Seorang pesakit leukemia berusia 15 tahun tertunai impian zaman kanak-kanaknya apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menziarahinya pada 22 Disember lalu di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Make-A-Wish Malaysia, menganjurkan pertemuan Mya Zara Damia Faizal dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, lapor Bernama.
Dalam lawatan itu, Yang di-Pertuan Agong menasihatkan Mya supaya menjaga pemakanan dan berehat dengan sebaiknya. Baginda juga berdoa agar remaja itu cepat sembuh seperti sedia kala dan dapat kembali bersekolah untuk bertemu rakan-rakannya.
Sementara itu, Raja Permaisuri Tunku Azizah menzahirkan hasrat untuk menunaikan impian Mya Zara untuk merasai hidangan hasil masakan daripada air tangan baginda sendiri.
Baginda berdua juga meluangkan masa lebih sejam melawat 25 pesakit kanser lain dan berinteraksi dengan ibu bapa dan kakitangan mereka di Wad Haematologi-Onkologi hospital berkenaan.
Bercakap kepada Bernama, Mya berkata beliau telah merancang untuk ke Istana Negara tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan berikutan masih dalam rawatan.
“Walaupun saya tidak boleh pergi ke Istana Negara, Permaisuri Agong bertitah baginda akan memasak sesuatu untuk saya,” kata Mya.
“Saya sangat teruja kerana saya selalu menonton di televisyen bagaimana baginda gemar memasak untuk orang ramai, dan selepas ini, saya juga akan berpeluang merasai air tangan Tunku Azizah.”
Ketua Pegawai Eksekutif Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan menyatakan mereka gembira dapat memenuhi hajat dan impian Mya Zara.
“Kami sering bekerjasama dengan hospital tertentu untuk memenuhi impian kanak-kanak, dan hari ini, giliran Mya,” kata Tan.
“Mya sangat gembira apabila mendapat tahu Seri Paduka berdua akan berangkat ke sini malah meminta untuk meminjam sepasang baju kurung daripada jururawat supaya kelihatan lebih cantik dan menarik,” katanya.
Pilihan Editor: