KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, menolak untuk menerima gaji baginda dari kerajaan persekutuan sejak pandemik COVID-19 melanda negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, Anwar berkata Tuanku tidak menerima sebarang gaji dari kerajaan sejak penularan COVID-19, sebaliknya mendermakannya sebagai dana memandangkan baginda sentiasa prihatin dengan masalah kewangan negara.
“Jadi saya ingat eloklah kita berikan penjelasan ini kerana itu sumbangan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong memandangkan masalah ekonomi menekan kehidupan rakyat,” katanya.
Di bawah Akta Istana Negara (Elaun-elaun Diraja) 1982, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berhak mendapat elaun.
Anwar berkata beliau merasakan adalah penting untuk menjelaskan bahawa Al-Sultan Abdullah telah menolak untuk menerima gajinya, yang mana langkah itu adalah lebih awal daripadanya sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan beliau tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri selain Jemaah Menteri juga bersetuju untuk memotong gaji bulanan mereka sebanyak 20%.
Anwar, yang tidak mengambil gaji Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, berkata dasar ini adalah berterusan dan akan disemak semula sehingga ekonomi pulih sepenuhnya.
Katanya, langkah itu menunjukkan kerajaan perpaduan pimpinannya cakna dengan permasalahan rakyat.
Pilihan Editor: