Usaha gigih seorang warga emas dengan idea bijak membina rumah terapung bagi menghadapi musim tengkujuh dahulunya diperlekeh sesetengah pihak kononnya beliau melakukan kerja yang sia-sia.
Kini, A Bakar Che Ahmad yang berusia 67 tahun sudah mampu tersenyum apabila usaha membina kediaman terapung yang dipanggil rumah kelong berjaya membuahkan hasil.

Ketika banjir besar yang melanda Terengganu hari ini, rumah itu berjaya terapung selepas lokasi kediaman baru dan lamanya yang terletak di Tebak, Air Putih, Kemaman turut terjejas banjir.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh anak warga emas berkenaan @jimat_fishing2 menerusi aplikasi TikTok, yang amat berbangga dengan hasil usaha ayahnya.

Sebelum ini, A Bakar Che Ahmad pernah menghebahkan kepada media Bernama dan Sinar Harian bahawa rumah yang dibinanya mampu terapung pada ketinggian 5 meter sekiranya berlaku banjir pada musim tengkujuh.

Ketika membuat perancangan dan proses pembinaan, warga emas itu telah mengambil kira banyak faktor termasuk kelajuan arus banjir, lapor Sinar Harian.

Untuk tujuan itu, rumah terapung berkenaan diikat pada dua tiang setinggi 6 meter yang dibina pada sisi kiri dan kanan bagi membolehkan ia tidak berganjak dan kekal berada di tempatnya.

A Bakar juga menggunakan kayu dan 69 buah tong plastik untuk dijadikan sebagai penyokong yang berfungsi sebagai pelampung ketika musim banjir melanda.
Menurut A Bakar, kos pembinaan rumah kelong itu dianggarkan memakan belanja kira-kira RM47,000 yang turut dibantu oleh tujuh orang anaknya.

Warga emas ini mendapat idea untuk melakukan pengubahsuaian bersama isterinya, Fatimah Salleh, 61 tahun selepas kediaman lama mereka yang berada bersebelahan rumah kelong itu semakin usang akibat ditenggelami air bah ketika tiba musim tengkujuh setiap tahun.
Rata-rata pengguna TikTok menerusi muat naik video anaknya Zalie Fishing@jimat_fishing2 melahirkan rasa kagum dan memuji kreativiti beliau.


Maka, rasanya pada ketika ini pasti ramai yang berasa kagum dengan idea bijaksana pak cik dan akan mengambilnya sebagai model atau sumber inspirasi untuk membina rumah terapung yang sama.
Pilihan Editor: