Argentina muncul juara Piala Dunia Qatar 2022 selepas menundukkan juara bertahan Perancis melalui penentuan sepakan penalti 4-2 di Stadium Lusail, Doha.
Terdahulu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi permainan penuh dramatik sebelum kedudukan terikat 3-3 pada masa tambahan, memaksa keputusan ditentukan melalui sepakan penalti.

Perlawanan yang disifatkan FIFA dan pelbagai pihak sebagai aksi Piala Dunia terbaik itu bermula dengan Argentina kendalian Lionel Scaloni mendominasi babak awal permainan.
Argentina memperoleh gol pembukaan yang dijaringkan Lionel Messi melalui sepakan penalti pada minit ke-23.

Skuad La Albiceleste itu semakin garang sebelum menjarakkan diri melalui gol kedua disumbangkan Angel Di Maria pada minit ke-36.
Bagaimanapun skuad Les Bleus yang enggan ketinggalan memberi tentangan sengit sebelum memperoleh gol pertama melalui sepakan penalti yang disempurnakan Kylian Mbappe pada minit ke-80.

Mbappe sekali lagi mengejutkan Argentina apabila merembat gol penyamaan seminit kemudian.
Perlawanan berlarutan ke masa tambahan sebelum menyaksikan Messi menjaringkan gol pada minit ke-109.
Tetap enggan mengalah, Perancis menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Mbappe pada minit ke-118.

Kedudukan seri 3-3 kekal sehingga tamat masa tambahan memaksa penentuan melalui sepakan penalti.
Penentuan sepakan penalti menyaksikan Messi dan Mbappe mudah menyempurnakan penalti mereka.
Bagaimanapun, Perancis terpaksa akur apabila Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni gagal menyempurnakan sepakan, dengan kemenangan Argentina dimuktamadkan oleh sepakan penalti Gonzalo Montiel.

Kemenangan yang mengakhiri kemarau Piala Dunia selama 36 tahun buat Argentina selepas kali terakhir menjulangnya pada tahun 1986.
Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam ciapan ringkas di Twitter sejurus tamat perlawanan, menyifatkan pertembungan Argentina dan Perancis di Qatar sebagai perlawanan akhir Piala Dunia terbaik.
Tonton sorotan Final Piala Dunia 2022 di bawah:
Pilihan Editor: