BATANG KALI: Kejadian tanah runtuh yang berlaku sejurus selepas jam 2 pagi Jumaat, 16 Disember di tapak perkhemahan popular di sepanjang jalan Batang Kali-Genting Highlands, telah mengakibatkan 21 maut dan 12 lagi mangsa yang hilang setakat jam 7.10 malam.
Enam puluh satu mangsa telah berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang hari dari tanah dan lumpur yang menutupi kawasan lebih 500 meter panjang, 200 meter lebar dan lapan meter dalam, mengalihkan kira-kira 450,000 meter padu permukaan bumi, ke tapak perkhemahan Father’s Organic Farm berhampiran Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.
Insiden itu — kejadian tanah runtuh ke-23 yang dilaporkan di seluruh negara pada tahun ini — merupakan tragedi paling teruk setakat tahun ini yang melibatkan sejumlah besar mangsa yang terkorban.
Pasukan petugas dari pelbagai agensi perkhidmatan mencari dan menyelamat sedang bertungkus lumus mencari mangsa yang hilang, terhalang oleh cuaca hujan yang dibawa oleh Monsun Timur Laut yang menyukarkan tugas mereka.
Sepasukan anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor adalah pasukan pertama dan terawal tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 pagi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Rawang, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas telah dikerahkan ke lokasi kejadian, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis dalam satu kenyataaan media.
Misi SAR turut melibatkan pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Norazam berkata operasi SAR akan diteruskan selama 24 jam akan datang, kecuali cuaca buruk, bagi mencari 12 lagi mangsa yang dilaporkan masih hilang.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Musta Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita di atas kejadian yang menimpa dan mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menzahirkan rasa dukacita dan salam takziah kepada waris mangsa yang meninggal dunia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan mengarahkan misi mencari dan menyelamat (SAR) secara menyeluruh dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan berkaitan. Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar misi SAR dapat dijalankan dengan lancar.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan mengarahkan penutupan serta-merta selama tujuh hari di semua tapak perkhemahan yang terletak di sepanjang sungai, air terjun dan lereng bukit di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata semua pihak berkuasa tempatan telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan penutupan akan berkuat kuasa sehingga kerajaan mengeluarkan arahan baharu.
Arahan sudah dikeluarkan kepada 155 PBT pada pagi 16 Disember susulan ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari ekoran Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku hari ini, 17 Disember.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tanah runtuh itu telah mengalih kira-kira 450,000 meter padu tanah ke lokasi tapak perkhemahan itu.
Susulan tragedi, polis menutup Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands atas sebab keselamatan dan bagi tujuan memudahkan operasi SAR.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi berkata orang awam boleh menggunakan laluan alternatif ke Genting Highlands melalui Jalan Hulu Yam-Batu Caves.
Resorts World Genting menasihatkan para pelancong yang mahu ke resort berkenaan supaya menggunakan Lebuhraya Karak dan laluan Genting Sempah sehingga diberitahu kelak.
Beberapa guru juga antara yang bercuti di tapak perkhemahan. Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Kampung Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur mengesahkan lebih 20 guru sekolah berkenaan dan ahli keluarga mereka antara mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.
Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, U Chin Ong, berkata kepada pemberita di balai polis Hulu Yam Bharu, beberapa guru telah berjaya diselamatkan dan membuat laporan polis di balai polis berkenaan.
Penghulu Mukim Hulu Yam, Muhammad Nabil Salehat berkata ini merupakan kejadian tanah runtuh pertama yang serius berlaku di kawasan itu. “Tanah runtuh berlaku di Serendah pada 2016, tetapi ia tidak seteruk ini,” tambahnya.
Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm, menurut promosi dalam taliannya menawarkan ruang untuk aktiviti perkhemahan, yang menjemput para pelancong untuk membawa peralatan perkhemahan mereka sendiri atau menyewa peralatan dan kemudahan daripada mereka.
Syarikat ini memiliki tiga lagi tapak perkhemahan iaitu Tapak Perkhemahan River Farm, Farm View dan Hill Top. Setiap tapak perkhemahan mempunyai kemudahan sendiri, termasuk tandas, pancuran mandian, singki pencucian dan tempat perlindungan.
Salam Takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban.
Pilihan Editor: