26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 2, 2026
Utama Blog Laman 129

Empat tumbuhan hiasan yang boleh menghilangkan kulapuk dalam rumah, cara semula jadi untuk mengawal kelembapan

0

Tumbuhan hiasan bukan sahaja baik untuk menghias ruang rumah, tetapi juga baik untuk mengurangkan kelembapan di dalam rumah. Perkara utama dalam memilih jenis tumbuhan yang bersesuaian untuk kawasan tertentu ialah dengan tidak memerlukan perhatian berterusan. Tetapi, anda perlu memahami keperluan cahaya, tanah dan air, terutamanya apabila mencari tumbuhan yang bersesuaian dalam bilik mandi. 

Namun, tidak semua tumbuhan tumbuh subur dengan baik di dalam bilik mandi, dan kebanyakan bilik lain di rumah anda sebenarnya mempunyai tahap kelembapan yang lebih tinggi.

Gambar Express.co.uk/Getty Images

Menurut pakar dari Gardening Express, “Menggunakan tumbuhan untuk membantu mengelakkan kulapuk adalah cara yang praktikal dan semula jadi untuk mengawal kelembapan di dalam rumah anda. Kehebatan tumbuhan dalam mengurangkan kelembapan adalah berkaitan dengan keupayaannya untuk menyerap embun, kabut dan kelembapan lain melalui daunnya. Kelembapan ini kemudiannya bergerak ke akarnya.

Keindahan penyelesaian semula jadi ini ialah anda akan dapat melihat keberkesanannya dalam mengawal kelembapan sambil mempunyai tumbuhan yang cantik untuk dilihat dan dinikmati.

Berikut adalah empat tumbuhan hiasan yang anda boleh cuba meletakkannya di ruang yang mempunyai kadar kelembapan tinggi di dalam rumah

1.Ivy Inggeris

PropertyGuru

Pokok Ivy Inggeris sangat berkesan dalam menyaring pencemaran udara yang berbahaya dan bau tidak menyenangkan yang menjadikannya sebagai aksesori tambahan terbaik di bilik mandi.

Pakar berkata ia “tumbuh paling baik dalam cahaya terang, dan tidak memerlukan penyiraman biasa” tetapi perlu diingat untuk menjauhkan tumbuhan ini daripada haiwan peliharaan kerana daunnya adalah toksik kepada mereka.

Atas sebab ini, Ivy Inggeris amat baik dan sesuai diletakkan di dalam bekas gantung atau diletakkan di atas kabinet.

2. Lili Damai atau Bakung Damai

PropertyGuru

Bunga lili atau bakung damai “sukakan tempat teduh dan tumbuh subur dalam kelembapan yang tinggi, menjadi pilihan yang tepat untuk kawasan yang terdedah kepada kulapuk”.

Tumbuhan ini menyerap lembapan dari udara melalui daunnya dan tidak memerlukan cahaya matahari langsung atau terhad untuk mekar dan ia boleh tumbuh di bawah pencahayaan pendarfluor.

Ia juga bagus untuk mereka yang mengalami alahan atau asma, dan tumbuhan itu menghasilkan bunga yang cantik, tetapi ia adalah tumbuhan toksik kepada haiwan peliharaan jadi jauhkan ia dari jangkauan.

3. Pokok Ular atau Lidah Mak Mentua

PropertyGuru

Juga dikenali sebagai lidah ibu mertua, tumbuhan ini adalah tumbuhan yang tahan lasak dan boleh disesuaikan, juga salah satu yang terbaik untuk pemeluwapan atau kelembapan.

Tumbuhan ini tumbuh paling baik dalam cahaya terang dan suhu hangat dengan penjagaan yang cukup minimum, di mana memerlukan penyiraman setiap minggu atau dua, menjadikannya tumbuhan permulaan yang bagus untuk anda yang baru bermula untuk menanam tumbuhan.

Tumbuhan ini datang dalam pelbagai bentuk dan warna, yang kebanyakannya mengingatkan kepada kulit ular, dan sebab itu juga ia dipanggil pokok ular. Bukan sahaja daunnya menyerap kelembapan berlebihan, tetapi ia juga menapis toksin di udara, menyerap pelbagai pencemaran udara dan bau, yang sekaligus meningkatkan kualiti udara secara menyeluruh.

4. Pokok Palma

Pexels

Pokok Palma dikatakan sebagai “pilihan yang baik untuk membantu mengawal kelembapan dan mengelakkan kulapuk” kerana ia menyerap kelembapan melalui daunnya.

Terdapat beberapa jenis palma untuk dipilih, tetapi pokok pinang, pokok buluh, pokok palma hidup, pokok kurma kerdil dan pokok mensiang adalah yang terbaik untuk pemeluwapan.

Tumbuhan lain yang menikmati kelembapan ialah orkid, pakis Boston dan pokok labah-labah.

Pilihan Editor:

Kanak-kanak selamatkan diri sebelum menghubungi bomba ketika dapur rumah terbakar

0

Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun setengah bertindak bijak ketika dapur rumahnya terbakar. Dia menyelamatkan diri dan adiknya sebelum menghubungi bomba untuk meminta bantuan.

FACEBOOK

Pada 9 November lalu, jam 5.54 petang, balai bomba Kota Nanning, Guangxi, China menerima panggilan kecemasan daripada seorang kanak-kanak yang mendakwa bahawa kebakaran telah berlaku di rumahnya. Kebakaran tersebut berpunca daripada dapur gas yang tidak dimatikan.

Pada hari kejadian, nenek kanak-kanak tersebut sedang memasak di dapur. Namun, ketika dia keluar rumah dan pergi ke kebun sayuran, nenek itu terlupa mematikan dapur gas. Akibatnya, dapur gas tersebut terbakar.

PEXELS

Tidak lama kemudian, kanak-kanak tersebut terhidu bau asap. Dengan pantas, dia mencari sumber bau tersebut. Melihatkan periuk di atas dapur gas tersebut telah terbakar, dia menutup periuk tersebut dengan tudung periuk.

Disebabkan pintu rumah sudah terkunci dari luar, kanak-kanak perempuan tersebut membawa adiknya masuk ke dalam bilik. Dia menutup pintu bilik dan meletakkan selimut tebal dibahagian bawah pintu untuk menghalang asap masuk ke dalam bilik.

Kemudian dia membuka tingkap untuk mengeluarkan asap yang terperangkap. Dia juga mengajak adiknya mendekati tingkap bilik untuk menghirup udara segar.

Walaupun berhadapan dengan situasi bahaya, kanak-kanak tersebut sangat bijak dan mampu mengawal keadaan.

Mujurlah sebelum si nenek keluar rumah, dia ada meninggalkan telefon bimbitnya pada cucunya itu untuk bermain di ruang tamu. Dengan menggunakan telefon bimbit tersebut, kanak-kanak perempuan itu menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan dan memberikan alamat rumah dengan tepat.

Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba terus memadamkan api kebakaran dengan menggunakan pam air dan menyelamatkan dua orang kanak-kanak yang terperangkap itu.

PEXELS

Pihak bomba turut memuji kanak-kanak perempuan tersebut atas keberanian dan kebijaksanaannya dalam menghadapi situasi yang bahaya seperti itu.

Netizen turut sama memuji sikap kanak-kanak yang dilihat begitu matang. Pasti dia telah dididik untuk bertindak sedemikian sekiranya berlaku apa-apa kecemasan. Syabas adik kerana telah melakukan perkara yang betul.

Sebagai orang dewasa, kita juga perlu mengajarkan kanak-kanak menggunakan telefon dengan betul serta beberapa nombor penting agar mereka tahu siapa yang perlu mereka hubungi sekiranya berlaku kecemasan.

Pilihan Editor:

Nahas kereta rempuh belakang treler, 5 beradik termasuk bayi kembar kehilangan ibu

0

Seorang wanita maut, selepas kereta yang dinaiki bersama enam ahli keluarga merempuh belakang sebuah treler berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Restoran Jejantas Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di Sungai Buloh, pada pagi Isnin, 14 November.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis memaklumkan seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.10 pagi.

Facebook

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang dinaiki tujuh sekeluarga telah melanggar bahagian belakang sebuah treler,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Norazam berkata, kemalangan itu mengakibatkan seorang wanita berusia 38 tahun tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Facebook

“Suami mangsa berusia 50 tahun dan anak perempuan mereka berusia 11 tahun dilaporkan cedera parah, manakala empat lagi anak mereka termasuk bayi kembar lelaki berusia antara lapan tahun hingga lapan bulan dilaporkan turut tercedera dalam kemalangan tersebut.

“Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Pilihan Editor:

Bergelut dalam hujan lebat siapkan kerja sekolah, kesungguhan budak perempuan gelandangan ini belajar amat memilukan hati

0

Demi menuntut ilmu, kanak-kanak gelandangan ini sanggup menahan hujan lebat demi membuktikan ilmu dan pendidikan itu penting sebagai jaminan masa depan yang cerah.

Rakaman yang tular beberapa tahun lalu ini memaparkan seorang budak perempuan dari Filipina menyiapkan kerja sekolah ketika berada di dalam hujan lebat.

Kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, Elaine Dolfo terpaksa menyiapkan kerja sekolahnya dalam keadaan hujan lebat memandangkan keluarganya tiada tempat perlindungan dan terpaksa menjadi gelandangan.

Facebook

Elaine dilihat bersusah payah menyiapkan kerja sekolahnya dan pada masa itu kebetulan seorang warga Manila yang juga pengguna Facebook bernama Rolando Villanueva berada di kaki lima di luar blok pangsapuri di situ. 

Dia telah merakam aksi Elaine yang bergelut berada di dalam hujan lebat pada jam 7 pagi untuk menyiapkan kerja sekolahnya yang amat menyedihkan.

Rolando kemudian telah memuat naik video itu sehingga mendapat perhatian ribuan netizen yang amat tersentuh hati dan menjadi pilu.

Facebook

Menurut Rolando, ketika Elaine sedang bergelut dalam hujan lebat dan bersungguh-sungguh menyiapkan kerja sekolahnya, dapat dilihat ibunya, Ellen dan adik perempuannya, Alexandra sedang tidur bersebelahan dengannya.

Difahamkan keluarga ini tidak mampu lagi membayar sewa rumah kerana bapa Elaine, Jerry yang bekerja sebagai pemandu tuk tuk sedang sakit dan tidak dapat bekerja. Beberapa hari sebelum Rolando merakam video itu, mereka telah dihalau keluar oleh tuan rumah.

Dalam video itu, dapat dilihat angin kencang dan hujan lebat terus meniup halaman buku sekolah dan jaket pelindung Elaine sehingga kanak-kanak ini dilihat kelihatan basah kuyup menahan air hujan.

Facebook

Namun Elaine tidak berputus asa, sebaliknya dia terus gigih menyiapkan kerja sekolahnya sambil berkali-kali membetulkan jaket yang diletakkan di atas kepalanya dan terus membongkok sambil menulis dalam keadaan yang tidak selesa.

Elaine yang bersekolah di Sekolah Rendah Aurora Quezon di Manila memberitahu Rolando Villanueva yang dia mahu menjadi pelajar cemerlang dan oleh itu akan mendapat pekerjaan yang baik bagi membantu keluarganya.

“Saya mahu siapkan kerja rumah ini dan mendapat keputusan yang baik di sekolah. Baru boleh dapat kerja yang baik untuk menjaga diri saya sendiri dan keluarga saya,” katanya kepada Rolando.

Gambar ihsan GoFundMe

Susulan video tular yang menyedihkan ini, seorang pelajar universiti dari Tennessee di Amerika Syarikat, Marlene Garcia telah menubuhkan tabung GoFundMe khas untuk membantu Elaine dan keluarganya.

“Saya benar-benar tersentuh hati melihat kecekalan dan kesungguhannya belajar ketika dia berkali-kali membetulkan jaket di atas kepalanya yang ditiup angin untuk melindungi diri dan bukunya daripada terkena hujan,” kata Marlene yang telah menyerahkan sumbangan orang ramai bernilai ribuan dolar kepada Elaine dan keluarganya.

Gambar ihsan GoFundMe

Elaine dan keluarganya telah menggunakan wang sumbangan itu untuk menyewa pangsapuri, membiayai persekolahan Elaine dan adik perempuannya, serta membeli tuk tuk baru untuk bapa Elaine bekerja kembali setelah dia sembuh daripada penyakitnya.

Elaine dan keluarganya kini berada di tempat tinggal yang selamat dengan tidak lagi menjadi gelandangan, dan dia juga dapat belajar dengan baik dan sempurna demi mencapai cita-citanya.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Bayi dihempap pokok ru ketika berkelah meninggal dunia

0

MELAKA: Bayi lelaki berusia setahun lima bulan yang dihempap pokok ru bersama ibunya dilaporkan meninggal dunia setelah lebih enam jam bertarung nyawa di Hospital Melaka, pada jam 12.38 tengah malam Ahad, 13 November.

Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Puteri, Tuminah Kadi bahawa bayi Muhammad Zahfran Ilman Mohd Syazawan telah meninggal dunia.

Menurutnya, beliau dihubungi pihak hospital pada jam 1.30 pagi yang memaklumkan berita sedih tersebut dan berharap ibu bapa serta keluarga mangsa tabah dengan dugaan yang menimpa.

Twitter

“Adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada sang penciptanya sebentar tadi.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam insiden yang berlaku pada petang Sabtu, kegembiraan lima beranak berkelah di pantai bertukar tragedi dan berita duka selepas dua daripada mereka termasuk bayi berusia setahun lima bulan cedera dihempap sebatang pokok ru di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Berita Harian melaporkan kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang ketika bayi lelaki yang didukung ibunya dihempap pokok yang tumbang ketika mereka sedang memerhatikan ahli keluarga lain sedang mandi.

Pokok ru itu secara tiba-tiba tumbang dengan dahan bahagian tengah pokok menghempap belakang ibu bayi berkenaan sehingga mengakibatkan kedua-dua mereka tersembam ke pasir.

Pilihan Editor:

Sunfish seberat 2,700 kilogram cipta rekod dunia baharu untuk ikan bertulang terbesar pernah ditemui

0

Seekor sunfish raksasa seberat 3 tan yang ditemui berhampiran pulau di Portugal telah mencipta rekod dunia baharu Guinness World Records untuk ikan bertulang paling berat pernah direkodkan, menurut kajian terbaharu.

Raksasa bersisik, yang dikenali sebagai sunfish gergasi atau nama saintifik Mola alexandrini, ditemui pada 9 Disember 2021 ketika ia terapung tanpa bernyawa di luar pantai Pulau Faial, di Azores, di Portugal, kumpulan pulau yang terletak di Lautan Atlantik Utara. 

Pihak berkuasa tempatan mengambil bangkai ikan besar itu dan membawanya kembali ke pelabuhan supaya ia boleh dikaji dengan lebih teliti, menurut satu kenyataan daripada Atlantic Naturalist Association, sebuah organisasi pemuliharaan dan penyelidikan bukan berasas keuntungan yang berpangkalan di Pulau Faial.

Gambar oleh Atlantic Naturalist.org

Penyelidik menjalankan nekropsi ke atas sunfish gergasi itu dan memperincikan keputusan dalam kajian terbaharu, yang diterbitkan pada 11 Oktober 2022 dalam Journal of Fish Biology.

Ikan besar itu berukuran 3.6 meter tinggi dan 3.5 meter panjang, dan ia mempunyai berat 2,744 kilogram (6,049 paun) atau lebih kurang 3 tan (2.7 tan metrik). Para penyelidik juga menganalisis kandungan perut ikan sunfish berkenaan dan mengambil sampel DNAnya, menurut laporan kajian itu.

Ikan yang telah mati itu adalah “spesimen majestik”, kata pengarang utama kajian José Nuno Gomes-Pereira, ahli biologi marin di Atlantic Naturalist Association, lapor Live Science. Gambar-gambar bangkai ikan itu tidak memberi keadilan untuk menunjukkan betapa luar biasanya ‘Sunfish’ ketika kelihatan di dalam lautan luas, kata Pereira.

Gambar oleh Australian Museums

Rekod dunia sebelum ini untuk ikan bertulang paling berat dipegang oleh satu lagi sunfish gergasi yang ditangkap di Jepun pada tahun 1996, yang mempunyai berat 2,300 kilogram (5,070 paun), menurut Guinness World Records.

Sunfish dinamakan bukan daripada bentuk badan bulat mereka tetapi kerana mereka suka berjemur di bawah sinar matahari di permukaan laut, yang saintis percaya adalah bagaimana mereka memanaskan semula diri selepas lama menyelam di laut dalam yang sejuk dan gelap untuk mencari makanan, menurut jurnal itu.

Ikan sunfish gergasi sebelum ini telah disalahklasifikasi sebagai ikan yang luar biasa besar daripada spesies sunfish laut yang lebih biasa atau Mola mola, yang membesar kira-kira separuh saiz ikan juggernaut yang ditemui baru-baru ini. 

Gambar oleh Atlantic Naturalist.org

Sunfish M. alexandrini telah diklasifikasikan sebagai spesies unik pada 2018, hasil kajian penyelidik marin dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Ichthyological Research.

Sunfish gergasi boleh ditemui di seluruh dunia, tetapi bilangan sebenar ikan bertulang terbesar ini tidak diketahui.

Pada bulan Jun, nelayan di Kemboja bergelut ketika menemukan ‘ikan air tawar paling berat di dunia’, ikan pari air tawar gergasi sepanjang 4 meter (Urogymnus polylepis) yang mempunyai berat 300 kilogram (661 paun).

Pilihan Editor:

Duduk serumah dengan semua penghuni sepakat pembersih, zaman sekarang susah jumpa lelaki pengemas macam ini

0

Biasa juga kita membaca luahan hati netizen di media sosial mengenai nasib malang tinggal sebumbung dengan rakan serumah yang pemalas dan pengotor.

Jika kita seorang yang pembersih, suasana sedemikian pasti akan mengundang stres apabila terpaksa menghadap perangai rakan serumah yang kurang kesedaran sivik dan tidak pula bertimbang rasa untuk menjaga perasaan rakan-rakan serumah yang lain.

Baru-baru ini, perkongsian oleh seorang pengguna TikTok menunjukkan sebaliknya sehingga membuatkan netizen kagum dan melontarkan pujian.

Gambar mStar

Ini kerana rumah yang didiami penuntut universiti itu bersama rakan-rakannya begitu bersih, kemas dan teratur meskipun masing-masing sibuk dengan pengajian.

Pemuda bernama Najmi Afiq berkongsi di mStar dengan memberitahu dia dan tujuh lagi rakannya mendiami sebuah unit rumah di kolej kediaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Pahang.

Gambar mStar

Meskipun baru mendiami rumah empat bilik itu sekitar tiga bulan lalu, namun pemuda ini berkata kesemua rakan serumahnya sekepala dan mempunyai sikap bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan.

“Kami mendiami rumah di Kolej Mat Kilau sejak hampir tiga bulan lalu. Sebenarnya pada semester lepas, ada di antara kami pernah duduk serumah… kemudian ada yang suka datang lepak,” kata Najmi Afiq.

“Jadi apabila masuk semester baru, kami berlapan sepakat hendak duduk serumah. Sebelum masuk kampus, kolej akan keluarkan borang, jadi kita isi borang tersebut berserta butiran nama penghuninya,” tambahnya.

Gambar mStar

Pemuda berusia 21 tahun ini berkata, mereka biasanya akan memperuntukkan satu hari setiap minggu untuk mengemas dan membersihkan rumah secara bergotong-royong. 

“Biasanya kami ‘gotong-royong’ pada hari minggu atau ikut waktu kelapangan sebab masing-masing sibuk dengan kuliah.

“Dalam rumah ini ada empat bilik, jadi tugas dibahagikan ikut bilik. Ada yang ditugaskan kemas dapur, ada yang cuci bilik air, bersihkan ruang tamu dan ada kemas bahagian luar rumah.

TikTok

“Adakalanya sepah juga sikit-sikit… tapi nanti kami kemas bersama-sama seperti rutin mingguan,” kata penuntut Diploma Pentadbiran Awam ini.

Banyak kali membaca perkongsian di media sosial mengenai kisah rakan serumah yang pengotor, Afiq bagaimanapun bersyukur dan menganggap dikurniakan rakan serumah yang pembersih sebagai satu rezeki.

“Sebenarnya, kalau majoriti rakan serumah kita orang yang pembersih, secara automatik yang lain akan terikut juga. Kalau ramai pengotor, maka kita pun mungkin terikut juga sikap itu.

“Selain dipengaruhi rakan, sikap pembersih ini juga mungkin berpunca daripada didikan keluarga kita di rumah dahulu,” jelas Afiq.

TikTok

“Kalau ada di antara rakan serumah yang dalam kitaran atau geng kita, boleh saja tegur depan-depan secara berhemah. Orang lelaki ni walau nampak kasar, tapi nak tegur pun ada caranya.

“Janganlah tegur secara kasar. Tapi kalau tak ‘jalan’ juga, mungkin boleh pertimbangkan untuk keluar dan cari rumah lain,” ujarnya lagi.

Sekadar memuat naik video tersebut secara suka-suka, Afiq bagaimanapun tidak menyangka ia mengundang perhatian netizen.

Video TikTok yang tular itu menerima pujian netizen.

TikTok

“Seronoknya dapat rakan serumah macam ni. Saya ni, seorang je yang bersungguh nak rumah kemas-kemas. Lama-lama penat juga seorang je yang bersungguh.”

“Semua handsome! Ini memang pakej.”

“Mantap bang, semua calon suami terbaik,” komen mereka.

Apa-apa pun, tidak rugi apa-apa jika seseorang itu rajin dan pembersih bukan? Fikiran pun jadi aman sempurna dan mudah nak hadam pembelajaran kalau persekitaran kediaman itu sentiasa bersih.

Pilihan Editor:

Rakyat Malaysia kongsi momen menyelamatkan diri ketika hampir berserah pada maut dalam tragedi Itaewon

0

Tragedi hitam yang berlaku di Itaewon ketika sambutan Halloween pada penghujung Oktober lalu masih menjadi bualan ramai orang di seluruh pelusuk dunia. Salah seorang mangsa yang terselamat ialah rakyat Malaysia, Athena Lim, 28 yang berasal dari Sabah berkongsi detik dia berusaha menyelamatkan diri daripada terkorban dalam tragedi Itaewon saat dia hampir berserah pada maut.

SAYS

Menurut Athena kepada SAYS, pada hari kejadian dia dan lima orang rakannya sedang menikmati makan malam di sebuah lokasi di utara Seoul. Sebaik sahaja mendengarkan sambutan Halloween di Itaewon sangat rancak dan mengujakan, mereka memutuskan untuk ke sana dan tiba di lokasi pada jam 10 malam.

Ketika mereka sampai, orang ramai telah pun membanjiri jalan. Walaupun jalan sesak, mereka berenam masih dapat menikmati keseronokan sambutan Halloween sambil berpegangang tangan. “Tetapi semakin ramai orang datang.” kata Athena.

Menyedari akan hal tersebut, Athena dan rakan-rakan memutuskan untuk beredar dari lokasi dan menuju ke stesen kereta api bawah tanah. Namun, nasib tidak menyebelahi apabila mereka terperangkap di lorong yang sempit itu. Kata Athena, pergerakan menjadi perlahan kerana lorong yang sempit itu sudah dipenuhi orang ramai. Dia dapat merasakan orang lain menolaknya ke depan.

“Kami masih lagi bergerak sehinggalah orang di hadapan kami tiba-tiba terhenti,” kata Athena. Kemudian dia terdengar orang menjerit, “tunggu, tunggu, tunggu!”

CNN

Tolakan daripada arah belakang menyebabkan badan Athena terangkat sehingga kakinya tidak lagi mencecah tanah. Ketika itulah dia terpisah dengan rakan-rakannya, namun entah bagaimana dia dan empat orang rakannya kembali bersama. Tetapi malangnya, dua orang rakan yang lain tidak kelihatan.

Apabila orang ramai semakin bertolak-tolakan untuk menyelamatkan diri, badan Athena semakin terangkat dengan lebih tinggi. Athena, terperangkap! Kali ini dia tidak dapat merasakan apa-apa pada kaki kirinya.

Walaupun dirinya dihimpit begitu kuat, Athena cuba untuk bernafas. Dia memejamkan mata, berserah sekiranya ajalnya sudah tiba.

Namun tiba-tiba seorang lelaki Korea menepuk bahu Athena, memaksanya untuk terus membuka mata dan berjuang menyelamatkan diri. Saat itu Athena sedar yang belum tiba masanya untuk dia mengalah (mati).

Athena mendongak ke langit dan cuba bertenang. Akhirnya dia dapat mengatur nafasnya dengan lebih baik.

Dalam kekalutan tersebut, Athena terlihat seorang wanita muda disebelahnya kelihatan begitu tertekan, menangis sambil memanggil teman lelakinya. Wanita itu juga mengalami kesukaran bernafas, namun tidak lama kemudian wanita tersebut tidak menyedarkan diri.

Sebaik sahaja Athena ditarik keluar daripada kerumunan, dia tidak lagi bersama-sama rakannya. Dua orang gadis dan seorang lelaki Korea menjaga Athena ketika dia menunggu untuk diberikan rawatan kerana pihak berkuasa ketika itu mengutamakan mangsa yang lebih memerlukan bantuan.

CNN

Athena menerima rawatan dan diberikan ubat pada kaki kirinya. Menurut Athena deria rasa pada kaki kirinya akan pulih tetapi mengambil sedikit masa.

Ibu Athena, Yolanda memberitahu SAYS bahawa dia hanya menyedari akan kejadian tersebut pada Ahad, 30 Oktober. Selepas beberapa kali percubaan menghubungi kedutaan Malaysia gagal, Yolanda dan suaminya terus berangkat ke Seoul dari Kota Kinabalu pada keesokan harinya.

Menurut Athena, polis Korea telah menghubunginya untuk mengambil keterangan. Namun dia tidak menerima apa-apa maklumat daripada pihak kedutaan pada hari kejadian.

Ibunya mahupun abang rakannya juga tidak mendengar sebarang maklum balas walaupun selepas beberapa kali mereka cuba menghubungi pihak kedutaan untuk mendapatkan bantuan.

Ayah Athena menghubungi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun. Kemudian Masidi menghubungi Kementerian Luar Negeri barulah wakil kedutaan berhubung dengan Athena.

CNN

Kedutaan Besar Malaysia di Korea menghubungi Athena pada malam Isnin, 31 Oktober, semasa dia menghadiri upacara memperingati mendiang rakannya. Mereka berkeras untuk menziarahinya dan menghantarnya pulang namun dia tidak menerima tawaran tersebut memandangkan dia berada di upacara peringatan.

Pada pagi Ahad, 6 November, Athena dan ibu bapanya pergi ke kedutaan Malaysia untuk bertemu dengan Duta Besar Malaysia dan kakitangan kedutaan.

Pilihan Editor:

Misteri batu hidup di Romania, ‘Trovants’ yang boleh tumbuh dan bergerak

0

Amat menakjubkan apabila anda dapat melihat batu yang hidup, boleh tumbuh dan bergerak ke tempat lain, dan mereka yang berperasaan ingin tahu boleh melancong ke Romania untuk menyaksikannya.

Dikenali sebagai ‘Trovants’ batu dari Costesti, Romania, ia ialah sejenis konkrit batu pasir yang merembeskan simen dan kadangkala boleh dilihat tumbuh seolah-olah ia hidup.

Facebook

Terdiri daripada teras batu dengan bentuk cangkang luar pasir, selepas hujan lebat bentuk-bentuk kecil dikatakan muncul di atas batu yang menyebabkan mereka digelar “batu yang tumbuh” oleh penduduk tempatan.

Ia adalah satu fenomena geologi yang menakjubkan.

Facebook

Trovants di Romania adalah fenomena geologi menakjubkan, yang ditemui di sebuah kampung kecil bernama Costesti. Istilah Trovants bermaksud Pasir Bersimen.

Batu ini dipercayai sejenis konkrit batu pasir yang merembeskan simen dan boleh kelihatan tumbuh pada satu-satu masa, seolah-olah batu-batu ini hidup.

Facebook

‘Batu hidup’ yang menarik ini dianggap terdiri daripada teras batu dengan cangkang luar pasir, dan selepas hujan lebat bentuk batu kecil dikatakan muncul di atas batu lebih besar dan mendapat gelarannya sebagai ‘batu tumbuh’. 

Agak unik kerana Trovants mempunyai akar dan boleh bergerak.

Facebook

Trovants ini akan tumbuh ketika terkena air. Batu kecil yang biasa berukuran enam hingga lapan milimeter dan akan menjadi lebih besar hingga berukuran enam hingga sepuluh meter.

Facebook

Terdapat beberapa kajian tentang asal usul Trovants Romania dan terdapat banyak hipotesis, yang sebahagian daripadanya adalah menakjubkan. Menurut Kongres Geologi Antarabangsa yang berlangsung di Oslo, Norway pada 2008, Trovants ini dianggap sebagai “konkrit batu pasir”. 

Facebook

Kajian tentang Trovants telah dimulakan di kawasan Carpathians bermula tahun 1883 oleh Cobalcescu dan pada tahun 1900 oleh Koch yang memberikan pendapat masing-masing tentang asal usul batu itu.

Para saintis mempercayai bahawa di bahagian bawah batu itu mengandungi unsur mineral yang tinggi. Sehingga ketika permukaan menjadi basah, mineral mula merebak dan akan menekan pasir untuk membesar.

Facebook

Trovants mempunyai bentuk yang pelbagai. Batu-batu tertentu secara beransur-ansur mungkin menjadi lebih besar, sedikit demi sedikit hasil daripada penyerapan air, dan dalam kes ini, pengumpulan serta mendapan mineral yang disimen oleh pengairan yang kaya dengan kalsium karbonat nampaknya menjadi penyebab, kata saintis.

Facebook

Pertumbuhan batu Trovants di Romania dipercayai berlaku apabila tindak balas kimia berlaku di antara lapisan mendapan dan mineral karbonat dengan kehadiran air hujan, tambah mereka.

Facebook

Kerana batu ini hidup yang mana ia kelihatan menarik dan amat mengagumkan, tapak ini menjadi tarikan pelancongan yang popular di Romania. 

Facebook

Untuk melindungi ciptaan alam semula jadi dan geologi yang luar biasa ini, “Muzeul Trovantilor” atau Rizab Semula Jadi Muzium Trovants telah dibangunkan di Daerah Valcea oleh badan pelancongan tempatan pada tahun 2004, yang mana kini dilindungi oleh UNESCO.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Hati berbunga terima jambangan belon buatan tangan kreatif suami buat isteri tercinta di hari graduasi

0

Momen terindah buat mahasiswa dan mahasiswi sudah pastilah ketika tamat pengajian dengan menerima ijazah di hari graduasi.

Pada hari itu, graduan paling gembira sekiranya ahli keluarga dan rakan taulan datang meraikan kejayaan mereka dengan membawa jambangan bunga dan coklat, seperti tradisinya.

TikTok

Namun jarang kita mendengar dan melihat seorang graduan menerima jambangan belon buatan tangan sendiri yang bersungguh dari hati, seperti yang diterima oleh isteri ini pada hari graduasinya.

Seorang lelaki yang juga merupakan suami kepada graduan wanita itu baru-baru ini mencuri tumpuan apabila mempersembahkan jambangan belon buat isteri tercinta ketika meraikan hari graduasinya.

TikTok

Lelaki dikenali @rawrngggga memuat naik video TikTok yang tular memaparkan kegigihannya membuat jambangan belon berbentuk bunga dengan tangannya sendiri untuk isterinya bagi meraikan hari tamat pengajian yang teristimewa itu.

TikTok

Ramai yang kagum melihat suami ini begitu kreatif dengan tangannya ketika membentuk belon-belon itu bagi menghasilkan jambangan bunga belon yang besar dan comel.

Video TikTok menunjukkan proses membuat jambangan belon itu sehingga diserahkan kepada isterinya telah meraih hampir 450,000 tontonan.

TikTok

Dengan rata-rata netizen memuji usaha dan kesungguhan suami ini untuk menggembirakan isteri kesayangannya di hari graduasi.

Apa yang pasti isterinya adalah orang yang paling gembira pada hari itu dan bertuahnya dia kerana memiliki suami yang bijaksana membuat kejutan lain daripada yang lain.

Pilihan Editor: