Sebanyak 38 lagi rumah atas air di Kampung Forest di Sandakan, Sabah roboh akibat fenomena air pasang besar yang berlaku sejak malam 24 Disember.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata sehingga 10 pagi 26 Disember, terdapat pertambahan jumlah rumah roboh akibat fenomena berkenaan kepada angka sah iaitu 70 yang direkodkan pada 25 Disember.
#Sandakan : Lebih 100 buah rumah musnah manakala 500 buah rumah setingggan lagi terancam selepas dipukul ombak ketika fenomena air pasang besar malam tadi di Kampung Forest, Sabah.
“Kemudian, di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 telah meningkat menjadikan jumlah 684 orang,” katanya kepada Bernama di Kampung Forest pada 26 Disember.
Abdul Fuad bersyukur ramai penduduk yang tinggal di pesisir pantai akur kepada nasihat pasukan keselamatan untuk meninggalkan rumah masing-masing pada malam 25 Disember sehingga tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
[Video] Air Pasang : Lebih 100 rumah atas air roboh
Beliau sekali lagi mengulangi nasihat sama kerana dijangkakan air pasang besar akan berlaku lagi malam ini (26 Disember).
“Seperti mana semalam, kita telah plotkan beberapa kenderaan dan juga pegawai serta anggota untuk memindahkan lebih awal penduduk yang berada di perumahan pesisir pantai,” katanya.
Seorang gelandangan begitu gembira sekali apabila ditawarkan pekerjaan oleh pemilik kedai makan. Namun, Selepas mendapat upah, gelandangan ini melakukan hal yang sungguh mengejutkan majikannya. Kisah penuh inspirasi ini dikongsi oleh Sense di Facebooknya. Mari teruskan pembacaan.
Pada suatu hari ada seorang lelaki yang tidak terurus datang ke kedai makan Sense. Dia meminta sedikit wang daripada Sense. Sense tidak memberikan wang kepada lelaki itu sebaliknya dia menasihati lelaki tersebut agar mencari pekerjaan. Kata Sense, tiada apa yang percuma.
Lelaki yang berpenampilan kusut-masai itu membalas dengan berkata, “Sebenarnya, saya melakukan banyak jenayah serius dan disebabkan itu tiada siapa yang mahu mengambil saya bekerja. Jadi sekarang saya terpaksa menjadi gelandangan dan dapatkan duit sama ada mencuri atau mengemis.”
Selepas mendengar kata-kata lelaki tersebut, Sense bertanya, “awak nak kerja? saya ada kerja untuk awak!”. Kebetulan ketika itu Sense kekurangan pekerja, jadi dia menawarkan pekerjaan kepada lelaki berkenaan.
Lelaki yang kasihan itu kelihatan begitu teruja dengan tawaran Sense. Dia sangat gembira kerana ada orang yang sudi mengambilnya bekerja walaupun sudah tahu kedudukannya sebagai gelandangan dan penjenayah. Dia tersenyum lebar bagai bertemu sinar harapan yang begitu cerah di hadapannya ketika itu. Sense sendiri berasa gembira melihatkan senyuman lelaki tersebut.
Tanpa berfikir panjang, lelaki itu menerima tawaran Sense, malah katanya dia sanggup melakukan apa sahaja demi sesuap nasi.
Kini selepas dua minggu bekerja, lelaki yang tidak dinyatakan namanya itu datang bekerja tepat pada waktunya. Menurut Sense, lelaki itu membantunya membuang sampah, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya.
Sense begitu gembira kerana dapat membantu lelaki tersebut mencari rezeki. Namun, selepas memberikan upah, Sense sangat terkejut dengan tindakan lelaki itu. Sense tidak menyangka bahawa lelaki itu mahu membeli makanan di kedainya dan memutuskan untuk membayarnya.
Kata lelaki itu, dia berasa lega dan bersyukur kerana akhirnya dia dapat membeli makanan dengan duitnya sendiri. Sense meraikan ketulusan hati lelaki tersebut dan memberikan potongan harga makanan kepadanya.
Dikesempatan itu, Sense mengingatkan orang ramai agar berbuat baik pada orang lain dan tidak menghakimi seseorang lebih-lebih lagi jika orang itu meminta duit. Ini kerana kita tidak tahu keadaan sebenar dan mungkin orang itu sungguh terdesak sehingga terpaksa mengemis.
Kata Sense lagi, Tuhan telah merahmati hidupnya, jadi tidak salah jika dia berkongsi rezeki dengan orang lain.
Tinjauan di ruang komen menunjukkan warganet bersetuju dan menyokong tindakan Sense yang mengambil gelandangan itu bekerja dengannya. Mereka malah mengucapkan terima kasih kepada Sense kerana berbuat baik dengan lelaki itu.
Kesimpulannya, kita hendaklah membantu orang yang memerlukan pertolongan dan tidak menjatuhkan hukuman kepada seseorang hanya dengan memandang luaran sahaja.
Seorang pesakit leukemia berusia 15 tahun tertunai impian zaman kanak-kanaknya apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menziarahinya pada 22 Disember lalu di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Make-A-Wish Malaysia, menganjurkan pertemuan Mya Zara Damia Faizal dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, lapor Bernama.
Dalam lawatan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihatkan Mya supaya menjaga pemakanan dan berehat dengan sebaiknya. Baginda juga berdoa agar remaja itu cepat sembuh seperti sedia kala dan dapat kembali bersekolah untuk bertemu rakan-rakannya.
Gambar Bernama
Sementara itu, Raja Permaisuri Tunku Azizah menzahirkan hasrat untuk menunaikan impian Mya Zara untuk merasai hidangan hasil masakan daripada air tangan baginda sendiri.
Baginda berdua juga meluangkan masa lebih sejam melawat 25 pesakit kanser lain dan berinteraksi dengan ibu bapa dan kakitangan mereka di Wad Haematologi-Onkologi hospital berkenaan.
Bercakap kepada Bernama, Mya berkata beliau telah merancang untuk ke Istana Negara tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan berikutan masih dalam rawatan.
“Walaupun saya tidak boleh pergi ke Istana Negara, Permaisuri Agong bertitah baginda akan memasak sesuatu untuk saya,” kata Mya.
“Saya sangat teruja kerana saya selalu menonton di televisyen bagaimana baginda gemar memasak untuk orang ramai, dan selepas ini, saya juga akan berpeluang merasai air tangan Tunku Azizah.”
Gambar Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan menyatakan mereka gembira dapat memenuhi hajat dan impian Mya Zara.
“Kami sering bekerjasama dengan hospital tertentu untuk memenuhi impian kanak-kanak, dan hari ini, giliran Mya,” kata Tan.
“Mya sangat gembira apabila mendapat tahu Seri Paduka berdua akan berangkat ke sini malah meminta untuk meminjam sepasang baju kurung daripada jururawat supaya kelihatan lebih cantik dan menarik,” katanya.
Kementerian Kesihatan mengesahkan semua produk sos pasta berkrim carbonara cendawan berjenama Prego keluaran Malaysia ditarik balik daripada pasaran kerana terdapat tanda-tanda kerosakan seperti bau yang tidak menyenangkan, warna berubah, rupa berair dan lapisan cecair yang terpisah.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM turut menerima notifikasi dari syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn Bhd yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, syarikat itu telah mengenalpasti punca kerosakan produk tersebut disebabkan kesilapan semasa pemprosesan dan sedang dalam proses penarikan balik produk terlibat di pasaran secara sukarela.
Produk yang terlibat dalam penarikan balik adalah Prego Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan (665 gram) dengan nombor batch 2022081716 bertarikh luput 17 Ogos 2023 dan kod masa 22:18 hingga 23:20.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memaklumkan sedang memantau proses penarikan balik produk berkenaan.
Kenyataan Media Kementerian Kesihatan Malaysia
Isu Penarikan Semula Produk Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan Berjenama Prego Yang Didapati Telah Rosak pic.twitter.com/Z6RK8M14kz
Sehubungan dengan itu, para penjual di pasaran yang terbabit hendaklah menghentikan penjualan produk yang terjejas dengan serta-merta.
Manakala pengguna yang telah membeli hendaklah tidak memakan produk tersebut dan bagi yang telah memakannya dinasihatkan berjumpa pegawai perubatan sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala keracunan makanan.
Orang ramai disarankan mengamalkan lihat, hidu dan rasa bagi mencegah kejadian keracunan makanan.
Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali akhirnya berjaya ditemui pada jam 4.53 petang, 24 Disember.
Mayat kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, Eng Shao Qi ditemukan di Sektor A (Hill View) yang menjadi tumpuan utama pencarian sejak 23 Disember, lapor Bernama.
Beberapa minit kemudian, sebuah trak polis yang membawa mayat mangsa dilihat meninggalkan Father’s Organic Farm, menuju ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan pengecaman.
Penemuan mayat kanak-kanak itu menjadikan angka yang disahkan adalah 31 maut, manakala 61 terselamat yang membabitkan 92 mangsa dalam tragedi yang berlaku pada jam 2.42 pagi 16 Disember lalu, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat pada hari kesembilan.
Sebelum ini, dilaporkan mangsa terakhir ialah pelajar Tahun Lima SJKC Mun Choong.
Kejadian tanah runtuh itu turut meragut nyawa kakak kanak-kanak lelaki berkenaan, yang bersekolah di sekolah rendah sama, dan bapa mereka Gary Eng, yang merupakan pemilik kantin sekolah itu.
Sementara itu, tepukan dan sorakan kegembiraan bergema di perkarangan pusat kawalan operasi bencana tanah runtuh Batang Kali, sebaik anggota mencari dan menyelamat (SAR) membawa mayat mangsa terakhir tragedi itu ke Hospital Sungai Buloh.
Semua anggota pasukan SAR, serta agensi lain yang terlibat dalam operasi itu melahirkan rasa gembira dan bersyukur atas kerja keras dan kejayaan menemukan kesemua mangsa yang terlibat sejak sembilan hari lalu.
Operasi SAR yang bermula sejak 16 Disember lalu melibatkan pelbagai agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Sebahagian daripada anggota penyelamat termasuk unit anjing pengesan K9 setelah menemui mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali pada operasi SAR hari kesembilan hari ini. pic.twitter.com/cmbbR3KmZ5
Turut terbabit adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), serta pelbagai agensi kerajaan peringkat negeri.
Selain itu, perkhidmatan 11 anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) dan 11 jentera jengkaut turut digunakan sepanjang sembilan hari operasi SAR, selain bantuan pengesanan menggunakan dua peranti Ground Penetrating Radar (GPR).
Operasi SAR pada 24 Disember dimulakan pada jam 7.30 pagi membabitkan 80 anggota JBPM, ATM, APM dan SMART.
Segalanya bermula dengan demam panas, gejala COVID-19, yang tidak lama kemudian membawa kepada keputusan ujian positif. Yang Lianghua, bekas wartawan kanan di suara rasmi rejim komunis, China People’s Daily dan ketua pengarang edisi antarabangsa akhbar itu, kemudian terpaksa menunggu di bilik kecemasan untuk katil di hospital terkemuka Beijing, yang kebetulan sudah sesak.
Dengan campur tangan daripada eksekutif kanan media kerajaan dan pengarah hospital, Yang akhirnya dimasukkan ke unit rawatan rapi, di mana dia meninggal dunia beberapa jam kemudian. Punca kematiannya adalah jangkitan kuman di paru-paru.
Yang Lianghua merupakan salah satu daripada senarai panjang tokoh terkemuka berkaitan Parti Komunis China (PKC) yang meninggal dunia di tengah-tengah lonjakan varian Omicron yang sedang melanda China, selepas rejim itu secara tiba-tiba melonggarkan sekatan COVID-19 yang kejam selama bertahun-tahun yang telah menutup perniagaan, yang melumpuhkan ekonomi China dan menjadikannya satu cabaran buat rakyat China untuk mengekalkan kehidupan asas mereka.
Gambar oleh Kevin Frayer/Getty Images
Pusingan U secara mendadak, bagaimanapun, dibuat tanpa peruntukan sumber dan dasar untuk membantu penduduk terjejas menangani kes jangkitan yang semakin meningkat.
Sistem kesihatan negara yang kurang bersedia. Apabila virus merebak ke seluruh isi rumah, huru-hara telah meletus di hospital dan rumah pembakaran mayat, malah golongan elit China, yang terkenal dengan keistimewaan yang mereka nikmati, tidak terlepas daripada terkena tempiasnya.
Selain Yang, mereka yang telah meninggal dunia sejak beberapa minggu lalu termasuk Zhou Zhichun, bekas timbalan ketua pengarang dan naib presiden untuk China Youth Daily milik kerajaan; ahli politik Zhi Zhihong, yang pernah mempengerusikan Jawatankuasa Wilayah Jiangxi bagi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China; Pelakon Opera Peking berusia 39 tahun Chu Lanlan; Ahli ekonomi Marxis Hu Jun; bekas naib pengarah Suruhanjaya Sukan Negara Liu Ji; pereka maskot dari Sukan Olimpik Beijing 2008, Wu Guanying; serta berpuluh-puluh profesor terkenal di dua institusi akademik paling berprestij di China, Universiti Peking dan Universiti Tsinghua.
Beberapa pakar kesihatan terkemuka juga telah meninggal dunia, termasuk Nan Dengkun, yang dipuji sebagai perintis industri pemulihan perubatan China, dan saintis farmaseutikal terkemuka Wei Shuli.
Gambar STF/AFP /Getty Images
Angka rasmi merupakan kenyataan tidak benar
Walaupun terdapat peningkatan dalam obituari individu terkemuka yang muncul di media kerajaan, beberapa butiran disebutkan tentang punca kematian mereka.
Rejim China telah beralih kepada buku permainannya yang sudah usang mengenai angka jangkitan dan kematian COVID-19 yang sangat kurang dalam usaha untuk mengurangkan berita yang mencemarkan imej PKC.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan setakat ini hanya mengira segelintir kematian COVID-19, sembilan sahaja dalam tempoh tiga minggu. Hanya pesakit yang meninggal dunia akibat radang paru-paru akibat COVID-19 dan kegagalan pernafasan dimasukkan dalam angka ini. Mereka yang mempunyai punca kematian selain daripada itu adalah tidak dikira.
Tetapi mengambil kira keadaan di lapangan memberikan gambaran yang jauh lebih menggerunkan.
Rumah pengebumian di seluruh negara berjalan sepanjang masa untuk pembakaran mayat, dan pihak berkuasa kesihatan menggalakkan pengamal perubatan yang telah bersara sejak lima tahun lalu untuk menyertai semula tenaga kerja bagi mengatasi kekurangan kakitangan.
Ramai kakitangan perubatan yang bertugas dijangkiti COVID-19. Seorang pakar bedah hospital terkemuka di Beijing memberitahu media China bahawa sekitar 70 peratus petugas kesihatan di unitnya telah jatuh sakit, termasuk dirinya sendiri, tetapi mereka terpaksa terus bekerja.
Firma penyelidikan kesihatan Arifinity yang berpangkalan di London, menganggarkan lebih 5,000 orang berkemungkinan meninggal dunia setiap hari akibat COVID-19, berdasarkan model yang diperolehi daripada data di China.
Pengiraan rasmi dari China terbukti sebagai panduan yang tidak boleh dipercayai sehinggakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebuah badan yang biasanya menahan diri daripada mengecam secara langsung rejim itu kerana kekurangan ketelusan menangani wabak, mula mendedahkan keraguan mereka.
“Di China, apa yang dilaporkan adalah bilangan kes yang agak rendah di ICU, tetapi secara anekdot ICU sedang dipenuhi,” Pengarah Program Kecemasan Kesihatan WHO Mike Ryan memberitahu pemberita pada 21 Disember.
“Saya tidak mahu mengatakan China secara aktif tidak memberitahu kami apa yang sedang berlaku. Saya fikir mereka berada di belakang lengkung,” tambahnya.
Gambar STF/AFP/Getty Images
Pembalasan
Heng He, seorang penganalisis hal ehwal China, melihat unsur metafizikal di sebalik lonjakan COVID-19 semasa. Walaupun jumlah sebenar wabak itu tidak diketahui, bilangan elit China yang terjejas adalah ketara, katanya.
Ramai daripada mereka telah menjadi pemain teras dalam struktur kuasa rejim dan begitu komited dalam diri mereka untuk menjadi ahli propaganda yang menyemarakkan imej PKC.
“Mungkin anda fikir ia bukan masalah besar, tetapi PKC adalah sindiket jenayah,” katanya kepada The Epoch Times, sambil menambah peningkatan kes baru-baru ini sepatutnya membuatkan rakyat mempertimbangkan semula hubungan mereka dengan rejim. “Mengikat nyawa seseorang dengan nasib Parti tidak akan membawa kebaikan kepada anda.”
Idea bahawa “anda menuai apa yang anda tabur,” katanya, telah berakar umbi dalam fikiran orang China sejak berzaman dahulu.
“Kepercayaan popular di China ialah perbuatan baik akan mendapat balasan yang baik dan sebaliknya, dan anda boleh melihat pembalasan itu dalam hayat kehidupan seseorang,” kata Heng.
“Itulah sebabnya orang Cina sentiasa memberi amaran agar tidak membantu sesiapa dengan perbuatan yang salah—terutamanya bab penganiayaan agama dan kepercayaan.”
Heng merujuk kepada kempen penindasan kejam rejim yang menyasarkan Falun Gong dan kepercayaan lain.
“Dalam erti kata lain, seseorang mungkin mempertimbangkan hal pembalasan ini,” katanya.
Konsep itu digambarkan dalam artikel Mac 2020 oleh Li Hongzhi, pengasas disiplin kerohanian Falun Gong.
“Tetapi pandemik seperti Virus PKC semasa (atau ‘Virus Wuhan’) datang dengan tujuan di sebaliknya, dan ia mempunyai sasaran. Ia berada di sini untuk menyingkirkan ahli-ahli Parti dan mereka yang berpihak kepadanya,” tulis Li.
“Jika ada yang ragu-ragu mengenai perkara ini, lihat sahaja negara atau orang mana yang paling teruk dilanda virus itu: mereka yang telah rapat dengan PKC. Lalu apa yang harus dilakukan oleh rakyat? Rakyat harus menjauhkan diri mereka daripada PKC dan berhenti berpihak kepada Parti.”
Gambar oleh NOEL CELIS/AFP/Getty Images
Elit dibiar tanpa pertahanan
Elit atasan PKC, yang sebahagian besarnya berjaya melindungi diri mereka daripada kesan kerosakan perintah berkurung sejak beberapa tahun lalu, mendapati diri mereka secara tiba-tiba terdedah dalam gelombang terkini.
Satu akaun di Weibo yang telah dikenal pasti sebagai milik isteri Zhao Lijian, jurucakap kementerian luar negeri yang terkenal dengan retorik hawkish dan menyebarkan maklumat salah mengenai virus—termasuk maklumat palsu mengenai virus itu dibawa masuk ke Wuhan oleh Tentera Amerika Syarikat—baru-baru ini mengadu bahawa dia tidak berjaya mendapatkan sebarang ubat antivirus, ubat antiradang atau ubat selsema.
“Berapa hari awak akan demam sehingga sembuh?” dia menulis, tanpa dikenal pasti siapa yang dia maksudkan, menurut tangkap skrin siaran yang dipadamkan. “Ke mana perginya semua ubat ini?”
Dia kemudian menambah mereka menggunakan batang popsikel untuk menurunkan suhu badan.
Gambar STF/AFP/Getty Images
Ahli ekonomi dan nasionalis Hu Angang, pengarah Pusat Kajian dan Pengajian China, yang menasihati kepimpinan komunis, baru-baru ini kehilangan bapa mertuanya akibat radang paru-paru yang disebabkan oleh COVID-19.
Keluarga itu tidak dapat menghubungi talian perubatan selama sejam, dan kemudian terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan ambulans, menurut hantaran yang dipetik secara meluas daripada Mei Xinyu, seorang penganalisis kanan di Institut Perdagangan Antarabangsa dan Kerjasama Ekonomi di Kementerian Perdagangan China.
“Lelaki tua itu adalah ahli kanan Parti yang telah menerima pingat dari negara, tetapi hanya boleh menunggu untuk pembakaran mayat di rumah mayat hospital,” tulis Mei pada 21 Disember sambil menambah Rumah Pengebumian Babaoshan Beijing, di mana mayatnya akan dihantar, telah membakar kira-kira 200 hingga 300 mayat setiap hari. “Tiada tempat hari ini.”
Kanak-kanak berusia 5 tahun, Antonela Roccuzzo tidak pernah menyangka ketika bertemu dengan seorang budak lelaki yang impiannya sejak kecil adalah menjadi pemain bola sepak, akhirnya berkembang sebagai pemberi dorongan dalam karier pemain terbaik dunia yang berjaya membantu pasukannya menjulang Piala Dunia 2022.
Antonela juga tidak mempunyai sebarang idea yang beliau akan menjadi tunjang di sebalik jenama berbilion dolar Lionel Messi yang mengatasi kesemua bintang bola sepak lain, termasuk David-Victoria Beckham dan juga Cristiano Ronaldo-Georgina Rodriguez.
Kini menjadi wanita paling terkenal di Amerika Selatan. Hari ini, Antonela Roccuzzo seorang dermawan, pempengaruh bergelar jutawan, pemilik label fesyen kanak-kanak dan pencinta haiwan.
Wanita ini juga seorang doktor gigi, walaupun telah melepaskan kerjaya itu untuk berada di sisi suami tercinta ketika penyerang terbaik Argentina itu memulakan perjalanannya bermain bersama Barcelona sehingga kelab terkini Paris Saint-Germain untuk menjadi pemain bola sepak terbaik dan terkaya dunia.
Hampir 30 tahun selepas bertemu kekasih sejatinya, Messi, Antonela yang merupakan ibu kepada tiga anak lelaki ini berharap pemain berusia 35 tahun itu boleh membawa Argentina meraih kemenangan ke atas juara bertahan Perancis dalam Piala Dunia 2022 di Qatar.
Ia akan menutup pengakhiran yang sempurna buat kerjaya bola sepak Messi yang gemilang, memastikan ia satu penghormatan terunggul yang ditinggalkan kepadanya dalam permainan. Mereka yang mengenali Antonela, 34 tahun berkata wanita ini sentiasa merendah diri, sederhana dan menikmati segalanya ketika berada di rumah bersama tiga anak lelaki dan dua anjing kesayangan.
Menurut rakan-rakan, pasangan Messi merancang untuk bersara di rumah agam mereka yang terletak di Rosario, Argentina di mana pasangan itu akan kembali ke kampung halaman tempat mereka bertemu buat pertama kali pada tahun 1993, ketika kisah cinta sejati mereka bermula.
Antonela bertemu Messi selepas mereka bermain bersama-sama ketika zaman kanak-kanak bersama sepupunya Lucas Scagilia, yang merupakan rakan baik Messi semasa kecil.
Pada awal tahun sembilan puluhan, pertama kali Messi melihat Antonela lalu bertanya, “Siapa dia?” dan Lucas Scagilia menjawab, “Itu Antonela, sepupu saya..”
Messi selepas itu ‘tidak lagi berpaling daripadanya walau sesaat’. Kanak-kanak itu datang menjenguk lagi ke kawasan kejiranan berkenaan selama dua hari berturut-turut, dan Messi jatuh cinta pandang pertama dengan serta-merta mahu terus berdamping bersama Antonela buat selama-lamanya, kata bapa Lucas Scagilia menceritakan detik pertemuan mereka.
Setiap kali tinggal di rumah Scagilia, Messi akan mencari alasan untuk melawat rumah Roccuzzo dengan harapan dia dapat melihat Antonela walaupun sekilas pandang.
Selalunya, itu adalah aktiviti kegemarannya pada hujung minggu. Messi akan menulis surat cintanya dan memberitahu apabila dewasa kelak, mereka akan menjadi pasangan kekasih dan Antonela adalah teman wanitanya.
Antonela sentiasa menyokong Messi yang bermain bersama sepupunya untuk kelab Newell’s Old Boys di Rosario.
Mereka kekal berhubung selepas Lionel Messi berhijrah ke Barcelona, Sepanyol ketika usia 13 tahun.
Lima tahun kemudian, Antonela sangat bersedih dengan tragedi menimpa rakan baiknya, Ursula Notz yang meninggal dunia dalam kemalangan kereta. Messi yang amat mengambil berat akan cinta pertama zaman kanak-kanaknya, sehingga dia sanggup terbang kembali ke Argentina untuk menenangkan Antonela.
Detik itu membuatkan mereka tersedar untuk menjadi pasangan sebenar yang memerlukan satu sama lain tidak kira apa yang bakal berlaku. Namun, Antonela yang berusia 18 tahun ketika itu bercita-cita tinggi dan tahu untuk merealisasikan matlamat hidupnya.
Memperolehi ijazah dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial dari Universiti Kebangsaan Rosario, dan kemudian memulakan pengajian pasca siswazah dalam pergigian, tetapi meninggalkan kerjaya itu demi cinta kepada Messi dengan berpindah ke Barcelona.
Messi mendedahkan perhubungan mereka pada tahun 2009 dalam rancangan Hat Trick Barca di saluran Catalan TV3, “Saya mempunyai teman wanita. Dia berada di Argentina. Perkara sebenarnya saya sentiasa tenang dan bahagia.”
Beberapa bulan selepas pengumuman itu, pasangan ini secara rasmi mengisytiharkan hubungan mereka di khalayak umum dalam satu acara karnival Sitges.
Pada 2012, anak sulung mereka Thiago dilahirkan, diikuti Mateo pada 2015. Dan pada 2017, dua puluh lima tahun selepas pertemuan pertama mereka, Antonela akhirnya menjadi isteri sah kepada Lionel Messi apabila mereka melangsungkan perkahwinan di sebuah hotel mewah di Rosario.
Digambarkan sebagai ‘wedding of the century’ oleh media Argentina dan mempunyai senarai tetamu 260 orang termasuk pemain bola sepak Neymar, Luis Suárez dan Gerard Piqué, yang tiba di Rosario dengan jet peribadi bersama pasangan mereka, dan bintang pop Colombia Shakira.
Setahun kemudian pasangan itu melahirkan seorang lagi anak lelaki, Ciro yang melengkapkan keluarga bahagia mereka.
Messi memuji isterinya, “Antonela mempunyai banyak sifat baik, bagaimana dia bertahan setiap hari; personalitinya, sering berada dalam mood yang baik, dan sentiasa mampu berhadapan serta menyelesaikan masalah dengan cara yang mengagumkan.”
“Isteri saya seorang yang sangat bijak dan hebat dalam semua aspek kehidupan,” tambah Messi dengan bangga.
Walaupun hidupnya amat mewah, Antonela tidak menghabiskan hari-harinya dengan membeli-belah pakaian berjenama kerana wanita ini sentiasa mengamalkan kehidupan yang sederhana dan merendah diri.
Antonela menjadi sukarelawan di hospital SJD di Barcelona pada setiap musim panas. Pasangan itu juga menderma untuk bank makanan di Rosario. Sementara suaminya mengaut pendapatan lumayan USD114 juta (kira-kira RM505 juta) selama tiga tahun bermain untuk Paris Saint-Germain, Antonela turut meraih pendapatan sendiri dan bergelar jutawan sebagai pempengaruh media sosial.
Namun, ketika Messi beraksi cemerlang di Stadium Lusail di Doha, Qatar pada 18 Disember lalu, baki bank bernilai berbilion dolar terus menjadi tidak penting apabila impiannya untuk menjulang Piala Dunia sejak di zaman kanak-kanak telah menjadi kenyataan.
Kesemuanya terlaksana dengan hasil kerja keras Lionel Messi yang sentiasa menerima dorongan dan sokongan padu daripada isteri tercinta, Antonela Roccuzzo.
Baru-baru ini, sebuah video di TikTok mengenai seorang adik perempuan sujud kepada abang pada majlis graduasi mendapat perhatian ramai orang. Menerusi video tersebut, wanita Thailand berusia 27 tahun yang bernama Ying Chanita itu dilihat memakaikan jubah konvo pada abangnya sebelum sujud kepadanya.
Ying Chanita telah menamatkan pengajian dari fakulti pentadbiran awam di Universiti Rajabhat di wilayah selatan Thai, Nakhon Sri Thammarat pada tahun 2018. Namun disebabkan Covid melanda, majlis graduasi terpaksa ditangguhkan.
Ketika meraikan majlis graduasinya, Ying Chanita telah memakaikan jubah konvo pada abangnya. Selepas itu, dia melakukan isyarat penghormatan yang dikenali sebagai ‘krap thao’. Tindakan tersebut adalah budaya masyarakat Thailand yang merupakan simbol penghormatan yang mendalam terhadap seseorang.
Selepas Ying Chanita sujud dan menyentuh kaki abangnya, si abang membalas dengan menyentuh kepala adiknya itu dengan penuh kasih sayang.
Bagi Ying Chanita, dia melakukan hal tersebut sebagai tanda terima kasih kepada abangnya yang telah banyak berkorban untuknya.
Menurut Ying Chanita, sejak kecil dia tinggal bersama abang dan ibunya. Ibunya bekerja sebagai penoreh getah. Memandangkan pendapatan yang diperoleh oleh ibu mereka tidak seberapa, abang Ying Chanita nekad untuk berhenti belajar.
Ketika itu Ying Chanita masih muda dan tidak memahami mengapa abangnya bertindak sedemikian.
Namun apabila menginjak usia dewasa, ibunya menjelaskan padanya bahawa abangnya sanggup berhenti belajar demi mengurangkan beban. Ini kerana ibunya tidak mampu membiayai pengajian bagi dua orang anaknya itu.
Mengetahui hakikat tersebut, Ying Chanita sangat terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh abangnya. Nampaknya pengorbanan abangnya itu tidaklah sia-sia apabila Ying Chanita akhirnya berjaya menamatkan pengajian.
Orang ramai yang menonton video tersebut turut berasa terharu dengan kisah adik-beradik tersebut. Barulah mereka mengerti maksud disebalik perlakuan adik perempuan yang sujud kepada abangnya.
Mereka berasa kagum dengan Ying Chanita kerana tidak melupakan jasa abangnya. Mereka juga memberikan penghormatan kepada abang Ying Chanita kerana sanggup berkorban demi adiknya.
Cuaca tiba-tiba makin mendingin. Tidur yang pada mulanya nyenyak kini terganggu dek kerana kaki tiba-tiba menjadi kejang. Namun tahukah anda, sakit tidak terperi ini sebenarnya dapat dicegah lebih awal? Mari teruskan bacaan mengenai 6 teknik berkesan untuk rawat kekejangan kaki yang berlaku di tengah malam.
Menurut pengamal perubatan China, Lu Huanyi, secara umumnya kekejangan kaki berpunca daripada dua faktor. Yang pertama ialah kekurangan kalsium dan yang kedua ialah keadaan betis yang sejuk.
Sekiranya anda mengalami kekejangan kaki di tengah malam, apa yang boleh anda lakukan ialah:
Berehat – Jika tiba-tiba kaki anda kejang, jangan bergerak. Rehatkan kaki itu.
Regangan – Lakukan regangan pada arah berlawanan otot yang kejang tersebut.
Mengurut – Lakukan urutan lembut pada otot yang kejang.
Hangatkan – Gunakan tuala panas untuk menghangatkan otot yang tegang.
Doktor-doktor bersetuju bahawa regangan sebelum tidur mampu mengurangkan risiko berlakunya kekejangan kaki di tengah malam. Selain itu, minum lebih banyak air dan susu, kerap bersenam dan mengambil makanan tambahan juga membantu mengurangkan kemungkinan berlakunya kekejangan ketika tidur.
Li Yanji, seorang pengarah di sebuah klinik pemulihan berkata sejak kebelakangan ini cuaca semakin dingin dan ramai orang sihat termasuk mereka yang sakit menderita kekejangan kaki di tengah malam. Lantaran itu, mereka meminta nasihat dan panduan mengenai cara untuk mengelakkan daripada berlakunya kekejangan di tengah malam khususnya.
Menurut Li Yanji, satu kajian tinjau balik pada tahun 2012 menunjukkan senaman, regangan, pengambilan makanan tambahan atau vitamin seperti B12, magnesium, kalsium mungkin mampu mencegah berlakunya kekejangan kaki.
Manakala dapatan kajian pada tahun 2010 pula menunjukkan dorsiflexion buku lali (pergerakan tapak kaki dinaikkan mendekati buku lali) yang boleh dilakukan semasa melakukan regangan atau serangan akut turut membantu mencegah berlakunya kekejangan kaki di tengah malam.
Namun begitu, beliau mengingatkan agar pesakit kronik mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor terlebih dahulu.
Selain yang disebutkan di atas, anda boleh rawat kekejangan kaki dengan meletakkan bantal atau tuala sekitar 10 hingga 15 sentimeter tinggi di bawah lutut. Ini kerana, teknik ini mampu mengurangkan tekanan pada kaki.
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dengan gagah berani menyelamatkan seorang gadis daripada menjadi mangsa lemas di sebuah pantai di Terengganu pada 16 Disember.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 13 tahun dikatakan sedang berenang di pantai Penunjuk Kijal dekat Kemaman apabila dihanyutkan arus deras, lapor Harian Metro.
Ahli keluarga mangsa sedang berkelah di pantai itu ketika kemalangan berlaku.
Tidak jauh dari situ, wira remaja Muhammad Zulfikal Asmadi, sedang berbual dengan sekumpulan nelayan apabila tiba-tiba terdengar jeritan.
“Jarak kami di wakaf dengan lokasi kejadian adalah kira-kira 200 meter dan pada mulanya saya tidak perasan ada orang ramai berkelah dan berenang di situ,” katanya kepada Harian Metro selepas kejadian.
“Tiba-tiba, saya terdengar jeritan seseorang sedang meminta tolong, jadi saya berlari ke tempat kejadian dan melihat ada orang dalam keadaan tenggelam timbul,” katanya.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal ini, ketika itu hanya bapa kepada remaja perempuan itu sahaja yang cuba meluru ke laut, manakala orang ramai yang lain tidak berani membantu gadis itu berikutan ombak besar setinggi satu meter.
Berfikir dengan tindakan pantas, Zulfikal berkata dia meminta beberapa rakan membantunya membawa sampan dari wakaf ke laut.
“Saya hilang rasa takut ketika itu kerana niat bernekad untuk menyelamatkan mangsa, dan saya mengayuh sampan dengan sekuat hati ke arah mangsa yang sedang lemas itu,” katanya sambil menambah dia menggunakan seluruh tenaga dan daya upayanya ketika mendayung sampan kecil itu untuk melawan ombak besar.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia juga perlu berhati-hati ketika mendekati mangsa supaya tidak mencederakannya kerana sampan itu dilambung ombak deras.
Namun, syukur akhirnya Muhammad Zulfikal berjaya mencapai gadis itu sekali gus menyelamatkannya tepat pada masa dan menyuruhnya berpaut erat kepada sampan ketika dia mendayung kembali ke pantai.
Gadis itu kemudian telah digegaskan ke klinik kesihatan berhampiran sebelum ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Sementara Zulfikal segera pulang ke rumahnya ekoran berada dalam keadaan yang sangat keletihan.
“Itu adalah pertama kali dalam seumur hidup saya menyelamatkan seseorang daripada lemas,” katanya.
Bagaimanapun, remaja ini berharap kejadian itu adalah yang terakhir, kerana dia turut mengingatkan pengunjung supaya tidak berenang di pantai itu semasa musim tengkujuh.
“Terdapat banyak nyawa yang terkorban di sini akibat lemas dan saya tidak mahu melihat kejadian seperti ini berulang pada masa hadapan,” nasihatnya.
Video Zulfikal yang berani mendayung sampan untuk menyelamatkan mangsa telah menjadi tular di media sosial.
Rata-rata warga maya memuji tindakan pantas wira remaja ini atas nekad keberaniannya menyelamatkan mangsa tanpa memikirkan nyawanya sendiri yang turut berada di dalam bahaya pada ketika itu.