30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 23, 2025
Utama Blog Laman 136

Hujan berterusan di Sarawak cetus banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan

0

Sarawak mula merasai kesan cuaca buruk akibat musim peralihan monsun seperti yang diramalkan MetMalaysia.

Hujan yang berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Miri dan Sibu ditenggelami air dan mengakibatkan kejadian tanah runtuh.

Facebook

Satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Peninjau akibat hujan lebat.

Manakala di Jalan Kampung Kejapil menghala ke Beraya, tanah runtuh yang besar telah menyebabkan keseluruhan jalan runtuh berikutan tanah mendak akibat hujan lebat berterusan.

Facebook

Di Miri, kawasan terjejas banjir ialah Kampung Subak, Kampung Tiris, Kampung Pintasan, Kampung Dagang dan Kampung Hunai di Bekenu di mana paras air meningkat kira-kira 3 ke 4 kaki.

Facebook

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Lt. (PA) Mirwan Shah Masri, paras air tidak menunjukkan tanda surut.

“Bagaimanapun, rutin harian masih dapat dijalankan seperti biasa dan keadaan masih selamat dan terkawal,” katanya.

Facebook

Beberapa video yang dimuat naik pengguna Facebook menunjukkan beberapa jalan raya dinaiki air banjir yang deras menyebabkan kenderaan yang melalui terpaksa bergerak perlahan.

Facebook

Manakala di Sibu, paras air banjir dilaporkan sedalam kira-kira 2 hingga 4 kaki.

Menurut Kapten Pejabat Pertahanan Awam Daerah Sibu (PA) Frankie John Jawan, air pasang dan air dari hulu Sungai Rajang menjadi faktor yang menyebabkan beberapa kawasan rendah di Sibu dinaiki air.

Facebook

Setiap tahun, semua sudah sedia maklum bahawa musim peralihan monsun akan berlaku dan hujan lebat berterusan yang turun di beberapa negeri di Malaysia memberi petanda bahawa musim itu semakin hampir dan rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya.

Pilihan Editor:

Isteri asyik mengadu penat, rupanya ada sindrom ‘Sleep Debt’

0

Menguruskan rumah tangga bukan tugas yang mudah terutama buat isteri yang turut bergelar wanita berkerjaya. Seorang isteri yang baik perlu memfokus dan mendedikasikan kehidupan kepada suami dan anak-anak di rumah, walaupun selepas keletihan bertugas di luar.

Walaupun seorang wanita itu tidak memiliki kerjaya, tugas sebagai suri rumah tangga juga amat mencabar kerana ‘pekerjaan’ ini tidak akan pernah selesai.

Maka, tidak hairanlah jika si isteri mengadu keletihan pada setiap hari dan anda sebagai suami, jangan terkejut hendak memarahi. Dr. Redza Zainol berkongsi di Twitter dengan menyatakan ia adalah kesan dari kekurangan jumlah tidur yang kronik di mana ia dipanggil sebagai sindrom ‘Sleep Debt’. 

Gambar Hiasan / Pexels

Jangan pandang remeh pada aduan isteri kerana ia akan memudaratkan jika masalah ini berterusan dan tidak ditangani segera.

Ikuti perkongsian Dr. Redza Zainol mengenai ‘Sleep Debt’:

Lepas solat Subuh, isteri saya datang mengadu.

“Penatnya hari ni..”

Dalam hati saya, eh kan baru bangun pagi. Takkan dah penat. Sepanjang hari itu, 3-4 kali dia mengadu penat. Malam tu, saya senaraikan rutin harian isteri dari pagi sampai ke malam.

Bila saya kira-kira, baru saya tersedar. Rupa-rupanya, setiap hari isteri saya cuma tidur 5 jam saja sehari. Ya Allah, lalainya saya selama ni. Patutlah dia asyik mengadu penat.

Jumlah jam kita tidur ni umpama meletak duit di dalam akaun bank.

Setiap kali kita tak dapat tidur yang cukup, “duit” tu akan ditarik keluar dari akaun kita. Kalau hari-hari tak cukup tidur, lama-lama akan jadi kosong akaun bank kita tu.

Pada waktu ni, barulah kita akan nampak kesan dari kekurangan tidur yang kronik.

Gambar Hiasan / Pexels

Ia dipanggil sebagai “Sleep Debt”!

Isteri yang begini akan selalu ada paras hormon kortisol yang tinggi dalam darah. Hormon kortisol ini ialah hormon stress. Lagi tinggi paras hormon kortisol, isteri mudah jadi pemarah, murung hingga ada yang rasa nak bunuh diri.

Isteri begini juga berisiko untuk terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat tertidur semasa memandu.

Dari segi perubatan, boleh juga menaikkan risiko mengidap diabetes, lemah daya imun badan dan darah tinggi. Jangan buat main-main dengan ‘Sleep Debt’ ni kawan-kawan.

Seorang dewasa memerlukan 7.1 jam tidur yang cukup untuk setiap malam

Mengikut National Sleep Foundation, orang dewasa memerlukan 7.1 jam setiap malam untuk rasa cergas dan bertenaga pada keesokan hari.

Tetapi 70 peratus daripada kita,tidak mencapai jumlah jam itu. Hakikatnya, ramai daripada kita ini bekerja dari pagi hingga ke petang.

Ada isteri bangun seawal pukul 4.30 pagi. Terus ke dapur untuk masak, pinggan dibasuh, sambil tu sempat lagi dia basuh dan ampai baju.

Habis kerja petang, berlari ke pasaraya.

Sampai saja ke rumah, suami isteri sama-sama bersilat uruskan anak mandi dan makan. Tau-tau dah Isyak tapi rutin harian belum siap juga.

Isteri-isteri yang tak cukup tidur setiap hari ni sebenarnya sedang mengumpul ‘Sleep Debt’ tanpa sedar.

Perlu ganti 4 hari untuk pulih jika kurang tidur 1 jam sehari!

Mengikut satu kajian pada tahun 2016, Sleep Debt tidak dapat diselesaikan dengan 1 hari tidur yang lama. Kajian ini mengatakan kita perlu sehingga 4 hari untuk pulih sepenuhnya jika kekurangan tidur sebanyak 1 jam sehari.

Dahsyat kesan ‘Sleep Debt’ ni.

Gambar Hiasan / Pexels

Jadi suami kena hati-hati. Kita fikir kita dah buat macam-macam kerja di rumah, jadi dapatlah kurangkan beban kerja isteri. Tapi kita terlupa yang kita suami isteri kena ada tidur yang cukup.

Hujung minggu, ada suami yang nampak isteri macam malas sebab tidur saja. Tidak ramai yang faham, itu bukan malas tetapi kemungkinan besar si isteri itu sedang ada ‘Sleep Debt’ yang sangat banyak.

Percayalah, bila isteri diberi peluang tidur yang cukup, dialah yang paling ceria dan mudah menurut kata antara semua, selepas kembali segar.

Semoga perkongsian Dr Redza Zainol ini memberi bermanfaat.

Pilihan Editor:

Hanya guna tiga bahan, jom buat sendiri serbuk asam boi

0

Makan buah-buahan macam jambu dan mangga memang menjilat jari bila ditaburkan dengan serbuk asam boi. Rasa masam-masam manis yang buat semua orang terliur.

Hendak dapatkan serbuk asam boi sebenarnya mudah sahaja bila anda biasa membeli di kedai dan pasaraya, tetapi pada kali ini, apa kata anda cuba membuatnya sendiri di rumah.

Caranya membuatnya senang sahaja kerana hanya menggunakan tiga bahan, dan sambil itu anda pun boleh berjimat. Ikuti perkongsian Puan Siti Khadijah di laman Facebook Masak Apa Hari Ni.. (MAHN) seperti berikut:

Facebook

Resipi serbuk asam boi

Bahan-bahan:

  • Asam boi
  • Gula pasir
  • Serbuk buah plum
Facebook

Cara-cara penyediaan:

1. Asingkan biji daripada asam boi.

Facebook

2. Kisar halus (pengisar kering). Letak dalam satu bekas.

Facebook

3. Kisar gula dan serbuk plum. Kisar halus juga.

Facebook

4. Satukan dengan asam boi yang sudah di kisar tadi. Gaul sebati.

Facebook

5. Masukkan dalam satu bekas dan selepas itu goncang-goncangkankan tiga bahan tadi. 

Serbuk asam boi siap!

Facebook

Tidak perlu tambah garam sebab asam boi sudah ada rasa masin. Boleh rasa dahulu jika terasa hendak tambah garam.

Jika hendak rasa manis lagi boleh tambah gula. Hendak masin lagi boleh tambah garam. Boleh agak-agak ikut selera masing-masing. 

Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Resipi apam nasi jadi gebu lembut, buat sendiri hasilnya serupa macam selalu beli

0

Di rumah selalu ada lebihan nasi, jadi hari ini teringin hendak buat apam nasi. Cara membuat apam nasi itu sebenarnya ringkas dan mudah sahaja jika anda tahu tekniknya.

Selalu juga ramai yang mengadu hasilnya tidak menjadi, dengan kata apam kecut dan bantat atau tak naik menggebu kejadiannya macam yang kita selalu beli dekat luar. 

Jadi sebenarnya orang kata mudah saja hendak buat, tetapi setelah beberapa kali percubaan dan tidak menjadi juga, maka ramai yang berputus asa.

Facebook

Perkongsian oleh pengguna Facebook Janna Hanie ini mungkin boleh menjadi panduan untuk anda yang sudah berputus asa tidak dapat buat apam nasi gebu gebas seperti yang diharapkan, kerana menurut Janna ada satu bahan sebenarnya yang anda perlu elak untuk letak.

Ikuti resipi untuk dapatkan apam nasi gebu:

Facebook

Bahan-bahan:

  • 1 cawan nasi sejuk
  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 cawan gula (kalau tidak suka manis, boleh kurangkan)
  • 1 cawan air
  • 1 sudu makan yis (separuh peket yis kering)

Cara membuat:

1. Kisar nasi, gula, air sampai halus.

2. Kemudian campur dengan tepung gandum, tepung beras dan yis. Gaul sebati.

3. Perap adunan sampai naik sekali ganda baru masukkan dalam acuan dan kukus (Janna perap 1 jam sahaja).

4. Jika hendak hasil apam yang gebu dan pecah, kukus guna api besar.

Facebook

Tips dapatkan apam nasi yang cantik

  • Acuan jangan sapu minyak.
  • Isi adunan penuh acuan.
  • Kukus 10 minit (acuan kecil), kalau acuan besar (kukus lebih sikit masa dalam 15 hingga 20 minit).
Facebook

Ingat jangan putus asa, buat apam nasi kena sampai jadi. Bila sudah jadi akan selalu hendak buat lagi. Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Resipi lassi daripada orang Nepal, minuman kesegaran untuk menenangkan perut dan minda

0

Lassi adalah minuman yang berasaskan yogurt untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas. Dikatakan berasal dari Punjab dan Multan di India, minuman kesegaran ini boleh diambil pada waktu sarapan atau makan tengah hari. Jika pada awal kemunculan lassi ini hanyalah bancuhan yogurt dan gula atau garam tetapi kini resipinya telah dipelbagaikan. Seorang pengguna Twitter berkongsi resipi asal lassi yang diperoleh daripada orang Nepal.

Bahan-bahan:

  • Yogurt – 250 gram
  • Susu – 250 gram
  • Gula pasir – 2 sudu makan
  • Jus lemon – 2 sudu teh

Cara membuat lassi:

Campurkan semua bahan dan kacau sehingga sebati. Minuman lassi sedia untuk diminum.

Memang mudah hendak buat minuman ini, tidak sampai lima minit pun sudah siap.

PEXELS

Untuk pengetahuan anda, lassi juga boleh dirujuk sebagai ‘smoothie kuno’ kerana ia merupakan smoothie yogurt pertama di dunia yang asalnya adalah campuran buah-buahan dan rempah tulen.

Pada masa kini, perisa lassi telah dipelbagaikan dan anda boleh membuatnya sendiri di rumah. Antara perisa lassi yang digemari orang ramai pada masa kini ialah:

  • Lassi Mangga – diperbuat daripada campuran yogurt, air dan buah mangga segar (boleh juga menggantikan buah mangga segar dengan serbuk mangga).
  • Lassi Oren – diperbuat daripada campuran yogurt, air dan buah oren segar (boleh juga menggantikan buah oren segar dengan jus oren).
  • Lassi Betik – campuran yogurt, air dan buah betik (boleh tambahkan madu jika anda suka).
  • Lassi Strawberi – campuran yogurt, air dan buah strawberi segar.
PEXELS

Lassi ini dikatakan mampu memberi ketenangan pada perut dan minda.

Antara kebaikan lain meminum lassi pada kesihatan ialah:

  • Menguatkan otot badan kerana lassi kaya dengan protein.
  • Menguatkan tulang dan gigi kerana lassi kaya dengan kalsium.
  • Melancarkan sistem penghadaman.
  • Mampu mengurangkan tahap kolestrol dalam badan.

Ternyata lassi ini bukan sekadar minuman yang enak dan lazat tetapi ia mampu menyegarkan dan menyihatkan badan.

Selamat mencuba!

Pilihan Editor:

Parlimen bubar, negara ditadbir kerajaan sementara

0

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin, 10 Oktober 2022 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang 10 Oktober 2022.

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU15.

Twitter

Negara kini ditadbir oleh kerajaan sementara dan segala urusan urusan kerajaan akan dijalankan oleh kerajaan berkenaan selepas Parlimen dibubarkan.

Pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata berdasarkan kepada Konvensyen Perlembagaan, kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ akan memerintah sesebuah negara bermula daripada pembubaran Parlimen sehingga kepada penubuhan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Beliau berkata, tiada sebarang formaliti diperlukan untuk pembentukan kerajaan sementara kerana ia terbentuk dengan sendiri sebaik Parlimen dibubar.

“Di Malaysia kita tiada panduan bertulis, tapi kita sepatutnya mengguna pakai amalan konvensyen Perlembagaan yang sesuai dengan sistem demokrasi berparlimen dengan had-had tertentu,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Fathi berkata, antara had itu termasuk sekatan ke atas kuasa badan eksekutif dengan peranan mereka hanya terhad kepada peranan pentadbiran asas untuk memastikan kelancaran hal ehwal pentadbiran kerajaan.

Berikutan itu, beliau berkata, Perdana Menteri dan ahli Kabinet tidak harus dibenarkan membuat keputusan dasar utama yang berkemungkinan melakukan sesuatu yang dibuat oleh kerajaan yang baharu, membuat pelantikan ke jawatan penting atau membuat kontrak atau aku janji yang memberi kesan besar.

Selain itu, Muhammad Fathi berkata, kerajaan sementara tidak dibenarkan menggunakan dana dan jentera kerajaan untuk iklan politik ketika tempoh berkempen dalam PRU.

Bagi Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, prinsip utama kerajaan Persekutuan ialah tiada perbelanjaan boleh dibuat jika ia tidak diluluskan Parlimen.

Bekas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berpandangan Perdana Menteri yang menerajui kerajaan sementara juga tidak sepatutnya melantik pembantu kerana kerajaan boleh berjalan dengan sokongan dan bantuan penjawat awam di bawah Ketua Setiausaha Negara.

Mengikut proses, sebaik notis pemakluman rasmi pembubaran Parlimen diterima Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, ia kemudian akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mempunyai tempoh 60 hari bagi menyempurnakan urusan pilihan raya.

Pilihan Editor:

Bapa angsa pikul tanggungjawab ‘besarkan 7 anak sendirian’ selepas ibu angsa jatuh sakit dan pergi buat selama-lamanya

0

Ramai yang berkunjung ke Charles River Esplanade di Boston, Amerika Syarikat untuk melihat pemandangan alam semula jadi yang indah dan kehadiran angsa-angsa yang cantik.

Beberapa ekor angsa yang bertandang juga nampaknya memutuskan lagun di taman itu adalah habitat yang sesuai untuk memulakan keluarga. 

Charles River Esplanade/Twitter

Ia tidak mengambil masa yang lama untuk kakitangan Esplanade di taman itu untuk menemui seekor ibu angsa yang sedang bertelur.

Angsa yang cantik bertelur di sarang yang dibina bersama pasangannya si bapa angsa di tepi tasik, dan si ibu berjaya menetaskan 7 ekor anak angsa yang comel.

Charles River Esplanade/Twitter

Ramai pencinta burung dan hidupan liar datang ke taman itu untuk memerhatikan perkembangan anak angsa kecil, tetapi malangnya, pada suatu hari, kakitangan Esplanade mendapati ibu angsa berterusan menggeleng-gelengkan kepalanya dan tidak dapat berdiri, dan dia nampaknya sedang jatuh sakit.

Apabila mereka memaklumkan kepada petugas perlindungan haiwan Boston Animal Control dan mereka telah datang untuk membantu merawatnya, semuanya telah terlambat dan ibu angsa itu telah pergi buat selama-lamanya.

Owed To Nature / Facebook

Angsa adalah haiwan yang sangat berdedikasi, dan spesis burung yang sangat setia kerana hanya mempunyai satu pasangan dalam hidupnya. Oleh itu, selepas ibu angsa meninggal dunia, bapa angsa pasti mengalami pelbagai penderitaan, tetapi dia tetap cekal memilih untuk tinggal di habitat asalnya dan menjaga tujuh ekor anak-anaknya sendirian.

Charles River Esplanade/Twitter

Ini tidak kira bagaimana keadaannya, dan ia adalah satu tanggungjawab buat si bapa selepas si ibu meninggalkan mereka secara tiba-tiba.

Charles River Esplanade/Twitter

Sungguh membanggakan apabila bapa tunggal ini menjaga anak-anak angsa yang masih kecil dengan sepenuh hatinya.

Ramai yang tersentuh hati apabila melihat bapa angsa berenang bersama anak-anaknya yang comel itu di tasik, dan sesekali bertindak sebagai perahu untuk si kecil duduk di belakangnya. 

Charles River Esplanade/Twitter

Kasih sayang bapa angsa ini sungguh menghangatkan hati anda sehingga tidak perasan air mata boleh mengalir melalui pipi.

Di bawah perlindungan berhati-hati si bapa angsa, tujuh ekor angsa kecil telah beransur-ansur membesar dengan baik, untuk menjadi kuat dan tabah tanpa kehadiran belaian ibu tempat bermanja.

Charles River Esplanade/Twitter

Melihat bapa angsa dengan penuh kasih sayang dan cinta sejati kepada pasangannya, juga amat bertanggungjawab membesarkan anak-anak seorang diri, ia benar-benar spontan boleh membuat seseorang menjadi sebak, hiba dan mengesat air mata.

Kasih sayang bapa yang benar-benar hebat dan amat menyentuh hati!

Pilihan Editor:

Sebuah ‘bilik comel’ tersembunyi bawah gerai bergerak, anak kecil patuh menemani ibu bapanya mencari rezeki

0

Alkisah di Taiwan seperti mana juga di Malaysia, ramai yang mengeluh bukan mudah untuk mencari wang demi menyara keluarga, terutamanya buat ibu bapa yang sibuk membuka gerai dengan bekerja sendiri, menjadi peniaga kecil setiap hari.

Jika yang berpendapatan kecil, mereka tidak mampu membayar pengasuh atau menempatkan anak-anak di pusat jagaan kanak-kanak, jadi ibu bapa ini tiada pilihan melainkan membawa anak-anak bersama semasa bekerja. 

Seperti yang dipaparkan dalam gambar yang tular di Facebook ini, seorang peniaga jalanan terpaksa menyediakan satu ruang penyimpanan di bawah gerai bergerak, dengan meletakkan tilam nipis, kusyen dan selimut di bahagian bawah, sebagai ganti menjadi ‘bilik comel’ buat anak kecilnya.

Facebook

Kanak-kanak itu dikatakan berusia 3 tahun, dilihat sedang berbaring di dalam bilik kecil bawah gerai yang comel, dan selepas gambar ini didedahkan, ia telah mendapat perhatian ramai warganet di Taiwan.

Muat naik dua gambar telah dikongsikan di laman kumpulan Facebook, yang memaparkan seorang dewasa sedang sibuk berniaga dan melayan pelanggannya di gerai menjual makanan ringan, sementara bahagian bawah amat mengejutkan apabila terlihat seorang kanak-kanak kecil sedang tidur dibawahnya. 

Warganet yang memuat naik gambar itu amat terkejut melihat seorang kanak-kanak kecil, dengan baik dan tidak banyak kerenah diam berbaring di dalam kabinet di bawah gerai bergerak, menghisap puting, kadang-kadang terpinga-pinga tidak memahami pekerjaan ibu bapanya yang sedang sibuk.

Terlihat juga dia duduk dengan senyap dan bermain sendiri, tidak menangis atau meragam, diam memerhati dan menemani ibu bapanya berniaga di gerai jalanan. Amat senang menjaganya kerana dia anak yang baik.

Dalam dunia kecil yang eksklusif untuk kanak-kanak ini, ibu bapanya sangat bertimbang rasa ketika meletakkan tilam nipis dan empuk bersama selimut di bawah kabinet keras, dan juga menambah kusyen dengan corak bintang kecil di sisi untuk mengelakkan kanak-kanak itu daripada terhantuk papan yang keras ketika bergerak tanpa sedar semasa sedang tidur. Kapsyen gambar itu, “Bersama ibu bapanya, ini adalah rumah..”

Facebook

Gambar itu telah menarik perhatian warganet di Taiwan dengan komen mereka:

“Pemandangan indah, erti kerja keras..” 

“Ramai peniaga jalanan yang menjaga anak-anak mereka seperti ini. Saya fikir sekurang-kurangnya ibu bapa ini bertanggungjawab, dan kebanyakan kanak-kanak juga dapat bermain dengan selamat di bawah perhatian ibu bapa, tiada kanak-kanak yang menderita dan boleh merasai serta memahami kerja keras ibu bapa, yang mana satu perkara yang baik.”

Sambil ramai warganet yang memberi komen pernah merasai pengalaman membesar dengan cara didikan ibu bapa yang sama:

“Apabila melihat gambar ini, saya teringat keluarga saya pernah berniaga, dan saya juga tidur di bawah gerai jalanan..”

“Semasa kecil, ibu bapa saya berniaga di pasar, dan saya menjadikan tapak gerai sebagai tempat bermain, keluarkan kotak kadbod dan permainan lalu berseronoklah! Hidup sederhana yang biasa-biasa itu adalah kebahagiaan.”

Apakan daya, ibu bapa kita tidak mampu mengupah pengasuh. Sekurang-kurangnya kita tahu dan sentiasa ingat di dalam hati sehingga dewasa yang mereka amat bertanggungjawab untuk menjaga kita dengan baik.

Pilihan Editor:

Bapa temui mainan terbuang dan mencucinya bersih bagi memastikan anak-anak gembira dapat bermain

0

Adakah anak-anak anda bermain dengan mainan mereka selama sebulan, kemudian melupakannya dengan sepenuhnya? 

Adakah rumah anda dipenuhi dengan mainan yang sudah bosan dimainkan oleh anak-anak anda?

Video ini mungkin boleh membuat anda dan anak-anak mempertimbangkan untuk mendermakannya kepada kanak-kanak yang memerlukannya, daripada membiarkan diri berasa tidak prihatin untuk terus membuangnya.

Facebook

Untuk pengetahuan anda, biasanya ada mainan yang dibuang berada dalam keadaan baik dan sempurna yang berpotensi untuk mencari rumah buat kanak-kanak lain yang kurang bernasib baik.

Penang Kini baru-baru ini berkongsi video seorang bapa yang menemui mainan di tempat pembuangan sampah, membawanya pulang dan membersihkannya seperti keadaan baru dibeli untuk anak-anaknya bermain.

Facebook

Kapsyen video di Facebook itu berbunyi, “Pengorbanan seorang ayah, tidak pernah berputus asa untuk membahagiakan anak-anak.”

Facebook

Dalam video itu, seorang lelaki dilihat sedang mencuci troli mainan berwarna merah jambu dengan sabun selepas menemuinya di tempat pembuangan sampah.

Dia kemudian memberikan mainan yang sudah bersih itu kepada anak-anaknya, yang jelas amat gembira menerima mainan itu daripada ayah mereka, walaupun tahu bahawa mainan itu bukan yang baru dibeli.

Facebook

“Apa yang insan ini mahukan, hanya senyuman dan keceriaan di wajah anak kecil. Biarlah dia cekal dan bersusah payah mencari rezeki, asalkan keluarganya bahagia dan cukup makan.”

“Hargai ayah kita selagi mereka masih ada..” tulis Penang Kini.

Facebook

Ramai bapa penyayang dan terbaik di luar sana tidak kira apa status mereka, sanggup berkorban melakukan apa sahaja demi kebahagiaan dan kesejahteraan anak-anak.

Hargai kehadiran bapa anda di sisi dan balas jasa mereka apabila anda berkemampuan untuk berbuat demikian.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Ibu berani bertarung nyawa lawan seekor harimau yang cuba membaham anak lelakinya berusia 15 bulan

0

Ini adalah kisah yang patut dicontohi dari Madhya Pradesh, India di mana ibu berusia 25 tahun telah menjadi lambang keberanian apabila dia dengan hanya bersenjatakan tangan telah bergelut dengan seekor harimau demi menyelamatkan nyawa anak lelakinya.

Seekor harimau telah menerkam anak kecil berusia 15 bulan itu ketika ibu ini sedang menemani anaknya untuk membuang air. Apa yang cuba dielakkan untuk berakhir sebagai tragedi, juga menjadi satu tindakan dengan kisah keberanian apabila Archana Choudhary memutuskan untuk tidak berputus asa demi menyelamatkan anaknya dalam apa juga keadaan.

Kejadian itu berlaku di perkampungan Rohania di daerah Umaria di Madhya Pradesh. Kawasan itu berada di bawah hutan rizab simpanan harimau Bandhavgarh ketika Archana bertarung dengan seekor harimau yang sesat sedang membenamkan giginya ke dalam tempurung kepala anak lelakinya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Ibu ini dengan beraninya telah melompat ke atas harimau itu untuk menyelamatkan anak lelakinya. Dia berlawan dengan harimau yang berbahaya dengan hanya menggunakan tangannya.

“Harimau itu cuba melarikan budak itu tetapi penduduk kampung yang mendengar jeritan ibunya telah bergegas menyelamatkannya dan harimau itu kemudian telah menyelinap masuk ke dalam hutan,” kata pegawai tempatan, Sanjeev Shrivastava kepada AFP.

“Wanita itu dimasukkan ke hospital dan kini dia sedang pulih, dan anak kecilnya juga dalam keadaan stabil,” katanya.

Archana mengalami kecederaan di bahagian paru-paru dan luka di tangan, pinggang, tubuh belakang dan perutnya manakala anak lelakinya mengalami luka yang dalam di bahagian kepala.

Facebook

The Times of India melaporkan, operasi mencari harimau berkenaan sedang dijalankan supaya haiwan itu tidak kembali ke kawasan kampung, dan penduduk kampung diberi amaran untuk berada di dalam rumah pada waktu malam demi menjaga keselamatan.

Peningkatan konflik haiwan-manusia di seluruh Asia Selatan dilihat semakin banyak berlaku berikutan hutan semakin menghilang akibat pengembangan bandar.

Menurut angka kerajaan, hampir 225 orang terbunuh dalam serangan harimau antara 2014 dan 2019 di India manakala data menunjukkan, lebih daripada 200 harimau dibunuh oleh pemburu haram atau mati akibat renjatan elektrik antara 2012 dan 2018.

India adalah habitat kepada kira-kira 70 peratus harimau di dunia dan jumlah harimau pada 2018 dianggarkan sekitar 2,967 ekor.

Pilihan Editor: