MELAKA: Bayi lelaki berusia setahun lima bulan yang dihempap pokok ru bersama ibunya dilaporkan meninggal dunia setelah lebih enam jam bertarung nyawa di Hospital Melaka, pada jam 12.38 tengah malam Ahad, 13 November.
Perkara itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Puteri, Tuminah Kadi bahawa bayi Muhammad Zahfran Ilman Mohd Syazawan telah meninggal dunia.
Menurutnya, beliau dihubungi pihak hospital pada jam 1.30 pagi yang memaklumkan berita sedih tersebut dan berharap ibu bapa serta keluarga mangsa tabah dengan dugaan yang menimpa.

“Adik Muhammad Zafran Ilman Mohd Syazwan, mangsa dihempap pokok telah kembali kepada sang penciptanya sebentar tadi.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan diharapkan ibu dan ayah serta keluarga tabah dengan dugaan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam insiden yang berlaku pada petang Sabtu, kegembiraan lima beranak berkelah di pantai bertukar tragedi dan berita duka selepas dua daripada mereka termasuk bayi berusia setahun lima bulan cedera dihempap sebatang pokok ru di Pantai Puteri, Tanjung Kling.
Berita Harian melaporkan kejadian berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang ketika bayi lelaki yang didukung ibunya dihempap pokok yang tumbang ketika mereka sedang memerhatikan ahli keluarga lain sedang mandi.
Pokok ru itu secara tiba-tiba tumbang dengan dahan bahagian tengah pokok menghempap belakang ibu bayi berkenaan sehingga mengakibatkan kedua-dua mereka tersembam ke pasir.
Pilihan Editor: