Ramai orang bekerja keras dengan gaji yang tidak seberapa dan hidup dalam tekanan besar. Seorang gadis berusia 27 tahun di China dengan berani mendedahkan yang dia tidak mempunyai pekerjaan, tidak bergaji dan tidak memiliki pendidikan tinggi tetapi hidup lebih bahagia.
Hou Cuicui, kini menjadi hos popular di stesen B yang menganggap dirinya tidak pelik apabila tidak suka belajar, mengaku malas, dan tidak mempunyai motivasi diri demi cita-cita. Cuicui pernah bekerja keras di bandar kecil selama 5 tahun, dan gaji bulanannya tidak sampai RMB5,000 (RM3,160). Kemudian, dia terpaksa diberhentikan kerana pandemik dan hidup dengan faedah pengangguran sebanyak RMB1,700 (RM1,100) sebulan.

Melihat ramai warganet berasa cemas kerana mahu cemerlang dalam peperiksaan dan kerja, Cuicui mengakui tidak dapat menahan perasaan itu ketika menganggur pada mulanya.
“Saya rasa orang ramai memaksa diri mereka dalam banyak perkara, jadi anda harus merendahkan standard keinginan dan keperluan itu. Anda akan mendapati tiba-tiba diri anda berasa bebas. Tiada sesiapa lagi yang boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka ke atas diri anda,” katanya.

Sambil menambah, “Sudah tentu, orang yang cemerlang perlu gigih berusaha atau bekerja keras. Seperti saya ini yang tidak mempunyai kemahiran, dan saya tidak boleh melakukan dengan kemahiran seperti yang saya mahukan, dan saya tidak lagi mahu melakukannya, kita tidak akan mati kelaparan kerananya, bukan?”
Hou Cuicui berkata dia pernah bekerja dengan sangat serius dan berusaha keras. Dia adalah orang yang paling sibuk di pejabat, tetapi dia juga yang mempunyai gaji paling rendah. Cuicui bekerja selama beberapa tahun tetapi tidak pernah mendapat pujian dan dihargai. Walaupun kini Cuicui menganggur, dia percaya ketika menerima faedah pengangguran setiap bulan tanpa bekerja juga merupakan satu kebahagiaan, seolah-olah dia sudah bersara!

Kenyataan Cuicui telah melegakan keresahannya dan orang lain yang senasib dengannya yang membuatkan Hou Cuicui mula menjadi popular. Dia merakamkan pengalamannya itu dan berkongsi kehidupan seharian di bandar kecil di mana dia berada. Dalam masa kurang daripada setengah tahun, Cuicui mengumpul 1.2 juta peminat di stesen B.
Beberapa warganet bersetuju dengan kenyataan Hou Cuicui, memujinya kerana tidak hipokrit dan jujur dengan diri sendiri, sambil memberi komen ketika menonton videonya membuatkan mereka berasa gembira. Tetapi kenyataan Hou Cuicui juga menimbulkan kontroversi pada masa sama, dan beberapa warganet percaya terdapat ada pasukan di belakangnya demi meraih keuntungan, dan semuanya adalah watak yang dicipta.

Hou Cuicui kelihatan seperti tiada apa-apa kerana dia penganggur yang menjalani kehidupan berbeza, tetapi dia menggunakan bakatnya dengan personaliti tenang untuk menenangkan keresahan orang lain.
Pengangguran tidak semestinya bererti kegagalan, kerana apa yang penting anda berasa bersyukur dan menghargai setiap hari sambil berusaha mencari jalan serta peluang melakukan perkara terbaik yang membuat anda bahagia. Kehidupan yang anda tentukan sendiri, tanpa perlu membandingkannya dengan orang lain.
Pilihan Editor: