32.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 26, 2025
Utama Blog Laman 120

Wira K9 kerja lebih masa mengesan mangsa tanah runtuh, ‘Blake’ direhatkan akibat kepenatan

0

Sejak tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku pada 16 Disember lalu, anggota mencari dan menyelamat telah bekerja keras dan bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.

Jelas terpapar keletihan di wajah anggota misi mencari dan menyelamat (SAR) yang bekerja keras menerusi gambar-gambar yang diambil pengamal media dan muat naik di laman media sosial agensi terlibat.

Namun di sebalik semua itu, usaha anjing K9 yang turut bertungkus lumus mengharungi lumpur tebal, lecak dan hujan ketika mencari mangsa mencapai hadnya apabila salah seekor daripadanya dilaporkan mengalami kepenatan.

Facebook

Gara-gara kepenatan akibat ‘kerja’ lebih masa, seekor anjing unit pengesan (K9) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali perlu direhatkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata kepada Malaysia Gazette, anjing baka ‘English springer spaniel‘ yang bernama ‘Blake’ terpaksa mengalah setelah dua hari berturut-turut digunakan untuk mengesan mangsa yang hilang dalam kejadian itu.

Facebook

Beliau berkata, Blake antara 11 anjing pengesan yang digerakkan daripada bomba, polis, dan tentera dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh Batang Kali.

“Pada hari ketiga ini, Blake bertugas dari pagi dan melakukan sistem penggiliran. Ini kerana jika K9 terlalu fokus digunakan, proses pengesan akan menjadi tidak sensitif.

“Sebab itu, pada peringkat ini kita akan gerakkan secara bergilir-gilir mengikut waktu 30 minit dan berehat sebelum diganti dengan K9 lain,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pada 18 Disember.

Facebook

Norazam berkata, 11 ekor anjing pengesan diletakkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kejadian di mana enam daripadanya milik JBPM, empat (Polis Diraja Malaysia) dan seekor (Angkatan Tentera Malaysia).

Katanya, pihaknya mungkin akan meminta penambahan anjing pengesan sekiranya perlu.

“Seramai enam mangsa keseluruhannya berjaya dikesan oleh Unit K9 iaitu pada hari pertama dan kedua.

Twitter

“Anjing-anjing ini sememangnya pakar dan terlatih, bukan setakat boleh menjejaki mangsa yang berada di kedalaman 10 hingga 15 kaki dalam tanah, malah boleh turut mengesan mangsa yang lemas di dalam air,” jelasnya.

“Seperti Denti dan Grouse, mereka telah berkhidmat selama enam tahun dan pernah melakukan operasi mencari mangsa lemas dan mangsa yang hilang,” katanya.

Sementara itu, usaha dan keberanian Blake yang sebelum ini banyak berjasa membantu operasi SAR seluruh negara mula mendapat pujian di media sosial.

“Selamat berehat Blake. Jasamu dikenang!” kata Persatuan Haiwan Malaysia.

Turut mendapat pujian ialah empat wira K9 lain yang banyak berjasa dalam operasi mencari dan menyelamat iaitu Frankie, Denti, Pop dan Tar, lapor Harian Metro.

Setakat ini 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Jalan Genting-Batang Kali, Selangor.

Pilihan Editor:

Wanita baik hati ikhlas membantu lelaki tidak dikenali, kemudian terima kejutan rezeki tidak disangka

0

Dalam kehidupan seharian, jika anda ikhlas melakukan sesuatu pekerjaan sambil beramal, sekurang-kurangnya hati anda akan tetap tenang dan gembira, walaupun tidak diketahui balasan baik apa yang akan anda perolehi di kemudian hari.

Anda tidak pernah tahu bila masanya satu perkara baik yang anda lakukan akan membantu anda dalam kehidupan, tetapi kadangkala ia boleh berlaku dengan serta-merta.

Dalam satu rakaman tular di TikTok @mdmotivator dengan hampir 37 juta tontonan, seorang wanita baik hati secara bersahaja telah membantu seorang lelaki tidak dikenali dan kemudian dia terkejut dengan balasan berupa ganjaran yang diperolehinya.

Facebook

Dalam video itu, seorang lelaki yang tidak dikenali telah memasuki sebuah kedai kopi dan bertanya kepada wanita di kaunter sama ada dia boleh mendapatkan sekeping roti kerana dia tersangat lapar dan telah terlupa dompetnya tertinggal di rumah.

Tetapi wanita itu sangat baik hati dengan bertanya kepadanya, “Kamu hanya mahukan sesuatu untuk dimakan?” dan mula menawarkan secawan kopi yang dia akan membayarnya.

Facebook

Lelaki itu yang amat terkejut pada mulanya, bahkan bertanya kepadanya berkali-kali sama ada dia pasti mahu membayarnya, sambil menambah, “Mengapa kamu perlu berbuat begitu?”

Wanita ini menjawab, “Kita sama-sama manusia, dan kita perlu berbuat baik antara satu sama lain. Mana tahu satu hari bila saya boleh melihat kamu di luar sana, dan saya pula yang memerlukan bantuan kamu.”

Facebook

Lelaki itu kemudiannya memperkenalkan dirinya Zachery, dan wanita di kaunter itu berkata namanya Sonnia.

Selepas itu, Sonnia membawa kopi, dan Zachery sekali lagi mahu mengesahkan sama ada dia pasti.

Sonnia menjawab, “Ya, saya akan membayarnya. Jangan risau tentangnya. Saya pasti. Jika saya tidak pasti, saya tidak akan melakukannya. Kita kena berbaik-baik antara satu sama lain. Tidak mengapa.”

Facebook

Selepas Zachery mengucapkan terima kasih kepadanya, Sonnia berkata, “Senang mengenali kamu, anak muda.”

Sonnia juga memintanya untuk melakukan sesuatu yang baik untuk seseorang setiap hari yang dipanggil, “Bayar ke hadapan”.

Facebook

Jadi Zachery mula bertanya, “Bolehkah saya membayarnya sekarang?” tetapi wanita ini berkata, “Orang seterusnya yang anda lihat, bayarlah ke hadapan kepada orang itu.”

Kemudian Zachery mendedahkan yang dia membawa dompet sepanjang masa dan Sonnia agak terkejut. Zachery juga mengatakan yang dia mempunyai $1,000 dalam tangannya sekarang untuk dibayar.

Sonnia berkata, “Lelaki ini lain daripada yang lain..”

Facebook

Zachery memberitahu wang itu adalah untuknya, dan dia mahu membayar ke hadapan kepada Sonnia yang baik hati. Dengan perasaan terkejut Sonnia bertanya, “Kamu seriuskah?”

Selepas Zachery memberi wang itu dia berkata, “Sayang kamu”, dan wanita itu menjawab, “Sayang kamu juga,” lalu mereka berpelukan.

Facebook

Zachery kemudian bertanya kepada Sonnia apa pesanannya kepada dunia. 

Kata Sonnia, “Kita dibesarkan untuk menjadi baik, bukan untuk membenci. Ibu saya selalu berkata kita semua memiliki satu darah, dan tidak ada darah hitam dan putih.”

Tonton video di sini.

Pilihan Editor:

Wanita gempar pulang ke rumah apabila dapati beg Louis Vuitton baru dibeli hilang selepas membayar RM7,800

0

Mendapatkan beg mewah boleh menjadi pengalaman bagai tidak dapat dipercayai buat kebanyakan orang dan ramai yang ingin menayangkannya sebaik sahaja mereka berjaya membelinya sendiri.

Malang sekali buat seorang wanita dari Singapura, yang tidak berpeluang untuk menayang beg Louis Vuitton baharunya kerana dia pulang untuk ‘unboxing’ dengan kotak kosong.

Dalam video TikTok yang dimuat naik oleh @annapooty pada 12 Disember, warga Singapura itu mendapat kejutan dalam hidupnya apabila dia yang pertama kali membeli beg tangan SGD2,400 (RM7,800) Alma BB Ebene Damier Canvas dari kedai Louis Vuitton yang terletak di Marina Bay Sands, Singapura, pada 9 Disember, hanya untuk mendapati ia telah hilang selepas itu.

TikTok

Apabila menyedari kehilangan beg LV nya, wanita itu segera menghubungi talian hotline Louis Vuitton. Selepas beberapa percubaan yang tidak berjaya untuk menghubungi kedai, mereka akhirnya kembali menghubunginya.

Menurut wakil kedai, mereka memaklumkan kamera litar tertutup (CCTV) merakam wanita itu keluar dari kedai dengan dua beg dan stok mereka dikira.

Setelah menyiasat lanjut, mereka mendapatkan jawapan kepada situasi ini, kedai itu didakwa memberitahunya bahawa mereka tidak menolak kemungkinan jenayah berlaku di kedai mereka. Wanita itu merasakan yang kedai itu membayangkan dia meninggalkan begnya tanpa pengawasan dan seseorang mencurinya tanpa disedari.

Tidak berpuas hati dengan jawapan mereka, wanita itu mendakwa pihak kedai cuba mencari kesalahan yang dialih kepadanya.

Tidak terpengaruh dengan keengganan kedai untuk menyelesaikan isu , wanita Singapura itu mengambil keputusan sendiri dan membuat laporan polis pada 11 Disember.

TikTok

Sebaik laporan dibuat, polis dilaporkan menghubungi kedai berkenaan untuk menyiasat isu itu dengan lebih lanjut.

Secara kebetulan, wanita ini memberitahu kedai itu menemui begnya selepas polis menghubungi mereka dan memintanya untuk datang mengambil.

Menurut kedai itu, berlaku salah letak antara beg wanita itu dan barang pelanggan lain yang bercampur. Kedai itu mendakwa pelanggan terbabit meminta kotak kosong sebagai hiasan dan kotak kosong telah bercampur dengan yang berisi beg tangan wanita itu.

Setibanya di kedai untuk menuntut hak miliknya, kakitangan Louis Vuitton memulangkan beg mewah berharganya dan juga memberinya sebotol champagne sebagai tanda meminta maaf di atas kesulitan yang terpaksa dihadapinya.

Bertemu semula dengan pembelian mewahnya, @annapooty berkata hatinya kini berasa lega.

TikTok

Jadi ramailah netizen yang meninggalkan komen di TikTok dengan mengatakan kedai mewah itu sepatutnya ‘melakukan lebih baik’ ketika memberikan layanan kepada pelanggan.

Sambil ada yang mempersoalkan @annapooty mengapa dia tidak perasan membawa kotak kosong pulang ke rumah, kerana ia mesti terasa ringan.

Ada juga yang memberi komen sepatutnya @annapooty perlu meminta pembantu kedai menunjukkan beg itu dan membungkus di hadapan matanya.

Apa yang penting, nasib baiklah beg Louis Vuitton itu bukan betul-betul dicuri kerana cuma berlaku salah faham dan salah letak sahaja.

Pilihan Editor:

Banjir: 322 pencawang elektrik di Kelantan dan Terengganu ditutup sementara

0

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 322 pencawang di Kelantan dan Terengganu berikutan keadaan hujan lebat dan banjir ketika ini.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline menerusi kenyataan di Facebook berkata, tindakan itu diambil demi keselamatan pengguna setempat.

Kawasan yang masih belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh TNB demi keselamatan pengguna setempat ialah di tiga daerah iaitu di Kemaman, melibatkan 173 pencawang, Kuala Berang (50) dan Setiu (5), menurut kenyataan itu.

Twitter

Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, namun bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

“Sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.

“Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Jauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir. Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” tambah TNB.

Selain Terengganu, 94 pencawang di empat daerah di Kelantan turut ditutup atas faktor sama.

Kawasan terlibat ialah di Pasir Mas, dengan jumlah terbanyak iaitu 59 pencawang, Pasir Puteh (22), Tanah Merah (lapan) dan Kota Bharu (lima) menjadikan jumlah pencawang yang ditutup di kedua-dua negeri adalah sebanyak 322 pencawang, menurut kenyataan TNB.

Pada 19 Disember, tiga beradik meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan.

TNB menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami air kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus. Penyambungan semula bekalan akan dibuat dengan kadar segera sebaik sahaja ia selamat dilakukan.

Pilihan Editor:

Tukang masak biarkan anak buang air kecil bawah dapur, restoran kendalian warga asing ini diarah tutup serta-merta

0

Apabila seseorang ingin menjadi pengusaha makanan, perkara wajib perlu diketahui adalah setiap pengendalian makanan mesti mengikut peraturan yang ditetapkan di bawah akta makanan dan peraturan-peraturan makanan negeri masing-masing.

Setiap pengusaha perlu maklum bahawa premis menjual makanan perlu dipastikan kebersihannya dan tidak tercemar, setiap pengendali makanan mempunyai Sijil Pengendalian Makanan sekali gus mempunyai suntikan tifoid.

Aspek ini seharusnya dipandang serius apabila anda bergelar pemilik premis makanan dan tukang masak yang memberi makan kepada orang lain.

Facebook

Tular baru-baru ini apabila satu rakaman video berdurasi 1.24 minit yang memaparkan seorang tukang masak wanita yang tidak memakai sarung tangan dengan selamba membersihkan dan menyentuh bahagian sulit anak lelakinya yang membuang air kecil di dapur dan selepas itu menyentuh makanan yang baru dimasak.

Paling menjijikkan apabila video itu memperlihatkan anak kecil berkenaan membuang air kecil di bawah singki dapur yang merupakan bahagian utama penyediaan makanan.

Facebook

Wanita itu dilihat sekadar mencelupkan tangannya ke dalam bekas air selepas menyentuh alat sulit anaknya dan menyambung semula kerja memasaknya sambil si kecil masih berada di situ.

Tindakan memualkan itu telah mengundang pelbagai kecaman warganet di Facebook dan Twitter yang rata-rata meminta pihak berkuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan segera.

Difahamkan premis makanan berkenaan telah disewakan kepada warga asing yang lokasinya terletak di kompleks membeli-belah di Kota Tinggi, Johor.

Susulan paparan video yang tular, sebuah restoran di kompleks membeli-belah berkenaan telah diarah tutup serta-merta ekoran tukang masaknya tidak mengamalkan kebersihan, lapor Harian Metro.

Facebook

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon memaklumkan, selepas mendapat maklumat pada jam 11.30 pagi 16 Disember, sepasukan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi telah dihantar untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lapangan.

Menurut Ling, hasil pemeriksaan mendapati kesemua empat pengendali makanan di restoran itu tidak mempunyai Sijil Latihan Pengendali Makanan dan seorang didapati tidak mempunyai suntikan tifoid.

“Markah Pemeriksaan Premis adalah 47.12 peratus. Arahan Penutupan diberikan di bawah Seksyen 12 Akta Makanan 1983 serta Arahan Pembersihan di bawah Seksyen 10(1) Akta Makanan 1983.

“Kompaun juga dikeluarkan ke atas pemilik kerana gagal memastikan premis berada dalam keadaan baik dan bersih di bawah Peraturan 11(1), dibaca bersama Peraturan 15(1) kerana tidak mendaftarkan premis di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 2009,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Facebook

Ling juga berkata restoran terbabit turut mempunyai beberapa kesalahan lain yang membabitkan pencemaran silang di tempat penyimpanan makanan dan tidak menjaga titik kawalan kritikal ke atas makanan yang sudah dimasak.

Selain premis restoran itu sendiri adalah kotor dan tidak dibersihkan disamping sistem salirannya tidak efektif yang menyebabkan air limpah mengalir ke permukaan jalan.

Ling mengucapkan terima kasih di atas hantaran Facebook yang tular itu dan mengingatkan orang awam dan pelanggan supaya memilih premis makanan yang mengamalkan pengendalian makanan yang baik dan bersih.

Pilihan Editor:

Argentina juara Piala Dunia 2022, akhiri penantian 36 tahun

0

Argentina muncul juara Piala Dunia Qatar 2022 selepas menundukkan juara bertahan Perancis melalui penentuan sepakan penalti 4-2 di Stadium Lusail, Doha.

Terdahulu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi permainan penuh dramatik sebelum kedudukan terikat 3-3 pada masa tambahan, memaksa keputusan ditentukan melalui sepakan penalti.

Twitter

Perlawanan yang disifatkan FIFA dan pelbagai pihak sebagai aksi Piala Dunia terbaik itu bermula dengan Argentina kendalian Lionel Scaloni mendominasi babak awal permainan. 

Argentina memperoleh gol pembukaan yang dijaringkan Lionel Messi melalui sepakan penalti pada minit ke-23.

Twitter

Skuad La Albiceleste itu semakin garang sebelum menjarakkan diri melalui gol kedua disumbangkan Angel Di Maria pada minit ke-36.

Bagaimanapun skuad Les Bleus yang enggan ketinggalan memberi tentangan sengit sebelum memperoleh gol pertama melalui sepakan penalti yang disempurnakan Kylian Mbappe pada minit ke-80.

Twitter

Mbappe sekali lagi mengejutkan Argentina apabila merembat gol penyamaan seminit kemudian.

Perlawanan berlarutan ke masa tambahan sebelum menyaksikan Messi menjaringkan gol pada minit ke-109.

Tetap enggan mengalah, Perancis menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Mbappe pada minit ke-118.

Twitter

Kedudukan seri 3-3 kekal sehingga tamat masa tambahan memaksa penentuan melalui sepakan penalti.

Penentuan sepakan penalti menyaksikan Messi dan Mbappe mudah menyempurnakan penalti mereka.

Bagaimanapun, Perancis terpaksa akur apabila Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni gagal menyempurnakan sepakan, dengan kemenangan Argentina dimuktamadkan oleh sepakan penalti Gonzalo Montiel.

Twitter

Kemenangan yang mengakhiri kemarau Piala Dunia selama 36 tahun buat Argentina selepas kali terakhir menjulangnya pada tahun 1986.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam ciapan ringkas di Twitter sejurus tamat perlawanan, menyifatkan pertembungan Argentina dan Perancis di Qatar sebagai perlawanan akhir Piala Dunia terbaik.

Tonton sorotan Final Piala Dunia 2022 di bawah:

Pilihan Editor:

Rumah keluarga tidak bersalah ini musnah angkara peminjam haram tersalah alamat membaling bom petrol

0

Penjenayah yang menjadi pemberi pinjaman tidak berlesen di Batu Pahat, Johor, didakwa telah membakar rumah yang salah menyebabkan seorang wanita berusia 38 tahun dan dua anak lelakinya yang masih remaja terpaksa mencari perlindungan sementara di rumah saudara mara.

Menurut China Press, semuanya bermula apabila bom petrol dilemparkan ke rumah wanita itu pada awal pagi ketika wanita itu berada di luar negara tetapi anak lelakinya berada di rumah dan sedang nyenyak tidur. 

Gambar China Press

Anak lelakinya yang berusia 15 tahun telah bangkit selepas terkejut mendengar bunyi yang kuat, dan apabila memeriksa, dia menyedari kebakaran sedang berlaku lantas segera berlari untuk membangunkan abangnya yang berusia 18 tahun.

Mereka kemudian cuba keluar melalui bahagian hadapan rumah tetapi pintu pagar elektrik telah rosak dan tidak dapat dibuka.

Gambar China Press

Mereka bernasib baik apabila berjaya keluar dari rumah itu melalui pintu belakang.

Seorang jiran telah melihat kebakaran itu dan segera menghubungi bomba, yang telah memadamkan api sebaik tiba di lokasi kejadian.

Penjenayah peminjam haram terbabit telah meninggalkan nota ugutan di luar rumah berkenaan dan kemudiannya didapati mereka sebenarnya menyasarkan rumah jiran keluarga itu. 

Gambar China Press

Nota itu juga mengandungi maklumat mengenai anak bongsu jiran mereka yang bekerja di Singapura.

Apabila jiran itu pergi membuat laporan polis, didapati anak bongsu mereka telah pun melunaskan hutangnya kepada pemberi pinjaman terbabit tetapi mereka tetap berterusan mengganggu mereka.

Gambar China Press

Rumah berkenaan dengan harta benda yang musnah telah ditutup untuk siasatan lanjut dan nilai kerosakan dianggarkan puluhan ribu ringgit.

ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng, sejak itu meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan berkesan terhadap pelaku, sambil menambah terdapat kes yang sama tetapi kali ini, mereka telah bertindak dengan agak melampau dan keterlaluan.

Pilihan Editor:

Wanita koma dan melecur hampir seluruh badan akibat letupan tong gas memasak

0

Seorang bakal pengantin perempuan melecur di hampir seluruh badannya apabila tong gas memasak LPG meletup di rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi pada 13 Disember, Siti Hajar Hanis Mohd berusia 26 tahun dilaporkan mahu menggoreng ikan apabila tong gas tiba-tiba meletup, yang hampir memusnahkan rumah teres dua tingkatnya di Taman Sena Permai di Kepala Batas, Pulau Pinang. 

Gambar NSTP

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor Mohamad Hazam Hassan berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.13 pagi berhubung kejadian letupan itu.

“Setibanya di tempat kejadian, anggota menemui seorang wanita cedera yang dibawa keluar oleh jiran sebelum pasukan bomba tiba,” memetik laporan Berita Harian.

Mangsa digegaskan ke Hospital Kepala Batas untuk menjalani rawatan.

Pihak berkuasa berkata, kebocoran itu mungkin merebak secara beransur-ansur di dalam rumah pada malam sebelum kejadian.

Gambar Berita Harian

Mangsa yang bakal mendirikan rumah tangga pada bulan hadapan kini koma dan pembedahannya dijadualkan pada 16 Disember.

Doktor dilaporkan berkata wanita itu melecur lebih daripada 69% di badannya. Utusan Malaysia melaporkan rawatan tampalan kulit melecur akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh empat hingga lima bulan, kerana proses membuang kulit mati adalah rumit dan perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Menurut The Star, adik Siti Hajar, Haziq Muhammad, 25 tahun berkata kakaknya kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Dia dan isterinya berkongsi rumah teres itu dengan Siti Hajar. Mereka sedang tidur di tingkat atas ketika letupan berlaku. Pasangan itu berkahwin hujung minggu lalu dan baru tiba di rumah itu pada malam sebelum kejadian, lapor New Straits Times.

Gambar Kosmo!

“Saya takut membayangkan apa yang akan berlaku jika kami tidak berada di rumah untuk membantu kakak saya,” kata Haziq sambil menambah kakaknya selalu memasak setiap pagi kerana dia bekerja dari rumah sebagai penggubal draf di sebuah syarikat telekomunikasi.

“Saya mendoakan kakak cepat sembuh kerana dia merancang untuk berkahwin pada 22 Januari dan kami akan mengadakan majlis resepsi bersama pada hari berikutnya. Sekarang semuanya bergantung kepada pemulihannya,” kata Haziq.

Pilihan Editor:

Abang penyayang dakap adik semasa sedang membuat kerja sekolah, ibu bapa mereka mesti paling bertuah dan diberkati

0

Ibu bapa tidak dinafikan ada yang pening kepala apabila memperkatakan memiliki anak lebih daripada seorang, tambahan pula mereka itu adalah si kecil. Maka ramai juga yang menjadi bimbang jika membesarkan anak-anak mana boleh mengelak suasana menjadi kecoh. 

Masalah yang biasa dihadapi oleh keluarga dengan ahli yang bertambah, dan sudah semestinya ibu bapa akan melalui pelbagai cabaran dalam membesarkan anak-anak.

Ibu bapa yang ingin mendapatkan anak kedua dan seterusnya boleh merancang keluarga dengan kaedah memilih untuk mempunyai anak yang lebih kecil setelah anak sulung mereka sudah besar sedikit. 

Gambar coms.pub

Lebih mudah untuk membesarkan anak-anak yang berjarak usia selang beberapa tahun, seperti si abang dari China ini yang sudah besar, sudah bersekolah dan boleh berfikir sendiri, sekali gus menyelamatkan ibu bapanya dengan pelbagai kebimbangan.

Si abang dalam gambar ini sangat sayangkan adiknya. Selepas adik lelakinya lahir, dia lebih sayangkan adiknya itu sampai tidak sanggup berenggang walau seminit, dan si adik pun sangat manja dan menyayangi abangnya. Setiap kali si abang bercuti sekolah, si adik akan menjadi “pengikut” kecil yang mengekori abangnya ke mana sahaja.

Gambar tular menyentuh hati duo abang dan adik comel ini membuatkan ramai netizen tersentuh hati dan terharu. Nampaknya ibu bapa keluarga ini benar-benar sangat bertuah kerana mempunyai anak sulung yang baik dan bertimbang rasa. Bagi meredakan tekanan ibu bapanya, si abang mengambil inisiatif dengan kerelaan hati sendiri untuk menjaga adiknya di rumah selepas tamat waktu persekolahan.

Gambar coms.pub

Ada kala terdapat banyak kerja sekolah untuk disiapkan. Tetapi, si adik yang suka berkepit selalu mengelilingi abang. Si abang pasti tidak mempunyai cara untuk menahan adik comel yang ingin bermanja, jika tidak mulalah si kecil merengek.

Jadi, abang ini mendakap erat adik lelakinya dan memujuknya sambil membuat kerja sekolah. Agak pelik juga, si adik duduk diam dan patuh sahaja dalam pelukan abangnya, senyap memerhatikan abangnya membuat kerja sekolah. Bagi si adik, pelukan si abang sungguh menenangkan bagai berada di syurga.

Tindakannya memeluk erat si adik dengan penuh kasih sayang itu mendapat perhatian netizen dengan menggelarnya, “abang paling menyejukkan hati”.

“Ibu bapanya amat bertuah kerana dapat membesarkan anak yang begitu menyejukkan hati. Saya percaya ibu bapanya pasti sangat gembira dan bersyukur ketika melihat gambar ini,” komen mereka.

Gambar coms.pub

Walau bagaimanapun, terdapat netizen yang memberi komen ibu bapa yang sibuk tidak boleh berterusan membebankan anak yang lebih tua dan sudah bersekolah untuk menjaga adik-beradik lain yang lebih kecil, kerana anak ini juga mempunyai tugas mereka sebagai pelajar yang perlu belajar. Tugas anak ini hanya memberikan bantuan apabila diperlukan dan bukan satu tanggungjawab yang boleh menganggu pembelajarannya.

Anak-anak yang lebih tua perlu diberikan persekitaran yang tenang dan baik oleh ibu bapa supaya mereka boleh belajar bersungguh-sungguh dan dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran.

Kecuali jika si abang itu begitu bertimbang rasa dan baik hati untuk menjaga adik dengan baik tanpa paksaan, yang mana ada kaitan dengan keperibadiannya sendiri. Abang yang ini sangat sayangkan adiknya dan dia menyemai sendiri rasa tanggungjawab dalam dirinya untuk membuat anda semua jatuh cinta, mereka memang comel!

Pilihan Editor:

Tanah runtuh Batang Kali: Tragedi terburuk setakat tahun ini, angka kematian meningkat kepada 21

0

BATANG KALI: Kejadian tanah runtuh yang berlaku sejurus selepas jam 2 pagi Jumaat, 16 Disember di tapak perkhemahan popular di sepanjang jalan Batang Kali-Genting Highlands, telah mengakibatkan 21 maut dan 12 lagi mangsa yang hilang setakat jam 7.10 malam.

Enam puluh satu mangsa telah berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang hari dari tanah dan lumpur yang menutupi kawasan lebih 500 meter panjang, 200 meter lebar dan lapan meter dalam, mengalihkan kira-kira 450,000 meter padu permukaan bumi, ke tapak perkhemahan Father’s Organic Farm berhampiran Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.

Insiden itu — kejadian tanah runtuh ke-23 yang dilaporkan di seluruh negara pada tahun ini — merupakan tragedi paling teruk setakat tahun ini yang melibatkan sejumlah besar mangsa yang terkorban.

Pasukan petugas dari pelbagai agensi perkhidmatan mencari dan menyelamat sedang bertungkus lumus mencari mangsa yang hilang, terhalang oleh cuaca hujan yang dibawa oleh Monsun Timur Laut yang menyukarkan tugas mereka.

Sepasukan anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor adalah pasukan pertama dan terawal tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 pagi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Rawang, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas telah dikerahkan ke lokasi kejadian, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis dalam satu kenyataaan media.

Misi SAR turut melibatkan pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Norazam berkata operasi SAR akan diteruskan selama 24 jam akan datang, kecuali cuaca buruk, bagi mencari 12 lagi mangsa yang dilaporkan masih hilang.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Musta Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita di atas kejadian yang menimpa dan mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menzahirkan rasa dukacita dan salam takziah kepada waris mangsa yang meninggal dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan mengarahkan misi mencari dan menyelamat (SAR) secara menyeluruh dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan berkaitan. Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar misi SAR dapat dijalankan dengan lancar.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan mengarahkan penutupan serta-merta selama tujuh hari di semua tapak perkhemahan yang terletak di sepanjang sungai, air terjun dan lereng bukit di seluruh negara. 

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata semua pihak berkuasa tempatan telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan penutupan akan berkuat kuasa sehingga kerajaan mengeluarkan arahan baharu.

Arahan sudah dikeluarkan kepada 155 PBT pada pagi 16 Disember susulan ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari ekoran Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku hari ini, 17 Disember.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tanah runtuh itu telah mengalih kira-kira 450,000 meter padu tanah ke lokasi tapak perkhemahan itu.

Susulan tragedi, polis menutup Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands atas sebab keselamatan dan bagi tujuan memudahkan operasi SAR.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi berkata orang awam boleh menggunakan laluan alternatif ke Genting Highlands melalui Jalan Hulu Yam-Batu Caves.

Resorts World Genting menasihatkan para pelancong yang mahu ke resort berkenaan supaya menggunakan Lebuhraya Karak dan laluan Genting Sempah sehingga diberitahu kelak.

Beberapa guru juga antara yang bercuti di tapak perkhemahan. Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Kampung Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur mengesahkan lebih 20 guru sekolah berkenaan dan ahli keluarga mereka antara mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.

Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, U Chin Ong, berkata kepada pemberita di balai polis Hulu Yam Bharu, beberapa guru telah berjaya diselamatkan dan membuat laporan polis di balai polis berkenaan.

Penghulu Mukim Hulu Yam, Muhammad Nabil Salehat berkata ini merupakan kejadian tanah runtuh pertama yang serius berlaku di kawasan itu. “Tanah runtuh berlaku di Serendah pada 2016, tetapi ia tidak seteruk ini,” tambahnya.

Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm, menurut promosi dalam taliannya menawarkan ruang untuk aktiviti perkhemahan, yang menjemput para pelancong untuk membawa peralatan perkhemahan mereka sendiri atau menyewa peralatan dan kemudahan daripada mereka.

Syarikat ini memiliki tiga lagi tapak perkhemahan iaitu Tapak Perkhemahan River Farm, Farm View dan Hill Top. Setiap tapak perkhemahan mempunyai kemudahan sendiri, termasuk tandas, pancuran mandian, singki pencucian dan tempat perlindungan.

Salam Takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban.

Pilihan Editor: