Dalam kehidupan seharian, jika anda ikhlas melakukan sesuatu pekerjaan sambil beramal, sekurang-kurangnya hati anda akan tetap tenang dan gembira, walaupun tidak diketahui balasan baik apa yang akan anda perolehi di kemudian hari.
Anda tidak pernah tahu bila masanya satu perkara baik yang anda lakukan akan membantu anda dalam kehidupan, tetapi kadangkala ia boleh berlaku dengan serta-merta.
Dalam satu rakaman tular di TikTok @mdmotivator dengan hampir 37 juta tontonan, seorang wanita baik hati secara bersahaja telah membantu seorang lelaki tidak dikenali dan kemudian dia terkejut dengan balasan berupa ganjaran yang diperolehinya.
Dalam video itu, seorang lelaki yang tidak dikenali telah memasuki sebuah kedai kopi dan bertanya kepada wanita di kaunter sama ada dia boleh mendapatkan sekeping roti kerana dia tersangat lapar dan telah terlupa dompetnya tertinggal di rumah.
Tetapi wanita itu sangat baik hati dengan bertanya kepadanya, “Kamu hanya mahukan sesuatu untuk dimakan?” dan mula menawarkan secawan kopi yang dia akan membayarnya.
Lelaki itu yang amat terkejut pada mulanya, bahkan bertanya kepadanya berkali-kali sama ada dia pasti mahu membayarnya, sambil menambah, “Mengapa kamu perlu berbuat begitu?”
Wanita ini menjawab, “Kita sama-sama manusia, dan kita perlu berbuat baik antara satu sama lain. Mana tahu satu hari bila saya boleh melihat kamu di luar sana, dan saya pula yang memerlukan bantuan kamu.”
Lelaki itu kemudiannya memperkenalkan dirinya Zachery, dan wanita di kaunter itu berkata namanya Sonnia.
Selepas itu, Sonnia membawa kopi, dan Zachery sekali lagi mahu mengesahkan sama ada dia pasti.
Sonnia menjawab, “Ya, saya akan membayarnya. Jangan risau tentangnya. Saya pasti. Jika saya tidak pasti, saya tidak akan melakukannya. Kita kena berbaik-baik antara satu sama lain. Tidak mengapa.”
Selepas Zachery mengucapkan terima kasih kepadanya, Sonnia berkata, “Senang mengenali kamu, anak muda.”
Sonnia juga memintanya untuk melakukan sesuatu yang baik untuk seseorang setiap hari yang dipanggil, “Bayar ke hadapan”.
Jadi Zachery mula bertanya, “Bolehkah saya membayarnya sekarang?” tetapi wanita ini berkata, “Orang seterusnya yang anda lihat, bayarlah ke hadapan kepada orang itu.”
Kemudian Zachery mendedahkan yang dia membawa dompet sepanjang masa dan Sonnia agak terkejut. Zachery juga mengatakan yang dia mempunyai $1,000 dalam tangannya sekarang untuk dibayar.
Sonnia berkata, “Lelaki ini lain daripada yang lain..”
Zachery memberitahu wang itu adalah untuknya, dan dia mahu membayar ke hadapan kepada Sonnia yang baik hati. Dengan perasaan terkejut Sonnia bertanya, “Kamu seriuskah?”
Selepas Zachery memberi wang itu dia berkata, “Sayang kamu”, dan wanita itu menjawab, “Sayang kamu juga,” lalu mereka berpelukan.
Zachery kemudian bertanya kepada Sonnia apa pesanannya kepada dunia.
Kata Sonnia, “Kita dibesarkan untuk menjadi baik, bukan untuk membenci. Ibu saya selalu berkata kita semua memiliki satu darah, dan tidak ada darah hitam dan putih.”
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: