30.3 C
Kuala Lumpur
Friday, July 25, 2025
Utama Blog Laman 121

Banglo ‘seram’ di Bukit Gasing, Petaling Jaya akhirnya terjual pada harga RM4.4 juta

0

Setelah bertahun-tahun banglo mewah terletak di Bukit Gasing, Petaling Jaya terbiar sepi tanpa ada pembeli, akhirnya rumah tersebut terjual pada harga RM4.4 juta.

Berita itu yang dikongsikan pakar hartanah lelong, Muhammad Ishaq telah mendapat perhatian warganet yang memperkatakan tentang banglo ‘seram’ tersebut.

Facebook

Ramai berpendapat pemilik baharunya itu mendapat rumah tersebut pada harga ‘durian runtuh’ kerana dipercayai nilai pasaran semasa boleh mencecah puluhan juta ringgit, memandangkan rumah tersebut berada di atas salah satu hartanah mewah di Malaysia.

Banglo terbiar ini sering dikaitkan dengan kewujudan entiti makhluk halus, lebih-lebih lagi orang ramai sering memperkatakan pemilik asal rumah tersebut dikaitkan dengan kes pembunuhan dan ritual mistik.

Facebook

Dalam hantaran Facebook pada Oktober 2021 lalu, Muhammad Ishaq menceritakan secara ringkas mengenai banglo tersebut. Rumah terbabit dipercayai milik Raymond Goh atau panggilannya adalah Shihan Goh yang kini sudah berusia 61 tahun dan beliau menggadaikan rumah tersebut kepada bank pada 15 Mac 2013.

Shihan Goh dipercayai seorang penganut Kristian yang kuat berdasarkan penemuan beberapa tanda-tanda salib di beberapa bahagian dalam banglo tersebut.

Facebook

Dalam masa yang sama, Shihan Goh juga merupakan seorang mahaguru dalam seni mempertahankan diri jiu-jitsu.

Beliau juga pernah menerbitkan buku agama Kristian yang bertajuk “The Aquarian Bible Awakening Thru Cosmic Link Omnipotentology” pada tahun 2002.

Facebook

Berita banglo ini sudah terjual sudah pasti menimbulkan pertanyaan siapakah gerangan individu yang akhirnya berani membeli banglo usang yang sering dikaitkan dengan kisah-kisah mistik bualan ramai itu.

Pada masa sama netizen mahu melihat sama ada pemilik baharu mahu membangunkan semula banglo tersebut dan kembali menghuninya semula setelah sekian lama dibiarkan usang dan terbiar.

Pilihan Editor:

Hari Hak Asasi Manusia Sedunia: Malaysia berhimpun mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia oleh PKC

0

Pada 10 Disember 2022 sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia, Pertubuhan Tuidang Malaysia menganjurkan perhimpunan “Menentang Maklumat Palsu ” di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Malaysia. Pada hari yang sama, pengamal Falun Gong dan Malaysia4Uyghur menyampaikan ucapan masing-masing dalam memberi kesedaran kepada orang awam supaya menentang jenayah yang dilakukan PKC terhadap kemanusiaan. 

Untuk menutup jenayahnya, PKC telah melakukan propaganda palsu berulang kali terhadap pengamal Falun Gong dan Uyghur, menimbulkan kebencian untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada jenayahnya.

Pada 10 Disember 2022 sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia, Pertubuhan Tuidang Malaysia telah menganjurkan acara “Menentang Maklumat Palsu” di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar oleh Lem Zhe Wei/The Epoch Times)

PKC menggunakan maklumat salah untuk memburukkan Falun Gong

Seorang pengamal Falun Gong dikenali Max Chua menekankan bagaimana PKC telah menjadikan dunia akademik sebagai tempat untuk memburuk-burukkan Falun Gong, terutamanya melalui buku teks, peperiksaan, dan “berjuta-juta tandatangan” untuk mencuci otak kanak-kanak bawah umur di China dengan maklumat yang salah dan menanamkan rasa kebencian terhadap “Sejati, Baik, Sabar”.

Pada 10 Disember 2022 sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia, Pertubuhan Tuidang Malaysia telah menganjurkan acara “Menentang Maklumat Palsu” di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar oleh Lem Zhe Wei/The Epoch Times)

“Untuk membuat seseorang membenci ‘Sejati-Baik-Sabar’ dan memusnahkan asas moraliti seseorang, Jiang Zemin dan kumpulannya mengeksport video palsu ‘Pembakaran diri di Dataran Tiananmen’ untuk memfitnah Falun Gong. Falun Gong adalah peringkat tinggi ajaran Buddha yang secara jelas melarang pembunuhan dan bunuh diri. Pengamal Falun Gong sejati tidak akan membakar dirinya sendiri.” kata Max Chua.

Pada 14 Ogos 2001, Pertubuhan Pembangunan Pendidikan Sedunia mengeluarkan kenyataan mengutuk keras terhadap ‘Insiden Pembakaran Diri Tiananmen’ ketika di mesyuarat PBB, menyebutnya sebagai tindakan keganasan negara oleh pihak berkuasa PKC untuk memfitnah Falun Gong.”

Max Chua, seorang pengamal Falun Gong, berucap di acara perhimpunan itu. (Gambar oleh Lem Zhe Wei/The Epoch Times)

Lihat kengerian dan ketakutan di mata etnik Uyghur tempatan di China

Pengerusi Malaysia4Uyghur bernama Zuhri Yuhyi menghadiri acara berkenaan pada hari itu. Beliau mendedahkan Kedutaan China di Malaysia telah menjemput pertubuhan itu ke Wilayah Xinjiang beberapa bulan selepas Malaysia4Uyghur ditubuhkan, tetapi pasport mereka telah dirampas . Mereka hanya dibawa ke lokasi di mana PKC mahu mereka pergi, dan mereka hanya berkomunikasi dengan “pelakon” yang PKC benarkan mereka bercakap. Mereka juga dibawa melawat kilang, tetapi tiada sesiapa yang bekerja.

“Satu-satunya kebenaran yang kami perolehi…adalah makanan Uyghur itu menakjubkan. Saya menyimpan impian pada suatu hari nanti saya boleh kembali kepada masyarakat China yang bebas untuk menikmati makanan Uyghur dan menyingkirkan kezaliman komunisme,” katanya.

Zuhri Yuhyi juga menyebut etnik Muslim Uyghur tidak berani memberinya “salam” iaitu salam seagama buat seluruh umat Islam di dunia. Zuhri Yuhyi berkata beliau dapat melihat ketakutan dan kebimbangan di mata penduduk tempatan. Ketika tiba waktu solat, tiada siapa yang bersolat di situ.

“Ini bukan isu perkauman, ini isu kemanusiaan. Dalam hal ini, saya kata ini urusan kita semua. Saya manusia, kita semua manusia, ini urusan kemanusiaan. Sebagai manusia di muka bumi ini, kita sepatutnya saling menjaga dan bukannya saling membuli,” tegas Zuhri Yuhyi.

Zuhri Yuhyi, Malaysia4Uyghur, menyampaikan ucapan dalam perhimpunan tersebut. (Gambar oleh Lem Zhe Wei/The Epoch Times)

Malaysia adalah negara anti-komunis

Jurucakap Pertubuhan Tuidang Malaysia, Jane Teo mengingatkan orang ramai bahawa Malaysia adalah negara anti-komunis. Dalam ucapannya, beliau menegaskan di Malaysia, pengamal Falun Gong amat menyedari kejahatan Parti Komunis China, dan mereka telah berulang kali mendedahkan bahaya penyusupan Parti Komunis China ke dalam masyarakat Malaysia, terutamanya dalam bidang pendidikan. Beberapa tahun yang lalu, selepas mereka mengetahui bahawa potret dan petikan Lenin dan Marx dipaparkan di dua sekolah rendah, mereka melaporkan kepada polis dan tindakan telah dilakukan bagi menurunkan dan merampas bahan-bahan berkenaan.

“Bapa bekerja keras untuk menyara keluarga, ibu mengandung sembilan bulan, dan menanggung kepayahan; untuk meningkatkan kehidupan yang bernilai. Setiap kehidupan dianugerahkan oleh pencipta, dan setiap keluarga dilahirkan oleh takdir. Setiap orang berhak kepada persekitaran kehidupan yang normal… Hari ini, orang baik berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa, dan itulah yang dimahukan oleh unsur kejahatan. Tolak ansur orang baik hari ini juga membuatkan kita jelas kehilangan penguasaan persekitaran yang kita inginkan. Membutakan mata hari ini juga memusnahkan prinsip dan sifat kemanusiaan yang diserahkan kepada kejahatan dan dimusnahkan olehnya,” kata Jane Teo.

Jane Teo, jurucakap Pertubuhan Tuidang Malaysia, berucap pada acara itu. (Gambar oleh Lem Zhe Wei/The Epoch Times)

“Jenayah PKC yang melanggar hak asasi manusia adalah terlalu banyak untuk disenaraikan. Kami menyeru kepada pemahaman yang jelas bahawa China bukan PKC, dan PKC bukan China. Saya berharap anda akan jelas, melihat kebenaran dengan jelas, dan membuat pilihan yang bijak,” kata akhir daripada Jane Teo yang mengingatkan.

Pilihan Editor:

Pencarian pusara bapa tidak pernah mengenali lelaki dari India ini berakhir di Malaysia

0

Ada kalanya pemikiran semata-mata untuk menghidupkan semula perhubungan yang hilang mampu mencetuskan satu siri peristiwa dalam kehidupan.

Seorang lelaki dari India berkongsi bagaimana pencarian lokasi akhir hayat dan persemadian bapanya telah membawanya ke Malaysia untuk mendapatkan jawapan.

Dalam laporan yang dikongsi oleh BBC, lelaki bernama Thirumaran yang merupakan seorang aktivis dan menguruskan sekolah untuk kanak-kanak bekas buruh yang diselamatkan di daerah Tirunelveli, Tamil Nadu, telah memutuskan untuk pergi mencari pusara bapanya pada bulan November.

Gambar BBC

Bapanya K Ramasundram yang merupakan seorang guru sekolah di Malaysia, meninggal dunia akibat radang paru-paru pada tahun 1967, hanya 6 bulan selepas kelahiran anak lelakinya.

Thirumaran dan ibunya kembali ke Tamil Nadu di selatan India pada tahun yang sama. Kemudian pada tahun 1987, ketika berumur 22 tahun, ibunya pula meninggal dunia.

Selama bertahun-tahun, Thirumaran menyimpan beberapa surat lama yang ditulis oleh bapanya dan diwarisi daripada ibunya, yang telah memberitahu bahawa bapanya adalah seorang “aktivis kemanusiaan yang hebat” dan “penyanyi yang baik”.

Ibu Thirumaran berkongsi lokasi pusara bapanya di Malaysia, iaitu di bandar Kerling, lokasi tempat tinggal dan mendiang meninggal dunia.

“Saya sering berfikir yang saya mesti melawat bapa saya, tetapi saya tidak memikirkannya dengan serius. Sehinggalah pada hari ini,” katanya kepada BBC.

Carian Google yang mencetuskan segalanya

Thirumaran memulakan pencarian dengan cuba mencari sekolah bapanya, namun selain dari namanya, dia tidak tahu apa-apa tentang institusi itu.

Mendiang Ramasundram mengajar bahasa Inggeris di Thotta Thesiya Vakai Tamil Palli, sebuah sekolah kecil yang dikendalikan oleh masyarakat Tamil di Kerling.

Memandangkan Thirumaran bukan yang terbaik dalam menggunakan komputer, beliau meminta bantuan pelajarnya mencari sekolah itu di Google.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk mengendalikan komputer. Jadi pelajar saya melihatnya dan menunjukkan kepada saya gambar sekolah itu. Saya begitu kagum.”

Thirumaran kemudian mendapati sekolah itu telah dipindahkan ke lokasi lain, jadi beliau menghantar e-mel kepada pengetuanya untuk mendapatkan bantuan. Nasibnya amat baik apabila melalui pentadbiran sekolah, beliau mendapat maklumat kenalan dan bekas pelajar bapanya lalu menghubungi mereka.

Dalam beberapa hari berikutnya, beberapa orang antara kontak itu menjawab pertanyaannya dan menawarkan untuk pergi mencari pusara bapanya.

Thirumaran berkata, dirinya terkejut melihat betapa terujanya bekas pelajar itu yang kebanyakannya kini berusia dalam lingkungan 80-an, bercakap tentang bapanya.

“Salah seorang daripada mereka memberitahu bagaimana bapa saya membelikannya basikal untuk pergi ke sekolah dan kolej. Seorang lagi berkata, apabila dia ketinggalan dalam pelajaran, bapa saya membantunya meningkatkan prestasi dengan baik,” katanya.

“Apabila saya mendengar semua ini, saya menyedari apa yang saya telah hilang dalam kehidupan saya sendiri,” tambahnya.

Gambar BBC

Matlamat akhir

Selepas bekas pelajar bapanya menemui kubur itu dan mereka memaklumkan kepadanya, Thirumaran akhirnya mengambil keputusan berlepas ke Malaysia pada 8 November.

Beliau kemudian berjaya menemui pusara persemadian bapanya di sebuah tanah perkuburan lama di Kerling.

“Kubur itu sedikit usang dan ditumbuhi rumput liar, tetapi batu nisan itu mempunyai gambarnya, serta nama, tarikh lahir dan tarikh kematiannya,” jelas Thirumaran.

Sebelum itu, Thirumaran tidak pernah melihat gambar bapanya dan tidak pernah mengenali bagaimana rupanya.

Apabila ibu Thirumaran pulang ke India, segenggam tanah telah dibawa pulang dari kubur suaminya, yang Thirumaran memberitahu, tanah itu telah ditaburkan di atas pusara ibunya.

“Kali ini, saya mengambil segenggam tanah dari tempat persemadian ibu saya dan meletakkannya di atas kubur ayah saya,” katanya.

“Seolah-olah perkongsian cinta mereka adalah melalui saya, walaupun selepas kematian,” kata Thirumaran yang terharu.

Gambar BBC

Thirumaran kemudian membersihkan pusara itu dengan bantuan bekas pelajar bapanya, menyalakan lilin dan berdoa beberapa kali sebelum pulang ke India pada 16 November.

Katanya, perjalanan itu memberinya “lebih banyak daripada dibayangkan” dalam bentuk kenangan dan cenderahati yang tidak ternilai, termasuk gambar lama bapanya.

“Pelajarnya memberitahu wajah saya mirip sepertinya. Buat seorang budak lelaki yang membesar tanpa bapa, ini adalah kehidupan yang datang dengan sepenuhnya,” katanya dalam nada penuh emosi.

Pilihan Editor:

Agong tolak menerima gaji sejak pandemik bermula – Anwar

0

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, menolak untuk menerima gaji baginda dari kerajaan persekutuan sejak pandemik COVID-19 melanda negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, Anwar berkata Tuanku tidak menerima sebarang gaji dari kerajaan sejak penularan COVID-19, sebaliknya mendermakannya sebagai dana memandangkan baginda sentiasa prihatin dengan masalah kewangan negara.

Facebook

“Jadi saya ingat eloklah kita berikan penjelasan ini kerana itu sumbangan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong memandangkan masalah ekonomi menekan kehidupan rakyat,” katanya.

Di bawah Akta Istana Negara (Elaun-elaun Diraja) 1982, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berhak mendapat elaun.

Anwar berkata beliau merasakan adalah penting untuk menjelaskan bahawa Al-Sultan Abdullah telah menolak untuk menerima gajinya, yang mana langkah itu adalah lebih awal daripadanya sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri.

Facebook

Sebelum ini, Anwar memaklumkan beliau tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri selain Jemaah Menteri juga bersetuju untuk memotong gaji bulanan mereka sebanyak 20%.

Anwar, yang tidak mengambil gaji Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata dasar ini adalah berterusan dan akan disemak semula sehingga ekonomi pulih sepenuhnya.

Katanya, langkah itu menunjukkan kerajaan perpaduan pimpinannya cakna dengan permasalahan rakyat.

Pilihan Editor:

Mi segera luput tarikh 5 tahun lalu takut dibuang, keluarga ‘hoarder’ ini bermasalah bila semua barang tidak berguna mahu disimpan

0

Berjimat cermat itu satu perkara yang membawa kebaikan, tetapi jika anda mengumpul barang terlalu banyak, ia mungkin gangguan mental ‘hoarding disorder’. Seorang pengguna Facebook di Taiwan memuat naik satu hantaran dengan rasa bimbang lalu meminta bantuan warganet lain. 

Hantaran itu mendedahkan ibunya bukan sahaja akan marah apabila orang lain membuang barang-barang di dalam rumah, tetapi dia juga keluar mengutip “sampah”, yang menyebabkan rumahnya dipenuhi dengan pelbagai barangan tidak berguna, yang membuatkan seluruh isi rumah berasa tertekan. Ramai penghidap ‘hoarding disorder’ atau penimbun barang mengalami masalah yang sama.

Pengguna Facebook itu menulis, “Bagaimana cara menyelesaikan tabiat menimbun barang ibu saya, jangan buang sama sekali, dan keluar untuk membawa pulang sampah. Jika saya mahu membuangnya, saya dikatakan tidak perlu menguruskan rumah untuk memahami penderitaannya. Di dalam rumah itu, terdapat mi segera luput tarikh berusia lima tahun dan meja yang perlu diganti enggan dibuang, malah kami mahu mengalihkan kabinet kayu yang berbau busuk. Saya tidak tinggal di rumah itu, tetapi apabila saya pulang melawat, saya berasa sangat tidak selesa. Saya hanya ingin tahu jika ada cara lain untuk menyelesaikan masalah rumah sampah ini.”

Getty Images

Selepas hantaran itu didedahkan, terdapat ramai ahli keluarga penghidap yang menghadapi situasi yang sama:

“Begitu juga di rumah saya dahulu. Tidak berguna membuangnya secara sembunyi, saya akan hilang sabar dan mencampak barang itu. Apabila saya melihat ada ruang, barang dibawa masuk semula dan ia semakin bertimbun. Sampai tiada lagi laluan, selepas tu semua berputus asa dengan orang itu dan seisi keluarga berpindah.”

“Ibu saya pun ada masalah ini. Dia susah semasa kecil kerana bapanya tidak bertanggungjawab, dan dia tidak boleh bekerja, jadi terpaksa mengutip barang di luar dan mencari jalan bagi menyara kehidupan. Ibu saya akan selongkar tong sampah yang saya telah susun, kutip semula, menangis dan buat kecoh, dan tidak benarkan barangannya dibuang.”

“Ini seperti keluarga rakan sekerja saya, ibunya mengutip barang tidak berguna yang sepatutnya tidak perlu dibawa pulang ke rumah. Katanya rumah ibunya bertimbun dengan barang sehingga dia tidak dapat bergerak walau seinci pun.”

“Tidak ada cara untuk membuang barang yang menimbun, dan anda tidak boleh membuangnya sesuka hati. Selain itu, dia juga mempunyai buku simpanan dan harta benda. Di dalam rumah itu, semasa ibu saya dimasukkan ke hospital, saya perlahan-lahan menghabiskan 3 bulan memeriksa, membuang, meneliti dan membuang, mengemas dan menyusun, amat memenatkan.”

Getty Images

Sementara beberapa warganet memberi cadangan:

“Biarkan ibu anda keluar bercuti selama 2 hari 1 malam, buang semua barang pada masa ini, dan kemudian bawa ibu anda berjumpa pakar psikiatri.” 

“Sesetengahnya mungkin membawa petanda kepada demensia, bawa dia untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.”

“Bawa ibu anda berjumpa kaunselor, beritahunya anda mahu seseorang menemani anda, dan kemudian berbincang dengan kaunselor itu. Biasanya, ahli keluarga perlu mengadakan rundingan bersama untuk memperbaiki diri. Ingat, ini adalah masalah dan urusan keluarga anda.”

Penyakit ‘hoarding’ disenaraikan sebagai penyakit mental dalam “The Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders Fifth Edition” yang sebenarnya boleh dirawat. Antara rawatan yang sesuai dijalankan oleh pakar psikiatri dan kaunselor ialah terapi tingkah laku kognitif (CBT) di mana ahli terapi membantu mengurangkan rasa gelisah untuk melepaskan anggapan barangan masih berguna, dan turut mengajar penghidap ‘hoarding’ menyusun barang dengan teratur.

Pilihan Editor:

Bazir zaman kerja keras tetapi jadi popular! Gadis ini dedah diri penganggur hidup bahagia, keresahan segelintir anak muda hilang selepas menonton videonya

0

Ramai orang bekerja keras dengan gaji yang tidak seberapa dan hidup dalam tekanan besar. Seorang gadis berusia 27 tahun di China dengan berani mendedahkan yang dia tidak mempunyai pekerjaan, tidak bergaji dan tidak memiliki pendidikan tinggi tetapi hidup lebih bahagia.

Hou Cuicui, kini menjadi hos popular di stesen B yang menganggap dirinya tidak pelik apabila tidak suka belajar, mengaku malas, dan tidak mempunyai motivasi diri demi cita-cita. Cuicui pernah bekerja keras di bandar kecil selama 5 tahun, dan gaji bulanannya tidak sampai RMB5,000 (RM3,160). Kemudian, dia terpaksa diberhentikan kerana pandemik dan hidup dengan faedah pengangguran sebanyak RMB1,700 (RM1,100) sebulan.

Weibo

Melihat ramai warganet berasa cemas kerana mahu cemerlang dalam peperiksaan dan kerja, Cuicui mengakui tidak dapat menahan perasaan itu ketika menganggur pada mulanya.

“Saya rasa orang ramai memaksa diri mereka dalam banyak perkara, jadi anda harus merendahkan standard keinginan dan keperluan itu. Anda akan mendapati tiba-tiba diri anda berasa bebas. Tiada sesiapa lagi yang boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka ke atas diri anda,” katanya.

Weibo

Sambil menambah, “Sudah tentu, orang yang cemerlang perlu gigih berusaha atau bekerja keras. Seperti saya ini yang tidak mempunyai kemahiran, dan saya tidak boleh melakukan dengan kemahiran seperti yang saya mahukan, dan saya tidak lagi mahu melakukannya, kita tidak akan mati kelaparan kerananya, bukan?”

Hou Cuicui berkata dia pernah bekerja dengan sangat serius dan berusaha keras. Dia adalah orang yang paling sibuk di pejabat, tetapi dia juga yang mempunyai gaji paling rendah. Cuicui bekerja selama beberapa tahun tetapi tidak pernah mendapat pujian dan dihargai. Walaupun kini Cuicui menganggur, dia percaya ketika menerima faedah pengangguran setiap bulan tanpa bekerja juga merupakan satu kebahagiaan, seolah-olah dia sudah bersara!

Weibo

Kenyataan Cuicui telah melegakan keresahannya dan orang lain yang senasib dengannya yang membuatkan Hou Cuicui mula menjadi popular. Dia merakamkan pengalamannya itu dan berkongsi kehidupan seharian di bandar kecil di mana dia berada. Dalam masa kurang daripada setengah tahun, Cuicui mengumpul 1.2 juta peminat di stesen B. 

Beberapa warganet bersetuju dengan kenyataan Hou Cuicui, memujinya kerana tidak hipokrit dan jujur dengan diri sendiri, sambil memberi komen ketika menonton videonya membuatkan mereka berasa gembira. Tetapi kenyataan Hou Cuicui juga menimbulkan kontroversi pada masa sama, dan beberapa warganet percaya terdapat ada pasukan di belakangnya demi meraih keuntungan, dan semuanya adalah watak yang dicipta.

Weibo

Hou Cuicui kelihatan seperti tiada apa-apa kerana dia penganggur yang menjalani kehidupan berbeza, tetapi dia menggunakan bakatnya dengan personaliti tenang untuk menenangkan keresahan orang lain. 

Pengangguran tidak semestinya bererti kegagalan, kerana apa yang penting anda berasa bersyukur dan menghargai setiap hari sambil berusaha mencari jalan serta peluang melakukan perkara terbaik yang membuat anda bahagia. Kehidupan yang anda tentukan sendiri, tanpa perlu membandingkannya dengan orang lain.

Pilihan Editor:

Piala Dunia Qatar 2022: Argentina mara ke final

0

Argentina mara ke pentas akhir Piala Dunia FIFA 2022 selepas membenam Croatia 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Lusail di Al Daayen, Qatar pada Selasa, 13 Disember.

Pada minit ke-34 Argentina dihadiahkan sepakan penalti selepas Julian Alvarez dijatuhkan penjaga gawang Croatia Dominik Livakovic dan pemain sensasi Lionel Messi berjaya menyempurnakannya.

Lima minit kemudian, Argentina menambah satu lagi jaringan menerusi rembatan jarak dekat penyerang Alvarez.

Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada minit ke-69, Alvarez sekali lagi menyumbat gol hasil hantaran cantik Messi yang berjaya menggelecek pertahanan Croatia.

Dalam perlawanan itu penolong jurulatih Croatia Mario Mandzukic turut dilayangkan kad merah pada minit ke-35.

Aksi Messi pada perlawanan kali ini membolehkan pemain yang menyarung jersi nombor 10 itu mengatasi pencapaian legenda Gabriel Batistuta untuk menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Argentina dengan 11 gol di Piala Dunia.

Twitter

Argentina bakal menentang pemenang perlawanan Perancis-Maghribi. Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Lusail pada Ahad, 18 Disember.

Dengan keputusan ini, Lionel Messi mara ke final Piala Dunia kedua sepanjang kariernya.

Pada perlawanan akhir Piala Dunia 2014, Argentina kecundang 0-1 ketika bertemu Jerman.

Tonton video di bawah:

Pilihan Editor:

Ibu minta tolong anak lelaki 8 tahun “rendam periuk nasi”, asingkan wayar dan isi seluruh periuk nasi dengan air, mahu menangis atau ketawa?

0

Tiada salahnya apabila ibu bapa mengajar anak kecil melakukan kerja-kerja rumah mudah di rumah asalkan dengan penerangan yang betul.

Ini kerana anak-anak mudah salah faham dengan arahan yang mudah tetapi mereka mungkin akan berfikir dengan gambaran ke lain, jika tidak membuat pertanyaan lebih lanjut.

Dalam satu hantaran di Facebook, seorang ibu berkongsi anak lelakinya yang berusia 8 tahun mengikut arahannya secara bulat-bulat untuk “merendam” periuk nasi elektrik bagi memudahkan kerja pembersihan. 

Facebook

Tanpa disangka, si ibu memeriksa singki, lalu terkedu melihat rendaman periuk nasi itu dan menceritakan kisah lucunya.

Katanya dalam perkongsian video itu:

“Lihat! Suruh anak saya ‘rendam’ periuk nasi, dan dia bawa seluruh periuk nasi dan rendam.”

“Anak saya betul-betul bawa seluruh periuk nasi dan meletakkannya di dalam singki, dan mengisinya dengan air!”

“Tapi tak apa, sekurang-kurangnya dia tahu wayar itu patut kena cabut. Lepas tu seluruh periuk nasi rendam macam ni, seluruh periuk nasi! seluruh periuk nasi!” katanya.

Facebook

Melihat video itu, rata-rata warganet berasa geli hati lalu meninggalkan komen:

“Anak lelaki awak tak buat salah pun sebab mak tak bagi tahu dengan betul..”

“Mungkin masa tu dia sedang fikir bagaimana boleh habiskan banyak wang untuk teman wanita, hihi.. yang lain tak penting..”

“Saya selalu ingatkan anak-anak yang dalam tu periuk nasi, yang di luar tu dipanggil pemasak nasi yang tak boleh rendam kena air..”

“Supaya ibunya tidak lagi menyuruhnya untuk tolong buat kerja rumah..”

“Kanak-kanak zaman sekarang memang ‘first class’.”

“Sekurang-kurangnya dia tahu cabut wayar tu, bahaya tau tak cabut..”

Facebook

Manakala seorang warganet pernah melalui pengalaman sama dan hampir memarahi anaknya kerana periuk nasi.

“Tapi anak saya nasib baik cerdik sedikit, dan periuk nasi tidak rosak ditenggelami air!” komennya.

Facebook

“Tetapi jangan salah faham! Anak lelaki saya tidak pernah tolong buat kerja rumah, dan dia tidak pernah rendam periuk nasi sebelum ini!” jelas ibu ini.

Jadi tidak mengapalah ia jadi satu pengajaran, lain kali dia akan tahulah “cara merendam periuk nasi elektrik dengan betul” selepas dapat penerangan ibunya ikut cara yang betul.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Pengasas Public Bank meninggal dunia

0

Tokoh perbankan yang juga Pengasas dan Pengerusi Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow meninggal dunia pada jam 10.20 pagi, 12 Disember 2022 di usia 92 tahun.

Mendiang adalah antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia dan individu keempat terkaya di Malaysia berdasarkan senarai Forbes dengan nilai kekayaan sebanyak RM26 bilion.

Tan Sri Dr Teh Hong Piow memulakan kerjaya perbankannya pada tahun 1950 sebagai kerani bank di Overseas-Chinese Banking Corporation Ltd sebelum dinaikkan pangkat kepada pegawai dalam tempoh lima tahun. 

Gambar The Edge Market

Beliau kemudian menyertai Malayan Banking Bhd sebagai pengurus pada 1960 sebelum pada 1964 dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Besar pada usia 34 tahun.

Hong Piow kemudian meninggalkan Malayan Banking untuk menubuhkan Public Bank pada 1965. 

Sejak itu, beliau telah menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan di luar negara.

Mendiang merupakan Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Kumpulan Public Bank. 

Juga memegang jawatan utama dalam pelbagai organisasi seperti Yayasan Awam Malaysia dan LPI Capital Bhd.

Hong Piow dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 dan mendapat pendidikan formal rendah dan menengah di Sekolah Cina Anglo di Singapura. 

Mendiang berkahwin dengan Puan Sri Datin Sri Tay Sock Noy sejak 1956 dan mereka dikurniakan empat orang anak.

Public Bank antara bank utama di Malaysia dengan mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM1.59 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 16.8 peratus daripada RM1.36 bilion setahun sebelumnya.

Prestasi yang bertambah baik ini didorong terutamanya oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi sebanyak RM338.1 juta dan elaun rosot nilai pinjaman yang rendah sebanyak RM228.5 juta, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi berjumlah RM101.5 juta.

Hasil turut meningkat kepada RM5.50 bilion daripada RM4.81 bilion sebelumnya.

Untuk tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih bank itu meningkat 3.0 peratus kepada RM4.40 bilion daripada RM4.27 bilion disebabkan caj cukai tambahan daripada cukai kemakmuran sekali sahaja dalam tempoh semasa, manakala hasil melonjak kepada RM15.36 bilion daripada RM14.76 bilion.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan salam takziah buat keluarga mendiang.

“Pemergiannya ini tentunya meninggalkan lompong besar kepada keluarga besar Public Bank, sektor perbankan dan juga negara.

“Saya doakan keluarga mendiang Dr Teh tabah dan kuat atas kehilangannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pilihan Editor:

Kakak ‘tour guide’ bersuara ‘best’ ketika buat pengumuman, bas persiaran macam dalam ‘flight’ semua pelancong ini rasa

0

Jika anda berada di Kuching, Sarawak, rasanya ramai yang mengenali Kak Lin, ‘tour guide’ atau pemandu pelancong yang terkenal dengan suaranya yang bukan biasa-biasa untuk membuat semua berasa terpegun.

Dalam satu video TikTok yang tular, warganet jadi terhibur dan kagum apabila melihat Kak Lin membuat pengumuman di dalam bas persiaran.

Facebook

Kak Lin yang bertugas sebagai pemandu pelancong biasa membawa para pelancong bersiar-siar di Kuching dan menceritakan sejarah negeri Sarawak dengan suaranya yang amat sedap didengar.

Dalam video TikTok itu, warganet teruja apabila kedengaran suara Kak Lin persis suara pengumuman dalam penerbangan.

Facebook

Video yang dikongsikan pengguna TikTok @fathroselan dan terus tular di Facebook dan Twitter memaparkan Kak Lin membuat pengumuman ketibaan para pelancong di Lapangan Terbang Kuching, dan memastikan agar mereka tidak meninggalkan barang milik masing-masing di dalam bas.

Suaranya yang lunak sedap didengar memang serupa macam kru kabin penerbangan.

Facebook

Maka ramai yang bertanya sama ada Kak Lin pernah bekerja dengan mana-mana syarikat penerbangan sebelum ini setelah mendengar nada suaranya yang sedap itu.

TikTok

Dan ternyata di ruangan komen, salah seorang anak buahnya mendedahkan yang Kak Lin pernah bekerja sebagai kru kabin di Malaysia Airlines (MAS). 

TikTok
TikTok

Jadi, memang patutlah Kak Lin punya bakat cemerlang mengatur alunan suara semasa membuat pengumuman tidak kira di mana tempatnya.

Facebook

Walaupun di mana Kak Lin berada, bakatnya masih berbisa kerana suaranya memang sentiasa terbaik dan sangat sedap didengar.

Tonton video di sini.

Pilihan Editor: