Apabila seseorang ingin menjadi pengusaha makanan, perkara wajib perlu diketahui adalah setiap pengendalian makanan mesti mengikut peraturan yang ditetapkan di bawah akta makanan dan peraturan-peraturan makanan negeri masing-masing.
Setiap pengusaha perlu maklum bahawa premis menjual makanan perlu dipastikan kebersihannya dan tidak tercemar, setiap pengendali makanan mempunyai Sijil Pengendalian Makanan sekali gus mempunyai suntikan tifoid.
Aspek ini seharusnya dipandang serius apabila anda bergelar pemilik premis makanan dan tukang masak yang memberi makan kepada orang lain.

Tular baru-baru ini apabila satu rakaman video berdurasi 1.24 minit yang memaparkan seorang tukang masak wanita yang tidak memakai sarung tangan dengan selamba membersihkan dan menyentuh bahagian sulit anak lelakinya yang membuang air kecil di dapur dan selepas itu menyentuh makanan yang baru dimasak.
Paling menjijikkan apabila video itu memperlihatkan anak kecil berkenaan membuang air kecil di bawah singki dapur yang merupakan bahagian utama penyediaan makanan.

Wanita itu dilihat sekadar mencelupkan tangannya ke dalam bekas air selepas menyentuh alat sulit anaknya dan menyambung semula kerja memasaknya sambil si kecil masih berada di situ.
Tindakan memualkan itu telah mengundang pelbagai kecaman warganet di Facebook dan Twitter yang rata-rata meminta pihak berkuasa untuk menyiasat serta mengambil tindakan segera.
Difahamkan premis makanan berkenaan telah disewakan kepada warga asing yang lokasinya terletak di kompleks membeli-belah di Kota Tinggi, Johor.
Susulan paparan video yang tular, sebuah restoran di kompleks membeli-belah berkenaan telah diarah tutup serta-merta ekoran tukang masaknya tidak mengamalkan kebersihan, lapor Harian Metro.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon memaklumkan, selepas mendapat maklumat pada jam 11.30 pagi 16 Disember, sepasukan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi telah dihantar untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lapangan.
Menurut Ling, hasil pemeriksaan mendapati kesemua empat pengendali makanan di restoran itu tidak mempunyai Sijil Latihan Pengendali Makanan dan seorang didapati tidak mempunyai suntikan tifoid.
“Markah Pemeriksaan Premis adalah 47.12 peratus. Arahan Penutupan diberikan di bawah Seksyen 12 Akta Makanan 1983 serta Arahan Pembersihan di bawah Seksyen 10(1) Akta Makanan 1983.
“Kompaun juga dikeluarkan ke atas pemilik kerana gagal memastikan premis berada dalam keadaan baik dan bersih di bawah Peraturan 11(1), dibaca bersama Peraturan 15(1) kerana tidak mendaftarkan premis di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 2009,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Ling juga berkata restoran terbabit turut mempunyai beberapa kesalahan lain yang membabitkan pencemaran silang di tempat penyimpanan makanan dan tidak menjaga titik kawalan kritikal ke atas makanan yang sudah dimasak.
Selain premis restoran itu sendiri adalah kotor dan tidak dibersihkan disamping sistem salirannya tidak efektif yang menyebabkan air limpah mengalir ke permukaan jalan.
Ling mengucapkan terima kasih di atas hantaran Facebook yang tular itu dan mengingatkan orang awam dan pelanggan supaya memilih premis makanan yang mengamalkan pengendalian makanan yang baik dan bersih.
Pilihan Editor: