Sebanyak 38 lagi rumah atas air di Kampung Forest di Sandakan, Sabah roboh akibat fenomena air pasang besar yang berlaku sejak malam 24 Disember.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata sehingga 10 pagi 26 Disember, terdapat pertambahan jumlah rumah roboh akibat fenomena berkenaan kepada angka sah iaitu 70 yang direkodkan pada 25 Disember.
“Pada pagi tadi, kita kenal pasti sebanyak 38 buah rumah telah roboh, menjadikan jumlah keseluruhan 108 buah rumah.
“Kemudian, di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 telah meningkat menjadikan jumlah 684 orang,” katanya kepada Bernama di Kampung Forest pada 26 Disember.

Abdul Fuad bersyukur ramai penduduk yang tinggal di pesisir pantai akur kepada nasihat pasukan keselamatan untuk meninggalkan rumah masing-masing pada malam 25 Disember sehingga tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau sekali lagi mengulangi nasihat sama kerana dijangkakan air pasang besar akan berlaku lagi malam ini (26 Disember).
“Seperti mana semalam, kita telah plotkan beberapa kenderaan dan juga pegawai serta anggota untuk memindahkan lebih awal penduduk yang berada di perumahan pesisir pantai,” katanya.
Pilihan Editor: