, mereka sentiasa mengutamakan untuk mengelakkan tekanan perasaan kepada pelajar.

Facebook

Pelajar Finland mendapat semua yang mereka perlukan di sekolah tanpa tekanan tambahan untuk berlumba mendapat markah cemerlang dalam sesuatu subjek. Tanpa perlu risau tentang gred dan kerja rumah, mereka dapat memberi tumpuan kepada tugas sebenar mereka – belajar dan berkembang sebagai manusia.

Sistem pendidikan di Finland berjaya. Sebanyak 99 peratus kanak-kanak di Finland tahu membaca dan menulis, dan mereka juga adalah pelajar cemerlang di dunia dalam bidang matematik dan sains. Lebih 70 peratus pelajar mengakui yang mereka gembira berada di sekolah dan setiap hari.

Facebook

Negara Finland bermula dengan memahami kanak-kanak itu adalah orang dewasa kecil, yang perlu belajar sedikit demi sedikit, langkah demi langkah untuk berfikir menjadi manusia, dan akhirnya dapat mencari kebahagiaan dalam hidup.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Mak cik selamba jinjing kucing sakit balik rumah dalam beg plastik oren cuit hati ramai

0

Pencinta kucing akan faham bila rasa simpati spontan terdetik ketika melihat mana-mana kucing terbiar sedang sakit, untuk dibawa pulang dan dirawat dengan segera.

Kalau haiwan itu tidak sakit, tengok mata sayu si comel pun cepat sahaja tangan hendak capai untuk membawa pulang kucing bila dapat tahu dia hidup terbiar.

Dalam TikTok baru-baru ini, tular satu video memaparkan seorang mak cik membawa pulang kucing terbiar, tetapi cara spontannya untuk menempatkan haiwan itu supaya mak cik boleh pantas bergerak adalah amat melucukan, yang membuat ramai rasa terhibur.

TikTok

Pada mulanya, dari jauh kelihatan mak cik ini menjinjing beg plastik oren selepas keluar dari sebuah kedai, yang diingatkan dia baru selesai membeli barang.

Tetapi rupa-rupanya mak cik sedang membawa pulang seekor anak kucing yang bergerak-gerak di dalamnya.

TikTok

Pengguna TikTok @kaklinaaircond yang merakam sambil tergelak sakan dan memuat naik video itu, berkata ibunya yang merupakan seorang pencinta kucing terpaksa membawa kucing sakit itu pulang ke rumah kerana mahu merawatnya.

“Operasi menculik..” kapsyen video itu sambil menunjukkan mak cik dengan muka selamba dan tidak bersalah membawa seekor kucing di dalam beg plastik oren.

TikTok

Video TikTok yang tular dengan lebih 1.5 juta tontonan itu telah mendapat perhatian dan mencuit hati ramai warganet dengan komen mereka:

“Buat muka macam tak bersalah. Tapi niat nak selamatkan kucing..”

“Mak cik ganas.. Apa-apa pun saya jadi peminat mak cik dah ni..”

“Aduhai.. Balik kedai bungkus kucing.”

“Cuba tunjuk wajah sebenar mangsa culik tu kak..”

“Ingat mak cik beli ikan keli sebab nampak bergerak-gerak..”

“Terima kasih mak cik sudi menjaganya. Semoga mak cik diberi kesihatan yang baik.”

TikTok

Semoga kucing yang diselamatkan ini cepat sembuh dan dapat menghiburkan hati mak cik yang prihatin hebat bila dia sudah pulih sihat nanti.

Pilihan Editor:

Pemandu bot dan kaki pancing selamatkan wanita hamil hampir lemas yang terjun dari Jambatan Pulau Pinang

0

Ada kala seseorang itu mengalami kesukaran dalam hidup sehingga berasa ia tidak mampu ditanggung lagi menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Seorang wanita hamil ditemui hampir lemas berhampiran tiang 32 Jambatan Pulau Pinang akibat dihanyutkan arus dalam kejadian yang berlaku pada 16 Oktober lalu.

Dalam video yang tular di platform media sosial, wanita itu dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Facebook

Sebuah bot yang membawa pemancing mula menyedari kehadiran seorang wanita jatuh ke dalam laut apabila pemandu bot itu mahu merapatkan botnya ke tiang berkenaan pada kira-kira jam 6.45 petang.

Mohd. Sobri Karim, 37 tahun berkata dia terkejut apabila mendapati seorang wanita terjatuh di antara bot dan tiang jambatan.

“Bunyi sangat kuat. Pada masa itu, terdapat empat orang kaki pancing di atas bot. Saya nampak dengan jelas wanita itu dalam keadaan tenggelam timbul dan hampir lemas di bawa arus,” katanya kepada Kosmo!

Facebook

“Saya segera meminta pemancing melepaskan tali penambat bot ke arah wanita itu lalu melilitkan ke tangannya. Kami berjaya mengangkatnya naik ke atas bot,” tambahnya.

Sebaik sahaja dibawa naik, mereka terkejut melihat wanita berpelitup muka berusia 20-an itu sebenarnya sedang sarat mengandung, yang dipercayai dalam lingkungan enam ke tujuh bulan.

Facebook

“Dia hanya menangis dan meracau sepanjang dibawa ke Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu di Batu Uban,” kata Mohd Sobri.

Wanita itu diserahkan kepada pasukan polis dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di situ selepas dihubungi Mohd Sobri dan rakan-rakannya semasa mereka dalam perjalanan.

Pilihan Editor:

Murid Tahun 2 trauma, patah jari kiri selepas ditimpa kipas siling uzur dalam bilik darjah yang terjatuh

0

Seorang murid perempuan Tahun 2 dari sebuah sekolah rendah di Selama, Perak patah jari tangan kiri selepas ditimpa kipas uzur yang terjatuh dari siling bilik darjah dalam satu kejadian pada 18 Oktober.

Insiden difahamkan berlaku pada kira-kira jam 10 pagi yang turut mengakibatkan tiga murid perempuan yang lain berusia 8 tahun mengalami kecederaan ringan.

Bapa kepada pelajar berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd, 32 tahun berkata, selain patah jari, anaknya turut mengalami kecederaan lain di bahagian dada akibat terkena kipas terbabit.

Gambar ihsan keluarga mangsa

“Disebabkan kebetulan meja anak betul-betul di bawah kipas, kecederaan dialaminya agak serius berbanding rakan lain,” katanya.

“Apabila dibawa mendapatkan rawatan ke hospital, doktor memaklumkan tulang jari kiri tangan anak saya telah patah dan terpaksa disimen,” katanya kepada Harian Metro.

Keadaan kipas siling terbabit didapati sudah uzur, berkarat dan tidak selamat digunakan sehingga terjatuh dan mencederakan empat murid Tahun 2 sekolah berkenaan. 

Mohd berkata dia dan isterinya agak terkilan apabila pihak sekolah tidak menyegerakan rawatan anaknya dan mangsa lain, sebaliknya menunggu kesemua ibu bapa terbabit hadir untuk membawa sendiri anak mereka ke hospital.

“Ketika isteri tiba di sekolah keadaan tangan anak ketika itu sudah bertukar warna. Ini kes kecemasan, tetapi pengurusan sekolah memberi alasan mereka perlu mengikut peraturan yang ditetapkan Jabatan Pendidikan seperti mengisi buku log kebenaran keluar sekolah dan sebagainya,” kata Mohd.

“Saya dan isteri menerima takdir anak ditimpa kemalangan kerana ia bukan disengajakan, cuma kami terkilan dengan tindakan pihak sekolah yang melambatkan proses rawatan ke atas anak saya dan mangsa lain,” tambahnya yang agak kecewa.

Penjawat awam itu berkata, anaknya telah diberikan cuti sakit selama 14 hari dan kini masih trauma dengan kejadian yang berlaku.

Gambar ihsan keluarga mangsa

Ketika diminta mengulas lebih lanjut mengenai insiden kipas terjatuh itu, Mohd berkata penggunaan peralatan dan kemudahan yang uzur seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan isu keselamatan murid-murid dan guru di sekolah.

“Sekiranya perkara ini tidak mendapat perhatian pihak berwajib yang sewajarnya, tidak mustahil kejadian sama boleh berlaku lagi,” katanya.

Susulan kejadian, Mohd telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama pada 18 Oktober.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Mohd Sabri Saad ketika dihubungi telah mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pilihan Editor:

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB dapati China melakukan ‘pelanggaran hak asasi manusia yang serius’ di Xinjiang

0

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan 11 minit sebelum meninggalkan pejabat pada 31 Ogos 2022, dengan kenyataan bahawa Parti Komunis China (PKC) telah melaksanakan langkah-langkah ‘pelanggaran hak asasi manusia yang serius’ terhadap etnik Muslim Uighur di Xinjiang dan mungkin merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB Michelle Bachelet berkata di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR),  “dakwaan corak penyeksaan, atau layanan buruk, termasuk rawatan perubatan paksa dan keadaan penahanan yang buruk, adalah boleh dipercayai, begitu juga dakwaan individu dengan insiden keganasan seksual dan berasaskan jantina.”

Michelle Bachelet melawat China pada bulan Mei, yang merupakan lawatan pertama pegawai kanan hak asasi manusia PBB dalam tempoh 17 tahun. Sebelum, semasa dan selepas lawatan itu, terdapat tekanan antarabangsa terhadap OHCHR untuk mengeluarkan laporan yang telah lama disiapkan mengenai isu pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu Michelle Bachelet semasa mengadakan lawatan ke Urumqi, Xinjiang di China pada Mei lalu.

Beberapa media melaporkan pada 31 Ogos, laporan yang perlu dikeluarkan itu terpaksa ditangguhkan daripada jadual asalnya kerana Beijing cuba menyekat penerbitannya pada saat-saat akhir, dengan meminta nama dan gambar individu yang terpapar dalam laporan itu dikabur atau digelapkan atas alasan privasi dan keselamatan.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB mendapati China mungkin melakukan jenayah antarabangsa di Xinjiang

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada 31 Ogos, OHCHR mengadakan semakan teliti ke atas dokumen berkaitan isu hak asasi manusia di Xinjiang dan menilai kredibiliti mereka berdasarkan metodologi hak asasi manusia standard. 

Pihak mereka turut memberi perhatian khusus kepada undang-undang, dasar, data dan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa China itu sendiri. OHCHR juga meminta maklumat dan mengadakan dialog serta pertukaran teknikal dengan China sepanjang proses itu.

“Maklumat itu dinilai mengikut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang terpakai dan berdasarkan gerak kerja beberapa mekanisme hak asasi manusia PBB,” kata kenyataan media itu.

Laporan setebal 45 muka surat itu, yang dikeluarkan oleh OHCHR, menyimpulkan: “Sejauh mana penahanan sewenang-wenangnya dan diskriminasi ke atas etnik Uighur dan kumpulan minoriti lain yang kebanyakannya Islam boleh membentuk jenayah antarabangsa, khususnya jenayah terhadap kemanusiaan.”

Twitter

PKC menentang laporan yang baru dikeluarkan mengenai hak asasi manusia di Xinjiang, dan dalam respons rasmi, China mengulangi retorik masa lampau, dengan menyatakan laporan itu “berdasarkan maklumat palsu dan pembohongan yang direka oleh pasukan anti-China” dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman China.

Omar Kanat, pengarah eksekutif Projek Hak Asasi Manusia Uighur, berkata laporan Pesuruhjaya Bachelet adalah perubahan berbangkit dalam tindak balas antarabangsa terhadap krisis Uighur.

“Walaupun penafian keras kerajaan China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kini secara rasmi mengakui bahawa jenayah ngeri sedang berlaku di Xinjiang,” kata Omar Kanat.

Dua pertiga daripada responden berkata mereka diseksa di ‘bangku harimau’

Dua pertiga daripada 26 bekas banduan yang ditemu bual oleh penyiasat PBB “melaporkan layanan yang serupa dengan penyeksaan dan/atau bentuk layanan buruk yang lain”.

Ini termasuk dipukul dengan belantan elektrik sambil diikat pada “bangku harimau” iaitu tempat duduk dengan tangan dan kaki diikat, kurungan bersendirian yang berpanjangan, dan seksaan waterboarding.

Laporan PBB, walaupun tidak menggunakan perkataan pembunuhan beramai-ramai, berkata dakwaan penyeksaan, termasuk prosedur perubatan paksa dan keganasan seksual, adalah “boleh dipercayai”.

Sejak lima tahun lalu, lebih sejuta warga Uighur dan etnik minoriti lain dipercayai telah ditahan di tempat apa yang dikenali sebagai “pusat latihan VETC” atau pusat pendidikan semula di kem tahanan. Beberapa kem tahanan telah ditutup, tetapi ratusan ribu orang masih dipenjarakan.

Mempunyai ramai bayi juga merupakan indikasi ‘ekstremisme’

Laporan itu juga menyatakan bahawa pihak berkuasa China percaya sekiranya keluarga Uighur mempunyai lebih daripada tiga anak, ia juga merupakan penunjuk disyaki “ekstremisme” dan mereka boleh ditahan.

Beberapa wanita Uighur yang ditemu bual oleh OHCHR menyebut pensterilan paksa yang mereka alami, khususnya melalui IUD dan pensterilan paksa. Responden menyifatkan ia hukuman berat kerana melanggar dasar perancangan keluarga, termasuk “penahanan” atau “penjara”, menurut laporan itu.

Di China, purata kadar pensterilan bagi setiap 100,000 orang hanya lebih kurang 32, dan di Xinjiang, angkanya ialah 243, kata Bachelet dalam laporan itu.

“Pelanggaran hak asasi manusia yang teruk telah berlaku di Xinjiang dalam konteks strategi memerangi keganasan dan memerangi ‘ekstremisme’ ke atas kerajaan,” kata laporan itu. “Langkah dan corak sekatan seperti ini adalah bentuk diskriminasi kerana ia secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi dan memberi kesan ke atas kumpulan etnik Uighur dan golongan minoriti lain yang kebanyakannya masyarakat Islam.”

Laporan itu menyeru pihak berkuasa China untuk “mengambil langkah segera dan pantas bagi membebaskan kesemua mereka yang sewenang-wenangnya dirampas kebebasan untuk hidup di Xinjiang” dan “membebaskan segera saudara-mara terdekat di lokasi yang sedang dicari oleh ahli keluarga yang hilang itu”.

Pilihan Editor: