Ada kalanya pemikiran semata-mata untuk menghidupkan semula perhubungan yang hilang mampu mencetuskan satu siri peristiwa dalam kehidupan.
Seorang lelaki dari India berkongsi bagaimana pencarian lokasi akhir hayat dan persemadian bapanya telah membawanya ke Malaysia untuk mendapatkan jawapan.
Dalam laporan yang dikongsi oleh BBC, lelaki bernama Thirumaran yang merupakan seorang aktivis dan menguruskan sekolah untuk kanak-kanak bekas buruh yang diselamatkan di daerah Tirunelveli, Tamil Nadu, telah memutuskan untuk pergi mencari pusara bapanya pada bulan November.
Bapanya K Ramasundram yang merupakan seorang guru sekolah di Malaysia, meninggal dunia akibat radang paru-paru pada tahun 1967, hanya 6 bulan selepas kelahiran anak lelakinya.
Thirumaran dan ibunya kembali ke Tamil Nadu di selatan India pada tahun yang sama. Kemudian pada tahun 1987, ketika berumur 22 tahun, ibunya pula meninggal dunia.
Selama bertahun-tahun, Thirumaran menyimpan beberapa surat lama yang ditulis oleh bapanya dan diwarisi daripada ibunya, yang telah memberitahu bahawa bapanya adalah seorang “aktivis kemanusiaan yang hebat” dan “penyanyi yang baik”.
Ibu Thirumaran berkongsi lokasi pusara bapanya di Malaysia, iaitu di bandar Kerling, lokasi tempat tinggal dan mendiang meninggal dunia.
“Saya sering berfikir yang saya mesti melawat bapa saya, tetapi saya tidak memikirkannya dengan serius. Sehinggalah pada hari ini,” katanya kepada BBC.
Carian Google yang mencetuskan segalanya
Thirumaran memulakan pencarian dengan cuba mencari sekolah bapanya, namun selain dari namanya, dia tidak tahu apa-apa tentang institusi itu.
Mendiang Ramasundram mengajar bahasa Inggeris di Thotta Thesiya Vakai Tamil Palli, sebuah sekolah kecil yang dikendalikan oleh masyarakat Tamil di Kerling.
Memandangkan Thirumaran bukan yang terbaik dalam menggunakan komputer, beliau meminta bantuan pelajarnya mencari sekolah itu di Google.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk mengendalikan komputer. Jadi pelajar saya melihatnya dan menunjukkan kepada saya gambar sekolah itu. Saya begitu kagum.”
Thirumaran kemudian mendapati sekolah itu telah dipindahkan ke lokasi lain, jadi beliau menghantar e-mel kepada pengetuanya untuk mendapatkan bantuan. Nasibnya amat baik apabila melalui pentadbiran sekolah, beliau mendapat maklumat kenalan dan bekas pelajar bapanya lalu menghubungi mereka.
Dalam beberapa hari berikutnya, beberapa orang antara kontak itu menjawab pertanyaannya dan menawarkan untuk pergi mencari pusara bapanya.
Thirumaran berkata, dirinya terkejut melihat betapa terujanya bekas pelajar itu yang kebanyakannya kini berusia dalam lingkungan 80-an, bercakap tentang bapanya.
“Salah seorang daripada mereka memberitahu bagaimana bapa saya membelikannya basikal untuk pergi ke sekolah dan kolej. Seorang lagi berkata, apabila dia ketinggalan dalam pelajaran, bapa saya membantunya meningkatkan prestasi dengan baik,” katanya.
“Apabila saya mendengar semua ini, saya menyedari apa yang saya telah hilang dalam kehidupan saya sendiri,” tambahnya.
Matlamat akhir
Selepas bekas pelajar bapanya menemui kubur itu dan mereka memaklumkan kepadanya, Thirumaran akhirnya mengambil keputusan berlepas ke Malaysia pada 8 November.
Beliau kemudian berjaya menemui pusara persemadian bapanya di sebuah tanah perkuburan lama di Kerling.
“Kubur itu sedikit usang dan ditumbuhi rumput liar, tetapi batu nisan itu mempunyai gambarnya, serta nama, tarikh lahir dan tarikh kematiannya,” jelas Thirumaran.
Sebelum itu, Thirumaran tidak pernah melihat gambar bapanya dan tidak pernah mengenali bagaimana rupanya.
Apabila ibu Thirumaran pulang ke India, segenggam tanah telah dibawa pulang dari kubur suaminya, yang Thirumaran memberitahu, tanah itu telah ditaburkan di atas pusara ibunya.
“Kali ini, saya mengambil segenggam tanah dari tempat persemadian ibu saya dan meletakkannya di atas kubur ayah saya,” katanya.
“Seolah-olah perkongsian cinta mereka adalah melalui saya, walaupun selepas kematian,” kata Thirumaran yang terharu.
Thirumaran kemudian membersihkan pusara itu dengan bantuan bekas pelajar bapanya, menyalakan lilin dan berdoa beberapa kali sebelum pulang ke India pada 16 November.
Katanya, perjalanan itu memberinya “lebih banyak daripada dibayangkan” dalam bentuk kenangan dan cenderahati yang tidak ternilai, termasuk gambar lama bapanya.
“Pelajarnya memberitahu wajah saya mirip sepertinya. Buat seorang budak lelaki yang membesar tanpa bapa, ini adalah kehidupan yang datang dengan sepenuhnya,” katanya dalam nada penuh emosi.
Pilihan Editor: